PERANG DALAM DIRI SEORANG ISTERI
(Ulasan teater “Perempuan Perang”)
Oleh DINSMAN
(Disiarkan dalam kolum Tekad Budaya akhbar Amanah 9 Okt 2016)
Saya pergi menonton teater itu hari itu kerana beberapa sebab. Pertama kerana dijemput sendiri oleh dua daripada tiga orang pelakonnya, dan mereka pernah bekerjasama dengan saya menjayakan Teater Atas Pokok; dan mereka menjemput saya itu waktu saya keluar dari menonton “Senapas”, yang dilakonkan oleh pelakon yang membawa watak Timbalan Menteri dalam Teater Atas Pokok.
“Senapas” dipentaskan di Revolution Stage, Petaling Jaya Utama (PJU), One Avenue, sama seperti teater “Perempuan Perang” yang akan saya bincangkan ini.
Oh, sebab-sebab lain mengapa saya pergi menonton teater ‘Perempuan Perang’? Saya tertarik dengan skripnya. Kalau teater ‘Senapas’ pula, saya pergi kerana Surya T’jaophelia yang berlakon (bersama seorang pelakon lelaki).
Saya berasa perlu pergi menonton di situ untuk memberi sokongan kepada mereka yang pernah sama-sama menjayakan teater saya; di samping menyokong tenaga-tenaga muda yang mengusahakan Revolution Stage dan Projek Bilik Sempit, yang menyediakan ruang untuk pementasan-pementasan indie seperti ini.
Ok, sinopsis yang disebarkan dalam fesbuk menyatakan ‘Perempuan Perang’ mengisahkan seorang isteri yang mengalami dilemma disebabkan suaminya dituduh melakukan kesalahan meliwat. Nah, sinopsis seringkas itu sahaja sudah cukup untuk merangsang kita berfikir kemungkinan ia menceritakan kisah isteri Anwar Ibrahim, bekas Timbalan Perdana Menteri kita yang telah mengalami pelbagai peristiwa pahit getir seorang pejuang.
Suka tak suka – itulah dia, hasil daripada permainan media-media utama kita selama bertahun-tahun sejak 1998 itu. Imej itu sudah melekat dalam kepala kita. Padahal kita tahu ramai lagi orang lain yang melakukan atau dituduh melakukan kesalahan seperti itu.
Maka dengan kepala yang membawa imaginasi itulah saya hadir menonton ‘Perempuan Perang’ karya sulung Afiza Asram. Mengharap untuk melihat bagaimana tanggapan seorang penulis muda terhadap peristiwa tersebut. Bagaimana seorang penulis wanita memahami dan menghayati dilemma yang dilalui oleh seorang wanita lain, yang mendapat sorotan media dan tumpuan orang ramai beberapa tahun lalu.
Tetapi rupa-rupanya jangkaan saya meleset. Perempuan yang diperwatakkan dalam teater itu bukannya dari peristiwa Anwar Ibrahim yang diketahui semua orang itu. Suami perempuan itu seorang peguam, bernama Ibrahim. Dan teater itu membawa kita menelusuri sejarah latar belakang hubungan Ibrahim dengan seorang manusia maknyah (transgender) yang kemudiannya mengheret Ibrahim ke dalam kes liwat tersebut.
Sejak awal-awal lagi kita sudah diperkenalkan dengan watak Ibrahim si peguam ini, bersama rakan kongsi syarikat guamannya Mukhtar. Saya menunggu juga kalau-kalau akan muncul pula watak seorang menteri. Walaupun pelakonnya hanya tiga orang sahaja, kita tahu ada kemungkinan seorang pelakon boleh membawa lebih daripada satu watak. Tetapi setelah beberapa ketika berlalu kita pun yakin bahawa tidak akan ada watak lain lagi dalam teater ini. Ertinya sahlah tidak ada watak menteri.
Saya tidak kecewa. Walaupun harapan untuk melihat perwatakan Wan Azizah (isteri Anwar Ibrahim) disorot dan dianalisa oleh seorang penulis muda dan dilakonkan pula di atas pentas anak-anak muda penggemar teater itu tidak kesampaian, saya tidak kecewa. Itu adalah sebuah karya Afiza Asram, dan Afiza telah memilih untuk menulisnya demikian.
Cuma mahu tak mahu, oleh sebab imaginasi peristiwa Anwar Ibrahim itu memang ada di dalam kepala, saya membandingkan juga di antara dua perwatakan tersebut. Ternyata watak isteri (diberi nama Laila) itu pastinya akan mengalami dilemma dan tekanan yang lebih hebat lagi sekiranya dia adalah isteri kepada seorang menteri, dan apatahlagi kalau isteri kepada seorang Timbalan Perdana Menteri, yang mempunyai beberapa orang anak remaja dan ada yang mulai dewasa.
Dan kalau demikian, yakni kalau Laila itu adalah isteri kepada Timbalan Perdana Menteri, tentulah akan banyak lagi persoalan dan konflik yang melibatkan tafsiran politik, akan terbawa ke dalam naratif teater ini. Barangkali ini yang menyebabkan Afiza memilih untuk tidak mengangkat cerita Anwar dan Wan Azizah ke dalam teaternya.
Tidak kurang menarik juga sebenarnya perwatakan Ibrahim (yang bukan berdasarkan Anwar Ibrahim itu) dan hubungannya dengan seorang pemuda yang berperibadi dua (maknyah) yang kemudian mengheret dia ke dalam skandal liwat itu. Afiza memberi ruang yang agak banyak kepada penceritaan ini. Mengapa? Barangkali untuk memberi kewajaran kepada terjadinya skandal tersebut.
Dan untuk menambahkan lagi dilemma yang dihadapi Laila, pengarang mewarnakan watak Mukhtar, rakan kongsi syarikat guaman suaminya, sebagai lelaki yang menaruh hati kepada Laila dan cuba memujuk Laila supaya menerima lamaran berkahwin dengannya, sewaktu suaminya menjalani hukuman penjara. Namun Laila sedikit pun tidak terpengaruh.
Sebagai suatu percubaan pertama Afiza menghasilkan skrip, ‘Perempuan Perang’ adalah sebuah karya sulung yang patut diberi pujian. Saya malah tertarik dengan judulnya pun – Perempuan Perang. Ia membangkitkan imaginasi dan merangsang untuk berfikir.
Keberanian Afiza mengangkat suatu persoalan kejiwaan yang berat, yakni dilemma seorang isteri yang suaminya dituduh dan kemudian disahkan bersalah oleh mahkamah, bahawa dia melakukan kesalahan yang sangat aib itu, iaitu meliwat, memang satu keberanian yang jarang dilakukan oleh penulis muda.
Apatah lagi ia mencuit fikiran khalayak untuk menghubungkannya dengan suatu peristiwa besar dalam sejarah terkini masyarakat dan negara kita.
Di samping menulis, Afiza juga mempunyai bakat lakonan yang baik. Dia melakonkan sendiri watak Laila; dan dia juga mengarah teater ini bersama K’N Ridzuan, yang juga turut berlakon watak Mukhtar. Manakala watak Ibrahim dibawa oleh Khairunazwan Rodzy.
Tahniah kepada mereka bertiga!

Comments
Post a Comment