30 Apr 2015

Keintelektualan Raja Ali Haji

Jika hendak mengenai orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,

Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.

Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.

Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.

Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.

Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.
- Raja Ali Haji

 


Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji
Oleh NURDIANA BINTI MOHD NOR

Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji telah diadakan pada 10 Mac 2015 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), dengan tema “Ke Arah Pencerdasan Pemikiran Umat”. Seminar ini merupakan anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Wadah Selangor (WADAH), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).



YBhg. Tuan Haji Mohd Yusop bin Hasan, Pengerusi Seminar (WADAH Selangor) menyampaikan ucapan alu-aluan.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Tuan Haji Mohd Yusop bin Hasan, Pengerusi Seminar (WADAH Selangor).

Ucaptama telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil, Presiden WADAH. Dalam ucaptama tersebut, beliau berkata, Raja Ali Haji (RAH) merupakan tokoh ilmuwan, budayawan dan pentadbir. Ketokohannya sebagai ilmuwan begitu menyerlah sehingga layak dianggap ikon tamadun keilmuan Riau abad ke-19. Keunggulannya sebagai ilmuwan terbukti daripada penguasaannya terhadap pelbagai disiplin keilmuan Islam zamannya, terutama ilmu tauhid, fiqah, tasawuf, sejarah dan bahasa Arab, di samping bahasa Melayu dan kesusasteraan.


Ucaptama oleh YBhg. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil, Presiden WADAH.

Antara karya RAH yang menjulang namanya sebagai pengarang besar ialah Tuhfat al-Nafis.

“Tuhfat al-Nafis memang sebuah karya yang istimewa. Unsur kesepaduan ilmu tersebut dapat dikesan dalam Tuhfat al-Nafis, yang bukan sahaja menghidangkan catatan sejarah, tetapi juga pesan-pesan moral keagamaan,” kata beliau.

Menurut Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil lagi, RAH juga menekuni bidang ketatanegaraan. Bukunya, Thamarat al-Mahammah Diyafatan li al-Umara’ wa al Kubara’ li Ahl al Mahkamah ialah sejenis karya tentang pemikiran politik Islam.



Dato’ Dr. Abu Hassan Sham membentangkan kertas kerja beliau yang berjudul “Pemikiran Raja Ali Haji Menerusi Hasilan Puisi.”

Dalam ucaptama ini juga, YBhg. Dato’ Dr. Siddiq berkata, selain karya-karya keintelektualan, sumber penting RAH ialah surat-surat peribadinya. Koleksi surat-surat peribadi RAH kepada Hermann von de Wall telah diterbitkan di Leiden pada tahun 1995. Edisi bahasa Indonesia pula telah diterbitkan pada tahun 2007 dengan judul Dalam Berkekalan Persahabatan: Surat-surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall.

Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji menampilkan sembilan kertas kerja yang disampaikan oleh para pembentang yang terdiri daripada ahli akademik. Antara kertas kerja yang dibentangkan termasuklah, Aspek Kesufian dalam Karya Raja Ali Haji (1808-1873) oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki bin Haji Abd. Latiff dan Puan Fairuzah binti Basri; Pemikiran Raja Ali Haji Menerusi Hasilan Puisi oleh Dato’ Dr. Abu Hassan Sham dan Pemikiran Sejarah Raja Ali Haji Menerusi Tuhfat al-Nafis, Karya Ulung Kesultanan Johor-Riau-Lingga oleh Dr. Arba’iyah binti Mohd Nor.
hadirin


Antara yang hadir ke Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji.

Berdasarkan pembentangan setiap kertas kerja dalam seminar tersebut, 10 resolusi telah dibuat. Antaranya ialah, meminta Kementerian Pendidikan Malaysia memperkukuhkan lagi usaha yang sedang dibuat sekarang oleh Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan pihak seperti DBP dan Jabatan Sejarah, UM, untuk mengumpul dan mengkatalogkan manuskrip tentang Islam dan Melayu, khazanah penulisan tokoh-tokoh Melayu Islam dan seumpamanya yang berselerakan di seluruh dunia. Kedua, mencadangkan agar Kerajaan negeri Selangor, melalui UNISEL menganjurkan kursus pemikiran Raja Ali Haji. Dicadangkan keutamaan diberikan kepada para nazir dan imam kanan masjid-masjid di Selangor, kemudian diikuti dengan tokoh-tokoh lain pula. Ketiga, meminta kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai kos penulisan dan penerbitan buku-buku tentang tokoh-tokoh Melayu dan perkembangan Islam di Alam Melayu.

Ternyata, RAH merupakan tokoh ilmuwan-budayawan Melayu abad ke-19M, zaman pertembungan budaya Barat moden dengan budaya tradisi Melayu – Islam. Pada era yang penuh cabaran, beliau telah berjuang mengangkat martabat agama, bangsa dan tamadun Melayu – Islam.

klikweb


10 MAC 2015 (SELASA)
DEWAN KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR (KUIS)

Anjuran Bersama:
Wadah Selangor (WADAH), Kolej Universiti Islam Antarbangsa Selangor (KUIS) & Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)

Dengan Kerjasama:
GAPIS, BAKEWANIS, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) & Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS)

Pemakalah:

1. Ucaptama oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadhil, Presiden WADAH
2. Kelab Rusydiah sebagai Institusi Cendikia Rantau Melayu - Piut RAH, YM Raja Malik bin Raja Hamzah
3. Aspek Kesufian dalam Karya Raja Ali Haji - Prof Madya Dr. Ahmad Zaki Hj Abd Latiff
4. Pemikiran Raja Ali Haji Menerusi Hasilan Puisi - Prof Dr. Abu Hassan Sham
5. Sistem Kehakiman Dalam Thamarah Al-Muhimmah - Dr. Khalif Muammar A. Harris
6. Mengembalikan Kecemerlangan Ulama: Suatu Cabaran Bagi Umat Menerusi Perspektif Raja Ali Haji - Hafida Mohamed Nordin
7. Bahasa Melayu Sebagai Wadah Dakwah Dan Tarbiyah Dari Kacamata Raja Ali Haji - Zunina Abdullah
8. Pemikiran Sejarah Menerusi Karya-karya Sejarah Raja Ali Haji - Dr. Arba’iyah Mohd Noor
9. Peranan Raja Ali Haji dalam Pertembungan Agama dan Politik di Alam Melayu - Ayu Nor Azila Mohamed
10. Ketatanegaraan Melayu Abad Ke-19 Menerusi Pandangan Raja Ali Haji - Prof. Dr.Tatiana Denisova


Raja Ali islam asas pemikiran

Beliau muncul sebagai pujangga dan pemikir Melayu dari golongan istana Kesultanan Riau yang ulung pada abad ke-19. Beliau sebaris dengan pendahulu-pendahulunya seperti Tun Seri Lanang (Johor), Raja Chulan (Perak) dan Sultan Mahmud Badaruddin (Palembang).

Raja Ali Haji, mempunyai beberapa kelebihan tersendiri terutama dari aspek pengkaryaan dengan menghasilkan sekitar 14 karya, bidang penulisan, pemikir dan konsep Islamisme dalam penulisan.

Paling ketara, elemen utama yang mewarnai dunia kepengarangannya tidak dapat dipisahkan dari konsep dan landasan Islam yang begitu kukuh. Pemikiran ini banyak ditemukan dalam karya agungnya, Tuhfat al-Nafis.

Menurut Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham, landasan keislaman ini banyak dipengaruhi oleh latar belakang keluarga dan sistem pendidikan yang diterimanya.

Dalam hal ini, jelasnya, pendidikan Islam tradisional yang diterima dari beberapa guru dan ulama di Riau serta pendidikan informal dari keluarganya merupakan landasan penting kepada proses berfikir Raja Ali Haji.

''Ayahnya Raja Ahmad atau digelar juga Engku Haji Tua memang seorang yang alim. Sudah tentu pada masa kecilnya, beliau belajar dengan bapanya terlebih dahulu terutama bacaan al-Quran dan ilmu-ilmu fardu ain.

Kamudian baru diserahkan kepada guru-guru lain.

''Salah seorang dari mereka ialah Haji Abdul Wahab yang berasal dari Minangkabau dan merupakan imam di Masjid Penyengat. Beliau juga mengajarkan kitab fikah Mir'at-Tullab karya Syeikh Abdul Rauf dari Acheh,'' katanya.

Di samping itu, dunia keislaman yang mempengaruhi kepengarangan Raja Ali Haji juga banyak ditimba dari pendidikan agama oleh guru-guru yang sering mengunjungi Penyengat seperti Syeikh Ahmad Jibrati dan Habib Syeikh Syakaf.

Menurut Prof. Abu Hassan, kedudukan latar pendidikan ini menjadikan Raja Ali Haji seorang tokoh alim dan guru agama terkenal di Penyengat, sekali gus guru agama kepada keluarga Yang DiPertuan Muda Riau.

Malah, beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai pujangga yang berjaya mengetengahkan beberapa karya agung serta membantu membentuk peradaban di dunia Melayu.

Dengan kata lain, latar pendidikannya serta kehidupannya telah memberi ruang untuk Raja Ali Haji menghasilkan beberapa karya dalam pelbagai bidang seperti undang-undang, puisi, tatabahasa, salsilah Raja-raja Bugis, Fikah, Tasauf, pentadbiran dan lain-lain.

Namun, dalam memperkatakan tentang kedudukan tokoh ini dalam membina korpus ilmu Melayu, Prof. Abu Hassan melihat Raja Ali Haji beruntung oleh sikap toleransi pemerintah Belanda di kepulauan Indonesia pada era tersebut.

Belanda memberikan kelonggaran dan kebebasan kepada penganut Islam untuk mengamalkan ibadah termasuk menunaikan fardu haji serta aktiviti sosial seperti perkahwinan dan adat.

Ruang yang terbuka ini digunakan sepenuhnya oleh Raja Ali Haji untuk berkarya dan mengetengahkan aspek-aspek pemikirannya terutama tasawuf yang diperlihatkan dalam Gurindam Dua Belas, Syair Siti Sianah dan Thamarat al-Muhimmmah.

Tidak ketinggalan 'pemahamannya' yang mendalam terhadap organisasi tarekat. Beliau adalah pengikut Tarekat Naqsyabandiah yang diterima dari Syeikh Ismail al-Minangkabawi.

Beliau juga merupakan seorang pengembang pemikiran fikah yang dibawa oleh Syeikh Daud ke Penyengat sehingga karya-karya ulama tersebut menjadi sumber rujukan terpenting.

''Raja Ali Haji menyebarkan ajaran fikah ini dengan cara yang lebih menarik iaitu melalui bentuk puisi.

''Penyebaran ini kurang menjemukan dan lebih lama terlekat di fikiran pendengar,'' ujar Prof. Abu Hassan.

Pemikiran yang paling ketara ialah mengenai pemerintahan dan ketatanegaraan. Pandangan-pandangan tentang aspek ini diketengahkan menerusi kitab Muqaddimah fi Intizam dan Thamarat al-Muhimmah yang begitu berpengaruh di Riau dan negeri-negeri naungannya.

Kitab-kitab ini memuatkan pemikirannya pelantikan raja, kriteria-kriteria seseorang bakal sultan penggantinya, corak pemerintahan, taat setia rakyat, putera mahkota dan sebagainya.

Paling menarik, meskipun mempunyai hubungan yang dekat dengan pegawai-pegawai Belanda di Penyengat, beliau tidak pernah memuji Barat secara berlebihan seperti Abdullah Munsyi. Raja Ali Haji tetap memandang tradisi Melayu dan Islam adalah yang terbaik.

utusan online


Pemikiran Raja Ali Haji Tentang Politik dan Pemerintahan
Oleh : Aswandi Syahri
 4 Mei 2013


Raja-Raja Melayu di Tanah Semenanjung 1897: Karya-karya Raja Ali tentang politik dan pemerintahan, menjadi bacaan wajib mereka. F-DOK/DOKUMEN ASWANDI SYAHRI


“…Bermula makna raja itu, jika dikata raja itu dengan makna khalifah yaitu khalifah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada mendirikan Islam dam menghukumkan akan segala hamba Allah dengan hukuman Quran dan Hadis dan Ijma’. Jika dikata raja itu dengan makna Sultan maka yaitu mengeraskan hukuman atas segala rakyatnya dengan hukuman yang adil, yang datang dari Allah dan rasulnya. Dan jika dikata raja itu dengan makna Imam, maka itu ikutan segala rakyatnya pada segala hukuman dan perintahnya dan tiada membawa kepada kufur dan maksiat…” (Raja Ali Haji: Tsamarat al-Muhimmah).

Nama Raja Ali Haji, dengan segera akan membawa ingatan kita kepada seorang budayawan, sastrawan, budayawan abad 19 dari Kerajaan Riau Lingga. Namun, karena keluasan pengetahuannya, seperti tergambarkan dari korpus besar karya-karyanya, ia juga merupakan seorang pandita, guru, dan pemikir konsep-konsep pemerintahan dan negara yang piawai.

Nukilan diatas, setidaknya dapat memberikan ilustrasi tentang konsep dan pemikirannya mengenai seorang raja, kepala negara, pemimpin yang ideal, yang dijabarkannya dalam sebuah kitab berjudul Tsamarat al-Muhimmah: sebuah kitab yang menjadi pegangan raja-raja Melayu di Riau dan beberapa negeri di Semenanjung pada abad ke-19.

Raja Ali Haji hidup di tengah suasana hiruk pikuk campur tangan kuasa-kuasa Barat yang telah mencekram kuat di Alam Melayu, termasuk Riau-Lingga, dan diperkeruh pula oleh pertelagahan serta kemerosotan wibawa pemerintahan tradisi karena pertelingkahan internal yang bekepanjangan di dalam tubuh kerajaan-kerajaan Melayu pasca jatuhnya Melaka dalam tahun 1511.

Sehingga tidaklah mengejutkan bila sejumlah peneliti dari dalam dan luar negeri melihat sejumlah karyanya dan pemikirannya sarat dengan gagasan untuk mengembalikan kegemilangan kerajaan Melayu, disamping sebagai bagaian dari reaksi terhadap zamannya yang berdepan-depan dengan rempuhan kolonialisme.

Gagasan Raja Ali Haji untuk untuk menata kembali sistem pemerintahan dan ketatanegeraan dan wibawa kerajaan-kerajaan Melayu telah dimulainya di Kerajaan Riau Lingga. Hal ini dimungkin karena selain sebagai salah seorang kerabat Yang Dipertuan Muda Riau, beliau juga adalah penasehat pemerintahan bagi dua orang Yang Dipertuan Muda Riau (Raja Ali Marhum Kantor dan Raja Abdullah Marhum Mursyid).

***
Gagasan besar Raja Ali Haji tentang konsep ideal seorang raja dan pemerintahan itu terangkum dalam dua tulisannya yang berkaitan dengan ketatanegaraan dan pemerintahan.

Pertama, sebuah risalah pendek berjudul, Muqadimma fi-Intizam al-wazaif al-Mulk Khususan illa-maulana wa-shahibbina Yang Dipertuan Muda Raja Ali al-Mudabbir li-al-biladi al-Riauwiyah wa-sairi da-iratihi. Berisikan nasehat dan petunjuk dalam menjalankan tugas-tugas pemerintahan yang khusus ditujukan kepada Raja Ali ibni Raja Ja’far atau Marhum Kantor yang juga saudara sepupunya, ketika menjabat Yang Dipertuan Muda Riau VIII. Risalah ini selesai ditulis pada tahun 1857 M. (Mahdini 2003; Hasan Junus 2002; dan Hasan Junus, et. all., 1996).

Kedua, adalah sebuah kitab yang berisikan penjabaran lebih luas dan mendalam atas risalah pendek Muqadimma fi-intizam, yang bejudul, Tsamarat al-Muhimmah Dhiayafatan lil Umrai wa-al-khubrai li-Ahl-al-Mahkamah yang diterjemahkannya menjadi Buah-Buahan yang Dicita-citakan Jadi Santapan bagi raja-raja dan bagi orang Besar-besar yang mepunyai pekerjaan dalam Tempat Berhukum (Hasan Junus 2002).

Tsamarat al-Muhimmah berisikan akumulasi pemikiran Raja Ali Haji tentang konsep-konsep dan pandangannya tentang kedudukan raja dan pemerintahan. Selesai ditulis pada bulan Maret 1859: Tepat tujuh belas bulan setelah pemakzulan Sultan Mahmud Muzafarsyah pada bulan Oktober 1857, yang kemudian menimbulkan kegemparan, sehinggalah pecah pemberontakan atas nama Sultan Mahmud yang dipimpin oleh Panglima Sulung di Reteh.

Menurut Barbara Watson dan Virginia Matheson, ada kaitkelindan antara sebab-sebab pemakzulan Sultan Mahmud Muzafarsyah oleh Belanda dengan keputusan Raja Ali Haji menulis Tsamarat al-Muhimmah (Barbara Watson dan Virginia Matheson, 1983). Apalagi, beliau sendiri ‘terlibat’ proses pemakzulan itu. Mengapa?

Di dalam Tsamarat al-Muhimmah, dengan tegas raja Ali Haji mengatakan bahawa seorang raja (baca pemimpin) yang jauh antara agama dan perbuatannya, tidak memperhatikan kebutuhan masyarakatnya, dan gagal memperbaiki nasib mereka, tidak dapat diterima sebagai penguasa lagi.

Jabatannya akan diberikan kepada ‘yang lebih tepat’.
Sebagai seorang negarawan sekaligus cendekiawan penggagas konsep baru dalam pemerintahan raja-raja Melayu di kawasan Selat Melaka, kepiawaian Raja Ali Haji dalam bidang ini, antarala lain juga sangat menentukan pembentukan Kesultanan Johor yang baru di bawah Temenggung, pasca Traktat London 1824 yang membelah bagi kerajaan Johor, Riang, Lingga dan Pahang sebagai taluk Inggris dan Belanda.
Beliaulah yang menjadi ‘tempat bertanya’, ‘pemberi legitimasi’, serta “referensi politik’ ketika Temenggung Abubakar dari Singapura mengirim serombongan utusan yang dipimpin oleh Ungku Haji Mohammad bin Ungku Haji Abdullah dan Datuk Bendahara Jaafar Haji Mohammad ke Pulau Penyengat pada bulan April 1868.

Kepada Raja Ali Haji utusan itu menanyakan perihal kemungkinan Johor berdiri sendiri sebagai sebuah kerajaan; tentang tata pemerintahan dan ‘Aturan Melayu’, perijal aturan-aturan istana, dan boleh tidaknya Temenggung Abukabakar memakai gelar Sultan (M.A. Fauzi Basri, 1983; Virgiania Matheson, 1985).

Selain menjawab pertanyaan-pertanyaan yang diajukan oleh utusan Temenggung Johor itu, Raja Ali Haji juga meminjam sejumlah kitab (termasuk Muqaddima fi-Intizam dan Tsamarat al-Muhimmah) untuk ditelaah sebagai rujukan, serta menunjukkan ‘jalan’ Temenggung Abu Bakar memerintah dengan memakai menggunakan gelar kebesaran Maharaja.

Sebagai bukti atas dukungan ‘politiknya’, Raja Ali Haji juga hadir dalam istiadat penabalan Temenggung Abu Bakar sebagai Maharaja Johor di Teluk Belanga, Singapura pada 30 Juni 1868.
***

Beberapa ilustrasi diatas, lebih dari cukup untuk menunjukkan sosok Raja Ali Haji sebagai seorang cendekiawan yang tidak kecil sumbangannya dalam bidang politik dan pemerintahan sebuah tradisi Melayu di masa lalu.

Sebagai ilustrasi, menurut Abu Hasan Syam, kitab Tsamarat al-Muhimmah menjadi bacaan wajib bagi Sultan-Sultan Terengganu di Semanjung pada akhir abad ke-19. Dan dalam kekinian kita di Kepulauan Riau, gagasan dan konsep Raja Ali Haji tentang politik dan pemerintahan yang ideal itu tentu layak dan patut pula dicermati sari patinya.

Dalam hal menembus perubahan dan perkembangan zaman, gagasan dan pemikiran Raja Ali Haji memiliki dinamika pemikiran yang cukup signifikan dibanding teks-teks Melayu lainnya yang sejenis, seperti, Taj al-Salatin (Mahkota Raja-Raja), Sulalat al-Salatin, dan Bustan al-Salattin, yang lebih tua.

Perbedaan yang cukup berarti ini dimungkinkan karena latar belakang intelektual Raja Ali Haji yang kompleks. Jika teks-teks Melayu sebelumnya tentang politik dan pemerintahan menggunakan pendekatan tasawuf atau sufi dalam mengupas konsep politi dan pemerinthan, maka Raja Ali Haji lebih bertumpu pada pendekatan fikih (hukum).

Dari sisi ini, pemikiran Raja Ali Haji tentang politik dan pemerintahan tradisi dapat disandingkan-bandingkan dengan teori-teori modern tentang politik dan pemerintahan moderen (Mahdini, 2003). ***

tanjungpinangpos


Perpaduan Dalam Drama Noordin Hassan


Wacana Ilmu “Pencarian Perpaduan dalam Drama SN Datuk Noordin Hassan”

Oleh ADNAN ABD JAMIL

Wacana Ilmu yang berjudul “Pencarian Perpaduan dalam Drama Sasterawan Negara, Datuk Noordin Hassan” telah diadakan di Sanggar Za’ba, Dewan Bahasa dan Pustaka pada 27 Mac 2015 yang lalu.

Wacana Ilmu ini telah disampaikan oleh YBhg. Datin Seri Fatimah Ali, mantan Pensyarah Teknologi Pendidikan di Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau juga mantan Pensyarah Tamadun Islam & Tamadun Asia di Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan USM.
Wacana Ilmu


YBhg. Datin Seri Fatimah Ali menyampaikan wacana ilmu.

Datin Seri Fatimah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Universiti Malaya); Ijazah Sarjana Pendidikan (University of the Philippines); Sijil Khas Pengurusan Teknologi Pendidikan (International Training Institute, Sydney) dan Sarjana Sastera (Temple University, Philadelphia, USA). Kini, beliau Pengarah Eksekutif, Q PlusEducare Center, Pulau Pinang. Beliau banyak menulis tentang kesenian dari perspektif Islam dan tentang karya drama dan teater Sasterawan Negara, Noordin Hassan.

Wacana tersebut turut dihadiri oleh Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan serta para karyawan sastera. Datin Seri Fatimah berkata, karya yang dibincangkan – Bukan Lalang Ditiup Angin; Anak Tanjung dan Mana Setangginya? – memperlihatkan Noordin Hassan bergelut dengan isu kepelbagaian etnik dan perpaduan nasional dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara yang mempunyai liku-liku sejarah politik dan kompleksiti kependudukan yang tersendiri.
Wacana Ilmu III


Wacana tersebut turut dihadiri oleh Sasterawan Negara, Datuk Anwar Ridhwan serta para karyawan sastera.

Secara struktural, drama dan teater Noordin tidak menurut bentuk konvensional. Karya Noordin lebih bersifat modular, episodik, multifokal, multimedia, dan sedikit abstrak ala arabesque.

Menurut beliau lagi, sebagai seniman Muslim inovatif, Noordin mempelopori – apa yang diistilahkan sebagai teater fitrah – teater yang cuba mengembalikan manusia kepada fitrahnya yang asal, iaitu sebagai hamba dan khalifah Allah.

Bukan Lalang Ditiup Angin merupakan karya pertama Noordin yang amat inovatif dan memecah tradisi atau kebiasaan drama dan teater Melayu. Karya ini bersifat modular dan eklektik dengan tema yang serius dan provokatif. Di dalamnya tertonjol isu sosioekonomi sekumpulan petani yang tertindas di kampung sendiri; dan isu pemimpin kampung yang tidak cekap menangani masalah penduduk.

Di sini, Noordin mengemukakan dua isu yang saling berkait iaitu jurang perbezaan antara yang kaya dengan yang miskin serta sikap “tidak apa” golongan miskin terhadap masalah kehidupan mereka.

Drama Anak Tanjung merupakan karya yang indah dan penting. Karya ini merupakan batu tanda dalam perkembangan persepsi Noordin terhadap perhubungan inter-etnik di Malaysia dan konsepsinya terhadap perpaduan kaum.

Anak Tanjung menonjolkan keharmonian kaum dan ikatan yang kukuh antara kaum Melayu dengan kaum Cina. Melalui teknik “lakonan dalam lakonan”, Noordin menampilkan sebuah keluarga Cina yang hidup damai dalam kampung nelayan Melayu semasa zaman penjajahan Inggeris dan semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Setelah menghasilkan karya yang inovatif dan indah, muncul pula karya Noordin yang kontroversial – Mana Setangginya? Karya ini bertemakan kezaliman, korupsi, pemerkosaan dan kemusnahan, berlatarkan keagamaan.


Para pelajar universiti turut menghadiri wacana ilmu tersebut.

Melalui tiga buah karya yang dibincangkan, jelaslah bahawa Noordin menonjolkan tema pencarian atau pembinaan perpaduan nasional. Perpaduan nasional dan identiti kebangsaan bukanlah usaha atau idea yang mudah, mamun dapat disuburkan. Sentimen etnik, budaya dan agama perlu dibendung dan pada masa yang sama, usaha memahami agama dan budaya rakan senegara mestilah dipertingkatkan.

“Kepelbagaian etnik dan agama dapat membawa masalah kepada kestabilan dan perkembangan negara, namun bagi Noordin, sekiranya isu tersebut diuruskan dengan baik dan jujur, ia dapat menjadi aset yang amat berharga kepada negara,” kata Datin Seri Fatimah, mengakhiri wacananya.

klikweb

29 Apr 2015

Pasrah






Ahmad Kotot

Biografi Ahmad Kotot


Ahmad Kotot (lahir 10 Jun 1894 di Kampung Licok, Mukim Tanjung Besar, Kuala Lipis, Pahang) merupakan penulis Melayu di Malaysia sebelum Perang Dunia Kedua. Sebagai guru, wartawan dan penulis, beliau menggunakan nama samaran seperti nama pena A.N.P., Damba, ABKA Pahang, Alif Ba Ta, Ahmad Batu Talam, Anak Negeri Pahang, Intan Dikarang Di Negeri Pahang dan Malim Karimun. Selepas bersara, beliau menetap di Kampung Damak, Jerantut.

Pendidikan dan kerjaya

Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Tanjung Besar, Kuala Lipis (1909-1914) dan lulus darjah lima.Ahmad Kotot pernah menjadi guru sementara di Sekolah Melayu Tanjung Besar dan Sekolah Melayu Batu Yon, Kuala Lipis. Dari 1916-1918 menerima latihan perguruan di Maktab Perguruan Melayu Melaka. Beliau juga pernah menjadi guru besar beberapa buah sekolah dari 1919 hingga 1941. Prof Abu Bakar Hamid berpendapat bahawa nama Ahmad Kotot tidak dikenali mungkin kerana tidak berasal dari Maktab Perguruan Tanjung Malim. Pengetua maktab tersebut ialah OT. Dussek dan selalu sahaja berlaku 'perselisihan' dengan pengetuanya itu lantaran semangat kebangsaan dan latar belakangnya dari kampung pedalaman. Dia keluar dari maktab itu tanpa sebarang diploma. Sebagai guru, dia selalu dihantar ke sekolah terpencil seperti di Kuala Lipis, Raub dan Jerantut namun tetap mengikuti perkembangan persuratan.

Sejak menjadi guru pada 1919, beliau menghantar berita-berita daerahnya untuk majalah Lembaga Melayu yang diterbitkan di Singapura. Majalah ini menjadi bahan bacaan kanak-kanak di sekolah-sekolah Melayu.Beliau menjadi ahli Persatuan Sahabat Pena Malaya dan pernah mencadangkan agar 'Kamus Umum Melayu Raya' ditulis .Beliau juga banyak menulis dalam Majalah Guru.

Pada 1950-an, dia menjadi wartawan sambilan dengan akhbar Berita Harian.Selepas bersara, dia memulakan perniagaan kecil di Jerantut dan sering bercerita kepada kanak-kanak dan 'tukang borak' kepada sesiapa sahaja yang sudi mendengarnya. Beliau meninggal dunia pada 24 Januari 1993 pada usia 99 tahun.

Antara cerpennya ialah Bapa Tiri dan Anak Tiri, Hikayat Perang Mambang dengan Usul di Kota Gelangi Pahang dan Sejarah Tanjung Besar Kuala Lipis.

Anugerah

Yayasan Pahang pada tahun 1984 telah menganugerahkan kepadanya Anugerah Sastera. Pada tahun 1984 juga beliau dipilih menjadi Tokoh Guru Peringkat Kebangsaan.

Dalam Muzium Pahang di Kuantan ada sudut sejarah beliau sebagai penulis novel Pahang. Dr Anwar Ridhwan dari DBP juga telah mengkaji tokoh ini dalam bukunya 'Ahmad Kotot: Penulis Novel Hikayat'.

Karya

Berdasarkan rekod perkhidmatannya, besar kemungkinan novel terkenalnya, Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan, mula ditulis sama ada dalam akhir perkhidmatannya di Sekolah Melayu Batu Talam, Raub (1925) ataupun dalam tahun awal perkhidmatannya di Sekolah Melayu Kampung Baru, Kuantan (1926).Novel ini diterbitkan pada 1927 di Seremban oleh penerbit Al Matba'ah al Rauthah Al-Islam wa Syurakah dengan 1000 naskah dan diterbitkan semula oleh DBP pada 1975. Cetakan pertama novel ini terdiri dari dua penggal . Penggal pertama 100 halaman diterbitkan pada 1927. Penggal kedua setebal 169 halaman diterbitkan pada 1928. Novel-novel zaman itu diterbitkan bberapa penggal.

Novel ini adalah yang pertama dan satu-satunya novel yang berjaya diterbitkan. Seperti lazim zamannya, novel ini mempunyai tajuk kedua iaitu 'Yazid asyik berahi Akan Masyuknya Zamrud'.

Laporan dari Majalah Guru menyatakan novel bertajuk 'Hikayat Malim Kerimun' sedang dalam percetakan , tetapi menurut Ahmad Kotot novel itu tidak pernah diterbitkan. Pada 1931, buku 'Hikayat Perang Mambang Dengan Usul di Kota Gelanggi, Pahang' diterbitkan.Buku ini membentangkan cerita rakyat yang popular di kampungnya. Pada 1936, bukunya 'Sejarah Tanjung Besar Kuala Lipis Pahang' telah diterbitkan.

Novel ini ditulis dalam tulisan Jawi tetapi pada 1975 , DBP telah menerbitkan semula dalam tulisan Rumi. Kongres Persuratan Melayu seMalaya pada 1952 di Seremban memutuskan untuk menjadikan tulisan Rumi sebagai tulisan rasmi dengan tidak menghapuskan tulisan Jawi sehingga masa akan menentukannya. Pendita Zaaba memainkan peranan penting ketika itu.
Sinopsis novel

Ahmad Kotot menerangkan tujuannya menulis novel ini ialah agar anak-anak muda suka membaca dan mendidik pembacanya. Pengenalan novel beliau ini berbeza dengan teknik pengenalan dalam novel 'Hikayat Faridah Hanom' (1928) .Beliau memulakan novel dengan bab 'Peringatan pengarang yang ikhlas' .

Novel ini adalah sebuah novel ala Hikayat Faridah Hanom. Ia mengisahkan percintaan seorang anak teruna bernama Yazid dengan seorang janda muda dan cantik bernama Zamrud.Pertemuan bermula di sebuah majlis perkahwinan di kampungnya. Ramai pemuda tergila-gila kepada janda muda ini dan pelbagai halangan terpaksa ditempuh. Yazid terpaksa meyakinkan keluarganya agar menerima janda tersebut. Yazid mencari helah untuk bertemu dan menduga hati janda tersebut dengan membeli kain dari seorang makcik dan meminta Zamrud menjahitnya. Zamrud setuju , sebagai tanda perkenalan mereka seterusnya.

Novel ini menyelitkan syair pertemuan 'malam pertemuan pertama' sebagaimana 'Hikayat Faridah Hanom' karya Sayid Syeikh al-Hadi . Selain itu terdapat tiga 'surat' antara Yazid dengan ayahnya Haji Halim, surat kepada Malim Kerimun dan surat dari Haji Halim kepada anaknya itu.

wikipedia

Ini adalah catatan yang dipetik dari fb Ahmad Said berkenaan Ahmad Kotot



Terharu membaca kisah Ahmad Kotot!

Roslan menulis: “Tidak ada kerusi meja, apatah perabot-perabot yang lain. Cuma beberapa biji pinggan mangkuk plastik, belanga buruk dan beberapa timbunan kertas yang tidak tersusun dan dijaga. Pasti ianya berharga, jika tidak pasti sudah dimusnahkan.”

Ahmad Kotot (nama-nama samaran: Alif, Ba, Ta’; Malim Karimun; Intan Dikarang di Negeri Pahang; ABKA; A.N.P. Damha; Anak Negeri Pahang; ) lahir pada 10 Jun 1894 (atau 1898 atau 1901) dan bersekolah Melayu Kampung Tanjung Besar, Kuala Lipis pada tahun 1908, (iaitu ketika beliau berusia 11 tahun!). Di sekolah beliau mempelajari mata-mata pelajaran Rumi, Jawi, Kira-kira, Ilmu Alam, Karangan dan Kesihatan. Beliau tamat Darjah Lima pada tahun 1914 lalu menjadi Guru Pelatih bergaji $9.00 sebulan. Dia memasuki Maktab Melayu Melaka pada tahun 1916. Gaji sebagai guru pada tahun 1918 yang diterimanya ialah $15.00 sebulan. Beliau menjadi Guru Besar Sekolah Melayu Batu Talam pada Januari 1919 dengan gaji $22.00 sebulan. Dia bersara pada tahun 1949, di Sekolah Melayu Kampung Bharu, Kuala Lipis ketika berusia 55 tahun berdasarkan tarikh lahir rasminya.

Semasa masih belajar di sekolah dia suka membaca akhbar “Neraca” (Singapura) yang dilanggani sekolahnya. Salah sebuah buku yang paling seronok dibacanya ialah “Dua Ekor Rusa Sakit”. Karya beliau, “Hikayat Percintaan Kasih Kemudaan” selesai ditulis pada tahun 1927. Harga novel itu cetakan pertama ialah 50 sen dan cetakan kedua tahun 1928, 80 sen, kerana lebih tebal, 169 muka surat berbanding 100 muka surat bagi cetakan pertama. Buku ini dicetak semula oleh Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1975. Buku-buku beliau yang lain berunsur penglipur lara iaitu “Hikayat Perang Mambang dengan Usul Kota Gelanggi” (1931); dan “Sejarah Tanjung Besar” (1936).

Beliau adalah Tokoh Guru Daerah Jerantut 1984 (1982?), Tokoh Guru Pahang 1984 dan Tokoh Guru Kebangsaan 1986 (1985?).

Ketika ditemubual oleh Roslan B, pada tahun 1987, Ahmad Kotot telah berusia 89 tahun, jika mengambil kira tarikh lahir yang diakui beliau sendiri (walaupun dalam rencana Roslan dikatakan 92 tahun berdasarkan tarikh lahir tercatat dalam kad pengenalannya). Keadaan kehidupan beliau daif dengan pencen bulanan $240.00.

Beliau meninggal dunia pada 24 Januari 1993, berumur hampir-hampir 100 tahun.

Rujukan:
1. Roslan B, “Derita Seorang Tokoh Guru”, Mastika, Februari 1987, muka surat 26-27.
2. WAJAH, edisi ketiga, cetakan pertama, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005, muka surat 145-149.
3. Virgini Matheson, “Mencipta Masyarakat Baru Perubahan Sosial Menerusi Novel Melayu”, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2003, cetakan pertama.

26 Apr 2015

stay strong nepal














Rahim Kajai : Tokoh Pelancongan Koperasi Sekolah

Jasa Rahim Kajai Kepada Negara
TARMIZI ABDUL RAHIM
25 April 2015 1:25 AM


AZIZ Ishak, Kamarudin Ismail dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Hassan Mohd. Noor (barisan belakang tengah) bergambar kenangan bersama-sama guru pengiring dan pelajar sekitar Kuala Lumpur pada majlis perasmian Program Bicara Tokoh Wilayah Persekutuan - Abdul Rahim Kajai 2015 anjuran Angkasa dengan kerjasama Utusan Malaysia di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

NAMANYA Tanah Melayu tetapi status pemiliknya tidak sehebat namanya. Secara amnya era antara 1900 hingga jatuhnya Jepun di Tanah Melayu pada 1945, bangsa Melayu yang bahasanya pernah menjadi lingua-franca, serba kekurangan dalam segenap segi.

Penjajah terus bermaharajalela, kebebasan dan hak penduduk pribumi terus ditindas, natijahnya Melayu terus menjadi sejuk beku, takut untuk menyuarakan hak mereka, jauh sekali untuk bangkit memajukan diri sendiri.

Pada masa inilah munculnya tokoh penulis, Abdul Rahim Salim atau lebih dikenali sebagai Rahim Kajai yang memberikan sumbangan besar kepada negara dengan menggunakan platform kewartawanan bagi melahirkan pemikiran yang merintis perjuangan penduduk tempatan untuk meningkatkan kesedaran menentang dasar kolonialisme British.

Gelaran Kajai adalah bersempena dengan tempat kelahiran kedua-dua ibu bapanya dari Kajai, Minangkabau, Indonesia. Rahim Kajai dianggap tokoh penting pada tahun-tahun 1930-40 an yang wujud pada zaman tersebut kerana masih kurangnya individu lain pada masa itu yang berani mengemukakan pandangan terbuka untuk membela kaumnya agar berani memajukan diri.

Keberanian dan kelantangan beliau yang dilahirkan di Setapak, Kuala Lumpur pada 1894, dalam memperjuangkan martabat Melayu begitu menonjol semasa mengetuai akhbar Utusan Melayu sebagai Ke­tua Pengarang pada 1939.

Menurut Pengarah Muzium Wa­risan Akademik, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Mohd. Samsudin, Rahim Kajai ialah seorang pendebat dan ahli polemik yang u­lung dalam zamannya, malah sering diperkatakan dalam kalangan wartawan pada masa itu kerana beliau tidak pernah kalah dalam perdebatan dengan pengarang-pengarang akhbar lain melalui lidah pengarang.

Katanya, pada masa itu akhbar Melayu memainkan peranan utama mencetuskan kesedaran kepada bangsa itu de­ngan menceritakan kehidupan dan masalah yang dihadapi oleh orang Melayu sebelum dikupas secara mendalam termasuk punca-punca kelemahan bangsa itu dan masalah yang disebabkan oleh dasar British.

“Lama-kelamaan akhbar telah menjadi medan bagi para wartawan dan pembaca bertemu bagi membincangkan masalah yang dilihat mereka. Setiap masalah dikupas secara mendalam dan membina kematangan pembaca mengenai sesuatu permasalahan. Akibatnya berlakulah perubahan yang besar dalam bidang akhbar Melayu - bilangan pembacanya bertambah, pembaca memberikan pandangan mereka, wartawan yang juga penulis menjadi lebih yakin dan dikenali ramai.

“Rahim Kajai antara yang paling ghairah berdebat bukan sahaja de­ngan pengarang-pengarang akhbar lain tetapi juga dengan tokoh-tokoh agama dan pemimpin-pemimpin masyarakat. Beliau menceburkan diri dalam kontroversi soal-soal agama di zamannya. Pendirian dan kefahamannya adalah agama Islam harus dihayati demi mengangkat darjat bangsa Melayu untuk kemajuan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Bicara Tokoh Pelancongan Koperasi Sekolah (PKS) Wilayah Persekutuan, Abdul Rahim Kajai, Bapa Kewartawanan Melayu Moden dan Bengkel Keusahawanan Dalam Bidang Kewartawanan di Dewan Besar Utusan, Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Majlis anjuran Ang­katan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) itu turut dihadiri oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Naib Presiden Angkasa, Kamaruddin Ismail.

Sementara itu, Ka­maruddin menjelaskan bahawa program Bicara Tokoh itu bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk mendapatkan informasi mengenai tokoh yang dipilih pihak koperasi sekolah yang terlibat dengan PKS itu.

Katanya, tujuan utama PKS di perkenalkan ialah melatih koperasi-koperasi sekolah menganjurkan pakej pelancongan bermanfaat di samping mewujudkan budaya keusahawanan dan menjana pendapatan koperasi melalui projek tersebut.

“Setiap negeri akan memper­kenalkan tokoh sejarawan negara dengan cara membuat lawatan di lokasi-lokasi yang terlibat. Abdul Rahim Kajai dipilih di peringkat Wilayah Persekutuan dan kita wajibkan mereka untuk membuat lawatan di Utusan kerana tokoh tersebut begitu sinonim dengan Utusan Melayu pada ketika dahulu sehingga melahirkan ramai wartawan berwibawa,” katanya.

Program PKS yang berkonsepkan hos dan tamu diilhamkan oleh bekas Yang Dipertua Angkasa, Prof. Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid. Pelaksanaan projek ini yang diperkenalkan secara rasmi pada 2003 bertujuan memberi peluang kepada pelajar untuk belajar dan mendapat pengalaman secara langsung dalam merancang, mengurus dan melaksanakan PKS dengan sokongan dan galakan pengetua, guru-guru koperasi, ibu bapa dan bimbingan serta latihan daripada Angkasa.

Melalui PKS terdapat fokus subjek iaitu tokoh yang memberikan sumbangan besar kepada bidang pendidikan yang mempunyai hasil penulisan, mendapat pengiktirafan atas sumbangan dan jasa; lawatan ke tempat bersejarah yang boleh menimbulkan semangat patriotik dalam kalangan pelajar yang me­nyertai projek tersebut.

Setiap negeri akan memperkenalkan tokoh sejarawan negara dengan cara membuat lawatan di lokasi-lokasi yang terlibat seperti tempat kelahiran dan sekolah tokoh ber­kenaan menimba ilmu. Pelaksanaannya akan menimbulkan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai sumbangan tokoh terbabit kepada agama, bangsa dan negara apabila peserta terbabit mengetahui mengenai apa yang diperjuangkan oleh tokoh yang dipilih.

Antara tokoh yang ditonjolkan dalam PKS ialah Zainal Abidin Ahmad (Za’ba) di Negeri Sembilan, Aminuddin Baki di Perak, Ishak Muhammad (Pak Sako) di Pahang dan Abdullah Abdul Kadir Munsyi (Munsyi Abdullah) di Melaka.

utusan online



Kenali sejarawan negara
Perkenal tokoh Abdul Rahim Kajai kepada pelajar
MAISARAH SHEIKH RAHIM
23 April 2015 

ABDUL AZIZ ISHAK (tengah) meluangkan masa melawat tapak pameran Angkasa sambil diiringi Kamaruddin Ismail (dua dari kiri) ketika hadir dalam Majlis Bicara Tokoh Pelancongan Koperasi Sekolah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Besar Utusan, Kuala Lumpur, semalam.


PEGAWAI Pelajaran Angkasa, Mohd. Hishamizan Yahya (kiri) bersama guru, Mariani Abdul Rahman (tiga dari kiri) dan Salila Shahar (belakang, kiri) serta pelajar berkongsi maklumat mengenai Abdul Rahim Kajai dalam Program Bicara Tokoh Pelancongan Koperasi Sekolah Wilayah Persekutuan-Abdul Rahim Kajai di Dewan Besar Utusan, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 22 April - Golongan pelajar berpeluang mengenali lebih dekat tokoh sejarawan negara melalui program bicara tokoh yang diinisiatifkan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) di bawah projek Pelancongan Koperasi Sekolah.

Program yang telah dilaksanakan sejak tahun 2002 itu buat julung kali menjalin kerjasama dengan syarikat Utusan Melayu (M) Berhad pada tahun ini dengan memperkenalkan Bapa Kewartawanan Melayu Moden, Abdul Rahim Kajai yang begitu sinonim dengan syarikat akhbar tersebut.

Menurut Naib Presiden Angkasa, Kamaruddin Ismail, program ber­kenaan bertujuan memberi pendedahan kepada pelajar untuk mendapatkan informasi mengenai tokoh yang dipilih pihak koperasi sekolah yang terlibat dengan projek itu.

“Angkasa memperkenalkan program seumpama ini untuk melatih koperasi-koperasi sekolah menganjurkan pakej pelancongan bermanfaat di samping mewujudkan budaya keusahawanan dan menjana pendapatan koperasi melalui projek tersebut.

“Setiap negeri akan memper­kenalkan tokoh sejarawan negara dengan cara membuat lawatan di lokasi-lokasi yang terlibat. Abdul Rahim Kajai dipilih di peringkat Wilayah Persekutuan dan kita wajibkan mereka untuk membuat lawatan di Utusan kerana tokoh tersebut begitu sinonim dengan Utusan Melayu pada ketika dahulu sehingga melahirkan ramai wartawan berwibawa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas program perasmian program itu di ibu pejabat Utusan Melayu (M) Berhad, di sini hari ini.

Program yang dirasmikan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak turut dihadiri Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor; Penolong Pengarang Utusan Malaysia, Zulkifli Hamzah dan Pengarang Pendidikan Utusan Malaysia, Wahid Hashim.

Seramai 200 pelajar dari 50 sekolah sekitar Wilayah Persekutuan menyertai program yang dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan dan Kumpulan Utusan.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, sebanyak 413 sekolah telah menyertai projek bimbingan Angkasa itu sehingga mampu menjana pendapatan mencecah RM40,000.

Kata beliau, para pelajar diberi peluang untuk mengendalikan sendiri projek itu dengan memperkenalkan pakej pelancongan masing-masing untuk disertai sekolah-sekolah negeri lain.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata, Kumpulan Utusan amat berbesar hati dengan keyakinan yang diberikan Angkasa untuk bekerjasama dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) agensi itu.

Katanya, program tersebut sangat bermanfaat untuk memberi maklumat kepada pelajar mengenai jati diri, sejarah kenegaraan dan kewartawanan melalui penonjolan tokoh negarawan yang dipilih.

“Pakej yang diperkenalkan ini amat baik kerana mampu mendedahkan pelajar tentang keperibadian yang dimiliki Abdul Rahim Kajai, bagaimana beliau mempunyai keyakinan tinggi melawan penjajah melalui tulisannya.

“Program sebegini boleh dikembangkan di peringkat kolej atau universiti pula kerana pengajian sejarah menjadi lebih menarik jika didedahkan di lapangan berbanding memahami teori dan pembacaan semata-mata,” katanya.

utusan online

rossa di istana budaya


Agungnya sebuah kasih sememangnya tidak berbelah bagi dan tiada batasannya, kerana ianya adalah milik semua. Cinta bukan datang hanya dari golongan artis, hartawan dan dermawan malah tidak mungkin ianya hak milik pihak tertentu sahaja. Akan tetapi Rahsia KEAJAIBAN CINTA ditujukan khusus buat semua golongan perempuan yang menyambut Hari Ibu di seluruh dunia. Rahsia kasih dan sayang kepada perempuan yang bergelar ibu harus ada di sanubari kita semua", kata Dato' Rossa (Sri Rossa Roslaina Handiyani), Penyanyi Nombor 1 Indonesia yang akan membuat persembahan utama MALAM KEAJAIBAN CINTA yang dijadualkan pada 22hb dan 23hb Mei 2015 bermula jam 8:00 malam bertempat di Panggung Sari Istana Budaya.

Persembahan istimewa pada malam itu nanti pasti akan memukau para hadirin. Acara yang telah disusun pada malam itu akan menjanjikan suatu persembahan unggul yang tidak dapat dilupakan oleh tetamu MALAM KEAJAIBAN CINTA yang hadir.

Malam Keajaiban Cinta sangat besar nilainya kerana Dato' Rossa merupakan Artis Wanita Solo Pertama Indonesia yang membuat persembahan di Pentas Istana Budaya dalam sejarah penubuhan Istana Budaya.

Tiket untuk menonton persembahan ini boleh didapati secara online di www.AirAsiaRedtix.com dengan harga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518. Harga ini tidak termasuk caj GST.

Selain itu tiket boleh dibeli di Rock Corner The Gardens, KLCC, Subang Parade dan The Curve. Tiket juga dijual di Victoria Music di Sg.Wang, Amcorp Mall, dan Tropicana Mall serta di Box Office Istana Budaya. Bagi pembelian di Pulau Pinang pula, tiket boleh didapati di di Artist Gallery, Gurney Plaza dan Artist Gallery, Queensbay Mall.

sumber 




Artis Baharu Tidak Buat Rossa Tergugat
Oleh: FERIDE HIKMET ATAK
24 April 2015 

KUALA LUMPUR: Penyanyi Indonesia Datuk Rossa menyifatkan kehadiran bakat-bakat baharu di negaranya tidak pernah menggugat dia sebagai seorang penghibur popular.

Rossa atau nama sebenar Sri Rossa Roslaina Handiyani berkata, dia tidak perlu berasa takut untuk bersaing memandangkan sudah mempunyai liga yang tersendiri.

"Pengalaman saya jauh lebih besar daripada penyanyi-penyanyi muda sekarang dan saya tidak perlu takut dengan mereka.

"Sebaliknya saya anggap ia satu saingan yang sihat tambah pula penyanyi-penyanyi muda zaman sekarang mempunyai gaya nyanyian yang unik dan tersendiri," katanya.

Rossa ditemui pada majlis pelancaran konsert solonya Malam Keajaiban Cinta di Istana Budaya di sini pada Khamis.

Hadir sama Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani.
Rossa (bawah - dua dari kanan) bersama mereka yang terlibat dalam konsertnya yang bakal berlangsung pada Mei depan.
Dalam pada itu tambah penyanyi yang popular dengan lagu Tegar ini, kehadiran penyanyi-penyanyi baharu juga memberikan inspirasi dalam memperbaiki lagi mutu persembahannya.

Sementara itu, mengenai konsert Malam Keajaiban Cinta, ia bakal berlangsung pada 22 dan 23 Mei depan di Panggung Sari, Istana Budaya.

Rossa merupakan penyanyi Indonesia pertama mengadakan konsert solo di pentas bertaraf berprestij itu.

"Saya terkejut apabila pihak Istana Budaya menghubungi saya menawarkan mengadakan konsert di pentas berprestij itu.

"Ia satu penghargaan besar dan semestinya saya mahu tampil dengan kelainan berbanding persembahan-persembahan saya sebelum ini," ujarnya.

Konsert tersebut dianjurkan oleh Airish Events dengan kerjasama Mask Team.

Tiket dijual dengan harga RM78, RM108, RM218, RM238, RM258, RM278, RM338 dan RM518.

Ia boleh ditempah menerusi laman rasmi www.airasiaredtix.com

mstar online


25 Apr 2015

kau dan aku (cerita jiwa)

kaudanaku

kau dan aku

banyak kata-kata yang terlontar di bibir
atau terdiam menjadi usik jiwa di pantai kalbu
semua itu memberi warna dan  garis
untuk menjadi pedoman dan teladan
membakar semangat dan hasrat
dan menjadi inspirasi
yang bermakna untuk minda dan jiwa

semua yang menjadi cerita jiwa
jika dilontarkan
barangkali ada yang memberi bekas
iktibar dan suluh
dalam liku dan redup denai hidup
merungkai segala sukar
melerai segala kusut
ia semakin memaknakan 
ruang dan waktu
yang seringkali kita hirup ini

KAU DAN AKU
merupakan ungkap jiwa
kata inspiratif
dialog minda
yang barangkali membawa
setidaknya setitik makna
untuk kita bersama

ikutilah siri kau dan aku
di sini

ikhlas
mimbar kata

baca kembali :


kaudanaku

24 Apr 2015

kepada sahabat


kepada sahabat

bukan mudah menatap bayang-bayang
yang ditinggalkan cahaya petang
 kerana malam akan sekejap tiba
menutup segala membawa semua
begitu diam
ruang yang ditinggalkan
tapak-tapak kenangan berjalan perlahan
dari sudut ke sudut
dan kau akan meminum sepi sendirian
membasuh sunyi
dengan berdiri dan menyaksi daun-daun kenangan
berguguran

bukan semua mudah melepaskan
kerana cinta adalah segala yang ditemukan
dalam ketawa, dalam senda, dalam diam
dalam tangis, dalam marah, 
dalam segala yang menyerap ke dalam
telaga jiwa
segala itu adalah untuk hidup bersama

bukan mudah menutup bayang-bayang
yang masih berselerak  di segenap ruang
kaurelakanlah segala itu
kesayupan dan kejauhan 
akan menggoda pantai kalbumu
relakanlah kepergian itu
kerana tuhan telah memilih 
kau akan menyaksi
kesenyapan
membawanya pergi

aduhai teman
hadapilah luka
dengan segala bara jiwamu
tuhan akan selalu bersama
mempermudahkan jalanmu








 


kau dan aku iv

ketika semuanya tersungkur
usah kau anggap segalanya musnah
rintihan tak membawa kita ke mana-mana
kau akan luka
tapi kita harus menjalani lagi
ruang dan waktu
sabdakanlah pada dirimu
kau harus bangun dan membersihkan
kepenatan dan kelelahan
usah memilih jalan pudar itu
kau masih memiliki
suara dan jiwa
perjuangan belum muktamad

kita harus berani berada
di tempat lebih jauh di tempat lebih asing
kebiasaan hanya memberi kita 
segenggam pengalaman yang semakin pudar
keasingan menjadi kita lebih
berhati-hati dan waspada
usah kau gusat pada keasingan
kerana di situ
kau akan memeta pengalaman
dan jalan terbaik dirimu


masa yang sangat berharga bagi kita
adalah ketika semuanya akan berakhir
kerana kita tahu
sesudah ini segalanya tiada lagi
cahaya akan pergi dan warna akan usai
mengapa tidak jadikan saja
waktu dan ruang yang kita miliki
masa yang sangat berharga
dan begitu sempurna kita menjaganya


kau harus sesekali menoleh
ke dalam kenangan
kerana di situ kau belajar
menghargai masa depan

Membaca : Buku Landasan

Buku Landasan adalah sebuah gerakan galakan membaca, meminjam, membedah
 buku di LRT secara sukarela. Pinjaman boleh dilakukan di stesen-stesen terpilih.



Bagi yang berminat untuk menyerahkan buku mereka untuk dikongsi bersama pada Ahad ini, sila Whatsapp kami di talian 018 2488 257. Nyatakan nama anda dan berapa jumlah buku.
Terhad kepada lokasi-lokasi dibawah sahaja. Jom ke Buku Landasan!




sumber : buku landasan

SELAMAT MEMBACA