kepada sahabat
bukan mudah menatap bayang-bayang
yang ditinggalkan cahaya petang
kerana malam akan sekejap tiba
menutup segala membawa semua
begitu diam
ruang yang ditinggalkan
tapak-tapak kenangan berjalan perlahan
dari sudut ke sudut
dan kau akan meminum sepi sendirian
membasuh sunyi
dengan berdiri dan menyaksi daun-daun kenangan
berguguran
bukan semua mudah melepaskan
kerana cinta adalah segala yang ditemukan
dalam ketawa, dalam senda, dalam diam
dalam tangis, dalam marah,
dalam segala yang menyerap ke dalam
telaga jiwa
segala itu adalah untuk hidup bersama
bukan mudah menutup bayang-bayang
yang masih berselerak di segenap ruang
kaurelakanlah segala itu
kesayupan dan kejauhan
akan menggoda pantai kalbumu
relakanlah kepergian itu
kerana tuhan telah memilih
kau akan menyaksi
kesenyapan
membawanya pergi
aduhai teman
hadapilah luka
dengan segala bara jiwamu
tuhan akan selalu bersama
mempermudahkan jalanmu
Comments
Post a Comment