Jika hendak mengenai orang berbangsa,
lihat kepada budi dan bahasa,
Jika hendak mengenal orang yang berbahagia,
sangat memeliharakan yang sia-sia.
Jika hendak mengenal orang mulia,
lihatlah kepada kelakuan dia.
Jika hendak mengenal orang yang berilmu,
bertanya dan belajar tiadalah jemu.
Jika hendak mengenal orang yang berakal,
di dalam dunia mengambil bekal.
Jika hendak mengenal orang yang baik perangai,
lihat pada ketika bercampur dengan orang ramai.
- Raja Ali Haji
Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji
Oleh NURDIANA BINTI MOHD NOR
Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji telah diadakan pada 10 Mac 2015 di Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), dengan tema “Ke Arah Pencerdasan Pemikiran Umat”. Seminar ini merupakan anjuran bersama Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Wadah Selangor (WADAH), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS).
YBhg. Tuan Haji Mohd Yusop bin Hasan, Pengerusi Seminar (WADAH Selangor) menyampaikan ucapan alu-aluan.
Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh YBhg. Tuan Haji Mohd Yusop bin Hasan, Pengerusi Seminar (WADAH Selangor).
Ucaptama telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil, Presiden WADAH. Dalam ucaptama tersebut, beliau berkata, Raja Ali Haji (RAH) merupakan tokoh ilmuwan, budayawan dan pentadbir. Ketokohannya sebagai ilmuwan begitu menyerlah sehingga layak dianggap ikon tamadun keilmuan Riau abad ke-19. Keunggulannya sebagai ilmuwan terbukti daripada penguasaannya terhadap pelbagai disiplin keilmuan Islam zamannya, terutama ilmu tauhid, fiqah, tasawuf, sejarah dan bahasa Arab, di samping bahasa Melayu dan kesusasteraan.
Ucaptama oleh YBhg. Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil, Presiden WADAH.
Antara karya RAH yang menjulang namanya sebagai pengarang besar ialah Tuhfat al-Nafis.
“Tuhfat al-Nafis memang sebuah karya yang istimewa. Unsur kesepaduan ilmu tersebut dapat dikesan dalam Tuhfat al-Nafis, yang bukan sahaja menghidangkan catatan sejarah, tetapi juga pesan-pesan moral keagamaan,” kata beliau.
Menurut Dato’ Dr. Siddiq bin Fadzil lagi, RAH juga menekuni bidang ketatanegaraan. Bukunya, Thamarat al-Mahammah Diyafatan li al-Umara’ wa al Kubara’ li Ahl al Mahkamah ialah sejenis karya tentang pemikiran politik Islam.
Dato’ Dr. Abu Hassan Sham membentangkan kertas kerja beliau yang berjudul “Pemikiran Raja Ali Haji Menerusi Hasilan Puisi.”
Dalam ucaptama ini juga, YBhg. Dato’ Dr. Siddiq berkata, selain karya-karya keintelektualan, sumber penting RAH ialah surat-surat peribadinya. Koleksi surat-surat peribadi RAH kepada Hermann von de Wall telah diterbitkan di Leiden pada tahun 1995. Edisi bahasa Indonesia pula telah diterbitkan pada tahun 2007 dengan judul Dalam Berkekalan Persahabatan: Surat-surat Raja Ali Haji kepada Von de Wall.
Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji menampilkan sembilan kertas kerja yang disampaikan oleh para pembentang yang terdiri daripada ahli akademik. Antara kertas kerja yang dibentangkan termasuklah, Aspek Kesufian dalam Karya Raja Ali Haji (1808-1873) oleh Prof. Madya Dr. Ahmad Zaki bin Haji Abd. Latiff dan Puan Fairuzah binti Basri; Pemikiran Raja Ali Haji Menerusi Hasilan Puisi oleh Dato’ Dr. Abu Hassan Sham dan Pemikiran Sejarah Raja Ali Haji Menerusi Tuhfat al-Nafis, Karya Ulung Kesultanan Johor-Riau-Lingga oleh Dr. Arba’iyah binti Mohd Nor.
hadirin
Antara yang hadir ke Seminar Kebangsaan Pemikiran Raja Ali Haji.
Berdasarkan pembentangan setiap kertas kerja dalam seminar tersebut, 10 resolusi telah dibuat. Antaranya ialah, meminta Kementerian Pendidikan Malaysia memperkukuhkan lagi usaha yang sedang dibuat sekarang oleh Pusat Manuskrip Melayu, Perpustakaan Negara Malaysia dan pihak seperti DBP dan Jabatan Sejarah, UM, untuk mengumpul dan mengkatalogkan manuskrip tentang Islam dan Melayu, khazanah penulisan tokoh-tokoh Melayu Islam dan seumpamanya yang berselerakan di seluruh dunia. Kedua, mencadangkan agar Kerajaan negeri Selangor, melalui UNISEL menganjurkan kursus pemikiran Raja Ali Haji. Dicadangkan keutamaan diberikan kepada para nazir dan imam kanan masjid-masjid di Selangor, kemudian diikuti dengan tokoh-tokoh lain pula. Ketiga, meminta kerajaan negeri Selangor memperuntukkan sejumlah dana bagi membiayai kos penulisan dan penerbitan buku-buku tentang tokoh-tokoh Melayu dan perkembangan Islam di Alam Melayu.
Ternyata, RAH merupakan tokoh ilmuwan-budayawan Melayu abad ke-19M, zaman pertembungan budaya Barat moden dengan budaya tradisi Melayu – Islam. Pada era yang penuh cabaran, beliau telah berjuang mengangkat martabat agama, bangsa dan tamadun Melayu – Islam.
klikweb
10 MAC 2015 (SELASA)
DEWAN KOLEJ UNIVERSITI ISLAM ANTARABANGSA SELANGOR (KUIS)
Anjuran Bersama:
Wadah Selangor (WADAH), Kolej Universiti Islam Antarbangsa Selangor (KUIS) & Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)
Dengan Kerjasama:
GAPIS, BAKEWANIS, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) & Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Selangor (PSMCS)
Pemakalah:
1. Ucaptama oleh Dato’ Dr. Siddiq Fadhil, Presiden WADAH
2. Kelab Rusydiah sebagai Institusi Cendikia Rantau Melayu - Piut RAH, YM Raja Malik bin Raja Hamzah
3. Aspek Kesufian dalam Karya Raja Ali Haji - Prof Madya Dr. Ahmad Zaki Hj Abd Latiff
4. Pemikiran Raja Ali Haji Menerusi Hasilan Puisi - Prof Dr. Abu Hassan Sham
5. Sistem Kehakiman Dalam Thamarah Al-Muhimmah - Dr. Khalif Muammar A. Harris
6. Mengembalikan Kecemerlangan Ulama: Suatu Cabaran Bagi Umat Menerusi Perspektif Raja Ali Haji - Hafida Mohamed Nordin
7. Bahasa Melayu Sebagai Wadah Dakwah Dan Tarbiyah Dari Kacamata Raja Ali Haji - Zunina Abdullah
8. Pemikiran Sejarah Menerusi Karya-karya Sejarah Raja Ali Haji - Dr. Arba’iyah Mohd Noor
9. Peranan Raja Ali Haji dalam Pertembungan Agama dan Politik di Alam Melayu - Ayu Nor Azila Mohamed
10. Ketatanegaraan Melayu Abad Ke-19 Menerusi Pandangan Raja Ali Haji - Prof. Dr.Tatiana Denisova
Raja Ali islam asas pemikiran
Beliau muncul sebagai pujangga dan pemikir Melayu dari golongan istana Kesultanan Riau yang ulung pada abad ke-19. Beliau sebaris dengan pendahulu-pendahulunya seperti Tun Seri Lanang (Johor), Raja Chulan (Perak) dan Sultan Mahmud Badaruddin (Palembang).
Raja Ali Haji, mempunyai beberapa kelebihan tersendiri terutama dari aspek pengkaryaan dengan menghasilkan sekitar 14 karya, bidang penulisan, pemikir dan konsep Islamisme dalam penulisan.
Paling ketara, elemen utama yang mewarnai dunia kepengarangannya tidak dapat dipisahkan dari konsep dan landasan Islam yang begitu kukuh. Pemikiran ini banyak ditemukan dalam karya agungnya, Tuhfat al-Nafis.
Menurut Ketua Jabatan Pengajian Melayu Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Abu Hassan Sham, landasan keislaman ini banyak dipengaruhi oleh latar belakang keluarga dan sistem pendidikan yang diterimanya.
Dalam hal ini, jelasnya, pendidikan Islam tradisional yang diterima dari beberapa guru dan ulama di Riau serta pendidikan informal dari keluarganya merupakan landasan penting kepada proses berfikir Raja Ali Haji.
''Ayahnya Raja Ahmad atau digelar juga Engku Haji Tua memang seorang yang alim. Sudah tentu pada masa kecilnya, beliau belajar dengan bapanya terlebih dahulu terutama bacaan al-Quran dan ilmu-ilmu fardu ain.
Kamudian baru diserahkan kepada guru-guru lain.
''Salah seorang dari mereka ialah Haji Abdul Wahab yang berasal dari Minangkabau dan merupakan imam di Masjid Penyengat. Beliau juga mengajarkan kitab fikah Mir'at-Tullab karya Syeikh Abdul Rauf dari Acheh,'' katanya.
Di samping itu, dunia keislaman yang mempengaruhi kepengarangan Raja Ali Haji juga banyak ditimba dari pendidikan agama oleh guru-guru yang sering mengunjungi Penyengat seperti Syeikh Ahmad Jibrati dan Habib Syeikh Syakaf.
Menurut Prof. Abu Hassan, kedudukan latar pendidikan ini menjadikan Raja Ali Haji seorang tokoh alim dan guru agama terkenal di Penyengat, sekali gus guru agama kepada keluarga Yang DiPertuan Muda Riau.
Malah, beliau berjaya meletakkan dirinya sebagai pujangga yang berjaya mengetengahkan beberapa karya agung serta membantu membentuk peradaban di dunia Melayu.
Dengan kata lain, latar pendidikannya serta kehidupannya telah memberi ruang untuk Raja Ali Haji menghasilkan beberapa karya dalam pelbagai bidang seperti undang-undang, puisi, tatabahasa, salsilah Raja-raja Bugis, Fikah, Tasauf, pentadbiran dan lain-lain.
Namun, dalam memperkatakan tentang kedudukan tokoh ini dalam membina korpus ilmu Melayu, Prof. Abu Hassan melihat Raja Ali Haji beruntung oleh sikap toleransi pemerintah Belanda di kepulauan Indonesia pada era tersebut.
Belanda memberikan kelonggaran dan kebebasan kepada penganut Islam untuk mengamalkan ibadah termasuk menunaikan fardu haji serta aktiviti sosial seperti perkahwinan dan adat.
Ruang yang terbuka ini digunakan sepenuhnya oleh Raja Ali Haji untuk berkarya dan mengetengahkan aspek-aspek pemikirannya terutama tasawuf yang diperlihatkan dalam Gurindam Dua Belas, Syair Siti Sianah dan Thamarat al-Muhimmmah.
Tidak ketinggalan 'pemahamannya' yang mendalam terhadap organisasi tarekat. Beliau adalah pengikut Tarekat Naqsyabandiah yang diterima dari Syeikh Ismail al-Minangkabawi.
Beliau juga merupakan seorang pengembang pemikiran fikah yang dibawa oleh Syeikh Daud ke Penyengat sehingga karya-karya ulama tersebut menjadi sumber rujukan terpenting.
''Raja Ali Haji menyebarkan ajaran fikah ini dengan cara yang lebih menarik iaitu melalui bentuk puisi.
''Penyebaran ini kurang menjemukan dan lebih lama terlekat di fikiran pendengar,'' ujar Prof. Abu Hassan.
Pemikiran yang paling ketara ialah mengenai pemerintahan dan ketatanegaraan. Pandangan-pandangan tentang aspek ini diketengahkan menerusi kitab Muqaddimah fi Intizam dan Thamarat al-Muhimmah yang begitu berpengaruh di Riau dan negeri-negeri naungannya.
Kitab-kitab ini memuatkan pemikirannya pelantikan raja, kriteria-kriteria seseorang bakal sultan penggantinya, corak pemerintahan, taat setia rakyat, putera mahkota dan sebagainya.
Paling menarik, meskipun mempunyai hubungan yang dekat dengan pegawai-pegawai Belanda di Penyengat, beliau tidak pernah memuji Barat secara berlebihan seperti Abdullah Munsyi. Raja Ali Haji tetap memandang tradisi Melayu dan Islam adalah yang terbaik.
utusan online
Pemikiran Raja Ali Haji Tentang Politik dan Pemerintahan
Oleh : Aswandi Syahri
4 Mei 2013
Raja-Raja Melayu di Tanah Semenanjung 1897: Karya-karya Raja Ali tentang politik dan pemerintahan, menjadi bacaan wajib mereka. F-DOK/DOKUMEN ASWANDI SYAHRI
“…Bermula makna raja itu, jika dikata raja itu dengan makna khalifah yaitu khalifah Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam pada mendirikan Islam dam menghukumkan akan segala hamba Allah dengan hukuman Quran dan Hadis dan Ijma’. Jika dikata raja itu dengan makna Sultan maka yaitu mengeraskan hukuman atas segala rakyatnya dengan hukuman yang adil, yang datang dari Allah dan rasulnya. Dan jika dikata raja itu dengan makna Imam, maka itu ikutan segala rakyatnya pada segala hukuman dan perintahnya dan tiada membawa kepada kufur dan maksiat…” (Raja Ali Haji: Tsamarat al-Muhimmah).
Nama Raja Ali Haji, dengan segera akan membawa ingatan kita kepada seorang budayawan, sastrawan, budayawan abad 19 dari Kerajaan Riau Lingga. Namun, karena keluasan pengetahuannya, seperti tergambarkan dari korpus besar karya-karyanya, ia juga merupakan seorang pandita, guru, dan pemikir konsep-konsep pemerintahan dan negara yang piawai.
Nukilan diatas, setidaknya dapat memberikan ilustrasi tentang konsep dan pemikirannya mengenai seorang raja, kepala negara, pemimpin yang ideal, yang dijabarkannya dalam sebuah kitab berjudul Tsamarat al-Muhimmah: sebuah kitab yang menjadi pegangan raja-raja Melayu di Riau dan beberapa negeri di Semenanjung pada abad ke-19.
Raja Ali Haji hidup di tengah suasana hiruk pikuk campur tangan kuasa-kuasa Barat yang telah mencekram kuat di Alam Melayu, termasuk Riau-Lingga, dan diperkeruh pula oleh pertelagahan serta kemerosotan wibawa pemerintahan tradisi karena pertelingkahan internal yang bekepanjangan di dalam tubuh kerajaan-kerajaan Melayu pasca jatuhnya Melaka dalam tahun 1511.
Sehingga tidaklah mengejutkan bila sejumlah peneliti dari dalam dan luar negeri melihat sejumlah karyanya dan pemikirannya sarat dengan gagasan untuk mengembalikan kegemilangan kerajaan Melayu, disamping sebagai bagaian dari reaksi terhadap zamannya yang berdepan-depan dengan rempuhan kolonialisme.
Gagasan Raja Ali Haji untuk untuk menata kembali sistem pemerintahan dan ketatanegeraan dan wibawa kerajaan-kerajaan Melayu telah dimulainya di Kerajaan Riau Lingga. Hal ini dimungkin karena selain sebagai salah seorang kerabat Yang Dipertuan Muda Riau, beliau juga adalah penasehat pemerintahan bagi dua orang Yang Dipertuan Muda Riau (Raja Ali Marhum Kantor dan Raja Abdullah Marhum Mursyid).
***
Gagasan besar Raja Ali Haji tentang konsep ideal seorang raja dan pemerintahan itu terangkum dalam dua tulisannya yang berkaitan dengan ketatanegaraan dan pemerintahan.
Pertama, sebuah risalah pendek berjudul, Muqadimma fi-Intizam al-wazaif al-Mulk Khususan illa-maulana wa-shahibbina Yang Dipertuan Muda Raja Ali al-Mudabbir li-al-biladi al-Riauwiyah wa-sairi da-iratihi. Berisikan nasehat dan petunjuk dalam menjalankan tugas-tugas pemerintahan yang khusus ditujukan kepada Raja Ali ibni Raja Ja’far atau Marhum Kantor yang juga saudara sepupunya, ketika menjabat Yang Dipertuan Muda Riau VIII. Risalah ini selesai ditulis pada tahun 1857 M. (Mahdini 2003; Hasan Junus 2002; dan Hasan Junus, et. all., 1996).
Kedua, adalah sebuah kitab yang berisikan penjabaran lebih luas dan mendalam atas risalah pendek Muqadimma fi-intizam, yang bejudul, Tsamarat al-Muhimmah Dhiayafatan lil Umrai wa-al-khubrai li-Ahl-al-Mahkamah yang diterjemahkannya menjadi Buah-Buahan yang Dicita-citakan Jadi Santapan bagi raja-raja dan bagi orang Besar-besar yang mepunyai pekerjaan dalam Tempat Berhukum (Hasan Junus 2002).
Tsamarat al-Muhimmah berisikan akumulasi pemikiran Raja Ali Haji tentang konsep-konsep dan pandangannya tentang kedudukan raja dan pemerintahan. Selesai ditulis pada bulan Maret 1859: Tepat tujuh belas bulan setelah pemakzulan Sultan Mahmud Muzafarsyah pada bulan Oktober 1857, yang kemudian menimbulkan kegemparan, sehinggalah pecah pemberontakan atas nama Sultan Mahmud yang dipimpin oleh Panglima Sulung di Reteh.
Menurut Barbara Watson dan Virginia Matheson, ada kaitkelindan antara sebab-sebab pemakzulan Sultan Mahmud Muzafarsyah oleh Belanda dengan keputusan Raja Ali Haji menulis Tsamarat al-Muhimmah (Barbara Watson dan Virginia Matheson, 1983). Apalagi, beliau sendiri ‘terlibat’ proses pemakzulan itu. Mengapa?
Di dalam Tsamarat al-Muhimmah, dengan tegas raja Ali Haji mengatakan bahawa seorang raja (baca pemimpin) yang jauh antara agama dan perbuatannya, tidak memperhatikan kebutuhan masyarakatnya, dan gagal memperbaiki nasib mereka, tidak dapat diterima sebagai penguasa lagi.
Jabatannya akan diberikan kepada ‘yang lebih tepat’.
Sebagai seorang negarawan sekaligus cendekiawan penggagas konsep baru dalam pemerintahan raja-raja Melayu di kawasan Selat Melaka, kepiawaian Raja Ali Haji dalam bidang ini, antarala lain juga sangat menentukan pembentukan Kesultanan Johor yang baru di bawah Temenggung, pasca Traktat London 1824 yang membelah bagi kerajaan Johor, Riang, Lingga dan Pahang sebagai taluk Inggris dan Belanda.
Beliaulah yang menjadi ‘tempat bertanya’, ‘pemberi legitimasi’, serta “referensi politik’ ketika Temenggung Abubakar dari Singapura mengirim serombongan utusan yang dipimpin oleh Ungku Haji Mohammad bin Ungku Haji Abdullah dan Datuk Bendahara Jaafar Haji Mohammad ke Pulau Penyengat pada bulan April 1868.
Kepada Raja Ali Haji utusan itu menanyakan perihal kemungkinan Johor berdiri sendiri sebagai sebuah kerajaan; tentang tata pemerintahan dan ‘Aturan Melayu’, perijal aturan-aturan istana, dan boleh tidaknya Temenggung Abukabakar memakai gelar Sultan (M.A. Fauzi Basri, 1983; Virgiania Matheson, 1985).
Selain menjawab pertanyaan-pertanyaan yang diajukan oleh utusan Temenggung Johor itu, Raja Ali Haji juga meminjam sejumlah kitab (termasuk Muqaddima fi-Intizam dan Tsamarat al-Muhimmah) untuk ditelaah sebagai rujukan, serta menunjukkan ‘jalan’ Temenggung Abu Bakar memerintah dengan memakai menggunakan gelar kebesaran Maharaja.
Sebagai bukti atas dukungan ‘politiknya’, Raja Ali Haji juga hadir dalam istiadat penabalan Temenggung Abu Bakar sebagai Maharaja Johor di Teluk Belanga, Singapura pada 30 Juni 1868.
***
Beberapa ilustrasi diatas, lebih dari cukup untuk menunjukkan sosok Raja Ali Haji sebagai seorang cendekiawan yang tidak kecil sumbangannya dalam bidang politik dan pemerintahan sebuah tradisi Melayu di masa lalu.
Sebagai ilustrasi, menurut Abu Hasan Syam, kitab Tsamarat al-Muhimmah menjadi bacaan wajib bagi Sultan-Sultan Terengganu di Semanjung pada akhir abad ke-19. Dan dalam kekinian kita di Kepulauan Riau, gagasan dan konsep Raja Ali Haji tentang politik dan pemerintahan yang ideal itu tentu layak dan patut pula dicermati sari patinya.
Dalam hal menembus perubahan dan perkembangan zaman, gagasan dan pemikiran Raja Ali Haji memiliki dinamika pemikiran yang cukup signifikan dibanding teks-teks Melayu lainnya yang sejenis, seperti, Taj al-Salatin (Mahkota Raja-Raja), Sulalat al-Salatin, dan Bustan al-Salattin, yang lebih tua.
Perbedaan yang cukup berarti ini dimungkinkan karena latar belakang intelektual Raja Ali Haji yang kompleks. Jika teks-teks Melayu sebelumnya tentang politik dan pemerintahan menggunakan pendekatan tasawuf atau sufi dalam mengupas konsep politi dan pemerinthan, maka Raja Ali Haji lebih bertumpu pada pendekatan fikih (hukum).
Dari sisi ini, pemikiran Raja Ali Haji tentang politik dan pemerintahan tradisi dapat disandingkan-bandingkan dengan teori-teori modern tentang politik dan pemerintahan moderen (Mahdini, 2003). ***
tanjungpinangpos
Comments
Post a Comment