Merdeka Dan Sastera


SESUDAH perginya detik 31 Ogos yang lalu, kemerdekaan seolah-olah tak terbayang lagi pada mata dan jiwa. Sekejap ia berlalu dan seperti pula dilupakan. Apakah kemerdekaan itu harus panjang dalam upacara agar sentiasa menjadi kenang dan ingat bersama? Memangnya kita tak harus berlama dalam upacara kerana masih banyak agenda dan acara yang harus kita lalui. Masih banyak tuntutan lain yang memagari kehidupan. 

Tapi sewajarnya kemerdekaan harus ranum dalam ingatan dan penghargaan kita. Kita mulai menyaksi sendiri tindakan yang mula menggambarkan kemerdekaan persis sebuah titik palsu yang boleh dipersenda dalam khalayak. Bagaimana tidak bersetujunya kita, barangkali kemerdekaan bukan ufti yang harus digadaikan begitu saja. Kita harus berdiri pada teras dan paksi warganegara yang menghargai dan menyanjung tinggi kemerdekaan.

Bagaimana detik dan warna merdeka harus terus menyubur dalam fikir dan renung khalayak?
Kalau kita bacakan puisi di bawah ini ternyata begitu indah dan manisnya garapan terhadap makna dan jiwa merdeka itu. Suatu yang begitu indah dinobatkan dalam puisi yang mempesona. Suatu persoalan besar dilemparkan untuk renung bersama : Mengapa masih ada jarum menikam ketika kita sudah merasa bahagia dengan manis merdeka?

AKSARA MERDEKA

Setelah sekian lama kita menyusun dan mewarnakan
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah bersejarah ini
yang kenal huruf tetapi terlupa maknanya
yang kenal angka tetapi terlupa nilainya
yang kenal bunyi tetapi terlupa nadanya
yang kenal rentak tetapi terlupa geraknya
yang kenal lagu tetapi terlupa iramanya
yang kenal akhir tetapi terlupa awalnya.
Setelah sekian lama kita membaca dan menghafal
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah tercinta ini
yang cerah mata tetapi gelap hati
yang cerdik minda tetapi dungu peribadi
yang cantik bahasa tetapi buruk sikap
yang lembut budi tetapi keras lagak
yang merdu suara tetapi sumbang bicara.
Setelah sekian lama kita mencatat dan merakam
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah pusaka ini
yang impikan kemajuan tetapi menolak teknologi
yang impikan kemakmuran tetapi membelakangkan ekonomi
yang impikan kesejahteraan tetapi mencetuskan pergolakan
yang impikan kegemilangan tetapi meremehkan wawasan.
Setelah sekian lama kita menganalisis dan mentafsir
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah bertuah ini
yang terlepas kaki tetapi terikat tangan
yang terlepas mata tetapi terikat jiwa
yang terlepas fakir tetapi terikat cita-cita.
Setelah sekian lama kita menjulang dan memarbatkan
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah bertuah ini
yang kasihkan bangsa tetapi bencikan pemimpin
yang cintakan agama tetapi menyelewengkan fatwa.
Setelah sekian lama menghargai dan menghormati
aksara merdeka,kenapa masih ada lagi
warga tanah berdaulat ini
yang menanam bunga tetapi menabur duri.

Karya: Wadi Leta S.A

Untuk apa puisi dan mengenang merdeka?
Saya bersetuju dengan pandangan bahawa kita sudah terlalu banyak tertusuk dengan keraian kemerdekaan yang menjurus pada hiburan, riang ria, gembira, yang membuakkan hendonisme.

Patriotisme hilang arah dan terpendam dalam rai riang yang tak berkesudahan. Sedang detik yang dikenang adalah detik bahagia dan detik terbaik dalam sejarah sebuah negara. Wangi merdeka dan nafas patriotisme harus mengalir dan menyeruak lebih luas dari gendang dan gitar kegirangan yang tak bertunjang. Kita harus kembali kepada hayat dan jantung yang berdegup dari lahirnya kemerdekaan. Ia datang bukan dengan anugerah mudah dan santapan lazat yang harus dirayakan dengan kebisingan panjang. Ia lahir dari cemeti luka, hirup sengsara mereka yang berjuang dan bertatih di bawah payung perjuangan.

Kita harus menyedarkan nusa bahawa semua ini harus terangkum dalam ungkap sedar dan nyala jiwa yang bermakna. Kita kecewa dengan permainan dan lakon mereka yang mempersenda tetapi kita harus mewarnakan segala ini dengan kejatian yang benar-benar mendekati batin dan jiwa warga.

Sastera sebaiknya pernah menjadi medan hareapan dan lampu menuju kecerahan. Dalam gelap penjajahan sastera telah meletakkan dirinya untuk memberi bakti dan jerit juang yang membawa kepada laung merdeka. Kita sudah melihat tampuk dan liang yang pernah ditinggalkan sastera dalam lingkar sejarah negara. Sastera harus terus bernyanyi dan bersuara dalam lunak bahasa dan indah maksudnya untuk menyatakan kebahagiaan dan keharmonian yang tertanam di batas merdeka.

Ada ketikanya kita dapat merenung dan menatap bagaimana sastera kembali mengetuk jiwa dan emosi rakyat untuk terus menghargai kemerdekaan yang ada. Berikanlah ruang dan peluang untuk kita bersama melafaz merdeka dalam ungkap dan sabda yang terindah dan  bening.

Tidak ada makna besar kehidupan rakyat selain dari hidup merdeka
Kita harus membawa kesedaran dan kecintaan ini bersama


Di mana sastera pada sambutan kemerdekaan?
Oleh HASAN BASERI BUDIMAN

KEMERIAHAN menyambut ulang tahun kemerdekaan negara kali ke-56 sudah pun berakhir. Dan sepanjang sebulan sempena menyambut bulan kemerdekaan pada tahun ini, saya cuba membuang masa, duduk di hadapan TV, bagi merasai sama angin kemerdekaan melalui program-program di TV yang disiarkan.

Walaupun bukan semua rancangan TV itu sempat saya tontoni, tetapi saya dapat merasakan bahawa sepanjang saya berpeluang menatap rancangan-rancangan TV itu, saya hanya dihidangkan dengan terlalu banyak unsur-unsur hiburan yang tidak menampakkan unsur patriotismenya.

Tidaklah dapat saya menafikannya, memang ada nyanyian dan drama yang berunsur patriotik sesuai dengan mood kemerdekaan ketika itu. Namun peratus bilangan penyiarannya agak sedikit, berbanding dengan hiburan dan drama yang tidak banyak mendatangkan faedah kepada kecintaan negara.

Sebenarnya banyak lagi rancangan lain yang walaupun mungkin dalam bentuk selitan, tetapi boleh diharapkan untuk menimbulkan semangat patriotik kepada rakyat Malaysia. Antaranya program sastera.

Tapi sayangnya, ketika masyarakat Malaysia bersungguh-sungguh mahu menyambut kemerdekaan negara ke-56 ini peranan sastera langsung diketepikan dan peranan golongan sasterawan serta wartawan semacam terpadam terus daripada lipatan sejarah perjuangan kemerdekaan.


Orang sastera tidak mengharapkan sangat nama Sheikh Tahir Jalaluddin, Syed Sheikh Al-Hadi, Sheikh Muhammad Akil, Sheikh Awad Saidin dan Haji Abas Taha atau Zainal Abidin Ahmad (Za'ba), Harun Muhammad Amin, Abdul Hadi Hassan, Burhanuddin Al-Helmi dan Abdul Rahim Kajai disanjung sebagai pejuang dalam sejarah perjuangan kemerdekaan negara, walaupun peranan mereka dalam membantu memerdekakan negara tidak wajar dinafikan.

Namun generasi Malaysia masa kini harus diberitahu bahawa peranan beberapa orang tokoh sasterawan dan wartawan sebelum merdeka inilah yang telah membantu menyemarakkan lagi suasana politik menuntut kemerdekaan tanah air, khususnya untuk membela nasib agama, bangsa dan tanah air tercintanya ini.

Novel karya Pak Sako, Putera Gunung Tahan, dan Anak Mat Lela Gila yang banyak memuatkan kisah perjuangan bagi pengajaran dan teladan politik pada masa kini, langsung tidak pernah dipedulikan walaupun ada sarjana yang sudah membuktikan bahawa hasil tulisan seperti yang dilakukan oleh Pak Sako itu boleh menjadi alat berkesan untuk menyedarkan masyarakat tentang muslihat penjajah.

Namun apa yang berlaku, 90 peratus rakyat Malaysia tidak tahu pun akan kewujudan buku itu. Malah novel-novel patriotik yang agak terbaharu sedikit seperti Interlok karya Sasterawan Negara Abdullah Hussain, Sandera karya Sasterawan Negara Arena wati dan Merpati Putih Terbang Lagi karya Khadijah Hashim yang pernah memenangi Sayembara Novel Sempena 10 Tahun Kemerdekaan (1967) juga turut ditenggelamkan begitu sahaja. Tiada satu pun rancangan TV atau radio yang mahu membincangkan tentang semangat patriotik melalui sastera ini.

Di sinilah untungnya seniman berbanding sasterawan, kerana masyarakat hanya nampak lagu-lagu patriotik sahaja berbanding karya-karya patriotik. Justeru pada saban waktu, yang muncul di skrin TV hanyalah nyanyian yang walaupun bersifat patriotik dan mungkin sesuai dengan kehendak dan permintaan masyarakat yang sudah sekian lama dimomokkan dengan unsur-unsur hiburan yang berlebih-lebihan, tetapi ia mungkin tidak mencukupi.

Kesedaran terhadap patriotisme sebegini harus disokong dengan pelbagai program lain yang tidak semestinya bersifat hiburan semata-mata. Apa salahnya kalau satu dua program sastera diselit sama dalam program kemerdekaan di TV. Namun kerana kedudukan sastera itu agaknya sudah jauh terpinggir di dalam masyarakat, maka keterpinggiran itu rupanya turut berlaku di TV. Program sebaik deklamasi sajak kemerdekaan yang saban tahun cuma dibuat secara bersembunyi di dalam dewan sama ada oleh GAPENA, atau DBP atau Jabatan Penerangan, tidak bolehkah ia diangkat ke pentas TV atau ke corong radio?

Semangat dan azam deklamator dan penulis puisi tanah air dalam memperjuangkan seni untuk kelangsungan semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat yang tidak pernah luntur inilah yang harus diketengahkan. Suara patriotik mereka sepatutnya diberitahu kepada semua rakyat Malaysia.

Kita sedar, meskipun program deklamasi ini mungkin tidak segah rancangan-rancangan hiburan lainnya yang memang menjadi matlamat TV untuk menarik penonton supaya sentiasa berada di hadapan TV, tetapi ia tentunya tidak menjadi bersalahan kalau program-program ini diseimbangkan.

Apa salahnya, kalau dalam satu hari, empat atau lima kali semangat patriotik melalui seni deklamasi puisi ini diperdengarkan kepada penonton di TV dan radio. Rugi sangatkah menyiarkan suara-suara semangat sebegini untuk ditonton, kalau ia hanya mahu mengambil masa tidak sampai pun setengah jam sehari, sedangkan pulangan kecintaan yang diterima oleh negara berpuluh kali ganda lebih baik daripada itu?

Apa lagikah sumbangan terbaik yang boleh diberikan seorang rakyat kepada negaranya kalau bukan sebuah pengorbanan. Justeru, pihak TV sepatutnya boleh memberikan sedikit pengorbanan dengan mengizinkan suara-suara keramat para deklamator ini membangkitkan rasa kecintaan rakyat Malaysia terhadap negaranya.

Berpuluh-puluh buah sajak kemerdekaan yang pernah dikumpulkan oleh GAPENA di dalam antologi Jamung Merdeka, Aksara Merdeka dan Suara Anak Merdeka boleh digunakan oleh pihak TV dan radio untuk diperdengarkan kepada penonton dan pendengar di negara tercinta ini. Jemput sahaja deklamator terbaik tanah air untuk mendeklamsikannya.

Insya-Allah saya yakin penerapan rasa kecintaan rakyat Malaysia terhadap negara ini akan menjadi lebih cepat terserlah berbanding kalau sekadar mendengar nyanyian patriotik sahaja.

Malah akan menjadi bertambah bersemangat rakyat Malaysia ini kalau penyair dan deklamator, penyanyi serta kumpulan muzik termasuk kumpulan lagu rakyat, dihimpunkan di atas satu pentas bagi menyuarakan semangat patriotik dapat disiarkan dalam bentuk konsert secara langsung, tentulah hal ini akan menjadi mercu tanda baharu dalam program penyiaran TV di Malaysia yang sedang kita nanti-nantikan.

Sumber : Utusan Online


Pertahankan ‘kemerdekaan’ negara
Oleh Latifah Arifin

PARAS hormon adrenalin penulis dan tetamu Baca Puisi PENA seakan melonjak naik serta-merta tatkala menyaksikan persembahan puisi penuh bertenaga yang menyemarakkan semangat kecintaan kepada negara.

Baca puisi bulanan setiap Jumaat malam minggu pertama setiap bulan anjuran Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA) dengan kerjasama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kali ini mengajak khalayak mengenang pengorbanan darah dan air mata dalam memerdekakan negara.

Acara kali ini juga nampak bersungguh dengan kehadiran pelajar UPNM yang dibawa khas dalam dua bas di samping penggiat sastera tanah air dan orang ramai mula berhimpun sejak jam lapan malam.

Malam yang penuh dengan wajah-wajah serius menjadi mengasyikkan apabila Kelab Gamelan Citra Nusantara UPNM membuka tirai persembahan pada malam itu dengan nyanyian lagu tradisional sambil diiringi muzik gamelan.

Wartawan veteran, Saring Siraj atau lebih dikenali sebagai Ismas Saring tampil mendeklamasikan puisi ciptaannya, Sekadar Bertanya, sambil mengajak khalayak berfikir secara rasional mengenai erti kemerdekaan.

Mereka gerombolan
pejuang bangsa
yang menggagalkan Malayan Union
patriotikkah mereka?

Mereka berjuang di hutan rimba
membasmi penjahat komunis
di musim darurat
patriotikkah mereka?

Dan kita berpuisi
baca puisi-puisi patriotik
patriotikkah kita?

Kehangatan malam diteruskan dengan persembahan puisi secara berduet oleh pelajar UPNM, Muhamad Fazrul Kamil Anuar dan Bismi Alif Mohd Razif yang memilih karya Presiden PENA, Dr Mohamad Saleeh Rahamad, Mencari Wira dengan berkesan, meskipun kedua-duanya baru berusia 19 tahun.

Puisi menterjemah maksud wira dalam ruang lingkup lebih luas dan tidak hanya berlegar kepada apa yang sudah diberikan pejuang terdahulu kerana setiap daripada kita sebenarnya perlu menyumbang dalam memartabatkan bangsa, agama dan negara.

Berkurun kita berburu mencari makna kata
berkurun kita keliru mengenal makna wira
Jebat dan Tuah, siapa patut dipuja?

Lemas kita dilanda curiga
antara setia dan pembela
selamanya wira dinilai oleh masa
selamanya wira dicanai kuasa
selamanya wira dinobat oleh harta
akhirnya wira entah di mana
di depan kita pengkhianat bangsa.

Bangunlah dari lena khayalan
kita kembalikan kata pada lidah
kita pulangkan pandang pada akal
kita keringkan rajuk pada tindak.

Penuntut UPNM, Mohammad Akhmil Ahmar dan Mohamad Nazri Ismail, meneruskan gaya penyampaian rakan terdahulu ketika beraksi di pentas dengan puisi, Dilema Anak Millinium yang memukau khalayak hingga terpana dengan kelantangan suara dan aksi bersemangat mereka.

Karya Marina MS merungkai gejolak hati anak muda yang tersedar daripada kekhilafan dan disedarkan akan tugas berat menyambung legasi perjuangan nenek moyang yang pernah berhempas pulas membebaskan negara daripada terus dibelenggu penjajah yang tidak berhati perut.

Terima kasih ayah dan ibu
kerana aku dilahirkan sebagai anak millinium
yang tak pernah kenal erti perjuangan
yang tak pernah kenal erti kemerdekaan.

Aku lupa
yang tanah air ini pernah dijajah
oleh bangsa yang bangsat.

Aku lupa
nenek moyangku, pernah berkorban nyawa
demi tanah air ini.

Dari Portugis rebutkan rempah
dari Belanda gilakan tanah
dari Jepun yang gilakan kuasa
dan dari British petualang negara.

Aku lupa ....

Lelaki Pertama Membuka Sangkar Derita Kita karya Nassury Ibrahim mengangkat kehebatan, umpama penghargaan kepada Perdana Menteri Pertama Malaysia, Tuanku Abdul Rahman Putra Al-Haj, dalam memastikan Malaysia mencapai kemerdekaan, disampaikan Nor Azimah Abu Bakar.

Lelaki pertama membuka sangkar derita kita
adalah lelaki yang mengembalikan hak dan kewajaran
ke tempat yang sewajarnya
lelaki yang membebaskan generasi daripada rantai pertuanan British
lelaki yang memeranjatkan Ratu Elizabeth dan sekalian pemimpin dunia
adalah lelaki yang mewarna alam
dan warisan dunia sebelah sini

Hari ini enam Disember, hari terakhir kita
bersama lelaki pertama membuka sangkar derita kita
empat ratus empat puluh enam tahun
adalah giliran kita
menyempurnakan tugas suci
sebagai pewaris yang melengkapkan amanahnya

Gabungan persembahan Pengarah Pusat Penerbitan UPNM, Left Kol (B) Noor Akmar Mohd Noor dengan Pensyarah Kanan Jabatan Bahasa UPNM yang juga penyampai berita RTM, Dr Jessica Ong boleh dianggap sebagai persembahan puisi terbaik pada malam terbabit.

Pemilihan puisi yang tepat dan menarik, Aksara Merdeka karya asal Wan Ahmad @ Wan Adnan Wan Dad atau lebih dikenali sebagai Wadi Leta SA serta disampaikan dengan iringan Kumpulan Gamelan Citra Nusantara UPNM, membibitkan kesedaran masyarakat terhadap jati diri dan hakikat kemerdekaan.

Setelah sekian lama kita menyusun dan mewarnakan aksara merdeka
kenapa masih ada lagi warga tanah bersejarah ini
yang kenal huruf tetapi terlupa maknanya
yang kenal angka tetapi terlupa nilainya
yang kenal bunyi tetapi terlupa nadanya
yang kenal rentak tetapi terlupa geraknya
yang kenal lagu tetapi terlupa iramanya
yang kenal akhir tetapi terlupa awalnya.

Setelah sekian lama kita menganalisis dan mentafsir aksara merdeka,
kenapa masih ada lagi warga tanah bertuah ini
yang terlepas kaki tetapi terikat tangan
yang terlepas mata tetapi terikat jiwa
yang terlepas fakir tetapi terikat cita-cita.

Setelah sekian lama kita menjulang dan memartabatkan aksara merdeka,
kenapa masih ada lagi warga tanah bertuah ini
yang kasihkan bangsa tetapi bencikan pemimpin
yang cintakan agama tetapi menyelewengkan fakta.

Setelah sekian lama menghargai dan menghormati aksara merdeka
kenapa masih ada lagi warga tanah berdaulat ini
yang menanam bunga tetapi menabur duri.

Malam Baca Puisi Patritotik ini turut dimeriahkan dengan persembahan nasyid Kumpulan In Voices UPNM dan gurindam Mat Kilau Wira Pahang oleh Mohd Sidek Mohd Dollah bersama puterinya, Nor Afiqah Mohd Sidek.

Antara penyair yang turut tampil deklamasi puisi pada malam itu ialah Ahmad Sarju, Datuk Muda Taufek Affandi, Dr Ibrahim Ghaffar dan Khalid Salleh.

Sumber : Berita Harian

Comments