Bahasa dan Bangsa



 


Hilang bahasa lenyaplah bangsa
OLEH DR AMINUDIN MANSOR

BAHASA adalah apa yang dipertuturkan dan dicakapkan oleh seseorang manusia. Lebih luas lagi bahasa menjadi perantara dan komunikasi antara manusia. Bahasa yang digunakan secara meluas akan dapat mengangkat martabat bangsa ke mata dunia. Justeru, bahasa yang maju akan menjadi bahasa ilmu.

Di Malaysia bahasa Melayu telah dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, dan bahasa pengantar ilmu sejak kemerdekaan pada tahun 1957. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan. Sementara kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi secara khusus diwartakan dalam Akta Bahasa Kebangsaan 1967. Bahasa Melayu berkait erat dengan proses pembinaan negara Malaysia dan pembinaan negara bangsa. Sejarah dan asas pembinaan negara berkaitan dengan bahasa mestilah difahami oleh semua rakyat di negara ini.

Isu-isu yang sering diperkatakan mengenai bahasa adalah berkaitan dengan peningkatan profesionalisme pendidik Bahasa Melayu. Mereka ini adalah pendidik yang tentunya terlatih untuk mengajar Bahasa Melayu di sekolah. Kaedah dan teknik yang digunakan mestilah berubah maju dan berkesan. Asasnya merekalah yang bertanggungjawab bagi mendidik, mencintai bahasa dalam kalangan murid dan pelajar.


Memanfaatkan teknologi pendidikan yang canggih dan mutakhir dalam pengajaran dan pembelajaran (P&P) bahasa Melayu sangat penting sesuai dengan perubahan semasa. Guru-guru bahasa Melayu seharusnya berusaha mencipta dan kemudian menggunakannya dalam P&P.

Justeru, berasaskan pendekatan bersepadu, pendidikan bahasa diharapkan meninggalkan amalan lama dan dapat meningkatkan kemahiran berbahasa melalui tulisan dan lisan di sekolah. Pelbagai kursus perlu diadakan kepada guru bahasa bagi meningkatkan penggunaan bahasa dalam kalangan murid dan pelajar.

PengantarKefahaman dan kesedaran untuk meningkatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa pengantar dan bahasa ilmu haruslah bermula di sekolah. Jika tidak mereka tidak sedar akan peranan bahasa itu dalam kehidupan pada masa akan datang.

Kita tentu tidak mahu akan berlaku "Hilanglah bahasa, lenyaplah bangsa" dalam kalangan pelajar dan rakyat di negara ini. Sia-sia sahaja usaha mendaulatkan bahasa yang dilakukan sejak puluhan tahun lalu. Kemahiran bahasa seperti mendengar, bertutur, membaca dan menulis mestilah dipraktikkan di sekolah rendah, menengah dan menengah atas juga di universiti.

Bahasa Melayu perlu diberi jiwa baru melalui pendidikan bahasa di sekolah, pertuturan rasmi, melalui pembacaan yang akan mengangkat bahasa Melayu sebagai milik semua rakyat. Ini akan dapat memekarkan kepelbagaian budaya dan juga memperkasakan peradaban manusia.

Kempen-kempen dan slogan baharu perlu diwujudkan di media massa bagi menjadikan bahasa Melayu berjiwa Malaysia, hidup dan subur dalam kalangan penggunanya terutama rakyat di negara ini. Sebagai contoh "Bahasaku adalah jiwaku" dan lain-lain lagi. Jika pendatang asing dapat bertutur bahasa Mleayu dengan baik kenapa kita tidak boleh? Jawapannya harus ada pada diri kita.

Ibu bapa juga harus sentiasa memberikan galakan dan rangsangan kepada anak-anak supaya menggunakan bahasa Melayu di rumah, sebagai bahasan pertuturan dan bahasa ilmu dengan baik. Galakan dan rangsangan juga perlu dilakukan oleh para guru di sekolah bagi menjadikan bahasa Melayu tidak dilenyapkan oleh bangsanya sendiri.

Memetik kata-kata Johann Wolfgang Von Goethe, oleh sebab setiap orang menggunakan bahasa bagi berbicara, maka setiap orang mengira dia dapat berbicara berkaitan bahasa. Oleh itu, gunakan bahasa Melayu dalam penulisan, pertuturan dengan tepat dan betul.

Berbicara berkaitan bahasa dengan berbicara bagi mendaulatkan bahasa iaitu dua hal yang berbeza yang seharusnya difahami oleh semua orang. Oleh itu, bagi mengekalkan status bahasa setiap pengamal bahasa mestilah bertutur dalam bahasa tersebut dan menulisnya dengan baik dan berkesan.

Sementara itu menurut Samuel Johnson, beliau sedih apabila ada bahasa yang lenyap, kerana bahasa adalah asal daripada bangsa. Lantaran itu, setiap orang yang cinta bahasanya mestilah mengamalkan bahasanya melalui pertuturan dan penulisan dengan baik. Di samping itu, pengamal bahasa juga mestilah terus mendaulatkan bahasanya. Peranan badan penulis dan pejuang bahasa juga mesti seiring dalam mendaulatkan dan memartabatkan bahasa.

Pengekalan bahasa daripada peribahasa, kata-kata hikmat daripada sesuatu bahasa itu sangat penting. Menurut Bertrand Rusell, sebuah peribahasa adalah kebijaksanaan seseorang, namun hikmah bagi semua orang.

Kebijaksanaan sesebuah peribahasa itu adalah sejak mula diciptakan melalui renungan dan pemerhatian dalam kehidupan bangsa. Selain itu, kebijaksanaan juga terangkum dalam makna tersurat dan tersirat dalam peribahasa tersebut yang dapat mendidik bangsa seterusnya dalam kehidupan. Kehebatan bahasa Melayu banyak terletak pada peribahasa, pantun, syair, gurindam, seloka dan perbilangan adat serta bentuk bahasa yang beragam.

Usaha mengekalkan dan memartabatkan sesuatu bahasa itu banyak terletak kepada asas-asas pendidikan bahasa di sekolah sama ada di sekolah rendah dan menengah. Melalui pendidikan yang berkesan dan juga melalui P&P yang tersusun bahasa dapat dimanfaatkan kepada generasi muda.

Setiap orang sebagai ahli dalam masyarakat berperanan untuk mengekalkan bahasa khususnya bahasa ibunda. Bahasa yang terus kekal akan menjadi bahasa terpenting diajarkan di sekolah, digunakan dalam masyarakat, dijadikan saluran penyampai ilmu, dipopularkan oleh media massa, dimartabatkan oleh kerajaan dan pemerintah.

Kepupusan sesuatu bahasa dalam era globalisasi banyak bergantung pada pengamalnya. Jika pengamal bahasa tersebut tidak menggunakan bahasanya dengan baik dan berkesan khususnya dalam media baharu seperti Internet, sudah pasti lama kelamaan bahasa tersebut akan hilang dan lenyap.

Kekuatan bahasa juga dapat melebarkan sayapnya ke seluruh dunia sebagai bahasa ilmu dan bahasa pertuturan. Bahasa yang baik juga dapat memancarkan sikap penutur dengan penuh budi bahasa dan keindahan kesantunan bahasa. Oleh itu, dalam usaha menyebarkan ilmu bahasa sangat penting dilaksanakan dan usaha ini memainkan peranannya yang tersendiri yang boleh dilakukan oleh mereka yang minat terhadap bahasa.

Sumber : Utusan Online


Bahasa Jiwa Bangsa
Oleh NURUL ANUAR KARI

AGAK menyedihkan di ketika negara menghampiri tahun kemerdekaan ke-56, masih ada suara-suara sumbang mempersoalkan status pribumi orang Melayu di bumi yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu ini, sedangkan bukti forensik genetik sudah didedahkan.

Tidak terkecuali usaha memperkecilkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dalam peruntukan Perlembagaan negara apabila tulisan dan bahasa bukan Melayu, khususnya bahasa Inggeris diutamakan dalam semua aspek harian termasuk nama jalan, nama bangunan, nama kawasan perumahan, iklan dan banyak lagi.

Tentu sekali semua skrip drama ini dimainkan demi agenda tertentu pihak terbabit khususnya apabila mereka melihat beberapa negara lain berjaya 'menjajah' bangsa Melayu yang lemah selepas dihimpit keganasan dan penindasan.

Namun, darjat dan keagungan silam orang Melayu masih dapat diselamatkan dan diangkat kembali ke zaman kegemilangan Nusantara melalui bahasanya yang menjadi lingua franca Asia Tenggara satu masa dahulu.

Jika hanya orang Melayu, bilangannya tidaklah begitu ramai tetapi mereka yang bertutur bahasa Melayu sebenarnya kini melangkaui 300 juta orang di seluruh dunia dan semakin bertambah setiap hari.

Selain Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, bahasa ini atau dialeknya turut digunakan penduduk di Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Kemboja, Afrika serta kelompok kecil di beberapa negara lain.

Di zaman kegemilangan kerajaan Melaka, bahasa Melayu juga pernah sampai ke seluruh ceruk rantau termasuk di China, India, tanah Arab malahan dikatakan sampai ke tamadun di Barat.

Sungguhpun dunia kini mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama berbanding bahasa Perancis, Mandarin dan Sepanyol yang digunakan lebih ramai penduduk dunia, tidak bermakna bahasa-bahasa lain sudah tiada nilainya.

Lihat sahaja semangat orang Jepun yang begitu berbangga dengan bahasanya sehinggakan diutamakan dalam semua urusan harian mahupun kerja, melanggar norma dunia yang 'mewajibkan' bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.

Kebanggaan bangsa Jepun terhadap bahasanya dan kemajuan tamadun negara itu akhirnya memaksa dunia menerima bahasa mereka sebagai antara bahasa penting dunia sehinggakan tulisan Jepun diletakkan di papan penyata lapangan terbang mahupun pusat komersial dan kawasan tumpuan umum di negara-negara besar.

Sejajar Dasar Pandang ke Timur, cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengangkat bahasa Melayu bersama bahasa Indonesia selaku bahasa pengantar utama dunia khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu diberi sokongan sepenuhnya.

Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pusat Bahasa Indonesia, di samping golongan penulis, ahli akademik universiti dan pencinta bahasa, inisiatif ini mampu mengangkat kembali bahasa Melayu sebagai antara bahasa utama dunia.

Pada masa sama, tamadun, budaya, kesenian, tulisan dan ciri-ciri unik bangsa Melayu dan bangsa-bangsa yang menggunakan bahasa Melayu dapat diangkat sama dan lebih mudah diselami masyarakat antarabangsa.

Walaupun kini bahasa Melayu-Indonesia merupakan bahasa pertuturan yang kelima paling banyak digunakan di dunia, ia dilayan umpama bahasa kuno yang jarang digunakan kerana jarang sekali diberi penghargaan sewajarnya.

Lebih malang, taraf bahasa Melayu diberi gambaran 'bahasa pelik suku kaum hulu' oleh pihak tertentu khususnya dalam media dan dunia perfileman Barat.

Tafsiran salah itu diburukkan lagi apabila wujud golongan tertentu, khususnya orang muda di negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sendiri memperlekeh, menghina dan mempermainkan bahasa kebangsaan mereka, termasuklah di Malaysia.

Walaupun bilangan golongan menghina bahasa ini tidak ramai, ia amat memalukan sedangkan ramai pelajar asing di United Kingdom, China, Rusia, Amerika Syarikat dan universiti di negara-negara lain begitu teruja belajar dan bertutur menggunakan bahasa Melayu.

Penggunaan tulisan rumi memudahkan orang luar yang sudah mahir dengan bahasa Inggeris mendalami bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau ketiga mereka dan menjadi bukti kukuh bahasa Melayu mudah dikembangkan ke seluruh dunia.

Untuk bergerak ke hadapan dalam membentuk bangsa Malaysia, usaha mengangkat bahasa kebangsaan negara ke peringkat antarabangsa perlu didukung dan disokong semua tanpa diselit agenda peribadi mahupun fahaman sempit perbezaan kaum dan agama di negara ini.

Usaha mengangkat bahasa Melayu ini juga mungkin menjadi antara pemangkin mengembalikan kebanggaan, identiti dan jati diri golongan muda di negara ini daripada terus menyalin budaya luar khususnya yang melanggar norma dan batasan agama.

Bahasa merupakan antara ciri kehidupan yang menjadi identiti bangsa dan rakyat sesebuah negara. Sempena bulan kemerdekaan negara, bersamalah kembalikan kebanggaan kepada ciri-ciri unik kita semua yang menjadi identiti sebuah negara bangsa yang berjaya.

Sumber : Utusan Online

Comments