Istana Budaya atau juga dikenali sebagai The Palace of Culture, dibuka pada September 1999, adalah teater utama Malaysia untuk persembahan seni dan teater dari dalam dan luar negara termasuk teater muzikal, opereta, opera, seni tari dan juga persembahan orkestra muzik klasikal dan konsert. Istana Budaya terletak bersebelahan dengan Balai Seni Lukis Negara (sekarang dikenali sebagai Balai Seni Visual Negara) di Jalan Tun Abdul Razak di tengah bandaraya Kuala Lumpur.
Idea pembinaan teater bertaraf antarabangsa ini bermula dengan cadangan pada tahun 1964 untuk menubuhkan sebuah pusat kebudayaan bagi menggantikan “Panggung Negara”. Kerja pembinaan bermula pada tahun 1995 dan siap sepenuhnya pada tahun 1999. Sesudah siap dan mula beroperasi, Panggung Negara atau National Theater berpindah ke bangunan baru ini. Pembukaan Istana Budaya dirasmikan oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohammad pada tahun 1999.
Sejarah
Sejarah Istana Budaya bermula pada tahun 1964 apabila cadangan pengwujudan Pusat Kebudayaan Kebangsaan diserahkan oleh Kementerian Penerangan dan Penyiaran serta Kementerian Kebudayaan dan Kebajikan Sosial.
Istana Budaya diilhamkan semasa Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada tahun 1971 sebagai wahana seni Malaysia. Pengwujudannya didahului dengan penubuhan Kumpulan Budaya Negara (KBN) pada tahun 1972 di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan. Pada tahun 1973, KBN telah berpindah dari Jalan Ampang ke Kompleks Budaya Negara di Jalan Tun Ismail yang menumpukan kegiatannya secara professional dalam bidang seni tari dan seni muzik tradisional.
Istana Budaya mula dibina pada tahun 1995 dengan kos pembinaan sebanyak RM210 juta yang mempunyai keluasan 5.44 hektar serta keluasan lantai 21,000 meter persegi. Istana Budaya boleh dibanggakan sebagai sebuah panggung yang pertama di Asia yang mempunyai mekanisme pentas yang tercanggih untuk pementasan teater.
Rekabentuk
Rekabentuk bangunan ini adalah bercirikan kebudayaan Melayu. Istana Budaya terletak berhampiran Tasik Titiwangsa di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. Pembinaannya telah siap pada tahun 1998. Kabinet telah memutuskan pemansuhan penggunaan nama Panggung Negara kepada ISTANA BUDAYA secara rasmi pada tahun 2000.
Keunikan senibina ISTANA BUDAYA bersandarkan konsep beberapa aspek kebudayaan Melayu. Dilihat dari atas, bangunan ISTANA BUDAYA berbentuk seperti wau bulan Kelantan. Bentuk bangunan pula seperti sirih junjung – lambang pemula upacara yang sering digunakan di dalam istiadat perkahwinan Melayu dan upacara menyambut tetamu.
Bangunan berkonsepkan bentuk rumah Melayu dengan tiga bahagian utama – serambi untuk lobi, rumah ibu untuk Panggung Sari, serta rumah dapur untuk pentas utama dan dewan latihan. Tangga untuk ke Panggung Sari berkonsepkan tangga tradisional rumah Melayu Melaka
Keunikan senibina Istana Budaya bersandarkan konsep beberapa aspek kebudayaan Melayu. Dilihat dari atas, bangunan Istana Budaya berbentuk seperti wau bulan Kelantan. Bentuk bangunan pula seperti sirih junjung – lambang pemula upacara yang sering digunakan didalam istiadat perkahwinan Melayu dan upacara menyambut tetamu.
Bangunan ini direka oleh Muhammad Kamar Ya'akub, seorang arkitek tempatan. Sumber inspirasi untuk reka bentuk bangunan ini adalah berdasarkan kepada layang-layang tradisional (wau bulan) yang sedang terbang. Bahagian rekabentuk bangunan utama pula diambil dari bentuk 'junjung sirih', satu corak susunan tradisional atau hadiah yang dibuat dari daun sirih yang digunakan untuk upacara sambutan atau perkahwinan orang Melayu.
Sepertimana reka dalaman rumah tradisional Melayu, bahagian dalam bangunan ini terbahagi kepada tiga bahagian iaitu "serambi" sebagai lobi dan ruang legar, "rumah ibu" atau ruang utama sebagai auditorium, dan "dapur" sebagai pentas dan dewan raptai.
Laluan masuk utama ke Panggung Sari melambangkan pintu masuk utama ke Balairong Seri Istana Kesultanan Melayu di Zaman Silam. Lobi teater di tingkat tiga menyerupai rekabentuk rebana ubi – gendang tradisional Melayu. Sebaik sahaja anda berada di dalam Panggung Sari, anda seakan-akan berada di dalam istana di zaman silam. Anjung orang kenamaan di kanan dan kiri mengambil konsep jendela rumah Melayu.
Panggung Sari mampu menempatkan 1421 orang pada satu-satu masa, termasuk 796 orang di Balai Sari Penghadapan di tingkat satu. Manakala Balai Sari Utama boleh menempatkan 322 di tingkat dua dan 303 orang di Balai Sari Peninjau di tingkat tiga. Ruang orkestra pula boleh menempatkan 98 orang apabila tidak digunakan. Kesemua tempat duduk adalah bernombor. Lampu kecil di lantai memudahkan para penonton mengenalpasti tempat duduk mereka. Dewan teater ini merupakan yang pertama di Asia yang dilengkapi dengan peralatan–peralatan canggih dan terkini. Istana Budaya juga dikelaskan di antara sepuluh teater tercanggih di dunia, dan tarafnya diletakkan bersamaan dengan Royal Albert Hall di London.
"Lambang Sari" merupakan panggung yang saiznya lebih kecil berbanding dengan Panggung Sari. Ia terletak di sebelah kanan Panggung Sari. Panggung ini sesuai untuk persembahan produksi-produksi kecil dengan kapasiti 281 orang penonton pada satu-satu masa. Pentasnya adalah berbentuk arena dengan keluasan lantai 500 meter persegi.
Oleh Ummi Nadiah Rosli
KUALA LUMPUR 15 April (Bernama) -- Di tengah-tengah kesibukan bandar raya Kuala Lumpur, di Jalan Tun Razak, sebuah "istana khas", tidak pernah sunyi dengan kunjungan pelawat yang menjejakkan kaki untuk memasuki sebuah dunia penuh imaginasi yang dihidangkan dalam pelbagai cara dan suasana.
Bangunan ini, "Istana Budaya" menjadi lokasi bagi segala jenis pementasan teater tempatan dan antarabangsa termasuk muzikal, opera dan konsert klasikal.
Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa Istana Budaya merupakan antara 10 panggung paling canggih di dunia, setanding dengan Royal Albert Hall di London.
Sejak diasaskan pada September 1999, Istana Budaya menjadi ikon kebudayaan dan artistik untuk rakyat Malaysia, mewarnai kehidupan dan jiwa masyarakat dengan pelbagai persembahan hebat.
Sejarah Istana Budaya bermula pada tahun 1964 apabila cadangan pengwujudan Pusat Kebudayaan Kebangsaan diserahkan oleh Kementerian Penerangan dan Penyiaran serta Kementerian Kebudayaan dan Kebajikan Sosial.
Istana Budaya diilhamkan semasa Kongres Kebudayaan Kebangsaan pada 1971 dan pengwujudannya didahului dengan penubuhan Kumpulan Budaya Negara pada tahun 1972 di bawah Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan.
Pada tahun 1973, KBN berpindah dari Jalan Ampang ke Kompleks Budaya Negara di Jalan Tun Ismail yang menumpukan kegiatannya secara profesional dalam bidang seni tari dan seni muzik tradisional.
Istana Budaya dibina pada tahun 1995 dengan kos pembinaan RM210 juta di kawasan seluas 5.44 hektar serta keluasan lantai 21,000 meter persegi. Istana Budaya boleh dibanggakan sebagai sebuah panggung yang pertama di Asia yang mempunyai mekanisme pentas tercanggih untuk pementasan teater.
Reka bentuk bangunan ini bercirikan kebudayaan Melayu. Pembinaannya siap pada tahun 1998 dan Panggung Negara dipindahkan ke bangunan baru ini.
Istana Budaya juga menempatkan Syarikat Teater Negara dan Orkestra Simfoni Kebangsaaan.
Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Shaarani berkata reka bentuk bangunan ini dicipta arkitek tempatan Muhammad Kamar Ya'akub yang lebih menekankan kepada ciri-ciri kebudayaan Melayu.
"Ciri-ciri ini merangkumi tapak bangunan berlandaskan wau bulan di udara, iaitu sejenis wau tradisional Melayu Kelantan. Bentuk bangunan juga berteraskan gubahan sirih junjung yang terdapat dalam istiadat perkahwinan, perayaan dan upacara selamat datang."
Mohamed Juhari berkata pelan bangunan berkonsepkan rumah Melayu yang mempunyai tiga bahagian -- "serambi" ialah untuk lobi dan foyer, "rumah ibu" ialah auditorium manakala "rumah dapur" dilambangkan pada pentas utama dan dewan latihan.
Pengunjung ke Istana Budaya akan disambut dengan rupa bentuk tangga ke pintu masuk utama berlandaskan "tangga Melaka" manakala anjung orang kenamaan di kanan dan kiri auditorium mengambil konsep jendela rumah Melayu yang besar dan luas. Selain itu, pintu masuk utama di tingkat dua melambangkan pintu masuk utama ke Balairong Seri Istana Melayu di zaman silam.
Bagi lobi teater di tingkat tiga, ia menyerupai rebana ubi, iaitu gendang tradisional Melayu.
Keistimewaan Istana Budaya sememangnya pada Panggung Sari yang mampu menempatkan seramai 1,413 orang pada satu-satu masa.
Kebanggaannya terletak pada teknologi empat pentas yang berbentuk proscenium berukuran 28 meter x 25 meter setiap satu yang boleh diubah suai mengikut kehendak sesuatu pementasan -- di hadapan pentas utama dan tersorok ke bawah ialah pentas orkestra - yang memisahkan pentas utama dengan penonton.
Ruang pentas ini boleh memuatkan seramai 1,500 pelakon pada setiap persembahan dan pergerakan pentas, pertukaran set, penggunaan lampu ataupun sistem bunyi ketika persembahan, dikawal menggunakan teknologi berkomputer.
Struktur pembinaan pentas dilengkapi dengan ciri keselamatan dengan penyediaan dinding kalis api yang boleh diturunkan untuk memisahkan setiap pentas jika berlaku kecemasan.
Kesemua ciri ini menjadikan Istana Budaya tergolong dalam 10 pentas bertaraf dunia.
Lambang Sari pula merupakan panggung yang lebih kecil berbanding Panggung Sari untuk persembahan daripada produksi kecil dengan kapasiti 281 orang penonton pada satu-satu masa.
KEPAKARAN ASING
Pada peringkat awal, Juhari berkata Istana Budaya banyak bergantung kepada tenaga luar terutama konsultan asing dalam menyelenggara peralatan teknikal yang canggih di Istana Budaya.
Istana Budaya pada waktu itu sukar mendapatkan khalayak. Pertama kerana masih baharu dan kedua, seperti satu kejutan kepada masyarakat Malaysia ketika itu, kerana perlu membayar untuk menonton sesuatu persembahan.
Ramai yang cuba meminta tiket percuma. Bagi menarik orang ramai, Istana Budaya ketika itu menawarkan harga tiket yang amat rendah -- RM20, RM30, dan RM50 -- terlalu murah berbanding fasiliti yang disediakan.
Namun senario ini mula berubah selepas kehadiran syarikat produksi swasta yang sanggup melabur untuk persembahan, dan tiket sudah boleh dijual dengan mudah terutama selepas produksi muzikal "Puteri Gunung Ledang".
"Jika dahulu penonton biasanya gemar membeli tiket pada malam persembahan tetapi keadaan itu tidak berlaku ketika ini. Penonton kini lebih bersedia untuk membeli tiket lebih awal. Malah beberapa minggu sebelum sesuatu produksi itu bermula, tiket sudah habis terjual," kata Mohamed Juhari.
Menurutnya, pada peringkat awal dua tahun pertama, Istana Budaya lebih banyak menerbitkan produksi sendiri. Tapi kini pihak swasta giat memainkan peranan dengan menyalurkan peruntukan dan Istana Budaya menyediakan ruang dan kepakaran daripada segi teknikal.
"Teater muzikal Mamma Mia! pada tahun 2008 mencatat sejarah dengan jumlah kutipan lebih RM8 juta. Tiket semahal RM500 pun habis terjual, bukan pada malam persembahan tetapi tiga bulan lebih awal.
"Untuk persembahan pada Disember, dalam bulan September lagi tiket sudah habis dijual. Di sini kita lihat masyarakat Malaysia sudah bersedia," katanya.
Sambutan yang menggalakkan daripada orang ramai juga dapat diperhatikan apabila jika dibandingkan dengan dulu, kurang sebulan sebelum persembahan barulah diadakan sidang akhbar. Tetapi kini, ada yang diuar-uarkan setahun sebelum persembahan.
Akui Johari, di sini kelihatan tahap profesional dan komitmen tinggi dalam usaha menyemarakkan industri ini.
Dalam hal ini ingin dinyatakan semua program Istana Budaya melalui proses penilaian daripafa panel khas bagi menentukan Istana Budaya akan mementaskan persembahan yang berkualiti.
Ia juga bagi memastikan Istana Budaya mencapai sasaran keutamaan program iaitu 70 peratus bagi produksi tempatan dan 30 peratus kepada produksi antarabangsa.
Bagi penyusunan program 2010, Istana Budaya mengutamakan program yang menyokong gagasan 1Malaysia dalam pelbagai genre persembahan.
Pada 5 Feb lepas, Istana Budaya melakar sejarah melancarkan Orkestra Tradisional Malaysia.
Keunikan orkestra ini ialah ia menggabungkan semua peralatan muzik pelbagai kaum dan etnik dalam bentuk simfoni dan kemampuan orkestra ini sama dengan Orkestra Simfoni barat dalam mengangkat pelbagai irama dan lagu.
Antara persembahan muzikal yang mengangkat konsep 1Malaysia tahun ini ialah KITA (18 hingga 27 Jun), Muzikal CUCI (27 Julai-10 Ogos), Muzikal Che Det (24 Sept-3 Okt), Muzikal Satu (15-24 Okt) dan Budak Kampung (17-27 Dis).
Persembahan teater lain yang diatur ialah ialah Sri Mersing (12-21 Mac), Uda dan Dara (9-18 Julai) dan Impak Maksima (25 Nov-6 Dis).
Bagi program konsert tahun ini, Istana Budaya menampilkan dua ikon muda Faizal Tahir dan Aizat dalam Konsert Satu Suara bersama Datuk Siti Nurhaliza pada bulan Februari, Raja Rock Malaysia Amy Search dalam Muzikal Satu Masa pada bulan Mac dan Konsert Dato' Shake (4 hingga 6 Jun).
Program lain yang disusun ialah Tari Samsara (23-25 April) dan Festival Muzik Kuala Lumpur (2-3 Julai).
BERNAMA
Malaysia bakal miliki Istana Budaya kedua
RAZIATUL HANUM A.RAJA
SEJAK kebelakangan ini, industri teater semakin mendapat tempat di hati penonton. Baru-baru ini, Sinar Harian Online berpeluang untuk menemu bual Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Juhari Shaarani atau lebih dikenali dengan nama Abang Jo.
Ikuti temu bual Sinar Harian Online bersama Abang Jo bagi mengupas peranan, keupayaan dan keistimewaan Istana Budaya dalam menyajikan produk berkualiti untuk tatapan rakyat Malaysia di samping mengiktiraf karyawan berbabat negara.
SINAR HARIAN ONLINE: Sebagai permulaan, boleh Datuk ceritakan serba sedikit tentang Istana Budaya (IB).
DATUK JUHARI: Istana Budaya merupakan satu agensi atau organisasi yang bernaung di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), merupakan sebuah pentas untuk seni pentas persembahan bukan saja kepada satu-satu genre tetapi tiga komponen utama iaitu muzik, tari dan teater.
Ia merupakan salah satu pentas terbaik di dunia. Sepuluh yang terbaik di dunia dan diakui oleh banyak pihak terutama sekali pementasan-pementasan antarabangsa kerana mekanisme teknologi pentasnya yang satu-satunya di Malaysia dan yang terawal di rantau Asia Tenggara, sebelum adanya Esplanade dan juga pentas-pentas di Asia seperti di Beijing dan juga di Shanghai.
SINAR HARIAN ONLINE: Dalam satu-satu masa, IB boleh menempatkan berapa pementasan?
DATUK JUHARI: Kita ada dua panggung iaitu Panggung Sari iaitu panggung utama dan Lambang Sari yang kecil bersebelahan yang kita namakan sebagai panggung eksperimen. Panggung Sari boleh memuatkan 1,421 penonton dan Lambang Sari pula boleh menempatkan 300 penonton yang duduk. Kadangkala untuk konsert-konsert kecil, boleh menempatkan 500 orang jika ada produksi yang membawanya secara berdiri.
Bagi tempoh setahun pula, terdapat lebih kurang 30 hingga 35 persembahan dapat dijalankan di IB. Pada bulan Ramadan, tiada persembahan di IB. Pada waktu itu, ia digunakan sebagai penyelenggaraan kerana sebuah pentas moden yang menggunakan mesin, ia memerlukan sekurang-kurangnya satu bulan untuk penyelenggaraan agar ia boleh disimpan atau akan berada dalam keadaan yang baik sepanjang persembahan.
DATUK JUHARI: Selain daripada teater, Panggung Sari juga boleh mementaskan tari dan konsert. Banyak konsert-konsert diadakan di IB seperti Anuar Zain, Siti Nurhaliza, Jamal Abdillah, M.Nasir boleh dikatakan nama-nama besar dalam industri meletakkan IB sebagai satu profil utama untuk mereka mengadakan persembahan dan boleh dikatakan hampir kesemua nama-nama besar ini pernah beraksi di Panggung Sari.
SINAR HARIAN ONLINE: Bagaimana pemilihan terhadap artis yang membuat persembahan di IB dibuat?
DATUK JUHARI: Panggung IB dianggap bernilai elit, kita memberi keutamaan kepada artis-artis yang mempunyai banyak sumbangan, kejayaan. Apa yang istimewa, di IB ialah mekanisme pentasnya dan setiap cadangan dan kertas kerja artis, kita mahukan ia memberi kelainan. Konsert mereka tidak harus sama dengan apa yang mereka boleh lakukan di stadium atau di tempat lain. Itu merupakan salah satu syarat utama dan biasanya kita memberi keutamaan kepada mereka yang memang mempunyai nama besar dan pengikut kerana harga tiket kadangkala agak lebih mahal berbanding konsert-konsert di stadium kerana sifat eksklusifnya itu.
SINAR HARIAN ONLINE: Sudah berapa lama Datuk menerajui IB? Selama itu, bagaimana Datuk melihat perkembangan industri teater tanah air?
DATUK JUHARI: Alhamdulillah ini merupakan tahun keenam saya menerajui IB. Sekarang, kita dapat lihat adanya kemajuan dalam teater terutama sekali boleh dikatakan dalam teater komersial. Panggung Sari harus diisi dengan jumlah penonton 1,421 orang, jadi IB berhati-hati untuk memilih produksi atau daripada syarikat-syarikat produksi ataupun produksi-produksi yang dikendalikan sepenuhnya oleh Istana Budaya. Kita dapat lihat perkembangan dunia teater, terutama sekali dunia teater muzikal.
Sesuatu yang agak asing sebelum ini kepada masyarakat Malaysia sepuluh tahun yang lalu. Kini, sudah menjadi kebiasaan. Kita dapat lihat IB merupakan carian lokasi utama untuk muzikal. Kami amat bertuah kerana di IB, tercetusnya fenomena teater, Puteri Gunung Ledang yang dipentaskan untuk kali ketiga dengan panggung penuh dan tiket habis terjual sebelum pementasan, sesuatu yang sangat asing pada saat itu. Walaupun ia bermula dengan satu produksi usaha seratus peratus IB, iaitu Keris Sang Puteri, diikuti oleh Rubiah dan kemudiannya Tun Perak. Antara pementasan yang berjaya Puteri Gunung Ledang, Cuci The Muzikal dan P.Ramlee The Muzikal.
Dua teater hasil produksi IB sepenuhnya yang berjaya, Teater Natrah dan Teater Badai Semalam. IB lebih tertumpu pada teater berbanding syarikat produksi luar yang ingin mementaskan muzikal. Jadi, kami tidak mahu IB seratus peratusnya menjadi venue untuk muzikal. Usaha yang dilakukan IB adalah mengangkat novel-novel daripada sasterawan negara. 2013 ini, IB akan membawakan novel popular, Tidak Seindah Mimpi karya Sharifah Abu Salem bagi memberi pendekatan yang berbeza dan menarik lebih ramai golongan muda.
DATUK JUHARI: Kalau dikatakan seiring...teater masih agak baru berbanding dengan filem. Kita juga dapat lihat kutipan filem yang sangat tinggi berbanding dengan teater tetapi perubahan itu semakin kelihatan. Kelebihan teater, harga tiket yang sangat berbeza dengan filem, cuma teater hanya tertumpu di Lembah Klang.
Berbeza pula dengan filem yang akan dinikmati di seluruh Malaysia. Ini (teater tertumpu di IB sahaja) antara perkara yang banyak dibangkitkan. Hal ini kerana Panggung Sari, IB agak berbeza dengan panggung di setiap negeri. Fasiliti teknologi itu menyebabkan agak sukar untuk kami lakukan (di tempat lain). Harga tiket untuk teater memperlihatkan perbezaan pada waktu peringkat awal bagi drama sebabak program kementerian pada waktu itu Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan, tiket cuma berharga daripada RM5 ke RM50.
Perbezaannya IB sekarang ini yang sudah memasuki tahun ke-13, tiket paling murah menjadi RM50 dan kadangkala RM80 serta RM600 untuk pementasan luar negara. Ia merupakan sesuatu yang sangat berbeza. Bagi teater Puteri Gunung Ledang dan Cuci The Muzikal, tiket mencecah RM400 tetapi dibeli oleh peminat ataupun khalayak. Ini merupakan satu perkembangan yang sangat sihat untuk pembangunan dunia seni pentas.
DATUK JUHARI: Kita dapat lihat, setelah khalayak menerima produk-produk dari IB, harga sudah tidak menjadi halangan. Mereka sanggup membayar RM400 untuk menonton sebuah muzikal.
SINAR HARIAN ONLINE : Kebelakangan ini kita dapat lihat penglibatan golongan muda dalam teater bukan saja menonton malah sebagai krew produksi.
DATUK JUHARI : Alhamdulillah, saranan daripada Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim untuk meremajakan IB merupakan langkah yang paling tepat menjadikan IB bukan lagi menjadi satu panggung golongan elit atau golongan orang dewasa saja. Pada peringkat awal, sebagai tarikan, IB menjenamakan semula produk-produk kami.
Oleh itu, kita dapat lihat banyak bahan-bahan yang ditontonkan itu lebih dikenali oleh remaja. Sebagai contoh, Impak Maksima yang mendapat sambutan yang sangat baik dalam kalangan remaja. Dalam usaha itu, kami memberi peluang kepada penyanyi-penyanyi remaja yang mempunyai pengikut yang ramai. Kami pernah mengangkat Aizat Amdan dan Faizal Tahir ke pentas IB bersama Datuk Siti Nurhaliza.
Bagi tahun ini, IB sedang berusaha mendapatkan Yuna untuk mengadakan konsert selepas hari raya. Ia dalam perbincangan lagi. Dalam usaha mendekatkan audien baru ke pentas IB supaya IB lebih dekat dengan masyarakat terutama sekali generasi muda. IB bukan saja fokus kepada generasi muda, malah IB merakyatkan IB dengan memberi peluang kepada pementasan selain bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Panggung ini untuk semua bangsa, bukan untuk khalayak Melayu saja.
SINAR HARIAN ONLINE: Tadi Datuk ada sebut soal Yuna, jadi apa pandangan Datuk tentang pencapaian Yuna setakat ini?
DATUK JOHARI: Kita dapat lihat Yuna berfikir di luar kotak. Itu kelebihan dia. Muzik yang dibawa juga agak berlainan. Itu yang menjadikan sebab dunia luar memandang . Dia tidak membawa sesuatu yang biasa dibawakan oleh penyanyi-penyanyi hebat di Barat dan rantau Asia lain. Kelebihan Yuna juga kerana bakat mampu menghasilkan lagu.
Itu merupakan pakej yang amat baik kepada seorang penyanyi sebenarnya. Insya-ALLAH kami berharap perbincangan dengan pihak pengurusan Yuna nanti akan berjaya dan kita dapat membawa Yuna ke pentas IB sebagai satu usaha untuk membawa ikon remaja. Jika dia berjaya membuat konsert di IB, Yuna merupakan ikon remaja yang pertama. Sebelum ini, kita dapat lihat konsert yang diadakan lebih kepada penyanyi yang sudah mempunyai nama besar dan pengikut yang ramai. Kami bawa Raja Pop, Raja Rock...semua raja itu sudah berada di pentas IB.
SINAR HARIAN ONLINE: Sebagai orang berpengalaman dalam industri teater, pada pandangan Datuk apa yang menarik penonton untuk datang menonton teater? Adakah kerana pelakon, produksi, jalan cerita, atau publisiti?
DATUK JUHARI : Salah satu kejayaan IB ialah mendapat banyak sokongan daripada pihak media. Walaupun pada peringkat awal, saya dikritik kerana membuat program yang agak berlainan daripada pengurusan sebelum ini, tetapi boleh dikatakan saya lebih berani mencuba dan bersedia untuk dikritik. Untuk penjenamaan semula, IB banyak membawa karya-karya hebat dan bintang filem untuk beraksi di pentas IB. Ini merupakan perkara biasa bagi tujuan pemasaran di mana-mana panggung.
SINAR HARIAN ONLINE: Jadi, tarikan itu bukan kerana pelakon semata-mata?
DATUK JUHARI: Ada naskhah yang mendapat sambutan kerana jenama itu sendiri. Kita dapat lihat sambutan yang hangat untuk Teater Tun Mahathir, Teater Tun Hasmah dan juga Natrah. Selain pelakon-pelakon dalam produksi yang menarik penonton, ia merupakan jenama Tun M dan Tun Hasmah serta Natrah itu sendiri yang menjadi sebab kenapa penonton membanjiri IB.
SINAR HARIAN ONLINE : Kebelakangan ini ramai pengarah dan pelakon filem yang terlibat dalam pementasan teater. Apa komen Datuk?
DATUK JUHARI: Ia merupakan sesuatu yang sangat baik sebenarnya untuk industri kerana apabila mereka mementaskan sebuah teater, mereka akan berada dalam genre baru, menambah profil mereka. Contohnya Erma Fatima yang sangat hebat dalam penghasilan filem-filem tentang wanita. Apabila beralih ke pentas IB, dia membawakan cerita hebat seperti Natrah dan Tun Hasmah.
Pada masa sama, IB juga memberi peluang kepada bakat-bakat baru seperti Norzizi Zulkifli dalam langkah melahirkan pelapis. Apa yang menarik apabila nama-nama besar filem apabila berkarya di IB, mereka membawa pendekatan filem yang sebenarnya banyak membantu industri seni pentas seperti Ahmad Idham. Dia membawa kaedah tajaan. Sebelum ini, tidak ada sebuah muzikal di IB, adegan-adegan ditaja.
Contohnya, syarikat tayar menaja satu babak. Ia merupakan sesuatu yang sangat menarik. Nama-nama besar dalam filem ini juga membawa tajaan pakaian yang selama ini tidak terfikir oleh pementasan yang banyak menggunakan kewangan untuk perkara-perkara seperti ini. Selama ini kos sesebuah produksi sepenuhnya melalui kewangan dan harus dicari.
SINAR HARIAN ONLINE: Berapa kos bagi sebuah pementasan teater?
DATUK JUHARI : Ia agak berbeza antara teater yang diterbitkan IB dengan teater terbitan syarikat produksi. IB mempunyai tenaga pereka sendiri yang dikendalikan IB sepenuhnya. Daripada segi set, kostum dan sebagainya berbanding produk-produk syarikat produksi. Contohnya, Puteri Gunung Ledang musim ketiga membawa tenaga-tenaga daripada Amerika Syarikat. Itu menyebabkan kosnya sangat tinggi. The Secret Life of Nora telah menelan belanja hampir RM 4 juta kerana mereka bukan saja membawa tenaga pakar daripada West End dan Broadway tetapi mereka juga membawa bintang-bintang daripada Broadway ke pentas IB.
Ini merupakan perkembangan yang sangat sihat apabila syarikat-syarikat produksi memberikan sesuatu yang di luar kotak untuk pentas IB. Bukannya kita ingin mendewakan bintang-bintang Broadway atau West End tetapi ia merupakan satu langkah kepada kita untuk mengadakan rangkaian. Sebagai contoh, hasil daripada pementasan dua tahun lalu di IB, The Dream Girls. Naskhah itu mendapatkan 'green light' daripada Broadway yang menyebabkan pentas IB dikenali.
SINAR HARIAN ONLINE : Pada pandangan Datuk, bagaimana masa depan IB setelah terpaksa bersaing dengan peredaran zaman dan perkembangan teknologi?
DATUK JUHARI : Lihat daripada segi sambutan penonton dahulu, kami menjual tiket yang sangat murah dan kadangkala kami menjemput kolej-kolej jururawat dan polis untuk memenuhi Panggung Sari IB. Perkara itu tidak lagi berlaku hari ini. Kita juga dapat lihat pementasan-pementasan pecah panggung. Tiket-tiket terjual lebih awal daripada pementasan. Itu menunjukkan perkembangan seni pentas tanah air.
Malah, kami turut menerima kertas kerja yang terlalu banyak untuk membuat pementasan di IB. IB akan terus berkembang dalam dunia pentas terutama sekali daripada segi persembahan teater, konsert dan juga untuk tarian. Insya-ALLAH mungkin dalam masa terdekat dua tiga tahun lagi ada ura-ura kerajaan ingin membuat sebuah lagi panggung seperti IB kerana rebutan banyak syarikat produksi menyebabkan mengapa perlu ada lagi panggung seperti IB, bukan saja di Lembah Klang juga di luar.
DATUK JUHARI : Kalau dulu untuk dapat 50 ribu penonton setahun pun sudah sukar, tetapi sekarang kami sudah boleh capai 200 ribu penonton sepanjang tahun. Sesuatu yang sangat asing untuk dunia seni pentas tanah air jika dibandingkan dengan 20 tahun lalu. Kini, untuk mengumpul 1, 421 orang, Insya-ALLAH kami boleh lakukan apabila IB membuat perancangan dengan program-program yang akan disukai oleh khalayak.
Bagi tahun ini, kami sedang membuat perjanjian dengan beberapa artis terkenal. Jamal Abdillah akan kembali dalam Konsert Lagenda, Datuk M. Nasir dalam Konsert Saudagar dan kami sedang cuba mendapatkan Yuna. Kami juga ada sebuah kumpulan orkestra tradisional Malaysia, satu-satunya di Malaysia. Komponennya terdiri daripada pelbagai instrumen muzik dan pelbagai kaum.
Jadi, Insya-ALLAH satu konsert sulung sedang diatur bersama Datuk Siti Nurhaliza untuk sebuah Konsert Irama Malaysia di pentas IB. Bagi teater pula, kami akan bawakan Teater Tiada Seindah Mimpi, produksi IB dan teater Tirai Besi yang akan dibawakan Mei ini oleh tokoh dunia teater tetapi melalui anaknya, Datuk Johan Jaafar.
IB juga akan membawakan idola tahun 80-an, Sudirman dalam Muzikal Chow Kit serta beberapa pementasan luar negara yang masih dalam proses mendapatkan hitam putih kerana dalam keadaan sekarang, kami tidak berani untuk memberi kata putus selagi tidak mendapat lampu hijau daripada syarikat berkenaan.
SINAR HARIAN ONLINE : Bagaimana dengan status Teater Ombak Rindu?
DATUK JUHARI : Sebenarnya, untuk Teater Ombak Rindu, produksi yang hendak membawanya telah mendapat lampu hijau daripada penulis. Seharusnya, ia menemui khalayak pada bulan Februari tetapi jadual Maya Karin menyebabkan teater itu tidak dapat dilangsungkan pada bulan Februari ini. Insya-ALLAH akan menemui khalayak selepas hari raya. Perkara itu memang sudah diatur sejak awal.
SINAR HARIAN ONLINE: Jangkaan penonton untuk 2013?
DATUK JUHARI : Bagi 2012, kami alami kejatuhan. Pada 2011, jumlah penonton 170 ribu jatuh kepada 140 ribu untuk 2012 berikutan banyak produksi yang menarik diri Insya-ALLAH untuk tahun ini, dengan program-program yang diatur, kami boleh mencapai khalayak seramai 200 ribu penonton agar menjadi rekod baru kepada IB.
Sumber : Sinar Harian Online
Comments
Post a Comment