Sebaris Kata Sebelum Senja


akan tersembunyilah cahaya
bayang-bayang mengarcakan gelap
keredupan mengisi ruang menguning hitam warna
kesamaran membiak usailah warna baris demi baris
kita berada di perhentian masa
untuk kembali ke dalam malam
berhentilah  bahtera hari
tapi usah kauberhenti
mengejar harap dan mahumu
senja bukan pemisah 
tapi mengajar kita menoleh dan berfikir
tentang sabar, setia dan rela



semakin merendah cahaya
matahari tinggal sejengkal di pintu ufuk
cerita cahaya akan berakhir di sini
garis-garis yang memanjang dan bersilang
adalah lakaran peta waktu yang tertutup perlahan
kuatkan hatimu mengharung perpisahan



kita harus menerima gelap dan kehilangan sinar itu
kerana begitu pinta masa
tapi usah kau tersayat jauh
kita tak pernah sempurna
kekurangan jangan menangguhkan perjuangan
kepayahan jangan menghentikan perjalanan
malam ini kita bersama melakar mimpi
esok bila cahaya itu tiba
kita perbetulkan salah dan luka
sebelum senja tiba kembali

Comments