Nasionalisme Dalam Cerpen Melayu

Nasionalisme Dalam Cerpen Melayu Sebelum Perang

Peranan akhbar dan majalah dikatakan memberi pengaruh besar dalam isu politik dan kesedaran kebangsaan dalam cerpen-cerpen Melayu sebelum perang. Wujudnya akhbar dan majalah yang memberi ruang kepada penyiaran cerpen membawa kepada kecenderungan penulis membawa persoalan kesedaran kebangsaan. Antara akhbar dan majalah yang menampung karya penulis pada masa itu ialah : Warta Ahad, Majlis , Warta Jenaka, Majalah Cerita, Warta Malaya, Kehidupan Dunia Akhirat, Warta Ahad, Utusan Zaman. akbarMajlis, dan Lembaga Malaya.

Ia memungkinkan pula kemunculan tokoh penulis yang berkecenderungan menghasilkan karya-karya yang membawa kepada kesedaran nasionalisme serta politik bangsa. Mereka antaranya ialah Ishak Haji Muhamad dengan karya-karya seperti Anak Dibuat Denak (Warta Malaya 3 Disember 1936), Macam Gergaji Dua Mata (Warta Ahad, 5 Jun – 19 Jun 1938), Istana Berembun (Warta Ahad, 3 April – 10 April 1938), Hujan Emas di Negeri Orang (Semangat Asia, Februari 1943). Seterusnya adalah Abd. Rahim Kajai melalui cerpen seperti Buang Bangsa Buang Harta Keranamu Tuan (Utusan Zaman Mei 1941) dan Cerita Awang Putat (Utusan Zaman Nov 1941)

Persoalan yang dipaparkan dalam cerpen berkisar pada kelahiran semangat kebangsaan dan kesedaran politik bangsa Melayu. Antara persolan yang dimunculkan dalam cerpen adalah sebagaimana berikut :

Sikap yang anti dan bencikan penjajah. Persoalan ini dilahirkan dengan tidak begitu tegas dan ianyan dinyatakan dalam bentuk sindiran yang tajam khususnya kepada penjajah Inggeris. Sikap anti penjajah dikemukakan dengan jelas dan berani seperti dalam cerpen yang ditulis oleh Ishak Hj. Muhamma yang bertajuk “Rumah Besar Tiang Sebatang”. Beliau dengan berani memperkatakan tentang “Orang putih sangat sombong dan khianat.(Warta Ahad 7 Dis. 1941)

Keinginan hendak membebaskan dan memerdekakan tanah air. Rasa benci kepada penjajah dan perasaan tidak puashati telah mencetuskan keinginan yang kuat untuk membebaskan tanah air dari belenggu penjajah. Persoalan ini dapat ditelusuri menerusi cerpen “Anak Dibuat Denak” oleh Ishak Hj. Muhammad (Warta Ahad 12 – 19 Julai 1938). Situasi dan tindakan orang bukan Melayu menerusi watak Tauke Tong Sam Pah dan orang peranakan DKK, Tuan Muhammad Iskandar Maidin yang ingin menguasai politik Tanah Melayu mencetuskan rasa benci dan memberi motivasi kepada Mat Kerengga mengembalikan kekuasaan orang Melayu. Cerpen Di Sini Kita Bukannya Orang Dagang karya Ishak Hj. Muhammad (Utusan Zaman ,15 Jun – 6 Julai 1940) Siasat Yang Tiada Diminta , Abu Bakar Ahmad (Lembaga Malaya 18 April – 16
Mei 1941)


Kritikan terhadap golongan pembesar-pembesar Melayu yang mengkhianati bangsa.
Kebencian terhadap para pembesar Melayu yang mementingkan kepentingan peribadi dengan mengutamakan nafsu serakah sehingga sanggup menggadaikan maruah diri dan tanah air. Hal ini pernah di sebut oleh Shamsuddin Salleh dalam cerpennya yang bertajuk “ Cermin Pergaulan Hidup Di Dunia”( Utusan Zaman 1 Jun 1940) yang memperkatakan golongan pembesar Melayu yang sanggup memberi peluang kepada pendatang sedangkan anak bangsa diketepikan sebagaimana cerpen Istana Berembun (Ishak Hj. Muhammad), Buang Bangsa Buang Harta Keranamu Tuan, Cerita Awang Putat ( Abd. Rahim Kajai)

Wujudnya seruan untuk bersatu padu untuk menyingkirkan penjajah. Seruan semangat nasionalisme yang dilakukan melalui tulisan di akhbar dan majalah agar semua bangsa Melayu bersatu padu bagi menyingkirkan penjajah dari Tanah Melayu. Contoh cerpen yang mengemukakana persoalan ini ialah cerpen yang bertajuk “ Nasib Pengarang Muda” oleh Muhammad Yassin Maamor yang menceritakan tentang Ajmain seorang nasionalis yang giat menulis tentang semangat kebangsaan orang-orang Melayu dan dia kemudian dihukum buang negeri ke Hong Kong selama 10 tahun. Cerpen Bintang Kemajuan Menyuluh di Kampung Johol karya Ababa Teruna ( Warta Ahad 27 April – 4 Mei 1941), cerpen Dari Perangkap Ke Penjara, Kemudian Lalu ke Syurga Oleh: Ishak Hj. Muhammad ( Utusan Zaman 13 Julai – 10 Ogos 1940).

Kebimbingan terhadap ancaman dalam bidang ekonomi yang boleh mengugat orang Melayu. Orang Melayu turut rasa terancam dalam aspek ekonomi kedatangan dan aktiviti orang bukan Melayu yang dibawa masuk oleh penjajah turut mengoyahkan orang Melayu. Ancaman ekonomi ini dengan berani dan lantang telah disuarakan oleh Ishak Hj. Muhammad menerusi cerpennnya yang bertajuk “Dolly Bidadari Shanghai” Utusan Zaman 24 Ogos – 21 September 1940. yang mengisahkan watak Dolly yang telah menjadi alat orang-orang Cina untuk menguasai ekonomi Tanah Melayu menerusi para pembesar Melayu yang dungu.

Kesedaran tentang kemunduran dan kemerosotan orang Melayu dalam pelbagai bidang. Kemunduran dan kemerosotan orang Melayu dalam pelbagai bidang telah menyebabkan timbulnya kekecewaan di kalangan nasionalis, lantas kesedaran kebangsaan dan politik mulai disuarakan dengan lantang . Cerpen “Tengku Achar Diraja Paku Alam” oleh Abu Bakar Ali ( Warta Ahad 17 -24 Mac 1940) dan cerpen “Awang Putat” oleh Rahim Kajai (Utusan Zaman 1 – 8 November 1940) Dalam cerpen Awang Putat yang mengisahkan Awang Putat yang berjaya menubuhkan Kedai Syarikat Kerjasama dan akhirnya berjaya menyaingi Kedai Ah Kau.

Membela nasib bangsa dan negara. Sikap penjajah yang membelakangkan orang Melayu dan lebih mengutamakan golongan pendatang menyebabkan ramai orang Melayu yang kecewa dan patah hati dengan penjajah. Kekecewaan itu membuatkan mereka berazam untuk membela nasib bangsa dan Negara. Cerpen “Disini Kita Bukannya Orang Dagang” karya Ishak Hj.Muhammad yang mengisahkan Ramli yang telah merantau kerana kecewa dengan penjajah akhirnya kembali semula ke tanah air untuk menyatupadukan anak bangsa bagi membela nasib bangsa dan Negara.

Perkembangan cerpen yang membawa nada nasionalisme dalam cerpen-cerpen sebelum perang dipenagruhi oleh beberapa faktor penting. Antaranya ialah :


Pertubuhan politik Melayu iaitu KMM. Pertubuhan politik ini ialah sebuah perkumpulan radikal yang ingin menuntut kemerdekaan tanah air tanpa bekerjasama dengan pemerintah Inggeris. Keadaan inilah yang telah mencetuskan sikap antipenjajahan,

Kekuasaan politik dikuasai oleh Inggeris. Penguasaan Inggeris dalam politik di Tanah Melayu bermula semenjak berlakunya perjanjian Pangkor pada tahun 1874, senario ini menyebabkan kekuasaan raja-raja Melayu mulai terbatas.

Kekuasaan raja-raja Melayu terhad. Penguasaan Inggeris telah mengakibatkan kekuasaan raja-raja Melayu hanya terhad pada urusan yang bersangkutan dengan agama dan adat resam orang Melayu sahaja. Situasi ini, menyebabkan orang-orang Inggeris lebih berkuasa.

Inggeris tidak berusaha memajukan orang Melayu. Inggeris yang menguasai politik di Tanah Melayu, tidak mempedulikan orang Melayu, orang Melayu dipinggirkan serta Inggeris hanya mahu mengejar keuntungan tanpa mempedulikan nasib orang-orang Melayu yang terus dibelenggu dengan kemiskinan.

Inggeris menindas ekonomi orang Melayu. Inggeris terus menindas orang Melayu dalam segala aspek dan lapangan, sama ada dalam bidang ekonomi, pelajaran dan politik. Keadaan inilah yang menyebabkan timbul kesedaran di kalangan orang Melayu yang Inggeris hanya mementingkan keuntungan tanpa mempedulikan nasib orang Melayu.

Kedatangan kaum pendatang serta aktiviti mereka. Kehadiran kaum imigran akibat daripada pintu terbuka kaum penjajah semakin menimbulkan rasa tidak senang di kalangan orang Melayu. Ini adalah kerana aktiviti yang dilakukan oleh mereka yang cuba untuk membolot kekayaan Tanah Melayu. Senario ini memberi kesan kepada kedudukan ekonomi orang Melayu.

Comments