2012

31 Dec 2012

23 Dec 2012

Lorong Pengalaman, Udara Perasaan



LORONG PENGALAMAN, UDARA PERASAAN



PUISI adalah rakam kejiwaan penyair. Berpegang kepada kata puisi adalah bahasa terindah tersusun dalam bentuk yang terindah. Bahasa kejiwaan menerbitkan kata yang mengalir menjadi baris-baris puisi. Baris-baris kecil yang hanya memiliki beberapa ungkap kata. Kata yang disusun pula dalam garis baris yang menzahirkan struktur dan polanya. Rangkuman kedua-dua elemen tadi yakni kata dan baris menerbitkan sesenbuah puisi yang dapat kita nikmati.

Ramai pula dalam kalangan remaja merasa agak sukar memahami puisi. Sama ada puisi tradisional iaitu syair, seloka, gurindam, seloka atau pantun serta puisi moden iaitu sajak; kesemua itu terangkum dalam susuk dan susun kata dan baris yang menjadi elemen pembentukan puisi. Kalaulah ia hanya kata dan baris, mengapa pula dianggap sukar untuk ditanggap atau difahami? Keperluan apa lagi yang perlu ada pada seseorang tuntuk memahami dengan mendalam sesebuah puisi?

Pada anak remaja yang mula mendekati puisi mungkin akan merasa sukarnya untuk mengunyah apa yang terhidang hanya dalam susun kata dan baris tadi. Terasa begitu sukar untuk difahami apakah yang dimaksudkan dalam kata-kata dan susun baris itu. Jangan mudah merasa bosan berhadapan dengan puisi. Ada beberapa perkata penting yang perlu dijadikan kemahiran apabila berhadapan dengan sesebuah puisi.

Ambil sahaja sebuah puisi tradisional Melayu yang sering didengar :

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua

Ulangi berkali membaca patah-patah kata yang disusun dalam bentuk fizikalnya sebanyak empat baris. Susun kata dan atur baris inilah yang membina identiti puisi ini. Di situlah pula tersergam keindahan puisi Melayu tradisional iaitu pantun empat kerat. Kata-kata sederhana hanya empat atau limah patah kata sebaris dengan susun barisnya empat baris dan jumlah kata hampir sekata. Seiring dengan jumlah kata adalah jumlah suku kata yang sekata. Menambahkan keindahan bentuk puisi ini adalah kata rima akhirnya yang berulang-ulang persis sebuah irama yang melantunkan kemerduan. Ada lagi, dengarkan pada bahagian tengah barisnya, ada perulangan bunyi yang menusuk pendengaran dengan getar bunyi  yang bertingkah dan berulang. Begitu jika kita mendekatkan diri pada puisi ini. Kita sedang berhadapan dengan irama, ritma dan nada yang begitu indah dan menusuk jiwa. Begitulah keindahan strukutur atau bentuk yang menjadikan pantun empat kerat ini begitu indah. Kehalusan pada jajaran kata, bunyi, irama dan tingkah yang memberi impak ke dalam kelopak kalbu. Keutamaan berhadapan dengan puisi adalah usah kita kunci jiwa kita dan berada begitu jauh dengan puisi.

Dekatkan diri kita sedekat-dekatnya dengan puisi. Dengarkan irama dan ritma yang terbit dari ungkap kata yang terhasil. Bukakan emosi kita untuk menjadi lebih lentur kepada segala aspek bunyi dan muzik terhasil. Jangan berjauh dengan segala yang terdengar dan terakam di telinga atau hati. Salurkan semua itu menjadi suatu aliran yang bergerak ke dalam jiwa. Kedekatan begini akan membawa kita akrab dengan puisi. Semakin kita akrab semakin kita mulai memahami apa yang tertinggal dalam rongga kata-kata itu.

Selain mencari keindahan bentuknya, mulailah meneroka keindahan kata yang tertulis dalam baris puisi itu. Ia barangkali lebih mencabar kerana kata-kata tadi dipilih yang terbaik untuk digabungkan menjadi kata-kata dalam puisi. Bacakan pantun itu sekali lagi, kalau boleh dengan keintiman bacaan pantun yang sebenarnya dengan memberi keutamaan kepada rima dan jeda.  Sekarang kita berhadapan dengan inti puisi . Yang berada di hadapan kita hanyalah kata-kata. Kata-kata yang dipilih dengan penuih kecermatan oleh pengarang dan ia tersaji buat kita menikmatinya.

Bagaimana pula untuk menikmati kata-kata ini? Sudah dibaca berkali-kali dan kita cuba memahami maknanya. Ada satu perkara penting yang harus dipertimbang dalam memahami makna kata ini. Kita harus bersedia untuk menatap emosi yang terkembang dalam ungkapan kata pilihan itu tadi.  Mengapa pula perlu kita memahami emosi  di sebalik kata-kata itu? Kerana sesebuah puisi yang dipantulkan dalamn kata-kata adalah emosi yang sarat. Ia bukan hanya kata-kata biasa, tetapi terisikan emosi yang tersimpan rapi di sebalik kata-kata yang diungkapkan. Oleh itu dalam memahami maksud dan untai emosi dalam sesebuah puisi, kita perlu membedah secara perlahan-lahan lapis-lapis makna yang tersembunyi dalam kata-kata tersebut. Kita tak ada pilihan lain, hanya kata-kata. Jangan kita merasa aneh kerana dalam lukisan yang tersaji adalah warna dan garis sahaja. Garis dan warna yang membentuk imej atau citra dan dari sini orang mencari maksud dan ungkap makna dalam sesebuah lukisan.

Kita kembali kepada kata-kata yang telah tersedia. Bedah pertama adalah untuk memahamkan imej atau citra yang berderet sebagai kata-kata. Dalam puisi di atas citranya adalah : pulau, jauh, ke tengah, gunung, bercabang tiga, hancur, badan, tanah, budi, dikenang. Setiap citra atau imej ini akan menghasilkan emosi tersendiri apabila kita cantumkan ia satu persatu. Pembedahan ini harus cermat kerana kita jangan cepat melihat makna bahasa biasa dalam bahasa puisi. Mungkin pulau yang disebutkan membawa maksud dataran yang dikelilingi air, atau maksud disisihkan. Jadi dalam puisi kita harus menerima hakikat bahawa ada kata-kata yang menyarankan banyak maksud atau makna baru yang bukan lagi pada makna biasa. Unsur-unsur konotatif perlu diberi perhatian dalam puisi. Ia bermaksud makna biasa sudah bertukar menjadi makna lain sesuai dengan konteks dan ungkap puisi itu. Kelainan makna akan memberi kesan kelainan kejiwaan pula.

Aspek kejiwaan yang perlu diberi perhati adalah bagaimana ia tersembunyi dalam kata-kata. Ingatl;ah sebuah puisi adalah lorong pengalaman dan udara perasaan seseorang pengarangnya. Sesebuah puisi merakam pengalaman kehidupan sama ada secara benar atau imaginatif. Pengalaman ini sudah tentu tersalut emosi kerana pengarang manusia yang tak terlepas dari emosi itu. Kita melalui lorong pengalaman pengarang apabila membaca karyanya dan dalam waktu yang sama menghidu udara emosi atau perasaan pengarang. Kita cuba mencari apakah emosi yang terbawa dalam kata-kata itu. Apakah suatu keluhan yang panjang, rintihan kecewa, rasa gembira atau berpuas hati, atau rasa kecintaan yang mendalam terhadap sesuatu. Ingatlah ia teradun begitu halus dan indah dalam puisi. Jika kita terburu-buru membedahnya, kita akan kehilangan banyak petunjuk untuk memahami puisi itu.

Bukakan lapis-lapis maksud dan makna dengan menyingkap emosi di sebalik kata-kata atau imejan tadi. Mari kita lalui lorong pengalaman yang pernah dilalui oleh pengarangnya. Mari kita hirup udara emosi yang pernah berbekas di perasaannya. Perlahan dan sabar menetas puisi. Keluarkan satu persatu dari jalinan yang telah dibuat oleh pengarang. Puisi ibarat sulaman yang dibuat pada sehelai kain. Penuh warna-warni benang dan begitu kemas sulamannya. Kita sebagai penikmat perlu mencari bagaimana jalinan benang itu pada kain tadi. Cuba perhatikan warna benang yang berjalin padu itu, baru kita dapat menikmati bahasa sulaman berkenaan.


Itulah kerahsiaan seseorang pengarang sebenarnya. Pengarang banyak tinggalkan tanda-tanda dalamn karyanya dan jika kita dapat menjejak dia di lorong pengalaman itu dan dapat pula menghidu bau udara emosinya kita akan mengenali dan menemui kerahsiaan pengarang. Penemuan ini begitu mengasyikkan. Inilah keindahan yang sebenarnya tercermin dalam sesebuah karya satera. Kita dapat bersama merentas lorong pengalaman dan menghidu udara emosi yang tidak disebutkan secara nyata kepada kita. Kita perlu merentas segala yang terhidang dari kata-kata hingga struktur puisi itu  untuk memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam sesebuah puisi.

Mari kita mulai melihat pada ungkap ini.. Pulau pandan jauh ke tengah. Setelah kita menyusun segala imej-imej berkaitan kita mula dapat menyelak emosinya perlahan-lahan. Apakah yang beralun dalam jiwa pengarang, apakah merasa gembira? Apakah merasa sayu menatap pulau yang jauh? Apakah merasa tertekan jiwanya dengan apa yang disebutkan? Ia seolah cebis kata-kata yang terundang rasa terhiris dan sangat menyayat hati. Terasa ada semacam rasa rindu dan nostalgia yang tidak boleh terlepas dari banir perasaan. Semakin ditatap semakin merasa sangat merindukan? Ini adalah kemungkinan alur emosi dalam puisi tadi. Mengapa pula disebutkan gunung daik bercabang tiga? Apa kaitan dengan pulau yang jauh dan gunung yang bercabang begitu? Bukankah ia seolah-olah sebagai penanda, sebagai suatu catatan bahawa tak ada lain yang boleh dihubungkan dengan pulau pandan adalah kehadiran gunung daik yang cabangnya tiga. Tak ada bangingan lain lagi. Yang pasti tak ada perkara lain yang seiras dengannya. Pulau dan gunung itu menjadi penanda yang kejap berbekas dalam kalbu. Ke mana pun pergi ia akan tersulam dalam peta ingatan bahawa pulau pandan akan terbayang gunung daik. Wah... Nampaknya kita harus pergi lebih  mendalam lagi ke dalam bancuhan kata pengarang ini. Kalau disimpulkan dari dua baris puisi ini emosinya adalah rasa terharu dan sayu yang begitu berbekas dalam kalbu.

Kita telusuri lagi dua baris akhir puisi ini. Hancur badan di kandung tanah. Jelaslah bahawa pada kata hancur badan ini menimbulkan emosi yang begitu menghiris jiwa. Rasa kepayahan yang memberat dalam perasaan penulisnya. Ia sebuah pemergian, perpisahan dan tidak ada jalan kembali. Ungkapan di kandung tanah memberi kesan emosi kehilangan, pemergian dan ketiadaan. Ia juga memperlihatkan tentang kematian atau kata lain bermaksud perkuburan. Seluruhnya memberi kesan emosi yang berat iaitu bagaimana keharuan dan kepayahan melepaskan seseorang yang sudah pasti amat disanjung, disayang, dipuja, diminati, dikasihi dan sebagainya..

Pada baris akhirnya disebutkan kata-kata budi yang baik dikenang jua. Penutup pusii yang seolah-olah membuat satu rumusan atau kesimpulan yang jelas. Manusia akan menghadapi kematian tetapi kebaikan, budi dan jasa akan kekal di hati. Pada baris akhir ini pengarang memberi pesan yang jelas  bahawa kebaikan dan jasa akan dikenang orang sampai bila-bila dan ia tak memilih sesiapa pun.

Kalau disimpulkan bahawa dari puisi ini dapat difahami bahawa mansuai tidak abadi dan yang kekal adalah kebaikan dan  budi baik yang tak akan dilupakan selama-lamanya. Bahawa pengarang memberi pedoman bahawa kita akan menemui kematian dan tak abadi. Dalam hidup perlu berbuat jasa dan bakti kerana hanya itu yang terbawa lama dalam kenangan.

Begitulah perjalanan kita di lorong pengalaman dan udara perasaan ini.
Dekatkanlah diri pada puisi kerana kita akan merasa amat teruja, puas dan nikmat sesudah kita dapat menikmatinya dengan mendalam.



22 Dec 2012

Lagu Puisi : Permata Untuk Isteri



 Permata Untuk Isteri

Telah kusiapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

Lagu Kopratasa 

Lagu Puisi : Sesetia Malam Pada Siang





Sesetia Malam Pada Siang

Sejak namamu menggetar rasa
kukhabarkan pada angin
bawalah daunan kering
terbang jauh dari hidupku
ingin aku bersama awan
mengarang kembang cantik untukmu
Jika kutahu
kaulah ciptaan terakhir
tiada kujadi pelari sepi
diburu mimpi demi mimpi
lalu berhenti di kaki hari
merenung pagi yang cerah
sekadar datang dan pergi
Kau buatku
lalu berpayung senja indah
suara ombakmu
memecah sepi pantai rinduku
di balik karangan batu
ikan kecil berenang riang
ingin selalu di dasarmu
sesetia malam pada siang
Puisi -Siti Zaleha M. Hashim
Lagu - Kopratasa





1 Dec 2012

Biografi Suhaimi Hj Muhammad



Latar Belakang

Suhaimi Hj Muhammad anak Kampong Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak dan dilahirkan pada 8 Februari 1934. Rumahnya terletak di tebing Sungai Perak kepunyaan bapanya; Haji Muhammad bin Hassan dan ibunya bernama Hajjah Darwiah binti Ya’akub. Dia merupakan anak kelima daripada lapan adik beradik.

Pendidikan awal Suhaimi bermula di Sekolah Melayu Kuala Kangsar hingga Jepun menyerah kalah (1940-1945) kemudian apabila Inggeris kembali menjajah Tanah Melayu, dia meneruskan pelajarannya di Clifford School, Kuala Kangsar sehingga darjah empat (1946-1948).

Namun pada tahun 1948 dia bertukar ke Sekolah Melayu, Kuala Kangsar tetapi tahun berikutnya (1949), dia bertukar lagi ke Sekolah Melayu, Bukit Chandan berhampiran Istana Iskandariah. Di sini pada sebelah pagi dia belajar secara formal tetapi di petang hari Suhaimi belajar agama.

Pada tahun 1949 dia lulus darjah enam Melayu dan sijil persekolahan agama darjah enam Kerajaan. Kelulusan ini melayakkan beliau menjadi guru sekolah di Kamunting (1950) kemudian ke sekolah Melayu Sungai Setar, Parit Buntar (1951).

Pada tahun 1951 dia diterima belajar di Sultan Idris Trainning Collage (SITC), Tanjong Malim sehingga tahun 1954. Di SITC beliau pernah menjadi Setiausaha Persatuan Penuntut. Setelah tamat SITC dia diiktiraf sebagai guru terlatih dan ditawarkan mengajar di Sekolah Melayu Padang Empang, Kuala Kangsar pada 1955.

Belajar petang

Setahun kemudian dipindahkan pula mengajar di Sekolah Melayu Tanah Kebun, Parit Buntar. Dalam tempoh ini beliau mengisi waktu lapang khususnya pada hari Sabtu dan Ahad dengan belajar tajwid al-Quran daripada Ustaz Alias Abdullah.

Di samping itu, Suhaimi juga menyambung semula pendidikannya dengan belajar petang di Sekolah Inggeris Methodist, Nibong Tebal, Seberang Perai pada tahun 1961. Kemudian pada tahun 1962 hingga 1966 dia belajar pula di Sekolah Methodist, Parit Buntar pada sebelah petang antara jam 1.00 hinga 6.30 petang.

Berkat usaha gigih itu, pada tahun 1966 beliau lulus Senior Cambridge dengan memperolehi Overseas School Certificate (OSC) dan Malaysian Certificate of Education (MCE) dalam pengantar bahasa Inggeris. Pada tahun 1967, dia menyambung pelajaran ke tingkatan enam di Sekolah Anderson, Ipoh tetapi tidak sempat menduduki peperiksaan Higher School Certificate (HSC) kerana jatuh sakit. Namun begitu kerjayanya sebagai guru diteruskan di Sekolah Menengah Menglembu, Ipoh (1966-1971).

Bergiat dalam NGO

Semasa di Ipoh beliau bergiat cergas dalam NGO dengan mengasaskan Badan Kebudayaan Melayu Tenaga Utama (PERTAMA) pada tahun 1970 sekali gus menjadi pengerusi sehingga tahun 1974. Semasa PERTAMA di bawah kepimpinannya, pada tahun 1973 badan ini pernah menganjurkan Seminar Penulis Malaysia Barat di Ipoh.

Pada tahun 1974 pula beliau bersama penulis Perak, Baharuddin Kahar, Ahmad Mahmud dan Abdul Latif Bidin menubuhkan pula persatuan penulis yang diberi nama GATRA DUA dan lantas menjadi pengerusinya selam tiga tahun (1974-1977).

Semasa memimpin GATRA DUA iaitu pada tahun 1975, Suhaimi meninggalkan kerjaya perguruan sebaliknya memilih jawatan Pembantu Pegawai Penyelidik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur . Sewaktu di DBP beliau pernah menjadi anggota redaksi majalah Dewan Sastera dan Dewan Bahasa bersama-sama Kris Mas, Usman Awang, Baha Zain, Anwar Ridzuan dan Sutung Umar RS.

Suhaimi juga pernah bertugas di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera sebagai Pegawai Penyelidik mulai tahun 1978 sehingga bersara wajib ketika berusia 55 tahun pada tahun 1989 setelah berkhidmat dengan Kerajaan selama 36 tahun. Di samping melaksanakan tugas hakiki, ketika di DBP beliau banyak terlibat dalam memberi ceramah, membentang kertas kerja serta membimbing calon penulis dari seluruh negara.


Kegiatan di luar bidang penulisan

Sewaktu merantau 25 tahun di Kuala Lumpur, Suhaimi sempat mempelajari dan mendalami bahasa Arab daripada pensyarah-pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) termasuk Ustaz Nordin bin Ahmad di samping memasuki kelas di Masjid Negara.

Ilmu tajwid turut dipelajarinya menerusi ustaz Haji Ahmad bin Ali dari tahun 1980 hingga 1990; taranum (lagu al-Quran) dengan ustaz Tarmizi di Masjid Taman Putera, Ampang serta ilmu tafsir, tasawuf, fiqh, tauhid, hadis daripada guru pondok tempatan. Kemudian Suhaimi memperkukuhkan Ilmu Islam yang dipelajari itu dengan pembacaan serius beberapa buah buku beraliran tasawuf, fiqh, sirah Nabi, sufism serta buku berkaitan Islam.

Setelah bersara, Suhaimi menjadi kontraktor kelas F dengan mengambil kontrak kerja pembaikan pejabat-pejabat kerajaan di Kuala Lumpur antara tahun 1993 hingga tahun 1998.

Bidang ini tidak lama diceburi sebaliknya dia meneruskan kembali kegiatan keilmuan Islam. Buktinya pada tahun 1980 dia menerima ijazah tarekat Naqsyabandiah daripada Tuan Guru Haji Ma’aruf bin Ya’akub, Lenggeng, Negeri Sembilan. Di samping itu, Suhaimi juga dilantik sebagai bilal dan imam gantian di Surau Taman Maluri, Kampung Pandan, Kuala Lumpur .

Di tahun-tahun 1990-an dia melibatkan diri dengan kumpulan tabligh di Seri Petaling dan bergiat di sekitar Kuala Lumpur. Pada tahun 1999 isteri yang dicintainya, Halijah binti Ismail, seorang guru Kerajaan telah meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan, Cheras, Kuala Lumpur.

Justeru pada tahun 2001 Suhaimi mengambil keputusan meninggalkan kota kosmopolitan Kuala Lumpur yang fana itu kembali ke negeri asalnya, Perak dan menetap di Lot 3971, Jalan Tempua, Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan Dua, Gugusan Manjoi, Ipoh.

Suhaimi kini menghabiskan sisa-sisa usianya dengan berbakti kepada masyarakat dengan menjadi bilal dan imam gantian di Surau Al-Ikhlasiah, Jalan Pemimpin, Gugusan Manjoi, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Suhaimi dan Karya

Karya pertama Suhaimi Hj Muhammad berbentuk cerpen berjudul Korban Lantaran Ayah tersiar di majalah Mutiara (Disember, 1950 ketika berusia 16 tahun. Semenjak itu dia terus berkarya tanpa henti sehingga kini. Kajian menunjukkan bahawa Suhaimi telah melahirkan pelbagai kumpulan puisi, cerpen, esei kritikan dan pernah menyusun atau menyelenggarakan karya penulis lain dalam bentuk buku seperti berikut:

1. Antologi puisi perseorangan, 33 buah buku (sehingga 2010)
2. Antologi puisi bersama, .27 buah buku
3. Antologi cerpen perseorangan, 3 buah buku
4. Antologi cerpen bersama, 4 buah buku
5. Kumpulan esei kritikan perseorangan, 2 buah buku
6. Esei kritikan dlm majalah/akhbar, 89 tajuk
7. Tulisan kata pengantar, 10 buah buku
8. Kumpulan skrip drama bersama, 2 buah buku
9. Penyelenggara buku biografi (1), puisi (3) dan kamus (1)

Penulisan Sajak

Suhaimi telah melahirkan 33 buah buku puisi perseorangan sepanjang 60 tahun berkarya. Ini adalah satu rekod Malaysia kerana tiada seorangpun penyair tanah air yang mampu menyaingi prestasi ini. Kajian juga mendapati bahawa antologi puisi yang paling sedikit muka suratnya ialah Siluet (Suhaimi Enterprise:1984) sebanyak 23 halaman manakala yang tebal pula berjudul As-Salam ( DBP:2006) mengandungi 495 halaman. Di samping itu, sajak-sajak Suhaimi turut dimuatkan ke dalam 27 antologi bersama dengan penulis-penulis lain. Ini bermakna sajak-sajak Suhaimi itu dianggap penting dan perlu dibukukan. Justeru Malaysia Book of Records Sdn Bhd wajar memberikan pengiktirafan kepada beliau.

Suhaimi Hj Muhammad sangat komited dengan penulisan puisi meskipun dia berkebolehan menghasilkan cerpen, esei dan skrip drama tetapi kelihatan memfokuskan bakatnya terhadap sajak. Dia begitu intim dengan puisi serta mementingkan kuantiti dan kualiti. Menurut Suhaimi, dia telah menulis kira-kira 2000 puisi sepanjang hayat kepengarangan sehingga kini. Oleh itu, secara purata Suhaimi telah menulis sebanyak 33 kuntum puisi setahun atau kira-kira 3 kuntum sajak dalam masa sebulan. Sesungguhnya benarlah pandangan Harris Effendi Thahar dari Indonesia yang menilai Suhaimi seperti berikut;

“Dia (Suhaimi) seorang penyair yang amat subur (prolific) dan konsisten dalam kepenyairannya. Baginya menulis puisi bagaikan ibadah sehari-hari – sentiasa resah mencari rahsia kehidupan. (Harian Singgalang, Indonesia, 20 Oktober 1982).



Aliran dalam sajak-sajak Suhaimi Hj Muhammad

Oleh kerana Suhaimi begitu komited menukangi puisi, dia berjaya mencorak karyanya dengan mengikut aliran-aliran tertentu. Pastinya Suhaimi banyak membaca karya penyair luar yang dapat membantunya mencipta pelbagai aliran Barat yang disesuaikan dengan suasana tempatan. Kajian mendapati bahawa Suhaimi mengangkat empat aliran yang dominan di dalam sajak-sajak beliau iaitu:

1. Realisme
2. Surelisme
3. Mistikisme
4. Eksistensialisme

Suhaimi lebih menyukai aliran surealisme berbanding realisme dan eksistensialisme. Hal ini dinyatakan oleh Dr Mana Sikana yang menganggap bahawa;

“Suhaimi merupakan penyair Melayu yang pertama membawa sajak-sajak beraliran surealisme ke dalam sastera Melayu. Dan hal ini kemudian diikuti oleh Latiff Mohidin. Sajak-sajak yang lahir daripada alam bawah sedar, impian dan imaginasi yang menjadi ciri-ciri penting dalam sajak surealisme dapat dilihat daripada sajak-sajak Suhaimi yang terkumpul dalam kedua-dua kumpulannya; Lain Jiwa Lain Wajah (1960) dan Rontgen (1963)”. (Aliran dalam Sastera Melayu; 1982)

Di samping aliran surealisme yang amat disenanginya, Suhaimi juga dilihat telah mengubah status-quo penukangan sajak-sajaknya dengan memberi nafas baru iaitu memasukkan aliran mistikisme seperti yang terkandung dalam beberapa antologi puisinya. Saya melihat Suhaimi telah menjumpai aliran yang sesuai dengan jiwanya; sebagai seorang yang mencintai Islam. Asas keIslaman yang tinggi seperti pernah mempelajari tasawuf, tafsir al-Quran dan Hadis; apatah lagi mengamalkan tareqat Naqsyabandiah serta tabliqh, Suhaimi layak menghasilkan puisi-puisi sufi.

Penghasilan sajak-sajak beraliran mistikisme ini telah meletakkan Suhaimi antara penyair sufi yang amat menonjol di negara kita. Hal yang sama dinyatakan oleh Hasni Abas terhadap Suhaimi. Katanya;

“Dalam kumpulan Wujud yang mengandungi 206 puisi itu, Suhaimi menulis tentang ketuhanan, tasawuf, dan kebatinan, serta tidak lagi mengenai kebendaan. Melalui Wujud, Suhaimi telah berjaya mengungkapkan persoalan cinta martabat tinggi, cinta terhadap al-Khalik, pencipta segala pencipta- (Dewan Sastera, November 1996)

Keberhasilannya sebagai penyair sufi boleh dinilai daripada tanggapan Sasterawan Negara Dato’ Shahnon Ahmad dalam sepucuk suratnya kepada Suhaimi (9 September 1996) yang antara lain menyebut bahawa;

“Tentulah kelahiran Wujud ini banyak membawa kita bermesra dan berpaut kepada Allah. Daripada beberapa sajak dalam Wujud yang saya renungi, ternyata saudara sudah berada di tahap yang sangat saya rindui. Begitulah hendaknya”.

Pemikiran Suhaimi dalam sajak-sajaknya

Kajian mendapati bahawa Suhaimi mengutarakan empat aspek pemikiran dalam sajak-sajaknya yang boleh di bahagikan kepada tempoh berikut;

• Keadilan Sosial (1950-1959);

(Membicarakan mengenai anti-kolonialisme; menentang penindasan, pemerasan, perjuangan untuk mencapai kemerdekaan dan perdamaian dunia. Beliau bersikap seolah-olah social idealist yang hampir tergolong dalam Asas 50 dari segi mesej sajak-sajaknya. Ini dapat dilihat dalam Jalan ke Kotaku (1959)

• Kepincangan Sosial (1960-1969);

(Kebanyakan mesej sajaknya mengutarakan kepincangan sosial yang berlaku di sekelilingnya. Beliau mengkritik kepincangan yang berlaku dalam masyarakat dengan menampilkan sajak-sajak bersifat kabur (absurd) sangat individualistik. Antologi Tulisan di Kamar Tidur (1960), Lain Jiwa Lain Wajah (1960) dan Menyalak Bukit (1967)

• Keagamaan (1970-1980)

(Dari membicarakan kepincangan sosial, Suhaimi pada era tujuh hingga lapan puluhan telah beralih angin kepada mesej keagamaan. Peka dan waspada tentang realiti hidup serta mengetengahkan persoalan hidup mati. Contoh Bunga di Atas Batu (1970), Chorus Manusia Pengungsi (1976), Lilin Seinci (1980)

• Sufisme (1981-2010).

(Suhaimi mencapai tahap kematangan menukangi puisi dalam era ini dengan membicarakan soal-soal ketuhanan, tasawuf, cinta martabat tinggi – cinta terhadap al-Khalik, Pencipta alam ini. Wujud (1997), At-Tariq (2000), An-Nur (2003), As-Salam (2006), Asyik (2006), Cintamu Ummi (2007) dan Taman Taqwa (2009). Tujuh antologi ini sudah cukup meletakkan Suhaimi sebagai Penyair Sufi yang berwibawa).

Kesemua aspek pemikiran tersebut terkandung dalam 33 buah antologi puisi perseorangan dari Jalan ke Kotaku (1959) hingga Denyutkan Jantungmu (2010). Walau bagaimanapun tidak dapat disangkalkan bahawa terdapat sajak-sajak dalam tempoh tahun yang dinyatakan di atas bertindan lapis di dalam antologi yang berbeza kerana sukar dicerakinkan seratus-peratus berasaskan empat aspek pemikiran itu.

Reformis Persajakan Melayu

Selain menerapkan empat aliran yang ketara di dalam sajak-sajaknya, Suhaimi juga dianggap seorang reformis dalam perkembangan teknik persajakan Melayu di negara kita. Antara ciri-ciri perubahan teknik persajakan yang dilakukan Suhaimi ialah dengan mengenepikan unsur-unsur sajak seperti asonansi dan aliterasi di samping menggunakan perkataan biasa tetapi mempunyai pengertian berlapis; “Wanita Pelayan Kapal Udara”; “Di Masjid Negara” (Bunga di Atas Batu;190) seperti ditulis Rahman Shaari, Berita Minggu, 1 Jun 1975 bertajuk Puisi Suhaimi Seratus Prosa?”

Suhaimi juga melakukan perubahan dalam bentuk sajak yang dikesan seperti;

1. Terdapat pertembungan antara modeniti dengan tradisional. Ada kala sajaknya terpengaruh dengan tradisi tetapi kerap juga melepaskan pengaruh tradisi (“Melihat Suhaimi Hj Muhammad di dalam Gejala Lain”-Kemala, Dewan Sastera, Februari 1971

2. Pembentukan rangkap secara tradisional iaitu empat baris bagi serangkap atau kuatren (quatrain)- “Puisi Suhaimi Seratus Prosa?” Rahman Shaari, Berita Minggu, 1 Jun 1975
3. Puisinya tidak hidup sebagi puisi tetapi hidup sebagai cerpen yang sangat pendek. Cth; Dia mempunyai keluarga, Jalil
Bahkan ada keluarganya orang kaya
Pegawai negara, orang ternama
Mengapa mereka tak mahu menolong?- “Puisi Suhaimi Seratus Prosa?” Rahman Shaari, Berita Minggu, 1 Jun 1975

4. Bentuk visual pada kebanyakan puisi (Chorus Manusia Pengungsi, 1976 dan Rontgen, 1981. Mengambil pola rima yang bebas. Barisan panjang-panjang dan banyak pula dilakukan pengulangan dan menimbulkan unsur-unsur estetiknya-“Penyair Gigih Lain dari yang lain” Ilias Zaidi, Utusan Zaman, 12 Mac 1978

5. Tanggapan sesaat (spontaneous reaction) merupakan pernyataan peribadi yang menyimpang daripada garis besar perkembangan puisi Melayu moden- “Penyair-penyair yang lebih muda dalam tahun lima puluhan”- Umar Junus dlm Sikap dan Pemikiran dalam Puisi Melayu Moden, DBP:1980

6. Reformis dalam perkembangan teknik perpuisian Melayu di Malaysia- Dr. Ramli Isin (Utusan Zaman, 5 Mei 1974)

Dia juga merubah pemikiran status quo sajak Melayu kepada idealisme baru sekaligus dianggap sebagai pelopor aliran surealisme di Malaysia yang kemudiannya diikuti oleh Latiff Mohidin (Aliran dalam Sastera Melayu, 1982 – Mana Sikana).

Beliau juga penyair surealis dan “ahli sihir” dalam kesusasteraan Melayu Moden kerana karya-karya surealismenya sukar dimengertikan oleh khalayak (Dr Anuar Nor Arai –Mastika, Julai, Ogos, September 1985)

Pandangan Dr Anuar Nor Arai bahawa Suhaimi sebagai “ahli sihir” kerana berjaya memukau khalayaknya adalah berasaskan kepada mesej atau falsafah yang dilontarkan dengan kata-kata biasa tetapi penuh dengan makna tersirat, tersurat dan berlapis-lapis kerana beliau menulis di bawah sedar yang memantulkan tanggapan sesaat (spontaneous reaction) terhadap apa yang dilihat, dirasakan atau difikirkan.

Hal ini sejajar apa yang diutarakan oleh Rusli A. Malem (wartawan, pengkritik, penyair) Indonesia yang mengulas tentangan sajak Suhaimi. Katanya;

“Apabila kita membaca sajak-sajak Suhaimi sekilas lintas akan membawa kesan bahawa sajak-sajaknya itu ditulis dalam bentuk sederhana dan masalah yang cuba diungkap oleh penyair mungkin dianggap terlalu ringan. Akan tetapi, apabila direnungkan lebih jauh dan kita membaca berulang kali sajak-sajak karya Suhaimi itu, maka kita akan menemukan nuansa-nuansa lain yang tersirat dalam sajak-sajak tersebut. Di balik keserhanaan itu, saya menemukan suatu keistimewaan dalam sajak-sajak penyair Ssuhaimi yang telah aktif menulis sejak tahun 1950 itu”. (Sajak-sajak Suhaimi Hj Muhammad dalam Lilin Seinci” - Mimbar Umum, Indonesia, 30 Ogos 1981)

Demikian juga pendapat Dr Anwar Ridzuan (Mingguan Malaysia, 5 Disember 1971) yang mengatakan bahawa bahasa sajak Suhaimi lembut dan bersahaja sangat menikam perasaan, diserati dengan perbandingan-perbandingan yang menarik dan indah lantas Anwar berpendapat bahawa sajak-sajak Suhaimi itu merupakan bentuk baru.

Pandangan sarjana serta kritikan terhadap Suhaimi dan karyanya terangkum dalam 89 esei eceran, 27 buah buku serta tiga tajuk ditulis oleh pengkritik Indonesia. Sementara itu terdapat dua buah kajian akademik bertajuk “Suhaimi Haji Muhammad Reformis Teknik Persajakan Melayu”, Ibrahim Hamid, Latihan Ilmiah untuk Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian, UKM; 1977/1978. 238 hlm dan “Penjaraban Semiotik dalam Puisi-puisi Suhaimi Haji Muhammad.” Mohamad Shaidan, Disertasi Ijazah Sarjana Sastera, Universiti Putra Malaysia,Kuala Lumpur. 2001


Pengiktirafan Masyarakat Terhadap Suhaimi Sebagai Sasterawan

Setelah berpuluh tahun menulis di samping berkhidmat dengan Kerajaan serta berbakti kepada masyarakat melalui kegiatan keagamaan, Suhaimi Hj Muhammad telah memiliki pelbagai anugerah dan penghargaan. Namun demikian jika diteliti satu per satu anugerah atau hadiah yang diterimanya, hanyalah menjurus kepada prestasi karya yang dihasilkan dan bukan anugerah daripada Istana atau daripada lain-lain entiti yang berwibawa. Antaranya ialah Anugerah Sasterawan Perak (1987), SEA Write Award (1995), Karyawan Perak Sepanjang Zaman (1998), Hadiah Sastera Nasional (1971, 1987, 1998) Hadiah Sayembara Puisi Berunsur Islam (1981), Hadiah Sayembara Drama Berunsur Islam (1981), Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1999) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2000, 2006 dan 2007). Pada tahun 2010 Universiti Pendidikan Sultan Idris menganugerahkan beliau dengan Ijazah Sarjana Kehormat Kesusasteraan bagi menghargai pencapaian cemerlang dalam bidang puisi.

Penutup

Suhaimi Hj Muhammad atau nama penanya; Suria Negara, Pengeran Budiman, William Plomer, Raden Suhama, S.S Hutagalung, Prem Adinata dan As-Suhaimi adalah seorang penyair mapan Malaysia yang telah menulis selama 60 tahun (1950-2010) terutamanya dalam genre puisi.

Kajian ini menggunakan metod content analysis yang menyimpulkan bahawa sebahagian besar sajak-sajak Suhaimi terangkum dalam empat aliran utama iaitu realisme, surealisme, mistikisme dan eksistensalisme manakala pemikiran yang diutarakan mengandungi empat aspek penting seperti keadilan sosial (1950-1959); kepincangan sosial (1960-1969); keagamaan (1970-1980) dan sufisme (1981-2010). Kesemua aspek tersebut terkandung dalam 33 buah antologi puisi perseorangan dari Jalan Ke Kotaku (1959) hingga Denyutkan Jantungmu (2010).

Rujukan

As-Suhaimi. 2009. Taman Takwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Mana Sikana .2005. Teori Sastera Kontemporari. Bandar Baru Bangi: Penerbit Pustaka Karya
__________ 1983. Aliran-aliran dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Mohd Thani Ahmad dan Sarah Sardon. 1981. Wajah Biografi Penulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Suhaimi Haji Muhammad.1997. Wujud. Petaling Jaya: Tempo Publishing (M) Sdn. Bhd
___________2008. Apabila Malam Semakin Malam. Ipoh: Suhaimi Hj. Muhammad.




Catatan Kedua

Meneroka pemikiran Suhaimi dan Malim

Oleh DR.TALIB SAMAT


MUTIARA pemikiran dua orang tokoh sasterawan kelahiran Perak iaitu Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk akan dikupas dalam 22 buah kertas kerja oleh sarjana dalam dan luar negara pada Seminar Antarabangsa Pemikiran Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk. Seminar itu akan diadakan pada 5 dan 6 Mac depan di Dewan Sri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Seminar anjuran Persatuan Karyawan Perak diadakan dengan kerjasama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI dan Persatuan Suluh Budiman (BUDIMAN) ini diadakan dengan beberapa objektif tertentu.

Antaranya memperkatakan karya-karya Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk menggunakan pelbagai pendekatan dan teori kesusasteraan, memperkenalkan kedua-dua sasterawan kelahiran Perak kepada para pelajar, pengkaji dan masyarakat sastera di UPSI , seluruh Malaysia dan dunia, memartabatkan semula ketokohan kedua-dua orang sasterawan ini dan menghargainya semasa mereka masih hidup.

Selain itu untuk memotivasikan para pelajar sastera dan bukan sastera UPSI supaya berkarya seperti Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk. Ini kerana karya-karya mereka sentiasa menjadi bahan kajian latihan ilmiah kepada para pelajar universiti di negara ini.

Seminar ini juga diharap dapat memantapkan persiapan pencalonan Fakulti Bahasa UPSI agar Suhaimi Haji Muhammad dikurniakan anugerah berupa Ijazah Kehormat Doktor Persuratan UPSI pada tahun ini dan seterusnya dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara ke-11.

Dipinggirkan

Di samping itu objektifnya ialah Malim Ghozali Pk dicalonkan untuk menerima S.E.A Write Award oleh kerajaan Thailand. Seminar yang bertemakan "Memperkasakan Ketokohan Sasterawan Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk" yang selama ini agak dipinggirkan oleh masyarakat sastera di negara ini.

Seminar hari pertama memfokuskan perbincangan tentang pemikiran Suhaimi Haji Muhammad. Antara kertas kerja seminar hari pertama ialah Proses Kreatif dan Mengapa Saya Mengarang (Suhaimi Haji Muhammad), Perbincangan Biografi Suhaimi Haji Muhammad (Zabidin Ismail), Sumbangan Suhaimi Haji Muhammad Dalam Bidang Penulisan Cerpen Fokus Kumpulan Cerpen Kota Kenangan (Dr. Talib Samat), Kritikan Drama Bulan Jingga Karya Suhaimi Haji Muhammad (Dr. Ani Omar, UPSI), Kritikan Semiotik Terhadap Karya Terpilih Suhaimi Haji Muhammad (Mohamad Shahidan, DBP), Perbincangan Buku Kritikan Dilema Kesusasteraan Melayu Moden Karya Suhaimi Haji Muhammad (Jaafar Abdul Rahim), Perbincangan Kumpulan Puisi Sufi Mutakhir Suhaimi Haji Muhammad (Malim Ghozali Pk), Perbincangan Kumpulan Puisi Apabila Malam Semakin Malam Karya Suhaimi Haji Muhammad (Prof.Madya Datuk Dr.Mohd.Rosli Saludin), Perbandingan Karya Suhaimi Haji Muhammad Dengan Penyair lndonesia (Mohamad Daud Mohamad, DBP), Perbincangan Puisi-Puisi Suhaimi Haji Muhammad Yang Termuat Dalam Kumpulan Puisi Song 0f The Pelican (Dr.Haji Abdul Ghani Abu, Dekan,Fakulti Bahasa, UPSI) dan Pentafsiran Puisi Suhaimi Haji Muhammad Yang Termuat Dalam Kumpulan Puisi Taman Takwa Berasaskan Teori 4 SPBL (Abdul Halim Ali, UPSI).

Memperdebatkan

Manakala seminar pada hari kedua memperdebatkan perbincangan terhadap karya-karya Malim Ghozali Pk. Antara kertas kerja yang ditampilkan termasuklah Proses Kreatif Karya Terpilih dan Mengapa Saya Menulis Karya Kreatif (Malim Ghozali Pk), Kritikan Terhadap Novel Janji Paramaribo Karya Malim Ghozali Pk (Prof.Dr.Budi Darma, Universiti Nasional, Surabaya, lndonesia), Penilaian Kritis Terhadap Buku Kesempurnaan Mutlak Karya Malim Ghozali Pk (Dr.Muhammad Uthman El-Muhammaddy,ISTAC), Penelitian Novel Daun Karya Malim Ghozali Pk Berasaskan Teori Teksdealisme (Prof. Madya Abdul Rahman Napiah, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura) dan Penelitian Novel Redang Karya Malim Ghozali Pk (Dr.Mohd.Hanafi Ibrahim, DBP).

Seminar hari kedua itu juga memfokuskan kertas kerja Pemikiran dan Isu-isu Kemanusiaan Dalam Kumpulan Cerpen Usia Senja Karya Malim Ghozali Pk (UPSI), Perbincangan dua kumpulan puisi karya Malim Ghozali Pk Iaitu Gema Ruang dan Hujan Di Limun Pagi (Haji Abdul Rahim Abdullah, Aswara), Perbincangan Budaya Hidup Komuniti Melayu Jawa di Surinam, Amerika Latin Dalam Novel Janji Paramaribo Karya Malim Ghozali Pk Dengan Komuniti Melayu Republik Seychelles di Lautan Hindi (Dr.Talib Samat,UPSI) , Pemikiran dan Isu-isu Kemanusiaan Dalam Kumpulan Cerpen Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir! Karya Malim Ghozali Pk (Prof.Dr. Zakaria Ali, Fakulti Seni,UPSI) dan sebagainya.

Seminar sastera yang agak besar di negeri Perak ini akan diserikan lagi dengan Malam Gema Puisi UPSI pada pukul 8 malam 6 Mac di Dewan Auditorium Utama, UPSI yang akan menampilkan lebih 20 orang penyair yang memperdalamkan rasa kemanusiaan terhadap alam sekitar dan kehidupan di mayapada ini.

Seminar ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd.Kadir.

Antara buku yang akan dilancarkan ialah kumpulan puisi Apabila Malam Semakin Malam (karya Suhaimi Haji Muhammad), kumpulan puisi Merindu Alam (karya Ihsan Noorzali, DBP), Naratologi Shahnon Ahmad (karya Talib Samat,DBP,2010), Kenali Tokoh Berjasa Jilid 1 (karya Talib Samat, Pekan Ilmu Publications), Perjuangan Mengantarabangsakan Tengku Menteri Ngah Ibrahim (selenggaraan Talib Samat, Yayasan Perak) dan Pemikiran Politik Dalam Novel Ahmad Boestamam (Zabidin Ismail Penerbit Universiti Malaya).

Artikel ini dipetik dari portal Utusan Online



Kita Berdua Adalah Gambar




 KAJIAN PUISI MODEN : KITA BERDUA ADALAH GAMBAR
(Suhaimi Hj Muhammad)

MAKSUD SAJAK

Rangkap 1
Penyajak menyatakan cara hidup rakyat menjadi tonggak pada keamanan sesebuah Negara. Semangat perpaduan pelbagai kaum menjadi kukuh dan diikuti oleh kesetiaan kepada pemerintah.

Rangkap 2
Penyajak menasihati kita supaya tidak sombong kerana apa yang ada bukan milik kita sepenuhnya. Sebagai rakyat kita bebas melakukan kegitan harian, tetapi jangan sampai melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah.

Rangkap 3
Penyajak menjelaskan apabila pemimipin tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik kerana sesuatu sebab maka negara kita akan hancur

Rangkap 4
Penyajak menyatakan kuasa yang ita ada tidak akan kekal selama-lamanya.Kuasa itu boleh hilang pada bila-bila masa kerana Tuhan lebih berkuasa

MAKSUD KESELURUHAN

Rakyat yang hidup bersatu padu akan menjamin keharmonian sesebuah Negara. Keadaan ini ditambah lagi apabila Mereka setia kepada pemerintah.Rakyat dalam sesebuah Negara bebas melakukan sebarang aktiviti selagi tidak melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.Pemimpin yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik akan menyebabkan sesebuah Negara itu hancur.Kuasa kita sebenarnya tidak akan kekal selama-lamanya.

TEMA

Kekuasaan pemimpin yang bersifat sementara.Kuasa dan kedudukan hanya bersifat sementara kerana ia boleh bertukar ganti.
Contohnya : Sebentar lagi kita akan diturunkan

PERSOALAN

Persoalan hubungan antara pemimpin dengan rakyat
Contohnya betapa bangganya dia mempamerkan kewibawaan dan kesetiaan kita

Persoalan taat dan setia rakyat terhadap pemerintah Contohnya kesetiaan kita

Persoalan cara pemerintahan pemimpin
Contohnya betapa bangganya dia mempamerkan kewibawaan\

Persoalan Kekuasaan Tuhan
Contohnya maka bila-bila saja jasad kita akan lebur

GAYA BAHASA/KEINDAHAN BAHASA

Diksi yang tepat contohnya mewarnai perayaan

Asonansi
Contohnya jangan melampaui jejaknya(pengulangan vokal a )

Alitersi Contohnya jangan berbangga kerana berbangga bukan hak kita (pengulangan konsonan g)

Sinkof Contohnya kau

Kata ganda Contohnya bayang-bayang, bila-bila

AnaforaContohnya
Contoh : Kita berdua……
Kita hanya……

Repitisi baris
Contohnya sebentar lagi kita akan diturunkan

Repitisi kata Contohnya berbangga
Responsif Contohnya melampaui

UNSUR BUNYI

Asonansi
jangan melampaui jejaknya(pengulangan vokal a )

Aliterasi
jangan berbangga kerana berbangga bukan hak kita (pengulangan konsonan g)

Rima bebas
Contohnya rangkap 1 – aaabab, rangkap 2 – abccca

Anafora
Kita berdua……
Kita hanya……


Imbuhan
Contohnya mewarnai

NADA

Sinis
Penyajak menyindir golongan pemimpin yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.Contoh : Jangan berbangga,kerana berbangga bukan
Hak kita, kita hanya bercerita sebentar

SIKAP PENYAJAK

Tegas
Contohnya sebentar lagi kita akan diturunkan

Insaf Contohnya maka bila-bila saja jasad kita akan lebur

NILAI

Bersatu padu
Contohnya mewarnai perayaan dan budaya suatu bangsa

Kesetiaan
Contohnya kesetiaan kita

Bertanggungjawab
Contohnya betapa bangganya dia mempamerkan kewibawaan

MESEJ/PENGAJARAN

Kita seharusnya hidup bersatu padu
mewarnai perayaan dan budaya suatu bangsa

Kita hendaklah setia kepada pemerintah
kesetiaan kita

Kita perlu memilih pemerintah yang bertanggungjawab
Contoh : jangan melampaui jejaknya
              sebentar lagi kita akan diturunkan

BENTUK

Bilangan baris dalam rangkap sama Contohnya 6 baris serangkap
Jumlah perkataan dalam baris tidak sama
Contohnya 2 hingga 8 perkataan sebaris

Jumlah suku kata dalam baris tidak sama
Contohnya 4 hingga 21 suku kata

Rima akhir dalam baris tidak sama
Contohnya rangkap 1 – aaabab, rangkap 2 – abccca

Kesimpulannya, bentuk sajak ini ialah bebas.

Teks : Anak Global

Kembali Gawai Rindu Terlerai




PUISI MODEN : KEMBALI GAWAI RINDU TERLERAI
(ABIZAI)

MAKSUD RANGKAP

RANGKAP 1
Dalam bulan jun pesta gawai akan disambut oleh suku kaum Dayak di Sarawak. Mereka akan bertemu dan berkumpul di kawasan rumah panjang yang dihias indah dan suasananya sungguh meriah.

RANGKAP 2
Semua ahli keluarga akan berkumpul, begitu juga sahabat handai akan bertemu semula dan keadaan ini akan dapat mengeratkan semula hubungan yang sedia terjalin. Mereka akan berpesta sambil menceritakan semula segala kenangan hidup bersama.Kenangan manis akan dikongsi bersama menghiasi suasana perayaan.

RANGKAP 3
Upacara perayaan akan dimulakan dengan majlis Miring iaitu upacara memuja semangat. Pentas akan dihias indah bagi mereka memohon restu daripada tuhan. Tetamu dijemput ke pentas sambil diiringi muzik sape , tarian ngajat ditarikan dan diselang seli dengan suara nyanyian. Ini merupakan kebudayaan warisan golongan Dayak yang terus berkembang dan tidak pernah pupus ditelan zaman.

RANGKAP 4
Pada waktu malam akan diadakan pertandingan ratu cantik dan pemuda kacak untuk merebut mahkota. Pertandingan ini bertujuan untuk memilih putera dan puteri gawai. Pemenang bagi pertandingan ini akan merasa megah apabila diisytiharkan di atas pentas.

RANGKAP 5
Pada penghujung pesta gawai yang diadakan pada setiap bulan Jun masyarakat Dayak mengharapkan pesta ini akan diadakan lagi supaya suasana di rumah panjang akan tetap meriah.

MAKSUD KESELURUHAN
Penyajak menggambarkann suasana sambutan pesta gawai yang disambut oleh orang-orang dayak, yang diadakan di kawasan rumah panjang. Sempena pesta ini kaum keluarga dan sahabat handai, jauh dan dekan akan bertemu dalam suasana gembira. Sempena pesta ini pelbagai persembahan kebudayaan akan diadakan. Mereka juga akan berdoa supaya mereka senantiasa berada dalam keadaan sejahtera.

TEMA
Upacara tradisi dapat mengeratkan hubungan silaturahim.Contohnya Pesta Gawai dapat melahirkan keeratan dan kemesraan dalam kalangan penghuni rumah panjang. Contohnya:
Rindu keluarga terpenuh udah
Kasih sahabat berurat kejap’

PERSOALAN
Hubungan kekeluargaan dan persahabatan
Contoh : ‘Rindu keluarga terpenuh udah
Kasih sahabat berurat kejap’

Pengekalan tradisi dan budaya
Contoh : ‘kembali Gawai rindu terlerai
Rumah panjang bersolek meriah’

Kepercayaan masyarakat
Contoh : ‘Miring bermula memuja semangat
Mohon petara melimpahkan restu’

Kerjasama dalam masyarakat
Contoh : ‘kasih sahabat berurat kejap
semula bercantum jarak terbelah

BENTUK

Jumlah rangkap
Terdiri dari 5 rangkap kesemuanya

Bilangan baris
Bilangan baris serangkap adalah tidak sama iaitu:
Rangkap pertama dan ke lima : 4 baris
Rangkap kedua : 6 baris
Rangkap ke tiga : 9 baris
Rangkap ke empat : 5 baris

Jumlah perkataan
Jumlah perkataan sebaris adalah tidak sama iaitu antara 4-5 patah perkataan.
Contoh : ‘Titik pertama Jun bertuah’ – 4 perkataan
Di hujung langkah pesta menuai - 5 perkataan

Jumlah sukukata
Jumlah sukukata sebaris adalah tidak sama iaitu antara 9-13 sukukata.
Contoh : ‘Ti/tik per/ta/ma Jun ber/tu/ah’ – 9 sukukata
‘Ter/ben/tang ce/ri/a di ma/kam sa/yem/ba/ra’ – 13 sukukata

Rima akhir
Rima akhir sajak adalah tiak sama atau bebas.
Contoh : Rangkap 1 – a/b/c/d
Rangkap 2 – a/b/c/d/e/f
Rangkap 3 – a/b/c/d/e/f/g/h/i
Rangkap 4 – a/b/c/a/d
Rangkap 5 – a/b/c/d

Kesimpulan
Sajak ini berbentuk bebas.

KEINDAHAN SAJAK / GAYA BAHASA


Diksi / pemilhan kataDiksi adalah indah / tepat / sesuai
Contoh : ‘Terbentang ceria di malam sayembara

Asonansi
Pengulangan bunyi vokal ‘i’
Contoh : ‘di lantai ruai ranyai’

Aliterasi
Pengulangan bunyi konsonan ‘p’
Contoh : ‘’putera tampan dan puteri rupawan’

Personifikasi
Contoh : ‘sape dipetik tabuh bersorak’

Inversi
contoh : ‘rindu keluarga terpenuh sudah’

Pengulangan rangkap
Contoh : Rangkap pertama diulang semula di rangkap ke lima

NADA SAJAK

Sajak bernada Romantis.
Contoh : ‘Rindu keluarga terpenuh sudah’
Kasih sahabat berurat kejap’

PERASAAN DAN SIKAP PENYAJAK

Perasaan gembira
Contoh : ‘Terbentang ceria di malam sayembara’

Perasaan rindu
Contoh : ‘rindu keluarga terpenuh sudah’

Perasaan sayang
Contoh : ‘kasih sahabat berurat kejap’

Sikap menghargai warisan / tradisi
Contoh : ‘warisan Dayak mekar berbunga’

Sikap bekerjasama
Contoh : ‘randau beramai mengait kenangan’

NILAI MURNI

Nilai bekerjasama
Contoh : ‘randau beramai mengait kenangan
Cerah rumah menguasai cuaca’

Nilai bertolak ansur
Contoh : ‘semula bercantum jarak terbelah’

Nilai menghargai warisan
Contoh : ‘warisan Dayak mekar berbunga’

Nilai Kasih sayang
Contoh :’kasih sahabat berurat kejap’



PENGAJARAN

Kita mestilah menghargai warisan atau tradisi budaya kita
Contoh : ‘warisan Dayak mekar berbunga
Kita mestilah bekerjasama dalam menjayakan sesuatu majlis
Contoh : ‘Randau beramai mengait kenangan
Kita mestilah sentiasa memupuk kasih sayang sesama keluarga dan sahabat Contoh : ‘kasih sahabat berurat kejap’

Teks : Anak Global

25 Nov 2012

Antara Sains dan Sastera




Bahasa Sebagai Titik Temu Sains dan Sastera
 Rebecca Ilham

Sains dan sastera merupakan dua cabang ilmu yang secara umumnya ditanggap sebagai tidak mempunyai titik temu. Malahan, dalam spektrum bidang pengetahuan, sains, atau setepatnya sains tabii berada di hujung spektrum sebelah sini, manakala sastera yang digolongkan dalam ilmu sains sosial letaknya di spektrum bertentangan. Sains sinonim dengan ketepatan, kejituan dan pembuktian. Prinsip-prinsip sains berteraskan hipotesis, ditaakul secara inferens melalui eksperimen yang dapat direplikasi, data yang dianalisa dan dirujuk silang dengan penemuan-penemuan sedia ada sebelum disahkan kesimpulannya. Kesimpulan sains tentang sesuatu perkara hanya tunggal, dan diterima sebagai benar biar di benua mana pun fenomena yang dikaji itu berlaku.

Sementara sastera pula bersifat subjektif; walaupun turut bertitik-tolak daripada suatu pertanyaan (inkuiri) seperti dalam bidang sains, kesimpulan terakhir lazimnya tidak didahului oleh metodologi yang ketat dan objektif seperti seperti lawannya. Kesimpulan akhir itu juga bukanlah mutlak penafsirannya, namun boleh sahaja mempunyai beberapa versi kerana kepelbagaian interpretasi oleh individu berlainan sudut pandang. Sungguh pun begitu, ini tidak bererti bahawa pencarian kebenaran mutlak bukanlah matlamat utama bidang sastera. Perbezaan metodologi sebetulnya adalah perselisihan perkara ranting; sedangkan perkara pokok (pencarian kebenaran mutlak) tetap merupakan titik akhir penerokaan bidang ilmu bernama sastera ini.
Persoalan yang ingin dijawab dalam artikel ini adalah benarkah wujud pemisahan antara dua bidang ilmu ini, dan jika benar, apakah tidak ada titik temu antara keduanya?

Menurut Stephen Collini (1993) dalam komentarnya terhadap syarahan C.P. Snow berjudul The Two Cultures, sejak zaman Yunani sehinggalah Zaman Pertengahan dan era Renaissance di Barat, pemisahan antara sains dan sastera jikalau pun ada, tidak langsung kelihatan. Ini kerana pemahaman masyarakat pada masa itu terhadap alam adalah tunggal dan disatukan pula di bawah satu cabang ilmu pengetahuan sahaja, iaitu ‘falsafah.’ Sebaliknya, pemisahan antara sains dan sastera hanya mula ketara pada abad ke-17 iaitu apabila tercetusnya Revolusi Perindustrian di Britain. Sebagai tulang belakang di sebalik titik penting dalam sejarah negara kepulauan Inggeris berkenaan, pengkajian terhadap alam tabii (sains) diangkat sebagai piawaian baru terhadap takrif ilmu pengetahuan sebenar. Maka tidak hairanlah jika pada masa itu juga kaedah pengkajian digunapakai para saintis mula diterima masyarakat awam sebagai sesuatu yang berautoriti.

Sehubungan itu, imej sains sekelipan berubah di mata masyarakat awam di Britain khususnya dan di Barat amnya. Jika sebelum Revolusi Perindustrian sains adalah sebagai bidang teknikal yang diajar di politeknik dan sekolah vokasional untuk melahirkan golongan pekerja berkemahiran, pasca-Revolusi Perindustrian menyaksikan sains mula menerobos kubu tebal-tinggi universiti-universiti berprestij di England. Sebagai contoh, jurusan sains tabii mula diperkenalkan di Universiti Cambridge pada tahun 1850, manakala Duke of Devonshire pula telah membiayai Cavendish Laboratory pada tahun 1870. Bahkan pada akhir kurun ke-19, T.H. Huxley, profesor di Royal School of Mines dan pengasas Imperial College di London berpendapat bahawa sains, selain sebahagian daripada budaya, turut memberi sumbangan yang tidak ternilai terhadap kesejahteraan negara.

Natijahnya, kedudukan pendidikan klasikal yang selama ini dianggap sebagai puncak taraf pendidikan seseorang di Britain sekaligus mentakrifkan statusnya sebagai seorang lelaki budiman dalam strata masyarakat Inggeris tergugat. Sastera, salah satu komponen penting sistem pendidikan berkenaan turut terkena tempiasnya, terutama sekali apabila persoalan nilai ekonomi dibangkitkan. Sains dilihat mampu membawa pulangan materi secara langsung, seperti yang telah dibuktikan sewaktu Zaman Industri, sementara tertegaknya pelbagai binaan utuh dan moden, kemajuan dalam bidang perubatan serta anjakan aplikasi teknologi turut menjadi ukuran akan keberkesanan serta sumbangan sains terhadap peradaban manusia.

Sedangkan sukar sekali untuk menilai sastera berdasarkan ciri-ciri yang sama. Ini kerana berbanding sains, produk sastera bukanlah suatu benda yang boleh dilihat dengan mata kasar, disentuh atau dipegang secara fizikal. Namun, ianya harus dirasa dan dinikmati dengan intelektual dan emosi. Oleh itu, kesan yang ditinggalkan oleh sesuatu produk sastera tidak sama seperti barang dagangan di pasaran terbuka, sebaliknya bersifat mendasar serta berkekalan dalam jiwa pemiliknya.

Oleh sebab itu, Matthew Arnold, penyair dan intelektual British, melalui Syarahan Rede-nya di Senate House, Cambridge pada tahun 1882, berpendapat bahawa sains dan sastera bukanlah dua bidang yang terpisah. Menyanggah Huxley, Arnold menegaskan bahawa takrif sastera tidak seharusnya disempitkan kepada karya-karya yang sedia dikelaskan sebagai karya sastera, sebaliknya turut meliputi karya klasik seperti Principia tulisan ahli fizik, Isaac Newton dan The Origin of Species (Charles Darwin). Menurut beliau, sains mungkin melahirkan seorang pakar dalam bidang yang mempunyai nilai praktikal, tetapi itu belum cukup untuk membolehkannya digelar “terpelajar.” Arnold berhujah bahawa aspek kedua itu mengesahkan peranan besar sastera dalam kehidupan manusia; maka tidak wajarlah andai ia dipinggirkan begitu sahaja.

Walau bagaimana pun, saranan Arnold belum memadai untuk menutup polemik pemisahan sains dan sastera di Barat. Pada tahun 1959 juga bertempat di Senate House, Cambridge melalui siri syarahan sama, C.P. Snow, seorang saintis dan penulis, telah menghangatkan semula perbincangan tentang isu ini. Menerusi syarahannya yang bertajuk The Two Cultures, Snow mengakui wujudnya pemisahan antara literary intellectuals (penggiat sastera) dan natural scientists (saintis). Inilah yang dirujuk oleh beliau sebagai “dua budaya”.

Snow lebih berminat untuk melihat dinamika hubungan dua bidang ini antara satu sama lain serta bagaimana kurikulum dalam sistem pendidikan di Britain dapat disusun semula agar kedua-dua bidang ini dapat diajar dan dipelajari tanpa meminggirkan salah satunya. Snow menyedari bahawa masalah pemisahan sains dan sastera sebetulnya berpunca, serta diperkukuhkan oleh pengkhususan dalam bidang pendidikan di negaranya.
Situasi di Britain, atau Barat amnya, mendedahkan bahawa seolah-olah sains dan sastera sememangnya benar-benar dua bidang yang terpisah, selain sukar sekali untuk mencari titik pertemuan antara keduanya. Sungguh pun begitu, apakah situasi yang sama berlaku dalam dunia kita, dalam pandangan alam Islam?
Salah satu ciri yang sering dibandingkan antara sains dan sastera adalah aspek bahasa dalam penulisan sains dan penulisan sastera. Bahasa sains lebih impersonal, laporan-laporan eksperimen ditulis dalam langgam bahasa pasif dan penerangannya juga bersifat langsung berbanding bahasa sastera. Ini kerana matlamat penulisan dalam bidang sains adalah untuk menyampaikan maklumat secara paling objektif tanpa bauran emosi atau ambiguiti yang boleh menjejaskan pemahaman dan integriti maklumat sains itu sendiri.

Sedangkan bahasa sastera akrab dengan penggunaan metafora, bahasa kiasan serta pelbagai lagi aksesori bahasa. Menurut Orhan Pamuk, pengarang Turki pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan pada tahun 2006 dalam bukunya The Naïve and The Sentimental Novelist, salah satu ciri penting sesebuah karya sastera adalah makna-makna di dalamnya sengaja disembunyikan oleh sang pengarang dalam lapis-lapis tertentu yang akan dikupas satu demi satu dengan penuh nikmat oleh pembaca kelak. Nah, sudah tentu kesan emotif ini hanya dapat dicapai dengan memanipulasi pelbagai aksesori bahasa!

Namun, kesan emosi dalam bahasa sastera ini merupakan sesuatu yang sangat-sangat ingin dielakkan dalam penulisan sains. Perkara ini selari dengan huraian oleh Susan Haack (1999) dalam artikelnya Science, Literature and the Literature of Science di mana beliau telah membezakan sastera sebagai “a means to the end of writing” manakala sains pula “a means to the end of finding out.” Sungguh pun begitu, adakah ini bermaksud bahawa dalam penulisan sains tidak ada tempat langsung untuk bahasa sastera, dan penulisan sastera pula adalah kawasan larangan terhadap bahasa sains? Tentunya persoalan ini berkait rapat pula dengan dakwaan bahawa sains dan sastera itu sendiri sifatnya terpisah-pisah!
Namun, sebelum menjawab pertanyaan atau inkuiri di atas, moleklah sekiranya diteroka dahulu apakah makna kepada perkara yang mendasari pertentangan yang disebutkan di atas. Perkara yang dimaksudkan itu adalah bahasa.

Menurut Profesor Muhammad Zainiy Uthman dari Centre of Advanced Studies on Islam, Science and Civilization (CASIS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bahasa merupakan alat perhubungan antara seseorang manusia dengan manusia yang lain. Bahasa boleh dizahirkan dalam dua bentuk, sama ada secara lisan (pertuturan) atau tulisan.

Bahasa, hurai beliau lagi, adalah suatu kuasa semulajadi dalam diri insan, sekaligus menjustifikasikan takrif manusia sebagai haiwan yang berkata-kata, atau al-hayawan al-natiq. Dalam Bahasa Arab, haiwan bermaksud makhluk bernyawa ciptaan Allah SWT. Makhluk-makhluk ini, termasuklah manusia, mempunyai sifat yang pelbagai seperti bergerak, membesar dan membiak. Sungguh pun begitu, sifat bertutur adalah suatu ciri yang unik terhadap manusia sahaja. Oleh sebab itu, manusia diangkat sebagai makhluk Allah yang istimewa di muka bumi ini. Maka, takrif al-hayawan al-natiq menggambarkan hakikat manusia dengan tepat dan sebenarnya.

Tambahan pula, kebolehan bertutur, sekaligus berbahasa ini membayangkan kewujudan suatu bahagian diri manusia yang membolehkannya berfikir, iaitu akal, atau al-natiq, yang juga turut dirujuk dengan istilah rational soul. Aktiviti berfikir tidak mungkin berlaku tanpa adanya bahasa.
Intelektual dan pengasas gagasan Islamisasi ilmu kontemporari, Profesor Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas berpendapat bahawa bahagian rational soul inilah yang diajukan oleh Allah dengan pertanyaan “Bukankah Aku Tuhan kamu?” ketika manusia masih berada di alam ruh. Apabila ruh manusia menyahut dan mengakui dengan jawapan “Bahkan!” maka termeterailah perjanjian asali, yang menggariskan makna diri dan tujuan kehidupan seorang manusia seperti firman Allah Ayat 172, Surah Al-A’raf. Prof. Al-Attas menegaskan bahawa peristiwa ini berlaku melalui perantaraan bahasa, sekaligus menjelaskan bahawa bahasa merupakan sifat semulajadi manusia. Maka dengan ini juga tertolaklah dakwaan bahawa bahasa adalah satu produk sosial.

Rentetan itu, peranan bahasa dalam kehidupan manusia bukan sahaja signifikan, tetapi aspek bahasa itu sendiri tidak boleh diambil mudah. Menurut Prof Zainiy lagi, dalam perhubungan sesama manusia dengan perantaraan bahasa, berlaku pemindahan makna. Makna-makna ini mewakili unit-unit maklumat yang membayangkan hakikat segala sesuatu di Alam Raya ini. Unit-unit maklumat ini juga membolehkan khazanah ilmu dibina oleh manusia. Apabila maklumat ini diatur dan diletakkan dengan betul pada kedudukan masing-masing, makna-makna yang terkandung di dalamnya akan menatijahkan kefahaman yang benar, menghapuskan kekeliruan, bermanfaat kepada manusia dan diterjemah dalam bentuk tindakan yang menepati kefahaman yang betul berkenaan. Dalam pandangan alam Islam, bahasa yang menepati ciri-ciri inilah adalah bahasa saintifik.

Justeru, secara tuntasnya bahasa saintifik adalah bahasa yang betul sebutan, ejaan dan tatacara penggunaannya. Penyelewengan dalam penggunaan bahasa mengakibatkan kekeliruan makna, sekaligus menggugah kefahaman terhadap hakikat sebenar yang seharusnya dipindahkan apabila manusia berhubungan, lalu membunuh sifat bahasa itu sebagai bahasa saintifik.
Berdasarkan faham bahasa saintifik yang digariskan di atas, Prof Zainiy menolak bahawa berlakunya pemisahan antara bahasa sains dan bahasa sastera. Beliau menegaskan bahawa pemisahan yang sering digembar-gemburkan itu tidak berlaku dalam Islam, sebaliknya berleluasa dalam pandangan alam selainnya, termasuklah pandangan alam Barat.


Menurut Prof Zainiy lagi, meski pun bahasa menjustifikasikan kewujudan akal pada peristiwa perjanjian asali, ini tidak bermakna bahawa bahasa saintifik khusus merujuk kepada sifat manusia yang rasional, sementara bahasa sastera pula kepada sifat lain, misalnya nafsu, atau animal soul (al-nafs-al hayawaniyyah).
Hal ini kerana bahagian-bahagian dalam diri manusia termasuklah akal rasional dan nafsu bukanlah entiti berlawanan tetapi kedua-duanya adalah fitrah yang saling mesra dan membaur dalam diri manusia. Akal atau nafsu akan lebih berkuasa ke atas satu daripada yang lain apabila tumpuan diberikan kepadanya. Nafsu bukanlah sifat diri manusia yang memalukan dan perlu dinyahkan, namun perlu dikawal oleh akal rasional. Ini kerana sifat-sifat yang dicetuskan nafsu, apabila ditundukkan oleh akal, akan menjelma menjadi sifat mulia yang bermanfaat kepada manusia. Sebagal contoh, sifat marah yang dikawal akan menjadi sifat berani, suatu nilai terpuji.

Oleh sebab tiadanya pemisahan antara bahasa saintifik dan bahasa sastera dalam pandangan alam Islam, tradisi persuratan dan kesusasteraan di Kepulauan Melayu telah menyaksikan perbincangan bersifat akliah dan saintifik tidak ralat berlangsung dalam karya-karya yang dikategorikan sebagai karya sastera. Syair Perahu tulisan Hamzah Fansuri, kitab-kitab karangan Raja Ali Haji dan Nur-al Din al-Raniri misalnya, tergolong dalam kategori ini. Pelbagai contoh lagi boleh didapati dengan merujuk korpus persuratan bahasa-bahasa Islami yang lain di seluruh dunia seperti Bahasa Parsi, Bahasa Urdu dan bahasa umat Islam Uthmaniyyah.

Seterusnya, Prof. Zainiy menyimpulkan bahawa kesepaduan dua laras bahasa ini membuktikan tamadun Islam telah menyatukan sains dengan sastera, dan sastera dengan sains dengan harmonis sekali. Penyatuan ini sebetulnya bertitik-tolak daripada proses Islamisasi bahasa yang berakar daripada bahasa Al-Quran sehingga terbitnya kejernihan makna. Kejernihan makna inilah yang memungkinkan bermulanya pelbagai aktiviti saintifik dan ilmiah sehingga memperkayakan khazanah keilmuan umat Islam.

Maka jelaslah bahawa pemisahan antara sains dan sastera bukan sahaja tidak wujud, bahkan ianya bukan satu masalah kepada umat Islam. Oleh sebab itu, umat Islam seharusnya meninggalkan polemik yang sia-sia ini, dan semoleknya kembali meneliti dan menelusuri khazanah persuratan Melayu-Islam untuk meneroka kesepaduan antara dua bidang ilmu ini. Umat Islam seharusnya menelusuri jalan yang telah dirintis dengan cemerlang oleh para ilmuan terdahulu, dan mengkaji bagaimanakah ianya dapat diaplikasikan dalam konteks masa kini agar kejernihan makna yang pernah menyinari peradaban di rantau ini akan kembali menerangi masyakarat kontemporari.

Sumber : nusa centre

24 Nov 2012

Bimbingan Karya : Penulisan Syair





Definisi Syair

Menurut Mohd, Yusuf Md. Nor(1985) syair dikatakan berasal daripada puisi Arab iaitu sy’ir tetapi bentuk syair Melayu amat berbeza dengan bentuk syair dalam kesusasteraan Arab.
Keseluruhan pengkaji sependapat bahawa istilah syair berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara umum. Dalam bahasa Melayu,istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus. Syair Melayu tidak beracuankan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab-Parsi tetapi dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu ( Harun Mat Piah,1989 )

Orang Melayu mula mengenali syair sejak zaman awal bertapaknya Islam di alam Melayu. Dalam teks Sulalatus Salatin (Sejarah Melayu) terdapat syair dalam bahasa Arab dan bahasa Melayu. Hamzah Fansuri telah menghasilkan syair yang lebih bersifat Melayu dan selepas itu syair Melayu sudah menyimpang daripada bentuk syair Arab
Keseluruhan pengkaji sependapat bahawa istilah syair berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud puisi secara umum. Dalam bahasa Melayu, istilah syair sudah menjadi satu istilah yang khusus. Syair Melayu tidak beracuankan syair daripada tradisi Arab atau mana-mana puisi Arab. Syair kekal dalam bentuk dan acuan asli masyarakat Melayu(Harun Mat Piah, 1989). Namun, terdapat juga pendapat yang mengatakan bahawa syair Melayu juga dipengaruhi oleh syair atau puisi Arab(Islam)

Ciri-Ciri Syair

Bentuk konvensional syair Melayu mengandungi empat baris serangkap dengan rima a,a,a,a. Bentuk inilah yang paling dominan dalam masyarakat Melayu walaupun terdapat juga variasi bentuk-bentuk yang lain. Walau bagaimanapun, variasi ini hanyalah kepada bentuk visualnya sahaja khususnya daripada aspek rima akhir.

Ciri-ciri khusus syair adalah sebagaimana berikut:

1. Setiap rangkap terdiri daripada empat baris.
2. Setiap baris syair mengandungi 4 hingga 5 patah perkataan.
3. Mempunyai antara 8 hingga 12 jumlah suku kata sebaris.
4. Rima baris berirama sama dan berakhir dengan ‘ a-a-a-a’.
5. Dalam syair, setiap 1 baris terdapat suatu hentian (pause)
6. Setiap rangkap memerlukan beberapa rangkap yang berurutan untuk memberi idea yang lengkap.
7. Syair juga ialah satu pernyataan yang berlarutan. Contohnya untuk mengemukan cerita, kisah, buah fikiran, nasihat dan puji-pujian.
8. Mempunyai awalan dan akhiran.

Perhatikan bagaimana struktur syair di bawah ini :
Pada zaman dahulu kala (a)
Tersebutlah sebuah cerita (a)
Sebuah negeri yang aman sentosa (a)
Dipimpin sang raja nan bijaksana (a)
Negeri bernama Pasir Luhur (a)
Tanahnya luas lagi subur (a)
Rakyat teratur hidupnya makmur (a)
Rukun raharja tiada terukur (a)
Raja bernama Darmalaksana (a)
Tampan rupawan elok parasnya (a)
Adil dan jujur penuh wibawa (a)
Gagah perkasa tiada tandingnya (a)
Jenis-Jenis Syair

Menurut Harun Mat Piah ( 1989:242 ), berdasarkan isi dan tema, syair Melayu mempunyai tujuh jenis tema yang berbentuk cerita ( naratif ) dan bukan cerita ( bukan naratif ).

Syair yang berupa cerita ( naratif ) :
i Syair romantis
ii Syair sejarah
iii Syair keagamaan
iv Syair kiasan

Syair bukan cerita ( bukan naratif ) :
i Syair agama
ii. Syair nasihat


Fungsi Syair

1. Sebagai hiburan – sesuai dengan sifatnya yang demikian maka syair sering dilagukan dalam majlis-majlis tertentu seperti dalam pesta dan keramaian, dipertandingkan atau dalam upacara-upacara adat.

2. Alat menyampaikan pengajaran melalui cerita dan lagu terutama dalam hal-hal yang menyentuh aspek pengajaran agama Islam dari rukun iman, rukun sembahyang, zakat, puasa dan sebagainya. Kemerduan suara “tukang lagu” dan kelembutan nada syair berupaya mengusik perasaan dan seterusnya meninggalkan kesan yang mendalam.

3. Berfungsi dalam kegiatan kesenian dan kebudayaan masyarakat
i. Ketika sambutan maulud
ii. Dinyanyikan atau dilagukan sebagai mengiringi tarian-tarian tertentu seperti dalam dabus dan boria ke
iii. Digunakan dalam adat perkahwinan

Contoh Syair


Syair Perahu
Oleh Hamzah Fansuri.

Inilah gerangan suatu madah,
Mengarangkan syair terlalu indah,
Membutuhi jalan tempat berpindah,
Di sanalah ikhtikad diperbetuli sudah.

Wahai muda kenali dirimu,
Ialah perahu tamsil tubuhmu,
Tiadalah berapa lama hidupmu,
Ke akhirat juga kekal diammu.

Hai muda arif budiman,
Hasilkan kemudi dengan pedoman,
Alat perahumu jua kerjakan,
Itulah jalan membetuli insan.

Perteguh juga alat perahmu,
Hasilkan bekal air dan kayu,
Dayung pengayuh taruh di situ,
Supaya laju perahumu itu.

Sudahlah hasil kayu dan air,
Angkatlah pula sauh dan layar,
Padi beras bekal janganlah taksir,
Nescaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
Muaranya sempit tempatmu lalu,
Banyaklah di sana ikan dan hiu,
Menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikan pun banyak,
Di sanalah perahu,karam dan rosak,
Karangnya tajam seperti tombak,
Ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang,
Riaknya rencam ombaknya garang,
Ikan pun banyak datang menyerang,
Hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
Di manakah lalu sampan dan rakit,
Jikalau ada pedoman dikepit,
Sempurnalah jalan terlalu ba’id.

Baiklah perahu engkau perteguh,
Hasilkan pendapat dengan tali sauh,
Anginnya keras ombaknya cabuh,
Lailahaillallah akan tali teguh.

Barangsiapa bergantung ke situ,
Teduhlah selebu yang rencam itu,
Pedoman betuli perahumu itu,
Selamat engkau ke pulau itu.

Lailahaillalah jua yang engkau ikut,
Di laut keras taufan dan rebut,
Hiu dan paus di belakang menurut,
Bertetaplah kemudi jangan terkejut.

Laut Sailan terlalu dalam,
Di sanalah perahu rosak dan karam,
Sungguhpun banyak di sana penyelam,
Larang mendapat permata nilam.

Laut Sailan Wahid al-Qahhar,
Raknya rencam ombaknya besar,
Anginnya sonsongan membeluk sangkar,
Perbaik kemudi jangan berkisar.

Itulah laut yang maha indah,
Ke sanalah kita semuanya berpindah,
Hasilkan bekal dan juadah,
Selamatlah engkau sempurnalah musyahadah.

Sailan itu ombaknya kisah,
Banyak akan ke sana berpindah,
Taufan dan ribut terlalu azamah,
Perbetuli pedoman jangan berubah.

Laut kalzum terlalu dalam,
Ombaknya muhit pada sekalian alam,
Banyaklah di sana rosak dan karam,
Perbaiki nan siang dan malam.

Ingati sungguh siang dan malam,
Laut deras bertambah dalam,
Angin pun keras ombaknya rencam,
Ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,
Angin yang keras menjadi teduh,
Tambahan selebu tetap yang cabuh,
Selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah Ahad dengan masanya,
Datanglah angin dengan paksanya,
Belayar perahu sidang budimannya,
Belayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,
Ilmu Allah akan dayungnya,
Iman Allah nama kemudinya,
Yakin akan Allah nama pawangnya.

Taharah dan istinjak nama lantainya,
Kufur dan maksiat air ruangnya,
Tawakal akan Allah jurubatunya,
Tauhid itu akan sauhnya.

Lailahaillalah akan talinya,
Kamal Allah akan tiangnya,
Assalammualaikum akan tali lenggangnya,
Taat dan ibadat akan dayungnya.

Selawat akan nabi tali bubutannya,
Istighfar akan Allah akan layarnya,
Allahu akhbar nama anginnya,
Subhanallah akan lajunya.

Allahu a’lam nama rantaunya,
Iradat Allah nama bandarnya,
Kudrat Allah nama labuhnya,
Syurga Jannat anna’im nama negerinya.

Sumber: Zuber Usman,1969.
Kesusasteraan Lama Indonesia, Melaka: Penerbitan Abbas Bandung.

Syair Pesanan Ibu – Zurinah Hassan

Dengarlah anak ibu berpesan,
Lengkapkan diri dengan pelajaran,
Hanyalah itu jadi bekalan,
Untuk hidup di masa depan

Ilmu itu pelindung diri,
Seperti kebun berpagar duri,
Seperti sinar intan baiduri,
Itulah tanda orang jauhari.

Hidupmu kini di masa remaja,
Bagaikan permata amat berharga,
Jangan jatuh ke lembah hina,
Nanti menyesal tidak berguna.

Kalau hidup terasa susah,
Sering berhadapan dengan masalah,
Hadapi dengan hati yang tabah,
Jangan cepat resah gelisah.

Syaitan menggoda bertambah gundah,
Jangan mengambil jalan yang mudah,
Jangan sekali mencuba dadah,
Kalau terjerat sesal tak sudah.

Jika masa sudah terbuang,
Perginya tidak akan berulang,
Di hari tua sesal mendatang,
Mengingatkan waktu yang telah hilang.

Dunia bagai lautan dalam,
Gelomang besar karangnya tajam,
Di situ banyak kapal tenggelam,
Ramailah insan yang telah karam.

Ingatlah wahai anakku sayang,
Tanah indah pusaka moyang,
Jangan terlepas ke tangan orang,
Sedangkan kita miskin terbuang.


Kaedah Menulis Syair

1. Penghasilan cerita dalam syair
Syair merupakan puisi Melayu tradisi yang mementingkan penceritaan di dalam karyanya. Jika sebuah syair bersifat naratif, maka aspek penceritaan di dalamnya akan lebih ketara. Namun syair yang bukan naratif masih perlu mengekalkan aspek nasihat, pengajaran, dan mesej dalam isi syair berkaitan. Oleh itu aspek penceritaan masih kukuh dalam syair begini.

Penting bagi penulis dalam menghasilkan syair adalah memikirkan penceritaan yang jelas dalam syair dihasilkan. Berdasarkan keperluan peperiksaan Kesusasteraan Melayu SPM kebiasannya anda diminta menghasilkan dua rangkap syair.

Pastikan bahawa penceritaan atau isi syair adalah menepati tema yang diberikan. Penulis perlu ingat bahawa antara rangkap 1 dan rangkap 2 syair perlu ada pertalian cerita atau isi yang jelas. Ciri sedemikian merupakan aspek penting dalam penghasilan syair. Rangkakan isi syair yang berturutan dari rangkap 1 hingga rangkap berikutnya.

2. Bahasa dalam penghasilan syair
Amat penting dalam penghasilan syair adalah penggunaan gaya bahasa yang puitis, indah dan menarik. Meskipun bahasa syair kadangkala dilihat begitu mudah tetapi ia mengandungi unsur keindahan dan kehalusan estetik yang menarik.

Sebagai persiapan dalam menghasilkan syair, penulis perlu banyak meneliti syair yang telah dihasilkan. Perhatikan aspek bahasa dalam penulisan syair tersebut. Syair perlu menggunakan bahasa Melayu yang puitis serta arkaik sifatnya. Pengunaan bahasa moden seperti teknologi, komunikasi dan sebagainya perlu dielakkan. Gunakan bahasa yang mudah di samping tinggi nilai estetik bahasanya.

Perhatikan bahasa dalam syair berikut :

Jika masa sudah terbuang,
Perginya tidak akan berulang,
Di hari tua sesal mendatang,
Mengingatkan waktu yang telah hilang.

Jelas bahawa syair di atas menggunakan bahasa yang menarik dan puitis. Pemilihan kata yang tepat amat penting dalam menentukan keindahan sebuah syair.

Gunakan kemahiran berbahasa dan penggunakan gaya bahasa yang menarik dalam penulisan syair seperti penggunaan gaya bahasa pengulangan kata, aliterasi, asonansi, simile, metafora, personifikasi, dan sebagainya.

3. Kekalkan ciri-ciri syair dalam penulisan
Syair merupakan puisi Melayu tradisional yang memiliki struktur yang terikat. Oleh itu syair yang dihasilkan perlu mengekalkan aspek ciri-ciri utama syair.

Penggunaan diksi dalam setiap baris hendaklah antara 4 hingga 5 patah perkataan dengan suku katanya antara 8 hingga 12 suku kata sebaris. Jika kata yang digunakan dalam setiap baris melampau jumlah tersebut keindahan syair akan hilang dan terasa janggal. Oleh itu pemilihan kata yang tepat amat penting agar tidak berlaku pembaziran kata dalam penghasilan karya berkenaan.

Rima akhir syair adalah terikat kepada aaaa. Pastikan rima akhir yang terhasil mematuhi keperluan ini. Rancang penggunaan kata yang tepat dan betul serta menepati keperluan rima akhirnya.

Kekalkan struktur baris syair iaitu empat baris serankap. Penulis perlu memilih kata-kata yang sesuai untuk menyampaikan maksud dari baris pertama hingga baris keempat dalam setiap rangkap. Elakkan berlaku keterpenggalan maksud atau tidak berlaku kesatuan makna dalam ciptaan syair. Setiap rangkap syair akan membawa penceritaan secara sambung bersambung.

Setelah syair disiapkan penulis perlu menyemak karya yang dihasilkan terutama untuk memastikan keperluan struktur syair itu dipenuhi. Buang perkataan yang tidak penting atau dianggap tidak memberi makna yang tepat atau melebihi keperluan jumlah perkataan sebaris.

4. Hasilkan syair yang sempurna
Kesempurnaan sebuah karya sastera seperti syair adalah dari aspek pematuhan terhadap ciri-ciri syair itu sendiri. Pastikan rima akhir aaaa, empat baris serangkap dan jumlah kata dan suku kata bertepatan.

Tulis tajuk yang sesuai di bahagian atas syair. Tajuk ini penting sebagai kesempurnaan penghasilan syair. Tajuk hendaklah sesuai dengan tema yang diberikan. Tajuk syair boleh dimulakan dengan ungkapan syair seperti Syair Akhlak Mulia atau ditulis tajuk Akhlak mulia sahaja.

Penutup
Sebagai persiapan cubalah berlatih menghasilkan syair mulai sekarang.

Tulis dua rangkap syair berdasarkan tema berikut :

1. Kepentingan Ilmu
2. Akhlak Mulia
3. Berbudi Bahasa
4. Cinta Tanah Air
5. Alam Sekitar

Selamat mencuba.

23 Nov 2012

Bimbingan Karya : Penulisan Sajak




Definisi puisi

Antara definisi puisi yang popular dari Barat ialah yang dikemukakan oleh Samuel Taylor Coleridge sebagai "Kata-kata terbaik dalam susunan terbaik" (The best words in the best order). Penyair memilih kata-kata yang setepatnya dan disusun secara sebaik-baiknya, misalnya seimbang, simetris, antara satu unsur dengan unsur lain sangat erat berhubungannya, dan sebagainya.

Carlyle mengatakan bahwa puisi merupakan pemikiran yang bersifat muzikal. Penyair menciptakan puisi itu memikirkan bunyi-bunyi yang merdu sebagaimana alunan muzik dalam puisinya. Kata-kata disusun begitu rupa hingga yang menonjolkan rangkaian bunyi yang merdu seperti muzik.
Bagi Wordsworth puisi adalah pernyataan perasaan yang imaginatif iaitu perasaan yang direkakan atau diangankan.

Dunton berpendapat bahawa sebenarnya puisi itu merupakan pemikiran manusia secara konkrit dan artistik dalam bahasa emosional serta berirama. Misalnya, dengan pengunaan kiasan atau citra yang disusun secara artistik . Susunan artistik ini melibatkan selaras, simetris, pemilihan kata-katanya tepat, dan sebagainya. Puisi juga mengandungi bahasa yang penuh perasaan, serta berirama seperti muzik.

Bagi Shelley puisi adalah rakaman detik-detik yang paling indah dalam hidup. Misalnya peristiwa-peristiwa seperti kebahagiaan, kegembiraan yang memuncak, percintaan, bahkan kesedihan karena kematian orang yang sangat dicintai. Semuanya merupakan detik-detik yang paling indah untuk dirakam sebagai puisi

Zaaba menggunakan istilah "karangan berangkap" untuk puisi. Menurut Zaaba puisi adalah karangan yang digunakan untuk melafazkan fikiran yang cantik dengan bahasa yang indah, dan melukiskan kemanisan dan kecantikan bahasa.

Menurut H.B. Jassin, sajak itu adalah suara hati penyairnya, sajak lahir daripada jiwa dan perasaan tetapi sajak yang baik bukanlah hanya permainan kata semata-mata. Sajak yang baik membawa gagasan serta pemikiran yang dapat menjadi renungan masyarakat.

Abdul Hadi W.M. menjelaskan bahwa sajak itu ditulis untuk mencari kebenaran. Katanya lagi, "dalam sajak terdapat tanggapan terhadap hidup secara batiniah". Bagi Abdul Hadi di dalam sajak harus ada gagasan dan keyakinan penyair terhadap kehidupan, atau lebih tepat lagi, nilai kemanusiaan.

Menurut Muhammad Hj. Salleh menyebut bahawa puisi adalah karya bentuk yang kental, berentak, banyak berunsur muzik bahasa. Bahasa puisi lebih padat, teliti, dan kadang-kadang mendekati lagu. Manakala temanya diolah dari hidup harian tetapi dipersembahkan kepada pembaca atau pendengar dengan sudut pandangan yang agak luar biasa, dan dengan itu dapat membijaksanakan pembaca atau pendengarnya; dan puisi terhasil dengan penggunaan teknik-teknik yang tertentu.

Kepentingan puisi adalah berlandaskan kepada kata 'puitis'. Kata puitis ialah kata sifat yang merujuk kepada karya yang memiliki ciri-ciri puisi. Terdapat juga pengkaji-pengkaji yang membezakan makna "sajak" dengan "puisi". Misalnya, Muhammad Haji Salleh menafsirkan "puisi" sebagai karya yang mencapai taraf yang agak tinggi di dalam penggarapan bahasa, tema, dan tekniknya manakala "sajak" ialah karya ringan dan belum sampai pada tahap hasil sastera yang tinggi.

Baha Zain pula menegaskan bahawa "sajak tidak berbicara segalanya dan tidak kepada semua." Maknanya, penyair (sebagai manusia yang sensitif) hanya akan menangkap sebahagian daripada fragmen kehidupan manusia ke atas kertas (menjadi sajak). Sajak pula tentunya tidak diminati semua orang atau lebih tepat lagi tidak difahami semua orang. Inilah yang dimaksudkan oleh Baha Zain dengan ungkapan sajak ditulis (dicipta) tidak kepada semua (orang). Malah, apabila kita mentafsir sesebuah sajak, kita mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk mentafsir sajak itu mengikut kefahaman kita sendiri (asalkan ada logik sasteranya). Ini sesuai pula dengan sifat bahasa sajak itu sendiri yang konotatif dan ambiguiti.

Sajak dapat dibahagikan kepada jenis tertentu berasaskan beberapa aspek, seperti yang berikut iaitu aspek aliran, sajak dikatakan romantisme, realisme, eksistensialisme, dan lain. Manakala dari aspek bentuk, sajak dikatakan kuatren, terzina, soneta, dan lain-lain. Manakala dari aspek kebolehfahaman, sajak dikatakan polos (diaphan), taksa (ambiguous), prismatik, atau kabur. Dari aspek ciri kandungan, sajak dikatakan abstrak atau konkrit.

Perbezaan karya prosa dan puisi

Pertama, kesatuan prosa adalah kesatuan sintaksis, sedangkan kesatuan puisi adalah kesatuan akustik.

Kedua, puisi terdiri dari kesatuan-kesatuan yang disebut baris sajak, sedangkan dalam prosa kesatuannya disebut paragraf.

Ketiga, puisi merupakan hasil pemadatan, iaitu proses penciptaan dengan cara menghasilkan kesan-kesan lalu memadatkannya. Manakala prosa merupakan suatu konstruktif, di mana proses penciptaan dengan cara menyebarkan kesan-kesan dari ingatan

Keempat, puisi merupakan curahan jiwa yang padat, bersifat sugestif dan asosiatif. Sedangkan prosa merupakan suatu yang bersifat naratif, menguraikan, dan informatif

Unsur-unsur Puisi

Puisi terbentuk dari beberapa unsur iaitu kata, baris, bait (rangkap), bunyi, dan makna. Kelima-lima unsur ini saling mempengaruhi keutuhan sebuah puisi. Kata adalah unsur utama terbentuknya sebuah puisi. Pemilihan kata (diksi) yang tepat sangat menentukan kesatuan dan keutuhan unsur-unsur yang lain. Kata-kata yang dipilih diformulasi menjadi baris.

Baris berbeza dengan kalimat dalam prosa. Baris boleh terdiri daripada satu kata saja, atau dalam susun frasa. Bait atau rangkap merupakan kumpulan baris yang tersusun secara harmonis. Pada bait atau rangkap inilah terlahirnya kesatuan makna. Dalam puisi tradisional jumlah baris bagi setiap rangkap kebiasaanya empar baris sebagaimana dalam pantun empat kerat dan syair. Dalam puisi moden jumlah barisnya adalah bebas dan ada yang terikat.

Bunyi dibentuk oleh rima dan irama. Rima adalah bunyi-bunyi yang ditimbulkan oleh susun huruf dalam kata-kata. Sedangkan irama adalah tinggi rendah, panjang pendek, dan keras lembut ucapan bunyi. Timbulnya irama disebabkan oleh perulangan bunyi secara berturut-turut dan bervariasi . Rima adalah salah satu unsur pembentuk irama, namun irama tidak hanya dibentuk oleh rima. Baik rima ataupun irama ia menghasilkan kesan muzik pada puisi. Ia melahirkan keindahan pendengaran meskipun tanpa dilagukan. Hasil dari pemilihan kata, pembentukan baris dan bait terhasilnya maksud sesebuah puisi. Makna menyebarkan isi serta pesan yang terkandung dalam puisi berkaitan. Makna menyiratkan amanat dan pesan dalam puisi.

Hakikat Puisi dan Aspek Pembinaan Puisi

Bagi I.A. Richard puisi terbentuk dari dua perkara yang utama. Pertama disebut sebagai hakikat puisi (the nature of poetry), dan kedua aspek pembinaan puisi (the method of poetry).

Hakikat puisi melibatkan empat elemen iaitu, pertama ialah sense atau tema yang merupakan pokok persoalan (subject matter) yang dikemukakan oleh penyair melalui puisinya. Pokok persoalan dikemukakan oleh pengarang baik secara langsung maupun secara tidak langsung

Kedua, perasaan. Perasaan atau emosi merupakan sikap penyair terhadap tema dan persoalan yang dikemukakan dalam puisinya. Pengungkapan tema dan perasaan mempunyai perkaitan dengan latar belakang sosial dan psikologi penyair. misalnya latar belakang pendidikan, agama, jenis kelamin, kelas sosial, kedudukan dalam masyarakat, usia, pengalaman sosiologis dan psikologis, dan pengetahuan. Kedalaman pengungkapan tema dan ketepatan dalam menyikapi suatu masalah tidak bergantung pada kemampuan penyair memilih kata-kata, rima, gaya bahasa, dan bentuk puisi saja, tetapi lebih banyak bergantung pada wawasan, pengetahuan, pengalaman, dan kepribadian yang terbentuk oleh latar belakang sosiologi dan psikologinya.

Ketiga, nada (tone), yaitu sikap penyair terhadap pembacanya. Nada juga berhubungan dengan tema dan emosi.

Keempat, ialah Amanat/tujuan/maksud (itention). Ia berkaitan dengan tujuan sama ada secara sedar atau tidak tujuan yang mendorong penyair menciptakan puisi. Tujuan tersebut dapat dikesan sebelum penyair menciptakan puisi ataupun dapat ditemui dalam puisinya.

Dari sudut aspek pembinaan puisi yang menjadikan struktur sesebuah puisi, ia melibatkan hal-hal berikut :

Pertama, tipografi puisi. Ia merupakan bentuk puisi yang dipaparkan oleh seseorang penyair. Ia meliputi atur huruf , atur barisnya, puisi yang tidak dimulai dengan huruf besar, setiap hujung baris bertanda noktah, tanda baca seperti titik dan koma. Penghasilan tipografi puisi ini merupakan penentuan terhadap makna yang terkandung dalam puisi berkenaan.

Kedua diksi atau pemilihan kata-kata yang dilakukan oleh penyair dalam puisinya. Disebabkan puisi adalah bentuk karya sastera yang sedikit kata-kata tapi dapat mengungkapkan banyak hal, maka kata-katanya harus dipilih secermat mungkin. Pemilihan kata-kata dalam puisi erat kaitannya dengan makna, keselarasan bunyi, dan urutan kata.

Ketiga imej. Imej atau citra merupakan kata atau susunan kata-kata yang dapat mengungkapkan pengalaman indera, seperti penglihatan, pendengaran, dan perasaan. Imej meliputi imej suara (auditif), imej penglihatan (visual), imej bau iaitu citra yang timbul oleh deria bau, imej gerak, citra yang menggambarkan sesuatu yanag sebetulnya tidak bergerak tetapi dilukiskan sebagai dapat bergerak. Penggunaan citra ini memberi kesan terhadap pembaca seakan-akan melihat, mendengar, dan merasakan seperti apa yang dialami penyair.

Keempat adalah kata konkrit. Ia merupakan penggunaan kata yang dapat ditangkap dengan indera yang memungkinkan munculnya imej. Kata-kata ini berhubungan dengan kiasan atau lambang. Misalnya kata bunga melembangkan cinta.

Kelima adalah bahasa figuratif. Ia merupakan bahasa kiasan yang dapat meningkatkan kesan dan menimbulkan konotasi tertentu. Bahasa figuratif menyebabkan puisi menjadi mengandungi banyak makna. Bahasa figuratif disebut juga majas. Adapaun macam-amcam majas antara lain metafora, simile, personifikasi, litotes, ironi, sinekdoke, eufemisme, repetisi, anafora, pleonasme, antitesis, alusio, klimaks, antiklimaks, satira, hingga paradoks.

Keenam ialah versifikasi yang melibatkan rima, ritma, dan metrum. Rima adalah persamaan bunyi pada puisi, baik di awal, tengah, dan akhir baris puisi. Rima mencakup : onomatapia (tiruan terhadap bunyi); pola bunyi (aliterasi, asonansi, persamaan akhir, persamaan awal, sajak berselang, sajak berparuh, sajak penuh, repetisi bunyi [kata], dan sebagainya; dan pengulangan kata/ungkapan. Ritma adalah tinggi rendah, panjang pendek, keras lemahnya bunyi. Ritma sangat menonjol dalam pembacaan puisi.

Irama ialah pergantian turun naik, panjang pendek, keras lembutnya ucapan bunyi bahasa dengan teratur. Irama dibahagikan kepada dua pola. Metrum merupakan irama yang tetap, menurut pola tertentu. Kedua, Ritma, iaitu irama yang disebabkan pertentangan atau pergantian bunyi tinggi rendah secara teratur. Irama menyebabkan aliran perasaan atau fikiran yang tidak terputus dan menimbulkan imaginasi yang jelas dan hidup. Irama diwujudkan dalam bentuk tekanan-tekanan pada kata. Tekanan tersebut dibahagikan kepada tiga. Dinamik merupakan keras lembutnya ucapan pada kata tertentu. Nada, iaitu tekanan tinggi rendahnya suara. Tempo, tekanan cepat lambatnya pengucapan kata.

Ciri-Ciri Puisi dari Jenis Isinya

a) Balada
Balada mempunyai tiga rangkap. Susunan baris adalah dengan lapan baris denganskema rima akhirnya : a-b-a-b-b-c-c-b. Pada rangkap kedua skema rima berubah menjadi a-b-a-b-b-c-b-c. Baris terakhir dalam rangkap pertama digunakan sebagai rujukan dalam rangkap berikutnya.

b) Hymne
Puisi ini merupakan lagu pujian untuk menghormati seorang dewa, tuhan, seorang pahlawan, atau tanah air. Hymne juga dikembangkan kepada puisi puji-pujian terhadap seseorang yang dihormati seperti tokoh, pahlawan, pemimpin dan sebagainya tanpa meninggalkan unsur ketuhanan di dalamnya.

c) Ode
Ciri ode nada dan gayanya sangat rasmi membahas sesuatu yang mulia, bersifat menyanjung baik terhadap peribadi tertentu atau peristiwa umum.

d) Epigram
Epigramma (Greek); unsur pengajaran; didaktik; nasihat membawa ke arah kebenaran untuk dijadikan pedoman, ikhtibar; dan teladan.

e) Romantik
Romantique (Perancis); keindahan perasaan; persoalan kasih sayang, rindu dendam, serta kasih mesra

f) Elegi
Sajak atau lagu yang mengungkapkan rasa duka atau keluh kesah karena sedih atau rindu, terutama karena kematian/kepergian seseorang.

g) Satira
Satura (Latin) ; sindiran ; kecaman tajam terhadap sesuatu fenomena; tidak puas hati satu golongan (ke atas pemimpin yang pura-pura, rasuah, zalim etc)

Ciri puisi dari Jenis bentuknya :

a) Distikon
• 2 baris; sajak 2 seuntai
• Distikon (Greek: 2 baris)
• Rima – aa–bb

b) Terzina
Terzina (Itali: 3 irama)

c) Quatrain
• Quatrain (Perancis: 4 baris)
• Pada asalnya ada 4 rangkap
• Dipelopori di Malaysia oleh Mahsuri S.N.

d) Quint
Pada asalnya, rima Quint adalah /aaaaa/ tetapi kini 5 baris dalam serangkap diterima umum sebagai Quint (perubahan ini dikatakan berpunca dari kesukaran penyair untuk membina rima /aaaaa/

e) Sextet
• sextet (latin: 6 baris)
• Dikenali sebagai ‘terzina ganda dua’
• Rima akhir bebas

f) Septima
• septime (Latin: 7 baris)
• Rima akhir bebas

g) Oktav
• Oktaf (Latin: 8 baris)
• Dikenali sebagai ‘double Quatrain’

h) Soneta
• Terdiri atas 14 baris
• Terdiri atas 4 bait, yang terdiri atas 2 quatrain dan 2 terzina
• Dua quatrain merupakan sampiran dan merupakan satu kesatuan yang disebut octav.
• Dua terzina merupakan isi dan merupakan satu kesatuan yang disebut isi yang disebut sextet.
• Bahagian sampiran biasanya berupa gambaran alam
• Sextet berisi curahan atau jawaban atau kesimpulan daripada apa yang dilukiskan dalam ocvtav , jadi sifatnya subjektif
• Peralihan dari octav ke sextet disebut volta
• Penambahan baris pada soneta disebut koda.
• Jumlah suku kata dalam tiap-tiap baris biasanya antara 9 – 14 suku kata
• Rima akhirnya adalah a – b – b – a, a – b – b – a, c – d – c, d – c – d.

Panduan Menulis Sajak

Pemilihan kata/ diksi yang indah dan puitis
Bahasa merupakan medium penting dalam sesebuah sajak. Oleh itu dalam menghasilkan sebuah sajak yang menarik perlu dikekalkan penggunaan pemilihan diksi yang tepat, puitis dan indah. Bahasa yang digunakan memiliki kesegaran tersendiri serta dapat melahirkan impak makna yang mendalam.

Gunakan imaginasi yang tinggi untuk menghasilkan kata-kata yang indah dan segar. Elakkan bahasa yang prosaik kerana ia merosakkan keindahan puisi. Keutamaan penulisan sajak adalah penggunaan diksi yang tidak membazir, menzahirkan diksi yang menepati tema dan persoalan sajak. Ingatlah sajak adalah kata-kata terbaik dalam susunan yang terbaik.

Penguasaan bahasa puisi bermula daripada penulis memiliki kekayaan  perbendaharaan kata. Ia dapat disuburkan melalui banyak membaca sajak-sajak yang dihasilkan oleh penyair ternama negara atau pun luar negara. Gunakan kamus untuk mencari makna kata yang berbeza-beza dari penggunaan biasa. Meskipun keindahan puisi tidak terletak pada kata-kata yang aneh dan bombastik tetapi melalui kekayaan kosa kata kita dapat menghasilkan puisi yang lebih menarik.

Perlu diingat elakkanlah bahasa bombastik yakni bahasa yang tidak menyarankan apa-apa kesan makna selain kata-kata yang hebat bunyinya. Puisi memerlukan kata-kata yang dapat memberi impak kepada emosi dan imaginasi pembaca. Selain kata-kata dapat melahirkan irama, nada dan tone pada puisi. Kata-kata juga menyarankan makna terhadap puisi berkenaan.

Mulakan menulis dengan menyusun diksi yang menarik dan indah. Mulakan dengan kata angin misalnya.
Kita sering mendengar  kata-kata berhembus angin malam, angin bahawalah daku padanya, angin menyanyi dan sebagainya. Kata-kata ini jika digunakan dalam puisi bukan tidak bagus tetapi memberi impak yang kurang. Pertama pembaca sudah lama membaca atau mendengar kata-kata begitu. Ia menjadi klise dalam penulisan jika masih digunakan.

Pilihlah kata-kata terindah yang datang dari imaginasi, dan emosi kita sendiri
misalnya : angin mendekati perbukitan

Perhatikan penggunaan kata angin yang pernah digunakan oleh penyair lain :

“Angin musuh memburunya, dan dirinya
sekacau kelawar sesat.”
Tikaman Dalam Seloka, SN A. Samad Said

“Awan yang mudah resah sanggahan angin
yang sesekali membentang ruang”
Inti Masa, SN A. Samad Said

“Bertiup kini angin mesra dan bersih
meluhuri takhta dan panji bangsa merdeka”
Menyemai Hikmah, SN A. Samad Said

“Hembus angin mengusir langsir
terdengar rentak rebana terlalu jauh”
Dari Langkawi Selepas Itu, SN A. Samad Said

Puisi yang menepati tema
Untuk tujuan menjawab soalan Kesusasteraan Melayu SPM berdasarkan soalan hasilkan atau cipta puisi atau sajak, kebiasaanya tema  telah diberikan dalam soalan. Oleh itu, tema ini perlu ditepati dan dipatuhi. Elakkan menulis puisi yang tiada kaitan dengan tema diberikan kerana ia mengurangkan markah.

Dalam usaha menghasilkan sebuah karya sajak yang menepati tema pelajar hendaklah menetapkan persoalan pokok (tema) yang hendak ditulis dalam puisi. Jika temanya kasih sayang maka ia perlu berkisar tentang kasih sayang dalam keluarga,  kasih sayang dalam masyarakat, dan sebagainya. Pilihlah  persoalan-persoalan yang berkisar tentang tema berkaitan.

Oleh kerana panjang sajak dihadkan kepada 14 baris maka  dalam ruang 14 baris inilah tema tersebut perlu dijelaskan dalam sajak. Ada kalanya berlaku calon terlalu menumpukan aspek bahasa hingga mengabaikan tema yang ditetapkan.

Bina struktur puisi yang menarik
Struktur puisi yang menarik membantu mendapat markah kreativiti dalam penulisan anda. Aspek struktur ini meliputi sajak tersebut perlu mempunyai tajuk. Pilih tajuk yang menarik atau tajuk yang dapat memberi gambaran tema sajak.

Jika anda ingin menulis nama pengarang di bahagian akhir puisi dibolehkan sama ada menggunakan nama samaran atau nama sebenar.

Struktur puisi melibatkan susunan baris dan rangkap. Oleh itu cubalah menghasilkan puisi sama ada satu rangkap atau dua rangkap. Seimbangkan penciptaan puisi  penggunaan rima akhir yang menarik. Meskipun sajak skema rimanya bebas tetapi keupayaan penulis menghasilkan sajak yang memiliki skema rima yang menarik merupakan satu kekuatan pada penghasilan karya. Jadikan puisi  anda lebih kreatif dan indah dari susunan struktur yang melibatkan : penggunaan rima akhir, jumlah kata dalam sebaris, jumlah suku kata dalam sebaris, jumlah baris dalam rangkap dan kaedah penulisan yang menarik seperti tidak menggunakan huruf besar pada awal kata, menggunakan titik pada setiap rangkap dan sebagainya. Ingatlah penghasilan sajak memerlukan kreativiti yang tinggi.

Sebagai penutup, anda perlu belajar menghasilkan sajak mulai sekarang
Cuba hasilkan sajak berdasarkan tema berikut (panjang baris ialah 14 baris)
1. Cinta akan tanah air
2. Kasih sayang
3. Ilmu
4. Perpaduan
5. Persahabatan
6. Kegigihan/ Kecekalan