4 Jan 2020

3 Jan 2020

25 tahun putrajaya


Buka kapsul 25 tahun
Hidayatul Akmal Ahmad dan Siti A’isyah Sukaimi


SEMPENA tahun baharu 2020 semalam, genaplah 25 tahun usia Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, sekali gus detik bersejarah buat Putrajaya yang menyambut Jubli Perak.

Justeru, kemeriahan sambutan berkenaan akan diraikan sepanjang 2020 dengan pelbagai acara, program serta pengisian yang dibawakan khas bermula Januari ini.

Majlis Pelancaran Sambutan Jubli Perak Putrajaya disempurnakan oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Putrajaya, Presint 3, iaitu tokoh bertanggungjawab membuka Putrajaya 25 tahun lalu.

Kemuncak sambutan adalah pada 29 Ogos 2020 yang mana Kapsul Masa ditanam sendiri oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos 1995 iaitu 25 tahun lalu akan dikeluarkan dan dibuka.

Menerusi ucapan ringkasnya, beliau melahirkan rasa gembira kerana berkesempatan menyaksikan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya yang mencecah usia 25 tahun.

“Saya amat gembira kerana dapat juga melihat Putrajaya ini berumur 25 tahun. Sebenarnya saya tidak mimpi untuk lihat acara seperti ini.

“Tetapi kerjasama, perpaduan kestabilan dan keamanan negara ini sehingga dapat kita bangunkan sebuah ibu kota pentadbiran yang gilang-gemilang. Sayangilah Putrajaya dan sayangilah Malaysia negara kita bersama,” katanya, kelmarin.

Acara berkenaan dihadiri puluhan ribu pengunjung yang menanti detik sambutan kemuncak tahun baharu 2020.

Bertambah meriah, sambutan berkenaan menjadi penutup tirai kepada Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 yang dianjurkan selama empat hari bermula 28 Disember lalu.

Pada masa sama, Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali meluangkan masa kira-kira sejam di acara berkenaan serta menyaksikan projeksi pemetaan cahaya mega dipaparkan pada bangunan Istana Kehakiman.

Bagaimanapun, beliau dan isteri tidak menyertai detik kiraan ambang tahun baru 2020 kerana perlu menghadiri acara sambutan tahun baharu di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.

“Oleh kerana saya terpaksa beredar untuk melihat satu lagi acara di Dataran Merdeka. Saya ingin ucap selamat tahun baharu kepada semua rakyat Malaysia,” katanya.

Acara itu turut dihadiri Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj) Datuk Dr Aminuddin Hassim.

hmetro


PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan Presiden Perbadanan Putrajaya (PPJ), Datuk Dr Aminuddin Hassim melancarkan Sambutan Jubli Perak Putrajaya pada Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 di Dataran Putrajaya. NSTP/Luqman Hakim Zubir

PM lancar Sambutan Jubli Perak Putrajaya
Oleh Wan Faizal Ismayatim

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad malam ini menyempurnakan pelancaran Sambutan Jubli Perak Putrajaya.

Ia sempena kehadiran Perdana Menteri pada Festival Light and Motion Putrajaya (LAMPU) 2019 di Dataran Putrajaya yang dibanjiri puluhan ribu rakyat berbilang kaum, selain pelancong asing.

Dalam ucapan ringkasnya, Perdana Menteri menyatakan kegembiraan kerana dapat melihat Putrajaya mencecah usia 25 tahun.

“Sebenarnya saya tidak bermimpi untuk melihat acara seperti ini, tetapi kerjasama, perpaduan, kestabilan dan keamanan negara kita dapat membangunkan sebuah ibu kota pentadbiran yang gilang-gemilang.

“Sayangilah Putrajaya dan sayangilah Malaysia, negara kita bersama,” katanya.

Sambutan Jubli Perak Putrajaya akan berlangsung sepanjang tahun yang padat dengan pelbagai acara, program serta pengisian bermula Januari 2020.

Acara kemuncak sambutan ialah pada 29 Ogos 2020 yang mana Kapsul Masa yang ditanam sendiri oleh Perdana Menteri pada 29 Ogos 1995 akan dikeluarkan dan dibuka.

Perdana Menteri kemudian akan menanam kapsul masa baharu untuk dibuka pada Sambutan Jubli Emas Putrajaya.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali; Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad serta Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Datuk Dr Aminuddin Hassim.

Sempena pelancaran itu, Dr Mahathir turut menyaksikan persembahan Projeksi Pemetaan Cahaya Mega, selain menyampaikan mesej Selamat Tahun Baharu 2020 kepada pengunjung menerusi paparan projeksi.

Turut berlangsung di Dataran Putrajaya ialah Sambutan Ambang Tahun Baharu 2020 yang turut membabitkan pertunjukan bunga api dan bunga api digital.

LAMPU 2019 berlangsung selama empat hari mulai 28 Disember lalu.


bharian





30 Dec 2019

biar begini


BIAR BEGINI

biar begini aku berwaktu merinduimu
merasa sangat ingin menemui
tetapi masa selalu meliputi
kemuncak-kemuncak tinggi itu
dari bebalam tertera di mata

biar begini aku sangat memikirkanmu
merasa masa yang berlalu
tak terlekang fikir dan rasa
pada segenap dirimu
dan kutahu kau dekat menatap
meski aku selalu kelabu dan buram
dari menemui semuamu

biar begini
cinta bergaris panjang
membawa hatiku ke jantung jiwamu
jangan ia terlerai dan terputus jauh
aku hanya berharap
cintaku yang sekerdil ini
selalu berada di sisimu
meski sezarah cuma


27 Dec 2019

makam nisan aceh


Kembara Sejarah: Menjejak Makam Nisan Aceh dan Meninjau Bakal Tapak Warisan Dunia Diiktiraf UNESCO
OLEH AZURA HALID

BERSULAMKAN tekad, fungsi pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan diadun menjadi satu dalam kembara sejarah apabila pasukan karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) yang diketuai oleh Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, dan Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBPWS, telah mengatur kembara menjejak tapak peninggalan sejarah di daerah Kota Tinggi, Johor.

Tanggal 27 April 2019 telah terpahat dalam sejarah apabila 100 orang peserta yang terdiri daripada pencinta sejarah dan budaya, penulis, penjawat awam, organisasi bukan kerajaan dan pelajar telah berhimpun di Muzium Kota Tinggi, untuk memulakan kembara sejarah menjejak makam pemerintah dan pembesar terdahulu.


Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Kota Tinggi menjadi pilihan penganjur pada tahun ini kerana di sini bermulanya pembukaan Johor Lama sebagai pusat pentadbiran dan pemerintahan negeri Johor setelah kejatuhan Kesultanan Melaka. Tahun 1528 mencatat sejarah kegemilangan kerajaan Johor Lama dengan beberapa peristiwa penting yang menarik perhatian para peminat dan pencinta sejarah. Naskhah Sulalatus Salatin pula menjadi kitab agung pegangan para karyawan dan peserta kembara sepanjang kembara. Sulalatus Salatin telah diwartakan sebagai warisan dunia atau Memory of the World Register oleh United National Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada September 2001. Inilah antara karya terpenting dan amat bernilai dalam bahasa Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang. Bendahara Tun Sri Lanang merupakan tokoh penulis kelahiran Seluyut, Kota Tinggi, dan marhum di Aceh.


Antara peserta yang mengikuti kembara sejarah menjejak makam pemerintah dan pembesar terdahulu di Kota Tinggi, Johor.

Kampung Makam menjadi destinasi pertama pasukan Kembara. Di Kampung Makam itulah terletaknya Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Makamnya terpelihara dan sentiasa dikunjungi pelawat tempatan dan luar negeri. Kisah Sultan Mahmud yang dibunuh oleh Megat Seri Rama telah menguasai sejarah Melayu pada tahun 1699. Sultan Mahmud mangkat pada usia 24 tahun. Kisah ini disingkap dalam pelbagai versi. Kezaliman sultan dan penderhakaan rakyat sekadar simbolik pada perebutan kuasa dan jawatan dalam pentadbiran negeri. Kisah rakyat biasa yang diwakilkan oleh Dang Anum yang dikatakan dibunuh kerana mengidam seulas nangka sulung seorang raja sekadar gambaran kisah cemburu manusia. Kesahihan peristiwa tersebut masih boleh dipertikaikan. Kisah ini juga boleh dijadikan sempadan dan teladan kepada pemilik takhta dan rakyat jelata, seperti mana ilham Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin tentang Tun Jana Katib dengan waadat yang termeterai antara pihak istana dengan golongan marhaen. Dengan kemangkatan baginda sultan, maka bermulalah susur galur pemerintahan bendahara dan kemudiannya kekuasaan temenggung dalam Kesultanan Johor.


Makam Tun Habab.


Para peserta turut menziarahi makam Tun Habab, iaitu Bendahara semasa Zaman Sultan Ibrahim Shah I dan jawatan tersebut diteruskan semasa zaman Sultan Mahmud Shah II. Kemudian baginda dilantik sebagai Sultan Johor selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah II yang tidak meninggalkan waris.

Perjalanan diteruskan ke makam Bendahara Tun Habab yang berdekatan dengan makam Sultan Mahmud. Tun Habab dilantik sebagai bendahara semasa pemerintahan Sultan Ibrahim Shah I (1677-1685) dan khidmatnya diteruskan sehingga pemerintahan Sultan Mahmud Syah II (1685-1699). Nama sebenarnya ialah Tun Abdul Majid Tun Habab, juga dikenali dengan gelaran Habib Padang Saujana. Bendahara Tun Habab ditabalkan sebagai pengganti Sultan Mahmud Syah II kerana kemangkatan baginda tidak meninggalkan pewaris takhta. Bendahara Tun Habab menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV semasa pemerintahannya. Baginda membuka pusat pemerintahan di Kota Tauhid dan kemudian berpindah ke Kampung Panchor.


Lawatan ke kota dan makan Touhid iaitu tempat yang pernah menjadi ibu negeri Johor suatu masa dahulu.

Kembara diteruskan menelusuri makam Kota Tauhid. Beberapa orang ulama yang dilantik sebagai penyebar agama Islam di Johor dan menjadi penasihat agama kepada sultan, dimakamkan di Makam Kota Tauhid. Kota Tauhid merupakan ibu negeri Johor kelapan semasa pemerintah Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677). Baginda mempunyai hubungan yang rapat dengan Belanda. Baginda membina kota ini daripada batu yang diperkenalkan oleh Belanda pada masa itu. Dikatakan kota ini dibina daripada campuran kulit kerang dan putih telur. Keunikan teknologi binaan kota ini sangat dikagumi. Pada tahun 1642, ibu negeri ini bertukar ke Pasir Raja kerana kawasan ini dilanda wabak penyakit.


Kubur yang terdapat di sini terdiri daripada kubur pembesar-pembesar Johor ketika itu.

Sejurus selesai menziarahi Makam Kota Tauhid, kembara diteruskan ke makam Laksamana Bentan atau dikenali juga dengan nama Megat Seri Rama. Bersebelahan dengan makam Laksamana Bentan ialah makam Dang Anum, isteri kesayangannya. Beberapa makam kecil juga dijumpai di kawasan berdekatan yang dipercayai makam anakanda Laksamana Bentan. Beberapa versi sejarah lisan mengatakan bahawa Laksamana Bentan dan Dang Anum mempunyai seorang anak sebelum Dang Anum berbadan dua sekali lagi semasa mengidam nangka sultan. Sejauh mananya kebenaran ini hanya diketahui oleh Tuhan. Sejarah lisan wajar dijadikan pedoman hidup bagi manusia hidup.


Lawatan ke makan Laksamana Bentan.

Kembara 10 kereta, dua van, sebuah 4WD dan sebuah bas diteruskan ke Kampung Kota Johor Lama. Kampung Kota Johor Lama terletak berdekatan dengan Sungai Johor dan Teluk Sengat. Makam Temenggung Johor terletak di kawasan ini. Makam ini juga dikenali dengan nama Makam Bidan. Terdapat juga makam lain yang tidak dapat dikenal pasti pemiliknya di sekitar Kampung Kota Johor Lama.

Kota Johor Lama merupakan kubu pertahanan terbaik antara kota pertahanan yang dibina sepanjang Sungai Johor. Kota ini dibina pada tahun 1540 semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528-1564). Selepas kejatuhan Kesultanan Melaka, Sungai Johor telah dijadikan pusat pemerintahan dan kota pertahanan untuk menyerang balas Portugis di Melaka. Kubu dan benteng pertahanan di sini merupakan benteng semula jadi yang memudahkan pengawasan dibuat terhadap pergerakan keluar dan masuk kapal di perairan Selat Melaka. Dari kawasan ini juga, sayup-sayup kelihatan Kubu Budak yang dikatakan kubu pertahanan bagi menyelamatkan nyawa anak-anak kecil dan kaum wanita. Kubu ini dinamai Kubu Budak kerana binaan kubunya yang diperbuat daripada kepalan pasir pantai telah dibangunkan oleh kanak-kanak yang dilindungi daripada musuh di kawasan kubu berkenaan.


Para peserta turut dibawa melawat ke Muzium Kota Johor Lama di Teluk Sengat, Johor.

Di kawasan ini juga, telah dibina Muzium Kota Johor Lama yang tersimpan pelbagai artifak sejarah termasuklah batu nisan Aceh. Pada setiap ziarah dari makam ke makam, kesemua makam ditandai dengan batu nisan Aceh. Yang membezakannya ialah seni ukir, seni pahat dan saiznya. Keunikan nisan Aceh ini lambang kesenian Islam dalam bidang teknologi binaan nisan. Amat mengagumkan kerana nisan Aceh ini diperbuat daripada batu pasir yang tahan bertahun-tahun lamanya. Makam sultan, raja, pembesar istana dan kerabat diraja sahaja yang ditandai dengan batu nisan Aceh. Ini membuktikan betapa istimewanya hubungan golongan istana dalam dengan kerajaan Aceh pada abad ke-16.

Satu resolusi telah dibentangkan pada sesi akhir Kembara ini dalam slot Bicara Sejarah: Menjejak Makam Nisan Aceh yang dibicarakan oleh Profesor Datuk Dr. Mohammed Hatta, Tuan Haji Kamdi Kamil, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia, Encik Amad Bahri Mardi, Setiausaha Persatuan Sejarah Kawasan Kota Tinggi dan Prof. Madya Dr. Mohd. Kassim Thukiman, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru. Antara cadangan resolusi Kembara ini ialah mengenal pasti tapak dan lokasi yang berpotensi sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Daftar Warisan Kebangsaan, Jabatan Warisan Negara, serta mengemukakan cadangan untuk mengangkat daerah Kota Tinggi, sebagai tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.

Impian ini tidaklah mustahil untuk dicapai dengan kerjasama daripada pelbagai pihak dan usaha berterusan untuk memelihara dan menjaga tapak bersejarah ini. Kota Tinggi bukanlah kota peninggalan binaan penjajah seperti Melaka yang meninggalkan A Famosa dan bangunan bersejarah lain yang kukuh berdiri sehingga kini. Kota Tinggi ditinggalkan oleh sejarah terdahulu dengan makam yang menjadi petanda pada setiap manusia yang hidup. Daripada kisah makam dan pemakaman inilah lahirnya tamadun yang unggul yang kesinambungan kesultanannya diteruskan daripada kerajaan Johor Lama sehingga terbinanya peradaban Johor moden yang kini diperintah oleh legasi temenggung di negeri Johor

klikweb

hikayat anggun cik tunggal


Sosiobudaya Masyarakat Melayu dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal
Oleh KHAIROL ANUAR HARITH FADZILLAH


KEUNGGULAN karya agung Hikayat Anggun Cik Tunggal dalam genre prosa Melayu tradisional dan tradisi lisan Nusantara ialah satu daripada sejumlah cerita penglipur lara yang dihasilkan menerusi inisiatif R.O Winstedt dan R.J Sturrock. Selain itu, keunggulan Hikayat Anggun Cik Tunggal (1914) antara sebahagian karya agung kesusasteraan rakyat Nusantara yang berjaya melalui proses pendokumentasian dalam bentuk tulisan oleh para orientalis dan sarjana sastera lisan Nusantara yang mengkaji tradisi lisan Nusantara (Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003: 5). Malah, Hikayat Anggun Cik Tunggal (1914) yang diusahakan oleh R.O Winstedt dan R.J Sturrock merupakan hasil pertuturan Pawang Ana dan menantunya Mir Hassan atau Zakaria Hitam dari Perak yang terlibat dalam pendokumentasian cerita Daun Nilam dengan Kapak Mas (1972), Awang Sakti dengan Kanak-kanak (1972) dan Awang Pantas Negeri (1972). Tegasnya, keunggulan karya agung Hikayat Anggun Cik Tunggal yang mempersembahkan keindahan talibun dan bahasa berirama, turut memaparkan sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau di Sumatera Barat, Kepulauan Sumatera, Indonesia.

Penyusunan semula Hikayat Anggun Cik Tunggal dalam bahasa Melayu standard memudahkan para pengkaji, pembaca dan pelajar mengetahui sejarah dan sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau. Selain itu, sejarah latar tempat dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal di Tanah Minangkabau yang digelar sebagai Ranah Minangkabau bermula dari Kampung Dalam, Negeri Tiku Pariaman, Sumatera Barat sebagai negeri asal karya agung Hikayat Anggun Cik Tunggal. Malah, Hikayat Anggun Cik Tunggal merupakan sebuah karya agung sastera lisan Nusantara yang menyajikan bahagian-bahagian bersajak dalam sebuah cerita penglipur lara yang disebut sebagai nama kaba. Isi kaba–kaba itu disusun dalam kalimat-kalimat yang pendek yang digelar sebagai talibun oleh Harun Mat Piah (1989) dan Ismail Hamid (1987) sebagai puisi berangkap tentang perincian sesuatu peristiwa yang menyajikan cerita kaba dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal dalam sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau yang digelar sebagai Kaba Anggun Na Tongga. Tegasnya, teknik puisi berangkap, iaitu talibun dalam Kaba Anggun Na Tongga dan Hikayat Anggun Cik Tunggal memaparkan konsep pengulangan bahasa dan keindahan bahasa berirama dalam seluruh talibun yang dinamakan sebagai runs oleh R. J. Wilkinson (Azhar Md. Sabil, et al., 2016: 46).

Pada dasarnya, konsep sosiobudaya dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah hubungan masyarakat dengan budaya seperti adat istiadat, cara hidup dan lain-lain. Selain itu, konsep sosiobudaya berasal daripada kata “sosio” yang memaparkan perkara yang berkaitan dengan masyarakat dan organisasi masyarakat. Malah, kata sosio dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) ialah awalan asing yang berkaitan dengan faktor sosial, iaitu kemasyarakatan. Malah, konsep budaya dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010), ialah tamadun, peradaban, kemajuan fikiran, akal budi, cara berfikir, berkelakuan dan sebagainya. Konsep sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal melambangkan hubungan masyarakat dengan budaya yang bermula menerusi susun lapis masyarakat Melayu tradisional dan adat istiadat.

Sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal dilihat dari segi konsep masyarakat dalam Kamus Dewan Edisi Keempat (2010) sebagai kumpulan manusia yang hidup bersama di sesuatu tempat dengan mengikut peraturan kehidupan. Masyarakat Melayu tradisional dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal merupakan kumpulan masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dari Sumatera Barat, Indonesia.

Susun lapis masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal di Kampung Dalam, Negeri Tiku Pariaman, Pariaman Sumatera Barat merupakan kumpulan rakyat yang tinggal di Negeri Tiku Pariaman di bawah pemerintahan Raja Anggun Cik Tunggal. Selain itu, susun lapis masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal yang mengikut kedudukan piramid bermula daripada kedudukan raja, pembesar, rakyat dan hamba melambangkan kedudukan, taraf dan peranan individu dalam masyarakat. Jelaslah bahawa sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau di Kampung Dalam, Negeri Tiku Pariaman, Sumatera Barat dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal merupakan sebuah masyarakat feudal.

Struktur masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau terbahagi kepada golongan pemerintah seperti Raja Anggun Cik Tunggal dan golongan yang diperintah seperti rakyat jelata dan Bujang Selamat sebagai pembantu Raja Anggun Cik Tunggal. Pembahagian golongan pemerintah dan golongan diperintah dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal dilihat dari segi politik, ekonomi dan sosial. Oleh hal yang demikian, menurut Ong Loo Chen dalam Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara: Penggal 3 (2015: 27), hubungan antara golongan pemerintah dengan golongan yang diperintah melibatkan raja dan pembesar berdasarkan konsep hubungan timbal balik dan saling melengkapi. Selain itu, pemerintah menunjukkan kepemimpinan terbaik dan mengukuhkan aspek keselamatan terhadap golongan pemerintah dan rakyat jelata. Sebagai balasan, rakyat menyerahkan taat setia dan tenaga mereka kepada pemerintah. Dalam sistem feudal, kedudukan politik tidak boleh dipersoalkan, malah rakyat juga menerima sesuatu arahan raja tanpa soal dan bantahan. Rakyat memberi taat setia kepada raja dan tidak mempunyai dorongan untuk bekerja keras dalam bidang ekonomi kecuali bekerja keras untuk memajukan ekonomi demi kepentingan raja. Malah, tindakan rakyat selaras dengan nilai masyarakat Melayu tradisional yang merestui dan mengkehendaki orang Melayu supaya taat dan setia kepada pemerintah. Tegasnya, individu yang taat dan setia kepada raja dianggap tidak mementingkan diri (Ong Loo Chen, 2015: 27).

Pada dasarnya, adat istiadat dalam sosiobudaya masyarakat Melayu Minangkabau tradisional dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal telah dipaparkan menerusi hubungan antara masyarakat dengan budaya. Oleh hal yang demikian, konsep “adat” dalam adat istiadat berasal daripada bahasa Arab yang bermaksud kebiasaan. Oleh itu, apabila perkataan adat dijadikan istilah dalam bahasa Melayu, maka perkataan adat boleh disamakan dengan kebudayaan. Selain itu, menurut Ruslan Zainuddin dalam Sejarah Malaysia (2004), konsep adat dalam masyarakat Melayu bukan sahaja bermaksud adat istiadat atau upacara dan seluruh sistem hidup seperti sistem sosial, kepercayaan dan perundangan. Adat istiadat dalam masyarakat Melayu tradisional di alam Melayu ialah segala yang berkaitan dengan proses kehidupan manusia bermula apabila seseorang itu dilahirkan hingga beliau meninggal dunia. Adat istiadat terbahagi kepada adat yang diamalkan oleh golongan bangsawan dan adat yang diamalkan oleh rakyat jelata (Ruslan Zainuddin, 2004: 37). Tegasnya, konsep adat dalam hukum adat dan adat istiadat dalam Adat Perpatih bagi masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal di Nusantara telah mengalami perubahan kecil (Bernhard Dahm, Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh,1988).

Sistem adat dalam sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal memaparkan setiap bangsa di dunia mempunyai adat tersendiri. Setiap adat pula berbeza antara satu bangsa dengan bangsa yang lain. Pertalian rapat setiap adat dengan masyarakat membentuk satu sistem nilai dalam setiap masyarakat telah mewujudkan satu bentuk peraturan yang bertujuan untuk mengawal perlakuan anggota masyarakat demi mengekalkan keharmonian dan menjamin kesejahteraan masyarakat. Selain itu, sistem adat bermaksud bahawa perbuatan baik akan dipuji, manakala perbuatan jahat akan menerima hukuman. Falsafah ini menjadi pegangan masyarakat sejagat, tanpa mempunyai batas tertentu. Oleh itu, falsafah sebegini boleh terdapat pada kebanyakan bangsa di dunia termasuklah bangsa Melayu dari suku Minangkabau di Sumatera Barat, Kepulauan Sumatera, Indonesia dalam rantau Asia Tenggara. Pada masa yang sama, sistem nilai adat amat berbeza mengikut masyarakat kerana sistem adat yang dianggap bernilai dan berguna bagi satu kelompok masyarakat tidak dipersetujui oleh kelompok masyarakat yang tidak mengamalkan adat tersebut. Analogi sistem nilai adat yang diungkapkan ialah “sesetengah masyarakat menganggap emas amat tinggi nilainya, namun begitu bagi sesetengah masyarakat lain, garam lebih bernilai berbanding dengan emas.” Antara contoh terbaik tentang analogi sistem nilai adat di atas dengan sistem nilai adat dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal ialah penerimaan Adat Perpatih bagi masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau di Sumatera Barat tidak dapat diterima oleh masyarakat Melayu tradisional di alam Melayu yang mengamalkan Adat Temenggung berdasarkan sistem pemerintahan, bentuk, pelaksanaan, perbezaan dan keunikan Adat Perpatih.

Persoalan yang timbul aalah, apakah makna adat dan bagaimana adat bermula? Oleh hal yang demikian, jawapan kepada persoalan tentang makna dan permulaan adat telah dijawab dengan terperinci oleh Sidi Gazalba dalam buku bertajuk Masyarakat Islam: Pengantar Sosiologi dan Sosiografi (1976) yang menerangkan bahawa kewujudan adat dalam hubungan antara manusia dengan manusia telah membentuk komunikasi antara sesama manusia, selain mengembangkan pelbagai kegiatan menjadi satu kebiasaan yang membentuk nilai adat dalam sebuah masyarakat. Selain itu, untuk mencapai sesuatu keinginan, satu bentuk norma-norma tertentu dalam lingkungan lembaga adat telah disusun menjadi darah daging akan membentuk sifat yang menjadi “Pakaian Masyarakat” merupakan satu jaringan cita-cita, peraturan, pandangan dan keperibadian dalam perlakuan individu dalam sebuah kelompok masyarakat. Malah, Sidi Gazalba turut menyatakan bahawa “pewarisan menerusi pendidikan dan tatakekerabatan yang dibentuk melalui perkahwinan dan hubungan sesama ahli masyarakat merupakan asas adat yang menggariskan hak kewajipan anggota-anggota kerabat, menentukan cara pewarisan dan sebagainya”. Konsep adat merangkumi segala perlakuan masyarakat yang diamalkan sejak dilahirkan hingga hari kematiannya. Oleh hal yang demikian, adat mencakupi sejumlah tatacara, larangan, pepatah petitih dan upacara suci yang melahirkan keyakinan kolektif dan muafakat dalam suatu kelompok masyarakat (Abdullah Zakaria Ghazali et al., 2000: 62). Tegasnya, konsep adat dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal merupakan peraturan yang sudah diamalkan sejak turun temurun dalam sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau yang mengamalkan pegangan Adat Perpatih.

Proses penciptaan adat dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal berdasarkan amalan adat yang telah dilakukan sejak turun-temurun. Selain itu, proses penciptaan adat melambangkan kepercayaan di sebalik peraturan setiap adat tersebut. Oleh hal yang demikian, menurut Abdullah Sidek dalam Pengantar Undang-undang Adat di Malaysia (1975), peraturan adat melambangkan ajaran dan amalan yang dilakukan oleh anggota-anggota masyarakat. Selain itu, perkembangan adat dalam sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal bermula daripada proses kelahiran manusia hingga ke hari kematian. Malah, perkembangan adat mempunyai hubungan dengan perubahan kebudayaan masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau. Peraturan adat bersumberkan konsep transisi ritual dalam pelbagai upacara tertentu yang diadakan apabila berlaku upacara penting diraja dan upacara keramaian pemerintah bersama-sama rakyat jelata. Malah, pengaruh agama Hindu sangat besar dalam amalan masyarakat berkasta telah mempengaruhi perkembangan segala adat istiadat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal. Malah, pengaruh agama Hindu dalam amalan masyarakat berkasta dalam adat istiadat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau melambangkan semakin tinggi darjat seseorang, semakin istimewa hak yang diperoleh, manakala semakin rendah darjat seseorang, semakin besar tanggungjawab dan bebanan yang terpaksa dipikulnya. Pengaruh agama Hindu dalam adat istiadat yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal dipersembahkan dalam adat menyembah menjunjung duli yang dilakukan oleh Raja Anggun Cik Tunggal dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal (2016) terhadap nenda baginda seperti yang berikut:

Maka Raja Anggun Cik Tunggal pun duduklah hampir dengan nenda bagindanya itu
seraya menyembah menjunjung duli:
Terangkat kadam jari sepuluh,
Kuncup bagai salur bakung,
Jari seperti susun sirih;
Maka ia pun mendatangkan sembah, “Ampun nenda beribu-ribu ampun, sembah
cunda harapkan diampun, apakah hal cunda ini sekarang:
Besar di bawah tebu berlingkar,
Besar di bawah pisang goyangan.
(Hikayat Anggun Cik Tunggal, 2016: 19)

Demikianlah secara keseluruhannya, paparan adat istiadat dalam sosiobudaya masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal di Negeri Tiku Pariaman, Sumatera Barat yang menjunjung pegangan Adat Perpatih. Jelaslah bahawa pegangan Adat Perpatih yang diamalkan oleh masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau terbentuk daripada falsafah tradisional dan akal budi masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau. Selain itu, kekuatan adat istiadat masyarakat Melayu tradisional suku Minangkabau dalam Hikayat Anggun Cik Tunggal berdasarkan falsafah tradisional suku Minangkabau, iaitu “Alam Takambang Jadi Guru”, iaitu sesuatu yang dipelajari berdasarkan apa-apa yang dilihat, dipandang, didengar dan diperoleh daripada alam semula jadi sebagai “Guru Terbaik” (Abdullah Zakaria Ghazali et al., 2000: 62).



BIBLIOGRAFI

Abdul Rahman Haji Abdullah, 1990. Pemikiran Umat Islam di Nusantara: Sejarah dan Perkembangannya Hingga Abad Ke-19. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Abdullah Zakaria Ghazali, Azharudin Mohamed Dali, Azhar Md. Aros dan Suffian Mansor, 2000. Sejarah Asia Tenggara, Asia Selatan dan Asia Timur 1800-1963. Shah Alam.

Azhar Md. Sabil, Ruzaini Yahya dan Shamsudin Othman, 2016. Kesusasteraan Melayu Komunikatif Penggal 1, 2 & 3. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Dahm Bernhard, 1988. Sejarah Indonesia Abad Kedua Puluh. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Hikayat Anggun Cik Tunggal, 2016. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Kamus Dewan Edisi Keempat, 2010. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.

Mutiara Sastera Melayu Tradisional, 2003. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka

Ong Loo Chen, 2015. Sejarah Malaysia dan Asia Tenggara: Penggal 3. Bangi: Penerbitan Pelangi Sdn. Bhd.

Pawang Ana dan Raja Haji Yahya, 2016. Hikayat Anggun Cik Tunggal. Kuala Lumpur.

Sidi Gazalba, 1986. Masyarakat Islam: Pengantar Sosiologi dan Sosiografi. Kuala Lumpur: Penerbitan Pustaka Antara.

Ruslan Zainuddin, 2004. Sejarah Malaysia. Shah Alam: Fajar Bakti Sdn. Bhd.

Winstedt, R.O., 1969. Start From Alif: Count From One: An Autobiographical Memoire. Kuala Lumpur: Oxford University Press.

Zabidin Ismail, 2010. “Biografi dan Sumbangan Pawang Ana dalam Kesusasteraan Melayu Tradisional”, Kertas Kerja Seminar Pemikiran Pawang Ana, 25 Oktober 2010, Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Ipoh anjuran Persatuan Karyawan Perak.

klikweb

18 Dec 2019

syair perahu


Syair Perahu

Inilah gerangan suatu madah
mengarangkan syair terlalu indah,
membetuli jalan tempat berpindah,
di sanalah i’tikat diperbetuli sudah

Wahai muda kenali dirimu,
ialah perahu tamsil tubuhmu,
tiadalah berapa lama hidupmu,
ke akhirat jua kekal diammu.

Hai muda arif-budiman,
hasilkan kemudi dengan pedoman,
alat perahumu jua kerjakan,
itulah jalan membetuli insan.

Perteguh jua alat perahumu,
hasilkan bekal air dan kayu,
dayung pengayuh taruh di situ,
supaya laju perahumu itu

Sudahlah hasil kayu dan ayar,
angkatlah pula sauh dan layar,
pada beras bekal jantanlah taksir,
niscaya sempurna jalan yang kabir.

Perteguh jua alat perahumu,
muaranya sempit tempatmu lalu,
banyaklah di sana ikan dan hiu,
menanti perahumu lalu dari situ.

Muaranya dalam, ikanpun banyak,
di sanalah perahu karam dan rusak,
karangnya tajam seperti tombak
ke atas pasir kamu tersesak.

Ketahui olehmu hai anak dagang
riaknya rencam ombaknya karang
ikanpun banyak datang menyarang
hendak membawa ke tengah sawang.

Muaranya itu terlalu sempit,
di manakan lalu sampan dan rakit
jikalau ada pedoman dikapit,
sempurnalah jalan terlalu ba’id.

Baiklah perahu engkau perteguh,
hasilkan pendapat dengan tali sauh,
anginnya keras ombaknya cabuh,
pulaunya jauh tempat berlabuh.

Lengkapkan pendarat dan tali sauh,
derasmu banyak bertemu musuh,
selebu rencam ombaknya cabuh,
La ilaha illallahu akan tali yang teguh.

Barang siapa bergantung di situ,
teduhlah selebu yang rencam itu
pedoman betuli perahumu laju,
selamat engkau ke pulau itu.

La ilaha illallahu jua yang engkau ikut,
di laut keras dan topan ribut,
hiu dan paus di belakang menurut,
pertetaplah kemudi jangan terkejut.

Laut Silan terlalu dalam,
di sanalah perahu rusak dan karam,
sungguhpun banyak di sana menyelam,
larang mendapat permata nilam.

Laut Silan wahid al kahhar,
riaknya rencam ombaknya besar,
anginnya songsongan membelok sengkar
perbaik kemudi jangan berkisar.

Itulah laut yang maha indah,
ke sanalah kita semuanya berpindah,
hasilkan bekal kayu dan juadah
selamatlah engkau sempurna musyahadah.

Silan itu ombaknya kisah,
banyaklah akan ke sana berpindah,
topan dan ribut terlalu ‘azamah,
perbetuli pedoman jangan berubah.

Laut Kulzum terlalu dalam,
ombaknya muhit pada sekalian alam
banyaklah di sana rusak dan karam,
perbaiki na’am, siang dan malam.

Ingati sungguh siang dan malam,
lautnya deras bertambah dalam,
anginpun keras, ombaknya rencam,
ingati perahu jangan tenggelam.

Jikalau engkau ingati sungguh,
angin yang keras menjadi teduh
tambahan selalu tetap yang cabuh
selamat engkau ke pulau itu berlabuh.

Sampailah ahad dengan masanya,
datanglah angin dengan paksanya,
belajar perahu sidang budimannya,
berlayar itu dengan kelengkapannya.

Wujud Allah nama perahunya,
ilmu Allah akan [dayungnya]
iman Allah nama kemudinya,
“yakin akan Allah” nama pawangnya.

“Taharat dan istinja’” nama lantainya,
“kufur dan masiat” air ruangnya,
tawakkul akan Allah jurubatunya
tauhid itu akan sauhnya.

Salat akan nabi tali bubutannya,
istigfar Allah akan layarnya,
“Allahu Akbar” nama anginnya,
subhan Allah akan lajunya.

“Wallahu a’lam” nama rantaunya,
“iradat Allah” nama bandarnya,
“kudrat Allah” nama labuhannya,
“surga jannat an naim nama negerinya.

Karangan ini suatu madah,
mengarangkan syair tempat berpindah,
di dalam dunia janganlah tam’ah,
di dalam kubur berkhalwat sudah.

Kenali dirimu di dalam kubur,
badan seorang hanya tersungkur
dengan siapa lawan bertutur?
di balik papan badan terhancur.

Di dalam dunia banyaklah mamang,
ke akhirat jua tempatmu pulang,
janganlah disusahi emas dan uang,
itulah membawa badan terbuang.

Tuntuti ilmu jangan kepalang,
di dalam kubur terbaring seorang,
Munkar wa Nakir ke sana datang,
menanyakan jikalau ada engkau sembahyang.

Tongkatnya lekat tiada terhisab,
badanmu remuk siksa dan azab,
akalmu itu hilang dan lenyap,
(baris ini tidak terbaca)

Munkar wa Nakir bukan kepalang,
suaranya merdu bertambah garang,
tongkatnya besar terlalu panjang,
cabuknya banyak tiada terbilang.

Kenali dirimu, hai anak dagang!
di balik papan tidur telentang,
kelam dan dingin bukan kepalang,
dengan siapa lawan berbincang?

La ilaha illallahu itulah firman,
Tuhan itulah pergantungan alam sekalian,
iman tersurat pada hati insap,
siang dan malam jangan dilalaikan.

La ilaha illallahu itu terlalu nyata,
tauhid ma’rifat semata-mata,
memandang yang gaib semuanya rata,
lenyapkan ke sana sekalian kita.

La ilaha illallahu itu janganlah kaupermudah-mudah,
sekalian makhluk ke sana berpindah,
da’im dan ka’im jangan berubah,
khalak di sana dengan La ilaha illallahu.

La ilaha illallahu itu jangan kaulalaikan,
siang dan malam jangan kau sunyikan,
selama hidup juga engkau pakaikan,
Allah dan rasul juga yang menyampaikan.

La ilaha illallahu itu kata yang teguh,
memadamkan cahaya sekalian rusuh,
jin dan syaitan sekalian musuh,
hendak membawa dia bersungguh-sungguh.

La ilaha illallahu itu kesudahan kata,
tauhid ma’rifat semata-mata.
hapuskan hendak sekalian perkara,
hamba dan Tuhan tiada berbeda.

La ilaha illallahu itu tempat mengintai,
medan yang kadim tempat berdamai,
wujud Allah terlalu bitai,
siang dan malam jangan bercerai.

La ilaha illallahu itu tempat musyahadah,
menyatakan tauhid jangan berubah,
sempurnalah jalan iman yang mudah,
pertemuan Tuhan terlalu susah.
~ Hamzah Fansuri




kerana kau ada


kerana kau ada

kerana kau ada
jarak perjalanan begitu jauh
menjadi dekat dan cepat
tandanya aku amat memerlukan sahabat
sebagaimana kau ada di sisiku

kerana kau ada
aku belajar memahami pengalaman
yang menetas dari khilaf dan silap
dan aku banyak belajar
dari segala itu
tandanya bagaimana aku memerlukanmu
membimbing dan berkongsi pengalaman
sebagaimana kau ada dalam hidupku



12 Dec 2019

awan


awan

jika kumisalkan cintaku persis awan
sarat dan hitam membawa hujan yang kauinginkan
pastinya ketika ia berjatuhan dan menggerimis
engkau pasti terasa tenteram dan percaya
tapi bagaimana sehabis hujan
langit cerah membiru
tak secebis awan pun ada
begitu jugakah cinta itu
akan kau anggap sirna dan membiru hampa
apakah jika tak kauterima apa-apa
cintapun kauanggap tiada





10 Dec 2019

hati perlahan terhiris


Hati Perlahan Terhiris

Percayakah kamu bahawa puisi adalah cermin yang menghiris-hiris hati?
Apalah yang ada dalam sebuah nukil puisi - hanya bahasa dan kata-kata. Tak ada lakar atau warna. Tak ada suara atau denyut bunyi. Tak ada lenggok gerak atau nyanyi dikir indah. Tetapi puisi sebenarnya segala itu. Ada gerak ada kata ada tari lenggok indah dan dikir nyanyi. Ada gelap dan terang warna. Gumpal cahaya dan terik emosi - berladung dalam puisi.

Kerana itulah bila SN Usman Awang menulis bahasanya mengalir perlahan. Kata-katanya merayap dan mencengkam dengan guris dan cakar emosi. Tiada kata yang terbiar tanpa makna dan kerlip kata yang menghujam seret emosi. Setiap kali membaca puisi SN Usman Awang setiap detik emosi kita tercabar dan rasa terpikat akan memikat perlahan-lahan. Kita tidak bisa tembus dari kepung bahasa yang menghujahkan kata-kata dan emosi segar.
Akhirnya hari perlahan terhiris ....Itulah warna dari puisi-puisi Usman Awang

Barangkali ramai yang merasakan sukarnya memahami puisi dan payahnya meneroka ke dalam laut dan gelora kata-kata terhidang. Tetapi tidak begitu bagi SN Usman Awang beliau tidak memaksa kita memahami puisinya tetapi secara perlahan-lahan mengusik kita untuk menjejaki kata-kata yang dihidangkan. Terlalu santun dan indah bahasanya serta terlalu sederhana mengocak makna tapi meninggalkan kesan emosi yang  mendalam.

Baca saja puisi ini. Mata Ayah. Sebuah nukil karya yang bercermin tentang manusia dan kehidupan. Ia adalah milik semua kerana setiap kita ada seorang ayah atau kita menjadi ayah kepada seorang anak. SN Usman Awang sebenarnya mahu kita memerhati diri kita sendiri dan menatap mata kita sendiri. Mengerti emosi dan batin sendiri sebelum melurus dan membelai emosi orang lain. Ia mengajak kita menjadi anak, menjadi ayah  dan bertukar peranan semahu diri kita tetapi di penghujungnya kita akan dirempuh oleh kebanjiran rasa terhiris dan gundah yang sangat mengitari hati

Mata Ayah 

Kujabat mesra tangan ayah
Urat-urat daging-daging tua keras terasa
Mataku tersenyum, matanya menyapa
Anak yang pulang disambut mesra.

Tapi matanya, mata yang menatapku
Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
Suatu kelesauan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Kelibat senyum matanya masih jua ramah
Akan menutup padaku kelesuan hidup sendiri
Bagai dalam suratnya dengan kata-kata siang
Memintaku pulang menikmati beras baru.

Anak yang pulang di sisi ayahnya maka akulah
merasakan kepedihan yang tercermin di mata
Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.

~Usman Awang\

Bermula dengan pertemuan yang dianggap hanya biasa antara ayah dan anak. Pertemuan pada mulanya begitu biasa dan sederhana bagi sang anak tetapi ia sudah menjadi satu detik rangkuman emosi yang begitu sarat dan hiba bagi seorang ayah. Segala yang membingkas dalam emosi sang ayah tidak terlihat pada garis wajah dan mata ayah kerana itu bagi sang anak kepulangan ini biasa dan dapat bertemu ayah. Bagi sang ayah pertemuan ini adalah dakap utuh seoranag ayah terhadap sang anak. Sambutan yang mesra dirasakan oleh seorang anak sebenarnya sambutan yang sangat menekan emosi dan lubuk kalbu sang ayah. Tiada cerita gundah dibibir ayah. Tiada kata kesal dan hiba yang berlegar. Tiada getar emosi yang terlahir dari ungkap tetapi dalam tatap mata ayahnya tersimpan segumpal emosi yang amat mendalam dan menggelora. Menghadapi ketuaan dalam daif dan kesendirian tanpa sebarang sapa dan bantu sang anak. Hidup dalam usia tua menahan sepi dan gelisah tanpa siapa memberi perhatian. Segala itu mula meledak dalam tatap ayah dan sang anak mula merasa suatu yang semakin mengheret jiwanya.

Tapi matanya, mata yang menatapku
Kolam-kolam derita dan pudar bulan pagi
Garis-garis putih lesu melingkungi hitam-suram
Suatu kelesauan yang tak pernah dipancarkan dulu.

Semua itu mencampakkan sang anak ke sudut jiwa yang sangat menghiris. Bayangkanlah jika kita siu anak itu atau kita si ayah citu bagaimana rasa beban jiwa yang menghuni batin. Bahasa SN Usman Awang cukup halus memaut kita untuk lebih terhiris.

Anaknya mula memahami akan kelesuan hidup, kesepian, kehilangan dan kesendirian yang dialami sang ayahnya. Tiada lain cara untuk memanggil anaknya pulang hanya dengan berharap anaknya dapat merasakan beras baru. Tetapi sang anak mula mengerti kepulanmgan ini bukan untuk beras baru tetapi panggilan jiwa sang ayah agar anaknya kembali dan melihat sendiri sang ayah yang dibiarkan merana dan hidup sendiri. Merasai jiwa dan hati bagaimana kehidupan mamaut sunyi sambil menghabiskan usia tua itu. Melihat sendiri akan kekosongan hidup selain sawah dan beras baru. Sekali lagi kita akan dihimpit kepiluan akan disamabar kepedihan dengan nasib dan  warna jiwa sang ayah. Kita mula merasa serba salah gelisah dan hiba kerana setiap dari kita mungkin anak itu atau mungkin juga ayah itu

Puisi adalah bahasa yanag bernyanyi. Nyanyi puisi SN Usman Awang mengocak rasa meledak tangkai emosi. apa lagi apabila puisi ini diakhirkan dengan sang ayah masih meletakkan segala sulit dan sukar hidup ini sebagai nasib dirinya :

Meski kain pelekatnya bersih dalam kesegaran wuduk
Dan ia tidak pernah merasa, sebab derita itu adalah dia.


Luka dan pilu yang dialami adalah nasib dirinya. Ia sudah menjadi sebahagian dari dirinya./ Bukan silap sang anak yang tidak pulang atau memerhati nasibnya tetapi sang ayah menerima takdir bahawa segala pilu itu memang menjadi miliknya.

Demikianlah bahasa sebuah puisi dalam tajam makna dan lakar kata
hatri perlahan terhiris




22 Nov 2019

murid berkarya


Murid berkarya

Murid hari ini sudah ada yang memiliki pelbagai kebolehan dan kemahiran berasaskan media sosial dan internet. Mereka berkomunikasi dengan ibubapa dan keluarga melalui chat, mesej dan panggilan telefon. Ada yang memiliki peranti yang canggih dan berkebolehan untuk menghasilkan blog, infografik, buku digital, dan sebagainya. Mereka sudah ada kemahiran dan kebolehan tetapi dalam bilik darjah mereka masih disogokkan dengan lembaran kertas latihan, buku tulis dan sebagainya. Ada yang sudah jemu dan bosan dengan pensil dan kertas di tangan. Mereka tidak langsung dibenar gunakan apa yang sangat mereka gemari melalui internet dan peranti canggih yang dimiliki. Tiba waktunya untuk memberi mereka peluang menghasilkan blog, video pendek, grafik digital, animasi dan sebagainya. Beri mereka peluang menghasilkan karya yang mereka sangat gemari dan berkongsi sesama rakan mereka.

Kita mahu melihat mereka merasa gembira di bilik darjah. Berilah mereka peluang meneroka dan mencipta kerana generasi yang kita hadapi adalah generasi baru - generasi z. Mereka terdedah dengan segala pengetahuan dan kemahiran internet, media sosial dan peranti. Mereka benci kertas dan lembaran berjela. Aksara yang mereka taip tertera sementara di skrin dan kemudian padam. Mereka menunggu aksara baru dan cerita baru chat dan share kawan-kawan. Mereka tahu muzik, penerbitan video blogging dan grafik. Inilah alam harian mereka. Tetapi di sekolah mereka dinafikan semua itu. Guru masih dengan kapur tulis dan papan hitam. Kalaupun ada peranti tetapi tidak maksimum penggunaan. Beri mereka peluang menghasilkan karya. Tentang oksigen dan karbon monoksida. Mereka boleh cari video terbaik gambarkan  perkara ini. Mereka boleh hasilkan infografik. Mereka boleh hasilkan video pendek tentang topik berkaitan. Mereka ada blog dan instagram. Banyak ruang untuk penghasilan dan perkongsian

Biarkan murid berkarya dengan peranti dan aksesori. Kita mahu melihat kemenjadian dan kebijakan.


9 Nov 2019

menenun cerita siti zainon




MARI TALKS : MENENUN CERITA SITI ZAINON

GADIS BUKU dan GALERI MELORA berbesar hati membawakan sesi bersama Sasterawan Negara Prof. Dr. Siti Zainon Ismail.

Selain dapat mengenali figura wanita bernama Siti Zainon dengan lebih intim, acara bakal diisi dengan perbincangan santai novel Delima Ranting Senja tulisan Bonda Siti Zainon. Turut serta dalam sesi ini, tokoh Falsafah Penulisan Kreatif, Dr. Anis Amida Abdul Hamid.

Jangan lupa temu janji kita Sabtu, 9 November 2019 ini di Mari Cafe and Space bermula jam 3 petang.

ALAMAT:
Mari! Cafe and Space
C-1, 3, Jalan BG 3B/4, Seksyen 15, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor

7 Nov 2019

Sayembara Cipta Puisi Putrajaya





Jika ada yang mahu hantar karya menggunakan email, anda boleh hantar ke spcbi@dbp.gov.my atau karya anda juga boleh dihantar melalui peti pos ke;

Urus Setia,
Sayembara Mencipta Puisi Putrajaya,
Bahagian Promosi dan Pengiktirafan DBP,
Aras 25, Menara DBP,
Jalan Dewan Bahasa,
50460 Kuala Lumpur.

Untuk pertanyaan lanjut sila hubungi;
1. mohdhafizi@dbp.gov.my
2. mohdfarid@dbp.gov.my

* Tarikh tutup penyertaan;
22 November 2019


1 Nov 2019

kapal korek



KEADAAN di dalam kapal korek dikenali sebagai TT5, di Jalan Tanjung Tualang. - Foto Yahya Zainuddin

Warisan kapal korek terakhir
Oleh Shaarani Ismail

BATU GAJAH: TT5 gelaran atau nama bagi kapal korek terakhir yang masih ada di Malaysia yang terletak di Jalan Tanjung Tualang, dekat sini, menyimpan banyak kenangan kepada bekas ketua forman, Chee Siew Khong.

Ini kerana Siew Kong, 73, yang juga 'dredge master' pernah mengendalikan jentera itu selama kira-kira 20 tahun.

Siew Khong yang mula terbabit dalam sektor perlombongan bijih timah ketika usia belasan tahun namun secara rasmi bekerja dalam sektor berkenaan pada usia 21 tahun, cukup mahir dengan fungsi dan selok-belok kapal korek berkenaan dari sejak ia mula beroperasi hinggalah operasinya dihentikan pada 1982 berikutan kejatuhan harga komoditi bijih timah.

"Sepanjang karier, saya sudah mengendalikan lebih 17 kapal korek bersaiz kecil hingga yang bersaiz besar dan kapal korek TT5 yang masih kekal di Tanjung Tualang ini adalah antara kapal korek bersaiz sederhana yang masih ada.

"TT5 merujuk kepada nombor kapal korek yang ada di Tanjung Tualang ketika itu manakala angka '5' menandakan ia adalah kapal yang kelima ada di Tanjung Tualang yang satu ketika dulu menjadi antara lokasi penting perlombongan bijih timah dalam negara yang menjadi pengeluar bijih timah terbesar dunia ketika itu," katanya yang ditemui BH.

TT5 yang menjadi warisan sejarah Perak dan digelar `The Last Dredge' atau warisan kapal korek terakhir yang masih wujud di negara, kini dalam proses pemuliharaan semula dan ditambah baik dengan pelbagai kemudahan bagi menjadikannya kawasan antara kawasan tarikan pelancongan sejarah di Perak dalam sektor perlombongan.


SIEW Khong berpengalaman mengendalikan kapal korek TT5, selama kira-kira 20 tahun. - Foto Yahya Zainuddin



TT5 mempunyai 115 bakul pengorek atau `bucket' yang dipasang dan boleh digambarkan umpama rantai basikal yang besar yang akan mengorek tanah dan mengumpul bijih timah. - Foto Yahya Zainuddin

Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) dipertanggungjawabkan memulihara semula kawasan bersejarah itu supaya ia terus menjadi ingatan dan warisan kebanggaan Perak sebagai pengeluar utama bijih timah dunia satu ketika dulu.

Tanpa memerlukan pelan atau panduan, setiap ruang kerja dan fungsi alatan mekanikal yang ada diperjelaskan satu persatu dengan lancar dari 'A hingga Z'.

"Usaha pemulihan adalah langkah baik dan saya menghargainya. Kawasan ini mempunyai banyak sejarahnya yang tersendiri dan sebagai antara orang yang terbabit secara langsung dalam operasinya, ia memberikan saya satu nilai sentimental yang cukup mendalam," katanya.

Katanya, komponen utama kapal korek dibahagikan kepada dua bahagian atau dua stesen utama iaitu satu bahagian dikhususkan untuk mengumpul atau mengorek galian yang ada dan satu bahagian lagi bertanggungjawab memproses bahan galian yang sudah dikumpul untuk diasing daripada tanah kepada bijih timah.

Siew Khong berkata, TT5 mempunyai 115 bakul pengorek atau `bucket' yang dipasang dan boleh digambarkan umpama rantai basikal yang besar yang akan mengorek tanah dan mengumpul bijih timah yang ada.


KEADAAN di dalam kapal korek dikenali sebagai TT5 di Jalan Tanjung Tualang, yang dalam pengubahsuaian dan baik pulih untuk dijadikan muzium. - Foto Yahya Zainuddin



KAPAL korek ini dihentikan operasinya pada 1982 berikutan kejatuhan harga komoditi bijih timah. - Foto Yahya Zainuddin

"Ini adalah komponen paling utama kerana ia perlu diberikan penekanan, makin banyak tanah yang dikorek semakin baik hasil yang akan diperoleh.

"Tanah yang mengandungi bijih timah kemudian diangkut ke kawasan tinggi dan selepas itu ia dileraikan oleh sumpitan air ketika bahan itu masuk ke tabung silinder berputar, sementara bahan yang mengandungi timah disalurkan ke loji pemisah pertama di mana unsur mineral yang berat terkumpul," katanya.

Siew Khong turut menunjukkan bilik kawalan utama tempat di mana dia diberikan taklimat oleh pengurus dan jurutera di aras dua kapal korek, dari bilik kawalan itu aktiviti pekerja dapat dipantau dan sebarang masalah berkaitan operasi juga diajukan di situ.

Bilik enjin juga terletak di aras sama dan jelas kelihatan pada badan enjin tertera perkataan Allen West Co Ltd, Brighton, England yang juga pengeluar enjin kapal korek berkenaan.


TT5 satu ketika dulu menjadi antara lokasi penting perlombongan bijih timah dalam negara yang menjadi pengeluar bijih timah terbesar dunia ketika itu. - Foto Yahya Zainuddin


INFO:

Nama penuh - Tanjung Tualang Dredge No 5 (TT5)
Perekabentuk - FW Payne and Sons
Pertama kali dibina di England pada 1938 dan dibina semula pada 1963
Operasi terakhir adalah pada 1982
Pemilik asal - Southern Malayan Tin Dredging (M) Sdn Bhd (SMTD) - anak syarikat milik penuh Malaysia Mining Corporation Bhd (MMC)
Pemilik sekarang - Kerajaan Negeri Perak (didermakan oleh MMC sebagai Warisan Kapal Korek)

SPESIFIKASI:

4,500 tan berat
75 meter panjang dan 35 meter lebar
33 meter kedalaman mengorek
0.50976 meter padu kapasiti pengorek (bucket)
2,247 kuasa kuda (HP)
358,000 meter padu kapasiti mengorek pada satu-satu masa

bharian




Kapal korek TT5 jadi tarikan pelancong
Oleh Shaarani Ismail

BATU GAJAH: Pelbagai perancangan dibuat bagi memastikan kawasan persekitaran Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) di Jalan Tanjung Tualang di sini mampu diketengahkan semula sebagai antara lokasi pelancongan utama di Perak.

Ia dilakukan Perbadanan Menteri Besar (MB Inc) yang diberi tanggungjawab untuk memulihara kawasan itu dalam memastikan warisan berharga itu terus diingati dan diketengahkan.

Antaranya termasuk program pembangunan keseluruhan kawasan yang meliputi lima fasa bermula dengan usaha menyelamatkan dan membaikpulih, mengetengahkan kembali lokasi supaya dikenali, melaksanakan program yang boleh mendekatkan lagi masyarakat dengan TT5 serta melaksanakan program yang dapat membantu meningkatkan sosio ekonomi penduduk setempat melalui pembangunan semula kawasan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminuddin Hashim berkata, perkara paling asas adalah menyelamat dan membaikpulih dahulu TT5 bagi memastikan ia selamat untuk dilawati pengunjung.

"Itu usaha kita yang pertama bagi memastikan ia sesuai untuk dilawati dan mempunyai nilai tambah. Perlombongan bijih timah di Perak sudah berlangsung selama 100 tahun dan ia banyak menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri, selepas 34 tahun TT5 ini terbiar tanpa sebarang usaha pemuliharaan, MB Inc yang diberikan tanggungjawab ini akan cuba melaksanakannya dengan sebaik mungkin.


AMINUDDIN (kiri) berbincang dengan pegawai MB inc tentang pemuliharaan Warisan Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) di Jalan Tanjung Tualang di Batu Gajah. - Foto Yahya Zainuddin


KEADAAN kapal korek TT5 yang terbiar tanpa sebarang usaha pemuliharaan. - Foto Yahya Zainuddin

"Kami mendapat hak untuk menguruskan sepenuhnya TT5 pada 2014 dan InsyaAllah menjelang suku ketiga tahun ini ia akan mula dibuka kepada orang ramai bagi membolehkan mereka merasai kembali nostalgia kapal korek yang banyak membantu meningkatkan sosio ekonomi setempat ketika itu," katanya kepada BHplus ketika melawat TT5 baru-baru ini.

Aminuddin berkata, usah membaikpulih bukanlah mudah kerana dengan keadaan kapal korek yang sudah mengalami kebocoran, kerja menampal kira-kira 60 lubang yang sudah dikenalpasti adalah sukar.

Katanya, pada peringkat awal sebanyak RM8 juta diperuntukkan dalam usaha membaikpulih semula kapal berkenaan namun ia berjaya dikurangkan kepada RM4 juta sahaja.

Beliau berkata, fasa pertama membabitkan usaha menyelamat dan membaikpulih atau `save the dredge', diikuti fasa kedua iaitu mengetahkan semula lokasi melalui program `fun the dredge' dan fasa ketiga iaitu merasai sendiri pengalaman di dalam kapal korek melalui program `experience the dredge'.

"Kami sudah mengenalpasti beberapa pekerja mahir dan juga bekas pekerja yang pernah berkhidmat di kapal berkenaan termasuk seorang daripadanya bekas ketua mekanik atau `dredge master' berusia lingkungan 70 an bagi mengenalpasti kerosakan dan mengetuai kerja membaik pulih dan setakat ini kerja baik pulih berjalan lancar.


AMINUDDIN ketika meninjau kapal korek TT5. - Foto Yahya Zainuddin

"Sebaik ia selesai pembangunan fasa kedua akan dilaksanakan dengan mengadakan satu karnival bagi menarik orang ramai datang ke lokasi ini dan mengetengahkannya semula sebagai lokasi pelancongan warisan dan sejarah Perak," katanya.

Katanya, dengan kedudukannya yang begitu hampir dengan tarikan utama Batu Gajah iaitu Kellie's Castle yang terletak kira-kira 15 kilometer dan berjaya menarik kira-kira 15,000 pengunjung setiap bulan, tidak mustahil melalui pemuliharaan dan program yang disusun, Warisan Kapal Korek akan turut dikunjungi.

Beliau berkata, pembangunan fasa ketiga iaitu merasai sendiri pengalaman memasuki dan meninjau keadaan TT5 akan dilaksanakan selepas ia diperbaiki dan disahkan selamat dengan jumlah pelawat akan dihadkan kepada 10 pengunjung pada satu-satu masa, bagaimanapun pengunjung masih boleh menjelajah kawasan luar kapal korek kerana ia adalah kawasan terbuka.

"Selepas itu baharulah pembangunan fasa keempat dan kelima akan dilaksanakan iaitu pembinaan kemudahan asas dan infrastruktur kepada pengunjung yang akan turut memberikan nilai tambah kepada masyarakat setempat termasuk pembinaan calet butik, pembinaan taman tema dan kawasan sukan air serta kemudahan asas termasuk restoran dan gerai menjual makanan minuman dan cendera mata.

"Selain itu kami juga akan menyediakan tapak khas yang boleh disewa oleh orang ramai bagi mengadakan majlis perkahwinan bertemakan taman dan warisan di kawasan ini," katanya.

Aminuddin berkata, fasa akhir akan membabitkan projek perumahan dan komersial di kawasan berhampiran kerana keseluruhan tanah yang dimiliki MB Inc di kawasan itu keseluruhannya adalah seluas kira-kira 59 hektar yang turut akan memberikan nilai tambah kepada kawasan itu keseluruhannya.


WARISAN Kapal Korek Tanjung Tualang No 5 (TT5) di Jalan Tanjung Tualang di Batu Gajah. - Foto L. Manimaran


FAKTA NOMBOR:

59 hektar luas keseluruhan kawasan Warisan Kapal Korek TT5
2 bahagian dibahagikan
24 hektar bagi pembangunan infrastruktur dan penyediaan kemudahan asas termasuk gerai dan yang lain
35 hektar lagi dibahagikan kepada pusat santuari, pembangunan taman tema dan sukan air, pembinaan calet berkonsepkan butik dan pembangunan perumahan serta kawasan komersial
RM8 juta kepada RM4 juta pengurangan kos pemuliharaan awal.

bharian