Yang di-Pertuan Agong Pertama

Yang di-Pertuan Agong pertama

YANG di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Rahman menyampaikan watikah pelantikan sebagai Perdana Menteri kepada Tun Abdul Razak pada 15 April 1959 apabila Tunku Abdul Rahman melepaskan jawatan berkenaan untuk kempen pilihan raya pertama Persekutuan Tanah Melayu.

Sahidan Jaafar
24 Julai 2019

PERLEMBAGAAN Persekutuan Tanah Melayu yang dimaktubkan pada 1957 jelas menyatakan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan iaitu perlantikan yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara, penubuhan Majlis Raja-Raja Melayu, Islam sebagai agama rasmi, taraf kewarganegaraan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan, dan hak-hak keistimewaan orang Melayu.

Menurut Aziz Bari dalam bukunya Majlis Raja-Raja: Kedudukan dan Peranan dalam Perlembagaan Malaysia (2006), kuasa memilih yang di-Pertuan Agong diserahkan kepada Majlis Raja-Raja.

“Inilah yang dikehendaki oleh raja-raja dalam memorandum yang mereka serahkan kepada Suruhanjaya Reid pada 1957.

“Segala formula dan peraturan pemilihan adalah seperti yang terkandung dalam memorandum tersebut.

“Meskipun tidak disebut bahawa Majlis Raja-Raja mempunyai kuasa mutlak dalam pemilihan berkenaan, kuasa-kuasa yang diberikan kepadanya seakan-akan menekankan sifat itu apabila mahkamah enggan melakukan semakan keputusan Majlis Raja-Raja melantik Yang di-Pertuan Agong yang kelapan (Al-Marhum) Sultan Johor, Tuanku Sultan Iskandar ibni Al-Marhum Sultan Ismail (dilantik pada 26 April-25 April 1989). Mahkamah memutuskan itulah semangat yang dikehendaki oleh Perlembagaan” (Abdul Aziz Bari 206: 64).

Menurut buku Arkib Wari­san Eksklusif (2006), Yang di-Pertuan Agong yang pertama dilantik ialah Tuanku Abdul Rahman ibni Almarhum Tun­ku Muhammad Shah. Ba­ginda adalah Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-8 yang ditabalkan pada 25 April 1934. Baginda dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Tanah Melayu pada 3 Ogos 1957.

SISTEM GILIRAN

Menurut Perlembagaaan Persekutuan Tanah Melayu, seorang Sultan akan dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong yang akan menjadi Ketua Negara.

Yang di-Pertuan Agong ini akan dipilih oleh Majlis Raja-Raja mengikut giliran sembilan orang raja-raja Melayu bagi setiap tempoh lima tahun sekali.

Baginda diputerakan pada 24 Ogos 1895 di Istana Seri Menanti, Kuala Pilah Negeri Sembilan. Baginda berkahwin dengan Tuanku Khursiah pada tahun 1928. Baginda mangkat pada 1 April 1960 dalam usia 65 tahun setelah menjadi Yang di-Pertuan Agong selama tiga tahun.

Menurut Aziz Bari lagi, pelbagai komen telah dibuat tentang pemilihan Yang di-Pertuan Agong.

“Ada yang menyatakan bahawa sistem itu dipinjam daripada Negeri Sembilan. Ini tidak salah. Tetapi berbeza dengan Undang Luak yang empat itu; raja-raja sebenarnya memilih sesama mereka sedangkan para Undang Luak itu memilih seorang daripada kerabat diraja yang layak dijadikan raja. Undang Luak itu sendiri tidak boleh turut serta.

PEMILIHAN

“Ada juga yang melihat persamaan antara Yang di-Pertuan Agong dengan pemilihan Naib Canselor di Cambridge dan Oxford. Selain itu ada yang membandingkan pemilihan Yang di-Pertuan Agong dengan pemilihan Pope, ketua mazhab Katolik. Cuma yang berbeza ialah Yang di-Pertuan Agong, tidak seperti Pope, hanya bersemayam selama lima tahun sahaja” (Abdul Aziz Bari 2006: 65)

Buku Takhta Kerajaan Nege­ri Sembilan (1987) oleh Tan Sri Abdul Samad Idris turut menyatakan, Tuanku Abdul Rahman menggantikan Seri Paduka Ayahandanya, Tuanku Muhammad yang telah mangkat dan dijadikan Undang Yang Empat sebelum majlis pemakaman pada 3 Ogos 1933.

SIMBOL

Menurut buku Palace Political Party and Power: A Story of the Socio-Political Development of Malay King-Ship (2011) oleh Kobkua Suwannathat-Pian, Yang di-Pertuan Agong merupakan ketua kerajaan tertinggi yang menjadi simbol kesatuan negeri-negeri di Malaya selain menjadi simbol keadilan, kasih sa­yang dan penghormatan untuk rakyat jelata.

“Akhirnya, persidangan Majlis Raja-Raja telah bersetuju memilih Tuanku Abdul Rahman, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan sebagai Yang di-Pertuan Agong pertama Persekutuan Malaya” (Kobkua Suwannathat-Pian 2011: 326).

Paling menarik, Kabinet Perikatan pimpinan Tunku Abdul Rahman Putra sebulat suara bersetuju mengabadikan wajah Yang di-Pertuan Agong pertama itu pada semua cetakan mata wang kertas negara sejak merdeka, malah turut diguna pakai sehingga kini.

Sumber: Pusat Maklumat Utusan

utusan


Comments