wasiat raja

Pertahan 7 wasiat Raja-Raja Melayu



GAMBAR Raja-Raja Melayu ketika menandatangani Perjanjian Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu bersama, Pesuruhjaya Tinggi Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak Ratu Elizabeth II pada 5 Ogos 1957.

MOHD. SAIFUL SAHAK
31 Julai 2019

Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu daripada sembilan raja Melayu yang terdiri empat negeri Melayu bersekutu dan lima yang tidak bersekutu disampaikan sebelum Hari Kemerdekaan kepada orang Melayu yang merupakan rakyat asal supaya tidak mengambil mudah hak dan keistimewaan mereka.

Wasiat itu diamanahkan atas kehendak raja-raja Melayu mengekalkan kesinambungan sejarah, kedaulatan dan kuasa serta kesinambungan kedaulatan negara yang terletak kepada raja-raja Melayu serta mendapat pene­rimaan rakyat melalui wakil-wakil sah yang mempunyai locus standi.

Dengan itu, Perlembagaan Persekutuan yang digubal dan termaktub fasal-fasal tertentu yang memerlukan izin Majlis Raja-Raja sebelum sebarang pindaan Perlembagaan dibenarkan berkuat kuasa.


AKHBAR Utusan Malaysia memuatkan berita bertajuk 7 Wasiat Raja Melayu pada 7 Ogos 2009.


AKHBAR Utusan Malaysia memuatkan berita bertajuk 7 Wasiat Raja Melayu pada 7 Ogos 2009.
Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 7 Ogos 2009 memuat berita bertajuk 7 Wasiat Raja-Raja Melayu melaporkan titah Raja Muda Perak ketika itu Raja Nazrin Shah yang mengi­ngatkan rakyat khususnya orang Melayu mengenai Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu yang menjanjikan kesejahteraan, kedamaian dan keamanan jika mereka bersatu dan berpegang teguh kepadanya.

Raja Nazrin Shah bertitah ketika melancarkan tiga buku Allahyarham Datuk Dr. Syed Hussein Alatas, berjudul Mitos Pribumi Malas, Intelektual Masyarakat Membangun, dan Rasuah: Sifat, Sebab dan Fungsi, bersempena Seminar Antarabangsa Legasi Pemikiran Pemikir di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur.

Baginda bertitah, wasiat yang disampaikan semasa raja-raja Melayu menurunkan tandatangan persetujuan pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu pada 5 Ogos 1957 itu ialah:


  • Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung Persekutuan Tanah Melayu (sekarang dikenali dengan nama Malaysia).
  • Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan untuk anak cucu kamu, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, Tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50 peratus, selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
  • Bagi menjaga kamu dan bagi melindungi anak cucu kami serta harta milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu selain untuk membanteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
  • Kami kekalkan dan kami jamin kerajaan dan kedaulatan raja-raja Melayu memerintah negara ini.
  • Kami isytiharkan Islam adalah agama Persekutuan.
  • Kami tetapkan bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu .
  • Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada raja-raja Melayu untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan kepentingan sah kaum-kaum lain (kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).


Akhbar Utusan Malaysia bertarikh 6 Jun 2013 memuatkan berita bertajuk Perkasa tujuh wasiat Raja-Raja Melayu’ melaporkan, Pengarah Pusat Kajian Institut Raja Malaysia, Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam berkata, kerajaan perlu me­laksana dan memperkasa Tujuh Wasiat Raja-Raja Melayu supaya kepentingan serta hak keistimewaan orang Melayu seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terjamin.

Katanya, langkah itu perlu diambil segera berikutan ba­nyak kepentingan orang Me­layu seperti tanah rizab Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan agama Islam sebagai agama rasmi semakin terhakis.

utusan

Comments