revolusi industri 4.0

Sediakan golongan muda hadapi Revolusi Industri 4.0



Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tan Sri Prof. Dzulkifli Abdul Razak (kiri) semasa menjadi panelis Forum Revolusi Industri 4.0 (4IR) Impak 4IR Ke Atas Manusia di Dewan Keusahawanan, Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK) di Kota Bharu, hari ini. - UTUSAN ONLINE

Asma Hanim Mahmood
18 Disember 2017 6:20 PM


KOTA BHARU 18 Dis - Pembinaan manusia seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani sebagaimana asas dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan sangat perlu dalam menyediakan masyarakat khususnya golongan muda menghadapi Revolusi Industri 4.0 (4IR).

Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Tan Sri Prof. Dzulkifli Abdul Razak berkata, penerapan ilmu dan pandangan alam yang lebih luas penting untuk 'memanusiakan' masyarakat agar tidak kalah kepada teknologi 'robot' yang tidak mempunyai nilai.

Namun, katanya, sistem pendidikan yang ada sekarang tidak berfungsi mengikut falsafah yang diasaskan dan ia harus ditukar kepada sistem yang lebih baik.

"Kita tidak perlu mencari visi yang baharu kerana Falsadah Pendidikan kita sudah sedia baik untuk menangani apa jua cabaran.

"Namun kita nampaknya tidak menggunakan dan merujuk falsafah itu semasa merancang dan melaksanakan program-program pendidikan.

"Kita seolah tidak diberi ruang untuk membangunkan kreativiti dalam pelbagai bidang sedangkan cendekiawan Islam pada zaman dahulu menguasai banyak bidang dan kepakaran sekali gus," katanya semasa menjadi panelis Forum Revolusi Industri 4.0 (4IR) Impak 4IR Ke Atas Manusia di Dewan Keusahawanan, Kampus Kota Universiti Malaysia Kelantan (UMK), di sini hari ini.

Forum tersebut yang dipengerusikan Ketua Pegawai Eksekutif MYSUARA, Zainal Mohd Jais itu turut dibarisi Ketua Komunikasi Strategik, Jabatan Pendidikan Tinggi, Prof. Madya Dr Marlia Puteh dan Pengarah Institut Kepintaran Buatan dan Data Raya (AIBIG) UMK, Dr Mohd Saberi Mohamad.

Yang turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK Prof. Datuk Dr Ibrahim Che Omar. - UTUSAN ONLINE




Celik Industri 4.0
C. Sheila Rani
11 September 2017 12:10 PM


REVOLUSI Perindustrian Keempat (Industri 4.0) melibatkan teknologi automasi memberi cabaran baharu kepada semua sektor di negara ini yang memerlukan mereka melakukan perubahan seiring dengan transformasi digital itu untuk kekal berdaya saing.



FRANCISCO MARMOLEJO

Sebelum ini revolusi perindustrian pertama bergantung kepada penggunaan mesin berkuasa wap. Revolusi perindustrian kedua pula melibatkan kuasa elektrik. Di­ikuti revolusi perindustrian ketiga berasaskan teknologi maklumat dan komputer sebagai tonggaknya.

Bagaimanapun, Industri 4.0 mencakupi penemuan pelbagai teknologi baharu seperti automasi, Internet of Things (IoT), analisis dan big data, simulasi, integrasi sistem, penggunaan robotik dan cloud yang bakal meran­cakkan kemajuan landskap dunia moden.

Revolusi ini menandakan kemunculan sistem fizikal siber melibatkan keupayaan baharu sepenuhnya bagi manusia, mesin dan kaedah baharu teknologi.

Dengan kata lain, teknologi automasi itu dilihat sebagai keupayaan teknologi yang tidak perlu melibatkan manusia secara langsung.

Industri 4.0 juga dapat mengatasi masalah kebergantungan terhadap sumber tenaga yang secara signifikan akan mengubah masa depan dunia pekerjaan.

Jadi, sekiranya cabaran teknologi baharu yang kompleks itu tidak diberi penekanan sewajarnya, ia boleh menyebabkan Malaysia ja­uh ketinggalan dalam persaingan di peringkat global.

Baru-baru ini, Ketua Pakar Pendidikan Tinggi Bank Dunia, Francisco Marmolejo dalam Seminar Revolusi Industri 4.0 berkata, sistem pendidikan tinggi di seluruh negara juga akan me­ngalami perubahan hasil revolusi Industri 4.0.

“Bayangkan pengetahuan yang ada pada kita hari ini hanya menyumbang satu peratus sahaja menjelang 30 tahun akan datang dan ketika itu pasaran kerja akan dipenuhi dengan individu atau tenaga kerja berkemahiran tinggi, kreatif dan mempunyai pemikiran kritis.

“Jadi kita memerlukan institut pendidikan tinggi yang lebih fleksibel dan sedia mengharungi cabaran baharu itu agar mana-mana golongan masyarakat tidak terpinggir dalam era globalisasi dan digital itu,” katanya dalam satu seminar anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi di ibu negara itu.

Dalam seminar itu, Marmolejo turut memuji Malaysia selaku negara pertama merangka elemen cabaran Industri 4.0 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan (Pendidikan Tinggi) 2015-2025.

Selain menyifatkan inisiatif Malaysia sebagai satu langkah ke hadapan, beliau menyifatkan pelan pemba­ngunan pendidikan tinggi yang merangkumi 10 lonjakan itu sebagai rangka kerja naratif sangat baik bukan sahaja untuk masa depan tetapi hari ini.

“Saya telah melawat banyak negara dan memerhati usaha-usaha yang dilakukan dalam menangani isu pembelajaran di seluruh dunia dan sangat jelas langkah yang diambil Malaysia lebih konkrit dalam pelaksanaannya.

“Walaupun kesan revolusi perindustrian terutama­nya berkaitan sistem pendidikan tinggi dibincang secara global tetapi apa yang dilakukan di Malaysia menunjukkan komitmen berterusan negara itu.

“Ini adalah negara pertama yang saya melihat usaha berterusan yang diambil oleh kerajaan ini dalam menggalakkan perbincangan dan membangunkan pendidikan relevan dan selaras dengan Industri 4.0,” katanya.

Tambah beliau, idea yang dipraktikkan Malaysia merupakan langkah paling inovatif untuk menentukan bagaimana negara akan menjadi pemain signifikan dalam ekonomi global pada masa hadapan.

Apa pun, bidang ilmu dan pendidikan mesti dijadikan sebagai teras dalam usaha mempersiapkan pelajar dan graduan menangani cabaran baharu revolusi itu.

utusanonline


Comments