Legenda Puteri Lindungan Bulan
Rodly Fadly
Selain kisah Mahsuri dan Raja Bersiong, Kedah sebenarnya mempunyai satu lagi kisah legenda namun jarang ditonjolkan hingga ia hampir luput ditelan zaman.
Pada hal kisah Puteri Lindungan Bulan tidak kurang pentingnya kepada sejarah pentadbiran dan kesultanan negeri jelapang padi itu walaupun sebahagian daripada cerita berkenaan sudah bercampur-aduk dengan mitos.
Kewujudan makam Puteri Lindungan Bulan di Kota Seputeh, Jitra menjadi bukti ia bukan kisah dongeng atau penglipur lara.
Hal ini diakui bekas pensyarah yang kini aktif sebagai pengkaji sejarah khususnya negeri Kedah, Datuk Shaarani Hassan yang juga anak jati kampung berkenaan.
Mengimbas kembali kisah pada kurun ke-16, Shaarani berkata, Puteri Lindungan Bulan atau nama sebenarnya Tengku Zaleha adalah puteri kepada Sultan Sulaiman Shah yang menjadikan Kota Seputeh sebagai pusat pentadbiran Kedah ketika itu.
Selain Tengku Zaleha, baginda memiliki seorang lagi puteri bernama Tengku Mariam. Kedua-dua puteri itu mewarisi kecantikan bonda mereka.
“Namun nama Tengku Zaleha lebih menjadi buah mulut kerana dia digambarkan sebagai puteri yang mempunyai kecantikan luar biasa, malah didakwa memiliki keistimewaan seperti Mahsuri iaitu berdarah putih.
“Tengku Zaleha juga lebih disayangi ayahanda dan bondanya berbanding Tengku Mariam kerana kecantikan budi pekertinya yang sangat tinggi.
“Cerita puteri berdarah putih itu bukan saja popular di Kedah atau negeri berhampirannya malah melangkaui seluruh Nusantara termasuk ke pengetahuan raja Aceh, Sultan Iskandar Muda Mahkota Alam.
“Kebetulan kononnya sebelum itu baginda bermimpi melihat dua gadis jelita keluar daripada sekuntum bunga melur gergasi lalu baginda meminta ahli nujum mentafsirkan mimpinya itu.
“Nujum berkenaan menyatakan dua puteri yang datang dalam mimpi baginda itu adalah puteri kepada Sultan Sulaiman yang memerintah Kedah.
“Malah, salah seorang daripada mereka dikatakan berdarah putih. Ini membuatkan Raja Aceh menjadi taasub untuk memperisterikan puteri terbabit lalu menghantar rombongan meminang,” cerita Shaarani.
Meneruskan cerita beliau, Shaarani berkata, Sultan Sulaiman yang mengetahui hajat Raja Aceh itu bertindak menukar Tengku Zaleha dengan Tengku Mariam kerana tidak mahu puteri bongsunya itu jatuh ke tangan Sultan Iskandar yang terkenal dengan perilaku suka berganti isteri.
Beliau berkata, namun, rahsia itu terbongkar selepas Tengku Mariam diperisterikan Sultan Iskandar dan dibawa pulang ke Aceh yang mencetuskan kemurkaan baginda.
“Ada dua versi bagaimana rahsia ini terbongkar. Versi satu menyebut bahawa Tengku Mariam terpotong jarinya ketika memotong sayur untuk dimasak dan mengeluarkan darah merah bukan putih.
“Cerita kedua dia terpotong jari ketika mengacip pinang. Pada saya versi kedua lebih logik kerana tidak mungkin seorang permaisuri raja disuruh memotong sayur.
“Bagaimanapun, cara rahsia itu terbongkar tetap sama iaitu Tengku Mariam terpotong jarinya hingga Raja Aceh tahu bahawa dia bukan Tengku Zaleha yang dikatakan berdarah putih,” ujarnya.
Jelasnya, kemurkaan Sultan Iskandar menyebabkan baginda mahu membalas dendam dengan menyerang Kedah. Namun, belum sempat tentera Aceh tiba, Sultan Sulaiman sempat membina kubu bawah tanah untuk menyembunyikan Tengku Zaleha.
Menurutnya, kekuatan tentera Aceh memang sukar ditandingi di mana akhirnya Kota Siputeh musnah malah Sultan Sulaiman dan orang kenamaan baginda ditawan serta dibawa ke Aceh.
“Sebelum dibawa ke Aceh, Sultan Sulaiman berdoa supaya Tengku Zaleha yang disembunyikan di dalam kubu di bawah tanah dilindungi Allah.
“Diceritakan, selepas memusnahkan istana dan kota, tentera Aceh gagal menemui Tengku Zaleha. Walaupun ketika itu bulan mengambang terang namun pintu masuk ke kubu persembunyian puteri itu menjadi gelap hingga tentera Aceh tidak dapat mengesannya.
“Berasaskan peristiwa inilah, lahirnya nama gelaran Puteri Lindungan Bulan kepada Tengku Zaleha. Malah dia dikatakan meninggal dunia di dalam kubu itu,” katanya.
Beliau mencadangkan agar makam Puteri Lindungan Bulan bukan saja dinaik taraf malah dijadikan sebagai salah satu tempat pelancongan baru bagi negeri jelapang padi itu.
“Saya bimbang jika tidak diurus dengan baik, makam berkenaan akan terbiar begitu saja dan akan dipenuhi semak-samun. Malah apa yang dibimbangkan, ia akan dijadikan tempat menjalankan upacara berunsur khurafat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,”katanya.
mymetro
Kisah Puteri Lindungan Bulan, Lagenda Kedah Setanding Mahsuri
Kisah purba lagenda Kedah Tua, Puteri Lindungan Bulan yang turut pernah dipentaskan di negara jiran, Thailand.
MAKAM Puteri Lindungan Bulan yang terletak di atas bukit kecil di Kota Siputeh, Jitra tidak hanya tersembunyi sejarah tersendiri malah kisahnya dikatakan setanding legenda Mahsuri.
Pengkaji sejarah tempatan yang juga anak jati Kampung Lindungan Bulan, Datuk Shaarani Hassan berkata, makam berkenaan terletak di Kota Siputeh yang dahulunya merupakan sebuah pusat pemerintahan Kedah.
Berdasarkan kisah lisan, katanya, makam berkenaan didakwa milik seorang puteri raja Kedah yang memiliki darah putih yang menarik perhatian raja Aceh untuk memilikinya.
“Bagaimanapun, raja Kedah tidak menyerahkan puteri berdarah putih berkenaan sebaliknya menyerahkan puterinya yang memiliki darah merah sehingga membangkitkan kemarahan Aceh,” katanya.
Menurutnya, puteri berdarah putih berkenaan disembunyikan di sebuah lubang agak terpencil sehingga cahaya bulan didakwa sukar sampai ke situ membuatkan ia dikenali Puteri Lindungan Bulan.
“Dalam satu versi, raja yang terlihat bulan berdoa supaya puterinya yang disembunyikan dalam lubang dikorek mereka dilindungi dari Aceh,” katanya.
Menurut kisah berkenaan, Shaarani berkata, Aceh membuat serangan ke atas Kedah kerana didakwa gagal memiliki sang puteri walaupun menang namun, masih gagal memiliki puteri itu.
"Disebabkan tewas dalam peperangan terbabit, dikhabarkan kira-kira 7,000 penduduk ditawan Aceh, dan raja Kedah mangkat di Pagar Rawan pada 1625," katanya.
Promosi makam secara meluas
Sementara itu, Ketua Biro Kaji Selidik Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), Dr Mohd Kasri Saidon berkata, kisah Makam Puteri Lindungan Bulan mungkin hanya diketahui sebilangan kecil masyarakat.
Menurutnya, Makam Puteri Lindungan Bulan memiliki keunikan tersendiri seperti kisahnya yang dilihat mampu menarik kehadiran pelancong tempatan khususnya.
“Seperti mana nama Mahsuri yang terkenal dengan kisahnya di Langkawi, Makam Puteri Lindungan Bulan memiliki bukti sejarah dan penceritaan menarik mengenai seorang puteri,” katanya.
Dr Kasri berkata, aset sejarah itu sebenarnya perlulah diberi perhatian terutamanya pemeliharaan dan penjagaan supaya ia tidak dilupakan generasi akan datang.
Katanya, penekanan sejarah terutamanya bagi makam bersejarah sedemikian perlu dihidupkan pelbagai pihak misalnya penduduk setempat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
"Sejarah tempatan yang kuat mampu memupuk jati diri dalam kalangan masyarakat dan membuatkan mereka lebih menghargai aset bersejarah," katanya.
Dr Kasri yang juga Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Pendidikan dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, kisah Puteri Lindungan Bulan perlu dipromosikan lebih meluas.
Sumber: Sinar Harian
kedahnews.com
Comments
Post a Comment