Fatimah Abu Bakar

Fatimah Abu Bakar suka berimaginasi
Aini Nawawi
20 Ogos 2017



DIA seorang yang dekat dalam dunia seni dan hiburan. Merupakan salah seorang pelakon veteran, Fatimah Abu Bakar, 62, juga merupakan salah seorang tenaga pengajar seni lakon yang berpengalaman.

Berpeluang bertemu dengannya baru-baru ini, Pancaindera sempat berkongsi kisah zaman kecilnya sehingga ke hari ini. Menyingkap kenangannya di alam kanak-kanak, wanita kelahiran Pulau Tikus, Pulau Pinang ini mengakui dia seorang yang penuh dengan imaginasi sewaktu kecil.

Malah satu ketika dahulu, arwah bapanya, Abu Bakar Mohd. Noor pernah menceritakan kepadanya tentang sikapnya yang sering bermain serta bercakap seorang diri ketika kecil dahulu.

“Kata ayah sejak usia tiga tahun lagi perangai saya begitu. Tapi yang saya ingat masa darjah satu saya memang suka mencipta watak-watak menarik dan membayangkan mereka berada di hadapan saya sambil berbual bersama-sama.

“Kalau saya minat watak kartun misalnya, saya bayangkan dia wujud, begitulah sebaliknya. Kadang-kadang mak kata saya bercakap dengan hantu tapi mereka tahu perangai saya dan tak kisah pun,” tutur nya sambil tergelak mengimbau memori.

Menurutnya lagi, mungkin kerana dia merupakan satu-satunya anak perempuan daripada tiga beradik membuatkannya sering berangan-angan memiliki teman sepermainan yang sebaya dengannya ketika itu.

“Saya juga gemar membaca buku cerita. Mungkin ia bermula daripada hasil didikan ayah yang rajin membacakan buku cerita kepada kami adik-beradik pada waktu malam hingga kami tertidur,” ujarnya yang suka menyimpan duit belanja sekolah untuk membeli buku cerita kegemaran.

Dia mula sedar minatnya dalam bidang seni ketika berada di sekolah rendah. Waktu itu, setiap kali tibanya hari konsert di sekolah, dia merupakan murid pertama yang akan mengangkat tangan untuk turut serta dalam acara nyanyian mahupun lakonan yang dianjurkan.

“Tiada istilah malu dalam hidup saya sejak dari kecil lagi. Saya suka menonjolkan diri. Tambah pula saya memang suka menyanyi. Di rumah pula, hampir setiap hari saya mendengar lagu-lagu piring hitam kegemaran ayah. Sehinggakan sebahagian daripada lagu tersebut kekal dalam ingatan saya sehingga ke hari ini,” ujar bekas murid Residency Road Girls School, Pulau Pinang ini lagi.

Artitude Production

Menerusi Salt Media Consultancy yang merupakan sebuah syarikat yang mengkhususkan perkhidmatan editorial, dia banyak menerbitkan buku-buku seperti memoir dan naskhah coffee table selain daripada turut melatih golongan korporat dalam sesi pengucapan awam.

“Saya mengaplikasikan tip-tip serta pengalaman dalam lakonan untuk memastikan mereka lebih berkeyakinan tinggi dan selesa ketika berhadapan dengan rakan urus niaga mahupun pemegang saham,” tutur nya.

Dia juga turut memiliki sebuah syarikat yang diusahakan bersama anak-anaknya yang juga pelakon iaitu Sharifah Aleya, Sharifah Amani, Sharifah Aleysha dan Sharifah Aryana yang bertindak melatih pelakon baru dalam bidang lakonan agar menjadi pelakon yang berkaliber.

“Syarikat ini masih baru tapi sebelum ini pun saya dah banyak membantu mengajar dalam filem-filem seperti Embun, Sara, Selubung, Layar Lara, Tombiruo dan banyak lagi. Selain itu saya juga bakal bekerjasama dengan pengarah Kabir Bahtia tidak lama lagi,” ujar ibu kepada empat orang cahaya mata ini.

Selain daripada sibuk dengan perniagaan, dia kini banyak menghabiskan masa menemani suami tercinta Syed Zainal Rashid Al Yahya mendalami bidang fotografi pada waktu lapang. Dalam masa yang sama melayan tiga orang cucu kesayangannya.

26 tahun sebagai wartawan

Menurut wanita yang mesra dengan panggilan Cikgu Fathi ini lagi, ketika berada di alam sekolah menengah, dia menanam cita-cita untuk bergelar wartawan dan ahli arkeologi. Ini kerana jiwanya cukup dekat dengan penulisan dan dalam masa yang sama suka mempelajari kebudayaan manusia masa lalu.

“Dulu setiap kali guru bertanya nak jadi apa, waktu tu saya akan cakap saya nak capai cita-cita saya dalam dua bidang itu. Mungkin kerana saya merupakan seorang yang suka berfikir dan merungkaikan satu persatu permasalahan dalam sesuatu perkara, jadi saya rasa ia sesuai dengan diri saya,” ujarnya.

Dek kerana itu, maka tidak hairanlah dia lebih memilih untuk pergi bercuti ke tempat-tempat tinggalan sejarah dan sanggup menghabiskan masa yang lama saat menjejakkan kaki ke tempat-tempat seperti itu.

“Saya pernah bercuti ke Rom, Itali bersama rakan-rakan. Apabila sampai di suatu lokasi sejarah, saya berdiri di tengah-tengah kawasan tersebut sambil menutup mata beberapa ketika hanya untuk menghayati dan merasai sedalamnya sejarah lampau tempat tersebut. Saya dapat rasakan seolah-olah saya berada di zaman tersebut,” tutur nya.

Tamat tingkatan enam di St. George’s Girls School, Pulau Pinang, dia berjaya menyambung pelajaran ke Institut Teknologi Mara (ITM), Shah Alam dalam jurusan Ijazah Komunikasi Massa. Kemudiannya dia berpeluang untuk menjalani latihan amali sebagai wartawan di New Straits Times (NST).

“Masa tu saya gembira sangat sebab dapat masuk dalam bidang kewartawanan. Sepanjang latihan, saya buat yang terbaik dan alhamdulillah kemudiannya terus diterima sebagai wartawan di NST ketika usia 23 tahun.

“Sambil bekerja ketika itu, saya juga aktif dalam teater. Sebenarnya saya masuk bidang teater ini sejak dari zaman belajar lagi. Seingat saya waktu itu, salah seorang rakan kepada pensyarah saya sedang mencari bakat baru untuk pementasan teater Tun Kudu. Jadi dia datang buat ujibakat secara tertutup untuk pelajar Komunikasi.

“Memandangkan dalam jurusan yang saya ambil tu ada modul ucapan dan drama jadi tak ada masalah sangat untuk mencuba nasib. Dari situ saya bertuah kerana terpilih dan selepas itu sering terlibat dalam pementasan di Kelab Teater Kuala Lumpur,” ceritanya.

Sepanjang tempoh penglibatan dalam teater, dia turut diperkenalkan dengan pengarah Shuhaimi Baba (Datin Paduka) dan Mustaffa Noor (allahyarham). Dari situlah dia mula belajar banyak perkara tentang teater, lakonan dan sebagainya dan terus mengikut mereka bergiat dalam filem dan juga drama televisyen.

“Sambil bekerja, saya turut menjadi anak didik mereka. Mereka kata jika ingin menjadi pelakon yang baik perlu selesa dengan tubuh badan sendiri dan menggalakkan saya untuk belajar menari. Saya belajar semua tarian tradisional seperti mak yong, zapin dan sebagainya dan pernah menari untuk festival teater di Berlin dan London.

“Sambil bergelar wartawan saya juga aktif dengan seni. Mujurlah ketika itu bos saya seorang yang tidak kisah dan memahami. Bila terlibat dengan seni, saya akan ambil cuti begitulah sebaliknya sehinggalah saya ambil keputusan untuk mengundur diri daripada kerjaya sebagai wartawan,” tutur nya.

26 tahun dalam bidang kewartawanan dengan pangkat terakhir sebagai Pengarang Bersekutu, dia akhirnya meletakkan jawatan untuk memberi tumpuan terhadap bidang seni. Fatimah bukan hanya berlakon tetapi turut melatih pelakon baru.

“Waktu itu saya dipanggil untuk melatih bakat-bakat baru dalam program realiti Akademi Fantasia. Saya rasa satu kepuasan apabila dapat membantu dan berkongsi pengalaman bersama mereka yang masih muda kerana bagi saya mereka ini cukup dahagakan ilmu pengetahuan,” ujarnya.

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni dia telah pun menjayakan beberapa filem dan telefilem antaranya Maria, Cinta, Haq The Movie, J Revolusi Keabadian Cinta, Kembalikan Syawalku, Hajar Aswad, Menunggu Hujan Teduh dan banyak lagi.

utusanonline

Comments