Kota Kelip-Kelip

Kota Kelip-kelip” Juara Festival Teater Remaja 2016
Oleh NORAZLINDA MISRAN


Kumpulan Loyal Crest Production (SMK Gombak Setia), muncul sebagai juara Festival Teater Remaja 2016 yang diadakan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 11 hingga 13 Mei 2016 yang lalu.

 Kumpulan Loyal Crest Production (SMK Gombak Setia), johan Festival Teater Remaja 2016.


Selain menjadi johan pertandingan tersebut, seorang daripada pelakonnya, Muhammad Naqiuddin Abdul Razak yang memegang watak Apai, turut dinobatkan sebagai pelakon terbaik dalam pementasan teater “Kota Kelip-kelip” karya Amar Amir Ithnin.


Naib johan, Kumpulan Teater Le’ Waris Universiti Malaysia Kelantan yang mewakili Majlis Belia Malaysia Negeri Kelantan.

Naib johan pula dimenangi oleh Kumpulan Teater Le’ Waris Universiti Malaysia Kelantan yang mewakili Majlis Belia Malaysia Negeri Kelantan dengan tajuk persembahan mereka, “Ketuk” karya Roziah Adama. Manakala tempat ketiga pula dimenangi oleh Kumpulan The Oppressed Production Universiti Teknologi Mara Kampus Puncak Alam dengan tajuk teater “Hadiah Hari Jadi” karya Bathmaloshanee. Pengarah kumpulan ini, Hilmi Rusydi turut dinobatkan sebagai pengarah terbaik.


Kumpulan The Oppressed Production Universiti Teknologi Mara Kampus Puncak Alam memenangi tempat ketiga.

Pertandingan yang diadakan bersempena dengan Sambutan Hari dan Minggu Belia Negara 2016 itu disertai oleh tujuh buah kumpulan. Antaranya Kumpulan Persatuan Koloni Anak Seni, Kumpulan Klasika (Universiti Malaya), Kumpulan Majlis Belia FELDA Malaysia, dan Kumpulan Anak Seni Kinrara (SMK Seksyen 1, Bandar Kinrara)

Skrip yang dipilih untuk dipentaskan sepanjang festival ini berlangsung ialah skrip pemenang sayembara menulis skrip drama pentas 2015 kategori remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka. Tujuh skrip pemenang yang dipentaskan ialah pemenang tempat pertama, kedua dan ketiga berserta empat buah skrip yang memenangi hadiah sagu hati dalam sayembara ini. Kesemua skrip ini bertemakan dunia remaja dalam menghadapi kehidupan moden hari ini. Skrip yang memenangi sayembara menulis skrip drama pentas 2015 kategori remaja, ialah:

1.“Badang Dari Saluang” karya Salina Ibrahim yang memenangi tempat pertama

2.“Ketuk” karya Roziah Adama yang memenangi tempat kedua

3.“Kota Kelip-kelip” karya Amar Amir Ithnin yang memenangi tempat ketiga

4.“Roh Pejuang” karya Mohamad Fairul Rashid (sagu hati)

5.“Bunga Tak Mekar Di Awan” karya siti nazurah mohd kamel (sagu hati)

6.“Hadiah Hari Jadi” karya Bathmaloshanee (sagu hati)

7.“Itukah Titah?” Karya Rahimah Muda (sagu hati)

Pementasan Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan salah satu program pembudayaan dan pengembangan sastera yang popular dan sentiasa mendapat sambutan daripada masyarakat, khususnya khalayak sastera. Usaha ini selain dapat meningkatkan apresiasi terhadap karya sastera, khususnya drama pentas, turut mengetengahkan karya bermutu penulis drama tanah air, khususnya skrip drama yang memenangi sayembara menulis skrip drama pentas anjuran DBP.



Antara sedutan teater “Kota Kelip-kelip” karya Amar Amir Ithnin.

Selain pementasan teater berskala besar seperti Pementasan Teater Perdana, DBP turut mementaskan teater berskala kecil seperti teater pendek, teater stor dan teater KOMSAS yang kini semakin popular dan mendapat perhatian penggiat seni, para remaja dan pelajar di seluruh negara.
Penyampaian hadiah kenangan kepada Yang Berhormat Datuk M Saravanan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.



Penyampaian hadiah kenangan kepada Yang Berhormat Datuk M Saravanan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan.

Penglibatan golongan remaja dan belia dalam program seperti ini merupakan salah satu usaha yang amat bermakna. Melalui pementasan dan persembahan teater, membolehkan para remaja dan golongan belia meningkatkan kefahaman dan amalan nilai murni masyarakat dan budaya, menajamkan sensitiviti mereka, meningkatkan daya imaginasi dan kreativiti serta memberi peluang kepada para remaja mempamerkan bakat mereka selaras dengan usaha DBP untuk memperkembangkan bakat kesusasteraan dalam kalangan remaja dan golonganbelia.
Para peserta bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat.



Para peserta bergambar kenangan bersama-sama tetamu kehormat.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk M Saravanan, Timbalan Menteri Belia dan Sukan. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah DBP, Tuan Haji Abdul Adzis Abas.

klik dbp



Comments