Suntikan baru Uda & Dara
Oleh Ridzuan Abdul Rahman
Naskahnya lebih segar dan kena dengan perkembangan semasa. Matlamat pementasannya pula bagi mengenang memori bersama seorang rakan lama serta menghargai sumbangannya dalam perkembangan sastera tanah air.
Lebih daripada itu, pementasan muzikal Uda dan Dara juga bertujuan membantu mengumpul dana bagi penubuhan Pusat Sumber Usman Awang untuk memelihara karya serta melindungi warisan sastera, Sasterawan Negara yang meninggalkan kita pada 2001 ini.
Justeru, tidak relevan jika ada segelintir pihak mempertikaikan beberapa penambahbaikan dalam pementasan naskah muzikal Uda dan Dara arahan Datuk Faridah Merican yang berlangsung di Pentas 1, Kuala Lumpur Performing Art Centre, Sentul West, Kuala Lumpur sejak 2 April hingga 11 April ini.
Sebagai ‘Dara’ versi pertama pementasan di Teater Eksperimental, Universiti Malaya, Kuala Lumpur arahan Datuk Rahim Razali pada 1972, Faridah yang juga pengasas The Actors Studio Seni Teater Rakyat bersama suaminya, Joe Hasham sejak 1989 cuba menyuntik elemen kontemporari dalam karya klasik ini.
Mendekati pemikirannya, Faridah mencari elemen segar dan mahu mengangkat karya klasik ini agar lebih dekat kepada khalayak sekarang menerusi gabungan pelbagai kaum dalam pementasan ini.
Dibantu oleh suaminya sendiri sebagai Pengarah Artistik, dia turut menampilkan Omar Ali sebagai Penolong Pengarah, Basil Jayatilaka (Komposer), Mark Beau de Silva & Omar Ali (Adaptasi), Lakshman Balakrishnan (Koreografer), Loh Ui Li & Ariff Akhir (Penyusun & Pengarah Muzik) dan Dominic Lucien Luk (Jurulatih Vokal).
Uda dan Dara (2015) berkisarkan mengenai Uda, seorang pemuda Cina dari kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur dengan ibunya, seorang ibu tunggal untuk mencapai cita-citanya dalam mengubah nasib mereka.
Uda memadu asmara dengan Dara, anak keluarga Melayu kaya dan berpengaruh, namun jurang darjat yang ketara menjadi pemisah. Uda seorang anak kampung yang dibelenggu kemiskinan tinggal di Kampung Pendatang, nama jolokan Kampung Penchala yang didiami golongan pendatang manakala Dara mendiami kawasan elit Taman Tun Dr Ismail yang letaknya bersebelahan kampung Uda.
Zaiton, ibu kepada Dara tidak senang melihat percintaan dua anak muda ini. Beliau membesarkan Dara dalam kemewahan yang diperoleh melalui pengaruh politik dan status sewaktu suaminya masih hidup.
Bagaimanapun kehidupan mereka semakin terhimpit dengan wang simpanan yang kian susut membuatkan dia terpaksa bergantung kepada Datuk Bakhil, seorang pemaju tanah.
Alang Bakhil pula anak kepada Datuk Bakhil. Dia sudah lama berhajat untuk merampas dan memiliki Kampung Penchala yang didiami Uda. Dia juga mempunyai matlamat lain dalam hidupnya.
Bagi penonton yang berasal dari kampung, set pentas yang ringkas serta hubungan persahabatan yang digambarkan sudah cukup mengembalikan nostalgia lama yang pernah dilalui suatu ketika dulu.
Begitu juga dengan adegan belajar silat yang diperlihatkan, sudah cukup menjelaskan yang seni membela diri ini begitu penting dan dihargai oleh masyarakat suatu ketika dulu.
Kesimpulannya, pengisian Uda dan Dara kekal dengan isu darjat, kuasa dan kasta, tetapi diperkuatkan lagi dengan adaptasi perbezaan budaya dan bangsa.
Barisan pelakon yang terbabit dengan Uda dan Dara ialah Mark Lim Eu Jin (Uda), Hana Nadira Mohamed Mazlan (Dara), Nur Fardilla Nadia Abu Bakar (Datin Zaiton), Priscilla Wong Suet Yee (Mary), Gani Karim (Utih), Mohd Fairuz Mohd Tauhid (Alang), Adry Azad Alauddin (Datuk Bakhil), Muhammad Al-Fudhail Anwar (Malim) dan Afham Zainal Abidin (Diman).
Pendekatan Faridah memilih barisan muka baru dalam pementasan ini wajar dipuji. Namun lakonan Mark dan Hana disifatkan sederhana dan boleh diperbaiki lagi. Pada beberapa babak penting, penghayatan mereka seperti tidak sampai dan tidak mendalam.
Bagaimanapun, ramai yang tertarik dengan lakonan Gani sebagai Utih. Lontaran suara serta nyanyiannya begitu hebat. Bahkan adakala terlihat karakternya seperti bayangan dramatis Ahmad Yatim.
Ditemui selepas persembahan, Hana Nadira mengakui banyak mendapat tunjuk ajar daripada Faridah bagi melakonkan wataknya dengan berkesan.
“Saya cuba ‘Google’ mengenai Uda dan Dara kerana saya pernah dengar mengenai teater ini, malangnya yang dijumpai hanya lagu nyanyian Allahyarham Tan Sri P Ramlee. Agak sedih kerana tak banyak rujukan yang ada.
“Dulu masa 2010 pun, saya pergi uji bakat juga untuk pementasan di Istana Budaya, tapi apabila dipanggil untuk terbabit, saya ada hal lain. Tapi Datuk Faridah sendiri adalah ‘Dara’, jadi dia banyak membantu saya menjayakan watak ini.
“Dia tak pernah arahkan saya buat karakter seperti dulu, tapi dia suruh saya cuba bawa cara sendiri. Dara sekarang lebih urban dan ada unsur kontemporari,” katanya.
Mark pula mengakui berminat dengan seni teater dan gembira berlakon dalam naskah ini.
“Saya asalnya main dalam ‘band’, tapi jiwa lebih kepada teater. Saya pernah belajar di Sekolah Kebangsaan jadi saya tahu juga mengenai pantun-pantun dan puisi Melayu.
“Saya ada perasaan gementar apabila mula-mula berada di pentas. Perasaan teruja juga ada untuk pentaskan karya Usman Awang. Saya pernah dengar namanya, tapi tak kenal sangat orangnya. Inilah masa yang sesuai untuk saya mendekati karya tulisannya,” katanya.
Nur Fardilla atau lebih dikenali dengan nama Dia Fadila mengakui seronok dengan pengalaman pertamanya di pentas teater.
“Datuk Faridah banyak bagi semangat untuk saya mencuba. Katanya, saya boleh menyanyi tentu saya boleh berlakon. Dia memang nampak saya sesuai untuk watak ibu Dara.
“Beliau suruh saya buat ‘homework’, tapi bukanlah nak saya buat seperti naskah asal,” katanya.
metro
KONSEP 1 MALAYSIA DALAM PEMENTASAN UDA DAN DARA
Karya agung Sasterawan Negara Allahyarham Dato’ (Dr) Usman Awang ini adalah sebuah drama muzikal yang pada zahirnya drama ini adalah sebuah kisah cinta antara dua sejoli bernama Uda dan Dara. Idea awalnya daripada sebuah sajak yang beliau tulis pada 1956 bertajuk ‘Gadis Di Kuburan’. Kemudian diolah menjadi sebuah cerpen bertajuk ‘Uda dan Dara’. Pada 1972 cerpen itu dijadikan sebuah drama untuk persembahan TV dan seterusnya dipentaskan sebagai ‘Muzika Uda dan Dara’ – musikal pertama di Malaysia, 1972. Namun cerita sastera klasik Melayu ini sebenarnya memaparkan etika dan moral penghidupan berbeza antara buruk dan baik, kemuliaan dan kejahatan. Ia adalah contoh tauladan dan peringatan untuk manusia sejagat kerana sifat lemah akan nafsu dan pelupa harus disedarkan. Ini lah yang cuba diangkat dalam naskah jiwa dan air mata, Muzikal Uda dan Dara.
Muzikal Uda dan dara di pentaskan di Kuala Lumpur Performing Arts Canter (KLPac) dengan konsep yang begitu manimalis tetapi masih mampu memukau penonton. Diarahkan oleh Dato Faridah Merican, Muzikal Uda dan Dara ini dipentaskan dengan suntikan moden apabila pengarah melakukan adaptasi terhadap naskah asal. Uda Dan Dara versi 2015 ini mengisahkan tentang Uda, seorang pemuda Cina dari kampung. Uda memadu asmara dengan Dara, anak keluarga Melayu kaya dan berpengaruh namun jurang darjat ketara menjadi pemisah.
Melihat hasil garapan pengarahnya, teater yang dipentaskan di Pentas 1 KLPac ini masih sama jalan ceritanya, tetapi kali ini digarap dengan mengambil isu realiti yang dilalui masyarakat zaman ini. Meskipun isu perbezaan darjat antara miskin dan kaya sudah dilalui sejak zaman dahulu lagi, ianya masih relevan untuk diangkat dalam pementasan hari ini.
Selaku penonton, saya merasakan tempo permainan dalam Uda dan Dara bergerak agak baik. Adegan-adegan yang diangkat dalam pementasan ini bergerak cepat untuk di develop. Pacing dialog-dialog juga begitu baik dan kita dapat melihat ada kuasa kimia yang besar diantara watak Uda (Mark Lim) dan watak Dara (Hana Nadira). Dari aspek artistik persembahan, set yang digunakan kurang menyerlah dan begitu manimalis tetapi masih menjelaskan latar untuk sesuatu tempat dan latar masa.
Saya sedikit terganggu dengan adaptasi terhadap naskah jiwa dan air mata ini. Apakah pengarah ingin mengangkat konsep 1 malaysia di dalam persembahan ini dengan meletakan watak peneraju iaitu Uda yang berbangsa Cina? Selain itu, wujud watak yang cuba di ketengahkan seperti watak lelaki berbangsa India untuk menggamatkan suasaan dan cuba untuk memasukan eleman komedi dalam persembahan ini. Ternyata kaedah ini berjaya kerana rata-rata penonton ketawa ketika babak itu. Kembali ke topik asal, saya yakin konsep 1 Malaysia ini diketengahkan dalam pementasan ini.
Untuk melakukan sebuah teater muzikal, nyanyian dan penghayatan ketika menyanyi amatlah dititik berakan. Apa yang saya dapati ketika pementasan ini, watak Uda seolah-olah melepaskan batuk di tangga ketika menyanyi. Saya memang tidak ada masalah dengan kepelatan lidah beliau, tetapi saya menunggu tasmat dari suara beliau ketika menyanyi tetapi malangnya sehingga ke akhir pementasan nyanyian Uda mengecewakan. Saya merasakan, jika muzik dimainkan secara live, mungkin persembahan ini tampak lebih bertenaga.
Konklusinya, Muzikal Uda dan Dara versi 2015 ini akan lebih menyerlah jika kematangan produksi ini diuji sedikit lewat dari tarikh pementasan sebenar. Saya yakin, jika produksi ini sudah benar-benar matang, hasilnya pasti bombastik. Saya juga merasakan Teater Muzikal Uda dan Dara ini boleh memberi penanda aras kepada produksi muzikal ketika ini yang situasinya di ibatakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
naque ariffin
Usman Awang menang dalam kategori Buku Karya Asal Terbaik - Teater Muzikal, di Anugerah Boh Cameronian, Kakiseni SB, pada malam tadi. Terima kasih pada Faridah Merican, Joe Hasham dan The Actors Studio atas usaha gigih mereka mementaskannya pada 2015. Syabas dan tahniah!
Comments
Post a Comment