robohnya puncak purnama

puncak purnama
1986

Tindakan DBKL roboh arca Puncak Purnama dikecam
Syah Hairizal Kamalul Arifin
2 Julai 2016


Perobohan arca Puncak Purnama (gambar) yang merupakan karya seniman terkemuka tanah air Datuk Syed Ahmad Jamal tidak sepatutnya dilakukan.

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur perlu membincangkan terlebih dahulu sebarang tindakan yang diambil terutama berhubung karya seni tempatan.

Pengerusi Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara, Datuk Mahadzir Lokman berkata perobohan arca Puncak Purnama yang merupakan karya seniman terkemuka tanah air Datuk Syed Ahmad Jamal tidak sepatutnya dilakukan.

Menurut Mahadzir, perkara itu dimaklumkan sendiri anak Datuk Syed Ahmad Jamal, Syed Nabil Jamal kepadanya pada Jumaat.


"Arca yang dibina pada tahun 1986 itu telah menjadi salah satu mercu tanda negara ketika itu, dan keputusan meroboh ikon negara itu bukan keputusan yang tepat.

"Terdapat cara lain yang boleh dilakukan seperti memindahkannya ke tempat lain," ujarnya ketika ditemui di lokasi arca Puncak Purnama tersebut di Jalan Bandar pada Sabtu.


"Arca yang melambangkan warisan budaya negara kita telah dibuang sama sekali, sepatutnya pihak DBKL memaklumkan jika mereka inginkan tanah ini balik.

"Dan kalau boleh sesiapa yang ingin boleh bawa arca ini ke tempat-tempat yang menyerlah yang boleh dilihat oleh orang awam, dan kalau boleh maklumkan kepada pihak Balai Seni Lukis jugalah," ujarnya.

Jelas Mahadzir, beliau tidak dimaklumkan sama sekali oleh mana-mana pihak berkuasa berhubung tindakan itu.

"Kami tidak tahu langsung, yang kami tahu adalah setelah orang ramai menyampaikannya di laman Facebook yang mempersoal bagaimana ini boleh berlaku," ujarnya lagi.

Menurut Mahadzir, seandainya warisan negara itu tidak musnah sepenuhnya dan pihak DBKL bersetuju menyerahkan kepada Balai Seni Lukis, mungkin langkah memindah dan memulih kembali arca tersebut dapat dilakukan.

"Daripada hancur jadi debu kalau boleh diselamatkan yang sikit ini sahaja dan barangkali mungkin kita boleh buat satu pertandingan kepada sesiapa yang boleh memberikan sedikit nafas baharu seperti A Famosa di Melaka yang dirobohkan tetapi dikekalkan bentuk asal dengan penambahbaikan," katanya.

Pada Jumaat, komuniti kurator tanah air telah memuat naik kerja-kerja perobohan dua bangunan arca Puncak Purnama tersebut.


Pekerja perobohan yang tidak mahu dikenali itu memaklumkan proses meroboh telah dimulakan pada Khamis dan akan diteruskan sehingga arahan terbaharu diterima daripada pihak atasan.

Menurut Syed Nabil Jamal, arca tersebut menjadi sensasi pada 2010 apabila Allahyarham ayahnya memenangi kes tuntutan saman ke atas DBKL yang telah melakukan pengubahsuaian tanpa persetujuan sebagai tuntutan bagi teladan dan ganti rugi hak cipta.

"Arwah Syed Ahmad Jamal telah saman DBKL kerana mengubah suai seni arca itu dan arwah menang kes tu, jadi memang mahkamah berpendapat DBKL salah dan DBKL perlu melakukan pembayaran.
"Selepas itu, kita nampak pengubahsuaian yang telah dibuat DBKL, dan orang ramai ingatkan setelah kes saman itu pihak DBKL akan akurlah dengan melakukan pengubahsuaian kepada keadaan asal. Tetapi semalam dapat berita mereka hendak merobohkannya," katanya lagi.

Nabil berkata tindakan pihak berkuasa tempatan tersebut jelas tidak menghormati komuniti seni dan karya seni tempatan.

"Saya tidak faham kenapa mereka buat ketika hujung minggu dan ketika bulan puasa dan sebelum raya. Sepatutnya berilah peluang dulu untuk berbincang dan beri peluang untuk bangkitkan tentangan dan sebagainya.

"Tetapi perkara itu tidak berlaku, dan pada saya cara yang dibuat adalah tidak elok dan tidak menghormati orang yang menghargai seni dan tak menghormati negara Malaysia," tambahnya.

astroawani 



 Seniman marah DBKL robohkan Puncak Purnama

02 Julai 2016 |
HAZAYANI ZAKARIA




Sekumpulan penggiat seni tanah air melahirkan kekecewaan terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) merobohkan arca Seniman Negara Datuk Syed Ahmad Jamal bertajuk Lunar Peaks/Puncak Purnama di Kampung Atap, Kuala Lumpur.

Gambar kerja-kerja perobohan yang bermula semalam telah tersebar di laman sosial facebook dan mendapat respons beberapa penggiat seni khususnya seni rupa tanah air.

 Syed Ahmad Jamal

Mereka menyifatkan tindakan DBKL dan kerajaan yang membiarkan perobohan itu dilakukan itu sebagai tindakan meremehkan tamadun, budaya dan bangsa.

Bagi pengarah galeri seni, R A Fine Arts Raja Ahmad Aminullah Raja Abdullah masyarakat sedang berhadapan kenyataan ‘brutal’ bahawa penguasa bukan sahaja memandang remeh malah tidak mempedulikan soal berkaitan seni, budaya dan pembinaan tamadun sebagai asas membina sebuah negara bermaruah.

Menulis di laman sosial facebook, beliau berkata, suara-suara seniman sama ada melalui persatuan atau individu sangat perlu dalam memberi respons terhadap kegiatan perobohan ini.

”Di manakah suara institusi-institusi dan akademi-akademi seni - Galeri Nasional (BSLN), Aswara, Kementerian Kebudayaan serta NGO-NGO pelukis, penulis, pembikin filem dan seumpamanya?

“Sesuatu bangsa yang besar haruslah belajar untuk menghormati dan mengapresiasi sumbangan para senimannya,” katanya yang juga bekas ahli lembaga pengarah Kumpulan Utusan.

Menurut penulis buku Minda Tertawan itu lagi, para seniman juga harus belajar untuk menjadi penyumbang yang bermakna, bukan sekedar tukang sorak dan tukang angguk terhadap setiap tindakan kerajaan dan pihak berkuasa.


Notis Dewan Bandaraya Kuala Lumpur

“Yes-man bukanlah opsyen yang wajar untuk seorang seniman yang ingin membantu proses pemupukan kecerdasan bangsa, masyarakat dan tamadunnya,” tegasnya.

Pada 2010, Syed Ahmad jamal menang saman yang difailkan ke atas DBKL kerana melanggar hak cipta karyanya apabila menukar kulit arca dari bahan kaca seramik kepada besi tanpa memaklumkan kepada beliau terlebih dahulu.

DBKL perlu membayar ganti rugi sebanyak RM750 ribu kepada Syaed Ahmad Jamal yang meninggal dunia setahun selepas itu.

Beliau meninggal dunia pada 31 Julai 2011 pada usia 82 tahun.

Beliau merupakan antara tokoh yang memainkan peranan penting dalam perkembangan Balai Seni Lukis Negara dan pernah memegang jawatan Pengarah Balai Seni Lukis Negara dari tahun 1983 sehingga tahun 1991.

Penulis lirik dan budayawan Hasmi Hashim atau Buddhi Hekayat pula menegaskan, provokasi DBKL terhadap kerja merobohkan arca tersebut hanya akan memulakan satu penentangan besar sama ada di dalam dan di luar mahkamah.


Jentolak merobohkan Puncak Pernama

Menurutnya, aa adalah sebuah perlawanan untuk bukan sahaja mengugat kuasa politik dan kekuasaan negara, tetapi lebih ke arah untuk menyelamat tamadun negara-bangsa.

“Saya percaya, orang politik dari apa parti sekalipun takkan bisa menerima perbuatan manusia yang mahu meroboh tamadun bangsa ini. Takkan!

“Lebih-lebih lagi pihak itu adalah penguasa yang sewajarnya membangun ibu negara tanahnair ini.

“Membiarkan “Puncak Purnama” tidak terbela samalah seperti membiarkan kuasa negara membakar buku-buku; menghapuskan perpustakaan-perpustakaan; membunuh seniman-seniman, pemikir, agamawan yang benar atau menghukum manusia yang tiada dosa,” tulisnya yang merupakan bekas Ketua cabang PKR Parit Sulong di facebook.

Sementara itu, penyair dan pelukis Siti Zainon Ismail kesal apabila seniman dan budayawan menjadi insan terpingir dan karya mereka tidak dihargai di tanah air sendiri.

“Seniman, budayawan insan terpinggir di mata sang penguasa hari ini.

" Arca ini masih dalam hak cipta intelek. DBKL tidak merujuk Galeri Nasional? Mana suara ahli lembaga pengarah?” soalnya yang kini merupakan pensyarah di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

malaysiadateline


Comments