Gaya bahasa baharu novel cinta
DR. AMINUDIN MANSOR
03 Julai 2016
Kalangan penulis remaja sering menggunakan gaya bahasa baru yang segar, lincah, penuh dialog dan ada unsur humor yang menghiburkan. Gaya bahasa baharu ini dirasakan menarik oleh kalangan pembaca yang kebanyakannya wanita. Oleh sebab itu, banyak penulis yang menggunakan gaya bahasa ini dalam novel mereka.
Jika diteliti dan dikaji gaya bahasa baharu ini bukan sahaja menggunakan bahasa Melayu moden yang indah dan berseni, malah segar dan lincah mengikut gaya percakapan biasa yang digunakan dalam kehidupan seharian terutama oleh golongan muda. Tidak hairanlah gaya bahasa baharu ini dimonopoli oleh penulis muda yang menyumbang kepada kelarisan jualan novel mereka.
Apa yang patut ditekankan adalah gaya bahasa baharu ini mestilah seimbang dengan tema, persoalan, latar masa, latar tempat dan latar masyarakat yang dipaparkan. Bagaimana kalau gaya bahasa baharu ini digunakan dalam dialog antara anak dan ibu di kampung dalam novel yang menggunakan gaya bahasa baharu yang ada unsur dan pengaruh bahasa Inggeris. Tentulah penggunaannya tidak tepat dan tidak sesuai.
Gaya bahasa yang baik juga sebagai tanda dan lambang keindahan berbahasa dalam novel. Pemaparan gaya bahasa yang sesuai dengan latar tempat dan latar masyarakat akan menjadikan sesebuah novel itu penuh realiti dan mampu mengangkat gaya bahasa moden dalam novel Melayu mutakhir.
Aspek bahasa adalah hal yang penting dan menjadi dasar sesebuah novel. Menurut Hashim Awang, unsur bahasa ini bukanlah bermaksud untuk menjadikan kita terutamanya penulis novel seorang pakar bahasa. Tujuannya adalah hendak memberikan kemahiran untuk melihat bagaimana pengarang cereka khususnya novel dan cerpen membuat pemilihan perkataan, penyusunan ayat dan perbandingan bagi mencapai maksudnya.
Keindahan bahasa
Bagi pengkaji novel dan cerpen, bahasa amat penting dalam menerapkan unsur keindahan bahasa melalui dialog, percakapan dan gambaran situasi serta gambaran alam yang dipaparkan. Kata-kata konkrit, abstrak mestilah menepati gambaran bahasa yang jika digunakan dengan tepat akan mengangkat keindahan bahasa sesebuah novel.
Beberapa buah novel di tangan penulis baharu yang sedang menempa nama seperti Sharifah Abu Salim dalam novel Cinta Atas Kertas, Zara Aqeela novel Jangan Berhanti Mencintai Aku dan Raihan Zaffya novel Rindu Syahdah-Mu telah memperlihatkan penggunaan gaya bahasa baharu yang moden dan segar. Kekuatan gaya bahasa membantu novel ini untuk terus dibaca oleh kalangan pembaca generasi muda sehingga ke akhirnya.
Perhatikan penggunaan gaya bahasa penulis Syarifah Abu Salim dalam novel Cinta Atas Kertas ini. “Saya minta maaf sebab saya pernah hampakan Mia. Maklumlah masa tu kita budak-budak lagi. Saya pun tak faham apa erti hidup sebenarnya. Kalau saya lukakan hati Mia, saya minta maaf,” ujar Qhalif penuh sopan selepas berbual agak lama tentang kehidupan dan kerjaya. (Halaman 106)
Gaya bahasa yang digunakan lembut, indah penuh adab dan dapat menusuk rasa ke dalam hati dan jiwa pembaca apabila seseorang itu meminta maaf. Inilah gaya bahasa Melayu moden yang disusun indah, teliti dan penuh hati-hati menjadikan sesebuah novel seronok dan mengasyikkan.
Gaya bahasa yang sama indahnya dapat dilihat dan dirasakan dalam beberapa buah novel karya penulis ini. Antaranya, novel Masihkah Kasih, Tak Seindah Mimpi, Tak Semanis Impian, Tiada Lagi Mimpi, Biar Rindu Berlalu, Aku Cinta Dia, Yang Indah hanya Mimpi, dan Kerana Rindu. Kekuatan bahasa juga menyebabkan penulis ini mampu menghasilkan skrip drama di televisyen yang mendapat sambutan ramai.
Gaya bahasa terus
Seterusnya, gaya bahasa terus dan lancar boleh dilihat melalui novel Jangan Berhenti Mencintai Aku karya Zara Aqeela atau nama sebenarnya Akma Che Omar. Perhatikan gaya bahasanya pada permulaan Bab 7 yang terus dan langsung: “Hani , aku nak keluar dengan Nur malam ini boleh ke? Andy dengan tenang meminta keizinan Hani ketika mereka sedang bersantai-santai menunggu majlis penutup sebentar lagi. (Hal 63).
Di sini gaya bahasa percakapan biasa yang santai, mudah difahami dan sering digunakan pada awal bab bagi menarik pembaca mencari dan meneroka situasi seterusnya. Apa yang perlu dielakkan adalah percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris melalui dialog yang agak mengganggu kelancaran pembacaan.
Jika diteliti dan dikaji kebanyakan penulis muda sekarang mendapat pendidikan sekolah Melayu dan Inggeris dan juga pendidikan sekolah rendah agama yang mampu membantu memperluaskan ilmu dan pengetahuan dalam menulis novel.
Manakala novel Rindu Syahadah-Mu karya Raihan Zaffya juga menggunakan gaya bahasa baharu. Penulisnya sangat berhati-hati dalam penulisan bahasa. Kesinambungan gaya bahasa lama dan baharu digunakan sebagai pembuka Bab. Perhatikan Bab 9 novel ini. “Suara azan subuh yang berkumandang dari masjid berhampiran begitu mendayu-dayu. Sayup-sayup menerobos ke cuping telinga Qastina.” (Hal 57).
Penulis ini cuba dan berusaha mengelakkan penggunaan bahasa Inggeris dalam novelnya bagi memartabatkan bahasa Melayu dan mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa yang indah dan kreatif melalui penulisan novel.
Beberapa buah novel seperti Cinta Usah DiNanti karya Aimi Husna, Dia Secret Admireku! Karya Hijratul Akisya dan 7 Cinta Warna karya Fida Rohani yang juga perlu diberikan perhatian dalam penggunaan bahasa. Ada tajuk novel yang menggunakan bahasa Inggeris secara tidak langsung.
Lantaran itu, sebagai penulis novel adalah menjadi tanggungjawab dalam usaha mengangkat bahasa Melayu yang indah, berkesan dan moden dalam karya mereka. Tanggungjawab ini perlukan kesedaran dan juga kecintaan yang mendalam terhadap bahasa ibunda.
Sewajarnya, perkataan bahasa Inggeris tidak perlu ada dalam novel Melayu, meskipun realitinya ada kalangan penutur kita gemar berbahasa Melayu dan mencampuradukkan dengan bahasa Inggeris yang akhirnya merosakkan kedua-dua bahasa tersebut. Janganlah disebabkan kerana sudah terbiasa ia menjadi kebiasaan.
utusanonline
No comments:
Post a Comment
Note: only a member of this blog may post a comment.