Perkembangan Kritikan Sastera Malaysia (Bah 1)


PERKEMBANGAN KRITIKAN SASTERA DI MALAYSIA (BAHAGIAN 1)

Tahap Sebelum Perang Dunia Kedua

Menurut Hashim Awang (1988:103) kritikan sastera yang muncul pada tahap awal ini berlaku secara kecil-kecilan dan tidak memiliki nilai yang tinggi. Kritikan yang diberikan mengandungi penilaian yang dangkal terhadap beberapa buah karya sastera Melayu dan pengarang yang terkenal seperti Sejarah Melayu, Hikayat Abdullah, dan Kisah Pelayaran Abdullah. Penilaian hanya tertumpu pada aspek tema dan persoalan karya. Penilaian tema dikaitkan dengan permasalahan nasionalisme Melayu pada masa itu. Kritikan yang dikemukakan bersifat emosional dan subjektif. Kritikan dilakukan tanpa suatu dasar atau pendekatan khusus yang lebih saintifik dan objektif.

Tradisi kritikan sastera di Malaysia dikatakan bermula pada tahun 1935 dengan tersiarnya tulisan Keris Melayu (Muhammad Yassin Makmur) bertajuk “Tun Seri Lanang dan Abdullah Munsyi” (Majalah Guru, 1 Julai 1935). Tulisan itu dianggap sebagai kritikan sastera pertama tanahair . Tulisan ini dianggap sebagai kritikan kesusasteraan yang pertama berdasarkan beberapa faktor iaitu : Pertama, Keris Melayu telah menganalisis secara kritis mengikut kemampuan ilmiah dan zamannya tentang isi dan gaya bahasa Sejarah Melayu. Kedua, Keris Melayu cuba mengupas hal-hal yang tersirat di sebalik dua buah karya Abdullah Munsyi iaitu Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah. Ketiga, pemusatan tulisan Keris Melayu kepada teks Sejarah Melayu, Hikayat Abdullah dan Kisah Pelayaran Abdullah. Soal luaran seperti biografi amat sedikit diperkatakan dan wajar jika dilihat dari waktu dan keadaannya.

Tulisan kritikan Keris Melayu tidaklah begitu objektif sebagaimana tuntutan kritikan sastera masa kini. Ia berlaku disebabkan oleh faktor zaman yang melibatkan keadaan politik, ekonomi, sosial, dan pendidikan. Walaupun tulisan itu begitu longgar dalam bentuk dan definisi tetapi usahanya mengkategorikan perwatakan berlandaskan susunlapis masyarakat ada zaman feudal iaitu golongan raja, pembesar, hulubalang, dan rakyat jelas memperlihatkan ketelitian dan keprihatinan penulis. Keris Melayu telah berjaya membuat penilaian terhadap perwatakan dalam Sejarah Melayu dalam tulisan tersebut.

Dalam kritikan tersebut Keris Melayu turut memberi komentar terhadap gaya bahasa pengarangnya iaitu Tun Seri Lanang. Tinjauan Keris Melayu mendapati bahasa Melayu Tun Seri Lanang jelas, sedap didengar, dan asli. Keris Melayu juga berusaha mentafsir makna yang tersirat yang terungkap pada beberapa rangkap pantun dalam Sejarah Melayu.

Tulisan Keris Melayu mendapat reaksi pro dan kontra daripada penulis lain. Anak Negeri (Mohd Yusof Ahmad) memberikan reaksi terhadap tulisan Keris Melayu melalui tulisannya “Kita dengan Munsyi Abdullah” (Majlis, 22 Ogos 1935). Dalam tulisan itu Anak Negeri berpendapat bahawa Abdullah Munsyi merupakan pengampu orang asing, tidak wajar diberi pujian, dan memalukan kerana melalui kedua-dua karya autobiografinya Abdullah Munsyi mencerca raja dan masyarakat Melayu. Kabhaa-Batu Pahat turut memberi reaksi terhadap tulisan Anak Negeri melalui tulisannya “Anak Negeri dan Abdullah Munsyi” (Majlis, 2September 1935). Tulisan Kabhaa-Batu Pahat dianggap lebih rasional dan intelektual siftanya. Kedua-dua reaksi tersebut menjelaskan bahawa telah ada kecenderungan tulisan yang memberi pandangan yang bertentangan secara berurutan atau polemik dalam kritikan sastera.

Tulisan berbentuk kritikan terhadap genre cerpen dikemukakan oleh Ngumba dalam tulisannya bertajuk “Shamsuddin Salleh dengan Kolej Tanjung Malim” (Warta Ahad, 9 Jun 1940) Kritikan Ngumba berdasarkan cerpen Shamsuddin Salleh berjudul “Cermin Pergaulan Hidup Di Dunia” yang disiarkan sebanyak enam siri dalam Utusan Melayu 27 April-1 Jun 1940. Cerpen ini dikatakan menjejaskan nama baik Maktab Perguruan Sultan Idris. Polemik terhadap cerpen Shamsuddin Salleh ini turut dikemukakan oleh penulis-penulis lain seperti Umang-Umang Tangkak, dan Lebai Ketayap.

Pengkritik pada zaman awal mendekati karya dengan dua cara. Pertama, mereka memuja tokoh-tokoh. Kedua, mereka membicarakan isi karya. Namun begitu perbicaraan tersebut tidaklah mengupas karya-karya sebagai hasil seni kerana mereka tidak berupaya untuk meninjau unsur-unsur struktur yang membina karya tersebut. Karya seperti Sejarah Melayu dibicarakan dengan penilaian yang dangkal. Hal yang sama berlaku terhadap karya-karya Munsyi Abdullah. Pada masa ini soal pendekatan masih tidak timbul. Minat penulis kritikan bukanlah untuk mengupas secara mendalam aspek kesusasteraan sebaliknya lebih tertumpu pada persoalan nasionalisme Melayu.

Corak kritikan pada tahap permulaan ini dapat dirumuskan kepada dua perkara. Pertama, kritikan tidak menggunakan pendekatan secara khusus. Kritikan masih bersifat umum tentang perkembangan cerpen. Corak kedua ialah kecenderungan akhbar dan majalah menampilkan ruangan bagi pengkritik. Akbar dan majalah yang berbuat demikian ialah Warta Ahad, Majalah Guru , Majalah Cherita, Majlis,

Comments

Post a Comment