Drama Realisme dan Non Realisme


Realisme dan Non Realisme Dalam Drama

Dua buah drama iaitu Tamu di Bukit Kenny karya Usman Awang dan Sirih Bertepuk Pinang Menari karya Noordin Hassan menjadi drama kajian di peringkat STPM bagi Kesusasteraan Melayu Moden. Kedua-dua drama ini mewakili aliran yang berbeza di mana Tamu di Bukit Kenny merupakan drama realisme yang terkenal pada dekad 1960-an manakala Sirih Bertepuk Pinang Menari merupakan drama non-realisme yang dihasilkan pada dekad 1990-an. Kedua-dua buah drama ini mewakili perkembangan drama Melayu di Malaysia. Pada suatu ketika terutama dekad 1960-an drama-drama realisme menjadi amat popular dan diterima oleh masyarakat kerana keupayaan drama berkenaan mengutarakan permasalahan masyarakat, pemikiran, dan zaman drama tersebut dihasilkan. Kemunculan drama yang dianggap membawa aliran absurdisme, surealisme, atau dikenali sebagai drama-drama kontemporari mengisi ruang yang ditinggalkan oleh drama-drama realisme. Masyarakat mula menggemari drama-drama kontemporari ini disebabkan oleh unsur-unsur teaterikal dan kepelbagaian stail pementasan yang dihidangkan melalui drama berkenaan. Masyarakat merindui sebuah drama yang tidak lagi terlalu bergantung kepada unsur-unsur realistik dengan ruang tamu dan perabot yang pelbagai, dan cerita-cerita tentang kemiskinan dan protes sosial yang semakin klise sifatnya. Penonton mahu menyaksikan sebuah drama yang digubah berdasarkan komposisi visual, ruang, imbangan, bentuk, warna dan bayang-bayang. Sebuah drama tidak seharusnya bersifat mendesak dan memaksa penonton untuk bersetuju dengan apa yang digarapkan oleh pengarang sebaliknya memberi ruang penonton untuk berfikir dan membuat refleksi terhadap apa yang disajikan di pentas.
 

Tamu Di Bukit Kenny

Kecenderungan drama realisme ialah pemaparan eskpresi terhadap permasalahan semasa yang tampak dan bersifat fizikal. Dengan demikian realisme merupakan drama yang cuba menggarap kehidupan sehari-hari. Apa yang dihasilkan oleh pengarang adalah sesuatu yang sezaman atau berkaitan dengan zaman penulis itu sendiri.  Pengarang drama realisme menjadikan kisah-kisah masyarakat sebagai bahan yang penting dalam penceritaannya. Oleh yang demikian drama realisme akan menjadi suatu propaganda untuk masyarakatnya dengan mengemukakan permasalahan sosial, kepincangan masyarakat, atau penjelasan terhadap kepincangan masyarakat.

Realisme menjadi sebuah representasi yang peka kepada sesuatu yang konkrit dan kontekstual sifatnya. Apa yang menjadi representasi dalam realisme ialah realiti masyarakat dan pemaparan drama begitu terikat dengan konteks masyarakat. Teks realisme akan dibina condong kepada pernyataan pengukapan kesedaran terhadap permasalahan atau kelemahan masyarakat. Dengan itu, realisme akan menyalurkan segala protes atau kritikan terhadap realiti masyarakat. Drama realisme turut dikenali sebagai drama protes sosial, drama realisme sosial dan drama masyarakat. Pemikiran dan persoalan yang dipaparkan dalam sebuah drama realisme amat rapat dengan masyarakatnya. Ia dapat dijadikan sebagai cermin masyarakat atau sebagai alat membela nasib masyarakat.

Sebagai sebuah alat komunikasi langsung dengan audiens drama realisme gemar menggunakan bahasa pertuturan sehari-hari atau menggunakan prosa kolokial. Bahasa yang diujarkan ringkas, padat, kemas, dan pendek agar ia mampu menimbulkan pemikiran dan persoalan. Ia dapat mewujudkan suasana yang lebih realistik, dan audiens dengan mudah dapat menerima apa yang diutarakan dalam drama berkenaan.  Latar drama realisme sudah pastinya bersifat realistik dengan suasana ruang pentas yang biasa oleh penonton seperti sebuah ruang tamu dengan perabot rumah yang biasa dan natural sifatnya. Watak-watak yang dikemukakan adalah watak-watak manusia biasa dengan  bahasa pertururan bersifat sehari-hari. Persoalan-persoalan yang dikemukakan juga bersifat realistik iaitu sesuatu yang berkaitan dengan masyarakatnya. Keseimbangan di antara unsur bahasa, persoalan, watak dan latar ini menjadi unsur penting dalam drama realisme agar ia mampu mengupas permasalahan masyarakat secara realistik dan berkesan. Ia akan lebih mudah diterima dan difahami oleh penonton.

Sebagai sebuah drama yang mengutamakan aspek realistik,  unsur-unsur natural dalam drama turut diperlihatkan dalam aspek lakonan  dan  penghayatan watak-wataknya, penyusunan ruang  pentas yang realistik, serta  penggunaan lampu, kostum, dan tatarias yang lebih realistik dan natural. Kehebatan sebuah drama realisme terletak pada keupayaan pengarahnya membawa realiti ke pentas. Menjadikan pentas sebagai dunia realiti yang mencerminkan segala pergolakan dan permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat semasa. Tamu di Bukit Kenny memperlihatkan bagaimana realiti itu dibawa ke pentas. Kehidupan Kadir seorang pegawai kelas menengah Melayu yang menetap di Bukit Kenny. Ruang tamu sebuah rumah seorang pegawai pastinya dilengkapi perabot, hiasan yang sesuai dengan statusnya sebagai pegawai, bermakna menonton Tamu Di Bukit Kenny kita dibawa ke sebuah rumah milik seorang pegawai. Manusianya pula ada perkaitan dengan masyarakat 60-an yang menjadi latar drama. Pegawai, isteri yang tidak bekerja, orang gaji, anak-anak serta para tetamu yang membawa citra masyarakatnya : orang kampung, tauke, Suzie Wong, abang Man, Sudin, anak-anak muda yang gilakan muzik A Go-Go serta doktor yang merawati Kadir. Malah manusia dalam drama ini jauh lebih banyak berdasarkan apa yang diperkatakan oleh watak-wataknya seperti pegawai kerajaan di pejabat Kadir, pengguna jalan raya, polis, dan sebagainya.

Kepentingan terhadap keupayaan sebuah drama realisme menggarap aspirasi dan konflik masyarakatnya didedahkan melalui plot yang mudah. Ia bermula dengan eksposisi, krisis, klimkas, antiklimaks dan penyelesaian.  Sandaran utama teks realisme terletak pada bagaimana pembinaan krisis dan konflik yang membawa kepada klimaks dalam drama. Unsur-unsur dramatik dalam drama tidak diberi tumpuan yang mendalam sebaliknya pengarang terlalu mengutamakan penggunaan bahasa dalam drama.

Setelah mengenali secara ringkas unsur-unsur sebuah drama realisme kita akan melihat bagaimana pembinaan drama Tamu di Bukit Kenny oleh Usman Awang.  Usman Awang dilihat sebagai seorang pengarang yang mempunyai nada yang romantis tetapi mengkritik dengan tajam. Diksinya lembut dan nipis tetapi adakalanya ia pedas, keras dan mencengkam.  Keupayaan istimewa Usman Awang ialah kemampuannya mengolah gaya bahasa yang lancar, licin dan  meninggalkan kesan.  Motif-motif yang mahu disampaikan oleh Usman Awang berupaya disampaikan dengan penggunaan bahasa yang lancar dan tidak tersekat-sekat. Dalam Tamu di Bukit Kenny Usman Awang menggunakan kata-kata yang tegas dan tidak berselindung dalam mengkritik apa jua penyelewengan yang berlaku dalam masyarakat. 

Pegawai : Betul, kerajaan bilang itu macam. Semua orang Malaysia, tak kira apa bangsa, sama-sama tolong. Tapi bukan tolong kasi tender sama tauke, bukan tolong kasi wang sama saya. Tolong punya fasal ada banyak macam. Ini macam punya tolong, Malaysia jadi negeri Ali Baba dan Ali John.  (hal 259)

Watak-watak yang dimunculkan dalam Tamu di Bukit Kenny mewakili pelbagai lapisan masyarakat dan status manusia seperti pegawai, orang kampung,  tauke, pemandu, orang gaji, doktor, pemuda kampung, penduduk rumah setinggan dan sebagainya. Gaya dialog antara seorang watak dengan watak yang lain dipaparkan dalam bentuk yang berbeza-beza. Kejayaan besar Usman Awang adalah keupayaannya untuk memberikan identiti gaya terhadap setiap wataknya.  Seorang tauke akan menggunakan bahasa pasar. Orang kampung dengan bahasa kekampungannya. Konteks bahasa ini akan berubah-ubah mengikut  konteks penutur atau watak-wataknya.

Orang Kampung I : Tak apalah, kami ni sekejap aje, berdiri pun boleh (hal 247)

Mamat : Di sana tadi saya nak mengamuk, encik. Tapi tak jadi, encik (hal 252)

Tauke : (ketawa) Ooo.. itu macam, saya pun tahu ada banyak itu macam punya berniaga sekarang (hal. 258)

Kamampuan pengarang  menyusun ayat-ayat yang mudah, pendek dan berkesan  berupaya memberikan kefahaman yang mudah terhadap audiens.  Di samping dialog yang ringkas laras bahasa yang digunakan dilihat amat bersesuaian di antara penutur-penuturnya seperti di antara Pegawai dengan Cik Puan, Cik Puan dengan Tauke, Pegawai dengan Orang Kampung I dan Orang Kampung II, antara Cik Puan dengan Doktor Hussin dan lain-lain. Terasa bahawa dialog yang dituturkan amat realistik dan natural sifatnya :

Cik Puan  : (Keluar) Ya.. tauke..
Tauke       : Nyonya.. ada baik?
Cik Puan : Baik, duduklah.
Tauke       : Ini saya punya bini …. (ketawa)
Cik Puan  : Ooo.. banyak muda … (ketawa)
Tauke       : (Ketawa). Ya, saya pun tak banyak tua   (hal 256)

Terdapat juga dialog-dialog yang melahirkan unsur jenaka, wit, dan sinis  berjaya dipaparkan oleh Usman Awang dalam dramanya.  Unsur jenaka, sinis, atau wit itu berlaku dalam suasana bersahaja, natural dan cukup realistik.

Cik Puan  :  Surat khabar sekarang ni kalau tak membesarkan berita rogol, rompak, khalwat, gambar-gambar telanjang, tak sah, bukan surat khabar
Pegawai    :  Eh, awak pun dah pandai marahkan surat khabar (hal 246)

Pegawai    : Masuk parti! Parti apa pula?
Mamat      : Parti politiklah, encik, takkan parti badminton pula? ( hal 253)

Pegawai   : Kenapa kau begini (Cik Puan menjengukkan mukanya keluar)
Mamat     : Saya nak mengamuklah ni, encik. (Kepala Cik Puan masuk ke dalam)
Pegawai   : (mula berani) Kau nak mengamuk? Kenapa mengamuk ke mari?
Mamat     : Di sana tadi saya nak mengamuk, encik. Tapi tak jadi, encik.
Pegawai   : Kau gila nak mengamuk?
Mamat     : Saya tak gila, encik. Saya buat-buat gila….. ( hal 252)

Struktur Plot Dalam Tamu Di Bukit Kenny

Tamu di Bukit Kenny memaparkan struktur plot yang sederhana dan kronologi sifatnya. Perkembangan plot diperlihatkan menerusi pertukaran adegan  yang menimbulkan pelbagai suasana atau atmosfera dalam drama. Meskipun keseluruhan drama ini berlaku dalam rumah pegawai namun keupayaan Usman Awang menyusun adegan serta pembinaan atmosfera tertentu dapat melahirkan intensiti terhadap drama. Adengan pertama bermula dengan kepulangan pegawai pada jam 5.45 petang. Topik perbincangan antara watak, aksi, reaksi serta kemunculan watak-watak membina perkembangan plot drama. Setiap watak yang dimunculkan tampil dengan pelbagai konflik dan semuanya bertumpu kepada pegawai agar dapat menyelesaikan segala macam konflik berkenaan. Perturutan di antara Pegawai dan Cik Puan sendiri membangkitkan pelbagai persoalan seperti masalah kesesakan jalan raya di Kuala Lumpur,  masyarakat yang tidak menurut peraturan, pegawai yang tidak cekap bekerja dan banyak membuang masa, orang gaji yang  suka bergayut di telefon, dan berita sensasi di surat khabar. Kemunculan Orang Kampung I dan Orang Kampung II menimbulkan suasana baru di rumah pegawai. Suasana menjadi agak ceria dan pegawai tidak lagi marah-marah sebaliknya mula melihat masalah penduduk kampung yang malas bekerja dan tanah akan dirampas.  Pegawai akan cuba mengatasi masalah orang kampung dengan merujuknya kepada  Pegawai Daerah.

Suasana ceria bertukar menjadi cemas dan tegang dengan kemunculan Mamat yang memegang sebilah parang dan memekik.  Pegawai berhadapan dengan konflik yang dialami oleh Mamat akibat rumahnya diroboh dan ketiadaan tempat tinggal.  Masalah Mamat cuba diatasi pegawai dengan membenarkan Mamat dan keluarganya menginap sementara di rumahnya. Meskipun suasana agak cemas tetapi masih diselangseli dengan dialog yang lucu dan sinis di antara Pegawai dan Mamat.  Pegawai mengadu bahawa kepalanya semakin pening.  Suasana rumah Pegawai berubah apabila munculnya tauke dan Suzie Wong. Sekali lagi Pegawai berhadapan dengan konflik yang dicetuskan oleh tauke yang mahu merasuahnya untuk mendapatkan tender. Pegawai menunjukkan ketegasannya tidak mahu melayan kehendak tauke dan  tidak menerima tawaran daripada tauke.

Ketika pegawai masuk berehat mucul Bang Man serta anaknya. Kedatangan mereka menimbulkan suasana baru dalam rumah pegawai. Perbincangan di antara Pegawai, Bang Man, Cik Puan  dan Sudin berkisar mengenai masalah keluarga.  Namun begitu pegawai sekali lagi dihadapkan dengan masalah baru yang mana Bang Man mahu pegawai mendapatkan pekerjaan untuk Sudin. Kemahuan Sudin ternyata bertentangan dengan kehendak pegawai yang mahukan Sudin terus belajar bukan bekerja.  Suasana rumah Pegawai terus berubah dengan kepulangan Salleh dan Fatimah serta kawan-kawannya.   Mereka memasang gram dan seronok menari sehingga tidak menyedari kedatangan Pegawai. Pegawai merasa amat kecewa melihat kelakuan anaknya yang  terkinja-kinja dengan muzik Barat dan  membaca majalah lucah. Kemarahan pegawai sampai kepada kemuncaknya dan terjadilah suasana cemas  di mana pegawai mengalami sesak nafas.

Suasana rumah kelihatan cemas dengan Cik Puan mendapatkan pegawai dengan suasana serba tak kena. Salleh berlari menuju ke rumah Doktor Hussin. Bang Man pula mencuba dengan membaca jampi mentera untuk memulihkan pegawai.  Suasana cemas ini merupakan kimaks drama yang menjelaskan kemuncak terhadap konflik yang dialami oleh pegawai. Pegawai menghadapi satu situasi yang amat tidak terduga iaitu anak-anaknya sendiri telah runtuh moralnya dan amat terpengaruh dengan budaya Barat.  Tamu di Bukit Kenny diakhiri dengan kedatangan Doktor Hussin yang menjelaskan  bahawa Pegawai mengalami darah tinggi dan perlu rehat yang cukup.

Kedinamisan Watak Pegawai

Drama Tamu di Bukit Kenny turut menyoroti kedinamisan watak Pegawai atau Kadir. Kedinamisan watak ini diperlihatkan menerusi interaksi watak dengan watak-watak yang lain. Kadir dilihat sebagai pegawai yang bertanggungjawab dan bercita-cita tinggi untuk menjadi pegawai yang cekap dan berjaya menjaga nama baik jabatannya.  Seorang yang tegas dan tidak mudah  merubah pendiriannya. Meskipun bersimpati terhadap Mamat yang kehilangan rumah tetapi Pegawai tetap melihat  Mamat melakukan kesilapan iaitu menjadi penghuni setinggan. Pegawai tidak berpuas hati dengan sikap orang kampung yang malas dan tidak mahu menguasahakan tanah pinggir. Namun dia berjanji akan menyelesaikan masalah yang mereka hadapi dengan merujuk kepada Pegawai Daerah.

Ketegasan Pegawai jelas apabila dia tidak bertolak ansur dengan kehendak tauke malah menuduh tauke sengaja mahu menjatuhkan maruah pegawai kerajaan dengan memberikan rasuah. Meskipun  pegawai  digambarkan sebagai pegawai yang cekap di pejabat tetapi dia gagal untuk menghidu masalah yang berlaku di rumahnya sendiri. Anak-anaknya terpengaruh dengan budaya Barat – mengajak rakan-rakan mengadakan tari menari dan membaca buku lucah.  Pegawai sendiri digambarkan terlalu mengutamakan tugasnya dan memberi perhatian yang kurang terhadap keluarga dan kesihatannya sendiri sehingga dia menghidap darah tinggi. 

Pegawai sendiri seorang yang mempunyai tabiat tidak dapat mengawal emosinya, dia suka marah-marah : marah kepada Asmah yang lama bergayut di telefon, tidak suka dengan sikap isterinya yang terlalu percaya pada majun, tidak menyukai sikap pegawai di pejabatnya yang pemalas dan tidak bertanggungjawab. Kemuncak emosi marah pegawai diperlihatkan apabila Pegawai merasa amat marah dan kecewa dengan kelakuan anak-anaknya Salleh dan Fatimah yang mengadakan majlis tari menari di rumahnya serta membaca buku lucah.

Demikianlah kelenturan watak Kadir yang memaparkan watak pegawai yang tidak didominasikan dengan watak putih semata-mata tetapi mempunyai kelemahan dan kegagalan. Kedinamisan ini menjadikan watak Pegawai lebih realistik dan akur kepada kehendak sebuah realisme.

Pemikiran dan Persoalan Dalam Tamu Di Bukit Kenny

Pemikiran yang jelas dipaparkan dalam Tamu di Bukit Kenny adalah  tentang moral dan etika sama ada yang bersifat positif atau negatif. Moral positif dipaparkan menerusi watak Pegawai, Cik Puan, Doktor Hussin. Manakala moral negatif diperlihatkan menerusi watak Tauke, Fatimah, Salleh dan pekerja-pekerja di pejabat Pegawai. Moral positif dilihat penting untuk kehidupan insan serta pembinaan masyarakat dan negara manakala moral negatif akan meruntuhkan martabat manusia, merosakkan masyarakat dan mengancam kemajuan negara. Usman Awang turut memperlihatkan kepekanaanya terhadap permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat terutama orang melayu. Permasalahan-permasalahan inilah yang dipaparkan sebagai persoalan drama seperti masalah rasuah,  kemalasan orang Melayu, kemiskinan orang Melayu, pengabaian terhadap pendidikan,  Ali Baba,  kewarganegaraan, pemilihan pekerjaan, tidak bertanggungjawab,  masalah setinggan, dan  masyarakat yang tidak mematuhi peraturan. 

Segala persoalan yang dikupas dalam drama ini berpusat pada watak pegawai yang jujur, dedikasi dan bertanggungjawab dan terpaksa berhadapan dengan segala macam permasalahan masyarakat.  Segala penyakit masyarakat yang dihadapkan kepada pegawai memberi kesan kepada pegawai di mana beliau diserang darah tinggi. Ia adalah lambang ketenatan yang terpaksa  dihadapi oleh seorang pemimpin  dalam sebuah negara membangun.  Tamu Di Bukit Kenny berjaya menjelaskan situasi masyarakat yang tenat, kritikal dan penuh krisis.  Masyarakat terpaksa berhadapan dengan masalah kemiskinan,  kurang kesedaran terhadap pendidikan, golongan pemuda kampung yang menggilai kehidupan kota, golongan pemuda kota yang hanyut oleh pengaruh Barat, pegawai yang terpaksa berhadapan dengan tekanan rasuah, ketidakcekapan dalam pengurusan pentadbiran kerajaan, masyarakat yang tidak bersungguh-sungguh untuk memajukan diri sendiri, dan sebagainya.

Tamu Bukit Kenny dan Realiti Masyarakat Malaysia

Usman Awang secara jujur melakukan refleksi terhadap masyarakat. Sebagai sebuah drama realisme Tamu di Bukit Kenny berupaya menjadi dokumentasi sosial yang dapat memaparkan krisis yang dihadapi oleh masyarakat  sezaman dengan lahirnya karya berkenaan. Tamu Bukit Kenny menjadi drama realisme yang memprotes beberapa kelemahan masyarakat di mana karya itu dilahirkan. Menonton Tamu Bukit Kenny bermakna melihat ke dalam kancah hidup masyarakat Malaysia pada dekad 1960-an. Selepas mencapai kemerdekaan masyarakat Melayu terutama sekali terpaksa berhadapan dengan pelbagai krisis dan permasalahan. Usman Awang secara jujur menterjemahkan kehidupan masyarakat pada masa itu ke dalam drama.  Pegawai menjadi lambang pemimpin yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai rintangan sosial yang dialami masyarakat.  Kejayaan Tamu Di Bukit Kenny adalah  keupayaan Usman Awang membawa segala rencah masyarakat ke pentas. Kesan penjajahan masih terasa bagi masyarakat Melayu yang masih miskin, tidak mendapat peluang  yang secukupnya terutama dalam bidang ekonomi dan pendidikan. Orang Melayu masih tidak berganjak dari menghadapi masalah ketiadaan tanah dan peluang untuk memajukan diri mereka.  Jika pun ada peluang untuk orang Melayu ia mudah dilepaskan melalui sikap golongan  Melayu yang mengamalkan Ali Baba.

Kota seperti Kuala Lumpur menerima kepesatan pembangunan. Namun begitu kepesatan itu melahirkan pelbagai krisis baru seperti persetingganan, rumah haram,  pertumbuhan penduduk yang  pesat membawa kepada masalah kesesakan jalan raya, dan sebagainya. Tidak kurang pula bercambahnya penyakit sosial seperti amalan rasuah, keinginan untuk mendapat hak sebagai warganegara, dan kota menjadi buruan penduduk desa untuk mencari pekerjaan dan  mengharapkan perubahan dalam hidup. Masyarakat kota sendiri terutama golongan muda semakin hanyut oleh rontaan budaya Barat.  Aspek moral menjadi terpinggir dan ia memberi suatu kesan sosial yang parah terhadap masyarakat.  Bidang pekerjaan bagi orang Melayu semakin bertambah seperti bekerja di pejabat. Golongan ini merupakan golongan yang diharapkan menjadi pemangkin kemajuan negara tetapi masalah baru yang muncul adalah ketidakcekapan dalam menjalankan tugas, banyak membuang masa, kurang rajin untuk berusaha, dan berpuas hati dengan apa yang ada. Inilah pula yang menimbulkan kemarahan Pegawai apabila melihat begitu ramai pekerjanya yang suka membuang masa dan tidak cekap.


Sirih Bertepuk Pinang Menari

Pelbagai nama diberikan kepada aliran drama selepas zaman realisme. Ada yang menyatakan sebagai drama kontemporari, drama mutakhir, drama absurd dan sebagainya. Untuk kajian di peringkat STPM ia dikenali sebagai drama non-realisme. Sebuah drama non-realisme lebih bersifat konsep drama tanpa logika, anticerita, antiplot, dan menyimpang dari konvensi drama. Non realisme dengan itu menolak teks yang semata-mata bergantunng kepada pemaparan fizikal dan mengutamakan representasi secara kontektual. Kewajaran teks non-realisme terletak pada kemampuan teks melihat permasalahan masyarakat secara lebih intelektual, kritis dan mendorong audiens berfikir dan merenung mencari makna dalam drama. Teks menjadi lebih dinamik dan tidak lagi bergantung kepada hukum realistik.

Drama non-realisme tidak mempunyai struktur plot yang khusus. Ia tidak terikat pada episod demi episod tetapi dibina atas kepentingan adegan tertentu. Urutan cerita tidak begitu disedari sesuai dengan pemikiran dan persoalan yang lebih kompikated sifatnya. Apa yang diutamakan dalam non-realisme bukan lagi isi ceritanya tetapi pemikiran, falsafah atau makna yang cuba dipaparkan oleh pengarang dalam drama.  Non-realisme dilihat cuba menggabungkan kepelbagaian unsur seperti absurdisme, eksistensialisme, dan surealisme. Dalam non-realisme kerap ditemui pertembungan di antara tradisi dan moden. Gabungan yang serapkan ke dalam non-realisme seperti memasukkan  suasana purba dan airkaik dengan moden. Unsur mitos, legenda atau  imej tradisi dibawakan ke dalam non-realisme sebagai pemaparan isi drama.  Stail pementasan turut menggabungkan unsur tradisi dan moden serperti membawakan unsur-unsur nyanyian, pantun, syair, seloka, mak yong, boria dan sebagainya ke dalam drama.  Isi drama tidak dapat difahami dengan mudah tetapi menuntut tafsiran intelek meskipun cerita yang dipaparkan masih berkisar pada kehidupan sehari-hari. 

Drama non-realisme kerap dipenuhi dengan lambang, simbol dan citra tertentu yang dipaparkan menerusi watak, peristiwa atau isi drama.  Unsur-unsur dramatik diberi perhatian yang penting dengan mengemukakan unsur kejutan, ironi, suspens, tension dan sebagainya. Meskipun drama non-realisme cuba memaparkan kisah masyarakat ia kerap diaplikasikan secara pragmatik dengan menggunakan watak-watak moden atau tradisi yang digabungkan dalam drama.  Non-realisme turut dihiasi dengan penggunaan bahasa yang puitis untuk melahirkan keindahan pengucapan dan variasi dalam drama.  Stail pementasan turut mempunyai variasi tersendiri antara seorang pengarah atau penulis dengan yang lain. Ruang pentas sebuah non-realisme tidak lagi mengikut hukum realisme sebaliknya ada yang bersifat saranan, lambang atau konsep semata-mata. Begitu juga dengan penggunaan kostum dan tatarias yang lebih mengukuhkan lambang dan konsep tertentu.  Terdapat drama yang cuba membentuk komunikasi dengan audiens iaitu audiens secara tidak langsung menjadi sebahagian dari drama.

Secara latar belakangnya drama Sirih Bertepuk Pinang Menari pertama kali dipentaskan sempena dengan  Hari  Keputeraan DYMM Yang Dipertuan Agung dari 17 Jun hingga 21 Jun 1992.  Pada masa yang sama Noordin Hassan merupakan tokoh drama yang begitu prolifik serta dapat membina suatu iklim baru dalam pementasan drama di Malaysia.  Noordin Hasaan sendiri menjadi tokoh penting yang merubah struktur drama realisme yang popular  pada dekad 1960-an kepada struktur pementasan non-realisme pada dekad 1970-an. Nordin Hassan telah memperkenalkan konsep teater fitrah yang menyalurkan prinsip dan konsep pementasan berasaskan Islam.  Nordin Hassan sendiri telah menunjukkan kejayaan tersendiri melalui produksi-produksi beliau yang cukup berjaya seperti 1400, Anak Tanjung, Cindai,  Peran, Malam Ini Penyu Menangis, Jangan Bunuh Rama-Rama, Pintu, Tiang Seri Tegak Berlima dan Bukan Lalang Ditiup Angin. Sudah  pastinya latar belakang pementasan ini mempunyai perkaitan penting dengan drama itu sendiri.

Pemikiran dan Persoalan Dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari

Pemikiran yang dipaparkan dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari adalah berpusat kepada kuasa. Kuasa diserlahkan dengan tindakan Sultan Idris Bistari yang meninggalkan takhta dan menyerahkan kepada anaknya Raja Zahiruddin Syah. Kuasa yang diperolehi oleh Raja Zahiruddin Syah digunakan dengan begitu berleluasa dengan mengambil tindakan yang sedikitpun tidak mematuhi pesanan ayahandanya. Baginda memecat Wazir Tua menggantikan dengan Wazir Baru, memalukan Datuk Wiran dan Datuk Arif sebagai pembesar kepercayaan ayahandanya, serta mementingkan kebendaan dan kekayaan.  Segala tradisi yang ditinggalkan oleh ayahandanya diubah mengikut selera dan kehendaknya seperti Taman Sari ditukar seperti Taman Gul Bakawali,  tarian lama tradisi istana ditukar dengan tarian baru serta kegemaran baginda adalah untuk menunjukkan kekayaan dan kemewahan  Indera Mahkota.  Baginda mahu istana yang bergemerlapan dan negeri yang berkilauan. Dengan kuasa di tangan rakyat dipaksa untuk membina bahtera yang disalut emas. Kekuasaan bertukar pada ketamakan apabila baginda mahu menakluk  Langkapura semata-mata kerana kekayaan negeri itu. Syarat yang pelik diberikan kepada baginda Ratu Salbiah dan sekiranya tidak dapat mempersembahkan Sirih Bertepuk Pinang Menari dan  Puteri Kamaliah menolak pinangan negeri itu akan diserang.

Kuasa yang dipaparkan adalah penjelasan terhadap kepimpinan. Perbezaan yang nyata berlaku di antara kepimpinan Sultan Idris Bistari dan Raja Zahiruddin Syah. Sultan Idris Bistari mengutamakan kebajikan rakyat, mementingkan kesepakatan dan perundingan antara raja, pembesar dan rakyat, menjaga kepentingan negara melebihi kepentingan peribadi, tidak membazir , tidak bertindak zalim dan mengutamakan keinsanan, menggunakan akal yang bijak dan bukan menurut nafsu, serta mengutamakan keharmonian dan kesenangan rakyat. Raja Zahiruddin Syah munculnya sikap yang tamak, suka membazir, zalim terhadap rakyat, tidak mementingkan kebajikan rakyat, mengikut nafsu, suka menunjuk-nunjuk, suka bertindak terburu-buru, tidak mementingkan keharmonian dan kesenangan rakyat. Malah tindakan beliau bukan sekadar menyusahkan kehidupan rakyat Indera Mahkota malah menganggu ketenteraman Langkapura.  Perbezaan kepimpinan ini memperlihatkan betapa jauhnya Raja Zahiruddin Syah dari rahsia yang ada pada Sirih Bertepuk Pinang Menari.  Noordin Hassan dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari mahu menjelaskan bahawa  masa depan rakyat  dan negara berkait rapat dengan corak kepimpinan pemerintah atau kepimpinan negara. Tanpa ada keharmonian di antara raja dengan rakyat, kehidupan sejahtera di kalangan rakyat,  keharmonian akan hancur dan negara akan binasa.

Sirih Bertepuk Pinang Menari turut disarati dengan pelbagai persoalan yang berkait rapat dengan kehidupan manusia. Persoalan mengenai kemuliaan manusia bukan berasaskan keturunan yang baik.  Kebijaksanaan, keberanian, kepandaian dan sikap bertanggungjawab bukan berasaskan keturunan atau sesuatu yang boleh diwarisi.  Meskipun Ihsan seorang anak nelayan tetapi memiliki hati yang mulia, berhemah tinggi, jujur dan berani menentang kezaliman Raja Zahiruddin Syah. Ihsan bukan sekadar dapat menyembuhkan Puteri Kamaliah dari buta matanya dan separuh badan menjadi batu malah telah dapat menyelamatkan negeri Indera Mahkota dan Langkapura dari berperang. Ihsan telah berjaya mengekalkan keharmonian antara dua buah negara.

Persoalan mengenai kegairahan manusia menurut nafsu dan sifat haloba yang melampau. Setelah menaiki takhta Raja Zahiruddin Syah menjadi manusia yang sombong dan mementingkan hawa nafsu dan kebendaan. Beliau telah membina bahtera melalui kerahan tenaga rakyat dan membina Taman Sari seperti Taman Gul Bakawali. Apa yang diutamakan oleh Zahiruddin Syah adalah kemegahan  dan keseronokan tanpa memikirkan kesan terhadap rakyatnya sendiri. Malah perkahwinan dengan Puteri Kamaliah mahu dijadikan aset penting untuk membolehkan dirinya memiliki segala kekayaan yang melimpah ruah di Langkapura.

Persoalan mengenai kuasa rakyat yang menentukan pemimpin. Rakyat mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang harus menjadi pemimpin mereka. Rakyat telah menyelamatkan Indera Mahkota dari kepimpinan yang  tidak bertanggungjawab dengan mengekalkan Sultan Idris Bistari sebagai raja. Malah Sultan Idris Bistari sendiri mengakui dan bersumpah bahawa jika baginda tidak layak memerintah, baginda boleh diturunkan dari takhta. Tugas rakyat adalah untuk memilih pemimpin yang dapat menjaga masa depan mereka dan menentukan keharmonian mereka.

Noordin Hassan turut memaparkan persoalan berhubung dengan kebijaksanaan. Ia dipaparkan melalui kebijaksanaan Ihsan menyingkap rahsia sirih bertepuk pinang menari.  Permasalahan yang dialami oleh Puteri Kamaliah dapat diselesaikan dengan kebijaksanaan dan keikhlasan Ihsan membantu Puteri Kamaliah. Ihsan mencadangkan Sirih Bertepuk dan Pinang Menari adalah  perlakuan apabila Yatim bertepuk Inang menari dan apabila Inang bertepuk Yatim menari.  Namun begitu penjelasan atau persembahan sirih bertepuk dan pinang menari itu tidak dapat diterima oleh Raja Zahiruddin Syah. Keingkarannya terhadap janjinya sendiri menyebabkan Raja Zahiruddin Syah dan Wazir Baru disingkirkan dari istana oleh Sultan Idris Bistari.

Persoalan mengenai ketidakjujuran. Terdapat golongan ulama yang datang ke Langkapura yang kononnya untuk mengajar ilmu agama. Sebaliknya tujuan mereka sebenarnya adalah untuk mencari emas. Mereka mahu diupah dengan emas  dan ada di kalangan masyarakat yang taksub dan sanggup menghahwinkan anaknya dengan maulana berkenaan.

Teknik  Sirih Bertepuk Pinang Menari

Noordin Hasaan tidak menulis drama yang mudah  dan berterus terang. Drama Noordin akan dipenuhi dengan liku-liku yang perlu dileraikan sendiri oleh audiens atau pembaca.  Sirih Bertepuk Pinang Menari tidak dapat lari dari memiliki pelbagai tafsiran yang perlu dikemukakan oleh  pembaca.  Ia dipersembahkan secara berlapis-lapis dan kompikated sifatnya.  Watak Puteri Kamaliah dan Yatim dikupas dengan pelbagai dimensi.  Puteri Kamaliah  bukan sahaja seorang puteri yang akhirnya menjadi pemain jalanan. Beliau kemudian menjadi pelakon berlakon sebagai  Sajarul Ikhlas seorang seri panggung yang terkenal.  Dalam lakonan Sajaratul Ikhklas berlakon sebagai seorang  wanita tua yang hodoh untuk membinasan ego al-Husaini. Kemudian  Puteri Kamaliah menjadi seorang puteri dan sekali lagi bertukar sebagai orang biasa di akhir cerita.  Begitu juga dengan watak Yatim iaitu Pak Yatim sebagai suami Inang. Pak Yatim menjadi pemain jalanan.  Dari pemain jalanan dia bertukar menjadi al-Husaini. Pada akhir drama Yatim menjadi  pengarah drama yang masih tercari-cari bagaimana untuk menamatkan dramanya.  Lapis-lapis cerita yang dipaparkan oleh Noordin Hassan memerlukan tafsrian yang mendalam di kalangan audiens untuk memahami dan mengetahui apa yang sebenarnya mahu disampaikan.

Teknik drama dalam drama menjadi kegemaran Noordin Hassan.  Sirih Bertepuk Pinang Menari  mempunyai rangka cerita asasnya iaitu berkaitan dengan konflik Puteri Kamaliah berhadapan dengan tekanan dan desakan Raja Zahiruddin Syah yang mahu melamarnya. Puteri Kamaliah merasa bimbang jika niat itu tidak dipenuhi rakyat akan mendapat susah. Puteri Kamaliah bermimpi bertemu Raja Jin yang menyumpahnya menyebabkan matanya buta dan separuh badannya menjadi batu. Puteri Kamaliah diselamatkan oleh Ihsan yang menyuruhnya mencari Tanjung Jambu Mawar. Puteri Kamaliah, Yatim dan Inang menyamar menjadi  pemain jalanan.  Sewaktu menjadi penghibur jalanan inilah Puteri Kamaliah menyamar sebagai  Sajaratul Ikhlas dan Yatim sebagai al-Husaini. Mereka melakonkan bangsawan  yang menceritakan bagaimana seorang raja yang takut untuk berperang sedangkan  permaisuri baginda sudah bersiap sedia untuk berperang.

Noordin Hassan  berkecenderungan untuk mempermain-mainkan penonton menerusi dramanya. Tujuan mempermain-mainkan penonton adalah untuk mengajak penonton berfikir dan  mudah menerima sesuatu yang ditontoninya. Dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari Noordin Hassan  mempermain-mainkan penonton dengan menganggap penonton hanya menyaksikan latihan drama dan bukannya sebuah  pementasan yang mantap.  Teknik ini hanya disedari oleh penonton dengan Yatim bertindak menghentikan drama. Yatim sebagai pengarah berbincang dengan para pelakon bagaimana untuk mengakhiri dramanya.  Pada masa yang sama Yatim menjelaskan tujuan drama itu dicipta.

Noordin Hassan menggunakan teknik teater tradisional dalam dramanya.  Unsur atau elemen bangsawan dipersembahkan pada bahagian prolog drama  di mana Ihsan dan Puteri Kamaliah berduet di hadapan tirai. Setelah menghakhiri nyanyian barulah drama dimulakan.  Teknik ini mirip extra turn dalam bangsawan yang berlaku di pertengahan cerita sebaliknya  Noordin menggunakannya pada awal persembahan. Elemen Mak Yong digunakan ketika Puteri Kamaliah, Yatim dan Inang berlakon sebagai pemuzik jalanan. Mereka menukar pakaian, watak, dan menyusun gerak lakon dalam bentuk bulatan sebagaimana berlaku dalam persembahan  mak yong.

Unsur muzika menjadi pegangan penting Noordin Hassan. Dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari kemunculan unsur muzika begitu jelas. Kehadiran muzika bukanlah sebagai tempelan sebaliknya melalui muzika Noordin mempelbagaikan teknik penyampaian dramanya. Melalui muzika  iaitu tarian dan nyanyian dijelaskan tentang kerisauan Puteri Kamaliah terhadap nasib rakyatnya, kejahatan dan kedatangan Raja Jin yang cuba menganggu kenteraman Puteri Kamaliah,  perasaan cinta dan kasih yang berputik antara Puteri Kamaliah dan Ihsan, serta  kejadian Adam dan Hawa. Rahsia mengenai Sirih Bertepuk dan Pinang Menari dijelaskan oleh Inang dan Yatim melalui tarian mereka berdua.

Unsur-unsur surealisme dipaparkan dengan jelas dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari. Pertama, Noordin memunculkan Raja Jin dalam mimpi Puteri Kamaliah. Raja Jin mempunyai kuasa jahat yang  dapat menyumpah Puteri Kamaliah menjadi buta matanya dan separuh badan menjadi batu. Selain itu Penjual Serbat  dipaparkan sebagai seorang penjual dan pemberi serbat kepada penonton.  Abdul sebagai penjual serbat bukan sahaja menjadi sebahagian dari penonton tetapi dapat berkomunikasi dengan para watak dalam drama.  Ketika Yatim ketandusan idea Penjual Serbat muncul ke pentas memberi serbat kepada Yatim.  Yatim mendapat ilham baru setelah meminum serbat Abdul. Begitu juga ketika Puteri Kamaliah dirundung masalah dan keserasahan fikirannya Abdul memberikan serbat untuk menenangkan jiwa Puteri Kamaliah.  Selepas meminum serbat Puteri Kamaliah mengambil keputusan untuk meninggalkan istana.  Abdul berada di mana-mana : di tengah penonton memberi serbat, naik ke pentas memberi serbat kepada Yatim dan Puteri Kamaliah, dan menawarkan diri untuk sama berlakon pada akhir drama. Kemunculan Abdul dilihat sebagai watak yang surealis yang sentiasa berada di mana-mana dan memerhati segala gerak geri pelakon atau penonton.

Jika dilihat dari struktur atau elemen pendramaan yang dikemukakan dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari, pada tahap lahiriahnya ia kelihatan seperti sebuah bangsawan. Sekali imbas kita akan percaya bahawa Noordin membawa elemen bangsawan melalui pengisahan istana dan raja, serta pertentangan antara Indera Mahkota dengan Langkapura. Namun ia bukanlah perkara utama yang menjadi tujuan pengarang. Melalui elemen yang kelihatan seperti bangsawan ini Noordin Hassan memperkembangkan sebuah teks yang dipenuhi dengan citra, simbol atau lambang tertentu.  Penggunaan  elemen bangsawan hanyalah untuk  melalaikan pembaca atau penonton dari memahami permasalahan sebenar secara tersurat dalam drama. Apa yang dikandung secara tersirat adalah isu yang cukup sensitif iaitu mengenai raja dan istana sebagai lambang kekuasaan dan kerajaan.  Jika penonton leka dengan elemen bangsawannya maka mereka terperangkap dalam halusinasi yang dicipta oleh pengarang. Mereka yang sensitif dan menafsir secara intelek akan melihat bagaimana kritikan dan kupasan dilakukan oleh Noordin mengenai kekuasan, kepimpinan dan keharmonian negara.  Secara berselindung Noordin menggerakkan ceritanya untuk menggambarkan kepentingan keharmonian, kejujuran, kepentingan kemanusiaan, rasa tanggungjawab dan keberanian untuk mencipta sebuah negara yang harmoni. Ketidakjujuran perlu ditentang tidak kira siapa yang melakukannya.  Orang yang bijaksana adalah mereka yang dapat menenggelamkan kezaliman dan mengekalkan keharmonian hidup.  Oleh itu Sirih Bertepuk Pinang Menari memiliki kerahsiaan teks yang perlu difahami dengan mendalam oleh pembaca atau audiens.

Noordin Hassan tidak mahu melepaskan ikatan tradisi yang menjadi kegemarannya. Ikatan tradisi bukan sahaja kelihatan pada struktur pendramaan yang meresapkan unsur tradisi seperti nyanyian, mak yong, boria, bangsawan dan sebagainya. Unsur tradisi kelihatan pada penggunaan bahasa yang puitis seperti pantun, syair atau seloka di mana kepelbagaian teknik  penceritaan dapat dikemukakan.  Di samping itu kehalusan bahasa seperti pantun atau syair melahirkan irama yang menarik dalam pementasan. Ia juga dapat dijadikan sebagai alat untuk membentuk simbol atau lambang yang penuh makna di sebalik penggunaan bahasa puitisnya.  Kedua unsur tradisi kelihatan menebal pada struktur penceritaan yang masih menggunakan teknik penceritaan hikayat, lipurlara, cerita panji atau cerita berbingkai. Wujudnya cerita dalam cerita seperti dalam cerita berbingkai, wujudnya unsur pengembaraan dan mimpi sebagaimana dalam penglipurlara serta unsur penyamaran dari cerita panji. Motif mimpi dan pengembaraan kelihatan dikembangkan dengan cukup menarik Noordin. Akibat bermimpi bertemu Ihsan berlakunya pengembaraan Puteri Kamaliah untuk mencari Tanjung Jambu Mawar.  Motif mimpi pula munculnya mimpi yang menakutkan tetapi menginsafkan Puteri Kamaliah. Mimpi juga menjadi penyebab Puteri Kamaliah menyamar diri dan meninggalkan istana.  Di dalam penyamaran Puteri Kamaliah menjadi pemuzik jalanan dan bertukar menjadi Sajaratul Ikhlas yang tidak lagi dikenali oleh Ihsan meskipun mereka berkesempatan bertemu.  Kelihatan Noordin Hassan melalui penggunaan  unsur penyamaran dan pengembaraan ini  menghasilkan sebuah parodi yang berdasarkan bingkai cerita dalam Cerita Panji.

Citra Watak Dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari

Noordin Hassan membina citra watak yang  berbeza di antara Raja Zahiruddin Syah dengan Ihsan. Perbezaan  ini ditampilkan oleh Noordin Hassan dalam memperjelaskan  kualiti keinsanan, kepimpinan dan sikap  masyarakat. Ihsan ditampilkan sebagai citra pemuda kampung yang berasal dari keluarga nelayan. Ihsan hanyalah seorang manusia biasa yang tidak lahir dari istana atau keturunan yang baik-baik. Bagi Noordin Hassan kemuliaan manusia bukan bersandar pada keturunan tetapi hati dan keikhlasan yang dimiliki. Ihsan menampilkan citra keikhlasan dan kejujuran. Kejujuran dan keikhlasan inilah menjadikan Ihsan manusia mulia yang dapat membantu  menyelesaikan masalah Puteri Kamaliah. Ihsan dapat menyembuhkan mata Puteri Kamaliah dan melepaskan sumpahan jin yang mana separuh badannya menjadi batu. Kemuliaanlah yang menyelamatkan  Puteri Kamaliah dari kejahatan yang dicitrakan oleh watak jin.

Ihsan turut dicitrakan sebagai keimanan dan ketakwaan. Di dalam mimpi yang mempertemukan Ihsan dengan Puteri Kamaliah  Ihsan menyeru Puteri Kamaliah kembali ke jalan yang benar dan tidak terpengaruh oleh nafsu dan kejahatan. Hanya kebenaran dan ketakwaan yang mampu menyelamatkan Puteri Kamaliah seterusnya nasib rakyat Langkapura. Manusia perlu kembali kepada Yang Maha Esa yakni Bacalah untuk mendapatkan hidayat  agar tidak terus terbelenggu dalam kelalaian.

Ihsan  :Bacalah dengan nama Tuhamu Yang Maha Pengasih dan Maha Penyayang. Tuhan yang mencipta seluruh makhluk. Bacalah dan Tuhanmu paling  pemurah. Ia mengajar manusia ilmu pengetahuan yang tidak diketahuinya. Pintalah  pertolongan daripadanya. Dan datanglah ke Tanjung Jambu Mawar. Bacalah.

Ihsan adalah citra kebijaksanaan dan kemuliaan. Dengan kebijaksanaan Ihsan telah dapat menyelesaikan rahsia Sirih Bertepuk Pinang Menari. Malah  persembahan Sirih Bertepuk Pinang Menari itu tidak diterima oleh Raja Zahiruddin Syah. Bagi Raja Zahiruddin Syah Sirih Bertepuk Pinang Menari bukanlah suatu realiti. Kejumukan akal menjadikan Raja Zahiruddin Syah begitu mudah menolak apa yang dipersembahkan oleh Ihsan . Demikianlah gambaran terlalu jauhnya Raja Zahiruddin Syah dari kebijaksanaan. Apa yang ada pada Raja Zahiruddin Syah adalah nafsu dan kehalobaan yang tidak dapat dibendung.

Ihsan menjadi citra keharmonian. Keharmonian wujud setelah Ihsan bertemu Puteri Kamaliah. Pertemuan yang telah membangkitkan rasa cinta dan kententeraman.  Segala kerumitan Puteri Kamaliah semakin lenyap manakala Ihsan tidak lagi menjadi anak nelayan yang selama ini tidak memberi apa-apa sumbangan untuk tanahairnya sendiri. Ihsan telah dapat menyelamatkan Langkapura dan Indera Mahkota dari bermusuh. Sumbangan penting Ihsan adalah mengekalkan keharmonian bagi dua buah negara.  Sekaligus Ihsan menjadi citra rakyat yang turut memberi bakti dan sumbangan dalam menentukan kemakmuran negara. Tanpa ada rakyat seperti Ihsan sudah pasti keamanan tidak dapat dikekalkan di antara Indera Mahkota dan Langkapura.

Raja Zahiruddin Syah dicitrakan sebagai pemimpin yang penuh kehalobaan. Setelah memegang tampuk pemerintahan Raja Zahiruddin Syah hanya mengutamakan kepuasan nafsu tanpa memikirkan masalah dan nasib rakyat. Rakyat sebaliknya dipaksa untuk membina bahtera bersalut emas sebagai lambang kemegahan Indera Mahkota. Kehalobaan menjadikan Raja Zahiruddin Syah tidak langsung berpegang kepada pesanan ayahandanya. Kepentingan rakyat diabaikan sebaliknya kepentingan peribadi yang diagung-agungkan.

Raja Zahiruddin Syah adalah citra manusia yang hilang kemanusiaan. Selain memaksa rakyat untuk mencari emas  Raja Zahiruddin Syah mahu pula menakluk Langkapura semata-mata untuk memilki kekayaan negara itu.  Raja Zahiruddin Syah adala citra manusia materalistik yang tidak langsung memikirkan soal perasaan dan hati sebaliknya hanya menyanjung nafsu.

Zahiruddin Syah  : Datuk, kita akan mengatur langkah dengan teliti. Dan akhirnya, semua negeri di rantau ini akan terletak di bawah pemerintahan kita. Jika ayahanda datang kembali, terkejut baginda nanti dengan apa yang beta telah capai. Ayahanda sendiri tidak pernah terfikir tentang perkara ini.. (hal 202)

Noordin Hassan menampilkan citra kezaliman pemimpin menerusi watak Zahiruddin Syah. Zahiruddin tidak langsung menghiraukan pesanan ayahandanya untuk menjaga kebajikan rakyat jelata dan memerintah negeri sebagaimana yang dilakukan oleh kepimpinan khalifah sebagaimana diceritakan oleh ayahandanya.  Rakyat  dipaksa untuk berbakti terhadap Indera Mahkota dengan menjual emas kepada kerajaan dan dibeli dengan harga yang cukup murah. Kebajikan rakyat dan nasib rakyat tidak lagi mendapat pembelaan.  Malah kezaliman Zahiruddin Syah di kemuncaknya apabila dengan mudah menolak persembahan dari Puteri Kamaliah. Zahiruddin Syah melanggar segala janjinya sendiri. Tindakan ini menimbulkan kemarahan ayahandanya sehingga dia dan wazir baru  tidak dibenarkan tinggal di istana.

Wanita dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari

Watak wanita menjadi begitu dominan dalam drama-drama yang dihasilkan oleh Noordin Hassan. Manusia wanita yang pelbagai ragam diperlihatkan dalam drama ciptaannya. Dalam Jangan Bunuh Rama-Rama kita melihat Nur Atma, Cik Jah yang setia dan cekal menghadapi cabaran dalam Malam Ini Penyu Menangis,Sapura, gadis manis dan tabah dalam Anak Tanjung dan tidak terkecuali dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari kita menemui Puteri Kamaliah, Ratu Salbiah, dan Inang. Wanita menjadi pusat penceritaan dalam Sirih Bertepuk Pinang merupakan manusia yang dihadapkan dengan kegelisahan, keberanian, kecekalan, kesayuan, kerinduan dan segala macam rasa yang mendepani dirinya.

Citra Puteri Kamaliah pelbagai coraknya. Citra puteri jelita yang berjiwa rakyat. Kemewahan istana tidak sedikit pun menghakis jiwa rakyat yang ada pada Puteri Kamaliah. Sehingga terlintas dalam fikirannya demi menyelamatkan nasib rakyat beliau perlu memiilih untuk berkahwin dengan Raja Zahuriddin Syah. Citra manusia yang mudah insaf. Puteri Kamaliah mula merasakan kekerdilan dan kelemahan dirinya berhadapan dengan pergolakan jiwa yang dialaminya. Kata-kata Yatim meskipun sebagai hamba suruhan banyak menyedarkan Puteri Kamaliah untuk tidak melupakan tuhan. Dalam menghadapi segala tekanan dan gangguan emosi yang mendalam tiada lain yang perlu diletakkan pengharapan selain tuhan yang maha esa.

Citra wanita berani. Keberanian Puteri Kamaliah berhadapan dengan Raja Jin. Meskipun diugut oleh Raja Jin agar Purteri Kamaliah mengikut segala kemahuan Raja Jin namun Puteri Kamaliah berpegang teguh pada pendiriannya. Puteri Kamaliah tidak gentar dengan ancaman Raja Jin malah berani mengkritik kelemahan masyarakat jin. Kesannya Puteri Kamaliah disumpah oleh Raja Jin, separuh badannya menjadi batu dan matanya buta.

Citra wanita bijaksana. Kebijaksanaan digunakan oleh Puteri Kamaliah untuk menyelesaikan masalah mencari Tanjung Jambu Mawar dan pemuda yang ditemui dalam mimpinya, Ihsan.  Bersama-sama Yatim dan Inang, puteri Kamaliah menyamar sebagai kumpulan penghibur. Pengembaraan dan  penyamaran itu membuahkan hasil apabila Puteri Kamaliah dapat mencari Tanjung Jambu Mawar dan menemui Ihsan.

Citra wanita penyabar. Puteri  Kamaliah berhadapan dengan tekanan emosi yang mendalam akibat desakan Raja Zahiruddin Syah yang mahu Puteri Kamaliah menerima lamarannya. Jika lamaran ditolak Puteri Kamaliah perlu menjelaskan rahsia Sirih Bertepuk Pinang Menari. Puteri Kamaliah sanggup meninggalkan istana dan menyamar diri sebagai rakyat biasa semata-mata untuk mencari Tanjung Jambu Mawar dan mencari Ihsan. Berkat kesabaran Puteri Kamaliah akhirnya rahsia Sirih Bertepuk Pinang Menari dijelaskan oleh Ihsan.

Citra wanita prihatin dan sensitif. Puteri Kamaliah pertama kali menemui Ihsan hanya dalam mimpi dan Ihsan menjadi manusia yang hanya dikenali suaranya. Begitu juga Ihsan mengenali Puteri Kamaliah hanya menerusi kecantikan wajah puteri ayu itu. Pertemuan yang menyelamatkan Puteri Kamaliah dan menjadi penyebab Puteri Kamaliah mengembara dan menyamar mencari Tanjung Jambu Mawar. Mereka bertemu semual di Tanjung Jambu Mawar. Kerahsiaan puteri terdedah apabila Ihsan mengetahui bahawa manusia yang menjelma dalam mimpinya adalah seorang puteri raja sedang dirinya hanya anak nelayan yang miskin. Ihsan merasa dirinya kerdil dan tidak sepadan. Puter Kamaliah mula merasakan bahawa segala pengharapan yang bertunas dalam hatinya amat sukar menjadi kenyataan. Ihsan tetap dengan niatnya membantu Puteri Kamaliah meskipun Puteri Kamaliah menolak bimbang Ihsan akan kecewa dengan kedudukannya. Namun begitu keprihatinan Puteri Kamaliah amat tinggi. Puteri Kamaliah tidak sanggup membiarkan Ihsan patah hati dan merana kerana perbezaan darjat mereka. Puteri Kamaliah memilih untuk terus hidup sebagai pemain jalanan agar ia dapat bersama Ihsan. Pengorbanan itu besar demi menyelamatkan patah hati Ihsan.

Kekaguman dalam drama

Sama ada sebuah realisme atau non-realisme aspek kekaguman menjadi elemen penting dalam menentukan sebuah pementasan drama itu berjaya atau tidak. Kekaguman merupakan unsur-unsur yang dapat menarik minat audiens untuk terus mengikuti sesebuah pementasan drama. Kekaguman harus berfungsi untuk menjadikan pementasan drama itu berjaya selain kemampuan para aktor memerankan watak yang dilakonkan, pengarahan, skrip dan teknik persembahan. Kekaguman terbahagi kepada dua unsur penting iaitu audio dan visual. Audio melibatkan kesan bunyi atau efek dan muzik. Manakala unsur visual melibatkan pencahayaan, hiasan pentas, dan kostium.

Tamu Di Bukit Kenny perlu memiliki kekaguman tertentu untuk menjadikan pementasannya lebih mantap. Kemampuan pengarah untuk menjadikan drama ini lebih realistik coraknya memperlihatkan bagaimana keupayaan pengarah berjaya meyuntik kekaguman dalam drama.  Kekaguman audio melibatkan muzik dan efek. Muzik perlulah bersesuaian dengan latar drama pada dekad 60-an. Keupayaan pengarah membawa muzik A Go-Go dalam tari menari di rumah Kadir adalah suatu kekaguman yang menarik. Ia sekali gus dapat memperlihatkan masa dan latar  dalam drama berkenaan. Manakala unsur efek pula hendaklah disesuaikan dengan keperluan drama agar ia tidak menjejaskan konsep realisme itu sendiri. Bunyi deru kereta yang mendekati rumah Kadir, bunyi ketukan pintu, derap sepatu, dan dering telefon adalah beberapa contoh efek yang boleh digunakan dalam drama.

Menerusi unsur visualnya pula pencahayaan dalam Tamu Di Bukit Kenny perlu mengambil kira suasana dalam sebuah ruang tamu. Kemampuan pencahayaan yang dapat membawa tona sebuah ruang tamu pastinya memberi kesan yang mendalam terhadap audiens. Begitu juga bagaimana kesan pencahayaan itu sendiri dapat menjelaskan realiti masa dalam drama. Ketika hari menjelang petang cahaya di luar semakin malap dan dalam ruang tamu menunjukkan lampu mula dipasang. Tona cahaya ini dengan sendiri memberi makna masa kepada audiens.

Hiasan pentas Tamu Di Bukit Kenny mestilah menggambarkan sebuah ruang tamu  rumah seorang pegawai di Bukit Kenny. Perhiasan perabot perlu jelas menggambarkan status pegawai. Hiasan lain seperti gambar, telefon, cawan, majalah, dan akhbar perlu mengambil kira latar 60-an. Jika ini mampu direalisasikan dalam drama ia sudah pasti dapat melahirkan kekaguman dalam drama berkaitan.

Kostium pula sudah pasti memperlihatkan pakaian yang dipakai tahun 60-an. Fesyen dan corak pakaian, tekstil dan sebagainya perlu diberi perhatian agar ia menampakkan suatu yang realistik iaitu gambaran masyarakat tahun 60-an. Tatarias dan buasana serta peragaan watak mestilah dapat menzahirkan realiti manusia 60-an

Sirih Bertepuk Pinang Menari sebagai sebuah non-realisme mempunyai unsur kekaguman yang berbeza pula dengan Tamu Di Bukit Kenny. Aspek muziknya sudah pasti dipenuhi dengan nyanyian, tarian, pantun, syair, seloka serta penggunaan alat bunyi-bunyian tradisional seperti gong, gendang, serunai, dan sebagainya. Melodi lagu yang menari perlu digubah untuk disesuaikan dengan puisi yang dinyanyikan dalam drama berkenaan. Begitu juga dengan penggunaan alat muzik moden seperti gitar, piano, biola dan sebagainya sesuai digunakan. Alunan irama tradisional, nyanyian, kemerduan suara penyanyi dan melodi yang indah sudah pasti akan melahirkan kekaguman muzikal dalam dama ini.

Efeknya pula perlu mengambilkira suasana dan peristiwa dalam drama. Ketika Puteri Kamaliah disumpah oleh Raja Jin selain pencahayaan efek dentuman, deru angin dan sebagainya dapat melahirkan unsur kekaguman dalam drama.

Pencahayaan dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari perlu mengambilkira mood dalam drama sama ada riang, atau sedih. Ketika Puteri Kamaliah dilanda dukalara dan hiba memikirkan nasib dirinya dan rakyat suasana lampu mungkin agak gelap dengan fokus hanya kepada Puteri Kamaliah. Demikian pula ketika Puteri Kamaliah bermimpi mood cahaya akan memberi gambaran mimpi dan berbeza dari peristiwa yang lain. Pencahayaan menjadi unsur penting menhidupkan non-realisme. Pencahayaan dapat menjelaskan emosi dalam drama serta dapat memperhebatkan kekaguman pementasan drama berkenaan.

Hiasan pentas dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari berbeza dengan Tamu Di Bukit Kenny. Hiasan non-realisme tidak lagi perlu akur kepada keperluan realistik dalam realisme. Hiasan pentas boleh bersifat satu saranan, tanggapan atau citra istana Indera Mahkota atau Langkapura. Penggunaan hiasan pentas yang simbolik mestilah pula sealiran dengan isi drama dan mempunyai tujuan tertentu apabila ia digunakan. Namun begitu untuk membawa gambaran istana yang penuh dengan kemewahan ke pentas tidak menjadi halangan sekiranya ia lebih mampu menghasilkan kekaguman dalam drama. Begitu juga ruang pentas yang boleh dibahagikan secara simbolik antara Langkapura dan Indera Mahkota agar audiens dapat memahami bahawa terdapat dua kejadian berbeza berlangsung dalam masa yang sama. Kekuatan kekaguman menjadi pengaruh penting menentukan drama ini berjaya dihayati audiens.

Kostium dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari perlulah sealiran dengan konsep yang mahu dibawa dalam pementasan drama ini. Sekiranya hiasan pentas bersifat saranan, simbolik dan membawa citra tertentu kostium pula berupaya menterjemahkan lagi konsep berkenaan. Penggunaan kostium perlu sealiran dengan hiasan pentas. Pengunaan warna kostium, tekstail, corak dan peragaan dalam pementasan drama memperlihatkan bagaimana kostium mampu melahirkan kekaguman kepada audiens. Di samping itu ia dapat mencabar keintelektualan audiens untuk memahami segala maksud di sebalik pemaparan dalam pementasan.


Epilog

Demikianlah perbicaraan ringkas terhadap dua buah drama daripada aliran yang cukup berbeza. Tamu  Di Bukit Kenny yang menzahirkan kekuatan bahasa dan kemantapan Usman Awang mengemukakan kritikan secara sinis dan bernas. Manakala dalam Sirih Bertepuk Pinang Menari dipenuhi dengan kepelbagaian teknik yang  dapat mengangkat drama ini sebagai sebuah non-realisme yang menarik dan menghiburkan. Sebuah realisme lebih akur untuk membawa realiti kepada audiens atau pembaca dan memberi kesempatgan kepada audiens untuk melihat diri mereka secara jujur, di samping kritik sosial yang sesekala diketengahkan oleh pengarang. Non-realisme sebagai sebuah drama aliran baru cuba lari dari konvensi drama dalam usaha mempesembahkan sebuah drama yang dapat mengajak audiens berfikir, merenung, dan membuat refleksi akan diri mereka sendiri. Non-realisme seringkali sarat dengan pemikiran dan terpulang kepada audiens menterjemahkan apa yang mereka tonton di pentas. Dari aspek kepengarangan pula jelas Usman Awang menggunakan bahasa yang halus dan menarik untuk mengkritik masyarakatnya. Manakala Noordin Hassan sebaik mungkin memanipulasikan sesuatu isu yang sensitif secara lembut dan halus dengan kepelbagaian lapis-lapis makna agar audiens dapat berfikir dan membuat penilaian yang lebih bijaksana terhadap apa yang ditonton.
 

* Kertas Kerja yang disampaikan kepada pelajar-pelajar STPM  di Sekolah Menengah Kebangsaan Kamil, Pasir Putih pada 26 Jun 2003.

Comments