ajari aku

Blog Mimbar Kata

tulislah

blog mimbar kata

sehelai daun

blog mimbar kata

hujan dalam sukma

blog mimbar kata

kaki memijak

blog mimbar kata

1 Jan 2013

Sastera dan Istilah





KONSEP ISTILAH

Istilah ialah perkataan atau rangkai kata yang menyatakan sesuatu dengan betul, tepat dan sesuai dalam sesuatu bidang ilmu pengetahuan. Istilah sastera ialah perkataan atau rangkai kata yang betul, tepat dan sesuai dalam penghasilan dan pengkajian karya kreatif sama ada dalam bentuk prosa atau puisi.

Alat utama yang digunakan dalam kajian sastera adalah istilah. Istilah Sastera atau dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai literary device merupakan komponen utama yang diperlukan dalam kajian sastera.  Bagi kalangan pelajar sama ada di peringkat SPM atau STPM perlulah menguasai sebanyak mungkin istilah sastera ini. Penguasaan istilah merupakan satu langkah ke hadapan dalam penguasaan ilmu sastera. 

Melalui istilah sastera, terminologi atau kata yang digunakan dalam kajian sastera dapat difahami dengan jelas. Untuk membiasakan diri dengan penggunaan istilah ini pelajar hendaklah sentiasa menggunakannya dalam konteks istilah yang betul. 

Di bawah ini dikemukakan antara istilah penting yang digunakan dalam Kesusasteraan Melayu di peringkat SPM dan STPM


ADEGAN
Bahagian kecil daripada sesuatu babak dalam drama

AFORISME/KATA-KATA PUJANGGA/HIKMAT
Pernyataan ringkas tetapi padat tentang sesuatu kenyataan atau kebenaran sejagat. Banyak terdapat dalam peribahasa
Contoh: Bulat air kerana pembentung
              Bulat manusia kerana muafakat

AKSI
Tindakan, gerakan, tindak balas watak dalam sesuatu karya sastera.

ALEGORI
Ada sindiran atau makna tersirat di sebalik yang tersurat

ALITERASI
Pengulangan bunyi konsonan yang sama pada perkataan-perkataan dalam satu baris puisi
Contoh:  Menyusur pinggir kemanusiaan dalam timbang terima

ALUSI
Gaya perbandingan yang memujuk secara tidak langsung kepada peristiwa, tokoh-tokoh, tempat-tempat atau karya-karya yang terkenal dalam sejarah, kitab-kitab suci, dongeng atau lagenda.
Contoh:  Kesetiaan Tuah
               Keberanian Jebat
               Kemuliaan Muhammad
               Keteguhan Kinabalu

AMBIGUITI
Kepelbagaian kemungkinan tafsiran, iaitu lebih daripada satu makna atau tafsiran. Ambiguiti disebut juga ketaksaan.

ANAFORA
Pengulangan kata pada awal baris secara berturutan dalam rangkap.
Contoh: Di tamanmu ada sesungai budi
              Di tamanmu ada fauna dan flora bahagia
              Di tamanmu ada sawah dan denai damai
              Di tamanmu ada bebungan rona cinta
              Di tamanmu ada leladang sejahtera

ANTAGONIS
Watak yang menjadi penentang kepada watak utama
Contoh:  Rozali ialah watak antagonis dalam Restu

ANTOLOGI
Himpunan karya yang dihasilkan oleh sekumpulan penulis. Biasanya terdiri daripada satu jenis sastera atau sama tema atau sama persoalannya.

ASONANSI
Pengulangan bunyi vokal yang sama pada perkataan-perkataan dalam satu baris puisi
Contoh:  Turunlah turun burung-burung tercinta (sajak Burung-burung di Puncak Gunung)
           
BABAK
Bahagian drama yang menggunakan satu latar
Bahagian-bahagian utama dalam drama

BLURB
Bahagian kulit belakang sesebuah karya yang mengandungi keterangan bertulis

BOMBASTIK
Satu kenyataan atau pengucapan yang mempunyai makna secara berlebih-lebih berbanding dengan kenyataan yang diberikan. Tandanya yang utama ialah susunan kata-kata yang muluk-muluk atau panjang-panjang sedangkan ia dapat diucapkan secara ringkas atau pendek

CAESURA/JEDA
Hentian sementara dalam baris puisi
Contoh:           Pulau Pandan // jauh ke tengah
                         Gunung Daik  //  bercabang tiga                            // = Caesura

 CEREKA
Cerita rekaan/fiksyen atau karya prosa naratif yang dihasilkan daripada daya imaginasi, bukan daripada sejarah atau fakta


CERPEN
Kisah rekaan yang relative pendek yang dihasilkan dalam bentuk prosa. Biasanya membentuk satu persoalan bagi menghasilkan satu kesan tertentu. Ia memusatkan diri pada satu watak dalam suatu situasi di suatu tempat dan ketika.

CERPENIS
Penulis cerpen

CITRA
Gambaran/imej
Contoh: Citra masyarakat, citra wanita, citra budaya, citra politik

CITRA BUDAYA
Gambaran cara hidup yang diamalkan oleh sesuatu masyarakat merangkumi pendidikan, kepercayaan, hidup beragama, kehidupan social, adapt istiadat perkahwinan, gotong-royong dan cara bertindak masyarakat sesuai dengan watak.

CITRA MASYARAKAT / LATAR MASYARAKAT
Gambaran kehidupan masyarakat yang merangkumi amalan, nilai, pekerjaan, kaum,sikap, bangsa, tempat tinggal, agama dan lain-lain.


DUES EX MACHINA
Secara literal bermaksud ‘dewa dari mesin’. Maksudnya ialah muslihat yang berupa orang atau barang dalam cereka yang muncul secara tiba-tiba dan kemunculannya itu menjadi penyelesaian atau jalan keluar bagi sesuatu masalah  yang sukar diatasi.

DIALOG
Pengucapan yang dilafazkan dua atau lebih watak
Contoh:  “Selamat pagi. Saya ingin berjumpa dengan Encik Yaakob,” kataku.

DIKSI
Pemilihan dan susunan perkataan yang tepat dan sesuai dengan perkataan yang ingin dinyatakan.

DISTIKHON
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada dua baris serangkap

DRAMA
Karya yang ditulis untuk dilakonkan

DRAMA ABSURD
Drama yang mustahil / aneh / bertentangan dengan fikiran yang waras


DRAMA BANGSAWAN
Drama yang menceritakan kisah raja atau golongan bangsawan zaman dahulu

DRAMA REALISME
Drama yang menggambarkan masyarakat sebenar

ENJAMBEMEN
Sejenis teknik dalam penulisan puisi. Teknik ini ialah pematahan baris-baris dan disambung pada baris berikutnya. Biasanya ada noktah di tengah baris.
Contohnya:     Di bawah pelangi dunia
                        Anak pertama berdiri. Bercanda
                        Sebuah nada tertikam belati tua

EKSPOSISI
Bahagian pengenalan/ awal dalam urutan cerita yang biasanya memberi keterangan tentang watak , latar, dan lain-lain

EPIFORA
Pengulangan kata pada akhir baris secara berturutan dalam rangkap
Contoh:           bila tebingmu menunda-nunda
                        bila desamu menunda-nunda

EPILOG
Bahagian penutup karya untuk kesimpulan. Ucapan pelakon pada bahagian akhir yang meminta pandangan audien

EPISOD
Peristiwa atau kejadian yang terdapat dalam prosa atau puisi naratif yang panjang

GENRE
Jenis atau bidang atau cabang atau kategori karya sastera
Contoh:           Novel, cerpen, drama dan puisi

HIPERBOLA
Gaya bahasa yang mengandungi pernyataan yang melampau untuk tujuan penegasan
Contoh:           dan di bawahnya bumi bernanah

HYBRID
Perkataan yang dibentuk hasil dua kata yang digabungkan
Contoh:           lautlara , kotateguh

IMBAS KEMBALI
Kenangan atau ingatan sesuatu kejadian atau peristiwa yang telah berlaku

IMBAS MUKA
Gambaran terhadap peristiwa yang berlaku seterusnya

INVERSI
Gaya bahasa yang menggunakan pembalikan susunan kata dalam kalimat / rangkai kata / frasa
Contoh: terbit bunga, hina besi, mesra kasih

KATA ABSTRAK
Kata atau frasa yang berlawanan dengan konkrik , menggambarkan sesuatu yang tidak konkrik

KEJUTAN
Peristiwa/suasana berlaku dengan tidak disangka-sangka oleh pembaca/ dimunculkan dengan tiba-tiba
Contoh: Dalam cerpen Detik Yang Tergugat jentera penuai yang tiba-tiba terhenti kerana terbenam ialah satu unsur kejutan

KLIMAKS
Bahagian dalam cerita yang menampilkan keadaan yang kritikal, cemas dan mendebarkan yang dialami oleh watak-watak tertentu dalam cerita
Pncak cerita,iaitu bahagian berakhir konflik.

KONFLIK
Pertentangan dalam watak atau dalam diri watak.

KONOTATIF
Bahasa yang mempunyai makna yang lebih luas daripada makna yang khusus
Bahasa yang membawa wakna tambahan

KOSTUM
Pakaian yang dipakai oleh pelakon sandiwara, drama dan filem

KRONOLOGI
Peristiwa-peristiwa disusun mengikut urutan masa

KUATREN
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada empat baris serangkap

LATAR
Pernyataan tentang masa,tempat,  suasana dan masyarakat dalam sesebuah karya

MELANKOLIK
Menggambarkan suasana hati yang murung, merayu-rayu / berhiba-hiba.
Nada puisi ini mengemukakan isi , pemikiran atau persoalan tentang penderitaan , kehampaan dankerinduaan.


MESEJ
Perkara yang berupa nasihat/ iktibar /didaktik
Seerti dengan pengajaran  / amanat

METAFORA
Satu gaya bahasa perbandingan yang mengabungkan perkataan bersifat konkrit dan abstrak
Contoh:           meruntuhkan tembok keamanan
                        sebelum hadirnya detik waktu
                        memindahkan musim
                        siapkan baja keinsafan
                        menabur di lading kehidupan
                        siapkan dangau kesabaran
                        menepis rebut godaan
                        siapkan batas kesucian
                        menapak ke laman impian   (sajak Khutbah II)

MONOLOG
Percakapan seorang diri atau sendirian. Semua perasaan atau fikiran dilahirkan dalam kata-kata yang diucapkan.
Contoh            :           “Aku rupa-rupanya tidak keseorangan…,” bisiknya seolah-olah percaya betapa seorang teman yang begitu gagah sedang berkelana di hutan itu.

MONOLOG DALAMAN
Tuturan yang diucapkan oleh seorang watak. Butirang yang dituturkan itu tidak kedengaran pada watak atau watak-watak lain, cuma terbatas kepada diri/ hati watak itu sendiri.
Berbicara dalam hati sendiri
Contoh:           Ah, alangkah hebatnya runtunan kasih saying! Fikirnya.

NADA
Bunyi suara yang melahirkan atau membayangkan sesuatu sikap
Contoh     melankolik, sinis, patriotik, protes dan romantis

NILAI KEMANUSIAAN
Sifat-sifat postif/ mulia/ bermoral/ nilai-nilai murni/ baik
Contoh:    kasih saying, tolong-menolong, kebijaksanaan, hormat-menghormati dan sebagainya

NILAI KEMASYARAKATAN
Amalan-amalan baik dalam masyarakat
Contoh    hormat- menghormati, tolong- menolong

NOVEL
Prosa cereka yang panjang yang menceritakan hidup manusia pada suatu tempat dalam suatu masa tertentu untuk memaparkan satu-satu persoalan kehidupan yang menarik

OKTAF
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada lapan baris serangkap

PARADOKS
Gaya bahasa yang memperlihat pertentangan isi dengan kenyataan, tetapi sebenarnya betul / benar
Contoh:           Benci tetapi rindu
                        Tanam lenggun tumbuh kelapa
                        Terbit bunga pucuk mati

PATRIOTIK
Menggambarkan suasana hati yang penuh bersemangat.
Nada puisi ini mengemukakan isi atau persoalan tentang perjuangan, cita-cita yang tinggi dan penuh keberanian

PELERAIAN
Bahagian akhir plot yang memperlihatkan segala persoalan terlerai/ terjawab

PEMERIAN(DISKRIPTIF)
Satu teknik penceritaan iaitu pengarang sendiri menggambarkan atau menerangkan sesuatu perkara
Contoh: Matahari sudah condong dan langit kemerah-merahan di sebelah barat. Mahmud pulang ke rumah lekas sedikit daripada biasa.

PEMIKIRAN
Tema di dalam drama

PENGGANDAAN/KATA GANDA
Kata akar/ perkataan yang digandakan
Contoh:    Tenang-tenang, menunda-nunda/ bukit-bukit dan sebagainya

PENGULANGAN
Kata / perkataan / ungkapan / baris / rangkap /ayat yang diulang lebih daripada satu kali dalam satu baris atau dalam satu ayat atau dalam satu rangkap

PERBANDINGAN TERUS
Membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain secara langsung

PERIBAHASA
Ayat atau kalimah yang mempunyai maksud tertentu
Contoh        perumpamaan, bidalan dan sebagainya

PERBANDINGAN TERUS
Gaya bahasa perbandingan yang membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain secara langsung
Contoh           buku adalah laut ilmu
                        kau tikus

PERSOALAN
Hal-hal atau perkara-perkara yang diutarakan dalam sesebuah karya sastera untuk menyokong tema yang menjadi dasar karya tersebut

PERSONIFIKASI
Pemberian sifat manusia kepada objek atau konsep tertentu
Contoh:           Teratak menggamit mesra
                        Kebahagiaan bersemayam

PERWATAKAN
Sifat dalaman atau keperibadian watak

PLOT
Jalan cerita atau urutan peristiwa-peristiwa yang berlaku berdasarkan sebab dan akibat

POETIC JUSTICE/ KEADILAN IMPIAN
Kebenaran/ keadilan/ kebaikan mengatasi kejahilan/ kebatilan/ kejahatan
Perbuatan yang baik dibalas baik/ perbuatan jahat dibalas jahat

PROLOG
Pengenalan atau pembukaan yang memulakan karya sastera terutamanya drama
Contoh:           Tersebutlah kisah dilemma Tun Teja,
                        Dipikat Hang Tuah untuk baginda
                        Kepada jejaka ingin bermanja
                        Terbelah hatinya terima sahaja


PROSA
Karya berperenggan

PROTAGONIS
Watak dalam karya sastera cereka atau drama yang berperanan sebagai watak utama. Protagonis tidak semestinya hero tetapi sering menjadi watak penting atau watak pimpinan

PROTES
Menggambarkan suasana hati yang penuh dengan pemberontakan atau penentangan.
Nada puisi ini mengemukan isi atau persoalan keidakadilan dan kekejaman yang menimbulkan kemarahan serta kebencian.

PUISI
Karya berangkap
QUINTAIN
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada lima baris serangkap

RANGKAP
Bait atau stanza
Baris atau baris-baris puisi yang menceritakan suatu cerita atau idea

RESPONSI
Perulangan perkataan di tengah baris yang berurutan
Contoh:           Ada ternakan tidak dibela
                        Ada kebun tidak ditanam

                        Penghulu banyak yang sakti
                        Tuanku banyak yang bertuah
                        Alim ulama banyak yang keramat

RIMA
Bunyi dalam baris puisi atau pada akhir baris puisi
Contoh:           Bagai engkau hai burung-burung  (a)
                        bersarang hidup di puncak gunung  (a)
                        berlegar bebas bersiul riang  (b)
                        bagai engkau kucintai ini kehidupan  (b)

RIMA AKHIR
Bunyi pada akhir baris / puisi

ROMANTIK
Menggambarkan suasana hati yang tenang dan menyenangkan.
Nada puisi ini mengemukakan isi atau persoalan yang berhubung dengan peristiwa indah dan menggembirakan seperti kasih saying, harapan dan impian bahagia

SATIRA
Karya , iaitu prosa atau puisi yang mempersendakan / menyindir orang dan lain-lain

SARKASME
Bahasa kiasan atau ironi yang mengandungi unsure-unsur kata yang pedas yang bertujuan untuk menyakiti hati seseorang

SEPTET
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada tujuh baris serangkap

SEXTET
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada enam baris serangkap

SIMBOLIK
Perlambangan
Contoh    bunga lambing wanita / gadis
                 Kumbang lambing jejaka

SIMILE
Gaya bahasa perbandingan yang membandingkan sesuatu dengan sesuatu yang lain. Menggunakan kata-kata bandingan iaitu seperti, bagai, umpama, bak, macam dan ibarat
Contoh:           kepantasan dayamu tangkas dan liar bagai kilat senja memecah sinar

SINIS
Nada puisi yang menggambarkan suasana hati yang kurang senang
Nada puisi ini menggambarkan isi atau persoalan yang tidak disukai atau tidak dipersetujui

SINKOF
Singkatan kata
Contoh:           ku(aku), nak(hendak), tak(tidak), dah(sudah), tu(itu), ni (ini)

SINOPSIS
Ringkasan keseluruhan isi sesebuah hasil sastera

SKRIP
Teks drama atau filem

SOLILOQUY
Percakapan yang dilahirkan oleh sesorang watak dalam lakonan drama atau bentuk sastera lainnya ketika watak itu keseorangan. Percakapan tersebut ditujukan kepada dirinya sendiri atau pendengar. Ia dapat mengungkapkan perasaan, firasat, dan konflik batin yang dihadapi oleh watak, juga dapat menyediakan keterangan atau informasi kepada pendengar

STANZA
Rangkap dalam puisi

SUDUT PANDANGAN
Kedudukan pengarang dalam cerita, sama ada terlibat secara langsung atau tidak dalam menyampaikan ceritanya, sama ada berada di luar atau di dalam cerita. Ada dua sudut pandangan iaitu sudut pandangan orang pertama dan sudut pandangan orang ketiga

SUSPENS
Satu keadaan tertanya-tanya dan ingin tahu pembaca apa yang akan berlaku seterusnya dalam cerita

TEKNIK PENCERITAAN
Cara bagaimana sesuatu isi cerita itu disampaikan. Ia merangkumi teknik imbas kembali, imbas muka, pemerian, suspens, klimaks dan konflik

TEMA
Idea atau persoalan pokok, idea yang mengawal sesuatu karya sastera

TERZINA
Nama bentuk puisi iaitu bait atau rangkap-rangkap puisi yang semuanya terdiri daripada tiga baris serangkap

WATAK
Pelaku atau tokoh yang memegang oeranan dalam cerita


Sinopsis Dari Lembah Ke Puncak




SINOPSIS NOVEL DARI LEMBAH KE PUNCAK

Bab  1
Apabila Jalil bangun pagi dan mandi di perigi, ibunya Mak Teh menyediakan sarapan iaitu pulut kukus  dan  ikan kering.
Jalil bersarapan sebaik sahaja selesai mandi . Kemudian, Jalil turun ke sawah. Dia terpaksa bekerja keras untuk memastikan sawahnya bertanam dengan sempurna. Beberapa musim sebelum itu , kerja – kerja sawah tersebut tergendala. Ketika arwah Pak The sedang sakit, sawah tersebut tidak dikerjakan dengan sempurna. Abang Jalil tidak ada di kampung. Maka, tanggungjawab mengerjakan sawah itu terletak di bahu Jalil sepenuhnya. Arwah Pak The merupakan seorang yang sangat rajin . Beliau juga memiliki kemahiran kerja tangan yang tinggi . Beliau menghasilkan pelbagai alat untuk menangkap ikan menggunakan buluh. Beliau juga menjadikan kegemarannya sebagai sumber pendapatan sampingan dengan menjual ikan di kedai Mamak Hameed . Bagi Jalil , arwah bapanya sering memberikan kata – kata semangat yang dapat dijadikan pegangan . Antaranya, arwah Pak Teh pernah berkata bahawa setiap masalah yang berlaku akan berlalu dan seseorang perlu melalui banyak cabaran sebelum mencapai kejayaan.

Bab  2   
Biah ialah anak gadis Pak Ngah Kadir , iaitu jiran Jalil . Biah sangat rajin menorah . Setiap pagi Biah akan ke rumah Jalil untuk meminjam basikal besar peninggalan arwah Pak Teh. Suatu hari, Biah telah ditunangkan . Jalil tidak ambil kisah dengan pertunangan tersebut kerana baginya itu hanya satu perkara biasa . Tiba – tiba, terdengar berita bahawa Biah telah melarikan diri dari rumah. Jalil berasa agak hairan dengan kejadian tersebut kerana Biah menghilangkan diri sebaik sahaja ditunangkan . Kemudian, terdengar khabar bahawa Biah telah ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Muhsin , iaitu Abang Jalil . Sekali lagi Jalil berasa pelik kerana setahunya Biah dengan abangnya tidak mempunyai hubungan yang akrab. Kejadian Biah hilang itu mencetuskan pelbagai peristiwa lain . Kudin tiba – tiba sahaja tidak bertegur sapa dengan Jalil sedangkan hubungan mereka amat baik sebelum ini dan sering pergi menonton perlawanan bola sepak bersama – sama . Mak Teh pula melenting apabila ditanya yentang penglibatan Muhsin dalam kejadian tersebut. Mak Teh tidak percaya dengan berita tersebut . Untuk mengesahkan perkara tersebut. Mak Teh telah pergi menilik dengan bomoh Tok Su Dolah. Hasilnya , bomoh itu memang menafikan berita tersebut setelah dibayar upah oleh Mak Teh. Jalil semakin bingung dengan kejadian tersebut . Dia mula membayangkan banyak lagi konflik yang akan terjadi akibat kejadian tersebut . Jalil mula membuat andaian sekiranya benar abangnya terlibat, maka abangnya memang tidak bertanggungjawab .

Bab  3
Berita mengatakan Biah ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan Muhsin memang benar . Bapa saudara Biah telah pergi ke Kuala Lumpur untuk membawa Biah balik , tetapi Biah enggan . Berita tersebut telah menyebabkan Mak Teh tersentak . Wangnya sudah banyak habis untuk membayar khidmatbomoh yang menafikan pembabitan Muhsin . Kini , kejadian itu memang benar – benar berlaku . Jalil tidak menolak kemungkinan abangnya mempunyai hubungan dengan Biah . Dia semakin tertekan untuk berhadapan dengan orang – orang kampung . Sejak kejadian itu , dia sering ponteng sekolah hingga dimarahi oleh gurunya . Malah , dia juga menjadi mangsa serangan tiga orang pemuda sebagai membalas dendam terhadap kejadian yang berlaku . Kejadian itu menyebabkan Jalil berasa sangat sedih. Dia menghabiskan masa dengan bermenung sama ada di permatang sawah ataupun di puncak Bukit Nibung. Mak Teh meminta bantuan Pak Long Ayob dalam menyelesaikan masalah untuk berunding dengan keluarga Pak Ngah Kadir. Malangnya , Pak Long Ayob hampir menjadi mangsa kemarahan Pak Ngah Kadir . Pak Long Ayob telah diserang ketika beliau dengan Mak Teh berkunjung ke rumah Pak Ngah Kadir untuk berunding . Malam itu , Jalil membawa Mak Teh mengikut Pak Long Ayob ke Guar Chempedak dgn menaiki basikal.

Bab  4 
Kehidupan Jalil menjadi terumbang – ambing selepas kejadian serangan Pak Ngah Kadir terhadap Pak Long Ayob dan Mak Teh . Mak Teh pula telah mengambil keputusan untuk berpindah dari kampung itu . Namun , hasrat itu telah ditentang keras oleh Jalil . Jalil mempersoalkan tindakan ibunya kerana mereka tidak ada tempat untuk dituju . Jalil bertambah tertekan apabila Mak Teh membuat keputusan untuk menjual tanah pusaka warisan Pak Teh itu . Jalil berkonflik dengan ibunya . Namun , ibunya tetap dengan keputusannya untuk berpindah . Mak Teh telah menumpang di rumah Pak Long Ayob di Guar Chempedak . Namun, Jalil mengambil keputusan untuk tetap berada di kampungnya . Dia memegang amanah Pak Teh supaya tetap mempertahankan tanah tersebut . Dia meneruskan persekolahannya walaupun tinggal bersendirian di rumah pusaka itu . Jalil amat terkejut apabila pulang dari sekolah suatu petang. Rumah pusaka tempat tinggalnya sudah tidak ada lagi . Yang ada hanyalah sampah sarap yang menandakan rumah tersebut sudah dirobohkan . Dia menangis mengenangkan nasibnya yang malang itu . Pada malam itu , dia tidur di pangkal pokok kelapa dalam kedinginan malam . Dalam hatinya , dia mula membayangkan bahawa dia juga terpaksa berpindah kerana keadaan semakin mendesak .

Bab  5 
Malam itu , hujan turun dengan lebatnya ketika dinihari . Jalil tidak ada tempat untuk berlindung . Dia teringat akan reban ayam yang kosong di bahagian belakang rumah dahulu . Dalam kegelapan , dia meraba – raba dan mendapati reban itu masih ada . Di situlah dia berlindung walaupun keadaan reban itu tidak menjamin dirinya tidak dibasahi hujan . Besoknya , Jalil terus ke Guar Chempedak untuk menemui Mak Teh . Jalil mahu kepastian tentang pihak yang merobohkan rumah mereka . Mak Teh mengaku bahawa dialah yang telah menyuruh orang merobohkan rumah itu dan akan didirikan di Banggol Lalang . Jalil pula ingin tahu tentang tapak rumah di Banggol Lalang itu . Mak Teh mengatakan bahawa tapak rumah itu telah dibelinya . Jalil bertambah terkejut apabila mengetahui bahawa tanah pusaka arwah Pak Teh telah dijual oleh Mak Teh . Mendengar berita itu , Jalil berasa sangat sedih dan hilang punca . Dia mengambil basikalnya dan terus meninggalkan Mak Teh Tetapi , dia sendiri tidak tahu arah tujuannya . Rumah dan tanah pusaka tidak ada lagi.

Bab  6
 Jalil mendirikan pondok kecil di kawasan bekas rumah yang dirobohkan . Dia menggunakan papan lama daripada dangau mereka di sawah dan juga jelapang padi lama yang tidak digunakan lagi . Bumbungnya pula diperbuat  daripada daun rumbia yang tumbuh di pinggir sawah . Dia menjemur buku – buku sekolah yang basah akibat hujan lebat malam sebelumnya . Ketika dia mengerjakan sawah pada suatu petang , dia ditegur oleh Haji Saad yang mengatakan tanah itu sudah dijual kepada saudara Pak Lang Ali . Jalil terus berjumpa dengan Pak Lang Ali untuk mengetahui perkara yang sebenar . Barulah Jalil tahu bahawa Pak Lang Ali yang memberitahu saudaranya untuk membeli tanah yang dijual murah itu . Jalil meminta Pak Lang Ali membawanya berjumpa dengan Pak Amat yang membeli tanah tersebut . Bagi Jalil , wasiat bapanya untuk mendapatkan hak milik tanah itu sangat besar baginya . Dia sangat menyanjung tinggi sifat bapanya yang rajin . Dia bertekad untuk melaksanakan wasiat tersebut . Jika dia gagal mempertahankan tanah itu , maka dia akan menyesalsepanjang hidupnya . Jalil mahu terus bertahan di situ . Dia memperkukuh binaan pondoknya sedikit demi sedikit . Dia tidak kisah usia remajanya akan terbuang begitu sahaja untuk mempertahankan wasiat arwah bapanya, Pak Teh.      

Bab  7   
Jalil  berbasikal ke rumah Pak Amat berdasarkan panduan yang diberikan oleh Pak Lang Ali. Jalil terus memperkenalkan dirinya dan bertanya tentang tanah pusaka arwah bapanya yang dibeli oleh Pak Amat . Setelah Pak Amat mengakui bahawa dia memang membeli tanah tersebut dengan harga sepuluh ribu ringgit , Jalil berasa Pak Amat mengambil kesempatan atas keadaan ibunya yang terdesak . Kedatangan Jalil tidak begitu disenangi oleh Pak Amat . Jalil pula mahu membuat perjanjian dengan Pak Amat . Dia meminta persetujuan Pak Amat untuk memulangkan tanah tersebut apabila dia mampu membayar balik harga tanah tersebut . Jalil juga memberikan tempoh selama lima hingga sepuluh tahun untuk membayar balik harga tanah melalui kaedah jual janji . Katanya , dia akan mula bekerja sebaik sahaja tamat persekolahan untuk mengumpulkan wang buat menebus tanah pusaka itu kembali .
Jalil juga meminta kebenaran Pak Amat agar dia dapat terus tinggal di tanah itu untuk sementara waktu . Dengan sinis , Pak Amat membenarkan Jalil tinggal, tetapi Jalil perlu beredar sekiranya Pak Amat mahu mengerjakan tanah tersebut . Jalil bersetuju dengan syarat tersebut . Jalil kembali ke rumah . Petang itu , dia menghabiskan masa merayau – rayau di sekitar sawah . Dia berhasrat untuk mula menanam anak – anak benih padi . Jalil terpaksa melakukannya sendiri kerana Mak Teh tidak ada lagi di kampung untuk membantunya . Jalil kini berasa terikat dengan dua perjanjian , iaitu perjanjian dengan Pak Amat dan perjanjian dengan arwah Pak Teh untuk mempertahankan tanah tersebut .

Bab  8
Tanah itu maruah bagi Jalil . Pak Teh yang berasal dari Besut telah datang ke Kedah untuk mengambil upah membanting padi . Setelah selesai kerja membanting , Pak Teh membuka kawasan lembah di Bukit Nibung . Usaha Pak Teh itu kemudiannya diikuti oleh orang – orang tempatan . Berbelas – belas tahun kemudian , tanah paya itu menjadi sawah . Penduduk luar mula datang ke kampung itu . Pak Teh hampir berparang dengan Ah Tong yang menceroboh tanahnya . Mujurlah Ah Yau yang telah lama tinggal di situ menyabarkan Pak Teh. Ah Yau menyelesaikan masalah itu dengan Ah Tong . Pak Teh telah beberapa kali berurusan dengan Pejabat Tanah Pendang untuk mendapatkan geran tanah, tetapi permohonan itu tidak pernah diproses sehingga Pak Teh meninggal dunia. Sebelum meninggal dunia , Pak Teh berpesan kepada Jalil untuk menguruskan tanah pusaka itu sehingga mendapatkan geran. Pesanan itu menjadi amanat yang perlu dilaksanakan .

Bab  9
Petang itu , ketika Jalil duduk seorang diri di pangkal pokok kelapa , Latifah , anak gadis bongsu Pak Lang Ali yang tinggal berhampiran dengan rumah Jalil telah mengunjungi jalil . Latifah memberitahu bahawa tanahnya telah dijual dengan harga lima ribu sahaja . Pak Lang Ali mengambil untung dalam keadaan Mak Teh yang terdesak . Jalil tidak dapat tidur lena malam itu . Esoknya , dia pergi ke sekolah seperti biasa. Pulang dari sekolah , sebelah petangnya , Jalil mendapati sebungkus makanan tersangkut pada tiang pangkin. Nasi itu dikirimkan oleh Latifah . Jalil terlalu sedih mengenangkan nasibnya.

Bab  10
Selepas  membuat ulang kaji pelajaran , petang itu Jalil turun ke sawah . Tidak lama lagi benih di semaian akan diubah . Dia teringat semula pesanan arwah bapanya untuk meneruskan usaha mendapatkan geran tanah . Sebahagian daripada tanah bapanya yang dijual kepada Pak Jid belum habis dibayar . Pak Jid akan membayar semua harga tanah apabila dapat geran . Pesanan tersebut menguatkan semangat Jalil untuk melaksanakan tanggungjawab itu . Malam itu , berlaku peristiwa yang melucukan hati Jalil . Kerbau kesayangannya yang ditambat pada tiang pondok telah menyeret tali pengikat . kejadian itu menyebabkan dinding dangaunya terkopak . Esoknya, Jalil membuatkan pondok untuk kerbaunya itu . Dia sedar , kerbau pun tidak mahu dipindahkan dari tempat kebiasaannya.

Bab  11 
Malam itu , Jalil menyedari surau yang lama ditinggalkan selepas Pak Teh meninggal dunia terang – benderang dengan lampu gasolin . Jalil berasa hairan . Dia melihat Pak Lang Ali , Tok Mat Ketua , Ustaz Haji Megat , Pak Ngah Kadir , dan beberapa orang tua kampung berkumpul mengadakan perbincangan . Jalil yang menghampiri surau itu dapat mendengar perbincangan mereka . Mereka merancang untuk menghalau Jalil dari kampung. Jalil sedar, dia perlu berwaspada selepas ini.

Bab  12
Jalil menempuh zaman remajanya tidak seperti remaja yang lain . Dia memikul tanggungjawab yang berat untuk memenuhi pesanan arwah bapanya . Dia teringat bahawa bapanya seorang yang kuat bekerja . Selepas menuai , Pak Teh menangkap burung di sawah . Musim kering , dia mencari ikan darat . Musim kemarau , dia menoreh getah . Begitulah hidup Pak Teh . Jalil pula mempunyai ramai teman yang datang ke rumah untuk membuat wau atau gasing . Segala – galanya tidak berlaku lagi sekarang ini . Jalil meneruskan tugasnya ke sawah . Ketika hendak memulakan kerja mengubah semaian , Jalil terpijak kaca. Dia tahu, kejadian itu dirancang oleh seseorang yang memusuhinya . Ketika merawat luka di kaki , Latifah mengunjungi Jalil . Latifah membantu Jalil merawat lukanya . Dia sedar, dia perlu berwaspada. Jalil dapat menanam padi selepas lukanya sembuh.

Bab  13
Ketika dalam perjalanan ke pekan Bukit Jenun , Jalil bertemu dengan Biah . Biah meminta maaf kerana menyebabkan keluarganya porak – peranda . Biah memberitahu Muhsin tidak bersalah . Dia juga memberitahu bahawa dia telah hamil ketika melarikan diri dari rumah . Ketika pulang melalui depan rumah Pak Ngah Kadir , Jalil terdengar pertengkaran di rumah Biah . Biah enggan berkahwin , tetapi Pak Ngah Kadir memaksa Biah berkahwin . 




Bab  14
Keluarga Pak Ngah Kadir masih mengancam Jalil . Jalil percaya , Kudinlah yang menabur kaca di tapak semaiannya . Suatu hari , Jalil telah ditahan oleh Rosman dan beberapa orang rakannya di jalan . Jalil tahu , Rosman berkawan rapat dengan Kudin . Rosman menuang minyak tanah yang baru dibeli oleh Jalil . Jalil bertindak balas apabila Rosman cuba mengganggunya . Rosman dan kawan – kawannya lari ketakutan . Jalil terpaksa bergelap kerana pelitanya tiada minyak tanah . Latifah mengunjungi Jalil dalam gelap . Kemudian , Latifah mengambil minyak tanah di rumahnya dan diberikan kepada Jalil . Keluarga Pak Lang Ali mengetahui hubungan Latifah dengan Jalil . Pak Lang Ali melarang Latifah menemui Jalil .

Bab  15
Persiapan kenduri kahwin Biah telah bermula . Jalil tidak dijemput ke majlis tersebut. Ketika mengenang dirinya yang dipulaukan oleh orang – orang kampung , Latifah datang membawa nasi dan lauk kenduri . Menurut Latifah , Biah yang menyuruhnya menghantar makanan itu kepada Jalil . Jalil mendapati , ada surat di bawah pinggan makanan itu . Jalil membaca surat yang ditulis oleh Biah . Biah memberitahu bahawa dia menjadi mangsa sumbang mahram . Dia terpaksa berkahwin dengan sepupunya untuk menutup malu . Jalil masih tidak tahu siapa yang menganiayai Biah .

Bab  16 
Jalil kesunyian .
Dia teringat akan rakan – rakan rapatnya dahulu . Semuanya menjauhkan diri . Ketika mengelamun itu , dia dikunjungi oleh Mat Tohid . Mat Tohid meminta maaf kerana sudah lama tidak mengunjungi Jalil . Dia memberitahu penyakit sawan babinya semakin teruk . Emak Mat Tohid tidak membenarkannya keluar tanpa Jalil kerana Jalil sahaja yang boleh membantu Mat Tohid jika penyakitnya tiba – tiba datang . Mat Tohid mengajak Jalil memancing . Jalil menolak permintaan itu kerana banyak kerja. Mat Tohid meminta maaf lalu meninggalkan Jalil. Selepas maghrib , terdengar bunyi kentung di surau . Jalil mendapat tahu , Mat Tohid mati lemas di sungai. Jalil berasa pilu . Esoknya , dia menziarah jenazah Mat Tohid . Hajatnya untuk turut mengusung jenazah ke perkuburan terbantut kerana Kudin yang mengetuai pengusungan jenazah itu . Dia teringat kata – kata terakhir Mat Tohid yang meminta maaf sebelum meninggalkannya .

Bab  17
Jalil mengetahui sikap Mak Teh yang terburu – buru banyak menimbulkan masalah kepada keluarga . Mak Teh selalu membela Muhsin . Mak Teh mendesak Pak Teh menjual tanah untuk membeli motosikal yang dipinta oleh Muhsin . Akhirnya , tanah mereka terlepas . Motosikal yang dibeli kena samun . Sebenarnya , mungkin kena tarik balik kerana tidak mampu bayar hutang . Baki jualan tanah tidak diterima selagi Pak Cik Jid tidak menerima geran tanah . Mak Teh juga terburu – buru menemui bomoh untuk mengetahui keadaan sebenar Muhsin . Bomoh memberitahu Muhsin tidak terlibat . Peristiwa ini menyebabkan wang yang terkumpul untuk membayar yuran peperiksaan lesap ke tangan bomoh . Mak Teh juga tergesa – gesa merobohkan rumah dan menjual tanah . Mak Teh juga tergesa – gesa membina rumah di Banggol Lalang dengan belanja dua ribu ringgit . Baki tiga ribu ringgit digunakan oleh Mak Teh untuk meminang anak gadis dari Yan buat Muhsin . Kemudian , Muhsin kena tangkap basah di Kuala Lumpur dan wang hantaran tiga ribu itu hangus . Jalil kesal dengan sikap Mak Teh . Namun , dia tetap hormat kepada emaknya itu . Segala yang berlaku itu menambah kekuatan Jalil untuk memegang amanat arwah bapanya .

Bab  18 
Latifah amat mengagumi Jalil yang kuat semangat . Dia tidak ambil endah usikan Hasnah dan Fauziah tentang perhubungannya dengan Jalil . Pagi itu , Latifah tertinggal bas untuk pergi ke sekolah . Hasnah dan Fauziah berpatah balik ke rumah . Latifah serba salah kerana hari itu ada ujian di sekolah . Latifah menahan Jalil untuk menumpang ke sekolah . Jalil yang serba salah akhirnya bersetuju dengan permintaan Latifah . Latifah membonceng basikal Jalil pergi ke sekolah pada pagi itu . Jalil terganggu oleh perasaan resah . Dia tidak lemah semangat untuk mengaku yang dia tewas dengan gangguan perasaan terhadap Latifah .

Bab  19   
Jalil tidak turun ke sawah . Dia memikirkan bayaran peperiksaan SPM . Tiba – tiba, Latifah muncul . Dia menyampaikan wang daripada bapanya untuk membayar peperiksaan SPM. Jalil amat menghargai sumbangan Latifah itu .

Bab  20   
Jalil masih tidak dapat melupakan peristiwa yang dilalui , iaitu peristiwa ibunya merobohkan rumah dan menjual tanah . Peristiwa itu menyebabkan dia kini sebatang kara . Setelah tamat menduduki SPM , Jalil bertekad untuk pindah ke Kuala Lumpur . Dia memberitahu rancangannya kepada Latifah . Dia memajakkan padinya kepada Ah Bee . Dia akan menyerahkan Awang , kerbaunya kepada Pak Samad . Malam itu , dia tidak dapat melelapkan mata memikirkan masa depannya yang belum pasti . Banyak cabaran yang pasti akan dihadapi .

Bab  21 
Jalil ke Tanjung Setul untuk berbincang dengan Pak Samad tentang kerbaunya . Dia singgah di kubur Pak Teh . Dia memasang batu nisan di kubur bapanya . Dia amat sedih ketika hendak berpisah dengan Awang (kerbaunya) . Kemudian, Jalil ke Guar Chempedak untuk memberitahu Mak Teh tentang rancangannya . Mak Teh berpesan agar mencari Muhsin di Kuala Lumpur . Jalil kurang senang dengan permintaan Mak Teh. Jalil mengumpulkan kayu – kayu dan membakar dangau tempat tinggalnya . Latifah disertai keluarganya menemui Jalil. Jalil memberitahu bahawa dia akan pergi dan tidak mahu melihat tempat tinggalnya itu . Dia berjanji akan pulang semula ke tempat itu suatu hari nanti . Jalil mengucapkan selamat tinggal kepada semua

Bab  22
Jalil tiba di Kuala Lumpur pada waktu pagi . Jalil tiada arah tujuan . Dia berkenalan dengan seorang pelukis potret di Pasar Budaya . Jalil menunjukkan  bakat melukis . Dia melukis potret seorang pelanggan . Abang Joe , pemilik gerai lukisan itu berpuas hati dengan hasil lukisan Jalil . Dia bersetuju untuk berkongsi dengan Jalil . Dia mengajak Jalil tinggal bersama – samanya . Jalil menceritakan perjalanan hidupnya kepada Abang Joe . Jalil mencadangkan kepada Abang Joe untuk meluaskan pasaran hasil lukisan mereka .
Abang Joe berasa kurang yakin dengan cadangan Jalil itu dapat memenuhi permintaan pelanggan . Keputusan SPM telah diumumkan . Jalil mendapat tahu bahawa keputusannya amat cemerlang . Dia memberitahu Abang Joe untuk tidak menyambung pelajaran . Dia mahu bekerja keras bagi menebus tanah pusaka di kampung. Abang Joe menasihati Jalil untuk terus belajar sambil bekerja. Begitulah caranya orang yang berjaya di Kuala Lumpur. Mereka mempunyai dua tiga pekerjaan dalam satu masa, pagi di pejabat dan malam jadi pemandu teksi. Jalil mempunyai idea untuk terus melukis keindahan alam semula jadi dan penghuni di kampungnya .

Bab  23
Kertas kerja untuk memasarkan lukisan ke hotel – hotel telah siap . Jalil dan Joe bergerak dari hotel ke hotel dan memeterai perjanjian dengan hotel yang bersetuju untuk melanggan lukisan mereka . Joe bimbang untuk memenuhi permintaan itu tanpa Jalil . Jalil membuat keputusan untuk belajar di samping terus bekerja dengan Joe . Jalil pulang ke kampung untuk menguruskan hal persekolahannya . Dia juga menemui ibunya di Banggol Lalang. Ibunya masih berharap agar Jalil mencari abangnya, Muhsin.             

Bab  24
Jalil telah cukup mengumpulkan wang untuk menebus tanah pusaka bapanya . Jalil memberitahu Joe untuk pulang ke kampung menguruskan tanah tersebut . Joe menemani Jalil pulang ke kampung . Jalil melihat tapak rumahnya yang telah ditinggalkan dua tahun lalu . Kemudian , Jalil dan Joe ke rumah Pak Lang Ali untuk dijadikan saksi menemui Pak Amat . Pak Lang Ali enggan bersama – sama Jalil ke rumah Pak Amat . Pak Amat tidak bersetuju dengan harga asal kebun itu . Pak Amat bersetuju untuk melepaskan kebun yang telah memiliki geran itu dengan harga lima puluh ribu mengikut harga semasa. Jalil kecewa. Inilah kesan jual janji secara lisan . Jalil dan Joe pulang ke Kuala Lumpur malam itu juga. Joe hanya mendiamkan diri . Dia yakin Jalil dapat membuat keputusan yang terbaik .

Bab  25
Jalil tidak mudah kecewa dengan peristiwa kegagalan untuk menebus tanah pusaka . Dia berbeza dengan adik – beradiknya yang lain yang mudah kecewa . Dia memandang positif tentang keputusan Pak Amat . Memang wajar Pak Amat meletakkan harga tanah berlipat ganda sekarang . Tanah itu telah mempunyai geran . Lebuh raya telah dibina berhampiran dengan kampung mereka . Justeru , nilai harga tanah pasti melambung . Jalil keluar rumah untuk berjalan – jalan di bandar bagi melepaskan tekanan . Dia melihat anak – anak muda pelajar sekolah yang berambut panjang dan tidak menggambarkan seorang pelajar . Dia bertemu dengan seorang bekas tentera yang mencari rezeki dengan bermain muzik . Fenomena ini memberikan ilham kepada Jalil untuk membuat kertas kerja projek yang melibatkan Kementerian Pelajaran dengan Persatuan Bekas Perajurit . Melalui projek ini , Kementerian Pelajaran mengenakan bayaran tetap untuk menggunting rambut pelajar yang dikelolakan oleh Persatuan Bekas Perajurit . Persatuan Bekas Perajurit mendapat keuntungan dan wang itu digunakan untuk membela nasib pesara tentera . Syarikat Alam Hijau mendapat royalti sebanyak dua juta ringgit hasil idea bernas itu . Sementara , pengajian Jalil akan tamat dua tahun lagi .

Bab  26 
Dua tahun lagi Jalil akan menamatkan pengajian di Universiti Putra Malaysia di peringkat Diploma Landskap dan Seni Taman . Sejak dari sekolah dia memang menunjukkan kecemerlangan dalam aliran sains . Melihat prestasinya yang cemerlang di universiti , Jalil ditawarkan melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda dan mendapat biasiswa . Projek membeli lukisan pelukis – pelukis jalanan dan Projek Gunting Rambut Seluruh Negara memberikan pulangan royalti kepada Syarikat Alam Hijau . Setelah tamat pengajian , Jalil mendapatkan lesen kontrak dalam bidang seni taman dan landskap . Jalil berasa lega dengan kejayaannya . Kejayaan ini membolehkan Jalil membuka beberapa anak syarikat di bawah nama “ Nibung ” untuk meluaskan perniagaannya . Syarikat tersebut ialah Nibung Construction , Nibung Dekor , dan Syarikat Pengangkutan Nibung . Jalil juga mendapat anugerah CEO of the Year yang semakin melonjakkan namanya . Namun, tekad untuk mendapatkan hak milik tanah bapanya masih tersemat kukuh .   

Bab  27
Jalil menjalankan temu duga di Wisma Seri Nibung untuk memilih pengawai akaun Syarikat Alam Hijau . Jalil terkejut apabila salah seorang yang ditemu duga itu ialah Latifah . Jalil menganggap jawatan itu paling sesuai dengan Latifah kerana dia berhasrat untuk memajukan kampung kelahiran mereka .

Bab  28 
Pertemuan dengan Latifah memberikan sinar baru kepada Jalil . Dia teringat akan zaman persekolahannya bersama – sama Latifah . Jalil menceritakan segala – galanya tentang Latifah kepada Joe . Sementara itu , Joe juga menceritakan kisah peribadinya . Dia anak yatim piatu . Perkahwinannya dengan seorang gadis pilihan mendapat tentangan daripada ibu bapa gadis itu . Dia berkahwin dalam tempoh seminggu kerana isterinya meninggal dunia akibat kanser . Peristiwa itu membuatkan Joe mengambil keputusan berhijrah ke bandar . Sehingga kini , Jalil masih tidak mengetahui status Latifah . Joe menasihati Jalil bahawa jodoh pertemuan itu di tangan Tuhan .

Bab  29
Jalil masih tidak dapat melupakan Latifah dan zaman kanak – kanaknya . Latifah satu – satunya orang kampung yang mahu berhubung dengannya . Ketika membawa Latifah bersiar – siar di Pantai Morib , Jalil banyak bertanya tentang perkembangan kampung yang telah lama ditinggalkan . Latifah menceritakan kisah keluarga Pak Ngah Kadir yang porak – peranda . Biah telah diceraikan oleh suaminya beberapa bulan selepas berkahwin . Pak Ngah Kadir dipenjarakan kerana melakukan sumbang mahram . Isterinya dimasukkan ke hospital mental kerana menghadapi tekanan . Biah menghilangkan diri dari kampung . Kudin mewarisi sikap bapanya . Jelaslah , Muhsin tidak bersalah . Jalil kesal kerana peristiwa itu menyebabkan keluarganya merana . Latifah juga menceritakan keluarga Ngah Berahim , bapa Mat Tohid yang berpindah ke Baloh. Kampung itu semakin sunyi kerana penghuninya berpindah ke tempat lain.

Bab  30
Syarikat Alam Hijau kian berkembang dan tersenarai dalam papan utama Bursa Saham Kuala Lumpur. Syarikat itu melebarkan operasi ke luar negara . Jalil kini memiliki segala – galanya. Namun , dia belum berpuas hati selagi belum mencapai hasratnya. Jalil menyediakan kertas cadangan projek mega yang dipersetujui oleh lembaga pengarah. Projek Pembinaan Taman Tema Lembah Nibung. Jalil dapat merasionalkan ahli mesyuarat walaupun projek itu rancangannya sendiri. Dia mendapat kerjasama daripada syarikat antarabangsa dari Norway. Jalil juga sudah memikirkan kesan pembangunan tersebut. Dia akan menyediakan peluang pekerjaan dan menyediakan petempatan baru untuk penduduk kampung.

Bab  31 
Surau kampung Bukit Nibung hari itu sungguh meriah . Joe mewakili Syarikat Alam Hijau menerangkan projek taman tema di kampung tersebut . Dia telah mendapat persetujuan daripada penduduk kampung , kecuali Kudin . Dia bertindak agresif . Mujurlah orang kampung tidak menyokong tindakan Kudin . Joe menerangkan projek yang dirancang serta kebajikan yang diterima oleh penduduk kampung . Joe memberitahu bahawa tuan punya syarikat yang menjalankan projek ini ialah anak kelahiran tempat tersebut . Projek ini mendapat sokongan majoriti penduduk kampung . Kudin tidak percaya kerana dia mengenali semua penduduk kampung . Beberapa minggu kemudian , satu perjanjian ditandatangani oleh Syarikat Alam Hijau dengan penduduk kampung . Setelah semuanya selesai , baharulah Jalil muncul . Dia menaiki kereta mewah dan berpakaian seluar koyak dan baju lusuh . Orang – orang kampung terkejut apabila mengenali Jalil, anak Pak Teh. Kudin menarik balik persetujuan apabila mengetahui pemilik syarikat itu ialah Jalil. Jalil tidak menghalang kerana niatnya ikhlas untuk menebus tanah miliknya dan memajukan kampungnya.

Bab  32
Segala perancangan siap diatur. Jalil memohon cuti daripada Joe untuk pulang ke kampung. Dia melihat kawasan kampung; tapak rumahnya, rumah Pak Lang Ali serta rumah Pak Ngah Kadir . Di Pekan Bukit Jenun , dia bertemu dengan Ah Bee. Ah Bee telah cacat tangannya kerana mendapat kemalangan dalam kebakaran.
Ah Bee memiliki kedai yang lebih besar. Kemudian , Jalil ke Tanjung Setul , melawat kubur arwah Pak Teh . Dia memohon restu dengan arwah bapanya . Dia mengatakan telah Berjaya menunaikan amanat bapanya . Kemudian, Jalil bersembahyang Maghrib di masjid Kampung Bukit Nibung . Jalil terus ke Banggol Lalang menemui ibunya . Dia memberitahu ibunya untuk memohon restu membangunkan tanah pusaka yang menjadi miliknya semula.

Bab  33
Segala keperluan telah disiapkan untuk memajukan Bukit Nibung . Pampasan kepada penduduk kampung telah dibayar . Mereka akan ditempatkan di apartmen di pinggir kawasan Taman Tema Nibung Park yang bakal dibangunkan. Jalil telah merancang kedudukan pejabat operasi di tapak rumahnya dulu . Tanah sawah bapanya dijadikan kawasan rekreasi air. Kereta kabel dibina di antara Bukit Nibung dengan Bukit Jenun. Projek yang dirancang oleh Jalil itu benar – benar dikagumi oleh Latifah . Projek itu telah mengubah dimensi kampung mereka .   

Bab  34 
Persiapan untuk perasmian taman tema itu telah lengkap. Kampung itu berubah dengan terbinanya kereta kabel, skyrail , roller coaster, sebuah dome pantai buatan, kawasan rekreasi air , taman tumbuhan eksotik , dan berbagai – bagai kemudahan lagi yang menarik pelancong luar . Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan. Jalil turut memberikan ucapan dengan mengucapkan kesyukuran serta sanjungan kepada penduduk kampung . Dia turut menceritakan cabaran dan pengalaman yang ditempuh sehingga berjaya merealisasikan amanah yang dipegang kukuh. Pada hari itu, penduduk kampung diberi peluang menikmati kemudahan di taman secara percuma.

Bab  35
Taman Tema Nibung Park pun telah beroperasi . Jalil membawa ibunya tinggal di rumah baru yang dibina di tapak lama rumahnya. Jalil memindahkan pejabat operasi utama dari Kuala Lumpur ke Lembah Nibung , iaitu di Wisma Seri Nibung . Joe mengambil alih operasi di pejabat Kuala Lumpur . Jalil mengakhiri zaman bujang dan berkahwin dengan Latifah . Jalil melamar Latifah dengan mengimbas kembali zaman kanak – kanak mereka di kampung .
Kemudian , mereka berjalan – jalan di sekitar taman dan menaiki kereta kabel .

Bab  36
Keseluruhan projek taman tema itu telah disiapkan. Taman ini menjadi tarikan utama pelancong ke utara tanah air . Pelancong datang dari dalam dan luar negara. Sebuah resort dibina bagi menampung pelancong luar yang ingin menginap di sini . Di kawasan ini telah dibina safari yang dibuka dua puluh empat jam . Di tempat ini juga dibina sebuah masjid. Jalil membina banglo di atas tapak rumahnya dulu . Dia menguruskan perniagaannya dari rumah. Dia berasa puas melihat anak – anak muda bermain di taman air . Dia tidak pernah merasai kegembiraan itu pada usia remaja dahulu.

31 Dec 2012

kembali ke sekolah



selamat kembali ke sekolah
untuk meneruskan perjuangan

ilmu bukan mudah diraih
perlukan pengorbanan

23 Dec 2012

Lorong Pengalaman, Udara Perasaan


LORONG PENGALAMAN, UDARA PERASAAN



PUISI adalah rakam kejiwaan penyair. Berpegang kepada kata puisi adalah bahasa terindah tersusun dalam bentuk yang terindah. Bahasa kejiwaan menerbitkan kata yang mengalir menjadi baris-baris puisi. Baris-baris kecil yang hanya memiliki beberapa ungkap kata. Kata yang disusun pula dalam garis baris yang menzahirkan struktur dan polanya. Rangkuman kedua-dua elemen tadi yakni kata dan baris menerbitkan sesenbuah puisi yang dapat kita nikmati.

Ramai pula dalam kalangan remaja merasa agak sukar memahami puisi. Sama ada puisi tradisional iaitu syair, seloka, gurindam, seloka atau pantun serta puisi moden iaitu sajak; kesemua itu terangkum dalam susuk dan susun kata dan baris yang menjadi elemen pembentukan puisi. Kalaulah ia hanya kata dan baris, mengapa pula dianggap sukar untuk ditanggap atau difahami? Keperluan apa lagi yang perlu ada pada seseorang tuntuk memahami dengan mendalam sesebuah puisi?

Pada anak remaja yang mula mendekati puisi mungkin akan merasa sukarnya untuk mengunyah apa yang terhidang hanya dalam susun kata dan baris tadi. Terasa begitu sukar untuk difahami apakah yang dimaksudkan dalam kata-kata dan susun baris itu. Jangan mudah merasa bosan berhadapan dengan puisi. Ada beberapa perkata penting yang perlu dijadikan kemahiran apabila berhadapan dengan sesebuah puisi.

Ambil sahaja sebuah puisi tradisional Melayu yang sering didengar :

Pulau pandan jauh ke tengah,
Gunung daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang jua

Ulangi berkali membaca patah-patah kata yang disusun dalam bentuk fizikalnya sebanyak empat baris. Susun kata dan atur baris inilah yang membina identiti puisi ini. Di situlah pula tersergam keindahan puisi Melayu tradisional iaitu pantun empat kerat. Kata-kata sederhana hanya empat atau limah patah kata sebaris dengan susun barisnya empat baris dan jumlah kata hampir sekata. Seiring dengan jumlah kata adalah jumlah suku kata yang sekata. Menambahkan keindahan bentuk puisi ini adalah kata rima akhirnya yang berulang-ulang persis sebuah irama yang melantunkan kemerduan. Ada lagi, dengarkan pada bahagian tengah barisnya, ada perulangan bunyi yang menusuk pendengaran dengan getar bunyi  yang bertingkah dan berulang. Begitu jika kita mendekatkan diri pada puisi ini. Kita sedang berhadapan dengan irama, ritma dan nada yang begitu indah dan menusuk jiwa. Begitulah keindahan strukutur atau bentuk yang menjadikan pantun empat kerat ini begitu indah. Kehalusan pada jajaran kata, bunyi, irama dan tingkah yang memberi impak ke dalam kelopak kalbu. Keutamaan berhadapan dengan puisi adalah usah kita kunci jiwa kita dan berada begitu jauh dengan puisi.

Dekatkan diri kita sedekat-dekatnya dengan puisi. Dengarkan irama dan ritma yang terbit dari ungkap kata yang terhasil. Bukakan emosi kita untuk menjadi lebih lentur kepada segala aspek bunyi dan muzik terhasil. Jangan berjauh dengan segala yang terdengar dan terakam di telinga atau hati. Salurkan semua itu menjadi suatu aliran yang bergerak ke dalam jiwa. Kedekatan begini akan membawa kita akrab dengan puisi. Semakin kita akrab semakin kita mulai memahami apa yang tertinggal dalam rongga kata-kata itu.

Selain mencari keindahan bentuknya, mulailah meneroka keindahan kata yang tertulis dalam baris puisi itu. Ia barangkali lebih mencabar kerana kata-kata tadi dipilih yang terbaik untuk digabungkan menjadi kata-kata dalam puisi. Bacakan pantun itu sekali lagi, kalau boleh dengan keintiman bacaan pantun yang sebenarnya dengan memberi keutamaan kepada rima dan jeda.  Sekarang kita berhadapan dengan inti puisi . Yang berada di hadapan kita hanyalah kata-kata. Kata-kata yang dipilih dengan penuih kecermatan oleh pengarang dan ia tersaji buat kita menikmatinya.

Bagaimana pula untuk menikmati kata-kata ini? Sudah dibaca berkali-kali dan kita cuba memahami maknanya. Ada satu perkara penting yang harus dipertimbang dalam memahami makna kata ini. Kita harus bersedia untuk menatap emosi yang terkembang dalam ungkapan kata pilihan itu tadi.  Mengapa pula perlu kita memahami emosi  di sebalik kata-kata itu? Kerana sesebuah puisi yang dipantulkan dalamn kata-kata adalah emosi yang sarat. Ia bukan hanya kata-kata biasa, tetapi terisikan emosi yang tersimpan rapi di sebalik kata-kata yang diungkapkan. Oleh itu dalam memahami maksud dan untai emosi dalam sesebuah puisi, kita perlu membedah secara perlahan-lahan lapis-lapis makna yang tersembunyi dalam kata-kata tersebut. Kita tak ada pilihan lain, hanya kata-kata. Jangan kita merasa aneh kerana dalam lukisan yang tersaji adalah warna dan garis sahaja. Garis dan warna yang membentuk imej atau citra dan dari sini orang mencari maksud dan ungkap makna dalam sesebuah lukisan.

Kita kembali kepada kata-kata yang telah tersedia. Bedah pertama adalah untuk memahamkan imej atau citra yang berderet sebagai kata-kata. Dalam puisi di atas citranya adalah : pulau, jauh, ke tengah, gunung, bercabang tiga, hancur, badan, tanah, budi, dikenang. Setiap citra atau imej ini akan menghasilkan emosi tersendiri apabila kita cantumkan ia satu persatu. Pembedahan ini harus cermat kerana kita jangan cepat melihat makna bahasa biasa dalam bahasa puisi. Mungkin pulau yang disebutkan membawa maksud dataran yang dikelilingi air, atau maksud disisihkan. Jadi dalam puisi kita harus menerima hakikat bahawa ada kata-kata yang menyarankan banyak maksud atau makna baru yang bukan lagi pada makna biasa. Unsur-unsur konotatif perlu diberi perhatian dalam puisi. Ia bermaksud makna biasa sudah bertukar menjadi makna lain sesuai dengan konteks dan ungkap puisi itu. Kelainan makna akan memberi kesan kelainan kejiwaan pula.

Aspek kejiwaan yang perlu diberi perhati adalah bagaimana ia tersembunyi dalam kata-kata. Ingatl;ah sebuah puisi adalah lorong pengalaman dan udara perasaan seseorang pengarangnya. Sesebuah puisi merakam pengalaman kehidupan sama ada secara benar atau imaginatif. Pengalaman ini sudah tentu tersalut emosi kerana pengarang manusia yang tak terlepas dari emosi itu. Kita melalui lorong pengalaman pengarang apabila membaca karyanya dan dalam waktu yang sama menghidu udara emosi atau perasaan pengarang. Kita cuba mencari apakah emosi yang terbawa dalam kata-kata itu. Apakah suatu keluhan yang panjang, rintihan kecewa, rasa gembira atau berpuas hati, atau rasa kecintaan yang mendalam terhadap sesuatu. Ingatlah ia teradun begitu halus dan indah dalam puisi. Jika kita terburu-buru membedahnya, kita akan kehilangan banyak petunjuk untuk memahami puisi itu.

Bukakan lapis-lapis maksud dan makna dengan menyingkap emosi di sebalik kata-kata atau imejan tadi. Mari kita lalui lorong pengalaman yang pernah dilalui oleh pengarangnya. Mari kita hirup udara emosi yang pernah berbekas di perasaannya. Perlahan dan sabar menetas puisi. Keluarkan satu persatu dari jalinan yang telah dibuat oleh pengarang. Puisi ibarat sulaman yang dibuat pada sehelai kain. Penuh warna-warni benang dan begitu kemas sulamannya. Kita sebagai penikmat perlu mencari bagaimana jalinan benang itu pada kain tadi. Cuba perhatikan warna benang yang berjalin padu itu, baru kita dapat menikmati bahasa sulaman berkenaan.


Itulah kerahsiaan seseorang pengarang sebenarnya. Pengarang banyak tinggalkan tanda-tanda dalamn karyanya dan jika kita dapat menjejak dia di lorong pengalaman itu dan dapat pula menghidu bau udara emosinya kita akan mengenali dan menemui kerahsiaan pengarang. Penemuan ini begitu mengasyikkan. Inilah keindahan yang sebenarnya tercermin dalam sesebuah karya satera. Kita dapat bersama merentas lorong pengalaman dan menghidu udara emosi yang tidak disebutkan secara nyata kepada kita. Kita perlu merentas segala yang terhidang dari kata-kata hingga struktur puisi itu  untuk memahami apa yang tersirat dan tersurat dalam sesebuah puisi.

Mari kita mulai melihat pada ungkap ini.. Pulau pandan jauh ke tengah. Setelah kita menyusun segala imej-imej berkaitan kita mula dapat menyelak emosinya perlahan-lahan. Apakah yang beralun dalam jiwa pengarang, apakah merasa gembira? Apakah merasa sayu menatap pulau yang jauh? Apakah merasa tertekan jiwanya dengan apa yang disebutkan? Ia seolah cebis kata-kata yang terundang rasa terhiris dan sangat menyayat hati. Terasa ada semacam rasa rindu dan nostalgia yang tidak boleh terlepas dari banir perasaan. Semakin ditatap semakin merasa sangat merindukan? Ini adalah kemungkinan alur emosi dalam puisi tadi. Mengapa pula disebutkan gunung daik bercabang tiga? Apa kaitan dengan pulau yang jauh dan gunung yang bercabang begitu? Bukankah ia seolah-olah sebagai penanda, sebagai suatu catatan bahawa tak ada lain yang boleh dihubungkan dengan pulau pandan adalah kehadiran gunung daik yang cabangnya tiga. Tak ada bangingan lain lagi. Yang pasti tak ada perkara lain yang seiras dengannya. Pulau dan gunung itu menjadi penanda yang kejap berbekas dalam kalbu. Ke mana pun pergi ia akan tersulam dalam peta ingatan bahawa pulau pandan akan terbayang gunung daik. Wah... Nampaknya kita harus pergi lebih  mendalam lagi ke dalam bancuhan kata pengarang ini. Kalau disimpulkan dari dua baris puisi ini emosinya adalah rasa terharu dan sayu yang begitu berbekas dalam kalbu.

Kita telusuri lagi dua baris akhir puisi ini. Hancur badan di kandung tanah. Jelaslah bahawa pada kata hancur badan ini menimbulkan emosi yang begitu menghiris jiwa. Rasa kepayahan yang memberat dalam perasaan penulisnya. Ia sebuah pemergian, perpisahan dan tidak ada jalan kembali. Ungkapan di kandung tanah memberi kesan emosi kehilangan, pemergian dan ketiadaan. Ia juga memperlihatkan tentang kematian atau kata lain bermaksud perkuburan. Seluruhnya memberi kesan emosi yang berat iaitu bagaimana keharuan dan kepayahan melepaskan seseorang yang sudah pasti amat disanjung, disayang, dipuja, diminati, dikasihi dan sebagainya..

Pada baris akhirnya disebutkan kata-kata budi yang baik dikenang jua. Penutup pusii yang seolah-olah membuat satu rumusan atau kesimpulan yang jelas. Manusia akan menghadapi kematian tetapi kebaikan, budi dan jasa akan kekal di hati. Pada baris akhir ini pengarang memberi pesan yang jelas  bahawa kebaikan dan jasa akan dikenang orang sampai bila-bila dan ia tak memilih sesiapa pun.

Kalau disimpulkan bahawa dari puisi ini dapat difahami bahawa mansuai tidak abadi dan yang kekal adalah kebaikan dan  budi baik yang tak akan dilupakan selama-lamanya. Bahawa pengarang memberi pedoman bahawa kita akan menemui kematian dan tak abadi. Dalam hidup perlu berbuat jasa dan bakti kerana hanya itu yang terbawa lama dalam kenangan.

Begitulah perjalanan kita di lorong pengalaman dan udara perasaan ini.
Dekatkanlah diri pada puisi kerana kita akan merasa amat teruja, puas dan nikmat sesudah kita dapat menikmatinya dengan mendalam.



22 Dec 2012

Lagu Puisi : Permata Untuk Isteri


 Permata Untuk Isteri

Telah kusiapkan satu daerah paling sunyi
Dalam hati ini untuk kau isi sebagai isteri
Untuk kau penuhi dengan kemuliaan seorang wanita
Untuk kau beri erti dengan kelembutan
Untuk kau hargai dengan kasih sayang

Ku ingin kau jadi wanita mulia
Yang tahu harga budi dan hati
Seorang lelaki bernama suami

Kerana engkau isteri
Ku ingin kau mengerti bahawa hidup ini
Tak semudah yang kita janjikan
Yang kita janjikan
Kerana kau isteriku

Lagu Kopratasa 

Lagu Puisi : Sesetia Malam Pada Siang




Sesetia Malam Pada Siang

Sejak namamu menggetar rasa
kukhabarkan pada angin
bawalah daunan kering
terbang jauh dari hidupku
ingin aku bersama awan
mengarang kembang cantik untukmu
Jika kutahu
kaulah ciptaan terakhir
tiada kujadi pelari sepi
diburu mimpi demi mimpi
lalu berhenti di kaki hari
merenung pagi yang cerah
sekadar datang dan pergi
Kau buatku
lalu berpayung senja indah
suara ombakmu
memecah sepi pantai rinduku
di balik karangan batu
ikan kecil berenang riang
ingin selalu di dasarmu
sesetia malam pada siang
Puisi -Siti Zaleha M. Hashim
Lagu - Kopratasa





1 Dec 2012

Biografi Suhaimi Hj Muhammad


Latar Belakang

Suhaimi Hj Muhammad anak Kampong Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak dan dilahirkan pada 8 Februari 1934. Rumahnya terletak di tebing Sungai Perak kepunyaan bapanya; Haji Muhammad bin Hassan dan ibunya bernama Hajjah Darwiah binti Ya’akub. Dia merupakan anak kelima daripada lapan adik beradik.

Pendidikan awal Suhaimi bermula di Sekolah Melayu Kuala Kangsar hingga Jepun menyerah kalah (1940-1945) kemudian apabila Inggeris kembali menjajah Tanah Melayu, dia meneruskan pelajarannya di Clifford School, Kuala Kangsar sehingga darjah empat (1946-1948).

Namun pada tahun 1948 dia bertukar ke Sekolah Melayu, Kuala Kangsar tetapi tahun berikutnya (1949), dia bertukar lagi ke Sekolah Melayu, Bukit Chandan berhampiran Istana Iskandariah. Di sini pada sebelah pagi dia belajar secara formal tetapi di petang hari Suhaimi belajar agama.

Pada tahun 1949 dia lulus darjah enam Melayu dan sijil persekolahan agama darjah enam Kerajaan. Kelulusan ini melayakkan beliau menjadi guru sekolah di Kamunting (1950) kemudian ke sekolah Melayu Sungai Setar, Parit Buntar (1951).

Pada tahun 1951 dia diterima belajar di Sultan Idris Trainning Collage (SITC), Tanjong Malim sehingga tahun 1954. Di SITC beliau pernah menjadi Setiausaha Persatuan Penuntut. Setelah tamat SITC dia diiktiraf sebagai guru terlatih dan ditawarkan mengajar di Sekolah Melayu Padang Empang, Kuala Kangsar pada 1955.

Belajar petang

Setahun kemudian dipindahkan pula mengajar di Sekolah Melayu Tanah Kebun, Parit Buntar. Dalam tempoh ini beliau mengisi waktu lapang khususnya pada hari Sabtu dan Ahad dengan belajar tajwid al-Quran daripada Ustaz Alias Abdullah.

Di samping itu, Suhaimi juga menyambung semula pendidikannya dengan belajar petang di Sekolah Inggeris Methodist, Nibong Tebal, Seberang Perai pada tahun 1961. Kemudian pada tahun 1962 hingga 1966 dia belajar pula di Sekolah Methodist, Parit Buntar pada sebelah petang antara jam 1.00 hinga 6.30 petang.

Berkat usaha gigih itu, pada tahun 1966 beliau lulus Senior Cambridge dengan memperolehi Overseas School Certificate (OSC) dan Malaysian Certificate of Education (MCE) dalam pengantar bahasa Inggeris. Pada tahun 1967, dia menyambung pelajaran ke tingkatan enam di Sekolah Anderson, Ipoh tetapi tidak sempat menduduki peperiksaan Higher School Certificate (HSC) kerana jatuh sakit. Namun begitu kerjayanya sebagai guru diteruskan di Sekolah Menengah Menglembu, Ipoh (1966-1971).

Bergiat dalam NGO

Semasa di Ipoh beliau bergiat cergas dalam NGO dengan mengasaskan Badan Kebudayaan Melayu Tenaga Utama (PERTAMA) pada tahun 1970 sekali gus menjadi pengerusi sehingga tahun 1974. Semasa PERTAMA di bawah kepimpinannya, pada tahun 1973 badan ini pernah menganjurkan Seminar Penulis Malaysia Barat di Ipoh.

Pada tahun 1974 pula beliau bersama penulis Perak, Baharuddin Kahar, Ahmad Mahmud dan Abdul Latif Bidin menubuhkan pula persatuan penulis yang diberi nama GATRA DUA dan lantas menjadi pengerusinya selam tiga tahun (1974-1977).

Semasa memimpin GATRA DUA iaitu pada tahun 1975, Suhaimi meninggalkan kerjaya perguruan sebaliknya memilih jawatan Pembantu Pegawai Penyelidik Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur . Sewaktu di DBP beliau pernah menjadi anggota redaksi majalah Dewan Sastera dan Dewan Bahasa bersama-sama Kris Mas, Usman Awang, Baha Zain, Anwar Ridzuan dan Sutung Umar RS.

Suhaimi juga pernah bertugas di Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera sebagai Pegawai Penyelidik mulai tahun 1978 sehingga bersara wajib ketika berusia 55 tahun pada tahun 1989 setelah berkhidmat dengan Kerajaan selama 36 tahun. Di samping melaksanakan tugas hakiki, ketika di DBP beliau banyak terlibat dalam memberi ceramah, membentang kertas kerja serta membimbing calon penulis dari seluruh negara.


Kegiatan di luar bidang penulisan

Sewaktu merantau 25 tahun di Kuala Lumpur, Suhaimi sempat mempelajari dan mendalami bahasa Arab daripada pensyarah-pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) termasuk Ustaz Nordin bin Ahmad di samping memasuki kelas di Masjid Negara.

Ilmu tajwid turut dipelajarinya menerusi ustaz Haji Ahmad bin Ali dari tahun 1980 hingga 1990; taranum (lagu al-Quran) dengan ustaz Tarmizi di Masjid Taman Putera, Ampang serta ilmu tafsir, tasawuf, fiqh, tauhid, hadis daripada guru pondok tempatan. Kemudian Suhaimi memperkukuhkan Ilmu Islam yang dipelajari itu dengan pembacaan serius beberapa buah buku beraliran tasawuf, fiqh, sirah Nabi, sufism serta buku berkaitan Islam.

Setelah bersara, Suhaimi menjadi kontraktor kelas F dengan mengambil kontrak kerja pembaikan pejabat-pejabat kerajaan di Kuala Lumpur antara tahun 1993 hingga tahun 1998.

Bidang ini tidak lama diceburi sebaliknya dia meneruskan kembali kegiatan keilmuan Islam. Buktinya pada tahun 1980 dia menerima ijazah tarekat Naqsyabandiah daripada Tuan Guru Haji Ma’aruf bin Ya’akub, Lenggeng, Negeri Sembilan. Di samping itu, Suhaimi juga dilantik sebagai bilal dan imam gantian di Surau Taman Maluri, Kampung Pandan, Kuala Lumpur .

Di tahun-tahun 1990-an dia melibatkan diri dengan kumpulan tabligh di Seri Petaling dan bergiat di sekitar Kuala Lumpur. Pada tahun 1999 isteri yang dicintainya, Halijah binti Ismail, seorang guru Kerajaan telah meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan, Cheras, Kuala Lumpur.

Justeru pada tahun 2001 Suhaimi mengambil keputusan meninggalkan kota kosmopolitan Kuala Lumpur yang fana itu kembali ke negeri asalnya, Perak dan menetap di Lot 3971, Jalan Tempua, Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan Dua, Gugusan Manjoi, Ipoh.

Suhaimi kini menghabiskan sisa-sisa usianya dengan berbakti kepada masyarakat dengan menjadi bilal dan imam gantian di Surau Al-Ikhlasiah, Jalan Pemimpin, Gugusan Manjoi, Ipoh, Perak Darul Ridzuan.

Suhaimi dan Karya

Karya pertama Suhaimi Hj Muhammad berbentuk cerpen berjudul Korban Lantaran Ayah tersiar di majalah Mutiara (Disember, 1950 ketika berusia 16 tahun. Semenjak itu dia terus berkarya tanpa henti sehingga kini. Kajian menunjukkan bahawa Suhaimi telah melahirkan pelbagai kumpulan puisi, cerpen, esei kritikan dan pernah menyusun atau menyelenggarakan karya penulis lain dalam bentuk buku seperti berikut:

1. Antologi puisi perseorangan, 33 buah buku (sehingga 2010)
2. Antologi puisi bersama, .27 buah buku
3. Antologi cerpen perseorangan, 3 buah buku
4. Antologi cerpen bersama, 4 buah buku
5. Kumpulan esei kritikan perseorangan, 2 buah buku
6. Esei kritikan dlm majalah/akhbar, 89 tajuk
7. Tulisan kata pengantar, 10 buah buku
8. Kumpulan skrip drama bersama, 2 buah buku
9. Penyelenggara buku biografi (1), puisi (3) dan kamus (1)

Penulisan Sajak

Suhaimi telah melahirkan 33 buah buku puisi perseorangan sepanjang 60 tahun berkarya. Ini adalah satu rekod Malaysia kerana tiada seorangpun penyair tanah air yang mampu menyaingi prestasi ini. Kajian juga mendapati bahawa antologi puisi yang paling sedikit muka suratnya ialah Siluet (Suhaimi Enterprise:1984) sebanyak 23 halaman manakala yang tebal pula berjudul As-Salam ( DBP:2006) mengandungi 495 halaman. Di samping itu, sajak-sajak Suhaimi turut dimuatkan ke dalam 27 antologi bersama dengan penulis-penulis lain. Ini bermakna sajak-sajak Suhaimi itu dianggap penting dan perlu dibukukan. Justeru Malaysia Book of Records Sdn Bhd wajar memberikan pengiktirafan kepada beliau.

Suhaimi Hj Muhammad sangat komited dengan penulisan puisi meskipun dia berkebolehan menghasilkan cerpen, esei dan skrip drama tetapi kelihatan memfokuskan bakatnya terhadap sajak. Dia begitu intim dengan puisi serta mementingkan kuantiti dan kualiti. Menurut Suhaimi, dia telah menulis kira-kira 2000 puisi sepanjang hayat kepengarangan sehingga kini. Oleh itu, secara purata Suhaimi telah menulis sebanyak 33 kuntum puisi setahun atau kira-kira 3 kuntum sajak dalam masa sebulan. Sesungguhnya benarlah pandangan Harris Effendi Thahar dari Indonesia yang menilai Suhaimi seperti berikut;

“Dia (Suhaimi) seorang penyair yang amat subur (prolific) dan konsisten dalam kepenyairannya. Baginya menulis puisi bagaikan ibadah sehari-hari – sentiasa resah mencari rahsia kehidupan. (Harian Singgalang, Indonesia, 20 Oktober 1982).



Aliran dalam sajak-sajak Suhaimi Hj Muhammad

Oleh kerana Suhaimi begitu komited menukangi puisi, dia berjaya mencorak karyanya dengan mengikut aliran-aliran tertentu. Pastinya Suhaimi banyak membaca karya penyair luar yang dapat membantunya mencipta pelbagai aliran Barat yang disesuaikan dengan suasana tempatan. Kajian mendapati bahawa Suhaimi mengangkat empat aliran yang dominan di dalam sajak-sajak beliau iaitu:

1. Realisme
2. Surelisme
3. Mistikisme
4. Eksistensialisme

Suhaimi lebih menyukai aliran surealisme berbanding realisme dan eksistensialisme. Hal ini dinyatakan oleh Dr Mana Sikana yang menganggap bahawa;

“Suhaimi merupakan penyair Melayu yang pertama membawa sajak-sajak beraliran surealisme ke dalam sastera Melayu. Dan hal ini kemudian diikuti oleh Latiff Mohidin. Sajak-sajak yang lahir daripada alam bawah sedar, impian dan imaginasi yang menjadi ciri-ciri penting dalam sajak surealisme dapat dilihat daripada sajak-sajak Suhaimi yang terkumpul dalam kedua-dua kumpulannya; Lain Jiwa Lain Wajah (1960) dan Rontgen (1963)”. (Aliran dalam Sastera Melayu; 1982)

Di samping aliran surealisme yang amat disenanginya, Suhaimi juga dilihat telah mengubah status-quo penukangan sajak-sajaknya dengan memberi nafas baru iaitu memasukkan aliran mistikisme seperti yang terkandung dalam beberapa antologi puisinya. Saya melihat Suhaimi telah menjumpai aliran yang sesuai dengan jiwanya; sebagai seorang yang mencintai Islam. Asas keIslaman yang tinggi seperti pernah mempelajari tasawuf, tafsir al-Quran dan Hadis; apatah lagi mengamalkan tareqat Naqsyabandiah serta tabliqh, Suhaimi layak menghasilkan puisi-puisi sufi.

Penghasilan sajak-sajak beraliran mistikisme ini telah meletakkan Suhaimi antara penyair sufi yang amat menonjol di negara kita. Hal yang sama dinyatakan oleh Hasni Abas terhadap Suhaimi. Katanya;

“Dalam kumpulan Wujud yang mengandungi 206 puisi itu, Suhaimi menulis tentang ketuhanan, tasawuf, dan kebatinan, serta tidak lagi mengenai kebendaan. Melalui Wujud, Suhaimi telah berjaya mengungkapkan persoalan cinta martabat tinggi, cinta terhadap al-Khalik, pencipta segala pencipta- (Dewan Sastera, November 1996)

Keberhasilannya sebagai penyair sufi boleh dinilai daripada tanggapan Sasterawan Negara Dato’ Shahnon Ahmad dalam sepucuk suratnya kepada Suhaimi (9 September 1996) yang antara lain menyebut bahawa;

“Tentulah kelahiran Wujud ini banyak membawa kita bermesra dan berpaut kepada Allah. Daripada beberapa sajak dalam Wujud yang saya renungi, ternyata saudara sudah berada di tahap yang sangat saya rindui. Begitulah hendaknya”.

Pemikiran Suhaimi dalam sajak-sajaknya

Kajian mendapati bahawa Suhaimi mengutarakan empat aspek pemikiran dalam sajak-sajaknya yang boleh di bahagikan kepada tempoh berikut;

• Keadilan Sosial (1950-1959);

(Membicarakan mengenai anti-kolonialisme; menentang penindasan, pemerasan, perjuangan untuk mencapai kemerdekaan dan perdamaian dunia. Beliau bersikap seolah-olah social idealist yang hampir tergolong dalam Asas 50 dari segi mesej sajak-sajaknya. Ini dapat dilihat dalam Jalan ke Kotaku (1959)

• Kepincangan Sosial (1960-1969);

(Kebanyakan mesej sajaknya mengutarakan kepincangan sosial yang berlaku di sekelilingnya. Beliau mengkritik kepincangan yang berlaku dalam masyarakat dengan menampilkan sajak-sajak bersifat kabur (absurd) sangat individualistik. Antologi Tulisan di Kamar Tidur (1960), Lain Jiwa Lain Wajah (1960) dan Menyalak Bukit (1967)

• Keagamaan (1970-1980)

(Dari membicarakan kepincangan sosial, Suhaimi pada era tujuh hingga lapan puluhan telah beralih angin kepada mesej keagamaan. Peka dan waspada tentang realiti hidup serta mengetengahkan persoalan hidup mati. Contoh Bunga di Atas Batu (1970), Chorus Manusia Pengungsi (1976), Lilin Seinci (1980)

• Sufisme (1981-2010).

(Suhaimi mencapai tahap kematangan menukangi puisi dalam era ini dengan membicarakan soal-soal ketuhanan, tasawuf, cinta martabat tinggi – cinta terhadap al-Khalik, Pencipta alam ini. Wujud (1997), At-Tariq (2000), An-Nur (2003), As-Salam (2006), Asyik (2006), Cintamu Ummi (2007) dan Taman Taqwa (2009). Tujuh antologi ini sudah cukup meletakkan Suhaimi sebagai Penyair Sufi yang berwibawa).

Kesemua aspek pemikiran tersebut terkandung dalam 33 buah antologi puisi perseorangan dari Jalan ke Kotaku (1959) hingga Denyutkan Jantungmu (2010). Walau bagaimanapun tidak dapat disangkalkan bahawa terdapat sajak-sajak dalam tempoh tahun yang dinyatakan di atas bertindan lapis di dalam antologi yang berbeza kerana sukar dicerakinkan seratus-peratus berasaskan empat aspek pemikiran itu.

Reformis Persajakan Melayu

Selain menerapkan empat aliran yang ketara di dalam sajak-sajaknya, Suhaimi juga dianggap seorang reformis dalam perkembangan teknik persajakan Melayu di negara kita. Antara ciri-ciri perubahan teknik persajakan yang dilakukan Suhaimi ialah dengan mengenepikan unsur-unsur sajak seperti asonansi dan aliterasi di samping menggunakan perkataan biasa tetapi mempunyai pengertian berlapis; “Wanita Pelayan Kapal Udara”; “Di Masjid Negara” (Bunga di Atas Batu;190) seperti ditulis Rahman Shaari, Berita Minggu, 1 Jun 1975 bertajuk Puisi Suhaimi Seratus Prosa?”

Suhaimi juga melakukan perubahan dalam bentuk sajak yang dikesan seperti;

1. Terdapat pertembungan antara modeniti dengan tradisional. Ada kala sajaknya terpengaruh dengan tradisi tetapi kerap juga melepaskan pengaruh tradisi (“Melihat Suhaimi Hj Muhammad di dalam Gejala Lain”-Kemala, Dewan Sastera, Februari 1971

2. Pembentukan rangkap secara tradisional iaitu empat baris bagi serangkap atau kuatren (quatrain)- “Puisi Suhaimi Seratus Prosa?” Rahman Shaari, Berita Minggu, 1 Jun 1975
3. Puisinya tidak hidup sebagi puisi tetapi hidup sebagai cerpen yang sangat pendek. Cth; Dia mempunyai keluarga, Jalil
Bahkan ada keluarganya orang kaya
Pegawai negara, orang ternama
Mengapa mereka tak mahu menolong?- “Puisi Suhaimi Seratus Prosa?” Rahman Shaari, Berita Minggu, 1 Jun 1975

4. Bentuk visual pada kebanyakan puisi (Chorus Manusia Pengungsi, 1976 dan Rontgen, 1981. Mengambil pola rima yang bebas. Barisan panjang-panjang dan banyak pula dilakukan pengulangan dan menimbulkan unsur-unsur estetiknya-“Penyair Gigih Lain dari yang lain” Ilias Zaidi, Utusan Zaman, 12 Mac 1978

5. Tanggapan sesaat (spontaneous reaction) merupakan pernyataan peribadi yang menyimpang daripada garis besar perkembangan puisi Melayu moden- “Penyair-penyair yang lebih muda dalam tahun lima puluhan”- Umar Junus dlm Sikap dan Pemikiran dalam Puisi Melayu Moden, DBP:1980

6. Reformis dalam perkembangan teknik perpuisian Melayu di Malaysia- Dr. Ramli Isin (Utusan Zaman, 5 Mei 1974)

Dia juga merubah pemikiran status quo sajak Melayu kepada idealisme baru sekaligus dianggap sebagai pelopor aliran surealisme di Malaysia yang kemudiannya diikuti oleh Latiff Mohidin (Aliran dalam Sastera Melayu, 1982 – Mana Sikana).

Beliau juga penyair surealis dan “ahli sihir” dalam kesusasteraan Melayu Moden kerana karya-karya surealismenya sukar dimengertikan oleh khalayak (Dr Anuar Nor Arai –Mastika, Julai, Ogos, September 1985)

Pandangan Dr Anuar Nor Arai bahawa Suhaimi sebagai “ahli sihir” kerana berjaya memukau khalayaknya adalah berasaskan kepada mesej atau falsafah yang dilontarkan dengan kata-kata biasa tetapi penuh dengan makna tersirat, tersurat dan berlapis-lapis kerana beliau menulis di bawah sedar yang memantulkan tanggapan sesaat (spontaneous reaction) terhadap apa yang dilihat, dirasakan atau difikirkan.

Hal ini sejajar apa yang diutarakan oleh Rusli A. Malem (wartawan, pengkritik, penyair) Indonesia yang mengulas tentangan sajak Suhaimi. Katanya;

“Apabila kita membaca sajak-sajak Suhaimi sekilas lintas akan membawa kesan bahawa sajak-sajaknya itu ditulis dalam bentuk sederhana dan masalah yang cuba diungkap oleh penyair mungkin dianggap terlalu ringan. Akan tetapi, apabila direnungkan lebih jauh dan kita membaca berulang kali sajak-sajak karya Suhaimi itu, maka kita akan menemukan nuansa-nuansa lain yang tersirat dalam sajak-sajak tersebut. Di balik keserhanaan itu, saya menemukan suatu keistimewaan dalam sajak-sajak penyair Ssuhaimi yang telah aktif menulis sejak tahun 1950 itu”. (Sajak-sajak Suhaimi Hj Muhammad dalam Lilin Seinci” - Mimbar Umum, Indonesia, 30 Ogos 1981)

Demikian juga pendapat Dr Anwar Ridzuan (Mingguan Malaysia, 5 Disember 1971) yang mengatakan bahawa bahasa sajak Suhaimi lembut dan bersahaja sangat menikam perasaan, diserati dengan perbandingan-perbandingan yang menarik dan indah lantas Anwar berpendapat bahawa sajak-sajak Suhaimi itu merupakan bentuk baru.

Pandangan sarjana serta kritikan terhadap Suhaimi dan karyanya terangkum dalam 89 esei eceran, 27 buah buku serta tiga tajuk ditulis oleh pengkritik Indonesia. Sementara itu terdapat dua buah kajian akademik bertajuk “Suhaimi Haji Muhammad Reformis Teknik Persajakan Melayu”, Ibrahim Hamid, Latihan Ilmiah untuk Ijazah Sarjana Muda dengan Kepujian, UKM; 1977/1978. 238 hlm dan “Penjaraban Semiotik dalam Puisi-puisi Suhaimi Haji Muhammad.” Mohamad Shaidan, Disertasi Ijazah Sarjana Sastera, Universiti Putra Malaysia,Kuala Lumpur. 2001


Pengiktirafan Masyarakat Terhadap Suhaimi Sebagai Sasterawan

Setelah berpuluh tahun menulis di samping berkhidmat dengan Kerajaan serta berbakti kepada masyarakat melalui kegiatan keagamaan, Suhaimi Hj Muhammad telah memiliki pelbagai anugerah dan penghargaan. Namun demikian jika diteliti satu per satu anugerah atau hadiah yang diterimanya, hanyalah menjurus kepada prestasi karya yang dihasilkan dan bukan anugerah daripada Istana atau daripada lain-lain entiti yang berwibawa. Antaranya ialah Anugerah Sasterawan Perak (1987), SEA Write Award (1995), Karyawan Perak Sepanjang Zaman (1998), Hadiah Sastera Nasional (1971, 1987, 1998) Hadiah Sayembara Puisi Berunsur Islam (1981), Hadiah Sayembara Drama Berunsur Islam (1981), Hadiah Sastera Utusan Melayu-Public Bank (1999) dan Hadiah Sastera Perdana Malaysia (2000, 2006 dan 2007). Pada tahun 2010 Universiti Pendidikan Sultan Idris menganugerahkan beliau dengan Ijazah Sarjana Kehormat Kesusasteraan bagi menghargai pencapaian cemerlang dalam bidang puisi.

Penutup

Suhaimi Hj Muhammad atau nama penanya; Suria Negara, Pengeran Budiman, William Plomer, Raden Suhama, S.S Hutagalung, Prem Adinata dan As-Suhaimi adalah seorang penyair mapan Malaysia yang telah menulis selama 60 tahun (1950-2010) terutamanya dalam genre puisi.

Kajian ini menggunakan metod content analysis yang menyimpulkan bahawa sebahagian besar sajak-sajak Suhaimi terangkum dalam empat aliran utama iaitu realisme, surealisme, mistikisme dan eksistensalisme manakala pemikiran yang diutarakan mengandungi empat aspek penting seperti keadilan sosial (1950-1959); kepincangan sosial (1960-1969); keagamaan (1970-1980) dan sufisme (1981-2010). Kesemua aspek tersebut terkandung dalam 33 buah antologi puisi perseorangan dari Jalan Ke Kotaku (1959) hingga Denyutkan Jantungmu (2010).

Rujukan

As-Suhaimi. 2009. Taman Takwa. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Mana Sikana .2005. Teori Sastera Kontemporari. Bandar Baru Bangi: Penerbit Pustaka Karya
__________ 1983. Aliran-aliran dalam Sastera Melayu. Kuala Lumpur: Utusan Publications and Distributors Sdn. Bhd.
Mohd Thani Ahmad dan Sarah Sardon. 1981. Wajah Biografi Penulis. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
Suhaimi Haji Muhammad.1997. Wujud. Petaling Jaya: Tempo Publishing (M) Sdn. Bhd
___________2008. Apabila Malam Semakin Malam. Ipoh: Suhaimi Hj. Muhammad.




Catatan Kedua

Meneroka pemikiran Suhaimi dan Malim

Oleh DR.TALIB SAMAT


MUTIARA pemikiran dua orang tokoh sasterawan kelahiran Perak iaitu Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk akan dikupas dalam 22 buah kertas kerja oleh sarjana dalam dan luar negara pada Seminar Antarabangsa Pemikiran Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk. Seminar itu akan diadakan pada 5 dan 6 Mac depan di Dewan Sri Tanjung, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak.

Seminar anjuran Persatuan Karyawan Perak diadakan dengan kerjasama Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa, UPSI dan Persatuan Suluh Budiman (BUDIMAN) ini diadakan dengan beberapa objektif tertentu.

Antaranya memperkatakan karya-karya Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk menggunakan pelbagai pendekatan dan teori kesusasteraan, memperkenalkan kedua-dua sasterawan kelahiran Perak kepada para pelajar, pengkaji dan masyarakat sastera di UPSI , seluruh Malaysia dan dunia, memartabatkan semula ketokohan kedua-dua orang sasterawan ini dan menghargainya semasa mereka masih hidup.

Selain itu untuk memotivasikan para pelajar sastera dan bukan sastera UPSI supaya berkarya seperti Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk. Ini kerana karya-karya mereka sentiasa menjadi bahan kajian latihan ilmiah kepada para pelajar universiti di negara ini.

Seminar ini juga diharap dapat memantapkan persiapan pencalonan Fakulti Bahasa UPSI agar Suhaimi Haji Muhammad dikurniakan anugerah berupa Ijazah Kehormat Doktor Persuratan UPSI pada tahun ini dan seterusnya dicalonkan sebagai penerima Anugerah Sasterawan Negara ke-11.

Dipinggirkan

Di samping itu objektifnya ialah Malim Ghozali Pk dicalonkan untuk menerima S.E.A Write Award oleh kerajaan Thailand. Seminar yang bertemakan "Memperkasakan Ketokohan Sasterawan Suhaimi Haji Muhammad dan Malim Ghozali Pk" yang selama ini agak dipinggirkan oleh masyarakat sastera di negara ini.

Seminar hari pertama memfokuskan perbincangan tentang pemikiran Suhaimi Haji Muhammad. Antara kertas kerja seminar hari pertama ialah Proses Kreatif dan Mengapa Saya Mengarang (Suhaimi Haji Muhammad), Perbincangan Biografi Suhaimi Haji Muhammad (Zabidin Ismail), Sumbangan Suhaimi Haji Muhammad Dalam Bidang Penulisan Cerpen Fokus Kumpulan Cerpen Kota Kenangan (Dr. Talib Samat), Kritikan Drama Bulan Jingga Karya Suhaimi Haji Muhammad (Dr. Ani Omar, UPSI), Kritikan Semiotik Terhadap Karya Terpilih Suhaimi Haji Muhammad (Mohamad Shahidan, DBP), Perbincangan Buku Kritikan Dilema Kesusasteraan Melayu Moden Karya Suhaimi Haji Muhammad (Jaafar Abdul Rahim), Perbincangan Kumpulan Puisi Sufi Mutakhir Suhaimi Haji Muhammad (Malim Ghozali Pk), Perbincangan Kumpulan Puisi Apabila Malam Semakin Malam Karya Suhaimi Haji Muhammad (Prof.Madya Datuk Dr.Mohd.Rosli Saludin), Perbandingan Karya Suhaimi Haji Muhammad Dengan Penyair lndonesia (Mohamad Daud Mohamad, DBP), Perbincangan Puisi-Puisi Suhaimi Haji Muhammad Yang Termuat Dalam Kumpulan Puisi Song 0f The Pelican (Dr.Haji Abdul Ghani Abu, Dekan,Fakulti Bahasa, UPSI) dan Pentafsiran Puisi Suhaimi Haji Muhammad Yang Termuat Dalam Kumpulan Puisi Taman Takwa Berasaskan Teori 4 SPBL (Abdul Halim Ali, UPSI).

Memperdebatkan

Manakala seminar pada hari kedua memperdebatkan perbincangan terhadap karya-karya Malim Ghozali Pk. Antara kertas kerja yang ditampilkan termasuklah Proses Kreatif Karya Terpilih dan Mengapa Saya Menulis Karya Kreatif (Malim Ghozali Pk), Kritikan Terhadap Novel Janji Paramaribo Karya Malim Ghozali Pk (Prof.Dr.Budi Darma, Universiti Nasional, Surabaya, lndonesia), Penilaian Kritis Terhadap Buku Kesempurnaan Mutlak Karya Malim Ghozali Pk (Dr.Muhammad Uthman El-Muhammaddy,ISTAC), Penelitian Novel Daun Karya Malim Ghozali Pk Berasaskan Teori Teksdealisme (Prof. Madya Abdul Rahman Napiah, Universiti Teknologi Nanyang, Singapura) dan Penelitian Novel Redang Karya Malim Ghozali Pk (Dr.Mohd.Hanafi Ibrahim, DBP).

Seminar hari kedua itu juga memfokuskan kertas kerja Pemikiran dan Isu-isu Kemanusiaan Dalam Kumpulan Cerpen Usia Senja Karya Malim Ghozali Pk (UPSI), Perbincangan dua kumpulan puisi karya Malim Ghozali Pk Iaitu Gema Ruang dan Hujan Di Limun Pagi (Haji Abdul Rahim Abdullah, Aswara), Perbincangan Budaya Hidup Komuniti Melayu Jawa di Surinam, Amerika Latin Dalam Novel Janji Paramaribo Karya Malim Ghozali Pk Dengan Komuniti Melayu Republik Seychelles di Lautan Hindi (Dr.Talib Samat,UPSI) , Pemikiran dan Isu-isu Kemanusiaan Dalam Kumpulan Cerpen Ini Chow Kit Road, Sudilah Mampir! Karya Malim Ghozali Pk (Prof.Dr. Zakaria Ali, Fakulti Seni,UPSI) dan sebagainya.

Seminar sastera yang agak besar di negeri Perak ini akan diserikan lagi dengan Malam Gema Puisi UPSI pada pukul 8 malam 6 Mac di Dewan Auditorium Utama, UPSI yang akan menampilkan lebih 20 orang penyair yang memperdalamkan rasa kemanusiaan terhadap alam sekitar dan kehidupan di mayapada ini.

Seminar ini akan dirasmikan oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr. Zambry Abd.Kadir.

Antara buku yang akan dilancarkan ialah kumpulan puisi Apabila Malam Semakin Malam (karya Suhaimi Haji Muhammad), kumpulan puisi Merindu Alam (karya Ihsan Noorzali, DBP), Naratologi Shahnon Ahmad (karya Talib Samat,DBP,2010), Kenali Tokoh Berjasa Jilid 1 (karya Talib Samat, Pekan Ilmu Publications), Perjuangan Mengantarabangsakan Tengku Menteri Ngah Ibrahim (selenggaraan Talib Samat, Yayasan Perak) dan Pemikiran Politik Dalam Novel Ahmad Boestamam (Zabidin Ismail Penerbit Universiti Malaya).

Artikel ini dipetik dari portal Utusan Online



Kita Berdua Adalah Gambar



 KAJIAN PUISI MODEN : KITA BERDUA ADALAH GAMBAR
(Suhaimi Hj Muhammad)

MAKSUD SAJAK

Rangkap 1
Penyajak menyatakan cara hidup rakyat menjadi tonggak pada keamanan sesebuah Negara. Semangat perpaduan pelbagai kaum menjadi kukuh dan diikuti oleh kesetiaan kepada pemerintah.

Rangkap 2
Penyajak menasihati kita supaya tidak sombong kerana apa yang ada bukan milik kita sepenuhnya. Sebagai rakyat kita bebas melakukan kegitan harian, tetapi jangan sampai melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan oleh pemerintah.

Rangkap 3
Penyajak menjelaskan apabila pemimipin tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik kerana sesuatu sebab maka negara kita akan hancur

Rangkap 4
Penyajak menyatakan kuasa yang ita ada tidak akan kekal selama-lamanya.Kuasa itu boleh hilang pada bila-bila masa kerana Tuhan lebih berkuasa

MAKSUD KESELURUHAN

Rakyat yang hidup bersatu padu akan menjamin keharmonian sesebuah Negara. Keadaan ini ditambah lagi apabila Mereka setia kepada pemerintah.Rakyat dalam sesebuah Negara bebas melakukan sebarang aktiviti selagi tidak melanggar peraturan dan undang-undang yang telah ditetapkan.Pemimpin yang tidak dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik akan menyebabkan sesebuah Negara itu hancur.Kuasa kita sebenarnya tidak akan kekal selama-lamanya.

TEMA

Kekuasaan pemimpin yang bersifat sementara.Kuasa dan kedudukan hanya bersifat sementara kerana ia boleh bertukar ganti.
Contohnya : Sebentar lagi kita akan diturunkan

PERSOALAN

Persoalan hubungan antara pemimpin dengan rakyat
Contohnya betapa bangganya dia mempamerkan kewibawaan dan kesetiaan kita

Persoalan taat dan setia rakyat terhadap pemerintah Contohnya kesetiaan kita

Persoalan cara pemerintahan pemimpin
Contohnya betapa bangganya dia mempamerkan kewibawaan\

Persoalan Kekuasaan Tuhan
Contohnya maka bila-bila saja jasad kita akan lebur

GAYA BAHASA/KEINDAHAN BAHASA

Diksi yang tepat contohnya mewarnai perayaan

Asonansi
Contohnya jangan melampaui jejaknya(pengulangan vokal a )

Alitersi Contohnya jangan berbangga kerana berbangga bukan hak kita (pengulangan konsonan g)

Sinkof Contohnya kau

Kata ganda Contohnya bayang-bayang, bila-bila

AnaforaContohnya
Contoh : Kita berdua……
Kita hanya……

Repitisi baris
Contohnya sebentar lagi kita akan diturunkan

Repitisi kata Contohnya berbangga
Responsif Contohnya melampaui

UNSUR BUNYI

Asonansi
jangan melampaui jejaknya(pengulangan vokal a )

Aliterasi
jangan berbangga kerana berbangga bukan hak kita (pengulangan konsonan g)

Rima bebas
Contohnya rangkap 1 – aaabab, rangkap 2 – abccca

Anafora
Kita berdua……
Kita hanya……


Imbuhan
Contohnya mewarnai

NADA

Sinis
Penyajak menyindir golongan pemimpin yang tidak menjalankan tanggungjawab dengan baik.Contoh : Jangan berbangga,kerana berbangga bukan
Hak kita, kita hanya bercerita sebentar

SIKAP PENYAJAK

Tegas
Contohnya sebentar lagi kita akan diturunkan

Insaf Contohnya maka bila-bila saja jasad kita akan lebur

NILAI

Bersatu padu
Contohnya mewarnai perayaan dan budaya suatu bangsa

Kesetiaan
Contohnya kesetiaan kita

Bertanggungjawab
Contohnya betapa bangganya dia mempamerkan kewibawaan

MESEJ/PENGAJARAN

Kita seharusnya hidup bersatu padu
mewarnai perayaan dan budaya suatu bangsa

Kita hendaklah setia kepada pemerintah
kesetiaan kita

Kita perlu memilih pemerintah yang bertanggungjawab
Contoh : jangan melampaui jejaknya
              sebentar lagi kita akan diturunkan

BENTUK

Bilangan baris dalam rangkap sama Contohnya 6 baris serangkap
Jumlah perkataan dalam baris tidak sama
Contohnya 2 hingga 8 perkataan sebaris

Jumlah suku kata dalam baris tidak sama
Contohnya 4 hingga 21 suku kata

Rima akhir dalam baris tidak sama
Contohnya rangkap 1 – aaabab, rangkap 2 – abccca

Kesimpulannya, bentuk sajak ini ialah bebas.

Teks : Anak Global

Kembali Gawai Rindu Terlerai



PUISI MODEN : KEMBALI GAWAI RINDU TERLERAI
(ABIZAI)

MAKSUD RANGKAP

RANGKAP 1
Dalam bulan jun pesta gawai akan disambut oleh suku kaum Dayak di Sarawak. Mereka akan bertemu dan berkumpul di kawasan rumah panjang yang dihias indah dan suasananya sungguh meriah.

RANGKAP 2
Semua ahli keluarga akan berkumpul, begitu juga sahabat handai akan bertemu semula dan keadaan ini akan dapat mengeratkan semula hubungan yang sedia terjalin. Mereka akan berpesta sambil menceritakan semula segala kenangan hidup bersama.Kenangan manis akan dikongsi bersama menghiasi suasana perayaan.

RANGKAP 3
Upacara perayaan akan dimulakan dengan majlis Miring iaitu upacara memuja semangat. Pentas akan dihias indah bagi mereka memohon restu daripada tuhan. Tetamu dijemput ke pentas sambil diiringi muzik sape , tarian ngajat ditarikan dan diselang seli dengan suara nyanyian. Ini merupakan kebudayaan warisan golongan Dayak yang terus berkembang dan tidak pernah pupus ditelan zaman.

RANGKAP 4
Pada waktu malam akan diadakan pertandingan ratu cantik dan pemuda kacak untuk merebut mahkota. Pertandingan ini bertujuan untuk memilih putera dan puteri gawai. Pemenang bagi pertandingan ini akan merasa megah apabila diisytiharkan di atas pentas.

RANGKAP 5
Pada penghujung pesta gawai yang diadakan pada setiap bulan Jun masyarakat Dayak mengharapkan pesta ini akan diadakan lagi supaya suasana di rumah panjang akan tetap meriah.

MAKSUD KESELURUHAN
Penyajak menggambarkann suasana sambutan pesta gawai yang disambut oleh orang-orang dayak, yang diadakan di kawasan rumah panjang. Sempena pesta ini kaum keluarga dan sahabat handai, jauh dan dekan akan bertemu dalam suasana gembira. Sempena pesta ini pelbagai persembahan kebudayaan akan diadakan. Mereka juga akan berdoa supaya mereka senantiasa berada dalam keadaan sejahtera.

TEMA
Upacara tradisi dapat mengeratkan hubungan silaturahim.Contohnya Pesta Gawai dapat melahirkan keeratan dan kemesraan dalam kalangan penghuni rumah panjang. Contohnya:
Rindu keluarga terpenuh udah
Kasih sahabat berurat kejap’

PERSOALAN
Hubungan kekeluargaan dan persahabatan
Contoh : ‘Rindu keluarga terpenuh udah
Kasih sahabat berurat kejap’

Pengekalan tradisi dan budaya
Contoh : ‘kembali Gawai rindu terlerai
Rumah panjang bersolek meriah’

Kepercayaan masyarakat
Contoh : ‘Miring bermula memuja semangat
Mohon petara melimpahkan restu’

Kerjasama dalam masyarakat
Contoh : ‘kasih sahabat berurat kejap
semula bercantum jarak terbelah

BENTUK

Jumlah rangkap
Terdiri dari 5 rangkap kesemuanya

Bilangan baris
Bilangan baris serangkap adalah tidak sama iaitu:
Rangkap pertama dan ke lima : 4 baris
Rangkap kedua : 6 baris
Rangkap ke tiga : 9 baris
Rangkap ke empat : 5 baris

Jumlah perkataan
Jumlah perkataan sebaris adalah tidak sama iaitu antara 4-5 patah perkataan.
Contoh : ‘Titik pertama Jun bertuah’ – 4 perkataan
Di hujung langkah pesta menuai - 5 perkataan

Jumlah sukukata
Jumlah sukukata sebaris adalah tidak sama iaitu antara 9-13 sukukata.
Contoh : ‘Ti/tik per/ta/ma Jun ber/tu/ah’ – 9 sukukata
‘Ter/ben/tang ce/ri/a di ma/kam sa/yem/ba/ra’ – 13 sukukata

Rima akhir
Rima akhir sajak adalah tiak sama atau bebas.
Contoh : Rangkap 1 – a/b/c/d
Rangkap 2 – a/b/c/d/e/f
Rangkap 3 – a/b/c/d/e/f/g/h/i
Rangkap 4 – a/b/c/a/d
Rangkap 5 – a/b/c/d

Kesimpulan
Sajak ini berbentuk bebas.

KEINDAHAN SAJAK / GAYA BAHASA


Diksi / pemilhan kataDiksi adalah indah / tepat / sesuai
Contoh : ‘Terbentang ceria di malam sayembara

Asonansi
Pengulangan bunyi vokal ‘i’
Contoh : ‘di lantai ruai ranyai’

Aliterasi
Pengulangan bunyi konsonan ‘p’
Contoh : ‘’putera tampan dan puteri rupawan’

Personifikasi
Contoh : ‘sape dipetik tabuh bersorak’

Inversi
contoh : ‘rindu keluarga terpenuh sudah’

Pengulangan rangkap
Contoh : Rangkap pertama diulang semula di rangkap ke lima

NADA SAJAK

Sajak bernada Romantis.
Contoh : ‘Rindu keluarga terpenuh sudah’
Kasih sahabat berurat kejap’

PERASAAN DAN SIKAP PENYAJAK

Perasaan gembira
Contoh : ‘Terbentang ceria di malam sayembara’

Perasaan rindu
Contoh : ‘rindu keluarga terpenuh sudah’

Perasaan sayang
Contoh : ‘kasih sahabat berurat kejap’

Sikap menghargai warisan / tradisi
Contoh : ‘warisan Dayak mekar berbunga’

Sikap bekerjasama
Contoh : ‘randau beramai mengait kenangan’

NILAI MURNI

Nilai bekerjasama
Contoh : ‘randau beramai mengait kenangan
Cerah rumah menguasai cuaca’

Nilai bertolak ansur
Contoh : ‘semula bercantum jarak terbelah’

Nilai menghargai warisan
Contoh : ‘warisan Dayak mekar berbunga’

Nilai Kasih sayang
Contoh :’kasih sahabat berurat kejap’



PENGAJARAN

Kita mestilah menghargai warisan atau tradisi budaya kita
Contoh : ‘warisan Dayak mekar berbunga
Kita mestilah bekerjasama dalam menjayakan sesuatu majlis
Contoh : ‘Randau beramai mengait kenangan
Kita mestilah sentiasa memupuk kasih sayang sesama keluarga dan sahabat Contoh : ‘kasih sahabat berurat kejap’

Teks : Anak Global

STATUS

Search This Blog

DAUN