Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon
Sastera tidak akan mati
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
28 November 2019
GOMBAK: Sastera kebangsaan tidak akan mati, kerana ia memiliki kelompok peminat yang tersendiri.
Bagaimanapun usaha memperkasakannya perlu segera dilaksanakan bagi memastikan ia tidak mengecil sebaliknya terus gah seperti era 1970-an lalu.
Antaranya termasuklah memperkenalkan pendekatan baharu seperti penulisan menggunakan dialek atau konsep penerbitan sendiri (SWA).
Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, berkata penghasilan buku menggunakan dialek dianggap pembaharuan dan kelainan dalam usaha kepelbagaian dalam berkarya.
“Misalnya bahasa Kedah yang menjadi bahasa tertua di negara ini ada tarikan sendiri juga bahasa lain seperti bahasa Iban atau Bajau.
“Kita ada 100 bahasa yang tidak ada pada banyak bangsa lain. Jepun mungkin ada lima atau atau empat bahasa sahaja, bermakna kita ada 100 bahasa ilmu.
“Bahasa berkenaan bukan sahaja indah, bahkan memiliki kelainan untuk wajah bangsa kita,” katanya pada Forum Masa Depan Sastera Kebangsaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Forum itu turut menampilkan SN, Datuk Dr Zurinah Hassan dan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2007, Datuk Rahman Shaari yang dimudahcarakan bekas Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron.
Muhammad berkata, sekiranya dibuat perbandingan, kerajaan sekarang lebih memberikan penekanan kepada perkembangan dunia sastera. Malah ia lebih laju dan rencam berbanding dahulu termasuk pemberian elaun penghargaan RM5,000 kepada tujuh SN.
“Golongan yang menolak sastera saya kira memiliki fahaman cetek dan menyedihkan. Mana ada negara besar menolak sastera dan menerima sains.
“Jepun memiliki anugerah sastera berprestij samalah juga dengan China dan Perancis.
“Hanya kita yang jadi jaguh tolak sastera ke tepi sedangkan kita terhutang budi kepadanya kerana ia menyerlahkan keindahan sesuatu bangsa,” katanya.
Sementara itu, Zurinah berkata, walaupun masa depan karya sastera kebangsaan dilihat agak kelam, ia tidak akan mati kerana masih ada pengikutnya.
Cuma, tempias masalah ekonomi turut terkena ke dalam dunia sastera apabila kuasa membeli rakyat negara ini berkurangan.
Hal ini berlainan apabila Zurinah membawa buku ke Singapura atau Brunei, yang jualannya masih ‘laku keras’.
“Orang kita berkira membeli produk sastera, bukannya tidak minat sastera. Kalau saya berkongsi karya di media sosial seperti Facebook, beratus orang yang kongsi,” katanya.
Zurinah berkata, khalayak menyalahkan perkembangan telefon pintar sebagai punca sastera tidak lagi diminati, bagaimanapun ia sebenarnya masih ada tarikan berdasarkan jumlah perkongsian di laman sosial.
Katanya, dalam usaha memartabatkan sastera Melayu, program dan kaedah meningkatkan pemahaman orang ramai perlu difikirkan kembali khususnya menekankan kepentingan bahasa dan sastera.
Berhubung isu generasi muda dikatakan kurang minat terhadap sastera, Zurinah berkata, ia berpunca penekanan pendidikan terhadap sains yang sastera dianggap sebagai tidak ‘mengenyangkan’.
“Masih ramai orang tidak begitu kisah mengenai hal berkaitan perkembangan sastera tanah air.
“Sebagai contoh, ada orang menganggap saya sebagai bekas SN dan ada juga merasakan SN-13 seperti gelaran juara realiti televisyen.
“Ini menunjukkan dangkalnya pemahaman mereka terhadap isu berkaitan,” katanya.
Bagaimanapun, pandangan itu tidak senada dengan Rahman yang menegaskan dunia kesusasteraan semakin kurang menyeronokkan hinggakan keterujaan memiliki buku tidak seperti dulu kerana kewujudan telefon pintar.
Beliau berkata, media sosial tidak begitu membangkitkan karya kerana tidak banyak berlaku kritikan sebaliknya hanya pujian. Hal ini disebabkan kesusasteraan memerlukan kritikan membina untuk membolehkan karya lebih bermutu dihasilkan.
“Kritikan atau polemik sesuatu yang amat dihargai dan ‘dinanti-nanti’ tetapi di FB umpamanya, kita hanya mendapat ucapan tahniah, sedangkan suatu waktu dulu, kritikan yang mencabar orang seni untuk berkarya.
“Disebabkan medium itu terlalu pantas, kita tidak berani ‘mengusik’ hingga menjadikannya seolah-olah sekatan ke atas kemajuan sastera negara kerana akhirnya, apa yang ingin kita lihat ialah mutunya,” katanya.
Rahman berkata, perkembangan sastera tempatan dirasakan kurang diberikan perhatian sejak 1980-an lagi khususnya apabila sastera diperkenal di sekolah sebagai mata pelajaran elektif, bukannya wajib.
Pada akhir 1980-an pejuang sastera dalam kalangan persatuan penulis mencadangkan kesusasteraan Melayu menjadi mata pelajaran wajib tetapi ia tidak berjaya dilaksanakan.
Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) diperkenalkan pada 2000 tetapi pada peringkat akhirnya tidak menghasilkan banyak faedah kerana masa belajar hanya 40 minit seminggu.
“Sudahlah banyak buku hendak dibaca, markah pula sedikit iaitu hanya 10, pelajar tidak berminat untuk belajar kesusasteraan Melayu,” katanya.
bhonline
Comments
Post a Comment