terjejas

Industri perhotelan makin nazak, 2,041 pekerja dihentikan
LIZA MOKHTAR
24 Mac 2020



Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SEJAK awal Januari 2020, koronavirus atau Covid-19 bagaikan satu petaka yang melanda industri pelancongan dunia.

Yang pasti, selain sektor penerbangan, satu lagi cabang utama yang menerima kesan paling dahsyat angkara Covid-19 ialah perhotelan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, pada peringkat pertama, industri perhotelan menerima pembatalan tempahan bilik secara mendadak dan sehingga kini telah mencecah angka 193,000 bilik dengan nilai kerugian lebih RM75 juta.

“Dalam tempoh kawalan pergerakan selama 14 hari ini, hampir kesemua hotel tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Tempoh ini sahaja kami menganggarkan kerugian pendapatan industri hotel lebih daripada RM500 juta,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Katanya lagi, buat masa ini, objektif utama pengusaha hotel adalah untuk meneruskan operasi dalam keadaan kerugian yang paling rendah dengan kos upah dan gaji adalah antara yang paling besar.

Berdasarkan sumber MAH, setakat 20 Mac lalu, seramai 2,041 pekerja sektor perhotelan di seluruh negara telah diberhentikan manakala anggaran kerugian pendapatan industri hotel berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berjumlah RM560,720,981.

Industri perhotelan di Kuala Lumpur paling terkesan dengan kerugian bernilai RM24 juta diikuti Sabah RM11 juta dan Selangor RM9 juta.

Ditanya apakah langkah-langkah yang diambil pihak MAH bagi meminimumkan kerugian dan pelan untuk menghidupkan kembali sektor perhotelan, beliau menjawab, pihak persatuan telah banyak memberi maklum balas dan idea kepada kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.

“Kami juga mewakili industri dalam rundingan diskaun dengan pembekal-pembekal servis kepada ahli-ahli kami untuk mengurangkan kos operasi hotel.

“Kami berharap kerajaan akan memperkenalkan lebih bantuan kewangan kepada industri dengan beban dan kekangan aliran tunai yang serius,” katanya.



Tinjauan Sinar Harian mendapati hanya premis seperti restoran, pasar raya yang menyediakan keperluan asas, hotel, pengurup wang dan kedai serbaneka dibuka. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, sektor pelancongan amat terkesan dan mengalami kemerosotan teruk akibat wabak Covid-19.

“Pada bulan Mac pendapatan sektor pelancongan memang merosot disebabkan banyak pembatalan tempahan pelancongan sama ada dari dalam dan luar negara disebabkan kawalan pergerakan bukan sahaja di Malaysia malah di beberapa negara utama dunia.

“Untuk bulan April, Mei dan Jun kita harus tunggu dan lihat sama ada virus Covid-19 ini dapat dikawal. Sekiranya dapat dikawal, kita akan dapat melihat pemulihan perlahan-lahan bermula bulan Julai hingga Disember. Berkemungkinan kita akan dapat kembali pulih tahun depan,” katanya.

Menurut beliau, pihak MATTA akan menyerahkan cadangan kepada kerajaan berhubung masalah utama iaitu aliran tunai yang nazak dan keputusan berkaitan para pekerja.

“Kami menulis kepada kerajaan sekiranya terdapat skim pengekalan pekerja. Di United Kingdom misalnya, 80 peratus gaji ditanggung oleh kerajaan, MATTA pula mencadangkan 60 peratus gaji ditanggung kerajaan.

“Namun kita tunggu pengumuman terkini pakej rangsangan ekonomi oleh Perdana Menteri pada 30 Mac ini,” katanya.Beliau turut menambah, keputusan oleh Kementerian Pelancongan untuk membatalkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 merupakan keputusan tepat kerana buat masa ini kempen tersebut tidak mampu untuk mencapai sasaran yang diingini.

Ditanya mampukah industri pelancongan dan perhotelan negara kembali pulih seperti sedia kala sekiranya virus Covid-19 berjaya dikawal, beliau menegaskan pelancongan dan pengembaraan merupakan satu gaya hidup.

“Sekiranya Covid-19 berjaya diatasi, keyakinan untuk mengembara pasti akan pulih namun apa yang tidak pasti ialah bila? Saya harap suku akhir tahun (Oktober, November, Disember) akan menyaksikan masyarakat dunia kembali berasa yakin dan selamat untuk melancong.

Turut berkongsi pandangan, Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis yang menegaskan situasi kini adalah yang paling teruk memberi kesan kepada industri pelancongan.

“Kita tak boleh menerima seorang pelancong pun dan syarikat-syarikat pelancongan masih perlu membayar operasi perniagaan seperti gaji pekerja dan sewa pejabat,” katanya.

Menurut Uzaidi, MITA sentiasa berkomunikasi dengan pihak kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi untuk berbincang bagaimana pihak kerajaan boleh membantu penggiat industri semasa krisis ini.

“Kami berpuas hati dengan segala inisiatif kerajaan untuk membantu kami.

“Tetapi kami berharap pihak kerajaan boleh membantu pekerja-pekerja separuh masa seperti pemandu pelancong yang tidak bergaji tetap dan tidak mempunyai akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Mereka ini adalah kumpulan yang terkesan akibat Covid-19.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan, pihak MITA bersama dengan Malaysia Productivity Corp (MPC) turut menganjurkan seminar online dan menjemput penceramah khas untuk mengajar penggiat industri pelancongan.

“Insya-ALLAH esok (hari ini), CEO SME Corp akan memberi penerangan melalui online kepada 1,000 usahawan industri pelancongan mengenai pakej bantuan atau pinjaman khas untuk usahawan semasa Covid-19 ini,” katanya.


Uzaidi menegaskan, industri pelancongan adalah antara industri yang sangat penting dalam menjana ekonomi negara dan Malaysia adalah antara negara popular yang dilawati oleh pelancong antarabangsa.

“Kami terperanjat kerana sudah mula menerima pertanyaan mengenai pakej pelancongan daripada ejen-ejen negara China untuk bulan September. Ini bermaksud, pelancong-pelancong dari negara China sangat yakin yang Malaysia akan pulih daripada wabak Covid-19 secepat mungkin,” katanya.

sinarharian

Comments