31 Mar 2020

daulat tuanku

YDP Agong berkenan kerajaan tidak membayar Emolumen Diraja untuk Seri Paduka dan Permaisuri selama 6 bulan mulai Mac 
- Istana Negara



sembuh

Kumpulan pertama pesakit Covid-19 Hospital Tuanku Bainun sembuh
WARTAWAN SINAR HARIAN |
30 Mac 2020



Gambar yang dikongsi Dr Noor Hisham di Twitternya.

SHAH ALAM - Kumpulan pertama pesakit koronavirus (Covid-19) di Hospital Tuanku Bainun, Ipoh sudah sembuh dan dibenarkan pulang.

Perkara itu dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang membuat naik status bergambar menerusi akaun Twiternya di sini malam ini.

"Kumpulan pertama pesakit Covid-19 daripada Hospital Bainun sudah pulih dan boleh balik. Alhamdulillah," katanya.

Petang tadi, Noor Hisham turut mengumumkan 91 kes disahkan pulih dan dibenarkan pulang.

Jumlah kes pulih dan dibenarkan pulang itu terbesar direkodkan setakat ini, menjadikan kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada Covid-19 sebanyak 479 kes atau 18.2 peratus berbanding keseluruhan.

sinarharian

29 Mar 2020

cerita duka



“Tak boleh ke saya nak jumpa mak saya doktor? Sekejap pun jadilah.”

Sayup-sayup suaranya di hujung talian. Yang pasti, ianya berselang seli dengan bunyi esakan tangisan kesedihan.

“Minta maaf puan. Buat masa ni memang kami tak dapat benarkan sesiapa pun masuk ke sini. Kita tak boleh ambil risiko kerana ia boleh jadi berpunca dari virus bahaya yang boleh berjangkit."

Aku terpaksa menerangkan lagi buat kesekian kalinya.

Seperti mana kebanyakan hospital lain, wabak virus maut yang melanda memaksa kami di sini mengubah cara kerja seharian. Ada sebahagian ruang di jabatan kecemasan perlu ditutup sepenuhnya kepada waris dan keluarga pesakit.

Langsung tak dapat benarkan mereka untuk masuk.

Bahkan tak semua kakitangan kesihatan diberikan keizinan berada dalam ruang tu.

Hanya beberapa orang staf saja dalam satu-satu masa yang akan bertugas merawat pesakit di situ.

Itu pun kami perlu berpakaian perlindungan lengkap yang menutupi seluruh anggota badan. Siap wajib mengenakan penutup kepala dan juga perisai muka (face shield).

Panas, berpeluh lencun, tak dapat nak bernafas dengan selesa disebabkan topeng muka, semua tu terpaksa ditahan. 'Zero' tolak ansur.

Kecuaian mungkin akan menyebabkan jangkitan pada si perawat sendiri.

Segala urusan perhubungan dengan waris dilakukan melalui telefon atau pun rakan kami yang bertugas sebagai ‘runner’ di luar.

“Tak apalah doktor. Tapi tolong ya, berikan rawatan yang terbaik untuk mak saya. Saya masih nak jumpa dia lagi.”

Sayu benar rayuannya.

“Baik puan. Kami usahakan yang terbaik. Selebihnya kita serah pada Tuhan. Puan sekeluarga teruskan berdoa.”

Lantas aku meletakkan talian kemudian berpaling ke arah tubuh emak kepada wanita tu. Jasad tua itu terlantar lesu di atas katil hujung sana.

Tiub pernafasan jelas terletak antara mulutnya bersambung ke mesin bantuan pernafasan.

Turun naik pergerakan dadanya, patuh mengikut aturan setting pada mesin tersebut.

Dia tiba sebentar tadi dalam keadaan hampir tak sedarkan diri. Nafasnya termengah-mengah dan bila dadanya diaskultasi, bunyi paru-paru kedengaran terlampau sempit menggambarkan proses pernafasan yang teramat sukar.

Rawatan awal segera diberikan namun keadaannya masih serupa.

Lantas kami terpaksa memasukkan salur tiub ke dalam saluran pernafasan lalu menyambungkannya ke mesin bantuan pernafasan.

Terpaksa.

Demi mengelakkan bebanan melampau pada tubuh yang boleh mengakibatkan degupan jantung terhenti secara tiba-tiba.

Kisah ini hampir sama dengan apa yang sedang berlaku di kebanyakan tempat di negara kita.

Ada pesakit yang tak bernasib baik. Dijangkiti entah dari mana. Demam, batuk, selsema lalu kemudian keadaan merosot secara tiba-tiba.

Serangan teruk pada fungsi pernafasan hingga akhirnya bergantung pada mesin bantuan.

Yang paling menyakitkan, mereka terpaksa lalui semua itu seorang diri.

Bermula sejak tiba ke hospital, berpindah ke unit rawatan rapi atau ke wad pengasingan, ianya menjadi sebuah perjalanan yang teramat sunyi.

Tiada ahli keluarga yang dapat menemani.

Tiada kawan mahupun sahabat handai yang hadir menjenguk.

Dan jika ditakdirkan penyakit tersebut meragut nyawa, maka hanya pasukan dari bahagian kesihatan saja yang mengurus jenazah.

Tiada waris yang melihat dan mendekati jenazah hinggalah selesai pengkebumian.

Percayalah.

Selagi mana rantaian virus ni tak diputuskan, selagi itulah kesedihan begini akan terus berulang.

Dan ia boleh berlaku pada aku sendiri, kau dan kita semua.

Sumber
Dr Ahmad Luqman Bukhari.

26 Mar 2020

solat hajat


terjejas

Industri perhotelan makin nazak, 2,041 pekerja dihentikan
LIZA MOKHTAR
24 Mac 2020



Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


SEJAK awal Januari 2020, koronavirus atau Covid-19 bagaikan satu petaka yang melanda industri pelancongan dunia.

Yang pasti, selain sektor penerbangan, satu lagi cabang utama yang menerima kesan paling dahsyat angkara Covid-19 ialah perhotelan.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata, pada peringkat pertama, industri perhotelan menerima pembatalan tempahan bilik secara mendadak dan sehingga kini telah mencecah angka 193,000 bilik dengan nilai kerugian lebih RM75 juta.

“Dalam tempoh kawalan pergerakan selama 14 hari ini, hampir kesemua hotel tidak dapat beroperasi sepenuhnya. Tempoh ini sahaja kami menganggarkan kerugian pendapatan industri hotel lebih daripada RM500 juta,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Katanya lagi, buat masa ini, objektif utama pengusaha hotel adalah untuk meneruskan operasi dalam keadaan kerugian yang paling rendah dengan kos upah dan gaji adalah antara yang paling besar.

Berdasarkan sumber MAH, setakat 20 Mac lalu, seramai 2,041 pekerja sektor perhotelan di seluruh negara telah diberhentikan manakala anggaran kerugian pendapatan industri hotel berikutan Perintah Kawalan Pergerakan berjumlah RM560,720,981.

Industri perhotelan di Kuala Lumpur paling terkesan dengan kerugian bernilai RM24 juta diikuti Sabah RM11 juta dan Selangor RM9 juta.

Ditanya apakah langkah-langkah yang diambil pihak MAH bagi meminimumkan kerugian dan pelan untuk menghidupkan kembali sektor perhotelan, beliau menjawab, pihak persatuan telah banyak memberi maklum balas dan idea kepada kerajaan dalam pakej rangsangan ekonomi sebelum ini.

“Kami juga mewakili industri dalam rundingan diskaun dengan pembekal-pembekal servis kepada ahli-ahli kami untuk mengurangkan kos operasi hotel.

“Kami berharap kerajaan akan memperkenalkan lebih bantuan kewangan kepada industri dengan beban dan kekangan aliran tunai yang serius,” katanya.



Tinjauan Sinar Harian mendapati hanya premis seperti restoran, pasar raya yang menyediakan keperluan asas, hotel, pengurup wang dan kedai serbaneka dibuka. - Foto Sinar Harian SHARIFUDIN ABDUL RAHIM


Sementara itu, Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Datuk Tan Kok Liang berkata, sektor pelancongan amat terkesan dan mengalami kemerosotan teruk akibat wabak Covid-19.

“Pada bulan Mac pendapatan sektor pelancongan memang merosot disebabkan banyak pembatalan tempahan pelancongan sama ada dari dalam dan luar negara disebabkan kawalan pergerakan bukan sahaja di Malaysia malah di beberapa negara utama dunia.

“Untuk bulan April, Mei dan Jun kita harus tunggu dan lihat sama ada virus Covid-19 ini dapat dikawal. Sekiranya dapat dikawal, kita akan dapat melihat pemulihan perlahan-lahan bermula bulan Julai hingga Disember. Berkemungkinan kita akan dapat kembali pulih tahun depan,” katanya.

Menurut beliau, pihak MATTA akan menyerahkan cadangan kepada kerajaan berhubung masalah utama iaitu aliran tunai yang nazak dan keputusan berkaitan para pekerja.

“Kami menulis kepada kerajaan sekiranya terdapat skim pengekalan pekerja. Di United Kingdom misalnya, 80 peratus gaji ditanggung oleh kerajaan, MATTA pula mencadangkan 60 peratus gaji ditanggung kerajaan.

“Namun kita tunggu pengumuman terkini pakej rangsangan ekonomi oleh Perdana Menteri pada 30 Mac ini,” katanya.Beliau turut menambah, keputusan oleh Kementerian Pelancongan untuk membatalkan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 merupakan keputusan tepat kerana buat masa ini kempen tersebut tidak mampu untuk mencapai sasaran yang diingini.

Ditanya mampukah industri pelancongan dan perhotelan negara kembali pulih seperti sedia kala sekiranya virus Covid-19 berjaya dikawal, beliau menegaskan pelancongan dan pengembaraan merupakan satu gaya hidup.

“Sekiranya Covid-19 berjaya diatasi, keyakinan untuk mengembara pasti akan pulih namun apa yang tidak pasti ialah bila? Saya harap suku akhir tahun (Oktober, November, Disember) akan menyaksikan masyarakat dunia kembali berasa yakin dan selamat untuk melancong.

Turut berkongsi pandangan, Presiden Persatuan Pelancongan Dalam Malaysia (MITA), Uzaidi Udanis yang menegaskan situasi kini adalah yang paling teruk memberi kesan kepada industri pelancongan.

“Kita tak boleh menerima seorang pelancong pun dan syarikat-syarikat pelancongan masih perlu membayar operasi perniagaan seperti gaji pekerja dan sewa pejabat,” katanya.

Menurut Uzaidi, MITA sentiasa berkomunikasi dengan pihak kerajaan seperti Kementerian Pelancongan, Kementerian Kewangan dan Unit Perancangan Ekonomi untuk berbincang bagaimana pihak kerajaan boleh membantu penggiat industri semasa krisis ini.

“Kami berpuas hati dengan segala inisiatif kerajaan untuk membantu kami.

“Tetapi kami berharap pihak kerajaan boleh membantu pekerja-pekerja separuh masa seperti pemandu pelancong yang tidak bergaji tetap dan tidak mempunyai akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja. Mereka ini adalah kumpulan yang terkesan akibat Covid-19.

“Sejak Perintah Kawalan Pergerakan, pihak MITA bersama dengan Malaysia Productivity Corp (MPC) turut menganjurkan seminar online dan menjemput penceramah khas untuk mengajar penggiat industri pelancongan.

“Insya-ALLAH esok (hari ini), CEO SME Corp akan memberi penerangan melalui online kepada 1,000 usahawan industri pelancongan mengenai pakej bantuan atau pinjaman khas untuk usahawan semasa Covid-19 ini,” katanya.


Uzaidi menegaskan, industri pelancongan adalah antara industri yang sangat penting dalam menjana ekonomi negara dan Malaysia adalah antara negara popular yang dilawati oleh pelancong antarabangsa.

“Kami terperanjat kerana sudah mula menerima pertanyaan mengenai pakej pelancongan daripada ejen-ejen negara China untuk bulan September. Ini bermaksud, pelancong-pelancong dari negara China sangat yakin yang Malaysia akan pulih daripada wabak Covid-19 secepat mungkin,” katanya.

sinarharian

23 Mar 2020

100 Tahun Abdullah Hussain


100 Tahun Abdullah Hussain Bahagian I

100 Tahun Abdullah Hussain Bahagian II

100 Tahun Abdullah Hussain Bahagian III




22 Mar 2020

keindahan

keindahan

ada sudut untuk kau memerhati
menatap hidup dari sisi
barangkali tak semanis kauharap
tapi itulah keindahan
bahagia dan kesyukuran'
kau akan lebih mengerti
mengapa burung-burung terbang
berkicau dan menyanyi
mencari ulat kerdil


18 Mar 2020

terima kasih

terima kasih buat para doktor dan jururawat
petugas yang tekun merawat
kami hanya mampu menatap
dari jauh berkirim harap
semoga tuan semua dalam sihat walafiat
doa kami susunkan
selamatlah seluruh pejuang
demi negara dan tanahair tersayang


17 Mar 2020

sayembara


Sayembara Penulisan KLWBC 2020

1. Kategori Puisi — 40 sajak (dalam 1 manuskrip) | tema bebas
2. Kategori Novel — tiada had mukasurat | tema bebas

Muat turun info & borang penyertaan :

http://bit.do/borangKLWBC2020
http://bit.do/borangKLWBC2020
http://bit.do/borangKLWBC2020


13 Mar 2020

akal dan jiwa

Apa yang diingini akal dan jiwa?
Dr Siti Zainon Ismail


 Apabila akal melihat, diberi-Nya kebijaksanaan, membawa kita ilmu, kefahaman dan penderiaan. Apabila manusia diberi ilmu, dia mengaku saja. Ada tugasmu di situ. (Pesan Farid Ud-ddin Attar)

Apakah yang diingini akal dan jiwa? Sebaik-baiknya ikutilah pesan bestari adat Melayu beradab santun pusaka pelengkap jiwa dengan bahasa ibunda.

Tulislah karang-karangan bersulam mulia adab Melayu. Laksana kearifan Hang Tuah menulis bunga menghiasi Mendam Berahi belayar ke Laut Jawa dan Hang Nadim menulis dengan arifnya bunga-bunga berterap menghiasi busana baginda.

Dengan tinta, adiguru menulis, menggaris dan melukis. Sejak berzaman lamanya telah terkarang kitab, ditulis para pujangga dan terhimpun dinaungi istana sebelum bumi alam Melayu diserang geroda mencengkam. Mujur kitab purba tiba membuka rahsia aksara cerita. Maka tumbuhlah haruman budaya tinggi mengutus pesan Ilahi.

Nilai akal diwariskan oleh ahli al-hikmah yang berbicara dengan cahaya hati. Melalui nukilan risalah agama, adab, etos, diajari sifat mulia manusiawi, meneguhkan sahsiah peribadi, maka terbentuklah jiwa yang dapat membawa kesejahteraan, keadilan dan ketakwaan. Nadanya bergelombang irama rasa dan fikir, terucaplah pantun gurindam. Baca dan tulislah itulah hikmah.

Akal budi dan mata hati

Menulis itu adalah nikmat, menyampaikan 'rasa hati'. Dalam budaya Melayu, rasa hati bukanlah nafsu-nafsi. Tetapi getar yang menyihat empati kesedaran dan keinsafan. Seperti kejujuran bicara sang budiman dengan rangkai kata sufisme Prof Ali Hasjmy, puncak curahan mata hati, seakan dibayangi arah jari telunjuk lurus ke depan, di simpuh tahiyat awal dan tahiyat akhir.

Puncak keindahan inilah yang tampil demi keimanan Yang Abadi dengan keindahan-Nya, Ya Al-Jamal.

Demikian mata hati pun merumuskan, bahawa gerak campak lenggang gamelan juga menampilkan gerak telunjuk ke depan.

Kadang ke arashi, kala “mata dituju setiap gerak/susun jari, kaki bercampak lenggang”. Berhujung kasih sayang.

Budi turut mengekalkan kenangan bakti. Di sinilah pentingnya peranan pengkaji menggali khazanah sejarah warisan. Syukur, kerjasama sarjana tempatan turut disokong oleh sarjana luar negara. Pendidik bahasa dan sastera Melayu masih dihargai. Mereka mengutip dan menterjemah dan mengembalikannya semula kepada kita. Tetapi sejauh manakah pendidikan susastera membuka pintu hati anak negeri?

Ungkapan tinggi adakah tersebar di corong radio pagi atau tertatap baca di layar TV? Sebaliknya bahasa gemuruh celupar semakin bersorak-sorai dalam wahana penyiaran dengan mendapat tajaan mewah.

Hanya melalui kesedaran akal budi menyantun perilaku anak bangsa.

Inilah akal budi yang menyaring tingkah laku curahan susastera. Sastera yang indah bukan hanya ungkapan rayuan, atau ungkapan puitis. Tetapi akar warisan bertunjang ke bawah dan kembang semarak memuncak ke pucuk awan.

Malah cahaya, kelembutan hati akan menolak kebencian dan kesombongan. Begitu amanat al-Ghazali, kebenaran bukan hanya melalui akal budi, sebaliknya cahaya yang dipancar Ilahi ke jiwa nurani. Ini jugalah martabat Rumah Budi Melayu.

Di Rumah Budi Melayu inilah, Prof Amin Sweeny tidak pulang ke negara salji. Prof Boris Parnikel menangis terharu kerana setelah berpuluh tahun membaca Rubai Hamzah Fansuri, di usia tua baru tiba ke DBP. Malah terus menterjemahkan "Syeikh Kuala", getusnya, “Aku tidak maut kecuali selesai menterjemah karya Melayu”.

Rumah Budi Melayu terus dihargai oleh sarjana termasuk Dr Victor Pogadaev yang lebih beruntung dapat berjalan jauh menggali puisi oleh penyair Melayu Aceh, Sunda, hingga ke Ranah Minang.

Melukis susastera - seni budaya

Seni lukis alam Melayu itu tumbuh subur di tanah, gunung, dan lautan. Inilah jiwa tanah dan air. Tanah akan kering tanpa simbahan hujan. Lautan bergelombang boleh saja memupus penghuni alam. Tsunami di Aceh sudah berlalu. Tetapi tsunami jiwa terus bergolak. Maka nenek moyang kita sejak dulu berwaspada.

Siap siaga akal dan jiwa dengan gurindam syairnya:

Keris disisip ke ikat bengkung
bengkung terbuat cindai berkarang
cindai jantan cintai betina
tahu dipakai oleh siapa
bila dipakai tahulah letak adat dan adabnya

Merangka seni budaya semasa

Bidalan berikut ini mungkin tidak digeruni generasi masa kini. Lima puluh tahun lalu, apabila ungkapan “tidak tahu bahasa” didengari, bersiap sedialah berhadapan dengan tindakan orang tua.

Hari ini Rumah Budi Melayu makin sesak dan bergoyang. Disendatkan dengan pelbagai tingkah laku canggung bertentangan dengan resam budaya. Oleh citra globalisasi tidak terbatas maka masuklah kepelbagaian dan keracunan ciri budaya dan bahasa.

Pemahaman Bahasa Jiwa Bangsa semakin tipis, akhirnya bagai kembali berulang - berbudaya neo-culture atau sebenarnya neo-geudal. Berkuasa atau sememangnya kehendaknya. Mungkin dunia Sastera dapat mengimbanginya. Itu pun kalau sudi mencari akar, sebelum melonjak ke angkasa antarabangsa.

Apakah kerana bahasa sajak atau puisi moden tidak seghairah nyanyian pendendangnya yang popular. Maka dendangan Awang Batil, Tok Selampit tinggal kenangan? Atau selaku penulis, saya harus bertahan merakam kembali cerita kampung halaman yang bakal lenyap oleh ghairah pembangunan Kota Raya.

Dalam hal ini, penyatuan melalui bahasa Melayu sebagai bahasa negara harus diberi tumpuan. Hebahan melalui poster, papan tanda arah, iklan semestinya memperluaskan makna simbol bahasa ini. Meskipun persembahan dalam seminar, atau dalam dialog bernuansa antarabangsa, tidak salah bahasa kebangsaan didahulukan.

Semogalah di celah-celah pembangunan fizikal, pemikiran budaya dapat juga berkembang, seimbang. Sastera bagai sengaja dialahkan oleh promosi hiburan, disaingi mestizo culture. Campur gaul pengaruh asing (setelah didatangi kuasa Barat), yang terus dibiar.

Semoga dengan mata jeli perancang taman, silakan menyusun, menata puisi (pantun/gurindam/sajak dan sebagainya) di rimba, di taman, atau di lorong dan jalan kota, di stesen kereta api, di dinding dan meja kedai kopi. Maka dengan cara sedemikian, sajak dan puisi yang bernilai susastera tumbuh secara alami. Berkelipkah lampu puisi di pintu rumah waris SN Usman Awang di Kuala Sedeli atau di Belimbing Dalam kampung kelahiran A Samad Said? Di manakah ungkapan semangat juang Arena Wati, Shahnon Ahmad dan Keris Mas?

Melabuh tirai

Akhirul kalam, saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan Majlis Pengurniaan Anugerah Sastera Negara Ke-14 ini.

Antaranya tidak dilupakan kepada guru, adiguru, sahabat seperjuangan Papti dan Institusi Pengajian Tinggi yang lain. Semoga segala usaha murni ini akan diredai Allah SWT dan menerima ganjaran yang setimpal daripada-Nya jua.

Rencana ini disesuaikan daripada ucapan penuh penerimaan Anugerah Sastera Negara ke- 14 oleh Dr Siti Zainon Ismail di Kuala Lumpur pada 21 September lalu.

Tulisan ini tidak semesinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

malaysiakini



sastera tidak mati



Sasterawan Negara, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh. - NSTP/Nurul Shafina Jemenon


Sastera tidak akan mati
Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof
28 November 2019

GOMBAK: Sastera kebangsaan tidak akan mati, kerana ia memiliki kelompok peminat yang tersendiri.

Bagaimanapun usaha memperkasakannya perlu segera dilaksanakan bagi memastikan ia tidak mengecil sebaliknya terus gah seperti era 1970-an lalu.

Antaranya termasuklah memperkenalkan pendekatan baharu seperti penulisan menggunakan dialek atau konsep penerbitan sendiri (SWA).

Sasterawan Negara (SN), Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, berkata penghasilan buku menggunakan dialek dianggap pembaharuan dan kelainan dalam usaha kepelbagaian dalam berkarya.

“Misalnya bahasa Kedah yang menjadi bahasa tertua di negara ini ada tarikan sendiri juga bahasa lain seperti bahasa Iban atau Bajau.

“Kita ada 100 bahasa yang tidak ada pada banyak bangsa lain. Jepun mungkin ada lima atau atau empat bahasa sahaja, bermakna kita ada 100 bahasa ilmu.

“Bahasa berkenaan bukan sahaja indah, bahkan memiliki kelainan untuk wajah bangsa kita,” katanya pada Forum Masa Depan Sastera Kebangsaan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Forum itu turut menampilkan SN, Datuk Dr Zurinah Hassan dan Penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write) 2007, Datuk Rahman Shaari yang dimudahcarakan bekas Pengarah Urusan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM), Mohd Khair Ngadiron.

Muhammad berkata, sekiranya dibuat perbandingan, kerajaan sekarang lebih memberikan penekanan kepada perkembangan dunia sastera. Malah ia lebih laju dan rencam berbanding dahulu termasuk pemberian elaun penghargaan RM5,000 kepada tujuh SN.

“Golongan yang menolak sastera saya kira memiliki fahaman cetek dan menyedihkan. Mana ada negara besar menolak sastera dan menerima sains.

“Jepun memiliki anugerah sastera berprestij samalah juga dengan China dan Perancis.

“Hanya kita yang jadi jaguh tolak sastera ke tepi sedangkan kita terhutang budi kepadanya kerana ia menyerlahkan keindahan sesuatu bangsa,” katanya.

Sementara itu, Zurinah berkata, walaupun masa depan karya sastera kebangsaan dilihat agak kelam, ia tidak akan mati kerana masih ada pengikutnya.

Cuma, tempias masalah ekonomi turut terkena ke dalam dunia sastera apabila kuasa membeli rakyat negara ini berkurangan.

Hal ini berlainan apabila Zurinah membawa buku ke Singapura atau Brunei, yang jualannya masih ‘laku keras’.

“Orang kita berkira membeli produk sastera, bukannya tidak minat sastera. Kalau saya berkongsi karya di media sosial seperti Facebook, beratus orang yang kongsi,” katanya.

Zurinah berkata, khalayak menyalahkan perkembangan telefon pintar sebagai punca sastera tidak lagi diminati, bagaimanapun ia sebenarnya masih ada tarikan berdasarkan jumlah perkongsian di laman sosial.

Katanya, dalam usaha memartabatkan sastera Melayu, program dan kaedah meningkatkan pemahaman orang ramai perlu difikirkan kembali khususnya menekankan kepentingan bahasa dan sastera.

Berhubung isu generasi muda dikatakan kurang minat terhadap sastera, Zurinah berkata, ia berpunca penekanan pendidikan terhadap sains yang sastera dianggap sebagai tidak ‘mengenyangkan’.

“Masih ramai orang tidak begitu kisah mengenai hal berkaitan perkembangan sastera tanah air.

“Sebagai contoh, ada orang menganggap saya sebagai bekas SN dan ada juga merasakan SN-13 seperti gelaran juara realiti televisyen.

“Ini menunjukkan dangkalnya pemahaman mereka terhadap isu berkaitan,” katanya.

Bagaimanapun, pandangan itu tidak senada dengan Rahman yang menegaskan dunia kesusasteraan semakin kurang menyeronokkan hinggakan keterujaan memiliki buku tidak seperti dulu kerana kewujudan telefon pintar.

Beliau berkata, media sosial tidak begitu membangkitkan karya kerana tidak banyak berlaku kritikan sebaliknya hanya pujian. Hal ini disebabkan kesusasteraan memerlukan kritikan membina untuk membolehkan karya lebih bermutu dihasilkan.

“Kritikan atau polemik sesuatu yang amat dihargai dan ‘dinanti-nanti’ tetapi di FB umpamanya, kita hanya mendapat ucapan tahniah, sedangkan suatu waktu dulu, kritikan yang mencabar orang seni untuk berkarya.

“Disebabkan medium itu terlalu pantas, kita tidak berani ‘mengusik’ hingga menjadikannya seolah-olah sekatan ke atas kemajuan sastera negara kerana akhirnya, apa yang ingin kita lihat ialah mutunya,” katanya.

Rahman berkata, perkembangan sastera tempatan dirasakan kurang diberikan perhatian sejak 1980-an lagi khususnya apabila sastera diperkenal di sekolah sebagai mata pelajaran elektif, bukannya wajib.

Pada akhir 1980-an pejuang sastera dalam kalangan persatuan penulis mencadangkan kesusasteraan Melayu menjadi mata pelajaran wajib tetapi ia tidak berjaya dilaksanakan.

Komponen Sastera dalam Bahasa Melayu (KOMSAS) diperkenalkan pada 2000 tetapi pada peringkat akhirnya tidak menghasilkan banyak faedah kerana masa belajar hanya 40 minit seminggu.

“Sudahlah banyak buku hendak dibaca, markah pula sedikit iaitu hanya 10, pelajar tidak berminat untuk belajar kesusasteraan Melayu,” katanya.

bhonline

sastera : nadi negara

Sastera jadi nadi jiwa negara, bangsa
Oleh Zin Mahmud
26 Jun 2019


Bahasa jiwa bangsa. Tetapi bagaimanakah bahasa itu dapat diungkapkan sebagai jiwa bangsa? Tentunya melalui sastera. Maka, sastera adalah jiwa negara dalam erti kata bahawa bangsa adalah rakyat yang membentuk negara.

Maka pemberian elaun bulanan kepada Sasterawan Negara adalah pengiktirafan kepada sastera negara ini. Ia bukan soal wang itu sendiri atau keperluan individu Sasterawan Negara dalam mengharungi hidup di penghujung usia mereka, tetapi lebih penting ialah pengiktirafan negara terhadap lapangan sastera itu sendiri.

Nasib setiap seorang Sasterawan Negara seperti juga orang lain khususnya seniman adalah berbeza. Ada yang mempunyai kemampuan kewangan yang tinggi kerana memperoleh hasil lumayan daripada karyanya, sementara ada yang hidup selesa atas usaha lain mereka yang tiada kaitan dengan sastera.

Ada pula yang kurang bernasib baik. Tetapi pemberian wang ini bukan semata-mata untuk membantu kehidupan mereka. Ia adalah antara pengiktirafan pada usaha mereka berkarya sastera sepanjang hayat.

Walaupun institusi seperti Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Institut Terjemahan Buku Malaysia (ITBM) adalah badan utama yang menerbitkan hasil karya mereka, tetapi sastera bukanlah suatu kegiatan komersial.

Ia adalah suatu penghasilan seni yang tidak semestinya mendatangkan pulangan besar lebih-lebih lagi di negara kecil seperti Malaysia, sedangkan kegiatan sastera adalah penting bagi negara. Maka dokongan daripada pihak awam iaitu kerajaan adalah diperlukan.

Sasterawan Negara adalah institusi yang diwujudkan oleh kerajaan bagi pihak rakyat dan negara. Maka, sumbangan kewangan daripada dana negara, iaitu milik rakyat, adalah pengiktirafan pada bidang itu, dengan golongan sasterawan yang menyandang gelaran itu mewakili institusi berkenaan.

Apa yang disebut sebagai ‘negara’ termasuk Malaysia ini mempunyai institusi tertentu yang membentuk jati dirinya. Ada yang berupa institusi dalam kerangka pentadbiran negara, seperti Istana Negara, Bank Negara, Muzium Negara, Masjid Negara dan Perpustakaan Negara.

Konsep kehidupan bernegara

Ada yang berbentuk simbolik seperti Jata Negara atau bangunan seperti Tugu Negara. Malah, institusi tarikan pelancongan seperti Taman Negara, Zoo Negara, Pusat Sains Negara dan Planetarium Negara adalah memperkukuh dan memperkayakan konsep ‘negara’ itu.

Ada kala istilah lain juga digunakan seperti ‘nasional’, ‘kebangsaan’ dan ‘rakyat’ adalah juga mewakili konsep kehidupan bernegara. Dalam kategori ini, terletaklah konsep Kereta Nasional, Bahasa Kebangsaan dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Bahasa kebangsaan adalah antara tonggak utama dalam jati diri negara. Dari awal lagi perjuangan bahasa kebangsaan ini beriringan dengan kesedaran nasionalisme yang akhirnya membawa kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu, kemerdekaannya dan diikuti dengan kewujudan Persekutuan Malaysia.

Perjuangan menjadikan bahasa Melayu sentiasa berada di tengah-tengah semua peringkat sejarah negara itu. Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan Tanah Melayu atau Malaya dan kemudian dinamakan bahasa Malaysia yang termaktub dalam Perlembagaan yang diguna pakai bukan saja di Semenanjung tetapi juga di Singapura, Sarawak dan Sabah.

Tetapi kegiatan yang mengungkapkan semangat nasionalisme, kemerdekaan dan pembentukan negara adalah kewartawanan dan kesusasteraan. Dari seawal sebelum merdeka lagi, golongan ini, pada masa itu, seringkali wartawan dan sasterawan adalah golongan yang sama membentuk fikiran rakyat bagi menyediakan mereka untuk menjadi warganegara merdeka.

Karya sastera dalam bentuk puisi, cerpen, drama dan novel disiarkan melalui akhbar, majalah, buku dan juga dilakonkan dalam radio. Maka, karya sastera, sasterawan dan penerbitan akhbar, majalah dan buku membentuk fikiran negara, bukan saja untuk kemerdekaan tetapi pembinaan dan pembangunan.

Golongan utama untuk menghasilkan karya sastera ini adalah sasterawan, tetapi hasil mereka tidak akan diterbitkan tanpa usaha dokongan oleh editor, petugas dan usahawan penerbitan. Maknanya kegiatan sastera itu mempunyai industri sendiri yang pasti merupakan bahagian penting dalam kehidupan negara.

Di sini, institusi paling penting untuk itu adalah DBP. Perkataan ‘bahasa’ dan ‘pustaka’ menempatkan kepentingan mereka bagi kegiatan sastera. Mereka juga melaksanakan peranan mereka dengan mendorong kelahiran sasterawan baharu dan muda.

Namun, sasterawan sudah ada lama sebelum wujudnya DBP, mereka tetap wujud. Tetapi untuk mewujudkan gelaran Sasterawan Negara adalah daya usaha khusus. Ditambah pula dengan langkah pengiktirafan untuk seseorang Sasterawan Negara, memerlukan inisiatif lebih tinggi.

Karya tatapan generasi

Sasterawan Negara yang masih ada sekarang ini ialah Datuk Seri A Samad Said, Prof Emeritus Dr Muhammad Salleh, Datuk Noordin Hassan, Datuk Dr Mohd Anuar Rethwan, Datuk Dr Ahmad Khamal Abdullah, Datuk Dr Baharuddin Zainal dan Datuk Dr Zurinah Hassan. Semua mereka lahir sebelum merdeka dan karya yang dihasilkannya adalah pada awal pembentukan Malaysia.

Ada antara karya mereka mungkin terus menjadi tatapan generasi kemudian. Namun pada masa ini, zaman cetak sedang berlalu. Bagaimanakah corak sastera pada masa akan datang tidak dapat dipastikan, sama ada karya mereka akan terus mewarnai jati diri negara juga tidak dapat dibayangkan.

Walau bagaimana bentuknya industri penerbitan akan datang, lapangan sastera akan terus menjadi jiwa negara selagi bahasa adalah jiwa bangsa. Maka, institusi Sasterawan Negara akan terus relevan.

Penulis adalah bekas Pengarang Kanan Utusan Malaysia

bharian



covid-19 pandemik

WHO isytihar wabak COVID-19 pandemik

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus - AFP

GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan COVID-19 sebagai pandemik, semalam, sekali gus menegaskan penularan dan keadaan wabak itu yang teruk adalah sangat membimbangkan.

Secara umum, pandemik bermaksud wabak penyakit yang tersebar dengan begitu meluas merentasi sempadan, malah hingga ke seluruh dunia.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus, berkata virus berkenaan telah menjangkiti lebih 118,000 orang di 114 negara dan meragut 4,291 nyawa, setakat ini, bahkan angka terbabit dijangka terus meningkat.

“Kami sangat khuatir dengan tahap penularan dan keadaan wabak ini yang teruk, serta tindakan tidak mencukupi yang membimbangkan

“Sehubungan itu, kami telah membuat penilaian bahawa COVID-19 boleh disifatkan sebagai satu pandemik,” katanya kepada pemberita, di sini.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan secara khusus negara yang gagal mengambil tindakan mencukupi mahupun menjelaskan pendekatan lanjut diperlukan.

Sebaliknya, beliau menekankan bahawa semua negara perlu mengambil tindakan segera dan agresif untuk mengekang serta memerangi virus berkenaan.

“Kami tidak pernah melihat pandemik dicetuskan oleh coronavirus sebelum ini,” katanya.

Jumlah kes COVID-19 di luar China meningkat 13 kali ganda dalam tempoh dua minggu lalu, manakala bilangan negara yang terkesan bertambah tiga kali ganda.

Iran dan Itali muncul negara paling terkesan di Asia Barat serta Eropah dengan masing-masing mencatatkan 354 dan 827 kematian, setakat ini.

Tedros berkata, Itali dan Iran sedang berada ‘di barisan hadapan’ dan menderita akibat penularan wabak itu.

“Namun, negara lain akan berada dalam situasi berkenaan, tidak lama lagi,” katanya.

Penularan COVID-19 menyaksikan Britain dan Itali yang semakin bimbang akan impaknya terhadap bidang ekonomi, telah mengumumkan peruntukan berbilion dolar untuk memerangi penyakit itu, manakala Amerika Syarikat sedang mempertimbangkan langkah baharu untuk tujuan sama.

Krisis wabak itu semakin mencengkam Eropah dengan Ireland, Albania, Belgium, Sweden serta Bulgaria mencatat kematian pertama, semalam, manakala Itali merekodkan lebih 2,300 kes baharu dalam tempoh 24 jam dan jangkitan di Sepanyol pula melonjak hingga kini mencecah lebih 2,100 mangsa.

Sementara itu, Ketua Program Kecemasan WHO, Dr Mike Ryan, pula berkata penggunaan perkataan ‘pandemik’ tidak akan mengubah tindak balas agensi berkenaan.

Selain itu, beliau berkata, terdapat unsur kawalan yang kukuh dan peluang sebenar untuk mengurangkan angka kes COVID-19. - Agensi


bharian


Fahami perbezaan epidemik, endemik dan pandemik
Fauzi Suhaimi
 Mac 12, 2020


Epidemik, endemik dan pandemik merupakan terma dalam penularan wabak yang membawa maksud yang berbeza.

SUSULAN penularan virus Koronavirus (COVID-19) yang semakin membimbangkan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkategorikan situasi itu sebagai pandemik.

Apa itu pandemik? Untuk memahami apakah maksud di sebalik terma itu, berikut penjelasan makna di sebalik tiga terma yang menggambarkan situasi penularan wabak iaitu pandemik, endemik dan epidemik.


Pandemik

Istilah pandemik merujuk kepada wabak yang menyerang dalam skop lebih besar dan tidak terhad kepada sesuatu komuniti atau daerah semata-mata.

Wabak ini akan mengancam kawasan yang lebih luas seperti sebuah negeri, negara, benua atau mungkin juga seluruh dunia jika dibiarkan melarat.

Pandemik bermula daripada penularan wabak di peringkat epidemik yang merebak secara meluas sehingga tidak dapat dikawal dan mampu membunuh ramai orang dalam masa singkat.

Selain itu, kita juga perlu memahami sekiranya sesuatu wabak itu berada pada peringkat endemik dan
menyerang satu negara misalnya, tetapi berada dalam keadaan terkawal, wabak itu tidak akan dikategorikan sebagai satu pandemik.

Antara pandemik yang pernah berlaku adalah wabak Antonine, wabak Jusne serta 'The Black Death' yang dipercayai membunuh puluhan juta orang sekitar abad ke 14.

Pada ketika ini, satu-satunya pandemik yang sedang berlaku adalah penyakit HIV/AIDS yang diramalkan mampu mengorbankan sehingga 100 juta orang pada tahun 2025 kelak.

Selain itu, krisis Koronavirus (COVID-19) yang menghantui seluruh negara ketika ini juga telah diklasifikasikan sebagai penularan wabak pandemik oleh WHO.


Perbezaan endemik, epidemik dan pandemik. -KKM


Endemik

Endemik merujuk kepada penyakit atau wabak yang sentiasa wujud di sesuatu kawasan atau daerah tertentu.

Ini termasuk penularan wabak dalam skop yang lebih besar seperti melibatkan sebuah negara.

Perkara ini juga membawa makna kepunyaan atau berasal daripada sekumpulan manusia di sesuatu tempat tertentu.

Penyakit malaria yang menyerang kawasan-kawasan di benua Afrika satu ketika dulu adalah antara endemik yang mengancam dunia.

Tiga negara dalam dunia yang merekodkan wabak endemik paling tinggi adalah Republik Congo, Madagascar dan juga Peru.

Endemik lain yang tercatat dalam sejarah termasuk penyakit demam kuning dan malaria di Congo; wabak bubonik di Madagascar; dan wabak demam kuning, malaria dan demam denggi di Peru.


Epidemik

Merujuk kepada Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), epidemik membawa maksud penyakit berjangkit yang mudah merebak dalam kalangan penduduk sesuatu kawasan pada waktu yang sama.

Epidemik juga membawa maksud wabak yang menyerang sekumpulan manusia atau komuniti.

Terma ini digunakan sekitar tahun 1600 apabila berlakunya wabak dalam kelompok komuniti membabitkan orang Greek dan istilah itu masih kekal sehingga hari ini.

Contoh wabak epidemik yang melanda negara kita ialah serangan virus nipah yang menyerang komuniti di daerah Kinta, Perak pada tahun 1998.

astroawani




masa bekerja

'Takkan jam 4 petang masih makan' - Zulkifli
Oleh Samadi Ahmad

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berucap di majlis Tausiyah 'Am Agensi-Agensi Agama di bawah Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya. NSTP/Mohd Fadli Hamzah

PUTRAJAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri akan memperkenalkan cara kerja mengikut sistem piramid dan menitikberatkan konsep masa ketika bertugas.

Bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu juga menegaskan, beliau tidak suka penjawat awam di bawah jabatan dan agensi kementerian mengabaikan waktu ketika menjalankan tugas.

Sehubungan itu, katanya, ketua-ketua jabatan perlu menyediakan laporan setiap minggu kepadanya mengenai tugas kakitangan bawahan supaya semua bekerja secara profesional.

“Saya suka kerja secara piramid, saya bukan ‘one man show’ (kerja berseorangan). Mulai sekarang juga, setiap ketua perlu ada laporan mingguan bagi kakitangan bawahannya.

“Bos atau ketua unit perlu periksa kakitangan masing-masing. Jam 9 pagi mereka di mana, jam 3 petang mereka di mana, takkan jam 4 petang masih makan lagi. Ini budaya tak elok,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menyampaikan tausiyah am (ceramah agama) kepada kakitangan jabatan dan agensi agama di bawah kementerian itu di Masjid Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin, di sini hari ini.

Yang turut hadir adalah timbalannya, Ahmad Marzuki Shaary dan Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Paimuzi Yahya, di sini hari ini.

Mengulas lanjut cabaran-cabaran berkaitan masa, bekas mufti itu berkata, berdasarkan apa yang dilihat dan diperhatikannya, ada kakitangan awam banyak membazirkan waktu.

“Kadang-kadang mereka buat kerja tidak penting, hilang waktu bertugas, tempat duduk kosong, anak buah tidak dapat dikesan oleh ketua dan sebagainya. Ini konsep tidak sihat. Padahal kalau kita datang awal, buat kerja awal, kita dapat menyiapkan kerja lebih awal.

“Perkara ini penting kerana nikmat yang kita miliki adalah untuk rakyat dan masa itu pula bersifat keemasan,” katanya.

Zulkifli turut menjelaskan, beliau tidak dapat masuk awal ke pejabat pada hari pertama tugasan rasminya sebagai menteri semalam kerana perlu menghadiri dan menyelesaikan beberapa perkara berkaitan pelantikannya ke dalam Kabinet.

“Semalam saya tak masuk pejabat, sengaja saya masuk hari ini sebab nak solat sunat dhuha dan solat sunat hajat dengan tuan-tuan,” katanya.

Mengenai perancangan terdekatnya yang lain, Zulkifli memaklumkan, beliau akan memperkenalkan fail meja, iaitu sebaik kakitangan masuk pejabat, mereka sudah tahu apa bidang kerja dan tugasan yang perlu dilakukan mengikut kelayakan masing-masing.

“Saya mahu kakitangan di jabatan dan agensi agama ini setaraf dengan kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), kerja dengan profesional. Sebolehnya, saya mahu mengelak stigma buah mulut orang ramai bahawa orang agama, agensi agama ini lemah, tidak stabil (dari segi kerja),” katanya.

Beliau turut menjelaskan, konsep rahmah di bawah pentadbirannya ialah kasih sayang, bukan membalas dendam kerana amanah itu lebih tinggi dan menjadi pakaian bagi setiap umat Islam.

“Saya juga akan beri hadiah kepada pekerja yang 200 peratus cemerlang dan hadiah berkenaan akan diberikan kepada semua peringkat jawatan termasuk yang berjawatan rendah, asalkan layak,” katanya.

bharian

7 Mar 2020

cinta

CINTA

mengapa berdiri berjarak begitu
setelah mengenal pangkal dan bucu
terjawab segala rahsia kalbu
siapa aku di sudut matamu

bukan bermula dengan mudah
sebelum di sini begitu lama berpayah
luka dan sakit diharung bersama
kurang dan tiada diterima segala

masa berulang datang dan pergi
sermakin menua usia cinta
semakin terasa khilaf dan perih
seperti tak terampun segala pecah
luka di jari begitu berdarah
kaca menikam sangat menyakitkan

sesudah melihat jalan terang
lorong yang lama berbalam-balam
luka sedikit sukar diubati
parah terbawa ke gelombang hati

dulu waktu dalam kesempitan
maaf selalu terdengar bergetaran
terima segala pahit dan kurang
kita manusia penuh keinsafan

mengaapa pergi hati yang dulu
berjarak berdiri memandang ragu
bukankah semua sebagai mula
hati dan jiwa cinta dan raga

ingat lagi masa kekurangan
makan sepinggan berlauk tiada
tapi hati berbumbung bahagia
cinta terindah terasa ada

bisakah kembali ke saat itu
cinta indah dai sanubari kalbu
kau kekasih awal dan hujung
taman hati tempat bernaung