Aishah ghani, patah tak tumbuh lagi
SN DR. AHMAD KAMAL ABDULLAH
30 Jun 2019
KELUARGA Pak Aziz Abu Hassan berkumpul di Pelabuhan Tanjung Pagar dalam suasana sedih pilu pada pagi 10 April 1955. Pak Aziz akan melepaskan isterinya Aishah Ghani berangkat ke London dengan Kapal Canton. Peluit akhir berbunyi bergulung-gulung. Mereka berpelukan suami isteri, air mata yang cuba disekat, mengalir juga apabila menatap anaknya yang berumur enam dan lapan tahun tidak mahu melepaskannya pergi. Bayinya yang masih berumur tiga bulan itu, seakan mengerti dia akan ditinggalkan ibu, lelap dalam dakapan neneknya. Dengan langkah gontai, dia menaiki tangga kapal di tengah-tengah penumpang lain. Lambaian suami, anak-anak dan keluarganya seolah berbalam-balam. Bibirnya basah membaca kalimah tiga Qul diikuti dengan doa bermusafir.
Jika bukan kali ini, dia tahu dia tak akan mencapai cita-citanya. Suaminya yang juga pernah menjadi guru bahasa Inggerisnya di Diniyah Puteri Padang Panjang, Sumatera Barat, memberi restu penuh.
“Capailah cita-citamu adinda bagi menjadi wartawan berilmu!” katanya. Dan berjanji akan tetap memelihara tiga anak mereka yang masih kecil. Bukankah Aishah Ghani sudah nekad untuk menyeberangi lautan, bercinta dengan ilmu pengetahuan seperti yang pernah dinukilnya:
Tahukah kau sayang
Sebelum kau dan aku berkenalan
Aku telah mencintai sesuatu
Kuanggap ia sebagai kekasihku pula
Tapi keadaan tak mengizinkan kami bertemu
Kerana kekurangan syarat pada diriku
Sayang izinkan aku pergi menemui kekasihku
Dan aku akan kembali kepadamu
Setelah kami puas bercumbu bercengkerama
di pantai cita-cita.
Aishah menangis sepuas-puasnya di biliknya. Air mata perpisahan kali ini bukan sahaja untuk suami tercinta tetapi untuk tiga anaknya. Mereka kelak akan tahu betapa pedih hati seorang ibu memilih ilmu pengetahuan untuk masa depannya sebagai politikus yang berjuang untuk negara Malaya yang akan merdeka. Umbang-ambing pelayaran dengan deburan ombak seperti orang meraung itu tak memudarkan tekad Aishah bagi menuliskan pengalamannya dalam buku Ibu Melayu Mengelilingi Dunia: Dari Rumah Ke London. Pada 9 Mei 1955 tibalah kapal Canton di pelabuhan Tilbury Docks, London. Udara pelabuhan cepat dihidunya dengan hanyir dan kalap. Tapi dia tahu hanyir dan kalap itu akan berganti dengan aroma yang manis apabila pengajian Journalism di Regent’s Polytechnique dapat dihadapi dengan sebaik-baiknya (1955-1958).
Sekembalinya ke tanah air, Aishah berkhidmat dengan Berita Harian. Suasana yang baharu tidak sama seperti yang pernah dialaminya sewaktu menjadi wartawan di Pelita Malaya dahulu. Beliau bekerja, suami tercinta mengurus rumah tangga dan menjaga anak-anaknya. “Saya memakai mini skirts,” Pak Aziz berjenaka.
Buku Aishah Ghani itu dicetak ulang oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) dalam teknik yang lebih menarik lagi. Masyarakat dapat mengenal srikandi, politikus dan wartawan yang cekatan ini. Aishah dilahirkan di Kampung Sungai Serai, Hulu Langat, Selangor pada 15 Disember 1923. Beliau bersekolah di Sekolah Melayu Bukit Raya, Cheras dan ayahnya mengirimnya ke Sekolah Puteri Diniyah Padang Panjang agar mengerti dengan selok belok didikan Islam. Di sinilah bakat kepimpinan, berpidato, berhujah dan kesedaran menyerlah terhadap nasib agama, bangsa dan tanah air yang wajar dibebaskan daripada belenggu penjajahan. Aishah bersekolah di Puteri Diniyah ini sejak 1936 hingga 1939. Kemudian melanjutkan ke Perguruan Tinggi Islam Padang (1940-1943).
Dalam bidang politik pada 1945 beliau menyertai Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pada 1949 Aishah menjadi pemimpin Angkatan Wanita Sedar (Awas) PKMM. Perkembangan politik tanah air kemudiannya mendorong Aishah memilih bergerak dalam UMNO, menjadi Setiausaha UMNO Kampung Baru dan seterusnya diangkat menjadi Senator wanita pertama pada 1963. Beliau juga pernah menjadi juruhebah wanita pertama di Radio Malaya.
Beliau menjadi Timbalan Ketua Pergerakan Wanita dan seterusnya sebagai Ketua Pergerakan Wanita UMNO. Kemudian menjadi Menteri Kebajikan Masyarakat pada 1973 hingga 1984. Sewaktu dalam tempoh khidmatnya ini, beliau vokal dengan masalah mengangkat martabat wanita yang dipandang rendah. Untuk itu, Aishah bergerak aktif dalam Persatuan Wartawan Wanita (Pertiwi) bersama Azah Aziz, Habibah Manan, Zaleha Abdul Jalil dan Rahmah Abdul Hamid. Dengan Azah Aziz, Aishah Ghani diundang melawat Russia melihat kemajuan gerakan wanita di negara tersebut.
Perkahwinannya dengan Pak Aziz dikurniakan Allah tiga anak Sairuddin, Mariati dan Astaman. Jasanya itu dibalas oleh Malaysia dan Selangor dengan bintang kebesaran JMN, DPMS, PMN dan SPMS. Tan Sri Aishah Ghani turut menerima Ijazah Kehormat kedoktoran Undang-undang daripada Universiti Sains Malaysia (USM) dan Doktor Kehormat Sains Politik daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sebagai politikus yang berjuang di tengah-tengah bangsanya dia dapat merasakan “betapa getir dan pahitnya penindasan Jepun terhadap tanah air dan bangsanya, itulah yang menghidupkan semangat saya untuk berjuang bagi memerdekakan tanah air yang tercinta ini!”
Sebagai politikus yang pernah aktif dalam Awas, Aishah dikenal sebagai nasionalis sosialis. Dan beliau memilih bukan sahaja sebagai nasionalis tetapi akarnya terhadap kebangsaan dan keislaman.
Jika tidak, apakah gunanya ilmu dan keislaman yang diperolehinya daripada Diniyah Puteri di Padang Panjang?
Aishah pernah mewakili Wanita Malaysia ke mesyuarat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Beliau mengasaskan Yayasan Kebajikan Negara dan pernah dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia dan Ahli Jawatankuasa Yayasan Tun Abdul Razak.
Sewaktu wartawan menemu bual tentang percintaan dengan suaminya pada usia 89 tahun, beliau masih dapat mengingat pertemuan pertamanya dengan Pak Aziz: “Bukan ada love affair, apa-apa, tetapi saya suka kepada sikapnya yang prihatin dan kesederhanaannya,” sambungnya lagi, “Adalah tiga atau empat kali bertemu...”
Sikap yakin diri, budiman itulah yang memikat hatinya kepada bakal suami. Sewaktu Aishah diangkat menjadi senator, Pak Aziz menghadiahkannya sebuah Mercedes-Benz, tapi beliau cukup selesa memandu kereta tua. Begitu sekali sederhana sikap merendah dirinya. Ayah Aishah bernama Abdul Ghani Sahabat. Ibunya, Magunah Pasak Jelujur. Dan jangan tidak kita tahu, bahawa Aishah punya bapa tiri juga bernama Pandito Megat.
Dari Selangor Aishah menerima beberapa anugerah lain yakni Tokoh Wanita Negeri Selangor (1986); Tokoh Emas Selangor (2002); Tokoh Maal Hijrah (2002M-1423H); Anugerah Pejuang Negeri Selangor dan Anugerah Mutiara Puteri.
Selain bukunya yang pertama Aishah turut merakamkan perjuangannya dalam buku yang lebih lengkap lagi Aishah Ghani: Memoir Seorang Pejuang terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Pejuang nasionalis srikandi bangsa ini meninggal dunia pada 19 April 2013 dalam usia 90 tahun kerana sakit tua. Aishah Ghani sudah pergi, patah tak tumbuh lagi.
Sikap yakin diri, budiman itulah yang memikat hatinya kepada bakal suami. Sewaktu Aishah diangkat menjadi senator, Pak Aziz menghadiahkannya sebuah Mercedes-Benz, tapi beliau cukup selesa memandu kereta tua. Begitu sekali sederhana sikap merendah dirinya.
utusan

TAN SRI AISHAH GHANI. GAMBAR: JEFFRI

Comments
Post a Comment