kereta nasional pertama

Kontroversi projek ‘Kereta Malaysia’


PROTON Saga, kereta nasional pertama negara dilancarkan dengan rasminya oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad pada 9 Julai 1985.


SAHIDAN JAAFAR
10 Mei 2019


PAKAR ekonomi mengkritik hebat langkah Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melaksa­nakan projek ‘Kereta Malaysia’ yang dianggap tidak berfaedah atau sesuai bagi pembangunan ekonomi Malaysia.

Pakar ekonomi seperti Jomo Kwame Sundaram, Chee Peng Lim dan Raphael Pura menyifatkan kos projek kereta Malaysia amat mahal menyebabkan ramai ahli ekonomi sama ada dari pihak kerajaan atau pun swasta bersetuju bahawa projek kereta Malaysia tidak ‘viable’.

Menurut seorang pakar, Chee Peng Lim yang menulis artikel “Beban Ekonomi Projek Kereta Malaysia” yang termuat dalam buku Dasar-Dasar Ekonomi Mahathir (1987) menyatakan, projek


AKHBAR AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 10 Julai 1985 bertajuk “Malaysia kini penjual kereta” memaparkan berita Proton Saga, kereta buatan Malaysia dilancarkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad di Shah Alam pada pukul 10.30 pagi, 9 julai 1985.


itu “tidak berfaedah atau sesuai bagi pembangunan ekonomi Malaysia”.

“Projek ini amat mahal. Kos sebenarnya mungkin tidak dapat diketahui kerana dirahsiakan oleh kerajaan. Namun demikian, anggaran kos yang konservatif adalah seba­nyak RM1.5 bilion termasuk kos langsung dan tidak langsung…” (Chee Peng Lim 1987: 95).

Menurut Jomo Kwame Sundaram melalui artikel “Kereta Malaysia, Untung Mitsubishi” dalam “Dasar-Dasar Ekonomi Mahathir” (1987), pengeluaran apa yang digelarkan sebagai ‘Kereta Malaysia’ merupakan projek yang dikaitkan dengan Dasar Pandang Ke Timur yang paling kontroversi setakat ini.

“Pengeluaran Kereta Malaysia dianggap perlu oleh sesetengah pihak demi memajukan perindustrian di Malaysia. Memang tidak dinafikan bahawa perkembangan perusahaan kereta pernah memainkan peranan penting dalam sejarah pembangunan ekonomi Amerika Syarikat dan Jepun. Tetapi atas beberapa sebab, Malaysia tidak dapat meniru pengalaman negara-negara itu” (Jomo Kwame Sundaram 1987: 90).

Malah menurut Jomo, beberapa buah negara pernah memajukan rancangan perindustrian tanpa mengeluarkan sebarang kereta.

Raphael Pura yang menulis artikel bertajuk “Industri berat, ekonomi karam? Strategi perindustrian berat dipersoalkan” yang turut termuat dalam Dasar-Dasar Ekonomi Mahathir (1987) menyatakan, projek industri berat sebagai dasar penting untuk mempercepatkan pemindahan teknologi dari Jepun dan Korea Selatan yang dianggap sebagai projek kesayangan Dr. Mahathir sendiri.


AKHBAR AKHBAR Utusan Malaysia bertarikh 9 September 1985 bertajuk “Jangan perkecil Proton Saga” yang menyatakan harapan Dr. Mahathir Mohamad ketika melancarkan Proton Saga.


“Malah, Dr. Mahathir sendiri merupakan kuasa penggerak di sebalik dasar perindustrian berat. Apabila menjadi Perdana Menteri beliau memindahkan Heavy Industries Corporation of Malaysia (HICOM) dari tanggungjawab Kementerian Perdagangan dan Perindustrian kepada Jabatan Perdana Menteri.

“Dr. Mahathir juga telah mempercepatkan pelaksa­naan projek simen, keluli dan enjin motosikal dan mengge­rakkan semula projek kereta Malaysia setelah malap sejak 1980” (Raphael Pura 1987: 86).

Usahasama projek kereta Malaysia berkenaan melibatkan dua pihak utama iaitu HICOM yang menyumbangkan 70 peratus daripada modal berbayar sebanyak RM100 juta pada satu pihak dan Mitsubishi Corporation (MC) 15 peratus dan Mitsubishi Motor Corporation (MMC) 15 peratus. Baki RM380 juta yang dianggarkan akan dipinjam dari Bank Eks­port Import Jepun serta bank-bank perdagangan lain.

Pada 9 Julai 1985, tepat pukul 10.30 pagi, selepas menanam anak pokok saga, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir pun dengan rasminya melancarkan Proton Saga yang pertama keluar dari loji pemasangan, setahun lebih awal daripada jadual asalnya.

Menurut Datuk Tharu T. Tharumagnanam @ Tharu Thambiah dalam The Making Of The National Car: Not Just A Dream (1994), sebagaimana yang sudah terbukti, Projek Kereta Nasional yang pada mulanya telah diselar hebat oleh orang ramai itu, kini sudah menjadi kenyataan.

Projek tersebut bukan kha­yalan atau suatu ilusi.

Pembukaan rasmi penjualan Proton Saga yang pertama kepada orang awam oleh Dr. Mahathir pada 1 September 1985 merupakan acara meriah yang disiarkan secara langsung oleh televisyen dan ditonton berjuta orang.

“Selepas menepung tawar kereta tersebut dan kemudiannya mengaminkan bacaan doa selamat, beliau (Dr. Mahathir) mengumumkan dirinya sebagai pembeli pertama kereta Proton Saga, sebuah sedan untuk isterinya, Dr. Siti Hasmah” (Tharu T. Tharumagnanam 1994: 46).

Dr. Mahathir merumuskan bahawa sentimen ramai rakyat yang telah berjaya menjadikan impian terhadap projek kereta Malaysia itu suatu kenyataan.

utusan

Comments