Novel besar terbitan Utusan
MANA SIKANA
26 Februari 2019
DALAM mengingati kelahiran Utusan Melayu, saya berasa terpanggil untuk membicarakan novel-novel besar yang mencapai taraf unggul yang diterbitkan oleh penerbitannya.
Novel pertama yang menjadi pilihan, jika disebut namanya semua orang rasanya akan setuju. Malah, wujud persetujuan hasil pemilihan yang dibuat oleh penyelidikan perpustakaan dan kerja lapangan pusat pengajian tinggi. Inilah teks yang berada di puncak penevolan Melayu, yang berdiri sebagai karya narasi besar, mendominasi dan bertakhta.
Sewaktu diterbitkan pada tahun 1960-an, ia mendapat resepsi yang baik dalam kalangan khalayak sastera dan kritikan yang positif.
Subjeknya ialah tentang barah kemiskinan masyarakat Melayu yang diwarisi hasil penjajahan, yang sukar ditanggalkan dan hanya pasrah pada takdir dan kalah kepada kekuasaan alamiah.
Watak protagonisnya secara jujur dan gigih berjuang dengan tabah dan nekad.
RANJAU SEPANJANG JALAN
Novel ini begitu dekat dengan budaya Melayu. Jika Hang Tuah adalah pencitraan Melayu tradisional, watak-watak dalam novel ini lambang manusia Melayu pascamerdeka. Melayu yang tercabar dalam gelanggang pertarungan, dan ada di antara wataknya yang menjadi gila.
Tekdealisme mendapati, faktor komplikasi dan subjek yang komplikated, diramu oleh unsur hiba, melankolik dan tragis serta dilentur oleh moraliti zamannya; menjadikan teks ini, berhasil mencitrakan superego yang dibayangi oleh collective unconscious jati diri Melayu.
Sesungguhnya penulisnya menjiwai budaya Melayu dan nilai kebangsaan. Itulah Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, Lahuma yang tewas dan Jeha dilanda gila, bagaikan sebuah sejarah kesakitan Melayu.
Gambarannya realistik, malah kerana begitu rinci, ia mendekati naturalistik. Novel ini berwasiat, untuk hidup manusia Melayu mestilah meneruskan perjuangan dan memegang azimat Malay Power. Shahnon Ahmad mula menceburkan diri melalui cerpen pada tahun 1956.
Ia melakukan perlanggaran dengan mempelopori aliran bawah sedar, meletakkannya sebagai cerpenis terpenting selepas Keris Mas. Namun, kejayaan besarnya apabila mula menghasilkan novel Rentong, 1965, dan Terdedah pada tahun yang sama terbitan Abbas Bandung. Dan namanya tiba-tiba bergema apabila pada 1966 menghasilkan Ranjau Sepanjang Jalan penerbitan Utusan Melayu.
Novel-novelnya kemudian seperti Menteri, Protes, Perdana, Srengenge, Sampah, Kemelut, Seluang Menodak Baung, al-Syiqaq, Tunggul-Tunggul Gerigis, Tok Guru, Sutan Baginda, Patriarch, Kak Umi dan Abang Syeikul, Tivi, Shit dan Mahabbah tidak dapat menanggalkan keunggulan Ranjau Sepanjang Jalan . Ia sinonim dan menjadi teks subjektiviti Shahnon.
Malah kepengarangannya pernah diparalelasi dengan penyair dan novelis romantis Perancis, Victor Hugo.Malah, ada yang menyatakan pencapaiannya, sama taraf dengan pencapaian dramatis Greek seperti Aeschylus, Sophocles, Euripidesdan Euripides yang diakui kekuatannya oleh Aristotle dalam Poetics. Maka benarlah, Shahnon Ahmad adalah raja novelis Malaysia.
SAGA
Setelah 10 tahun Ranjau Sepanjang Jalan, muncul sebuah novel membawa fenomena baharu dalam penulisan novel dekad 1960-an yang menghasilkan 238 teks. Pada tahun 1976, dalam usaha mendapatkan novel bermutu Sayembara Novel GAPENA telah dianjurkan. Pemenangnya ialah Abdul Mutalib Hassan dengan novelnya Saga.
Saga menggemparkan, pertamanya teknik naratif orang ketiga, telah dilanggar oleh pengarangnya. Ketiga-tiga wataknya iaitu Rahmat, Hisyam dan Munirah berdepan dengan khalayaknya dengan kesemuanya, mengaplikasikan ganti orang pertama.
Mekanisme ini membuka citra perwatakan yang dinamis dan gerakan jalur penceritaannya segar dan hidup. Ditambah pula dengan stailnya yang jernih dan subur, serta latarannya yang bervariasi, tepat dan benar.
Dengan cepat ia mempesona dan menawan jiwa khalayak sastera waktu itu dan Saga pantas menjadi popular dan kebanggaan.
Kedua, bagaikan selari dengan visi sayembara untuk mendapatkan teks yang membawa gambaran Melayu pasca merdeka; Saga menyuguhkan pemikiran dan mengisahkan tiga watak utama daripada generasi muda negara yang intelektual. Mereka meninggalkan kemewahan serta kesenangan hidup di bandar.
Tujuannya untuk mencurahkan ilmu, tenaga dan bakti bagi membangunkan masyarakat kampung ketinggalan jauh terpencil untuk berkhidmat meninggikan taraf hidup yang keciciran dan terpinggir.
Mereka terjebak dalam pelbagai kancah konflik seperti hasad dengki, khianat dan cabaran-cabaran lainnya, khususnya daripada sebahagian masyarakat kampung yang mencurigai atau memandang serong di atas kejujuran, ketulusan dan kemurnian cita-cita mereka. Pertentangan nilai menjadikan teks ini menarik dan sesuai dengan akal zamannya.
Novel Saga menjadi laris, khalayak dan pengkritik berlumba-lumba memperkatakannya. Sebagai pengarang Abdul Mutalib Hassan, mendapat pengiktirafan yang besar dalam jangka waktu yang singkat - namanya mengharum dengan tiba-tiba sahaja. Tidak syak lagi Saga mencipta fenomena, dan berjaya membina kemuncak dalam penovelan tanah air.
IMAM
Novel ketiga ialah Imam karya Abdullah Hussain. Novel ini memenangi Hadiah Novel Nasional yang tujuannya untuk mengingati Pak Sako, 1992/94, yang dianjurkan bersama oleh Syarikat Utusan Melayu dan Public Bank Berhad. Yang kemudiannya turut diangkat memenangi Hadiah Sastera Malaysia 1994/95.
Imam menjadi pusat wacana sastera, kerana sebagai sebuah novel ia sangat tebal, berat dan komplikated. Dan yang paling menggemparkan, kerana ia adalah sebuah teks sastera Islam. Novel ini sangat menyentuh hati, mengisahkan tentang perjuangan seorang imam yang ingin membawa pembaharuan di kampungnya.
Namun ia mendapat tentangan, seagama dan sebangsa; malah dari saudara-maranya sendiri. Imam Haji Mihad didakwa membawa ajaran baharu yang agak asing bagi kampungnya, sehingga mendapat perhatian pihak majlis agama. Watak Imam menyedarkan bahawa tugas hakikinya tidak hanya sebagai mengimamkan solat, tetapi perlu mempunyai tanggungjawab sosial.
Abdullah Hussain sebenarnya, membezakan dengan penulis sezaman dengannya pada corak penulisannya yang autobiografikal. Novel-novelnya seperti Terjebak, Peristiwa, Rantau Selamat, Interlok dan Intan memperlihatkan penguasaan genre autobiografi.
Sumber sejarah diadun dengan peristiwa kekinian, menjadikan novelnya relevan, padat dan sesuai.
Corak autobiografikal tidak banyak mengundang kreativiti pengarang tanah air, kerana ia memerlukan kekayaan pengalaman, ketajaman ingatan, sumber sejarah dan sifat-sifat komentar sosial.
Meskipun bentuk ini dimulai oleh Abdullah Munsyi abad ke-19, tetapi secara radikalnya dikembang, dan mendapat wajah baru di tangan Abdullah Hussain.
Ironinya, tidak banyak karya besar sastera Islam dapat dijadikan rujukan. Tiba-tiba, Abdullah Husain hadir dengan Imam, sebuah teks yang mengkocakkan samudranya. Imam tidak sahaja bersifat taat budi, juga bersesuaian dengan tasyrik ahli Sunnah dan Jamaah. Imam dinobatkan sebagai model, ikon dan grand narrative Islamic.
Tidak berhenti di situ sahaja, Abdullah Hussain segera dikaitkan dengan Anugerah Sastera Negara, setelah berlaku kekosongan tiga tahun selepas Noordin Hassan 1993. Pada 20 Ogos 1994, saya menulis dalam Utusan Malaysia “Abdullah Sasterawan Negara?”, yang memberi sokongan atas penganugerahan Sastera Negara kepada Abdullah Hussain.
Terbukti dengan pencapaian dan kekuatan individualisme Imam, Abdullah Hussain telah dianugerahkan dengan kedudukan tertinggi pengarang Malaysia itu pada tahun 1996.
Demikianlah tiga buah novel terbitan Utusan Melayu, Ranjau Sepanjang Jalan karya Shahnon Ahmad, Saga karya Abdul Mutalib Hassan dan Imam karya Abdullah Hussain telah menduduki antara tempat tertinggi dalam penulisan novel negara.
Tahun 1966, 1976 dan 1996 adalah tarikh keramat. 1966 Ranjau Sepanjang Jalan, 1976 Saga dan 1996 penobatan Abdullah sebagai Sasterawan Negara. Tidak syak lagi, ketiga-tiga buah novel itu, berhasil meletakkan dirinya sebagai karya bermutu, berfenomena dan mencipta sejarah dalam perkembangan sastera Melayu.
Sesungguhnya, ketiga-tiganya akan terus mendapat sanjungan, dibaca dan diapresiasi oleh anak watan untuk sepanjang zaman.
DR. ABDUL RAHMAN NAPIAH (MANA SIKANA) ialah Sasterawan Perak 2004.
utusan
MANA SIKANA
26 Februari 2019
DUA buah novel yang diterbitkan Utusan Melayu ini telah mencipta fenomena tersendiri dalam dunia sastera tanah air.

Comments
Post a Comment