Sayembara Novel Fiksyen Sains & Teknologi UTM – Kumpulan Utusan Musim ke-4, 2016
Milla Thalia
12 Jun 2016
Barisan pemenang, dari kiri, Sri Rahayu Mohd. Yusop, Fadhli Al-Akiti dan Nor Azida Ishak (kanan) menunjukkan trofi yang mereka terima selepas diumumkan sebagai pemenang dalam Majlis Penyampaian Hadiah dan Pelancaran Karya Pemenang Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi UTM-Kumpulan Utusan Musim ke-3 di Ibu Pejabat Kumpulan Utusan, Kuala Lumpur, dua tahun lalu.
KURANG SEBULAN dari sekarang, iaitu 30 Jun ialah tarikh tutup penyertaan Sayembara Fiksyen Sains dan Teknologi Musim ke-4, 2016. Ia menjadi kemuncak kepada tujuh siri bengkel yang telah pun dilaksanakan di tujuh tempat atau zon dari Oktober 2015 hingga Januari 2016.
Sesuatu yang menarik dan istimewa bagi sayembara kolaborasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Kumpulan Utusan ini ialah siri jelajah bengkel sebaik-baik sayembara mula dilancarkan.
Tujuan dan matlamat bengkel ini adalah untuk memberi penerangan yang lebih jelas kepada para penulis yakni calon dan bakal peserta Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi. Inisiatif perkongsian ini dan mengimbau kekuatan karya pemenang terdahulu diguna bagi memberi inspirasi dan suntikan semangat kepada peserta juga.
Tradisi ini bukanlah perkara baharu. Sejak sayembara pada musim pertama, tanggal 10 Februari 2009, siri jelajah bengkel seumpama ini sudah pun dijalankan. Ia meninggalkan impak yang sangat positif apabila peserta yang hadir lebih memahami maksud dan hasrat sayembara.
Peserta yang datang ke bengkel rata-ratanya penulis yang sudah berkarya. Dengan pengetahuan dan pengalaman yang sudah ada, hal itu mudahlah bagi mereka menghadam isi bengkel dengan menerapkan semangat sayembara ke dalam karya. Ada peserta yang barangkali belum pernah berkarya tetapi berminat, mereka berkemungkinan hadir untuk mendekatkan diri. Manakala, ilmu yang diperoleh digunakan untuk menghasilkan karya dalam musim-musim sayembara yang lain. Hasilnya, jumlah penyertaan meningkat daripada satu musim ke satu musim yang lain. Misalnya pada sayembara musim ke-3, sebanyak 22 manuskrip, dengan bilangan pengarang melebihi 22 orang kerana sayembara ini membenarkan penyertaan secara berpasukan tidak melebihi tiga orang.
Penyertaan yang lebih besar diharapkan akan terjadi dalam sayembara musim ke-4 ini. Harapan sedemikian apabila melihatkan sambutan hangat peserta dalam setiap bengkel yang dijalankan. Peserta lama muncul semula untuk memperbaharui ilmu yang sudah sedia dimiliki. Atau, mengutip masukan-masukan ilmu baharu yang disediakan penceramah yang terdiri daripada empat tokoh terkenal dalam bidang sains dan teknologi, pengkritik sastera berwibawa dan tokoh pengarang yang tidak dapat disangkalkan lagi kemampuan berkongsi pengalaman dan pengetahuan.
Apa yang boleh dirumuskan berdasarkan bengkel pada musim ke-4 yang baru berlalu ialah keperluan peserta menghasilkan karya yang lebih dekat serta relevan dengan masyarakat. Hal ini sedemikian disebabkan pada masa-masa yang lepas, ada kecenderungan pengarang menggarap kisah yang terlalu jauh ke hadapan dari segi latar zaman, ada yang sehingga beberapa abad ke hadapan.
Novel-novel fiksyen sains dan teknologi UTM – Kumpulan Utusan walau bagaimanapun dihasilkan bukan untuk golongan ini sahaja. Ia lebih jauh daripada itu, iaitu seluruh masyarakat yang sepatutnya lebih terdedah kepada pelbagai teori sains, perkembangan dan kemajuan bidang ini, serta cakupannya yang erat dengan kehidupan manusia moden.
Dengan penyataan sedemikian, peserta pada asasnya tidak perlu terlalu gusar untuk mengehadkan karya kepada kelompok yang tertentu sahaja. Sebagai teks, novel seharusnya merentasi generasi. Sains dan teknologi sekarang bukan milik kelompok lagi, melainkan menyerap ke dalam fikiran semua orang.
Khabarnya hadiah untuk pemenang sayembara kali ini ditingkatkan. Hadiah utama khabarnya mencecah RM15,000, satu angka yang relatif lumayan, sementara novel bakal diterbitkan dan pengarang beroleh royalti tambahan lagi. Demikian, hadiah kedua, ketiga dan hadiah sagu hati bertambah, dengan jangkaan tiga atau empat pemenang bakal merebutnya. Kesemua karya pemenang bakal diterbitkan, dan lebih menarik ia kelak menjadi bahan bacaan penting masyarakat yang tidak terkecuali kelak diajukan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia untuk saringan serta pemilihan sebagai teks Komponen Kesusasteraan Melayu dalam Mata Pelajaran Bahasa Malaysia ringkasnya KOMSAS, dan juga mata pelajaran Kesusasteraan Melayu.
Hasil sayembara ini pada musim-musim yang lalu, iaitu novel Tawanan Komander Caucasus karya Ruzaini Yahya, dan Di Sebalik Dinara karya Dayang Noor telah pun terpilih sebagai teks KOMSAS. Sebagai teks, kedua-dua novel bukan sahaja menawarkan masukan ilmu sains dan teknologi yang menarik, akan tetapi juga penerapan pelbagai nilai yang menjadi sebahagian daripada kemestian pengarang tatkala menghasilkan novel fiksyen sains dan teknologi ini. Novel-novel pemenang sayembara ini juga menjanjikan mutu bahasa yang tinggi, kreatif dan sarat estetik. Pendek kata, pembaca dan para pelajar akan tertarik dan teruja membacanya.
Novel-novel pemenang sayembara ini yang diterbitkan kini telah pun mencecah jumlah 18 buah. Ini merupakan satu pencapaian yang besar memandangkan sudah pun tiga musim penyelenggaraannya.
Untuk musim ke-4 ini difahamkan karya yang bakal diterbitkan tidak terhad kepada karya yang memenangi hadiah sahaja. Berkemungkinan karya-karya yang bagus, berkualiti dan mempunyai unsur-unsur yang dapat membina masyarakat - walaupun tidak berpeluang memenangi hadiah - tetap akan diterbitkan.
Pembaharuan ini amat menarik, dan para peserta sayembara kali ini tidak boleh melepaskan peluang keemasan ini. Bukan mudah mencari penerbit untuk menerbitkan karya sekarang. Dalam keadaan pasaran buku yang tidak begitu kondusif, pengarang yang menyertai sayembara ini – baik pemenang mahupun yang dicadangkan untuk diterbitkan, sekali pun tidak berpeluang memenangi hadiah – merupakan satu intensif yang baik.
Pengarang masih mempunyai waktu yang cukup untuk menyemak manuskrip. Ada kemungkinan juga, terdapat pengarang yang sedang melakukan beberapa perubahan kecil sebelum manuskrip disempurnakan. Ada yang barangkali merangka-rangka dalam fikiran untuk mengubah judul pada saat-saat akhir, pengarang masih punyai waktu yang mencukupi.
Apa yang pasti, banyak yang meramalkan penyertaan sayembara musim ke-4 ini bakal meriah dengan penyertaan yang lebih banyak atau berganda. Jika ini berlaku, jelaslah pengarang bukan sahaja berhasrat mengemukakan karya terbaik mereka untuk dinilai panel, akan tetapi juga untuk meraikan sayembara ini yang hanya muncul dua tahun sekali.
Sayembara Novel Fiksyen Sains dan Teknologi Musim Ke-4 tetap mengalu-alukan penyertaan seluruh pengarang yang tekun dan giat berkreatif. UTM dan Kumpulan Utusan tentunya bersedia menyambut karya anda dengan hati terbuka. Penyertaan anda tetap penting kepada mereka, akan tetapi tentulah yang lebih penting lagi ialah sumbangan anda kepada kemajuan dan perkembangan kesusasteraan tanah air kita.
utusanonline
Comments
Post a Comment