31 Dec 2015

luka tahun baru



luka tahun baru

luka tahun baru
barangkali hanya di jari
tak sampai agaknya ke tangkai  hati
segala yang direbut dari jaring perjuangan
bukan lagi menjadi milik 
bagaimana lagi untuk membaca dongeng
kepada anak dan cucu 
tentang warna-warna maruah
dilepaskan ke tangan lain
akan bertanya emak sirandang
masihkah menyusu kera di hutan?
akan bertanya jenin
mengapa angan-anganmu
harus berbayar dengan tanah dan maruah?
akan bertanya pandir
kebebalan apa lagi merasuk bangsa?
akan menangislah lebai malang
kita bukan lagi terlepas kenduri
tetapi harga diri dan peribadi
bermadah panjanglah pak kaduk
bukan kampung jadi taruhan
tapi negeri dan isinya menanggung beban
tanpa sorak sorai
tanpa bunyi-bunyian
hanya mata pena menari
ia bukan milik lagi
luka tahun baru
kalau direnung dan difikir
bukan lagi hanya di jari
menusuk jauh ke dalam hati
jangan menangis
kerana malam ini bunga api akan berpancaran
lagu dan tari akan didendangkan
kita masih bahagia
masih senyum 
dengan bunga-bunga cahaya
tetapi ingatlah
ketika melangkah pulang
bunga-bunga cahaya telah sirna
hanya gelap mendakap



selamat tahun baru 2016

selamat tahun baru 2016
semoga dipermudahkan untuk
mencapai segala apa diimpi
dan semakin bermakna
hari-hari mendatang



30 Dec 2015

sulaman diraja

Nik Rahimah mahu kelingkam dikenali


BENANG perak tulen dimasukkan ke dalam jarum sebelum ditusuk dan ditarik semula di tepi kain selendang sutera sifon berwarna putih itu. Proses tersebut diulang oleh Nik Rahimah Nik Idris, 74, untuk menghasilkan corak sulaman kelingkam bermotifkan bunga-bungaan.

Jari-jemarinya tanpa kekok mengikut corak bunga ros yang dilukis menggunakan pensel di atas selendang tersebut sebelum benang perak itu ditusuk dan ditarik bagi menghasilkan sulaman yang indah.

Begitulah rutin harian nenek kepada tiga orang cucu itu sejak 60 tahun lalu yang berkhidmat sebagai penyulam kelingkam diraja Kelantan.

Sehingga kini, beliau masih aktif meneruskan kesenian itu yang dilakukan sekurang-kurangnya lima jam sehari. Beliau mengambil masa hampir sebulan untuk menyiapkan sulaman selendang itu mengikut corak serta jenis kain.

Bercerita mengenai kecintaannya terhadap sulaman kelingkam itu, Nik Rahimah memberitahu, ia sangat istimewa kerana merupakan warisan turun-temurun nenek moyangnya.

“Saya dibesarkan oleh arwah nenek, Nik Aminah Nik Mat yang merupakan penyulam diraja dan pakar dalam menghasilkan kerja-kerja seni halus serta pembuatan alatan singgah sana diraja Kelantan.

“Pada usia 15 tahun, saya sudah menyulam secara serius dan selendang merupakan hasil seni pertama yang saya buat.

“Sulaman kelingkam tidaklah terlalu sukar kerana sejak kecil saya sudah biasa memerhatikan nenek melakukan kerja-kerja kesenian dan ia sudah sebati dalam diri saya,” jelas wanita yang berasal dari Kubang Pasu, Kota Bharu itu.

Tambah ibu kepada seorang cahaya mata itu, ilmu warisan itu turut dikuasai oleh dua orang adik-beradiknya tetapi kini hanya beliau seorang sahaja yang masih aktif. Hal ini kerana abangnya telah meninggal dunia manakala kakak pula uzur kerana sudah lanjut usia.

Nik Rahimah bukanlah calang-calang orang kerana darah seni yang mengalir dalam dirinya menjadikan anak bongsu daripada tujuh beradik itu sangat berjasa dalam memartabatkan seni warisan tersebut.

Selain sulaman kelingkam, beliau mahir membuat tekatan paku-paku, sulaman ayak, jahitan manik, pakaian, bunga dan kaitan (jarum satu dan dua) serta peralatan singgah sana diraja Kelantan.


NIK RAHIMAH membimbing Nik Marhamah membuat sulaman kelingkam

Tukang jahit diraja

Bak kata pepatah, ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Pada usia belasan tahun, Nik Rahimah sudah mengikut jejak langkah arwah neneknya apabila beliau diberi tanggungjawab sebagai tukang jahit untuk Raja Perempuan Kelantan iaitu Almarhum Tengku Zainab Almarhum Tengku Muhammad Petra.

Kehalusan dan kekemasan kerja tangannya amat dikagumi baginda. Nik Rahimah turut dibawa tinggal di Istana Negara ketika baginda bergelar Raja Permaisuri Agong.

“Bekerja dengan baginda merupakan kenangan termanis bagi diri saya. Baginda seorang yang baik dan hubungan kami sangat akrab.

“Saya rasa amat bertuah kerana baginda sangat menggemari hasil jahitan serta sulaman saya. Ia menjadi pembakar semangat saya melakukannya dengan lebih baik,” katanya yang juga merupakan keturunan kerabat diraja Kelantan.


KETELITIAN dan kekemasan sulaman kelingkam menyebabkan ia bernilai tinggi.

Tempahan khas

Sementara itu, beliau turut menerima tempahan khas sulaman kelingkam daripada kerabat diraja di negeri lain seperti Selangor, Perlis, Johor, Terengganu dan Perak serta isteri-isteri pembesar negara.

Dek kerana kemahirannya yang tinggi dalam seni halus, beliau telah diminta oleh Yang di-Pertuan Agong ke-6, Almarhum Sultan Yahya Petra Almarhum Sultan Ibrahim bagi menghasilkan selipar tekatan untuk dijadikan hadiah kepada raja Thailand iaitu Raja Bhumibol Adulyadej.

Sumbangannya tidak terhenti di situ apabila Kraftangan Cawangan Kelantan melantik beliau sebagai tenaga pengajar sulaman kelingkam malah turut menggalas tanggungjawab yang sama di Yayasan Sultanah Nur Zahirah.


BAHAN-BAHAN ini diperlukan ketika menghasilkan sulaman kelingkam iaitu benang perak tulen, gunting, jarum perak, benang mentah, cermin dan cengkerang siput.

Disebabkan kepakaran Nik Rahimah, beliau sering dijemput ke beberapa negara Asia seperti Thailand, Filipina dan Indonesia serta seluruh Malaysia untuk memperkenalkan seni sulaman kelingkam.

Kegigihan dan semangat beliau dalam mempertahankan seni warisan kelingkam yang dipercayai berasal dari Turki itu membolehkannya diangkat sebagai penerima Anugerah Tukang Ulung Sulaman Kelingkam dan Adiguru Kraf pada tahun 2013.

Mengulas mengenai keistimewaan sulaman kelingkam, beliau memberitahu, ia menggunakan logam perak tulen yang dipanggil sebagai kelingkam. Nama sulaman itu diambil daripada logam tersebut.

“Benang perak itu diimport dari Singapura pada harga RM170 bagi seikat yang mengandungi 16 urat. Jarumnya juga diperbuat daripada perak dan ditempah khas untuk membuat sulaman kelingkam.

“Bagi sehelai selendang berukuran 1.7 meter, tujuh ikat kelingkam diperlukan menyebabkan harganya sangat mahal.

“Sehelai selendang dijual pada harga RM3,000 dan boleh mencecah sehingga puluhan ribu ringgit. Disebabkan itu, selendang kelingkam banyak dipakai golongan istana dan bangsawan,” ujarnya.


JARUM ditusuk ke kain bersama benang perak kemudian ditarik mengikut corak yang telah dilakarkan menggunakan pensel.

Cabaran

Beliau yang telah menghasilkan ribuan produk kraf menggunakan sulaman kelingkam memberitahu, ia mempunyai keunikan tersendiri kerana mampu menaikkan seri si pemakai dan kelihatan bertambah anggun apatah lagi apabila digayakan oleh raja sehari.

Sulaman kelingkam bukan hanya tertumpu kepada selendang sahaja tetapi ia juga boleh dibuat pada baju, bantal, kipas dan alatan perkahwinan.

Cabaran utama menghasilkan sulaman tersebut adalah harga benangnya yang mahal dan cepat rosak jika tidak berhati-hati ketika menjalankan kerja-kerja menyulam.

Beliau menjelaskan, permintaan terhadap sulaman kelingkam tidak serancak dahulu. Begitupun, beliau masih lagi menerima tempahan daripada pelanggan tetap di seluruh Malaysia.

“Dahulu sulaman kelingkam sangat masyhur dalam kalangan masyarakat dan diketahui umum. Tetapi kini hanya segelintir sahaja yang menggayakannya.

“Lebih menyedihkan, kini tidak ramai orang yang mahir menyulam kelingkam menyebabkan ia seolah-olah semakin pudar ditelan zaman,” kata Nik Rahimah sambil memanjatkan kesyukuran kerana cucu saudaranya, Nik Marhamah Nik Megat, 42, dan cicit saudara, Nik Nurul Amalina Nik Mohd. Nazim, 21, sanggup menyambung legasi.

kosmo

28 Dec 2015

ratapan






ratapan


banyak yang meratap
rasakan denyut jiwa bicara akal dan harap
jangan lagi tidur lelap
buka mata buka akal jangan gelap
banyak pula yang bisu menatap
tanpa suara tanpa kata tapi mengharap
usah fikir hari cerah tak bertukar gelap
jantung kita sama berdegup degap
jangan tiba-tiba semuanya lenyap
dengarlah suara yang tak terucap
di dalamnya nanah dan busur meruap

buka mata buka akal jangan gelap
jangan lagi tidur lelap

 

warisan : serdang

Estetika anyaman tradisional serdang

Oleh NOR IDAYU BORSRO


CERMAT meraut daun serdang yang telah dikeringkan, Sadi Basal, 49, sedikit pun tidak terganggu dengan kehadiran kru Jurnal ke bengkelnya di Kampung Lingkodon, Kota Belud, Sabah, malah jari-jemari tuanya terus ligat menganyam produk kraf daripada hasil rimba itu.

Melihat kelincahan tangannya menganyam, kru Jurnal terfikir bagaimana lelaki berusia hampir separuh abad itu mampu menguasai seni pembuatan kraf daun serdang yang lazimnya dipelopori golongan wanita daripada suku kaum Bajau di daerah tersebut.

Tidak lokek berkongsi cerita, Sadi memberitahu, dia mempelajari seni pembuatan kraf anyaman daun serdang daripada ibunya, Sanun Toot ketika dia masih berusia 14 tahun.

Dia yang ditemui ketika lawatan media anjuran Kraftangan Malaysia baru-baru ini berkata, pada asalnya, anyaman itu banyak digunakan masyarakat terdahulu sebagai penutup makanan dan dikenali dengan nama ‘tenduang’ dalam bahasa Bajau yang bermaksud tudung saji.

“Dahulu, golongan wanita yang keluar membeli-belah di pasar tamu akan memanfaatkan ‘tenduang’ ini sebagai bekas menyimpan barang. Mereka menterbalikkan tudung saji ini untuk meletakkan barang-barang yang dibeli di dalamnya dan dijunjung di atas kepala,” kata Sadi.

Bercerita lanjut, lelaki berketurunan Bajau itu menjelaskan, proses pembuatan satu-satu produk anyaman serdang boleh mengambil masa paling lama dua minggu untuk disiapkan.

Dia yang pernah menerima pengiktirafan sebagai antara 12 orang penerima Anugerah Tukang Ulung 2015 daripada Kraftangan Malaysia baru-baru ini berkata, proses yang panjang itu dimulakan dengan mencari tumbuhan serdang yang mudah didapati di kawasan paya di sekitar kampungnya.

“Saya pergi cari dan memilih sendiri daun yang dikehendaki untuk dibawa balik. Pokok ini berduri jadi perlu sentiasa berhati-hati. Selain itu, kena peka dengan persekitaran sekeliling kerana ada bahaya lain seperti haiwan berbisa dan sebagainya,” kongsi Sadi.

Bertutur lanjut, dia yang bergiat aktif dengan Kraftangan Malaysia sejak tahun 1988 berkata, daun serdang mentah perlu direbus selama tiga jam terlebih dulu sebelum dijemur di bawah terik matahari untuk tiga jam lagi.


HAJIJAH BASAR (kanan) bersama Saiti Liman (tengah) dan Baiti Liman (kiri) melakukan kerja-kerja menganyam serta menghias produk kraf rimba yang menjadi identiti masyarakat Bajau itu.

Petua orang tua

Menurutnya, bagi mendapatkan warna yang menarik, daun-daun itu kemudiannya direbus sekali lagi di dalam periuk berisi bancuhan air serta pewarna khas.

“Cat mengkuang atau cat batik boleh digunakan tetapi saya lebih suka cat mengkuang kerana warnanya lebih tahan lama dan tidak mudah luntur,” ujar Sadi.

Jelasnya, anyaman daun serdang boleh didapati dalam warna asli iaitu hijau kekuningan atau berwarna-warni bergantung kepada cita rasa pelanggan.

“Kalau warna yang asli, daun serdang tua digunakan, manakala produk berwarna-warni pula menggunakan bahagian pucuk.

“Ini kerana apabila direbus, pucuk serdang akan bertukar kepada warna putih kekuningan. Ia akan memudahkan proses mewarna memandangkan ia mudah menyerap warna cat berbanding daun tua yang agak kekuningan selepas direbus,” jelas Sadi panjang lebar.

Katanya, setelah proses mewarnakan selesai, ia dijemur untuk mengeringkan lebihan lembapan agar benar-benar kering untuk kerja-kerja menganyam.

Keseluruhan produk yang boleh dihasilkan setahun sekitar 2,400 buah dengan menggunakan 480 kilogram daun serdang.

Meskipun kerja-kerja menganyam nampak mudah, namun ia sebenarnya memerlukan kesabaran dan ketelitian yang tinggi.

“Kalau ikut pantang nenek moyang, daun ini tidak boleh dianyam pada waktu tengah hari kerana dikhuatiri mudah patah, jadi proses menganyam akan dilakukan pada sebelah pagi atau petang,” ujarnya.


DAUN serdang perlu dijemur di bawah panas matahari selama tiga jam bagi memastikan ia betul-betul kering.

Susunan daun

Bagi seorang lagi pengusaha anyaman daun serdang, Ida Jilang, 70, dari Kampung Pengkalan Abai, Kota Belud, dia memberitahu, kehalusan pembuatan produk hasil rimba itu terletak pada susunan daun dan kekemasan jahitan.

“Apabila diraut, saiz daun kena sama lebar, barulah cantik apabila dijahit nanti. Selain itu, ia juga kelihatan lebih kemas kalau disusun rapat-rapat,”ujarnya yang berpengalaman 58 tahun dalam seni pembuatan kraf tangan itu.

Mempelajari kemahiran menganyam daun serdang daripada emaknya, Misah Motong, ibu kepada tiga orang anak itu menerangkan, tiada peralatan canggih digunakan dalam pembuatan produk serdang sebaliknya cukup sekadar alatan seperti jarum, gunting, pisau, gam, tali guni dan tali rafia.

“Selebihnya terletak pada kemahiran menganyam dan kreativiti seseorang individu itu untuk menghasilkan produk yang diingini,” ujarnya.

Ditanya mengenai ketahanan produk kraf daun serdang, Ida yang juga salah seorang penerima Anugerah Tukang Ulung 2015 mengakui, ia mampu bertahan lama asalkan disimpan di tempat kering.

Menurutnya, dia mengambil masa antara 10 hingga 14 hari untuk menghasilkan sesebuah produk kraf daun serdang.

“Lazimnya rekaan paling sukar ialah tudung saji kerana saiznya yang besar, selain struktur rekaan sedikit sukar untuk dibuat,” katanya yang mampu menjual sehingga 100 jenis aneka produk hasil rimba itu dalam sebulan.

Produk kraf daun serdang boleh didapati pada harga antara RM3 hingga RM300 bergantung kepada kerumitan anyaman, saiz dan bentuk rekaan.

Dalam pada itu, dari segi kualiti, daun serdang dan mengkuang mempunyai kelebihan tersendiri. Jika dibandingkan, daun serdang lebih keras berbanding mengkuang.

Oleh kerana teksturnya yang keras, daun serdang dianyam rapat-rapat, manakala mengkuang boleh dijalin berselang-seli.

kosmo

#tanahairku



#tanahairku cetus patriotisme



SALAH satu susun atur yang terdapat dalam pameran #tanahairku.

TANPA disedari, sudah hampir dua dekad Petronas menyatupadukan rakyat Malaysia menerusi iklan-iklan televisyen yang menyentuh hati.

Iklan-iklan yang dihasilkan sepenuhnya oleh penggiat seni tempatan seperti Afdlin Shauki dan Allahyarham Yasmin Hamid itu sentiasa dinanti-nantikan setiap kali tibanya Hari Raya Aidilfitri, Hari Kebangsaan, Deepavali atau Tahun Baharu Cina.

Bagi memperlihatkan kembali iklan itu kepada generasi muda, galeri Petronas, Kuala Lumpur mengadakan pameran bertajuk #tanahairku: Dua Dekad Menyemai Perpaduan Nasional.

Pameran yang akan berakhir pada 7 Februari 2016 itu menampilkan 21 buah iklan musim perayaan yang menjadi ikon dan sentiasa tersemat dalam ingat rakyat Malaysia.

Antara iklan yang dipamerkan ialah One Little Indian Boy (1996), Local Hero (1998), Man Gyver (2008), Tau Fu Fah (2013), Param Bicycle (2003) dan Boat Race (2000).

Pengarah Galeri Petronas, Rosli Abdul Rahim berkata, iklan syarikat itu sentiasa menyelitkan nilai-nilai keluhuran dan keharmonian rakyat berbilang kaum di negara ini.

“Iklan-iklan ini menggambarkan situasi dan insan sebenar dengan tindakan yang sering diamalkan dalam kalangan rakyat Malaysia pada setiap hari.


Iklan Little Indian Boy mengimbau kembali zaman kemerdekaan negara.

“Menerusi pameran #tanahairku, kami ingin mengimbau semula dan berkongsi makna, kenangan serta tradisi yang terdapat dalam iklan dengan rakyat Malaysia khususnya golongan muda,” katanya ketika ditemu bual Kosmo! di galeri Petronas, Suria KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Pameran yang diilhamkan daripada puisi Tanahairku nukilan Sasterawan Negara, Allahyarham Datuk Dr. Usman Awang itu dibahagikan kepada enam seksyen.

Antara seksyen yang pasti menarik perhatian pengunjung ialah Bangga Menjadi Rakyat Malaysia, Perbezaan Kita, Kekuatan Kita, Persahabatan Yang Berkekalan dan Apalah Erti Hidup Tanpa Kasih Sayang?

Tambah menarik, pihak galeri turut menghasilkan prop-prop yang menggambarkan suasana di dalam iklan itu.


Dari kanan, Rosli bersama pelakon iklan Akrab, Isaac Lee Pountney dan Fitri Mydin pada majlis pembukaan pameran #tanahairku di Suria KLCC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Bagi memberi pengalaman kepada imersif dan interaktif, pameran ini membawa penonton melihat suasana di belakang tabir seperti peralatan yang digunakan dalam iklan.

“Kesemua peralatan seperti basikal tua, beca, radio lama, kasut Gombak dan telaga pastinya menggamit nostalgia para pengunjung,” katanya sambil memaklumkan pameran itu adalah percuma.

Berkongsi imej

Pameran #tanahairku turut membawakan hasil seni nukilan pelukis-pelukis tempatan seperti di Johor, Sabah dan Sarawak di bawah projek seni jalanan sempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada tahun ini.

Tambah Rosli, pihak galeri turut menggalakkan para pengunjung berkongsi imej-imej menarik yang menggambarkan semangat Malaysia dalam laman sosial menerusi #tanahairku.

“Kami amat menggalakkan orang ramai menyuarakan perasaan cinta mereka kepada tanah air menerusi imej-imej menarik. Kami juga menyediakan ruangan khusus untuk pengunjung menulis kata-kata cinta kepada negara,” katanya.

kosmo



#tanahairku Street Art at Galeri Petronas

 Celebrating street & digital art
Time : 10am-8pm, Tues-Sun
Date : 25-Nov-2014 - 04-Jan-2015
Venue : Galeri Petronas, Lot 341-343, Level 3, Suria KLCC, Petronas Twin Towers, Kuala Lumpur City Centre, 50088 Kuala Lumpur
Website : www.galeripetronas.com.my
Contact : 03 2051 7770

The evolution of art that goes beyond the traditional medium of using the brush and canvas is the focus of two exhibitions, entitled, #tanahairku Street Art and Samsung Masterpieces.

Presenting art in the non-conventional form of graffiti on the dull walls of the city, #tanahairku was an artistic project initiated in 2013 and features six gigantic artworks located in the heart of Kuala Lumpur. Each work encompasses messages from the poem “Tanah Air”, penned by the late national laureate, Datuk Usman Awang.



#tanahairku Street Art at Galeri Petronas

The artworks were created by 14 young, local graffiti and mural artists. They are located at the Jalan Yap Ah Shak car park, Jalan Raja Chulan opposite Muzium Telekom, Jalan Raja Chulan car park (just past St. Andrew’s Church), the riverbank near Sultan Ismail LRT station, Lebuh Ampang car park opposite Wisma HSBC and Jalan Tun Tan Siew Sin.



#tanahairku Street Art at Galeri Petronas

The Samsung Masterpieces exhibition, which is also presented at Galeri Petronas, will be on till Dec 21.

Curated by Iola Lenzi, a contemporary art curator, critic and writer, and the result of collaboration with Samsung Malaysia Electronics, this exhibition features digital artworks created by local artists with the Samsung Galaxy Note 10.1 LTE.

Masterpieces exhibition at Galeri Petronas

Samsung tablets are also available on hand for visitors to create their own artwork on the tablets and to explore the newly launched digital art gallery.


Samsung Masterpieces launch

Participating artists include Ahmad Zakii Anwar, Al-Khuzairie Ali, Chi Too, Chris Chong, Jalaini Abu Hassan (Jai), Phuan Thai Meng, Poodien, Roslisham Ismail (Ise), Sherman Ong, Umibaizurah Mahir Ismail and Zulkifli Yusoff.

Galeri Petronas director Rosli Abdul Rahim said that the exhibitions celebrate the beauty of multiculturalism of Malaysia and place importance on the youth of the country.

“It is important to keep in mind that this project is about young people, the future of our country and it showcases how important different cultures are. This distinctive public art creates shared art experiences that promote community tolerance, celebrate cultural diversity and encourage racial understanding between people.

“Digital technology gives us scope to provide wholly new experiences of an artwork. This trend is gathering pace because artists are generally experimental and like to try out different media. We will take an active role in providing a platform for discovering and nurturing artistic talents as well as cultivating public interest in digital art,” he added.

theedgegalerie


#tanahairku - Two Decades of Bringing Malaysians Together
Curator : PETRONAS
Duration : 11 December 2015 - 07 February 2016
Admission : Free
Time : 10.00 AM - 8.00 PM

Description :
Galeri PETRONAS will showcase #tanahairku: Two Decades of Bringing Malaysians Together exhibition that features PETRONAS TV commercials, webfilms, print ads and on ground activations which has a unifying values to bring Malaysians together. Located at level 3, Suria KLCC. Exhibition starts from 10 December until 7 February 2016. Admission is free.

Galeri PETRONAS akan melangsungkan pameran #tanahairku: Two Decades of Bringing Malaysians Together yang memaparkan iklan-iklan TV komersial, filem web, pengiklanan surat khabar dari PETRONAS yang mempunyai nilai-nilai penyatuan sebagai rakyat Malaysia. Terletak di Aras 3, Suria KLCC, pameran bermula dari 10 Desember 2015 hingga 7 Februari 2016. Masuk adalah percuma.




27 Dec 2015

kata terakhir




Wasiat meruntun jiwa
Oleh Hafizudin Mohd Safar



Kangar: Surat wasiat yang viral semalam sehingga meruntun jiwa sesiapa membacanya ditulis wanita warga emas, Bibi Meherniga Abdul Hamid, 71, yang meninggal dunia Selasa lalu.

Lebih memilukan, sudah dua hari dia meninggal dunia, tetapi anaknya, orang kurang upaya (OKU) bisu, Imran Jhinkur, 53, tidak mengetahuinya dan hanya memaklumkan kepada penduduk kampung, ibunya sakit pada Khamis lalu.

Penduduk yang dimaklumkan perkara itu ke rumah arwah sebelum mendapati wanita terbabit sudah meninggal dunia.

Sebelum meninggal dunia, Bibi Meherniga yang menetap di Rancangan Perumahan Awam(RPA) Kangar 1, di sini, sempat menulis surat wasiat memohon pertolongan sesiapa saja yang membaca suratnya itu untuk menguruskan jenazahnya seandainya dia meninggal dunia.

Ini kerana, anaknya itu tidak mampu berbuat demikian.

Arwah juga meminta supaya wajahnya ditunjukkan kepada anaknya selepas dikafankan supaya anaknya tahu dia sudah tiada.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK)Indera Kayangan Muhamad Zulkefli Mokhtar, 52, berkata, surat terbabit ditemui di dalam beg tangan kepunyaan arwah ketika pihak petugas hospital ingin mencari dokumen pengenalan diri arwah

"Memang wasiat itu adalah tulisan tangan arwah mak cik Bibi Meherniga.

“Awal tahun ini, arwah ada memanggil saya dan berbincang mengenai masa depan anaknya serta bagaimana hendak menguruskan jenazahnya seandainya dia tiada kelak.

“Dia bimbang anaknya mungkin tidak tahu untuk menguruskan jenazahnya dan berharap jiran tetangga dapat membantu,”€ katanya.

Menurutnya, mereka juga pada mulanya tidak mengetahui kewujudan surat itu namun percaya arwah sering membawanya di dalam beg tangan.

Arwah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Tok Paduka Khamis lalu.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kangar Superintendan Abdul Rahman Mohd Noordin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan hasil bedah siasat mangsa meninggal dunia akibat sakit jantung.

Menurutnya, siasatan awal mendapati Bibi Meherniga meninggal dunia pada Selasa lalu sebelum mayatnya ditemui penduduk kampung pada Khamis lalu di dalam rumah dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

Dalam pada itu, difahamkan, Imran yang bekerja sebagai pembantu di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti di Jalan Pegawai, di sini, kini tinggal bersendirian.


metro

25 Dec 2015

ayahanda seorang negarawan

Siapa Ayahanda Kepada Tun Dr Mahathir? Datuk Pada Mukhriz?
MUKHRIZ MAHATHIR 

Mungkin ramai yg belum pernah melihat wajah datuk kepada Dato Seri Mukhriz Mahathir kan?

Gambar di bawah ini adalah wajah ayah kepada Tun Dr Mahathir dan datuk kepada Dato Seri Mukhriz Mahathir iaitu Mohamad bin Iskandar seorang guru Bahasa Inggeris dan Guru Besar pertama di Sekolah Inggeris Alor Setar yg kini dikenali sebagai Kolej Sultan Abdul Hamid.

 
Daripada raut wajahnya,jelas terpancar karisma seorang pendidik yang tegas. Sebab itulah anak lelakinya bukan saja menjadi seorang Doktor Melayu pertama membuka klinik swasta di Kedah malahan menjadi arkitek pembangunan Malaysia selama 22 tahun.

Jadi,seandainya ada yang bertanya dari mana Dato Seri Mukhriz mewarisi kehenseman beliau itu? Jawapannya. Lihatlah datuknya dulu. Kuah kalau tak tumpah ke nasi, nak tumpah ke mana lagikan!

Inilah contoh ayah dan cikgu di antara yang terbaik.

mukhrizmahathirfc


yang seribu dari jiwaku : rumi



Yang Seribu dari Jiwaku

Wahai Tuhan Pemilik Keindahan, Pemilik Anugerah
Masukilah jiwaku
sebagaimana kau masuki kebun yang penuh bunga

Hanya sebab kerling-Mu batu berubah jadi manikam
Satu isyarat dari-Mu telah cukup untuk
mencapai setiap tujuan

Datang, datanglah. Engkaulah kehidupan dan pembebasan manusia
Datang, datanglah. Engkaulah mata dan cahaya Yusuf
Eluslah kepalaku. Sebab sentuhanmu mencahayai kegelapan tubuhku

Datang, datanglah. Engkau menganugerahkan keindahan dan rahmat
Datang, datanglah. Engkau penyembuh seribu jenis penyakit
Datang, datanglah. Meski belum pernah kau tinggalkan aku
tetaplah kemari dan dengarkanlah puisiku
sebab Engkaulah yang seribu jumlahnya dari jiwaku

Pergilah dan bawa serta kerinduan masa lalu
Engkaulah Kekasihku

Jika Raja tidak bersemayam di singgasana dunia ini
Yang ada hanya kegelapan dan kegamangan

Engkau bergembira dan hidup dengan napas-Nya
Engkau bergerak karena kekuatan yang mengalir dari cinta-Nya
Sekarang saatnya, seperti seniman, Engkau mencipta
Sekarang saatnya, seperti pelayan, engkau menyapu

Setiap yang Kau sentuh akan menuju
dan terbang bersama sayap-sayap bidadari
Namun, ingatlah, sayap-sayap itu tak cukup kuat
membawamu terbang menuju Tuhan
Sama seperti seekor kuda bagal yang dikenderai Nabi
Hanya cinta yang akan membawamu kembali menuju Tuhan

Jalaluddin Rumi








tak terlepas beban


tak terlepas beban

masih tak terlepas beban
meski sudah jauh mengecap bebas
beban memandang besarnya kuasa
beban merasa kerdilnya sahaya
beban senang pada puji dan puja
beban sakit pada tegur dan kritik
 
masih tak terlepas beban
untuk menjadi manusia baru
yang berani dan mengerti
beban dianggap penderhaka kalau menjadi jebat
beban dianggap jenin kalau berangan tinggi
kita masih merasa berat
 untuk  melihat kejauhan
memandang esok dengan makna baru
meninggalkan payah semalam
tak lagi mengeluh dan beraduh

masih tak terlepas beban 
kita menjadi luncai yang melulu dan mengikut
kita menjadi pandir yang tak bijak mentafsir
kita menjadi lebai malang yang gagal memilih peluang
kita menjadi emak si randang
yang terlalu menjaga orang lain
 
masih tak terlepas beban
meski telah terbina putrajaya
mengganti runtuhan kota melaka
 
 
 
 
 
 



Pembelajaran Abad Ke-21




Pembelajaran Abad Ke-21:
Amalan Dan Pelaksanaan Di Sekolah

Rupa dan bentuk pendidikan yang sesuai dengan generasi abad ke-21 telah banyak diperkatakan dan banyak bahan- bahan penulisan yang mengulas mengenai pendidikan yang mampu memenuhi harapan dan keperluan pendidikan masa kini dan masa depan. Rata-rata pakar pendidikan bersetuju bahawa kaedah pengajaran dan pembelajaran perlu berubah sesuai dengan perkembangan teknologi cyber dan akses kepada internet yang semakin maju. Kaedah pengajaran konvensional seperti “chalk and talk” semata-mata kurang berhasil menarik minat murid sebaliknya memerlukan kaedah yang lebih dinamik dan kreatif dengan kandungan pengajaran yang relevan sesuai dengan perkembangan semasa.

Semua pihak yang terlibat secara langsung dengan dunia pendidikan perlu menyedari bahawa tiada ruang untuk tidak ikut sama melaksanakan transformasi pendidikan. Malah perubahan dalam pendidikan perlu sentiasa seiring perkembangan zaman atau selangkah kehadapan. Guru- guru perlu bersedia menerima perubahan dan dapat pula mengurus perubahan dengan cekap dan berkesan agar pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih segar dan memenuhi keperluan murid


Menyedari kepentingan guru memahami dan bersedia melakukan perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran sesuai dengan pembelajaran abad ke-21, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan inisiatif pembelajaran abad ke-21 secara rintis pada tahun 2014 dan meluaskan pelaksanaan keseluruh negara mulai tahun 2015. Justeru ANJAKAN keluaran kali ini akan membincangkan pembelajaran abad ke-21 serta berkongsi maklumat beberapa model susun atur kelas abad ke-21 sejajar dengan usaha Kementerian Pendidikan Malaysia melaksanakan transformasi pendidikan melalui Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 - 2025.

Pelaksanaan pengajaran berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merupakan penanda aras keberkesanan pendidikan abad ke-21 seperti dihasratkan Kementerian Pendidikan Malaysia mulai tahun 2014, iaitu selaras dengan transformasi pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke-21:

Kemahiran pembelajaran dan inovasi
Kemahiran maklumat, media dan teknologi
Kemahiran hidup dan kerjaya


Ciri-Ciri Pembelajaran Abad Ke-21 :

Komunikasi
Pemikiran Kritis
Kolaborasi
Kreativiti



Elemen-elemen yang terkandung dalam pembelajaran abad ke-21 :

Kreativiti dan inovasi
Fleksibiliti dan mempunyai keupayaan menyesuaikan diri
Pemikiran kritis dan penyelesaian masalah
Berinisiatif dan mempunyai haluan diri
Komunikasi dan kolaborasi
Kemahiran sosial dan antara budaya
Literasi maklumat
Produktiviti dan akautabiliti
Literasi teknologi, maklumat dan komunikasi
Kepimpinan dan tanggungjawab



Cabaran Pendidikan Abad Ke-21

Cabaran pendidikan abad ke-21 adalah untuk menyediakan pembelajaran yang menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) dan mengurus bilik darjah atau ruang pembelajaran yang lebih dinamik. Namun cabaran utama adalah bagaimana guru-guru menggunakan pelbagai sumber sokongan teknologi serta maklumat bagi melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang efektif dan berkualiti serta relevan dengan perkembangan semasa. Untuk mendepani cabaran ini, guru secara berterusan perlu mengemaskini pengetahuan (kandungan kurikulum) dan kompetensi (pedagogi PdP) supaya kekal relevan dengan keperluan semasa dan akan datang


Ciri-Ciri Murid Yang Diharapkan hasil pembelajaran abad ke-21 :

Berupaya membuat hubungkait
Bijak menyoal
Yakin berkomunikasi
Dahagakan ilmu
Mengambil risiko
Ingin tahu
Menjana idea
Fkesibel
Tidak berputus ada
Mendengar dan membuat refleksi
Berkemahiran kritis
Menguasai kemahiran literasi
Berani mencuba
Mampu berfikir sendiri
Berinisiatif'
Mampu bekerja dengan orang
Membuat perubahan
Berintegriti
Mampu bekerja dengan orang




  
 Sumber : Anjakan Bil 4 2015


Pendidikan kelas abad ke-21
Nik Nor Ahmarizam Nik Ahmad
12 Mac 2015


PAPARAN berita yang bertajuk “Saya bosan dengan cara cikgu mengajar” yang disiarkan dalam akhbar ini pada 9 Mac 2014 begitu menyentuh hati nurani para pendidik yang begitu banyak menabur bakti dalam dunia keguruan. Pembaca setia akhbar itu yang semestinya ibu bapa murid terbabit mungkin turut sama berasa terkilan. Yang jelasnya, fokus utama ialah pengajaran guru yang tidak menarik menyebabkan murid tersebut tekad ponteng sekolah.

Kalau itulah yang menjadi penyebabnya maka guru Bahasa Melayu dan guru-guru mata pelajaran lain perlu mencari pendekatan, kaedah, strategi, dan teknik pengajaran baharu agar murid pascamerdeka kini suka akan guru sekali gus pengajaran guru.

Sehubungan itu, baru-baru ini, penulis berkesempatan hadiri Seminar Pendidikan Kelas Abad ke-21 anjuran salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta di ibu kota. Antara peserta termasuklah guru-guru yang mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, selain pensyarah daripada pelbagai institusi pendidikan tempatan. Apa yang mengagumkan penulis juga ialah beberapa pensyarah asing yang fasih berbahasa Melayu dari institusi pengajian tinggi awam turut menjayakan seminar ini.

Menurut salah seorang pembentang kertas kerja dalam seminar mantik itu, pendidikan yang menjurus ke arah Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) telah diamalkan di dalam bilik darjah di luar negara seperti Amerika Syarikat dan England sejak tahun 1970-an lagi. Hal ini menggambarkan pendidikan Barat begitu mengambil berat tentang kurikulum ke arah pemikiran global dan kemenjadian murid mereka pada abad ke-21 kelak.

Di Malaysia, pengajaran guru yang bertunjangkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merupakan penanda aras keberkesanan pendidikan kelas abad ke-21 yang diuar-uarkan oleh Kementerian Pendidikan pada tahun 2014, iaitu selaras dengan transformasi pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025).

Sebagai guru Bahasa Melayu yang berwibawa, pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu pada abad ke-21 ini memerlukan pengorbanan dan keprihatinan guru yang tidak sedikit. Pelajar pada alaf baharu ini tidak gemar dikongkong pergerakan mereka di dalam kelas.

Dalam hal ini, amalan pengajaran konvensional melalui cara 'chalk and talk' tidak relevan lagi. Murid-murid mudah berasa bosan apabila pengajaran sehala oleh guru yang tidak memberikan peluang kepada murid untuk menyuarakan pendapat mereka. Pengajaran yang pasif tanpa berbantukan teknologi maklumat tentulah membosankan murid-murid. Hal ini dikatakan demikian kerana ada murid yang terlebih celik komputer hingga dapat pula mereka membantu guru dalam dunia pengkomputeran.

Selain itu, penggunaan komputer dan 'smart board' seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh para guru untuk menarik minat murid-murid selain susun atur kerusi meja murid yang bercirikan kelas abad ke-21 yang boleh diubah suai setiap minggu.



Penggunaan pelbagai jenis bahan bantu mengajar yang bersumberkan internet amat disukai oleh murid. Guru yang kreatif dan inovatif pula akan berperanan sebagai pemudah cara ketika sesi pengajaran dan pembelajaran.

Pengajaran guru yang berbantukan laman sosial seperti Facebook, WhatsApp atau Instagram perlu diperluas selain penggunaan mel elektronik atau Google Chrome secara komprehensif. Murid-murid perlu digalakkan melayari internet untuk mencari maklumat terbaharu tentang sesuatu topik pengajaran semasa.

Seterusnya, aktiviti kumpulan sewajarnya diamalkan setiap masa meskipun guru Bahasa Melayu atau guru Geografi telah diamanahkan mengajar murid yang akan menduduki peperiksaan awam baik UPSR, PT3, SPM atau STPM. Dengan kata lain, pengajaran guru yang memberi muridnya peluang untuk kolaboratif antara satu sama lain sememangnya dinanti-nantikan oleh murid pascamerdeka ini.

Kesimpulannya, pendidikan kelas abad ke-21 memfokuskan tiga komponen utama, iaitu pengetahuan teknologi, pengetahuan pedagogi dan pengetahuan kandungan atau kurikulum. Penyampaian guru Bahasa Melayu secara aktif, komunikatif dan kolaboratif sememangnya menjadi impian setiap pelajar pada arus perdana ini kerana rangkuman tiga komponen inilah yang merupakan faktor penentu peningkatan peratusan kehadiran pelajar di sekolah setiap hari. Bahasa Sendi Tamadun Bangsa.

* Ruangan ini dikelolakan oleh DBP Wilayah Timur
* Ini adalah pendapat peribadi penulis sendiri dan tidak semestinya mewakili pandangan Sinar Harian Online.

sinar harian 




23 Dec 2015

Salam Mauliur Rasul 1436H





salam maulidur rasul 1436H


Dari Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah ï·º bersabda:
Ù…َÙ†ْ صَÙ„َّÙ‰ عَÙ„َÙŠَّ صَÙ„َاةً ÙˆَاحِدَØ©ً صَÙ„َّÙ‰ اللهُ عَÙ„َÙŠْÙ‡ِ عَØ´ْرًا
“Barangsiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah mengucapkan selawat kepadanya 10 kali.” (HR. Muslim)



Al Bayan : Sekolah Al-Quran dan Hadis

Sekolah Al-Bayan Amy Search 
dapat sokongan peminat
22 Disember 2015


MOHAMED JUHARI SHAARANI (berdiri empat dari kiri) bersama Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman (lima dari kiri), Mazliham Mohd. Su'ud (tiga dari kiri), Amy Search (enam dari kiri) dan Saiful Kadir (tujuh dari kiri) serta para pelajar Al Bayan School Of Quran & Hadith dan Lukisan Islamik Cahaya Jiwa di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Vokalis kumpulan Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menyifatkan penubuhan Al-Bayan School of Quran & Hadith yang diasaskan beliau dan seorang ustaz, Mohd. Bilal Mohd. Sujak mendapat sokongan banyak pihak termasuk peminatnya.

Amy, 57, berkata, hampir separuh daripada 40 pelajar tahfiz yang sedang mengikuti pengajian menghafaz al-Quran dan beberapa subjek akademik merupakan anak-anak golongan ibu bapa yang terdiri daripada peminatnya.

Katanya, lebih menggembirakan apabila ada dalam kalangan ibu bapa tersebut turut menjadi sebahagian daripada beberapa pihak yang tampil membantu menghulurkan sumbangan peralatan dan barangan keperluan sekolah berkenaan.

“Sebenarnya ramai lagi pihak yang ingin menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian di sekolah ini. Oleh kerana penubuhannya masih baharu manakala tempatnya yang terhad, pihak kami hanya mengambil jumlah tertentu sahaja atas faktor tersebut,” kata­nya dalam sidang akhbar program Cahaya Jiwa di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman; Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani; Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud dan pelukis tersohor, Saiful Kadir.

Program yang diadakan itu adalah bertujuan untuk menjana dana yang mana 30 peratus hasil kutipan jualan lukisan Saiful akan disumbangkan kepada sekolah tahfiz berkenaan.

Dalam pada itu, Saiful berkata, program yang mendapat tajaan pihak UniKL, Karangkraf dan Chatime termasuk Agrobank sebagai penaja utama tersebut telah berjaya mengumpul sebanyak RM80,000 hasil jualan 15 lukisan berunsur ke­senian Islam yang berharga antara RM5,000 hingga RM15,000.

Katanya, dia berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan Amy bagi tujuan itu dan berhasrat untuk meneruskan program amal tersebut di beberapa destinasi lain di dalam negara.

Sementara itu, seorang pelajar tahfiz, Suhaimi Abdul Karim, 14, berkata, dia yang merupakan pelajar terawal dan memulakan pengajian pada Januari lalu telah menghafaz satu juzuk al-Quran.

Suhaimi yang berasal dari Kelantan memberitahu, meskipun tidak menyambung pengajian di sekolah kerajaan, keadaan itu tidak menghalangnya untuk memperoleh ilmu dalam bidang agama dan akademik, selain memenuhi hasrat untuk menghafaz al-Quran.

Turut senada ialah Muhd. Nabil Huzaifah Junizam, 11, yang menyifatkan sekolah tahfiz adalah pilihan tepat baginya.

Katanya, Amy sentiasa hadir ke sekolah tersebut bagi tujuan beramah mesra dengan pelajar selain memberi sokongan dan dorongan.

“Saya bersyukur kerana dipilih untuk ditempatkan di sini. Walaupun belajar di sekolah rendah sebelum ini dari darjah satu hingga empat, saya akan meneruskan bidang pengajian di sini bagi mengejar impian untuk menjadi seorang doktor yang mampu menghafaz al-Quran.

utusan online