Al Bayan : Sekolah Al-Quran dan Hadis

Sekolah Al-Bayan Amy Search 
dapat sokongan peminat
22 Disember 2015


MOHAMED JUHARI SHAARANI (berdiri empat dari kiri) bersama Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman (lima dari kiri), Mazliham Mohd. Su'ud (tiga dari kiri), Amy Search (enam dari kiri) dan Saiful Kadir (tujuh dari kiri) serta para pelajar Al Bayan School Of Quran & Hadith dan Lukisan Islamik Cahaya Jiwa di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam. UTUSAN/MOHD. AZIM ABD. RAHMAN

KUALA LUMPUR 21 Dis. – Vokalis kumpulan Search, Amy atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman menyifatkan penubuhan Al-Bayan School of Quran & Hadith yang diasaskan beliau dan seorang ustaz, Mohd. Bilal Mohd. Sujak mendapat sokongan banyak pihak termasuk peminatnya.

Amy, 57, berkata, hampir separuh daripada 40 pelajar tahfiz yang sedang mengikuti pengajian menghafaz al-Quran dan beberapa subjek akademik merupakan anak-anak golongan ibu bapa yang terdiri daripada peminatnya.

Katanya, lebih menggembirakan apabila ada dalam kalangan ibu bapa tersebut turut menjadi sebahagian daripada beberapa pihak yang tampil membantu menghulurkan sumbangan peralatan dan barangan keperluan sekolah berkenaan.

“Sebenarnya ramai lagi pihak yang ingin menghantar anak-anak mereka mengikuti pengajian di sekolah ini. Oleh kerana penubuhannya masih baharu manakala tempatnya yang terhad, pihak kami hanya mengambil jumlah tertentu sahaja atas faktor tersebut,” kata­nya dalam sidang akhbar program Cahaya Jiwa di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Wan Mohd. Fadzmi Wan Othman; Ketua Pengarah Istana Budaya, Datuk Mohamed Juhari Shaarani; Ketua Pegawai Eksekutif Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Prof. Datuk Dr. Mazliham Mohd. Su’ud dan pelukis tersohor, Saiful Kadir.

Program yang diadakan itu adalah bertujuan untuk menjana dana yang mana 30 peratus hasil kutipan jualan lukisan Saiful akan disumbangkan kepada sekolah tahfiz berkenaan.

Dalam pada itu, Saiful berkata, program yang mendapat tajaan pihak UniKL, Karangkraf dan Chatime termasuk Agrobank sebagai penaja utama tersebut telah berjaya mengumpul sebanyak RM80,000 hasil jualan 15 lukisan berunsur ke­senian Islam yang berharga antara RM5,000 hingga RM15,000.

Katanya, dia berbesar hati kerana berpeluang bekerjasama dengan Amy bagi tujuan itu dan berhasrat untuk meneruskan program amal tersebut di beberapa destinasi lain di dalam negara.

Sementara itu, seorang pelajar tahfiz, Suhaimi Abdul Karim, 14, berkata, dia yang merupakan pelajar terawal dan memulakan pengajian pada Januari lalu telah menghafaz satu juzuk al-Quran.

Suhaimi yang berasal dari Kelantan memberitahu, meskipun tidak menyambung pengajian di sekolah kerajaan, keadaan itu tidak menghalangnya untuk memperoleh ilmu dalam bidang agama dan akademik, selain memenuhi hasrat untuk menghafaz al-Quran.

Turut senada ialah Muhd. Nabil Huzaifah Junizam, 11, yang menyifatkan sekolah tahfiz adalah pilihan tepat baginya.

Katanya, Amy sentiasa hadir ke sekolah tersebut bagi tujuan beramah mesra dengan pelajar selain memberi sokongan dan dorongan.

“Saya bersyukur kerana dipilih untuk ditempatkan di sini. Walaupun belajar di sekolah rendah sebelum ini dari darjah satu hingga empat, saya akan meneruskan bidang pengajian di sini bagi mengejar impian untuk menjadi seorang doktor yang mampu menghafaz al-Quran.

utusan online

Comments