Main Puteri Dikomersialkan

Main Puteri kini dikomersialkan
MARINA SAHABUDIN &
FOTO: MIKE CASPER / JKKN
22 September 2015


KESENIAN Main Puteri mungkin janggal dalam kalangan masyarakat tempatan, tetapi bukan dalam kalangan peminat seni berkenaan khususnya di Kelantan.

Ini kerana Main Puteri adalah seni yang amat popular di negeri Cik Siti Wan Kembang itu.

Dalam hasrat mahu mempopularkan dan mengangkat Main Puteri di tahap lebih komersial, Petronas bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) menampilkan Kelab Kesenian dan Kebudayaan Kampung Pulau Tebu, Kota Bharu Kelantan mempersembahkan Main Puteri, Angin Tohor sempena Panggung Seni Tradisional 2015.

Menurut pengerusi Kelab Kesenian Pulau Tebu Mohd Aswawi Isa, 40, pihaknya berbesar hati kerana diberi peluang terlibat dengan program itu.

Katanya, mereka komited memperjuangkan keaslian persembahan tradisi yang diwarisi daripada nenek moyang agar tidak hanyut oleh pengaruh modenisasi.

"Falsafah dan akar umbi Main Puteri itu perlu fahami terlebih dahulu agar anggapan serong tentang persembahan Main Puteri dapat diterima dengan baik.

"Umpama kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan apabila Petronas memberi komitmen melalui Geran Seni Budaya Petronas untuk memulihara, memupuk dan mempromosi khazanah seni budaya Malaysia," katanya.

Menurut Aswawi, kelab itu antara salah sebuah kelab yang menerima Geran Seni Budaya Petronas.

Menerusi geran yang diterima, pihaknya berjaya mengetengahkan Main Puteri kepada peminat seni tradisional di luar Kelantan.

"Menerusi persembahan ini, saya yakin ia dapat membuka minda masyarakat di Kuala Lumpur tentang keindahan persembahan tradisional Main Puteri dan sekali gus menumbuhkan rasa ingin mendalami serta rasa sayang dan hormat mereka terhadap khazanah budaya Malaysia.

"Usaha memulihara, memupuk dan mempromosi seni tradisi Main Puteri bukan hanya berfungsi untuk perubatan tetapi boleh dinikmati sebagai sebuah persembahan yang amat menarik kepada umum," katanya.

Sedikit mengenai persembahan Main Puteri, Angin Tohor, ia berkisarkan perubatan tradisi Main Puteri yang merupakan gabungan unsur Islam dengan unsur magis dan ritual.

Selepas upacara ‘baca kenduri’ yang sebutan bacaannya bercampur antara ayat-ayat al-Quran dengan jampi dan mantera, Tok Teri akan tampil di depan pemuzik dan pesakit yang akan diubati.

Khalayak akan menyaksikan upacara menurun yang benar-benar terjadi di hadapan mereka.

Pesakit akan diseru dan dibangkitkan angin dari dalam dirinya dan angin sakit itu akan dipindahkan ke dalam diri Tok Teri yang bertindak sebagai pengantara dan Tok Teri akan bersoal jawab dengan Tok Minduk.


Seni persembahan, ritual perubatan

Bercerita lanjut, Aswawi yang juga pengarah persembahan Main Puteri, Angin Tohor, memberitahu, Main Puteri merupakan salah satu kesenian autentik yang terdapat di Kelantan.

"Ia juga disebut sebagai Main Teghi dalam dialek Kelantan yang merupakan salah satu kaedah perubatan tradisi paling popular dalam masyarakat Melayu Kelantan-Pattani sejak lama dahulu.

"Kami mengakui bahawa sukar untuk mengasingkan di antara aspek ‘seni persembahan’ dan ‘ritual perubatan’ dalam Main Teghi kerana terdapat pertalian yang rapat di antara kedua-dua unsur itu.

"Ada pelbagai versi berkaitan dengan asal-usul Main Teghi yang boleh dijadikan sumber maklumat, namun ketiadaan rekod-rekod yang tepat, maka sumber lisan merupakan satu-satunya sumber yang ada," katanya.

Tambahnya, daripada aspek persembahan, terdapat elemen menarik dalam Main Teghi iaitu gabungan unsur-unsur lakonan, nyanyian, tarian, mimos dan muzik, selain gabungan unsur Islam, magis dan ritual.

"Tok Teghi iaitu ketua kumpulan Main Teghi akan bertindak sebagai perantara bagi menghubungkan pesakit dengan angin atau semangat yang diseru.

"Ketika proses ini, Tok Teghi akan berubah-ubah watak, menjadi bengis dan garang, orang tua nyanyuk, pemuda cacat, bersuara sengau dan pelbagai watak lain bagi menggambarkan sakit yang ditanggung oleh pesakit.

"Di sinilah aspek lakonan terbentuk dan karakter-karakter ini akan menarik perhatian penonton. Dalam waktu yang sama, para pemuzik atau ‘awak-awak’ akan memainkan lagu mengikut watak yang sedang dilakonkan dan ia memerlukan keupayaan Tok Teghi menyanyikan pelbagai jenis lagu," jelasnya.

Dipercayai terdapat lebih 50 buah lagu dalam persembahan Main Puteri, namun kini tidak sampai 10 buah lagu yang masih dipersembahkan.

"Antara lagu-lagu lazim yang dinyanyikan ialah lagu Kijang Mas, lagu Mengulit, lagu Pendekar, lagu Cik Muda, lagu Cik Kojo, lagu Menora dan lagu Abe. Alat muzik yang sering digunakan dalam persembahan Main Teghi ialah rebab, serunai, tetawak, gendang, genduk, canang dan juga kesi," katanya ada yang menganggap Main Puteri telah bermula sejak zaman cucunda Nabi, iaitu Hassan dan Hussein dan perkataan ‘Teri’ itu dirujuk kepada puteri nabi, Siti Fatimah.

Manakala pendapat yang lain lagi menghubungkan Main Teri dengan hubungan jiwa dan rosak, iaitu tradisi perubatan untuk mematerikan iaitu menyatukan roh dan jiwa yang sakit.

Lagu mengikut jiwa

Memainkan peranan sebagai Tok Teri, Che Mohd Zailani Che Moh, 49 atau Che Mat Jedok berkata, Main Puteri dikaitkan dengan unsur angin yang akan dibangkitkan oleh Tok Teri atau dalam bahasa Main Teri disebutkan sebagai ‘isih’.

"Nama-nama ‘isih’ atau angin tersebut termasuklah Raja Dua Belas yang dikenali sebagai Sulung, Bimbaran Empat, Pahlawan Empat, Sertan Empat, Megat Empat, Cik Siti Putih Nahkoda Anjung, Mamud Kuning Hayun Manis Hitam Ayun Baka, Anak dewa Di Gunung, Awang Pengasuh, Mahat Gemala Gajah, Awang Kasim Gila, Anak Dewa Tujuh, Anak Kumbang Tujuh, Hala tujuh, Bidang Tujuh dan Hitam Perlima Laut.

"Tok Teri akan meminta pemuzik yang diketuai oleh Hassan Jantan mengiring memainkan pelbagai lagu mengikut jiwa pesakit.

"Pada bahagian ini khalayak dapat menyaksikan bagaimana aspek lakonan terbentuk semasa. Elemen muzik dan unsur nyanyian ini menuntut keupayaan Tok Teri bagi mengalunkan pelbagai lagu dan rentak.

"Lagu-lagu itu seperti lagu paluan bertabuh dalam wayang kulit, kemudian beralih kepada lagu dalam mak yong memandangkan pesakit ada kaitan dengan angin Dewa Muda," katanya.

Jelasnya lagi, sebagai Tok Teri terdapat juga sesi soal jawab bersama Tok Minduk yang dimainkan oleh Awang Mat Akar, 76 yang mana rahsia penyakit yang dideritai seorang pesakit itu akan diungkai.

"Semasa proses perubatan ini Tok Teri, Che Mat Jedok akan berubah-rubah perwatakannya, seperti menjadi sebagai Tok Bomoh, Tok Dalang Wayang Kulit, Tok Pendekar, Awang Pengasuh dan pelbagai watak lain untuk menceritakan kekusutan jiwa pesakit yang dilakonkan oleh Ismadian Ismail," katanya.


Martabat khazanah budaya

Mengulas lanjut mengenai program berkenaan, Pengurus Besar Kanan Perhubungan Kumpulan Strategik Komunikasi Petronas, Liz Kamaruddin berkata, sejak penubuhan Petronas Kumpulan Seni Persembahan pada 1990, pihaknya memberikan beberapa geran kepada pelbagai kumpulan seni persembahan.

"Sehingga 2012, Petronas menyumbang sebanyak RM4 juta kepada 27 kumpulan di seluruh negara.

"Kami telah lama terlibat dalam usaha memartabatkan khazanah budaya Malaysia bermula dengan penubuhan Kumpulan Seni Persembahan Petronas pada 1989.

"Selain Main Puteri, Petronas turut membantu mengangkat seni warisan Malaysia yang lain seperti Zapin, Kuda Kepang, Wayang Purwo, Jikey, Mak Yong, Rodat, Wayang Kulit dan persembahan teater klasik India, Bharatanatyam," katanya.

Menurutnya, Petronas sentiasa komited sebagai penaung utama seni untuk menyokong, mencipta dan mempromosikan seni visual dan persembahan serta muzik klasik. Setiap penerima geran telah dipilih dengan teliti dalam mewakili semua jenis genre di Malaysia.

sinar harian

Comments