Perjuangan Ungku Omar
Oleh Mohd Rosli Baharom
1 Julai 2012
Menulis biografi tokoh adalah suatu tugas yang mencabar, apatah lagi jika tokoh berkenaan telah meninggal dunia kerana sumber utama tidak dapat lagi dirujuk. Cabaran ini tidak menjadi halangan bagi penulis untuk menghasilkan buku Ungku Omar Ahmad: Tokoh Negara Tersohor. Mohd Zamberi A Malek sebelum ini telah menghasilkan 15 buku dalam bidang sejarah dan warisan. Datuk Dr. Ungku Omar Ungku Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ungku Omar adalah antara permata menjadi tiang seri negara ini ketika kita mula menapak sebagai sebuah bangsa merdeka.
Walaupun nama Ungku Omar sering dikaitkan dengan Pusat Penyelidikan Perubatan (IMR) tetapi beliau juga intelektual, pentadbir dan pejuang bangsa yang sentiasa meletakkan kepentingan agama, bangsa, dan negara melebihi segalanya.
Ungku Omar yang dilahirkan pada 18 Januari 1931 di Johor Bahru, Johor pernah mendapat pendidikan di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK). Kemasukannya ke Universiti Malaya (UM) di Singapura agak istimewa kerana beliau terus diterima masuk ke tahun dua.
Pada tahun 1961 Ungku Omar menyambung pelajaran dalam bidang Patologi di Royal College of Physicans London dan Royal College of Surgeons of England pada tahun 1962. Ungku Omar menyambung pelajarannya di peringkat kedoktoran dan memperoleh ijazah Ph.D. pada tahun 1965.
Walaupu berasal dari keluarga bangsawan, Ungku Omar tidak melupakan anak bangsa yang terpinggir. Masalah kesihatan dikenal pasti sebagai penyebab utama kemunduran dan ketinggalan masyarakat desa dan pedalaman. Sekembalinya ke tanah air Ungku Omar dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan. Beliau merupakan anak Melayu pertama dilantik memegang jawatan tersebut.
Kepimpinannya berjaya menaikkan nama pusat itu. Hasil penyelidikannya mengenai kesihatan dan perubatan diterbitkan dan tersebar kepada masyarakat di dalam dan luar negara. Sebagai seorang doktor, beliau melihat aspek kesihatan sebagai faktor penting dalam usaha membangunkan belia. Menurut Ungku Omar, kekurangan makanan berzat disebabkan kekurangan wang; kekurangan wang disebabkan kekurangan ilmu dan mata pencarian. Ilmu untuk mendapatkan rezeki yang lumayan pula tersalur melalui bahasa Inggeris. Oleh itu jalan penyelesaiannya ialah meluaskan penggunaan bahasa Melayu dan menaikkan tarafnya supaya rakyat luar bandar memperoleh maklumat yang betul tentang penjagaan kesihatan.
PendudukTaraf kesihatan penduduk luar bandar menjadi agenda penting perjuangannya. Ini dapat dilihat dalam kertas kerjanya bertajuk "Keadaan Kesihatan di Luar Bandar Penting Untuk Proses Pembangunan Dalam Segala Bidang" (Simposium Masalah Penduduk Luar Bandar, Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya, September 1967). Hasil penyelidikannya dalam kertas kerja itu menggemparkan negara. Beliau mendedahkan senario taraf kesihatan penduduk di luar bandar yang telah diabaikan; kadar kematian di luar bandar yang enam kali ganda lebih tinggi daripada di bandar; kadar kemiskinan yang berkait rapat dengan penyakit malaria, kepialu, untut, cacing, kekurangan zat makanan, anemia, dan penyakit lain.
Dalam kertas kerja yang sama, beliau menampakkan bukti keprihatinannya tentang pelajaran anak bangsa dengan mencadangkan penubuhan sebuah universiti Islam bagi menampung keperluan anak Melayu yang ketinggalan dalam perlumbaan mendapatkan tempat di Universiti Malaya ekoran masalah bahasa.
Gagasan itu merupakan lanjutan daripada cetusan ideanya yang dibentangkan pada Seminar Organisasi Islam di Kolej Islam, Kuala Lumpur (Ogos 1967). Dalam seminar tersebut Ungku Omar dari awal lagi mencadangkan penubuhan Universiti Islam yang akhirnya terlaksana juga pada tahun 198O-an. Ideanya itu bertujuan meninggikan taraf kehidupan anak bangsa dan umat Islam kerana beliau kecewa melihat kemunduran mereka dari segi pelajaran.
Beliaulah antara orang penting dalam menyuarakan hasrat penubuhan UKM. Pada pandangannya, sebuah universiti yang menekankan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi membolehkan anak Melayu mendapat pendidikan tinggi merupakan suatu keperluan yang mendesak.
Penubuhan UKM adalah titik penting perkembangan pendidikan Melayu kerana inilah institusi pengajian tinggi yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar bagi mengangkat martabat bahasa Melayu.
Dari institusi inilah juga lahirnya sekian banyak intelektual, teknokrat, dan birokrat Melayu. Dan yang lebih penting bahasa Melayu terbukti berupaya menyampaikan ilmu, sebagaimana yang sentiasa diperingatkan oleh Ungku Omar.
Ungku Omar adalah seorang yang cemerlang. Sebagai pelajar kehebatannya diperakui rakan dan guru. Ungku Omar adalah Melayu unggul yang didambakan oleh rakyat dan negaranya. Beliau meninggal dunia pada 15 Februari 1969 dalam usia 38 tahun. Pemergiannya terlalu awal namun semangatnya tetap dibawa bersama oleh mereka yang menghargai sumbangannya.
utusan online
DATO' DR. UNGKU UMAR BIN UNGKU AHMAD
Ungku Umar bin Ungku Ahmad, Dato’Dr.
TARIKH/TEMPAT LAHIR: 18 Januari 1931, di Johor, Bahru, Johor.
PENDIDIKAN : (Awal) Sekolah Melayu Kluang, Segamat, Pontian dan Tangkak. Kemudian ke Sekolah Inggeris Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Perak. (Terakhir). Universiti Malaya, Singapura, dan lulus ijazah MBBS, 1957. Royal College of Physician London serta Royal College of Surgeons England. Beliau lulus peringkat Diploma dalam bidang Patalogi, 1962. Lulus Ph.D dalam bidang Clinial Chemistry di institusi yang sama, 1965
KERJAYA: (1). Pegawai Perubatan dan Penyelidikan di Pusat Penyeldikan Perubatan kuala Lumpur. (2). Pendaftar di Jabatan Pathology, Royal Free Hospital, School of Medicine, London, 1962. .(3). Pengarah Pusat Penyelidikan Perubatan Kuala Lumpur, 1965. PENCAPAIAN: (1). Anak Melayu pertama yang dilantik sebagai Pengarah Pusat Penyelidikan Pertama Kuala Lumpur (2) Ketika keadaan kesihatan rakyat, terutama di luar bandar masih belum terbela beliau mengunjungi kampung-kampung untuk memberikan ceramah dan bimbingan kepada penduduk tentang kesihatan, terutama sakit malaria. (4). Banyak kali mewakili Malaysia dalam persidangan Perubatan antarabangsa dan memberi sumbangan dalam bentuk ceramah dan pidato umum di Australia, Indonesia, Amerika Syarikat, Filipina, China dan Singapura. Ceramah dan pidatonya berkisar tentang peri pentingnya hasil penyelidikan perubatan disebarluaskan untuk menjaga kesihatan rakyat. Kebanyakan persidangan ini dianjurkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Lembaga Penyelarasan Kerjasama Serantau Dalam Perubatan Tropika (SEAMES).
INOVASI: (1) Bersama dengan DBP beliau membentuk istilah Perubatan dalam bahasa Melayu. (2). Mengambil inisiatif memberi ceramah melalui radio tentang kesihatan sehingga beliau digelar “Doktor Radio”.
PENULISAN/PENERBITAN: (1). Telah menhasilkan lebih daripada 40 kertas kerja dan prosiding tentang perubatan dan ditanggapi dengan baik oleh pengamal-pengamal perubatan di Asia Tenggara khuusnya, dan dunia amnya. (2). Tesis Ph.Dnya bertajuk “Electrolytes in Isolated Human Leucocytes.” Menjadi bahan rujukan utama buat mahasiswa jurusan perubatan. (3). Penyumbang rencana secara berkala untuk majalah Mastika dan Dewan Masyarakat
ANUGERAH/GELARAN: (1). Anugerah bintang kebesaran Darjah Setia Mahkota (DSM) oleh Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, yang membawa gelaran Dato’, Jun 1967. (2). Anugerah bintang kebesaran Darjah Kerabat Yang Dihormat oleh Sultan Johor, Oktober 1967. (3). Gelaran Profesor oleh Universitas Nasional, Jakarta, Indonesia, 1968. (4). Namanya diabadikan untuk institusi Politeknik Ungku Umar, Ipoh, Perak setelah beliau meninggal dunia pada 15 Februari 1969.
sumber pokok dan tokoh
SEJARAH POLITEKNIK UNGKU OMAR
Politeknik Ungku Omar yang terletak di Jalan Raja Musa Mahadi (dahulunya dikenali sebagai Jalan Diary), Ipoh ,negeri Perak ditubuhkan pada tahun 1969. Politeknik ini telah ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan bantuan UNESCO. Peruntukan sebanyak RM24.5 juta diperolehi daripada Program Pembangunan PBB (UNDP). Politeknik ini mengambil sempena nama Allahyarham Dato’ Profesor Ungku Omar Ahmad demi mengenang jasa dan sumbangan beliau kepada negara dan bangsa terutamanya dalam bidang penyelidikan perubatan.
Penekanan dan bidang pelajaran politeknik ini bercorak sains dan teknologi. Politeknik Ungku Omar ditubuhkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan bantuan UNESCO dan ini bertujuan untuk melatih tenaga pekerja separa profesional dan golongan pengurusan bawahan bagi menampung keperluan pembangunan negara. UNESCO telah dipertanggungjawabkan untuk merancang dan melaksanakan pembinaan PUO di atas tapak seluas 22.6 hektar di Jalan Dairy, Ipoh. Politeknik bermula beroperasi dengan menumpang di Pusat Latihan Harian, Ipoh dengan 300 orang penuntut.Tenaga pengajarnya pada masa itu terdiri daripada 28 orang pensyarah tempatan dan dibantu oleh 14 orang sukarelawan dari Kanada, Amerika Syarikat, Jerman dan Jepun.
Kampus Politeknik Ungku Omar terletak di kawasan Ampang, Ipoh. Pada penghujung 1973, Politeknik berpindah dari Pusat Latihan Harian ke kampus kekalnya dan telah dirasmikan pada 10 Mei 1974 oleh Y.B. Menteri Pendidikan pada masa itu, Allahyarham Tun Abdul Razak b Hussein.
Kampus ini kini dikenali sebagai Kampus A setelah politeknik mengambil alih bekas kampus Maktab Perguruan Kinta dan dinamakan Kampus B pada 1990. Pada peringkat awal penubuhan, politeknik ini mempunyai empat jabatan pengajian iaitu Kejuruteraan Awam, Mekanikal, Elektrik dan Perdagangan. Pada tahun 1972, diwujudkan Jabatan Kejuruteraan Perkapalan dengan bantuan teknikal dan rundingan daripada JICA. Pada 1 Mac 1999, dua unit akademik dinaikkan taraf sebagai Jabatan. Unit Matematik dan Sains dijadikan Jabatan Matematik, Sains dan Komputer manakala Unit Bahasa/Agama pula dijadikan Jabatan Pengajian Am. Kini, Politeknik Ungku Omar mempunyai tujuh jabatan akademik.
puo
Comments
Post a Comment