Nasionalisme Dan Sulalatus Salatin


NASIONALISME DALAM SULALATUS SALATIN

Semangat nasionalisme adalah perlakuan yang dizahirkan bagi menunjukkan rasa kasih sayang dan cinta kepada tanah air. Ia adalah manisfestasi daripada penyuburan semangat patriotik yang wujud dalam diri seseorang warganegara. Dengan kata lain, nasionalisme ialah perasaan yang ditunjukkan oleh seseorang rakyat kerana cinta pada negaranya manakala patriotisme juga adalah perkara yang sama tetapi ia lebih berbentuk psikologi dalam setiap inividu.

Patriotisme berasal daripada bahasa Greek, iaitu patriotes yang bermaksud fellow countrymen, iaitu rakan senegara dan patrice yang bermakna fatherland atau country, iaitu tanah air atau negara. Ini membawa pengertian individu atau kumpulan yang berada di hadapan dalam usaha membela tanah air. Seorang patriot dikatakan sebagai seorang yang cintakan negaranya dan akan membuat apa sahaja untuk mempertahankannya. Patriot bermaksud orang yang mempertahankan (memperjuangkan) kebebasan atau hak tanah air atau pembela negara (Kamus Dewan dan Oxford English Dictionary). Patriot juga bererti orang yang cinta tanah airnya dan akan melakukan apa saja demi untuknya (New Webster's Dictionary)

Abdul Latif Bakar (1998), “Nasionalisme adalah sentimen di kalangan penghuni sesuatu wilayah itu menggunakan lambang-lambang tertentu sempadan dan ibu kota bagi menentu taraf negara bangsa, keperibadian kebangsaan, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, ekonomi, kebudayaan dan kesenian, bendera, lagu kebangsaan dan lain-lain. Patriotisme pula meluapkan perasaan kesetiaan kepada negara dan ia menjadi unsur-unsur penting nasionalisme.”


Nasionalisme membawa maksud sentimen kecintaan terhadap sesebuah negara. Nasionalisme merupakan sentimen dalam kalangan penghuni sesuatu wilayah tertentu. Perasaan ini dapat dilihat apabila rakyat sesuatu wilayah itu menggunakan lambang-lambang tertentu seperti sempadan dan ibu kota bagi menentukan taraf negara bangsa, keperibadian kebangsaan, kewarganegaraan, bahasa kebangsaan, ekonomi, kebudayaan dan kesenian, bendera, lagu kebangsaan dan lain-lain. Nasionalisme ialah gerakan kesedaran yang menumpukan perhatian bagi menentukan nasib sendiri, bangsa, dan negara untuk mencapai kebebasan dan kesejahteraan serta memupuk keperibadian sejati. Ini berpunca daripada tekanan dan pengaruh asing atau penjajah sehingga anak negeri merasa lemah dan tertinggal dalam lapangan ekonomi, sosial, politik, dan kebudayaan.

Patriotime merupakan perasaan kesetiaan kepada negara dan ia menjadi unsur penting nasionalisme. Perasaan patriotik ini lebih tertumpu kepada taat setia terhadap raja dan pemimpin negara. Melaka mempunyai sistem politik yang kukuh sejak awal abad ke-15. Pemerintahan secara piramid telah meletakkan raja sebagai ketua negara dan politik serta dibantu oleh Bendahara, Laksamana, Temenggung dan Syah Bandar. Melaka pula mempunyai rakyat yang setia kepada Raja sebagai pemerintah dan raja yang berdaulat.
Ciri-ciri patriotisme iaitu semangat taat setia kepada raja dan pemerintah telah diamalkan oleh rakyat Melaka sejak zaman Kesultanan Melayu Melaka bagi mewujudkan kedaulatan, kekuatan, kestabilan, dan peluasan empayar kerajaan. Rakyat Melaka sanggup berkorban demi mempertahankan negeri Melaka daripada diserang musuh dan bagaimana mereka patuh kepada perintah raja.

Nilai dan sikap patriotisme rakyat yang kental dalam mempertahankan negara. Melaka telah diserang kali pertama oleh Siam yang diketuai oleh Awi Cakri. Pada ketika itu Tun Perak merupakan penghulu di Kelang. Beliau telah mengarahkan orang-orang Melaka membawa anak isteri masing-masing semasa berperang bagi menaikkan semangat orang-orang Melaka. Taktik mempertahankan Melaka melalui penglibatan rakyat dalam peperangan ini berhasil apabila Melaka telah memenangi peperangan tersebut. Sikap patriotisme juga ditunjukkan melalui tindakan individu menggunakan segala kemahiran dan kebolehan yang ada. Keinginan Cau Pandan untuk menyerang Melaka telah dipatahkan oleh Sidi Arab yang hanya melepaskan panahnya keudara sambil berkata; “Mati engkau Cau Pandan”. Dengan tidak semena-mena Cau Pandan telah mati sebelum sempat menyerang Melaka. Kekentalan nilai patriotisme mengalir dalam diri setiap rakyat Melaka. Mereka mengambil pelbagai kaedah untuk menentang musuh Langkah Tun Ali menggunakan pendekatan berani menggempur musuh sebelum mereka tiba di Melaka. Ia berlaku ketika Siam menyerang Melaka bagi kali kedua yang telah diketuai oleh Awi Dicu. Tun Umar telah diarahkan untuk mematahkan serangan Siam. Tun Umar telah melanggar kapal Siam berkali-kali. Perbuatan Tun Umar itu telah disaksikan oleh tentera Siam yang hairan melihat keberanian dan kelakuan Tun Umar yang gila-gila bahasa itu. Manakala pada malamnya pula, Tun Perak telah mengikat puntung-puntung api pada setiap pohon bakau. Angkatan Siam akhirnya berundur kerana menyangka angkatan Melaka lebih ramai.

Nasionalisme yang kukuh diperlihatkan melalui tindakan peperangan. Semasa pemerintahan Sultan Mansor Syah, baginda telah berhasrat utuk meluaskan tanah jajahannya. Oleh itu, baginda telah menghantar Paduka Raja, hulubalang, Tun Pikrama, Tun Menteri dan Seri Bija Diraja (Datuk Bongkok) ke Pahang. Dalam peperangan ini Pahang telah berjaya dikalahkan oleh Melaka. Maharaja Dewa Sura telah ditangkap oleh Seri Bija Diraja dan dibawa ke Melaka manakala anak Maharaja Dewa Sura, Puteri Wanang Seri telah dikahwini oleh Sultan Mansor Syah. Langkah peperangan adalah untuk mengelakkan berlakunya banyak kejadian penentangan terhadap raja. Negeri Kampar tidak tunduk kepada Melaka. Ini menyebabkan Kampar telah diserang oleh Melaka. Negeri Kampar kalah manakala rajanya Maharaja Jaya telah dapat dibunuh. Seri Nara Diraja telah diberi kuasa untuk memerintah Kampar.


Nasionalisme yang mementingkan kesederhanaan dan tidak bertindak atas dendam. Ia dapat dilihat ketika berlakunya peperangan dengan Siak yang diketuai oleh Seri Udani. Dalam peperangan ini Siak telah berjaya dikalahkan dan Maharaja Permaisura telah dibunuh. Anaknya yang bernama Megat Kudu dan Perdana Menterinya Tun Jana Pakibul telah dibawa ke Melaka. Megat Kudu telah dikahwinkan dengan anak Sultan Mansor lalu dirajakan di Siak. Manakala Seri Udani telah dijadikan sebagai Perdana Menteri dan Tun Jana Pakibul sebagai Mangkubumi. Jelas bahawa dalam usaha membina ketinggian martabat negara dan menentang penderhakaan ia dilakukan penuh hikmah. Tindakan merajakan Megat Kudu di Siak dan Tun Jana Pakibul sebagai Mangkubumi merupakan kehematan dan ketinggian hikmah dalam membina keharmonian dan ketenteraman dalam negeri. Langkah bijak ini untuk memastikan bahawa tidak akan berlaku lagi pemberontakan dan menghargai kebolehan dan kemampuan rakyat meskipun mereka pernah menjadi musuh.

Nasionalisme menolak ketidakadilan dan kezaliman. Sultan Zainal Abidin telah diusir oleh adiknya ke Melaka. Sultan Mansor Syah telah menitahkan Laksamana, Bendahara, Tun Hamzah dan Seri Bija Diraja untuk menyerang Pasai. Peperangan antara Pasai dan Melaka amat sengit menyebabkan angkatan Melaka hampir kalah. Pada serangan yang kedua kebijaksanaan dan kehandalan para pembesar Melaka seperti Tun Pikrama, Hang Isap, Nina Isyak dan Tun Hamzah telah berjaya mematahkan serangan Pasai. Sekali gus membolehkan Sultan Zainal Abidin menaiki takhta. Namun tindakan Sultan Zainal Abidin menyuruh orang-orang Melaka balik ke Melaka membuatkan Bendahara marah. Lalu apabila Pasai telah diserang sekali lagi oleh adik Sultan Zainal Abidin, Bendahara enggan menghantar bantuan.

Mempertahankan negara dari terjajah atau ditakluk musuh. Cabaran besar kerajaan Melaka adalah apabila Feringgi dibawah pimpinan Alfonso d’Albuquerque telah menyerang Melaka. Serangan Feringgi yang pertama telah dapat dipatahkan oleh angkatan Melaka di bawah pimpinan Sultan Ahmad bersama-sama dengan Tun Ali Hati dan Seri Udani. Feringgi tetap mencari jalan untuk menakluk Melaka. Dalam serangan kedua, tangan Sultan Ahmad luka dan Melaka telah dapat dikalahkan. Sebagai usaha membangkitkan semangat berjuang dalam kalangan rakyat dan pembesar, orang-orang Melaka telah dibacakan “Hikayat Amir Hamzah”. Melaka terpaksa melalui peperangan yang dahysat yang mengorbankan ramai rakyat, pahlawan dan pembesar Melaka. Kesan peperangan ini adalah berakhirnya Kerajaan Melayu Melaka. Namun bukanlah mudah Melaka dirampas Feringgi. Bukan sedikit semangat juang dan nyawa dipertaruhkan hanya untuk menyelamatkan Melaka.

Menggunakan strategi yang berkesan dan tindakan yang bijaksana untuk mempertahankan tanahair. Kepentingan keselamatan negara dan maruah negara suatu utama. Meskipun berhadapan dengan angkatan musuh yang besar, rakyat harus bertindak berani untuk menentang musuh. Tun Perak mengatur strategi peperangan yang berkesan dengan menambat puntung api pada pokok-pokok yang berada di sepanjang sungai sebagai helah untuk menunjukkan angkatan Melaka mempunyai bilangan anggota yang ramai. Tun Perak bertindak sedemikian sebagai memenuhi tanggungjawabnya mengetuai angkatan perang Melaka untuk menyekat kemaraan angkatan perang Siam yang bertujuan menyerang Melaka. Angkatan Siam berkampung di Batu Pahat. Tun Perak berhasrat mengelak berlaku pertempuran antara kedua-dua angkatan tersebut. Tindakan Tun Perak meletakkan setiap pokok di sepanjang tebing sungai dengan telah berhasil. Pada sangkaan orang-orang Siam, angkatan Melaka sangat besar, mempunyai bilangan yang ramai. Keadaan seperti ini tentu menunjukkan angkatan Melaka sangat kuat kerana pada biasanya setiap puntung api dipegang oleh seorang hulubalang. Siam membatalkan rancangan menyerang Melaka kerana menyangka angkatan Melaka sangat besar dan kuat berbanding dengan kemampuannya. Mereka tidak menyangka helah yang dilaksanakan Tun Perak bagi mengaburi mata orang-orang Siam itu. Kesannya: kebijaksanaan akal Tun perak yang mengetuai angkatan perang Melaka dapat mengelakkan berlaku pertempuran berdarah dan menyelamatkan Melaka dari ancaman Siam. Tun Perak mengambil langkah mengelakkan keganasan dan tumpah darah demi keteguhan kerajaan Melaka.


Strategi berkesan juga diperlihatkan melalui kebijaksanaan Tun Telanai membuat helah bagi mengelakkan angkatan Melaka menentang musuh di sebelah ketumbukan musuh yang kuat sewaktu utusan Melaka berada di Negeri Siam. Rombongan Melaka ke negeri Siam diketuai oleh Tun Telanai dan Menteri Jana Putera. Sewaktu di negeri Siam, Raja Siam ingin menguji kekuatan dan kesetiaan rombongan Melaka dengan meminta pertolongan membantu angkatan perang Siam menentang musuh-musuh di Siam di sempadan. Siam sengaja mengatur agar angkatan Melaka menentang musuh di sebelah ketumbukan musuh yang kuat. Kebetulan pula kedudukan musuh berada di sebelah matahari jatuh. Tun Telanai tidak mahu memalukan orang-orang Melaka seterusnya menjatuhkan martabat raja Melaka sekiranya kalah dalam peperangan itu. Dari itu Tun Telanai cuba mengelak daripada berperang di sebelah matahari jatuh dengan mengemukakan alasan bahawa orang-orang Melaka beragama Islam tidak boleh berperang mengadap matahari jatuh yang juga merupakan kiblat sembahyang penganut-penganut Islam. Angkatan Siam bertolak ansur dan bersedia untuk memindahkan angkatan Melaka berperang di sebelah matahari naik yang kebetulan musuhnya agak lemah. Angkatan Melaka berjaya mengalahkan musuh dengan jayanya. Raja Siam gembira dan mengakui kekuatan orang-orang Melaka seterusnya melambangkan kekuatan kerajaan Melaka.

Menjaga nama baik dan maruah negara di luar negara. Kepentingan menjaga maruah negara dan tidak sesekali memalukan raja dan kerajaan merupakan amalan nasionalisme dalam masyarakat Melaka. Sewaktu utusan Melaka berada di negeri Siam Tun Telanai telah memainkan peranan penting untuk tidak memalukan raja dan kerajaan serta dipandang rendah oleh kerajaan lain. Raja Siam bertanyakan Tun Telanai maksud nama Sultan Mansur Syah. Tun Telanai telah memberikan jawapan secara spontan bahawa maksud "Mansur Syah" ialah "...... raja yang dimenangi akan Allah Ta'ala daripada segala seterunya."

Peristiwa yang turut menggambarkan kecekalan hati rakyat Melaka menjaga maruah negarea di luar negara dijelaskan melalui kejadian kapal angkatan Melaka yang dalam pelayaran ke negeri China dipukul ribut dan terpesong ke Brunei. Rombongan Melaka diketuai oleh Tun Telanai dan Menteri Jana Putera membawa surat sembah raja Melaka kepada Maharaja China setelah raja Melaka menjadi menantu baginda. Raja Brunei bertanyakan kepada Tun Telanai bunyi surat kiriman raja Melaka kepada raja China. Setelah mendengar bunyi surat itu, raja Brunei bertanyakan utusan sama ada raja Melaka menghantar surat sembah kepada Maharaja China. Menteri Jana Putera menjawab dengan menaflkan dan memberitahu bahawa raja Melaka tidak mengirim "sembah" kepada raja China, kerana erti "sahaya" dalam surat raja Melaka itu bermaksud "hamba". Maka yang berkirim sembah itu adalah rakyat Melaka bukannya raja Melaka. Jawapan Menteri Jana Putera itu hanya sebagai satu alasan sahaja bagi mempertahankan ketinggian martabat raja Melaka daripada dipandang rendah oleh raja Brunei. Ini menunjukkan pembesar-pembesar negeri, terutamanya utusan Melaka memiliki kepintaran akal dan kebijaksanaan terutama dalam menjaga imej baik raja dan kerajaan Melaka.

Kesetiaan terhadap raja dan negara. Dalam usaha mempertahankan maruah dan negara kepentingan negara lebih utama dari kepentingan diri sendiri. Kesetiaan Bendahara Seri Maharaja dapat dilihat apabila beliau telah menjadi mangsa fitnah oleh Kitul, Raja Mendeliar dan Laksamana Khoja Hassan yang mengatakan beliau telah mengumpulkan harta kekayaan melebihi kekayaan sultan. Sultan Mahmud yang telah lama mendendami Bendahara Seri Maharaja apabila Bendahara Seri Maharaja tidak menunjukkkan anak gadisnya Tun Fatimah yang rupawan dan dikahwinkan dengan Tun Ali, ini menyebabkan Tun Mutahir dan keluarganya telah dijatuhi hukuman bunuh dan tindakan sultan ini telah menimbulkan kemarahan para pengikutnya tetapi Bendahara Seri Maharaja telah memujuk para pengikutnya bersabar dan beliau sanggup menerima hukuman bunuh. Tindakan beliau ini merupakan satu pengorbanan yang ingin melihat keamanan yang berkekalan walaupun beliau tahu yang dirinya tidak bersalah tetapi memandangkan ia lebih pentingkan kepada ketenteraman dan kemakmuran Melaka, beliau sanggup menghalang para pengikutnya dari terus memberontak.


Bendahara Paduka Raja Tun Perak juga menunjukkan ketinggian semangat cinta akan negara. Beliau mengambil segala tindak-tanduk yang bijak dan berhemah demi menjaga keharmonian negara dengan meletakkan kepentingan diri jauh ke belakang. Ia dapat dilihat melalui peristiwa apabila beliau tidak bertindak balas atas kematian anakndanya Tun Besar yang dibunuh oleh putera Sultan Mansor Raja Muhammmad, sewaktu Tun Besar sedang bermain sepak raga tiba- tiba bola raga terkena pada dastar baginda, ini telah menyebabkan Raja Muhammmad merasa murka lalu membunuh Tun Besar. Tindakan ini telah menimbulkan kemarahan di kalangan pengikut Bendahara Paduka Raja, tetapi atas dasar kesetiaan Tun Perak tidak bertindak balas kerana dirinya sedar sekiranya beliau menggambil tindakan sudah pasti akan menyebabkan negeri Melaka terdedah kepada kekacuaan dan sudah pasti pihak musuh akan mengambil kesempatan dan akan menyebabkan Kerajaan Melaka menjadi tidak stabil, sikap Tun Perak ini sebenarnya satu tindakan yang berpandangan jauh, malah beliau hanya menyatakan ketidak sanggupan untuk bernaung di bawah Sultan Muhammad. Sultan Mansor amat memahami isyarat yang diberikan oleh Bendahara Paduka Raja. Baginda turut mengambil langkah mengutamakan negara dari kepentingan diri baginda. Sultan Mansor telah menghantar ke negeri Pahang untuk dijadikan raja di sana. Ia sebagai suatu simbol peri mustahaknya menjaga keharmonian hubungan antara raja dan rakyat demi kemakmuran negara.

Kesannya adalah perbuatan Bendahara Seri Maharaja dan Bendahara Paduka Raja dapat dijadikan contoh dan teladan kepada semua rakyat. Sebagai pemimpin atau rakyat apa yang penting adalah sentiasa bertindak untuk kepentingan negara bukan peribadi. Kesanggupan untuk berkorban dan melaksanakan titah sultan merupakan satu refleksi kehebatan semangat nasionalisme dan nilai patriotisme yang ada dalam diri kedua-dua pembesar Melaka yang cukup diteladani ini.

Comments