secebis
Blog Mimbar Kata
bahasa dalam puisi
blog mimbar kata
proses penyembuhan emosi dalam puisi
blog mimbar kata
menatap kepayahan dalam denu
blog mimbar kata
kau ada
blog mimbar kata
29 Aug 2022
8 Mar 2022
26 Sept 2021
sastera dan kuasa
Sastera di tengah-tengah konflik kekuasaan
MANA SIKANA
ayahanda
Makna merdeka karya sastera
KAMARIAH KAMARUDIN
26 September 2021
Masihkah terbelenggu dengan isu wanita yang menjadi mangsa penindasan, masyarakat yang dihimpit kemiskinan dan kisah berantakan dalam rumah tangga sebagaimana era penjajah?
Rata-rata kisah yang dibentang dalam novel pada era 1930-an dan 1940-an berlegar tentang isu-isu tersebut.
Kisah persahabatan, hubungan kekeluargaan dan konflik alam rumah tangga banyak dituang dalam pengkaryaan.
Berbanding selepas negara mencapai kemerdekaan, kisah yang diungkap pengarang mewakili banyak dimensi kehidupan.
Persoalan tentang agama, ekonomi, pendidikan, budaya dan sosial mula diberikan perhatian oleh pengarang.
Antara novel yang terserlah adalah Ayahanda karya Azizi Haji Abdullah yang telah diadaptasi menjadi drama bersiri di kaca telivisyen baharu-baharu ini.
Sebuah novel malar segar (evergreen) lantaran kisah tentang sosok yang bernama “ayah” merupakan persoalan kemanusiaan sejagat.
Dengan ungkapan tajuk yang sangat signifikan dengan kehidupan masyarakat, novel Ayahanda wajar dimiliki, dihadam dan difahami pembaca.
Novel ini memperihalkan keperibadian seorang ayah yang sarat dengan nilai kasih sayang walaupun tidak diperaga secara tersurat.
Watak ayah digembleng dengan perwatakan yang sukar dimengertikan oleh generasi muda tentang selok-belok nurani warga tua, namun unsur pengajarannya jelas mendidik khalayak dengan nilai keagamaan yang tinggi.
Setelah diadaptasi menjadi sebuah drama, novel ini dapat meruntun perasaan ramai penonton sementelah tatkala musim pandemik yang menyebabkan orang ramai terkurung di rumah.
Hidangan drama bersiri Ayahanda telah membawa masyarakat mulai menghargai makna sesebuah ikatan kekeluargaan dengan lebih akrab.
Lantaran sebelum ini masyarakat terlalu dimomokkan dengan rantaian drama televisyen yang diadaptasi daripada novel popular yang sangat menjengkelkan.
Elemen hedonisme yang dijejerkan dalam novel popular seterusnya diadaptasi menjadi drama televisyen begitu membimbangkan apabila ditonton oleh anak-anak.
Tajuk novel yang menjadi drama kebanyakannya mempamerkan kerancuan bahasa yang begitu ketara.
Wajah sastera yang indah dengan gaya bahasa yang menawan hilang angkara tajuk novel seperti Love You Mr. Arrogant, Rindu Awak 200%, Suri Hati Mr. Pilot, Cinta Si Wedding Planner, Kampung Girl, Bukan Cinta Monyet, Playboy Itu Suami Aku?, Yes, Boss Raya, Projek Memikat Suami dan lain-lain yang menampilkan kepunahan bahasa dan sastera Melayu tanah air.
Kesemua novel terbabit telah diadaptasi menjadi drama bersiri di kaca telivisyen yang ditonton dengan keghairahan masyarakat.
Kemasukan dialek utara turut memberikan penanda bahawa tanah air sarat dengan nilai sejarah dan falsafah yang dapat membangun tamadun dan peradaban bangsa.
Generasi muda wajar diberikan pendedahan tentang rumpun leluhur nenek moyang yang kini kian terpinggir lantaran kerakusan teknologi dan modenisasi.
Petikan kata-kata nasihat, pujangga, terjemahan ayat al-Quran dan hadis yang dikemukakan dalam tulisan jawi di setiap pengakhiran episod drama Ayahanda turut merakamkan keindahan warisan bangsa yang harus dipertahankan.
Malahan tajuk drama Ayahanda yang turut menyerlahkan tulisan Jawi telah menumbuhkan kesedaran kepada penonton tentang keistimewaan keindahan warisan Melayu nusantara yang tidak dimiliki Barat.
Drama ini turut memancing penonton dengan babak yang mengasyikkan di sebuah perkampungan yang sarat dengan nilai tradisi Melayu.
Latar tempat Kedah yang kaya dengan sawah padi dibangunkan pengarang dalam novel Ayahanda jelas menunjukkan tanah air kaya dengan panorama yang mempesona.
Unsur alam yang menjadi nadi kehidupan masyarakat Melayu tanah air telah disuguhkan dengan menarik dalam novel seterusnya drama yang telah diadaptasi.
Drama ini mengajak penonton untuk menghargai institusi kekeluargaan secara hemah dan hikmah kasih sayang.
Hubungan antara manusia dengan Tuhan (habl min Allah), hubungan manusia dengan manusia (habl min al-Nas) dan hubungan manusia dengan alam (habl min al-alam) jelas dikesani dalam novel dan drama ini.
Nilai keagamaan terpancar dalam setiap babak dan episod yang mengajak pembaca dan penonton bermuhasabah.
Ayahanda telah memberi peluang warga Malaysia menyaksikan hidangan yang bukan sahaja dapat mengasuh peribadi mulia bahkan dapat mendidik nurani untuk menyantuni warga tua dengan sebaik-baik budi dan bahasa.
Sementelah “Ayahanda” juga sesuai untuk tontonan lapisan masyarakat yang mempertaruhkan perutusan yang sangat bermakna selain bauran perasaan yang meruntun jiwa.
Kala rakyat resah gelisah berdepan dengan corona yang masih mengganas, arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang masih berterusan dan percakaran politik yang merusuhkan, Ayahanda bertandang merawat segala kegalauan itu.
Setelah 64 tahun negara menyambut kemerdekaan, ternyata wajah karya sastera tanah air masih dapat menyumbang makna yang besar kepada masyarakatnya.
Malaysia memiliki deretan karya sastera dengan judul dan gaya bahasa yang indah untuk dijadikan hidangan kepada khalayak.
Misalnya novel Delima Ranting Senja (Siti Zainon Ismail), Sudara (Arena Wati), Tunggul-Tunggul Gerigis (Shahnon Ahmad), Angin Timur Laut (S. Othman Kelantan), Pujangga Melayu (Mohd Affandi Hassan), Bedar Sukma Bisu (Faisal Tehrani), Dinihari (SM Noor), Warisnya Kalbu (Sri Rahayu Mohd Yusop) dan banyak lagi bersiap siaga menanti para penulis skrip drama untuk dibawa ke skrin layar televisyen.
Lambakan karya sastera popular wajar digantikan dengan wajah sastera Melayu yang lebih bermakna untuk kesempurnaan sahsiah anak bangsa.
Dibimbangi generasi muda sudah tidak mengenali budaya bangsa dengan bahasa yang indah dan berseni.
Barangkali ungkapan Tenas Effendy dalam buku Kesantunan Melayu (2001) ini perlu dijadikan renungan: “berbuah kayu rindang daunnya,-bertuah Melayu terbilang santunnya, elok kayu karena daunnya-elok Melayu karena santunnya”.
Ayuh, bebaskan diri daripada belenggu penjajahan dengan wangian merdeka karya sastera yang berhemah, dan berhikmah menjulang angkasa!
18 Sept 2021
KEINDAHAN NEGERI
KEINDAHAN NEGERI
selamat tinggal suria 2
selamat tinggal suria.
31 Aug 2021
aku harus mencintai negeri ini
AKU HARUS MENCINTAI NEGERI INI
Chow Kit dan Sudirman
Malam Sudirman menempa sejarah di Jalan Chow Kit

PETALING JAYA: Pada petang 14 April 1986, orang ramai mula berkumpul di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur, untuk menyaksikan penyanyi pop kesayangan mereka, Sudirman Arshad, membuat persembahan pada konsert jalanan terbesar pernah dibuat di ibu kota.
Konsert percuma itu menyaksikan penyanyi dan penulis lagu itu membuat persembahan sebagai penghormatan kepada kawasan Jalan Chow Kit yang sibuk, kedai-kedai, mekanik, penjaja kecil dan orang kebanyakan yang tinggal bersempit-sempit dengan kelab-kelab malam dan hotel-hotel kecil di tengah ibu kota, berhampiran Kampung Baru.
Beberapa jam sebelum konsert bermula pada 8 malam, polis sudah menutup jalan supaya kru dapat mendirikan pentas dan menyediakan peralatan bagi konsert di tengah-tengah jalan.
“(Pada masa itu) saya tidak fikir konsert ini begitu besar ertinya, tetapi bila difikirkan semula, kami mencipta sejarah.

“‘Soundcheck’ kami seolah-olah persembahan langsung,” kata pengarah muzikal Sudirman, Jenny Chin.
Beliau masih ingat segala birokrasi dan permit polis yang diperlukan untuk mengadakan konsert itu.
“Sudirman berterusan berkata beliau tekad mengadakan konsert ini. Jadi kami berusaha berhabis-habisan untuk menjayakannya,” kata Chin.
Menjelang 8 malam, lebih 100,000 peminat Sudirman mula membanjiri jalanan. Ramai yang memanjat pokok dan papan tanda, selain bumbung bangunan-bangunan berhampiran.
Akhirnya, pada 9 malam, penyanyi kecil molek itu “mendarat” di atas pentas menggunakan Skylift bomba dan memulakan persembahan dengan lagunya “Chow Kit Road”.

Penonton bersorak dengan begitu kuat sehingga para pemuzik tidak dapat mendengar bunyi peralatan muzik mereka sendiri.
Salah seorang yang hadir adalah Navaretnam Vethiya, yang ketika itu berusia 23 tahun.
“Keadaannya seolah-olah seluruh Malaysia hadir sebagai satu keluarga. Orang ramai berkumpul bersama, semua orang mahu melihat beliau (membuat persembahan),” katanya kepada FMT, sambil menambah, ramai yang hadir adalah anak-anak muda.
Sudirman mempersembahkan lagu-lagu hit seperti “Apa Khabar Orang Kampung” dan “Kenali Malaysia Cintai Malaysia” diiringi sorakan penonton, dan mengakhiri malam berkenaan dengan lagu balada “Pertemuan Abadi”, di mana beliau membalut dirinya dengan bendera kebangsaan, yang ketika itu belum lagi dikenali sebagai Jalur Gemilang.
Navaretnam, seorang pekerja di sebuah pusat beli-belah berdekatan, cuti separuh hari untuk menghadiri konsert berkenaan, namun tiba lewat dan tidak dapat mencari tempat yang dekat dengan pentas, dalam kalangan ribuan penonton yang hadir.

Katanya, Sudirman menghormati setiap lapisan rakyat Malaysia, dan menjadi simbol perpaduan.
Beliau akan menyanyikan satu lagu Melayu, kemudian lagu Cina dan India, menyanyi dalam sekurang-kurangnya dua bahasa, tambah Navaretnam.
Chin bersetuju, dan menyifatkan Sudirman sebagai artis Malaysia sebenar bagi semua rakyat Malaysia.
Beliau lain daripada yang lain, seorang artis Malaysia sangat unik yang menghiburkan semua orang, kata Chin.

“Pada konsertnya, semua orang duduk bersama dan ikut menyanyi, sama ada lagu Inggeris, Cina, Melayu atau India.”
Beliau turut mengingati sifat rendah diri Sudirman di belakang tabir, namun keletahnya menghiburkan dan kelakar di atas pentas.
“Beliau juga mempunyai pemikiran yang dalam. Kita boleh berborak dengannya berjam-jam tanpa jemu. Apa sahaja yang dibincangkan, beliau sentiasa dapat lebih mendalaminya, atau membuat komen-komen melucukan,” katanya.
“Kadang-kadang, apabila kami tidak bekerja, beliau akan menelefon saya dan kami akan berborak berjam-jam. Dia adalah artis yang sebenar, yang sentiasa bersemangat.”

Kata Jenny, beliau telah bekerja dengan ramai nama-nama besar lain, namun tidak pernah lagi melihat tahap kreativiti setanding Sudirman.
Sudirman jatuh sakit pada lewat 1991 dan meninggal dunia pada 22 Feb 1992, pada usia 37 tahun. Timbul banyak khabar angin mengenai kematiannya, namun punca rasmi kematiannya dicatatkan sebagai radang paru-paru.

Namun, lagu-lagunya yang disuntik cinta kepada rakyat Malaysia tetap hidup.
Walaupun berbadan kecil, jiwa Sudirman cukup besar bagi rakyat senegaranya.
16 Aug 2021
Pencipta Vaksin Covid-19
SUAMI isteri warga Jerman keturunan Turki ini yang merupakan saintis dalam dunia perubatan menjadi jutawan selepas berjaya menemui vaksin untuk melawan pandemik Covid-19 menerusi syarikat milik mereka BioNTech.
Pasangan Muslim berketurunan Turki penemu vaksin
Ekoran kejayaan itu, telah menjadikan pasangan doktor itu antara 100 orang jutawan di Jerman.
Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif BioNTech berkata, penemuan vaksin tersebut bakal mengakhiri era Covid-19.
Oleh itu, Sahin berasakan ia bukan kesempatan tetapi sudah menjadi tugas untuk membangunkan vaksin tersebut kerana menyedari kemampuan yang dimiliki untuk menghasilkannya.
Beliau menjadikan pemenang hadiah Nobel Jerman, Paul Ehrlich yang menemui penawar sifilis pada tahun 1909 sebagai idolanya.
Pasangan itu pada mulanya memberi fokus kepada penyelidikan dan pada masa yang sama menjadi pengajar di Universiti Zurich.
Pada tahun lalu, Yayasan Bill & Melinda Gates telah melabur AS$54 juta (RM222 juta) di BioNTech untuk merawat HIV dan batuk kering.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Pfizer, Albert Bourla menyifatkan Sahin seorang yang unik.
“Beliau hanya mementingkan sains dan membincangkan perniagaan bukanlah kegemarannya.
“Beliau juga seorang saintis yang mempunyai prinsip dan saya mempercayainya 100 peratus,” ujarnya.
Di Jerman, isu imigran dipandang serius dan kejayaan dua saintis keturunan Turki itu membuka mata banyak pihak.
“Pencapaian pasangan ini memberi contoh kepada kejayaan integrasi kaum di Jerman,” tulis laman web perniagaan konservatif Focus.
Sementara itu, seorang ahli Parlimen, Johannes Vogel, memberi sokongan kepada pasangan tersebut di Twitter dengan mengatakan tidak akan ada BioNTech di Jerman tanpa Özlem Türeci dan Ugur Sahin.
“Tanpa dua doktor hebat ini, tidak akan ada kolaboratif hebat dengan Pfizer. Negara migrasi menjadikan kita kuat, pasaran ekonomi dan masyarakat lebih terbuka,” tulisnya.
About Me
STATUS
Search This Blog
DAUN
-
3 hours ago
-
6 hours ago
-
7 hours ago
-
12 hours ago
-
13 hours ago
-
13 hours ago
-
15 hours ago
-
1 day ago
-
2 days ago
-
4 days ago
-
1 week ago
-
1 week ago
-
1 week ago
-
1 week ago
-
2 weeks ago
-
2 weeks ago
-
2 weeks ago
-
2 weeks ago
-
2 weeks ago
-
2 weeks ago
-
3 weeks ago
-
3 weeks ago
-
3 weeks ago
-
3 weeks ago
-
4 weeks ago
-
5 weeks ago
-
5 weeks ago
-
1 month ago
-
5 months ago
-
10 months ago
-
1 year ago
-
1 year ago
-
1 year ago
-
1 year ago
-
2 years ago
-
2 years ago
-
3 years ago
-
3 years ago
-
3 years ago
-
3 years ago
-
4 years ago
-
4 years ago
-
5 years ago
-
5 years ago
-
5 years ago
-
6 years ago
-
12 years ago
























