Aktifkan semula kritikan sastera
MANA SIKANA14 Februari 2021
KRITIKAN sastera Melayu yang lesu, hendaklah segera dicarikan ubatnya, untuk menyembuhkan pandemik yang begitu mencengkam, menjadi duri dalam daging perkembangan sastera tanah air.
Sejak 1990-an lagi, kritikan sastera berada terumbang-ambing. Betapa tidak, banyak karya yang dihasilkan, tidak pasti darjat nilainya, kerana tidak mendapat sentuhan daripada pengkritik.
Kritikan bertugas memberi jalan untuk sebuah tradisi kesusasteraan, supaya berkembang pesat, dan menyuguhkannya arah bergerak ke hadapan. Mata kritikan menembusi dan merentasi zaman. Sebuah tradisi kritikan yang subur, selalunya diringi oleh penghasilan karya yang agung.
Menghidupkan semula kritikan sudah di peringkat wajib. Sebuah pelan yang mapan, dengan strategi dan idea yang segar, perlu dirangka untuk mendapatkan pendekatan baru, demi perubahan dramatik paradigma sastera.
Usaha dimulakan untuk melahirkan pengkritik daripada kalangan penulis muda kontemporari. Sesungguhnya sekian lama, kita gagal melahirkan kritikawan yang baru. Jika sebarang usaha positif tidak dilakukan, tidaklah mustahil suatu masa nanti, kita bukan sahaja ketandusan pengkritik, malah ketiadaan pengkritik yang berwibawa.
Memang disedari untuk menjadi pengkritik, jauh lebih sukar daripada menjadi pengarang. Teori kritikan yang menjadi alatnya perlu dihafal, sama ada teori klasik, moden dan pascamoden. Kemudian dituntut pula, banyak membaca teks-teks kreatif, faham genrenya, alirannya, strategik teknikalnya dan menguasai aspek tekstual dan kontekstualnya.
Menghidupkan semula kritikan sudah di peringkat wajib. Sebuah pelan yang mapan, dengan strategi dan idea yang segar, perlu dirangka untuk mendapatkan pendekatan baru, demi perubahan dramatik paradigma sastera.
Usaha dimulakan untuk melahirkan pengkritik daripada kalangan penulis muda kontemporari. Sesungguhnya sekian lama, kita gagal melahirkan kritikawan yang baru. Jika sebarang usaha positif tidak dilakukan, tidaklah mustahil suatu masa nanti, kita bukan sahaja ketandusan pengkritik, malah ketiadaan pengkritik yang berwibawa.
Memang disedari untuk menjadi pengkritik, jauh lebih sukar daripada menjadi pengarang. Teori kritikan yang menjadi alatnya perlu dihafal, sama ada teori klasik, moden dan pascamoden. Kemudian dituntut pula, banyak membaca teks-teks kreatif, faham genrenya, alirannya, strategik teknikalnya dan menguasai aspek tekstual dan kontekstualnya.
Disiplin
Kritik sastera ialah sebuah disiplin ilmu tentang penghayatan, penganalisisan dan penilaian. Penghayatan bermaksud apresiasi, pengamatan, pemahaman, tanggapan, perasaan dan pemikiran yang terjelma daripada reaksi pembacaan.
Penganalisisan sebagai menghurai, membincang, membedah atau mendalami aspek karya dan pengkaryaan. Penilaian pula, untuk memberi pertimbangan dan penghakiman yang rasional, adil dan meyakinkan terhadap teks dan pengarang.
Kerja kritikan dimulai dengan membaca teks karya dengan hati-hati. Diikuti dengan memilih teori yang relevan. Menganalisis mengikut prinsipnya dengan sokongan contoh, nukilan dan bukti daripada teks. Kemudian, memberi hukuman terhadap nilai karya. Akhirnya, memetakan pencapaian dan kedudukan pengarang.
Kunci kritikan bergantung kepada penguasaan teori-teori sastera yang pelbagai, analisis yang dalam, hujah yang meyakinkan, dapatan yang konkrit, dan hukuman yang objektif.
Wibawa pengkritik terletak pada tangan penilaian dan penghakiman itu, bagi menyerlahkan kedudukan dan hakikat teks dan pengarang. Berlegar-legar di ruangan analisis, dan bahasan yang dalam sekali pun, tanpa berani memberi hukuman, sebenarnya ia adalah ketidaksempurnaan kritikan.
Pakej reformasi yang mengandung gerak kerja, haruslah dimulakan untuk melahirkan manusia pengkritik. Dengan menyediakannya peluang, ruang dan rangsang serta latihan demi latihan, memperkukuh keyakinan. Bengkel kritikan juga boleh difikirkan aktivitinya. Majlis bicara karya dan wacana sastera, harus dilakukan oleh persatua-persatuan penulis seluruh negara.
Langkah pengkritik baru, bermula dengan memilih karya yang mudah difaham. Lazimnya beraliran realisme dengan sajak yang selapis maknanya, atau cerpen yang jelas eksposisi dan peleraiannya, atau drama sebabak yang nipis konfliknya, atau novel yang ringan subjeknya. Dengan cermat menangkap apresiasi dan melakukan ulasan dengan cita rasa popular.
Jejaknya berubah kepada karya yang lebih rumit dan kompleks, mengaplikasikan teori moden dan bersifat objektif. Seterusya menekuni karya yang komplikated, yang tergantung, yang samar-samar jalinan dan gelap maknanya, dengan menjabarkan teori pascamoden untuk memenuhi prinsip saintifiknya.
Para graduan dan pascasiswazah, yang sudah dibiasakan dengan adat akademik, jangan dibiarkan ijazahnya lusuh; hanya memerlukan sedikit kerajinan, turun ke gelanggang kritikan.
Sebenarnya, kritikan lebih mudah daripada menyiapkan tugasan, latihan ilmiah dan tesis kesarjanaan. Cuma, kritikan lebih padat, tuntas dan tepat, lebih kritis dan berprofil tinggi.
Anjuran pertandingan penulisan kritikan, seperti tahun 1970-an, oleh Dewan Bahasa dan Pustaka, juga dapat berfungsi positif, bagi melahirkan ramai tenaga pengkritik baru. Pertandingan dapat mencungkil bakat dan mempertajam yang sedia ada.
Saya percaya kepada bakat. Kebolehan semula jadi itu, ditambah dengan kerajinan dan dedikasi adalah ramuan utama pengkritik. Dengan kata-kata lain, saya percaya dalam kerja kritikan, yang penting ialah manusia pengkritik itu sendiri, atau kritikawannya.
Adalah perlu juga, meminta pengkritik veteran tanah air, aktif semula menurut kadar kemampuan masing-masing. Sastera Melayu sangat merindui tulisan mereka.
Pada zaman kesuburan kritikan 1950-an hingga 1980-an, selama empat dekad, sastera Melayu mempunyai sederetan pengkritik mapan. Kritikan mereka bernas dan kukuh, masih boleh dibaca dan dapat dijadikan contoh dan pedoman. Kritikan Yahaya Ismail, Hashim Awang dan Ramli Isin masih boleh dicari. Bergurulah kepada mereka yang pernah menguasai bidang kritikan ini.
Kritikan kita sudah berakar dalam budaya sastera. Meletakkan mereka di tempat yang mulia, tidak secara langsung, kita mengangkat darjat kritikan dan pengkritiknya. Ia boleh menjadi inspirasi dan motivasi kepada pengkritik baru. Sumbangan dan stail kritikan tokoh-tokoh besar kritikawan itu, saya bincangkan dalam buku Kritikan Sastera Melayu Moden (2006).
Sesungguhnya, kelesuan kritikan sastera Melayu, bukanlah terletak pada pengurusan dan sistemnya, semuanya berjalan dengan lancar.
Ketidakpedulian terhadap kritikan, sebenarnya ketidakprihatinan kita terhadap dunia kesusasteraan itu secara keseluruhannya. Ia bukanlah semata-mata krisis kritikan itu sendiri, tetapi krisis peribadi, masyarakat, dan kepercayaan kita terhadap sebuah disiplin dan epistemologi yang pernah mencipta tamadun Melayu.
Jika kita mahu melihat tamadun Melayu berkembang, suburkanlah dunia kritikan, kerana ia adalah tiang dan paksi kesusasteraan, yang menjadi aras tanda peradaban Melayu.
* Mana Sikana ialah nama pena Dr Abdul Rahman Napiah. Beliau ialah pengkritik, pengkaji dan penteori sastera terkenal Malaysia
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf
Comments
Post a Comment