21 Sept 2018

Gelanggang Teater KotaSeni PJ 2018



10 kumpulan bakal gegar ‘Gelanggang Teater Kota Seni PJ 2018’
OLEH ZAREEF MUZAMMIL

PETALING JAYA, 7 SEPT: Sebanyak 10 kumpulan teater dari seluruh negeri bakal berentap bagi merebut Piala Pusingan Menteri Besar Selangor, pada ‘Gelanggang Teater Kota Seni PJ 2018’ bermula 25 hingga 29 September ini, di Auditorium Dewan Sivik MBPJ, di sini.

Pertandingan edisi julung kali di bawah penganjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dengan kerjasama Majlis Teater Selangor (MTS) itu bakal menyaksikan kehadiran Kumpulan Hidayah, UNTEATER, BATEK (Selangor), Panji Ria dan Suara Alam.



Turut sama Persatuan Alumni Kelab Teater Rimba, Kumpulan Inspire Production, Kumpulan Titis, Kumpulan Lantera dan Kumpulan Artis Budaya Zaman.

Timbalan Datuk Bandar MBPJ, Johary Anuar berkata, penganjuran teater berkonsepkan pertandingan itu dirangka pihaknya bagi mengimarahkan seni teater yang dilihat mampu memberikan impak positif terhadap hala tuju Petaling Jaya sebagai kota seni.

Katanya, seni teater adalah suatu gabungan seni dicipta penulis, sutradara, penata artistik, krew teknikal dan seterusnya untuk diproduksikan sebagai seni yang kolektif.

“Justeru, penganjuran ini adalah wadah dalam memartabatkan kebudayaan dan kesenian, khususnya kepada golongan muda yang merupakan generasi masa hadapan, supaya menitikberatkan aspek berkenaan bagi memastikan ia tidak lupus begitu sahaja.

“Selain itu, ia adalah salah satu program di peringkat Selangor melalui usaha Kerajaan Negeri menjadikan bandar raya ini sebagai kota seni, seterusnya melahirkan masyarakat yang sentiasa hidup dengan interaksi sihat melalui seni, kebudayaan dan intelektual.

“Selain menjadikan bandar raya ini sebagai pusat kegiatan aktiviti teater di Selangor yang menyediakan kemudahan pementasan terbaik, kita juga mahu melahirkan kumpulan atau penggiat teater berdaya saing dan kreatif, bagi menghasilkan karya seni besar sebagai naskah Petaling Jaya dalam memajukan pementasan teater ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Gelanggang TEATER Kota Seni PJ 2018, di Bilik Gerakan Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Hadir sama Timbalan Yang Dipertua Majlis Teater Selangor (MTS), Shahrul Nizam Samsudin; Pengarah Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan, Aznan Hassan; Pegawai Kebudayaan MBPJ, Hasnizam Che Hassan dan Seniwati merangkap Aktivis Teater Negara, Fauziah Nawi.

Pada masa sama, Johary turut merakamkan penghargaan kepada MTS kerana komited sebagai rakan strategik untuk penganjuran itu sehingga berjaya menapis dan mengumpulkan kumpulan yang layak bertanding seperti disasarkan.

“Gandingan strategik ini memberi satu harapan baharu bahawa kegiatan teater ini akan terus berkembang di Petaling Jaya, seiring dengan pembangunan acara kota seni yang rancak berkembang ketika ini,” katanya.

Johan pertandingan akan membawa pulang wang tunai RM4,000), manakala Naib Johan (RM3,000), Kumpulan Harapan (RM2,000) dan Saguhati (RM500).

Pelakon Lelaki dan Wanita Terbaik pula bakal menerima wang tunai (RM300) dengan kesemua pemenang bagi setiap kategori turut menerima piala iringan, sijil penyertaan serta cenderamata.

Justeru, orang ramai termasuk penggiat teater dijemput hadir untuk bersama menjayakan dan menghangatkan pertandingan berkenaan.

selangorkini











20 Sept 2018

KERLIP BINTANG

KERLIP BINTANG.



berkelip bintang-bintang
malam mengakarkan sejuk
angin yang berlabuh
perlahan bisiknya
lagu dari kejauhan menguak rasa
barangkalikah malam begini
kau datang bertamu
dengan selendang dan bunga harum
siapa itu di hujung padang
di bawah bintang-bintang
perlahan meninggalkan
aku hanya tahu
menunggu rindu
tak lebih dari itu...

19 Sept 2018

abu hassan pencuri

Dari filem ke teater
Ridzuan Abdul Rahman


Peminat filem Melayu klasik tentunya tahu mengenai filem Abu Hassan Penchuri lakonan Tan Sri P Ramlee, Mariam Baharum, Nordin Ahmad, Ahmad C, Daeng Idris, Malik Sutan Muda dan S Shamsuddin.

Selaku penasihat dan penyelaras dialog teater bangsawan Abu Hassan Pencuri, Rosli Rahman Adam menggalas tanggung jawab besar mengolah semula naskhah ini untuk dipentaskan kepada peminat.

Apatah lagi, ini kali pertama syarikat produksinya, Persatuan Dramatis Kuala Lumpur & Selangor diberi peluang terbabit dalam program Semarak Bangsawan 2018 anjuran Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) dan kepercayaan ini perlu dibalas dengan hasil yang terbaik.

“Tiga kali saya cuba hantar skrip dan kertas cadangan kepada panel penilai JKKN dan syukur kali ini kumpulan kami terpilih.

“Semua orang tahu kisah ini diambil daripada filem lakonan P Ramlee dan Nordin Ahmad.

“Jadi menariknya untuk teater ini, ia bukan diambil bulat-bulat daripada filem, tapi sebaliknya diubah suai kepada bentuk teaterikal bangsawan. Ia patut diketengahkan kepada generasi muda,” katanya.

Rosli berkata, filem itu diarahkan pengarah dari India, B N Rao dan mempunyai unsur Hindu. Dia perlu mengubah supaya ada kelainan dan tidak dituduh klise.

“Apabila diadaptasi ke teater, saya perlu modenkan ceritanya. Saya kaji apa yang sesuai dan tidak serta berbincang dengan semua yang terbabit untuk mendapatkan hasil terbaik.

“Pementasan hanya berlangsung dalam tujuh babak dengan masa yang diambil hanya sekitar 1 jam 40 minit. Ia tak perlu terlalu lama kerana bimbang penonton bosan,” katanya.

Skrip Abu Hassan Penchuri ditulis serta diarahkan oleh anaknya, Zayrul Iqwan dan Rosli menyerahkan soal pemilihan pelakon sepenuhnya kepada Zayrul.

“Saya ada bakat yang dilatih oleh kumpulan teater saya iaitu Dramatis Studio. Namun, kami buka peluang kepada semua bakat lakonan dan tenaga produksi samada dari Aswara, UiTM, Istana Budaya dan banyak lagi untuk terbabit dalam cerita ini.

“Empat pelakon dikenal pasti membawakan watak utama iaitu Saifulwazien sebagai Abu Hassan, Juwita Rosli (Tengku Faridah), Hairi Ghani (Tengku Jaafar) dan Khai Sabri (Kassim). Saya sendiri berlakon sebagai Sultan Baghdad.

“Mereka dipilih daripada uji bakat yang dibuat. Latihan intensif dibuat beberapa bulan menjelang pementasan dan kesemua pelakon teruja kerana dapat berlakon teater bangsawan bercorak Arab,” katanya.

Menariknya Abu Hassan Pencuri turut diindahkan dengan lagu nyanyian secara ‘live’ daripada pelakon terbabit.

Bangsawan Abu Hassan Pencuri dipentaskan di Auditorium Tuanku Abdul Rahman, MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bermula malam ini sehingga 16 September jam 8.30 malam.

mymetro







17 Sept 2018

Tulip

Buah tangan Ilya
Ridzuan Abdul Rahman


Kejayaan teater Pusaran Angin Songsang menjuarai Festival Teater Kuala Lumpur 2015 membuka mata banyak pihak terhadap kebolehan Ilya Rusaidi sebagai aktivis teater muda dan pengarah berkaliber.

Dia berjaya menterjemahkan naskhah tulisan bapanya, Rusaidi Ramli dengan baik. Rusaidi adalah aktivitis teater realisme yang aktif sejak tahun 80-an.

Atas permintaan ramai, teater itu kembali dipentaskan di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada awal Februari 2016.

Tahun lalu, Ilya hanya berehat bagi menumpukan perhatian terhadap pengajiannya di Universiti Sains Malaysia (USM).

Bagaimanapun, tahun ini Ilya kembali aktif berkarya dan kumpulan teaternya, Ikabuana Stage Kuala Lumpur akan tampil dengan teater berjudul Tulip.

Teater arahan Wazir Bakri dan skrip Ilya ini akan dipentaskan di Stage 2, Penang Performing Art Centre (Penang pac), Pulau Pinang pada 4 Februari, jam 3 petang.


ILYA

Ilya berkata, pementasan ini diadakan sempena sambutan Hari Kekasih yang disambut pada 14 Februari setiap tahun.

“Lebih tepat lagi, teater Tulip ini bermaksud sempena A Date With Faridah Merican iaitu pengasas KL Pac dan Penang Pac.

“Idea naskhah pendek ini datangnya daripada Wazir sendiri dan sebagai penulis skrip, saya buat pengubahsuaian supaya ia bersesuaian dengan tema hari kekasih,” katanya.

Menurutnya, naskhah berunsurkan romantik komedi dan tragedi ini adalah arahan pertama Wazir selepas enam

tahun membabitkan diri secara sambilan dalam pementasan teater.

“Sebelum ini, dia banyak berlakon dan terbabit sebagai kru. Wazir positif apabila memulakan tahun 2018 dengan sesuatu yang baru bagi dirinya dan ingin mendalami lagi dunia seni,” katanya.

Tulip mengisahkan gadis bernama Tulip bekerja sebagai penulis puisi sambilan dan kekasihnya Jesse, seorang pemuzik dan penerbit.


APEK

Jesse datang ke rumah Tulip pada malam sambutan Hari Kekasih dan menyatakan hasrat hatinya.

Dia tidak mahu Tulip hidup sederhana dengan hanya menulis puisi secara sambilan dan cuba memujuk kekasihnya itu supaya membenarkan puisinya itu diangkat menjadi lagu.

Tulip tidak bersetuju dengan Jesse dan menyatakan puisi terbaik yang ditulisnya mempunyai nilai tersendiri dan bukan untuk dijual.

Jesse berasa kecewa dan Tulip mula menyatakan hala tuju hubungan mereka. Hakikatnya Tulip dan Jesse mempunyai agenda tersendiri.

Pelakon yang terbabit dalam Tulip ialah Natasha Romanoff dan Apek yang juga pelajar jurusan teater di USM.

Selain Ikabuana Stage, persembahan sempena A Date with Faridah turut menampilkan Handle to Mars dari Greenapple Ballet Academy, Puisi Kekasih Usman Awang, Khabi Khusi daripada Fa Abdul dan banyak lagi.

Tiket untuk menonton berbentuk sumbangan dengan bayaran minimum RM10.


NATASHA

Metro

Anak Raja Tangkai Hati

PST2018 Siri VI 
mempersembahkan 
Teater Tradisional Makyong 
“Anak Raja Tangkai Hati”
menampilkan Kumpulan Makyong Kijang Emas yang dibawakan khas
dari Kelantan. 

Persembahan ini akan diarahkan oleh Puan Ruhani Mohdzin, 
seorang tokoh Makyong Kelantan yang sangat disegani. 
Turut membuat penampilan ialah Rosnan Rahman, 
seorang aktivis Makyong yang cukup dikenali ketika ini.

“Anak Raja Tangkai Hati”, mengisahkan pengembaraan seorang anak raja yang keluar berlayar mencari ilmu dan pengalaman. Sewaktu pengembaraan itulah Anak Raja Tangkai Hati bertemu dengan Puteri Mayang Mengurai dan berjanji untuk mengahwininya. Namun atas sesuatu sebab, Anak Raja Tangkai Hati memungkiri janji dan berkahwin dengan Puteri Cempaka Mas. Apakah tindakan Puteri Mayang Mengurai setelah mengetahui Anak Raja Tangkai Hati memungkiri janji? Dan siapakah sebenarnya Puteri Mayang Mengurai ini?

Untuk mengetahui kesudahan kisah “Anak Raja Tangkai Hati”, jom sama-sama kita saksikan pada 28 & 29 September 2018 di Dewan Tunku Abd Rahman,MATIC, Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC) pukul 8.30 malam.

Sila dapatkan tiket-tiket berharga RM50 (VIP) dan RM20 (Biasa/50% diskaun diberikan kepada warga emas, pelajar dan OKU) dengan menghubungi:-

+603-2614 8260/61 (Diela Nadzir)
+603-2614 8214 (Art Mohamad)
+6012-518 6452 (Sharizan Daod)



ftm 2018

FESTIVAL TEATER MALAYSIA 2018


Tarikh: 15 Okt - 20 Okt 2018
Masa : 8:30mlm
Tempat: Dewan Tunku Abdul Rahman ( MATIC )







teater ekonomikal

Teater Ekonomikal
Fasyali Fadzly
September 7, 2016



Dulu, saya sering tertanya-tanya pada diri saya sendiri, mengenai bentuk teater yang menjadi trend untuk zaman pasca-millennium ini. Apakah ada bentuk atau gaya yang spesifik yang boleh kita kelaskan sebagai teater pasca-millennium? Seperti diketahui, teater di Malaysia berubah mengikut dekad. Setiap dekad, teater Malaysia membawa satu bentuk yang boleh dikelaskan dalam satu kategori. Dekad 40an dengan purbawara, 50an dengan sandiwara dan 60an dengan realism. Tahun 70an pula dikatakan membawa satu bentuk pendekatan yang lebih moden diketuai dengan Nordin Hassan yang serasi dengan surrealism. 80an pula angkatan Hatta Azad Khan dan Dinsman membawa teater absurd. Selepas itu, pada tahun 90an tidak dapat dinyatakan dengan jelas apakah bentuk teater yang dianuti oleh penggiat teater.

Walaubagaimanapun, saya tidak mahu menyekat pandangan anda terhadap perkembangan teater Malaysia yang harus berubah mengikut dekad. Perubahan bentuk dan kandungan teater tidak seharusnya berteraskan perubahan dekad seperti yang menjadi lazim. Perubahan ini perlu bersifat natural. Saya kira, jika kita mahukan perubahan setiap dekad, penggiat teater akan tersekat dengan paksaan anjakan ini yang mahukan perubahan itu. Sebagai pemerhati dan juga penggiat teater (secara runcit), saya melihat kelaziman perubahan ini sebagai satu acara yang menarik untuk dikupas dan didebatkan. Oleh itu, saya tetap tertarik dengan pandangan para pengkritik terdahulu yang mengelaskan perkembangan teater Malaysia mengikut dekad.

Berdasarkan pengamatan saya yang cetek ini, pada dekad 90an tiada naskhah yang betul-betul mapan dan mengesankan kepada saya secara peribadi. Mungkin juga sebab saya sendiri yang lambat mengenali teater Malaysia, maka saya ketinggalan mengikuti perkembangan teater di era 90an. Lagi pula, sukar untuk menemui tulisan berkaitan teater di era 1990an. Hanya pada tahun 2000 hadir skrip Misi oleh Faisal Tehrani. Saya tidak berpeluang menonton teater ini dengan pelakon asal. Saya hanya menonton persembahan yang dilakonkan oleh pelajar dan kumpulan amatur selain membaca naskhah. Selain Misi, ada penggiat teater lain yang turut sama membawa satu bentuk dan agenda baharu dalam mementaskan teater. Salah seorang pengarah yang agak menonjol adalah Namron. Walaubagaimanapun, pada era ini agak sukar menentukan apakah pendekatan yang selesa digunapakai oleh penggiat teater dan falsafah yang didukung golongan teater pada abad ini.



Wangi Jadi Saksi by U-Wei Haji Shaari (Photo credit: http://arts4life.blogspot.my)

Seterusnya, saya betul-betul terkesan dengan pementasan Wangi Jadi Saksi karya dan arahan U-Wei Shaari yang dipentaskan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Teater ini dipentaskan sekitar 2006. Selain itu, Jerjak arahan dan tulisan Syahrul Fitri Musa juga turut hadir dengan bilangan pelakon yang minimal.

Soalan yang sama turut saya ajukan kepada pensyarah saya semasa menuntut di University of Calgary, Canada. Saya tanyakan padanya, apakah bentuk teater kontemporari Canada secara khususnya atau dunia secara amnya? Apakah ada bentuk atau ciri teater yang digunapakai oleh pengarah atau penulis untuk menghasilkan bentuk teater masa kini. Berdasarkan pengamatan beliau, teater kontemporari kini bersifat ekonomikal. Ekonomikal di sini bukan setakat dari sudut penerbitan produksinya sahaja tetapi dari segi pementasannya. Teater yang ekonomikal biasanya mempunyai kumpulan pelakon yang kecil, set yang multifungsi atau uniset dan skala produksi yang kecil. Biasanya teater sebegini juga bergerak dengan modal yang kecil atau sederhana.

Jika ini benar bagai dikata, terbukti teater-teater Malaysia yang dipentaskan kini mengamal ciri ekonomikal seperti ini. Malah ia telah dimulai oleh teater Misi, Wangi Jadi Saksi dan seterusnya diikuti dengan Jerjak, Parah dan beberapa lagi yang turut mengamal ciri yang sama. Karya-karya yang dipentaskan di Stor Teater DBP dan Pentas 2, KLPAC (atau panggung sederhana besar) bolehlah dikelaskan dalam kategori yang sama. Biasanya digerakkan oleh penggiat teater muda seperti Playground Production, Instant Café Theatre Company, Rumah Anak Teater, Revolution Stage, Paradoks Production, MASK Team, Ayaq Hangat Studio dan banyak lagi. Dengan ruang kecil, penggiat teater muda juga menghasilkan skrip mereka sendiri dan menyedari hakikat tentang faktor ekonomi yang menghadkan saiz produksi.

Pengkarya, dari peringkat penghasilan skrip, telah melihat faktor ekonomi sebagai satu cabaran yang perlu dihadapi. Penulis lebih bersifat realistik dari segi jumlah pelakon, bilangan set dan lokasi dalam skrip, kostum dan sebagainya. Mereka tidak terlalu meletakkan harapan yang tinggi bahawa produksi mereka akan ditaja samada oleh badan berkanun, kerajaan (melalui Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan), syarikat perniagaan atau orang perseorangan. Biasanya, dari peringkat penulisan, penulis telah melihat jauh berapa ramai pelakon yang akan menjayakan pementasan tersebut. Penulis lebih teruja untuk menampilkan watak yang betul-betul memberi makna dalam naratif.


Alfian Sa'at (Photo credit : mothership.sg)

Dalam hal ini, saya suka melihat pendekatan yang digunapakai dalam penulisan Alfian Sa’at. Bilangan watak yang ditampilkan di dalam karya berada dalam bilangan yang kecil. Parah cuma menampilkan empat watak, dan Nadirah pula cuma lima watak. Watak-watak dalam karya Alfian Sa’at juga wujud dalam dimensi yang menyeluruh. Tiada watak atau pelakon yang hanya muncul berdialog untuk tiga baris dialog atau satu muka dialog. Peranan watak-wataknya sama besar. Watak-watak dalam teater yang ekonomikal mempunyai peluang untuk berkembang sepenuhnya. Ini merupakan sebagai satu cabaran kepada penulis untuk melihat perspektif yang lebih dalam terhadap watak-watak ini dan bagaimana watak ini boleh mengembangkan naratif dan bukan sekadar watak tempelan. Semua watak-watak yang ditampilkan muncul hampir semua adegan dan kekal hingga ke akhir adegan. Watak yang ditampilkan tidak dibazirkan malah dimunculkan dalam perspektif yang berdimensi. Dibaca dari sudut ekonomi, watak ini berfungsi dengan baik dalam naratif.

Walaubagaimanapun, terdapat juga teater ekonomikal yang menampilkan banyak watak. Walaubagaimanapun, pendekatan yang digunakan berbeza untuk mengawal saiz produksi. Biasanya, penulis telah mula membayangkan bilangan pelakon yang akan membintangi teaternya. Pelakon akan melakonkan banyak watak. Pendekatan ini bukanlah sesuatu yang baharu, malah pengarah teater Jerman, Bertolt Brecht telah lama memulakan pendekatan ini. Dalam teater-teater Nordin Hassan juga turut sama menggunakan pendekatan ini dan menjadi sebagai satu bentuk yang dikenali untuk teater tulisan beliau.

Saya pernah mementaskan Teater Juta-Juta, yang mana mengambil pendekatan seperti ini. Terdapat 12 watak semua sekali dan cuma dilakonkan oleh tiga orang pelakon. Pelakon akan bertukar-tukar watak sepanjang pementasan berlangsung. Selain saya, Aloy Paradoks turut sama menggunakan pendekatan seperti ini. Dalam teater Gadis dan Dua Menara, beliau turut menampilkan banyak watak yang cuma dilakonkan oleh empat orang pelakon sahaja. Menerusi Projek KoKen oleh Rumah Anak Teater, para pelakon juga turut memegang banyak watak dalam segmen yang berlainan. Saya yakin, ada beberapa produksi lain yang turut menggunakan pendekatan serupa.

Di sini (ketika tulisan ini ditulis, saya berada di Calgary) saya sempat menyaksikan beberapa buah teater yang mana menggunakan pendekatan yang sama. Ternyata, pendekatan ini, bukanlah sesuatu yang baharu. Penulis dan pengarah kini lebih realistik dari sudut ekonomi. Kepayahan mendapatkan modal untuk sebuah pementasan bukanlah hanya masalah di Malaysia tetapi turut dirasai oleh penggiat seluruh dunia. Dengan meletakkan pementasan teater sebagai barang komoditi, sudah tentu, mereka (para pedagang dan produser) hanya mahu mengeluarkan modal yang kecil tetapi pulangan yang lumayan. Mereka tidak mahu berbelanja besar untuk sesuatu yang tidak pasti. Disebabkan teater sudah menjadi barang komoditi, pengeluar dana tidak mahu meletakkan sebarang risiko atas modal yang dikeluarkan.

Saya pernah beberapa kali (ketika berada di Malaysia) berkhidmat dalam produksi yang sangat bercita-cita tinggi mahu mementaskan teater skala besar setelah melihat kejayaan produksi terdahulu. Disebabkan lambakan teater skala besar yang tidak bermutu, kurang tajaan dan kurang sambutan dari segi penontonan, teater ini gagal dari sudut bisnes. Gaji pelakon dan kru tidak dibayar, malah lebih menyedihkan produser lari dari hutang dan mengambil sikap lepas tangan.

Saya tidak menyalahkan mereka yang berani mengambil risiko, tetapi dengan keadaan pertumbuhan ekonomi dan sambutan teater tempatan yang baru hendak meningkat naik, skala pementasan yang begitu besar bolehlah dikatakan tidak realistik.

Antara pengarah yang dilihat mendukung semangat teater ekonomikal biasanya mementaskan teater di pentas-pentas kecil dengan kapasiti penonton tidak lebih daripada 400 tempat duduk. Antara tempat yang menjadi tumpuan, adalah Stor Teater DBP dan KLPAC. Keintiman persembahan dengan penonton dapat dirasai dalam ruang teater yang kecil ini.

Naskhah teater ekonomikal juga bersifat terbuka dari segi solusi kreativiti. Tiada mandat yang diletakkan dalam skrip dan membuka ruang kepada pengarah dan pereka produksi untuk meletakkan sebarang imej yang memberi signifikasi kepada naratif. Walaubagaimanapun, terdapat satu ciri yang jelas diamal oleh pereka produksi teater ekonomikal. Kebanyakan rekaannya adalah minimal. Rekaan Melissa Teoh (pereka set Parah, Air Con dan Nadirah) mempunyai ciri minimalistik dan ekonomikal. Dengan limitasi perabot dan beberapa bongkah pelbagai bentuk dan saiz, Melissa masih dapat menzahirkan ruang pentas dan menterjemahkan lokasi dalam skrip dengan baik. Set yang multifungsi masih dapat memberikan gambaran yang baik kepada penonton tanpa menjejaskan jalan cerita. Pendekatan seperti ini juga mengajak penonton menjangkau ruang imaginasi atau sebaliknya membias tumpuan penonton untuk menumpukan perhatian penuh kepada dialog yang menjadi asas kepada sesebuah pementasan theatre of dramatic literature. Selain Melissa Teoh, saya tidak menyedari kehadiran pereka lain yang mendukung semangat ekonomikal. Mungkin ada beberapa pereka lain yang sama realistik terhadap skala dan modal pementasan, cuma mungkin pendekatannya berbeza. Jika ada, konsep dan rekaannya tidak konsisten. Ada juga pereka yang konsisten seperti Raja Malik tetapi beliau tidak mengamal teater ekonomikal. Beliau biasanya menjadi pereka untuk teater skala besar seperti di Istana Budaya sekaligus mengeluarkan beliau dari liga teater ekonomikal.

Terdapat beberapa usaha untuk meraikan teater ekonomikal ini tanpa disedari. Beberapa pertandingan dan festival menulis skrip dan pementasan drama pendek yang telah dibuat seperti Short+Sweet anjuran KLPAC, Festival Drama Pendek anjuran DBP, 10 minutes Playwriting Competition anjuran Kakiseni dan banyak lagi. Kumpulan graduan daripada ASWARA, UiTM, UM dan beberapa universiti tempatan juga bergabung mewujudkan kumpulan teater sendiri untuk mementaskan teater bajet sifar. Rumah Anak Teater adalah salah satu contoh kumpulan graduan daripada ASWARA yang tampil dengan bentuk teater ekonomikal. Menerusi Projek KoKen, mereka menjadi peneraju kepada gerakan baru graduan seni era pasca millennium yang sering mementaskan teater ekonomikal.

Melalui penganjuran teater pendek ini juga telah melatih bukan sahaja kepada penggiat teater, tetapi kepada penonton untuk menyaksikan persembahan yang ekonomikal sifatnya. Kini, penonton lebih bersedia hadir ke pementasan skala kecil ini dan memberi penumpuan kepada naratif dan aksi lakonan berbanding aspek teknikal dan spektakular. Penonton kian terlatih meneroka ruang imaginasi visual pentas. Mereka tidak mula persoalkan tentang perincian visual pementasan tetapi meneroka ke aspek teaterikal lain yang lebih diskusif. Kadar penontonan yang semakin berkembang membuktikan bahawa mereka tidak hadir ke pementasan teater untuk menyaksikan kemewahan unsur visual tetapi lebih kepada naratif dan kelainan (atau eksperimentasi) yang diunjurkan oleh kumpulan teater ekonomikal. Saya optimis mengatakan bahawa perkembangan ini sebagai sesuatu yang baik. Penggiat dan penonton semakin realistik dengan idea masing-masing.

Walaubagaimanapun, pengkelasan seperti ini bukanlah sesuatu yang wajar dianuti oleh penggiat teater. Para penggiat boleh bersetuju dan tidak bersetuju dalam hal ini untuk memastikan kreativiti mereka dicabar setiap hari. Tetapi secara jelas, penggiat semakin realistik dalam kerja kreatif mereka. Mereka tahu ekonomi memainkan peranan penting seiring dengan penghasilan kerja kreatif. Dalam hal ini, ada isi hati yang perlu diluah, dan ada isi perut yang perlu disuap.

arteri

sampah

sampah



sejak bila kapal berlabuh
air pasang kembali surut
terapung sampah dilambung gelombang
entah di mana pantai singgah
atau terlambung ke tengah samudera
jauh melepasi pulau berbalam
jauh dari ingat ingatan
begitu nasib sampah terapung

di darat dibuang ke air mengalir
bercantum di sungai mencari kuala
bercantum di laut lambung lambungan
bederai pecah berpisah semua
tak kembali cerita lama
sudah menjadi sampah terapung
sepi sendiri dalam pautan
meskipun dulu sehelai sapu tangan
tanda cinta hiasan batin
tercicir berderai jatuh berjatuhan
asal yang indah hilang tenggelam
menjadi sampah hanyut di lautan

9 Sept 2018

Rekacipta Busana Tradisional Kreatif



Pertandingan Rekacipta Busana Tradisional Kreatif 
dengan tema INSPIRASI PERKAHWINAN (Wedding Inspired)

Hadiah menarik bernilai RM15,000.00 untuk dimenangi.

Gerai jualan dan pameran dibuka untuk tempahan

Assalamualaikum & Salam Sejahtera

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan menganjurkan Festival Busana Tradisional Kreatif Kuala Lumpur bagi edisi kedua. Dengan bertemakan ‘Mengangkat Busana Tradisi Malaysia’, pelbagai aktiviti akan diadakan seperti gerai jualan, demonstrasi silat, bengkel busana tradisional, foodtruck, pertandingan busana tercantik, pertandingan rekacipta busana kreatif dan pelbagai aktiviti menarik.

1. Booth Jualan/ Pameran (Exhibitor)
Tarikh tutup pada 30 September 2018
E-borang https://goo.gl/forms/5Ddo8qYGQV9qbt4h1

2. Pertandingan Rekacipta Busana Kreatif
Tarikh tutup pada 30 September 2018
E-borang https://goo.gl/forms/62O1NKiIArTMojW53



Sayembara Dendangan Syair


Jemput beramai menonton Sayembara Dendangan Syair 4 Zon.Masuk adalah percuma. Penyertaan Zon Utara,Tengah dan Selatan telah ditutup akibat sambutan luar biasa..Zon Timur masih dibuka penyertaan!!.Penyertaan adalah percuma.Bersama memartabatkan syair Warisan Kebangsaan.