abu hassan pencuri

Dari filem ke teater
Ridzuan Abdul Rahman


Peminat filem Melayu klasik tentunya tahu mengenai filem Abu Hassan Penchuri lakonan Tan Sri P Ramlee, Mariam Baharum, Nordin Ahmad, Ahmad C, Daeng Idris, Malik Sutan Muda dan S Shamsuddin.

Selaku penasihat dan penyelaras dialog teater bangsawan Abu Hassan Pencuri, Rosli Rahman Adam menggalas tanggung jawab besar mengolah semula naskhah ini untuk dipentaskan kepada peminat.

Apatah lagi, ini kali pertama syarikat produksinya, Persatuan Dramatis Kuala Lumpur & Selangor diberi peluang terbabit dalam program Semarak Bangsawan 2018 anjuran Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara (JKKN) dan kepercayaan ini perlu dibalas dengan hasil yang terbaik.

“Tiga kali saya cuba hantar skrip dan kertas cadangan kepada panel penilai JKKN dan syukur kali ini kumpulan kami terpilih.

“Semua orang tahu kisah ini diambil daripada filem lakonan P Ramlee dan Nordin Ahmad.

“Jadi menariknya untuk teater ini, ia bukan diambil bulat-bulat daripada filem, tapi sebaliknya diubah suai kepada bentuk teaterikal bangsawan. Ia patut diketengahkan kepada generasi muda,” katanya.

Rosli berkata, filem itu diarahkan pengarah dari India, B N Rao dan mempunyai unsur Hindu. Dia perlu mengubah supaya ada kelainan dan tidak dituduh klise.

“Apabila diadaptasi ke teater, saya perlu modenkan ceritanya. Saya kaji apa yang sesuai dan tidak serta berbincang dengan semua yang terbabit untuk mendapatkan hasil terbaik.

“Pementasan hanya berlangsung dalam tujuh babak dengan masa yang diambil hanya sekitar 1 jam 40 minit. Ia tak perlu terlalu lama kerana bimbang penonton bosan,” katanya.

Skrip Abu Hassan Penchuri ditulis serta diarahkan oleh anaknya, Zayrul Iqwan dan Rosli menyerahkan soal pemilihan pelakon sepenuhnya kepada Zayrul.

“Saya ada bakat yang dilatih oleh kumpulan teater saya iaitu Dramatis Studio. Namun, kami buka peluang kepada semua bakat lakonan dan tenaga produksi samada dari Aswara, UiTM, Istana Budaya dan banyak lagi untuk terbabit dalam cerita ini.

“Empat pelakon dikenal pasti membawakan watak utama iaitu Saifulwazien sebagai Abu Hassan, Juwita Rosli (Tengku Faridah), Hairi Ghani (Tengku Jaafar) dan Khai Sabri (Kassim). Saya sendiri berlakon sebagai Sultan Baghdad.

“Mereka dipilih daripada uji bakat yang dibuat. Latihan intensif dibuat beberapa bulan menjelang pementasan dan kesemua pelakon teruja kerana dapat berlakon teater bangsawan bercorak Arab,” katanya.

Menariknya Abu Hassan Pencuri turut diindahkan dengan lagu nyanyian secara ‘live’ daripada pelakon terbabit.

Bangsawan Abu Hassan Pencuri dipentaskan di Auditorium Tuanku Abdul Rahman, MaTiC, Jalan Ampang, Kuala Lumpur bermula malam ini sehingga 16 September jam 8.30 malam.

mymetro







Comments