Dukun

DUKUN: NEW WORLD ORDER DAN ILLUMINATI
Ku Seman Ku Hussin



Sebaik selesai menonton Dukun arahan Dain Iskandar terbitan Astro Shaw terpancar pada fikiran saya hal-hal lebih besar di luar pedukunan, hantu dan seram. Malah melampaui kontroversi 12 tahun tertangguh atau dikatakan mirip tragedi pembunuhan tokoh politik awal dekad 1990-an dulu.

Jangan membandingkan Dukun dengan filem seram dan hantu yang berlambak sebelum ini. Sebahagian besar filem seram hanya menghantar ketakutan bukan pemikiran. Filem begini selalunya dilupakan sebaik sahaja kita melangkah keluar panggung.

Tetapi kita tidak membayar untuk membeli keseraman dan ketakutan dalam Dukun. Menonton Dukun tidak akan takut dan kata, "jangan pandang belakang." Atau menjadi kita tersangat insaf dengan didaktiknya kelas sivik filem Munafik. Tidak sama sekali.

Dukun membawa kita mendekati imbasan daripada kuasa tersembunyi yang mengawal dunia khususnya politik dan elit perniagaan di Barat. Dukun memperkatakan tentang kuasa yang disebut "new world order" dalam kamus teori konspirasi dan intrig politik.

Apakah itu "new world order"? Istilah ini merujuk pada konspirasi global yang digerakkan oleh Illuminati, sebuah pertubuhan rahsia yang sangat kuat dan berpengaruh. Pertubuhan ini mengawal para bilionaire dunia, pemimpin politik, elit korporat dan mewujudkan satu kawalan baru terhadap dunia.

Illuminati digerakkan bersama beberapa pertubuhan besar lain antaranya Freemasons (persatuannya ada di Malaysia), Skull and Bones dan Bohemian Grove. Pemujaan dan ritual Illuminati yang menjurus kepada kuasa sihir (super natural) tidak dapat dibuktikan secara sains.

Inilah yang cuba dijelaskan secara mudah oleh Dukun mengenai wujudnya pertubuhan rahsia mengamalkan ritual dan pemujaan kuasa syaitan amat berpengaruh, telah dan sedang mencaturkan dunia. Dunia itu dikecilkan pada sebuah kawasan di Kuala Lumpur.

Dukun adalah kilasan Illuminati yang dipermudahkan. Elemen-elemen Illuminati dan apa itu new world order yang cukup kompleks itu dipermudahkan. Kalau hendak tahu bagaimana Illuminati berperanan dalam percaturan kuasa di Barat, bacalah subteks Dukun.

Dalam pertubuhan rahsia ini ada ritual dan pemujaan, hubungan dengan sihir, menundukkan pemegang kuasa tertinggi politik dan elit perniagaan, mencaturkan hala tuju pemegang kuasa tetapi terus menjadi misteri. Banyak kejadian pembunuhan tokoh penting politik Barat dikaitkan dengan Illuminati tetapi tidak dapat dibuktikan secara sains. Sains tidak melihat bukannya tidak ada.

Hal ini dijelaskan dalam Dukun melalui watak Diana Dahlan (lakonan Umie Aida), dukun berpengaruh yang membunuh seorang tokoh masyarakat, Datuk Jefri (Adlin Aman Ramli). Diana Dahlan dihadapkan ke mahkamah dan ternyata ruang dan kepakaran sains forensik terbatas. Jenayah Diana Dahlan yang dikaitkan dengan sihir tidak diterima di mahkamah dan tidak boleh dibuktikan oleh sains forensik.

Kehebatan Illuminati ialah menundukkan tokoh-tokoh berpengaruh di bawah telunjuknya. Lihat bagaimana Diana Dahlan menundukkan Datuk Jefri dan Karim (Faizal Hussein) seorang peguam di bawah kuasa sihirnya. Watak pegawai penyiasat polis, ASP Talib (Namron) menemui jalan buntu dalam kes ini kerana dia hanya berpegang pada sains.

Watak penyiasat persendirian, Daud (lakonan Ramli Hassan) adalah kata kunci yang merungkai kekusutan sains forensik terbatas. Keegoan ASP Talib akhirnya hilang apabila Daud meyedarkan bahawa ada benda yang tidak dapat dilihat dan dibuktikan dengan forensik.

Semasa di mahkamah Diana Dahlan dengan angkuh berkata, dia berkuasa menaikkan atau menjatuhkan seseorang tokoh dan banyak tokoh datang meminta bantuannya. Tetapi menegaskan, banyak orang tidak faham tentang "dunia"nya. Memang benar, banyak tidak memahami Illuminati.

Ternyata Diana Dahlan bukan dukun yang kita fahami. Dia bukan sahaja menguasai ilmu sihir tetapi menggunakan untuk menundukkan orang berkuasa di bawah telunjuknya. Maka tidak hairanlah Diana Dahlan tidak ditampilkan seperti dukun; kusut masai, wajah mengerikan, tua dan imej yang penuh mistik.

Diana Dahlan ditampilkan penuh bergaya, mempamerkan tarikan seksual, terlibat dalam dunia selebriti dan dalam penjara pun dia sentiasa kelihatan anggun dan cantik. Dia bukan dukun tetapi penguasa yang menggerakkan new world order dalam konteks teori konspirasi Illuminati.

Kuasa sihir Diana Dahlan merentasi sempadan geografi dan diplomatik. Ini antara sifat-sifat Illuminati dari Amerika ke Jerman serta negara-negara lain di Eropah. Dari Tanah Batak di Sumatera sihir terbang hingga ke Kuala Lumpur. Danni (lakonan Hasnol Rahmat) seorang pewaris kuasa sihir Batak itu di Tanah Batak berkuasa pula di Kuala Lumpur.

Illuminati sentiasa membina pelapis untuk terus menghidupkan teori konspirasi dan mengawal elit politik dan perniagaan yang berkuasa. Ini diperlihatkan dengan pemindahan sihir ke tubuh Nadia (lakonan Elyana) anak Karim yang hilang secara misteri.

Nadia terlepas dan hilang daripada kawalan Karim, dia menggantikan sosok Diana Dahlan dikawal Danni. Kuasa sihir itu terus hidup dalam diri Nadia dan Danni watak jahat yang terus dibiarkan hidup hingga akhir cerita.

Kenapa Danni tidak dimatikan? Kerana realitinya Illuminati tidak mati malah diwariskan dari generasi kepada generasi. Filem ini bukan sahaja ditonton tetapi perlu "dibaca" lapis-lapisnya. Jangan cari hukum karma. Tidak ada. Tidak ada yang baik dibalas baik dan yang jahat dihukum. Diana Dahlan mati di tali gantung tetapi legasinya diteruskan Danni dengan merekrut Nadia sebagai pengganti Diana Dahlan.

Dari aspek pembikinan, Dukun dihasilkan dengan teliti. Perkembangan naratif terjaga dengan baik, tiga jalur plot utama bertemu pada satu titik. Karim mencari anaknya Nadia, Diana Dahlan berdepan tuduhan membunuh dan ASP Talib teori konspirasi pembunuhan Datuk Jefri.

Pembinaan dramatik terkawal dan mengelak menjadi filem seram. Antara filem thriller dan seram, pemisahnya hanya satu garis yang nipis. Kerangka Dukun adalah filem thriller penyiasatan walaupun ada beberapa adegan tertentu membangkitkan rasa seram. Tetapi lebih kepada sebuah thriller.

Filem ini juga banyak dibantu oleh karismatik pelakon-pelakon. Mereka memberikan persembahan yang sedar dan terkawal. Umie Aida memberikan penghayatan yang terbaik kepada watak dukun. Dia konsisten dalam watak. Angkuh dan misteri terkawal dengan baik dalam lakonan.

Faizal Hussein seorang pelakon yang boleh mengisi pelbagai watak. Sebagai Karim, peguam yang kehilangan isteri dan anak secara misteri serta berdepan dengan tuntutan tugas menyelamatkan Diana Dahlan, Faizal menghidupkan Karim dalam resah itu.

Namron cukup bergaya dengan watak ASP Talib. Dalam tegas ada humor dan Namron mempunyai keserasian tinggi dengan Bront Palarae sebagai detektif di bawah ASP Talib. Bront tampil dengan lakonan yang sangat menghiburkan.

Ketegasan ASP Talib meredakan ketegangan. Namron memberikan sisi baru kepada watak pegawai kanan polis. Sebahagian besarnya kaku macam robot, hambar. Tetapi ASP Talib muncul sebagai manusia yang ada kala humornya tanpa sengaja.

Pengarah Dain Iskandar Said mempersembahkan filem ini secara jungkir balik (imbas kembali) adegan terdahulu dan gabung dengan adegan semasa. Pendekatannya terkeluar dari kebiasaan malah banyak adegan jungkir balik seolah bergerak selari dengan semasa. Adegan ini disusun dengan cermat dan amat teliti.



Kerja kamera pada adegan awal dibuat secara sudut pandang (point of view - POV) penonton. Maknanya penonton dibawa ke Tanah Batak melihat asalnya sihir dukun Diana Dahlan. Kemudian POV lagi di sebatang jalan di Tanah Batak dan terus dissolve (serap) di jalan di sebuah kawasan perumahan yang sedang dalam pembinaan di Kuala Lumpur.

Adegan penutup juga sama; shot POV penonton yang menyorot dari tiang ke tiang, ruang ke ruang seperti tercari-cari seseorang di ruang sembahyang di bahagian luar Masjid Jamek Kuala Lumpur. Semua kosong.

Kemudian kamera berhenti pada Karim yang baru usai sembahyang dan sedang berdoa. Ini tanda kemenangan rohani kepada Karim walaupun secara fizikal tewas kepada sihir Batak . Nadia terus tersihir dan menjadi penyanyi kelab malam. Penonton bukan sekadar menonton tetapi dibawa masuk ke dalam filem menerusi teknik POV penonton pada adegan pembukaan dan penutup filem ini.

(Tumpang iklan sikit. Pakat pakat mai la ke Pasar Buku Bangi esok. Saya bawa lebih 200 buku koleksi peribadi untuk bertukar tangan kepada pemilik baru)

Ku Seman Ku Hussin

fb kusemankuhussin

Comments