26 Aug 2017

semakin

semakin


semakin menebal rindu
semakin menindih kenang
semakin tajam belit masa
semakin mendekat bayang
debu-debu yang berterbangan
panas cuaca dan kering garing bibir
segala yang menyelinap diri dan jiwa
segala yang merayap ke dalam kalbu dan nurani
segala yang terkena pada jasad dan tubuh
suara dan bisikan
airmata dan suara batin
rupanya semakin jauh masa
rehlah pertama berlalu jauh
setahun masa
tapi kenang dan bayang
merintih kembali
ketika
tapak-tapak bergerak dari makkah ke arafah
mina dan jamrah
takbir  talbiah dan tasbih
ya ilahi begitu rindu mendatangi
ya rabb
kaulah yang maha menetapkan
airmata dan siul batin
segala nasib hambamu...

pulang

pulang

 sebuku roti
di tepi titi
malam menanti
segala beranjak pergi
di perahu menunggu gilir
jejaka berbaju biru
pulang ke kampung laman
tanpa sedar roti tercicir
di pinggir air

di seberang kampung menunggu
untuk pulang dengan warna baru
berbeza sikap dan sudut pandang
roti yang tercicir 
apakah dirinya yang mula hilang
disesatkan neon kota


20 Aug 2017

fajar untukmu negeriku

fajar untukmu
negeriku


fajar untukmu 
negeriku
kami berdoa dalam dingin pagi
berharap dalam jalur cahaya membesar
negeri terindah ini
akan selamanya memberi bahagia
buat putera dan puterinya
menjadi padang bahagia buat mereka berlari
bebas mencari dan menemukan diri
bangga bahagia dengan tanahnya
syukur dan menerima dengan nasibnya
dari anak-anak sungai negerinya
ia bisa membersih segala luka dan noda
melempar jauh-jauh patung-patung derhaka
yang sering menggoda setianya
anak-anak yang mengerti  dan tahu berbagi
cinta diri dan kasih negeri

fajar untukmu
negeriku
hidup dan bahagia
menangis dan berdoa
demi cinta sejati
bumi ini
negeri
tersayang
 
 

19 Aug 2017

gadis di kuburan

GADIS DI KUBURAN


Nisan condong tegak bertaburan
gadis menangis kehibaan
tidak ada padang perjuangan
pahlawan gugur tergelimpangan.

Lari gadis menyembam ke tanah
diiringi sedu menggoncang bahu
tenang pahlawan dipeluk bumi
senyum terakhir tenang tersembunyi.

Kenangan lama bermain di hati
pelukan dan kucupan kasih
tidak ada garisan tepi
kata dipadu, janji dikunci.

'Sungguhkah, dinda?' tanya pemuda.
'Benar, kanda' sahutnya manja.
Ke jinjang pelamin setahun lagi
hilir berbiduk ke laut hidup.

Datanglah lamaran ke ayah bonda
penuh khidmat junjung berduli
tapi pemuda emas sesaga
tertolaklah lamaran, terurailah janji.

Matahari bersembunyi di balik awan
pulanglah orang membawa usungan
air dikendi kekeringan
terkejut gadis dari menungan.

Melangkah gadis menahan denyutan
pandangan terakhir terlempar ke nisan
setangkai kemboja gugur perlahan
merangkaklah senja menutup pandangan.

USMAN AWANG
 1953

Uda dan Dara @ Parit Dua Barat

CATATAN TEATER DARI PARIT DUA BARAT
Oleh Dinsman



Ini catatan di sawah padi Parit Dua Barat, Sungai Besar, Sabak Bernam, menjelang lagi dua hari pementasan Uda&Dara. Petang Rabu itu hujan renyai-renyai sejak tengahari. Jadualnya ada latihan penuh. Tak dapat dibuat. Pemasangan lampu dan siaraya pun terpaksa dihentikan kerana hujan. Kebetulan pelakon pun ada yang belum tiba.

Aku nekad memulakan juga latihan, selepas azan isyak, walaupun masih ada rintik-rintik hujan. Lampu hanya dipasang untuk sekadar menerangi kawasan lakon sahaja. Alat-alat mikrofon untuk pelakon cuma dipasang satu dua orang sahaja.

Ku cuba adegan pembuka – gendang silat dan silat oleh lima orang pesilat muda dari Sungai Panjang, kampung berdekatan lokasi pementasan. Alhamdulillah, tak ada masalah. Adegan berikutnya belum dapat dibuat. Persiapan untuk menyalakan jamong belum selesai. Mikrofon lekap pada pelakon juga belum siap dipasang.

Rintik-rintik hujan berterusan. Apakah ini nanti akan menyebabkan aku demam, dan juga pelakon-pelakon? Ah, itu terserahlah kepada Allah. Kalau hendak didemamkan-Nya maka demamlah kami. Biarkanlah itu kepada Rahmah-Nya. Demi untuk pementasan, aku tidak ada pilihan melainkan membuat juga latihan walaupun di bawah hujan renyai-renyai.

Pemasangan mikrofon untuk dua pelakon utama Uda dan Dara belum juga dibuat. Aku tak boleh menunggu lagi. Ku minta mereka latihan juga, tanpa alat itu, sementara menunggu persiapan itu dan ini dibuat.

Apabila Lena Farida dan kru yang bertanggungjawab untuk memasang jamong sudah bersedia, aku pun ulangi adegan silat pembuka tadi. Selesai itu disambut oleh pukulan gendang untuk adegan berikutnya. Belum siap juga lagi pemasangan mikrofon untuk gendang berkenaan.

Ku teruskan juga dengan adegan menyalakan jamong, bermula jauh di tengah sawah. Ini baru pertama kali hendak dicuba. Ada 28 jamong semuanya dipacak memenuhi tanah bendang di belakang pentas. Utih akan berlari-lari di sana. Aku perlukan satu atau dua pancaran lampu spot untuk menampakkan sosok Utih berlari.



Rupa-rupanya ada masalah dengan hal lampu. Diminta 30 buah oleh Pengarah Artistik tetapi dijawab pihak pembekal mereka hanya boleh berikan 14 sahaja dan mereka hanya bawa enam sahaja. Aduh, tak ada pencahayaan untuk kawasan luas sawah padi tempat Utih akan berlari dan menjadi gimik pembuka Teater di Sawah Padiku?

Ah, jangan fikirkan itu lagi. Lihat dulu pemasangan jamong, bagaimana? Kami rancang akan pasang 50 jamong, tapi malam ini dicuba 28 sahaja. Ada tiga orang kru yang akan menyalakannya. Lihat berapa lama masa akan diambilnya. Kira-kira 10 jamong dinyalakan, aku minta Utih mula berlari. Dan sambil itu jamong terus dipasang.

Kemudian ku minta Utih deklamasikan sajak ‘Pak Utih’. Aku mahu suaranya didengar penonton jauh sayup di hujung bendang sana. Untuk itu perlukan speaker (pembesar suara) khas di pasang di tengah bendang. Yang rendah kualiti pun tak mengapa.

Kata pihak pembekal, tidak perlu, kerana itu akan membazir. Ia hanya digunakan sekali itu sahaja. (Dalam Teater Atas Pokok (TAP) aku adakan speaker khas di puncak pokok, khas untuk satu dialog yang penting. Membazirkah?) Mereka ada teknik untuk suara itu kedengaran seperti yang aku mahu, katanya. Tidak kedengaran di speaker biasa yang ada di depan penonton.

Aku minta ditunjukkan. Jawab mereka malam esok, kerana malam ini tak sempat. (Aku ada pengalaman pahit dalam TAP, dengan jawapan atau alasan yang sebegitu).

Namun alhamdulillah, adegan jamong nampak berkesan. Cantik. Bagaimana memadamkan jamong itu? Jangan fikir dulu. Teruskan dengan latihan yang lebih perlu. Berikutnya adegan silat dengan lagu pertama daripada 14 lagu dalam teater ini, lagu Sembah Pendekar.

Fairul Pujangga yang jadi Malim dalam adegan ini belum kelihatan. Ahad lalu dia sakit belakang dan pinggang akibat terjatuh waktu aksi melompat. Pagi tadi masih belum boleh berjalan. Tentunya dia belum sembuh. Kalau tidak pasti sudah ada, kerana dia memang berdisiplin bagus.

Latihan diteruskan tanpa Malim. Bunyi gitar terlalu bingit, tentulah akibat pemasangan sistem bunyi belum sempurna. Suara penyanyi Koir langsung tenggelam. Aku biarkan dulu. Dan gerimis masih mengusik. Pun ku biarkan saja. Jangan fikirkan soal demam. Mohon Allah memberkati kerja kami.

Dan latihan pun diteruskan, dalam keadaan yang serba tak memuaskan, di bawah rintik-rintik hujan gerimis. SM (Stage Manager/Pengurus Pentas) menjerit-jerit Light off dan Light on dan membilang 1, 2, 3, 4, 5 dan seterusnya setiap kali pertukaran adegan. Hingga waktu menghampiri jam 12 malam, pemasangan alat mikrofon lekap pada pelakon-pelakon masih belum siap.

Malam esok latihan penuh kostium (full dress). Dan aku mendengar jawapan/penjelasan daripada SM dan PM (Production Manager/Pengurus Produksi) dan Penolong Pengarah dan Pengarah Artistik mengatakan pihak berkenaan tak dapat buat itu malam ini dan akan buat malam esok. Dan aku pun mula kehilangan sabar.



“Apakah saya boleh tunda pementasan?” “Malam esok full dress. Malam ini saya latihan untuk apa kalau ‘lampu padam’ dan ‘lampu buka’ pun saya tak boleh buat?”

Saya berfikir, esok masih ada satu hari penuh siang dan malam untuk latihan. Lusa pun masih boleh buat latihan selepas jam 11.00 atau 12.00 malam, kalau perlu. Maka saya tamatkan latihan malam itu.

Fairul belum tiba. Watak Malim yang dibawanya itu watak utama. Mungkinkah saya bersedia dengan pelakon pengganti? Mesej mengatakan sakitnya belum sembuh dan dia belum mampu datang; tapi berharap dapat datang tengahari Khamis.

Gerimis nampaknya sudah berhenti. Tetapi gerimis di dalam diri saya berterusan. Bimbang, harap, cemas, yakin bercampur aduk. Segalanya adalah kemungkinan, dan tidak ada yang pasti. Dan saya tidak ada pilihan melainkan berharap dan bergantung kepada Tuhan.

Segala usaha dan ikhtiar sudah dilakaukan. Memang tidak sempurna. Hanya Allah yang sempurna. Hanya Allah!
(Dari kolum 'Tekad Budaya' akhbar Amanah,13.8.2017)

fb shamsudin 


Mengangkat Uda dan Dara ke dalam bendang

Al-Abror Mohd Yusuf
 13 Ogos 2017

ULASAN | Ia bukan sekadar persoalan teater sebagai teater, atau mengangkat sesuatu naskhah ke tempat yang kita rasa tinggi. Sedangkan tinggi itu sendiri sifatnya subjektif dan tergantung pada penilaian seseorang.

Teater di sawah padi - Muzikal Uda dan Dara - umumnya bukan sekadar teater. Ia adalah tentang pencipta Uda dan Dara serta persekitaran itu sendiri, iaitu Usman Awang.

Menurut pengarah teater, Dinsman, dia melihat Usman ada dalam watak penting Uda dan Dara, iaitu Utih.

Bersama Utih itu pula ialah pesanan demi pesanan yang perlu disebarluaskan. Justeru, sawah di kawasan perkampungan Melayu di Sungai Besar itu adalah tempat yang wajar.

Biarlah orang lain melihat Uda dan Dara dari segi keberkesanan lakonan atau elok canggung muziknya, indah cacat dialognya, atau mantap longgar pencak silatnya.

Tulisan ini melihat Uda dan Dara yang beraksi di atas sawah - suatu aspek empirikal dalam masyarakat Melayu hingga hari ini.

Ratusan orang yang menjadi penonton pementasan pada malam tadi datang dari pelbagai latar. Sebahagiannya memang 'berkorban' dengan datang dari jauh.

Meredah malam gelita

Sungai Besar dari Kuala Lumpur bukan tempat yang boleh dikunjungi dengan "saja-saja". Dari Sungai Buloh saja, kedudukan Sungai Besar itu melebihi dua marhalah. Maknanya, orang dari Sungai Buloh sudah layak sembahyang jamak kalau ke Sungai Besar.

Dari Sungai Besar, lebih dekat untuk ke Teluk Intan, Perak, berbanding Petaling Jaya Selangor.

Apa ada di Sungai Besar? Masyarakat Melayu yang mendominasi kawasan itu sehingga kira-kira 70 peratus. Daripada jumlah itu sebahagiannya adalah orang Jawa dan Banjar.

Di sana juga Umno yang dipimpin oleh ketuanya yang 'luar biasa'. Siapa tidak kenal Datuk Seri Jamal Mad Yunos?



Dalam keadaan begitulah ada orang datang bersama ipar-duai sanggup menyewa hotel di Sungai Besar semata-mata untuk menyaksikan Uda dan Dara Dinsman.

Lokasi pementasan teater itu memang mencabar bagi sesetengah orang, terutama apabila Sungai Besar bukanlah tempat yang sering dikunjungi atau dilintasi. Apa lagi mencari lokasi pada waktu malam gelita.

Namun kepuasan boleh saja diperolehi daripada lakonan dan penceritaan digarap Dinsman - tokoh teater yang masih dikenang dengan Bukan Bunuh Diri, Tamu Dari Medan Perang dan Menunggu Kata Dari Tuhan.

Sebelum ini Dinsman sudah mementaskan Teater Di Atas Pokok di Shah Alam.

Teater di sawah padi - Muzikal Uda dan Dara menghimpunkan antara lain Taufiq Izmir sebagai Uda, Yuzara Amrand (Dara) Hafidz Haikal (Alang Bakhil), Fairul Pujangga (Malim) dan Intan Suraya (Ibu Uda).

Watak penting Utih pula dibawa pelakon dari Medan, Sumater, Ilhamdi Sulaiman.

Biar bergema suaranya

Seperti kata Dinsman, Utih seorang pejuang yang mahu membebaskan masyarakatnya daripada belenggu penindasan serta pembodohan orang yang berkuasa. Orang yang menyebabkan penduduk kampung menjadi miskin dan terjajah.

Dengan watak Utih yang aneh dan dianggap gila, dia mencabar kuasa - diwakili Alang Bakhil - yang merantai penduduk kampung.

Maknanya, di dunia realiti, untuk melawan orang yang gila kuasa, kita kadang-kadang perlu menjadi 'lebih gila'. Dan Utih barangkali adalah itu.

Cuma itulah, dalam keadaan begitu akan selalu muncul Lebai yang menyandarkan hujah dan nasihatnya pada tasbih dan jubah.

Mengapa gamaknya Dinsman mementaskan Uda dan Dara di sawah padi dan bukan pentas lebih gah seperti Istana Budaya?

Dinsman pernah berkata, Istana Budaya bukan tempat yang sesuai untuk mementaskan teater. Antara lain kerana sistem bunyi dan kedudukannya yang tidak sempurna.

Lagi pula, apa sangatlah naskhah Usman Awang untuk disejajarkan dengan siri konsert yang diadakan dari semasa ke semasa di "istana" itu, kan?

Dan cukup-cukuplah kita menyerahkan makna "tinggi" itu untuk ditafsirkan pihak "istana".



Uda dan Dara layak dipentaskan di Istana Budaya jika kamu berasa teater wajib terus dielitkan dan sukar dijangkau masyarakat. Dan seperti yang dikatakan awal tadi, "tinggi" itu bersifat subjektif.

Mengangkat Uda dan Dara Usman ke tengah masyarakat kampung juga adalah aksi meninggikan naskhah sasterawan negara itu. Biar suara dan pesanan Usman melalui pelbagai watak yang ada bergema melangkaui batas bendang, ban dan pokok-pokok pisang di Sungai Besar.

Bak kata orang di kampung Uda: "Menyanyi sebagai hamba atau berdarah sebagai pahlawan?"

Teater di sawah padi - Muzikal Uda dan Dara - akan dipentaskan sekali lagi pada malam ini. Masih ada masa untuk ke Sungai Besar dan menikmatinya. Pergilah.

AL-ABROR MOHD YUSUF ialah wartawan Malaysiakini.
Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

malaysiakini 


Uda Dan Dara: Perlawanan Anak Tani
OLEH HAIZIR OTHMAN



TAHUN lalu apabila Dinsman mempersembahkan Teater Atas Pokok di Shah Alam, ia telah memecahkan kepompong kebiasaan bahawa teater harus di “pentas”kan di atas pentas – sepetak lantai yang ditinggikan sedikit daripada tempat duduk penonton, dalam satu bilik berdinding dan berbumbung. Bermain teater sekitar sebatang pokok di atas sebidang tanah lapang sambil bergayut dengan tali, berbuai atas buaian, duduk sahaja di atas dahannya atau bermain di perdu dan banirnya, selain merupakan satu bentuk kreativiti yang baru dan segar, ia juga satu cara berlepas diri dari cengkaman yang dikhuatiri mula kejap dalam bidang seni – namakan ia banal, mediocrity, kapitalis dan siapa tahu satu hari nanti, agama institusian.

Pekerjaan yang dilakukan Dinsman bersangkut dengan kemerdekaan seni; bukan sahaja soal keperluan untuk bebas berkarya. Seni perlu keluar dari kokun yang memerangkapnya agar keindahannya dapat dinikmati khalayak terbanyak. Bangunan agam bertaraf istana yang menempatkan pentas teater raksasa juga kadang kala tidak dapat memainkan peranan menyebarkan keindahan seni itu lantaran “bumbung” dan “dinding” yang ia bangunkan sendiri. Bumbung dan dinding itu bukan sahaja simen, besi dan batu bahkan mungkin sahaja
ringgit dan darjat.


“Ringgit” dan “darjat” inilah yang sering diulang-ulang dalam persembahan teater Dinsman seterusnya, Teater di Sawah Padi Muzika Uda dan Dara yang berlangsung pada 12 dan 13 Ogos 2017 di petak sawah Parit Dua Barat, Sungai Besar. Mungkin tiada naskhah lebih baik yang boleh digunakan untuk mengangkat persoalan tersebut selain karya klasik Sasterawan Negara Usman Awang, Uda dan Dara yang pertama kali dipentaskan pada tahun 1972.

Uda dan Dara mengangkat persoalan ini walaupun ia disulami kisah cinta romantis perkasihan ala Romeo dan Juliet mahupun Laila Majnun. Uda, seorang pemuda tani kebanyakan bercinta dengan Dara, seorang anak gadis dari keturunan bangsawan dan cinta mereka terhalang oleh perbezaan darjat. Ia kisah biasa dalam mana-mana budaya, malah turut tersiar secara lambak lewat drama-drama Melayu adaptasi novel popular saban petang.
Tetapi yang membezakan Uda dan Dara dengan kisah-kisah cinta lain adalah perlawanan. Perlawanan yang dimaksudkan Usman Awang bukan sahaja untuk merebut cinta perempuan tetapi untuk merobohkan dinding dan bumbung dari rumah peraturan yang selama ini melindungi dan menyamankan orang kaya yang sedikit, sebaliknya menghalang orang miskin yang ramai daripada memasukinya; membiarkan mereka berpanas, berembun, berhujan di luar bahkan kelaparan.

sawah1Uda dan Dara garapan Usman mahu mengeluarkan orang Melayu daripada kongkongan kaum borjuis yang kadang kala kita sendiri kenali,mencekak tengkuk kita dengan sistem-sistem yang bernama muluk – pinjaman, pertolongan dan janji. Usman tidak segan sewaktu menyebut “biar mati adat, jangan mati anak”, walau ia mungkin satu pengisytiharan perang kepada budaya dan tradisi bangsa kita yang sudah lama berakar. Usman melanjutkan perbicaraan cinta dan kasih sayang antara lelaki dengan perempuan kepada satu aras lagi iaitu persoalan benci kepada penindasan dan pemerasan.

Di sana muncul Utih dan Malim, dua watak pelawan yang lahir dari kematian Uda akibat cuba mencabar status quo Alang Bakhil, memimpin orang kampung untuk bangkit melawan kaum penindas yang berleluasa
kezalimannya. Kata Utih, “Dan di situ terbaring mayat siapa? Bukan hanya mayat Uda. Mayat kita yang dibunuhnya. Satu demi satu. Dan mereka akan terus membunuh!”

Watak-watak Pak Long, Mak Long, Diman, ibu Uda, Dayang, dan lain- lain yang sebelum ini dipaparkan sebagai beriang-ria, gembira berpantun, menyanyi dan menari di batas sawah desa yang aman permai kemudiannya di bawah pimpinan Malim bergerak menyusun langkah silat, menghunus parang dan bersatu tenaga untuk melawan kuasa penindas dengan jalan perang. Ibu Uda malah turut berpencak, Mak Long menyertai suaminya. Katanya kepada Malim, “Kalau boleh memegang antan, kenapa tak boleh memegang parang!”

Di sebalik kebangkitan ini adalah Utih yang sejak dari awal, lewat kata- kata falsafahnya telah menyedar dan menyegarkan orang kampung agar mencintai alam, tempat lahir dan tanah tumpah darah. “Sawah itu adalah aku, lumpur itu adalah aku, angin itu adalah aku, sungai itu adalah aku,” kata Utih, bermadah. Utihlah yang pertama bersemuka dengan Alang Bakhil, membidas dan menghalau Alang Bakhil dan orang-orangnya dari rumah ibu Uda, di sebalik sifat gila-gila dan anehnya itu.

sawah 2Perlawanan Utih dan Malim adalah untuk menghapuskan peraturan yang membeza-bezakan manusia dari ringgit dan darjat yang mereka punyai – semangat yang diambil Dinsman semasa mementaskan teater ini. Semangat karya Uda dan Dara pertama sekali dapat dihayati apabila ia dipersembahkan di sawah padi. Bau lumpur, remah jerami, angin bendang, nyamuk dan agas, tanah sawah yang lembut dipijak adalah suasana sebenar yang dapat dirasai semasa menonton teater ini secara langsung. Ini semua pengalaman pertama sebelum kita melihat pentas yang dibina ringkas, orang-orang, jamung, dan mendengar dendangan lagu-lagu latarnya. Suasana real ini barang pasti tidak dapat dirasai di pentas dalam bangunan atau dewan berhawa dingin.

Kedua, barang kali inilah pentas terbesar pernah digunakan untuk persembahan teater. Sawah yang luas membolehkan Utih berlari sepuas-puasnya meluahkan ekspresinya yang melimpah-ruah. Orang-orang pula dicacak jauh ke tengah sawah. Pada satu babak, kelihatan penduduk kampung muncul dari kegelapan membawa jamung masing-masing, perlahan-lahan bergerak ke depan. Mereka meraikan kemenangan menewaskan Alang Bakhil. Ruang sebesar itu pastinya tidak dapat ditawarkan hatta Istana Budaya sekalipun.

Dan ketiga, paling penting adalah tiada perbezaan kasta di sini. Para penonton duduk bersila di kanvas atau menggunakan kerusi plastik yang disediakan. Selebihnya sama ada bersidai di tepi parit atau cukup menonton dari atas motosikal masing-masing. Tiada pembahagian tempat duduk orang kenamaan (VIP) dengan orang biasa atau pemegang tiket mahal dengan murah. Tiada etika pakaian yang melarang memakai selipar. Kamu boleh bergambar atau merakam sesuka hati, tiada pegawai pentas yang akan menyuluh-nyuluh dari belakang untuk melarang.



Melalui Teater di Sawah Padi, di pentas alam, Dinsman menghubungkan karya Usman Awang dengan rakyat secara horizontal tanpa dihijab sebarang dinding ringgit atau darjat. Sesuailah dengan tulisannya “Dengan teater kudekati Tuhan”, Dinsman cuba menghubungkan dirinya (dan pembaca atau penonton) secara vertikal dengan Tuhan. Dan rasanya – melalui teater ini, beliau berjaya.

detikoffline

13 Aug 2017

adam

Tulislah Sebuah Buku, Ceritakanlah Tentang Kisah Saya," - Prebet Adam


ALOR SETAR - Penulis buku "Konfesi Prebet Adam", Syahril A Kadir baru-baru ini berkongsi kisah tentang pengalamannya bertemu dengan Prebet Adam yang mengamuk di Chow Kit dalam satu insiden yang menggemparkan negara suatu masa dahulu.

Syahril berkata, segalanya bermula apabila dia melontarkan persoalan di ruang laman Facebooknya tentang apakah benar kisah yang bertebaran selama 30 tahun tentang amukan Prebet Adam di Chow Kit adalah disebabkan adiknya dibunuh Sultan Johor.

"Keesokan harinya saya menerima mesej inbox di Facebook kira-kira jam 3 pagi yang menjelaskan bahawa Adam ada bersamanya dan sedia untuk bercerita tentang kisah sebenar apa yang berlaku.

"Sudah tentu saya terkejut. Lelaki itu kata, Adam kini hidup bergelandangan, mengutip besi buruk untuk dijual," katanya penulis meja jenayah berpengalaman itu dalam majlis diskusi buku kisah benar Prebet Adam dan Amok at Chow Kit, di Rumah Harapan Budi, Bukit Persekutuan, Kuala Lumpur, yang dipetik dari FMT.



Bercerita lanjut, Syahril berkata, dengan bantuan kenalan Facebook itu, beliau kemudian terbang ke Pulau Pinang untuk bertemu Adam.

"Pada mulanya saya sendiri kurang pasti, benarkah ini Prebet Adam? Dulu mungkin dia diawal 20'an berbadan tegap dengan kelengkapan tentera, tapi lelaki depan saya kini kelihatan tua.

"Usianya baru 53 tahun, tapi kelihatan macam sudah 60 tahun. Keadaannya serabut, tidak terurus," membuat Syahril teragak-agak seketika untuk meneruskan niatnya.

Namun begitu, Prebet Adam atau nama sebenarnya Adam Jaafar menjelaskan bahawa dirinya tidak tertanggung lagi tekanan yang tergalas ditubuhnya selama 30 tahun dan terpalit dengan fitnah yang sukar diterima.

"Selama 30 tahun saya difitnah. Keluarga sendiri pun menghina saya. Masyarakat pula mencerca memaki hamun saya.

"Mereka kata saya mengamuk dulu kerana adik saya dibunuh Sultan, namun tuduhan itu sebenarnya menyimpang jauh dari kebenaran. Semua itu langsung tiada kaitan.

"Selama 30 tahun juga mereka memperkatakan tentang itu. Saya sudah tidak tahu bagaimana hendak menceritakan segalanya kepada mereka. Saya pun bukannya sihat sangat. Lambat laun, ajal saya akan tiba.

"Jadi sebelum menutup mata, saya mengharapkan agar tuan menulis tentang kisah yang sebenarnya. Tulislah sebuah buku dan ceritakanlah tentang kisah saya," kata Syahril menceritakan kata-kata Adam kepadanya pada pertama kali pertemuan.



Syahril menjelaskan bahawa bukan mudah untuk dirinya yakin dengan Adam, apatah lagi kata-kata yang terbit dari lelaki yang menagih dadah itu.

"Saya tegaskan kepada Adam, dia tidak boleh sesekali berbohong pada saya. Saya akan duduk bersamanya selama seminggu dan dia perlu ceritakan dengan terperinci kisahnya itu.

"Jadi, selama seminggu saya bersamnya. Dari situ saya menyedari bahawa tidak memadai untuk kisah ini diyakini jika hanya bergantung kepada kisah dari Adam saja. Jadi saya perlu bertemu dengan Shafee dan Ghani

"Kemudian saya dapati bahawa walaupun Adam seorang penagih dadah yang bergelandangan, pernah dirawat di Hospital Bahagia di Tanjung Rambutan, namun apa saja yang dia katakan adalah sama dengan apa yang diceritakan Ghani dan Shafee ," kata Syahril.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah difahamkan adalah individu penting yang menjadi peguambela Adam bagi kes amuk berkenaan dan beliau secara sukarela mengendalikan kes berkenaan tanpa sebarang bayaran, malah menyumbang wangnya untuk kes tersebut.

Manakala Jeneral (B) Datuk Abdul Ghani Abdullah adalah merupakan bekas pegawai atasan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang bertanggungjawab berunding dan berjaya memujuk Adam untuk menyerahkan diri setelah gagal dipujuk oleh pihak keselamatan negara ketika insiden itu tercetus.



Kata Syahril lagi, dia sendiri turut berdepan dengan masalah untuk menerbitkan buku berkenaan apabila beberapa buah syarikat penerbitan takut untuk menerbitkan naskhah kontroversi yang menggegarkan negara itu.

"Saya ada bertemu dengan beberapa penerbit buku, tapi mereka semua tidak bersedia untuk menerbitkan buku itu. Mungkin mereka takut kepada kesan-kesannya dan kerana itu mereka enggan," ujar penulis berpengalaman itu.

Walau bagaimanapun, mereka yang terlibat dengan pembikinan buku berkenaan menjelaskan bahawa bukan mudah untuk mengubah persepsi masyarakat yang terpedaya dengan propaganda yang tersebar selama lebih 30 tahun.

Namun rasa tanggungjawab dan keberanian menegakkan kebenaran telah membuat penulis buku berkenaan, Syahril A Kadir untuk membongkar kisah sebenar dan memperbetulkan persepsi semberono tanpa bukti yang selama ini menjadi "taboo" di kalangan masyarakat.

"Ini adalah fitnah yang berlaku selama 30 tahun," tegas bekas wartawan meja jenayah yang terkenal itu tanpa berniat prejudis terhadap mana-mana pihak.



Untuk mengetahui lanjut kisah sebenar tentang insiden amukan Prebet Adam secara jelas dan berfakta, para pembaca boleh mendapatkan buku "Konfesi Prebet Adam" (Versi Bahasa Melayu) atau "Amok At Chow Kit", boleh menghubungi Dubook Press (klik di sini). -Kedahnews.com

kedahnews

adam



TERIMA kasih, Alhamdulillah atas respond luar biasa ke atas buku Konfesi Prebet Adam dan Amok at Chow Kit. Abam dah LETAK SIGNATURE l/kurang 250 naskhah khas untuk pembeli yg beli direct dr abam. Jumlah yg special edition ni yg tinggal dah tak banyak
Abam ulang, harga maintain RM 30 utk Konfesi Prebet Adam (Versi Bahasa Melayu) + Postage.
Amok At Chow Kit (English version) - RM30 + Postage.
+
Postage RM8 Semenanjung / RM12 Sabah&Sarawak
---------------
Step 1. Sila SMS/Whatsapp ke talian: 016- 727 6020 untuk membuat pesanan.
Step 2. Sila buat bayaran ke akaun bank CIMB: 7614956521 - Mohamed Syahril Abd Kadir
Step 3. Berikan bukti pembayaran terlebih dahulu bersama maklumat seperti berikut:
Nama:
Alamat:
No telefon:
Tajuk buku:
SALAM.





syahril a kadir fb