Kenangan Studio Jalan Ampas
30 November 2013
PERLU diakui, sejarah kegemilangan filem Melayu tanah air tidak dapat lari daripada dikaitkan dengan negara jiran, Singapura. Bermula dengan Leila Majnun arahan B.S. Rajhans yang menelan belanja $50,000 pada 1933, Singapura terus menjadi lubuk pembikinan filem-filem Melayu yang terus menambat hati rakyat tempatan meskipun seringkali dipengaruhi budaya India, kesan kemasukan ramai pengarah berpengalaman dari negara tersebut.
Lalu, tidak dapat tidak, kita seharusnya juga berterima kasih kepada dua beradik, Run Run Shaw dan Run Me Shaw yang datang dari China semata-mata untuk mengembangkan perniagaan mereka di Singapura setelah melihat potensi besar di Malaya.
Biar pun ada yang skeptikal mengatakan tindakan itu mungkin sekadar mengaut keuntungan tanpa ada niat lain, namun jika tidak kerana tindakan mereka menubuhkan Malay Film Productions (MFP) dan membina Studio Jalan Ampas, belum tentu kita mampu mengenali seniman-seniman agung yang amat dibanggakan terutamanya Tan Sri Dr. P. Ramlee.
Bukan itu saja, nama-nama besar seperti Datuk S. Roomai Noor, S. Sudarmadji, Datuk Aziz Sattar, S. Shamsuddin, Nordin Ahmad, Omar Rojik, Tan Sri Jins Shamsuddin,Tan Sri L. Krishnan, selain seniwati-seniwati terkenal termasuk Latifah Omar, Zaiton, Hashimah Yon, Datuk Sarimah Ahmad serta ramai lagi yang terlalu panjang untuk dinukilkan, kesemuanya menjadi terkenal setelah bersekolah di Jalan Ampas sebelum membawa haluan masing-masing.
Bagaimanapun, kini tempat itu tidak lagi semeriah dahulu. Keadaannya sudah usang. Tiada lagi kelibat pejuang-pejuang seni mundar-mandir di situ setiap hari setelah studio itu ditutup sepenuhnya pada 1967.
Untuk mengimbau kembali sekelumit dari jutaan cerita yang tersimpan di Studio Jalan Ampas dan rumah teres Jalan Boon Teck yang pernah menjadi tempat tinggal artis serta petugas di studio berkenaan, wartawan S2, MOHD. RAFIE AZIMI bersama jurugambar, ABDUL RAZAK LATIF, AZMAN ASMAYATIM, HAFIZ JOHARI dan MOHD. FARIZWAN HASBULLAH baru-baru ini berkunjung ke Jalan Ampas selain menemui mereka yang pernah menjalani kehidupan di lokasi bersejarah itu.
utusan online
Bujang Lapok gambaran sebenar Jalan Ampas
30 November 2013
BARANGKALI ada dalam kalangan kita menganggap segala apa yang dipertontonkan dalam filem Seniman Bujang Lapok hanyalah sebahagian daripada interpretasi seni atau sekadar fiksyen tanpa ada kena mengena dengan dunia nyata.
Namun menurut Datuk Aziz Sattar, segala apa yang dipertontonkan P. Ramlee selaku teraju utama di dalam filem berkenaan sebenarnya amat berkait rapat dengan kehidupan warga Studio Jalan Ampas.
Sebagai contoh katanya, bintang legenda itu cuba memaparkan sikap sebenar pekerja-pekerja di Jalan Ampas melalui filem berkenaan.
"Paling dikenang tentunya adegan 'Bai jaga' yang tidak sudah-sudah memerli orang. Sebenarnya sikap beliau memang begitu sampai kadang-kadang kita pun geram. Tapi apa yang dicakap semuanya betul. Sebab itu kita tak boleh marah.
"Kadang-kadang orang datang, walaupun berpakaian cantik tapi tidak beradab. Datang saja terus tanya 'P. Ramlee ada?'. Jika begitu, biasanya 'Bai Jaga' yang nama sebenarnya Pretam Singh itu akan terus bangun tanpa melayan pertanyaan itu.
"Tapi kalau yang datang itu berbudi bahasa, orang itu akan dilayan bersungguh-sungguh. Gambaran lain, adalah dalam adegan sebelum itu di mana A. Rahim tiba-tiba mendengus dan menendang kerusi. Memang itulah sikapnya yang selalu secara tiba-tiba saja 'kepala angin'," katanya.
Dalam pada ceria bercerita mengenai memori indahnya bersama kawan-kawan di Studio Jalan Ampas, nada Aziz bagaimanapun tiba-tiba berubah apabila ditanya mengenai keadaan ketika studio itu hampir ditutup.
"Saya sudah mengetahuinya lebih awal apabila seorang rakan meminta saya bersedia kerana katanya studio itu akan ditutup dalam tempoh enam bulan lagi. Apabila saya beritahu kawan-kawan lain, mereka tidak percaya tetapi saya tetap mengambil langkah berhati-hati dengan mula membayar hutang sedikit demi sedikit kepada lima kedai kopi yang berada di sekitar studio tersebut.
"Akhirnya perkara itu menjadi kenyataan. Dalam tempoh dua minggu sebelum studio itu ditutup, kami dimaklumkan tentang perkara tersebut oleh pengurus, Kwek Chip Jian. Keadaan menjadi suram dengan masing-masing bimbang mengenai masa depan sehingga sukar untuk kami melelapkan mata pada waktu malam," katanya.
Apabila tiba harinya, bermula pada pukul dua petang, para petugas di Studio Jalan Ampas daripada krew produksi sehinggalah kepada pelakon-pelakon terkenal mula mengambil gratuiti dan sebulan wang gaji sebelum pintu studio berkenaan tertutup rapat buat selama-lamanya.
"Keadaan ketika itu sukar digambarkan. Ada yang menangis, ada pula yang berpelukan. Paling kasihan melihat mereka yang banyak berhutang," katanya.
Dugaan dihadapi tidak terhenti di situ. Keesokan harinya iaitu pada Hari Raya Aidilfitri yang pertama, Jalan Boon Teck yang menjadi tempat tinggal artis dan krew studio berkenaan banjir.
"Habis segala ketupat dan kuih raya hanyut. Apabila banjir surut, kami beramai-ramai membersihkan rumah dalam keadaan bersedih. Memang saya tidak akan lupakan peristiwa itu," ujarnya.
Bagi menyara hidup kata Aziz, kebanyakan artis mula menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan atau kembali kepada pekerjaan lama mereka sebelum bergelar pelakon.
"Salleh Kamil bawa teksi, Kemat Hassan bekerja sebagai pemandu, Shariff Dol menjaga gudang bersama ayahnya sementara Omar Suwita membuka kedai gunting rambut," ujarnya
utusan online
TIDAK SEGAH DAHULU
Sebagai peminat filem Melayu lama, sebenarnya sukar untuk penulis gambarkan perasaan yang timbul sewaktu pintu pagar Studio Lapan Jalan Ampas dibuka bagi membolehkan penulis melangkah ke dalamnya. Pelbagai rasa bercampur baur. Pertamanya, gembira kerana impian sejak kecil untuk ke situ kesampaian dan keduanya teruja kerana penulis berada di lokasi yang menjadi tempat legenda-legenda seni tanah air berkarya.
Begitu pun, kedua-dua perasaan yang menyeronokkan itu sebenarnya turut diiringi perasaan sedih dan kecewa. Sebabnya, kawasan studio itu kini sudah tampak suram dan tidak bermaya sehingga tidak menampakkannya sebagai lokasi yang pernah gah suatu ketika dahulu. Semua itu bagaimanapun tidak menghalang kemahuan penulis untuk meneroka segenap inci pelosok studio tersebut lebih-lebih lagi apabila membayangkan adegan-adegan yang terdapat dalam filem Seniman Bujang Lapok.
Sebagai gambaran, sebaik sahaja pintu pagar dibuka, pengunjung pasti akan teringat adegan 'Hang Kebun' melibatkan 'Director' Ahmad Nisfu yang berlaku betul-betul di hadapan pintu masuk ke pejabat 'bos-bos besar' studio termasuk pengurusnya, Kwek Chip Jian. Untuk makluman, pejabat Kwek atau lebih mesra dipanggil 'Mister' Kwek dalam kalangan warga Jalan Ampas merupakan pejabat Kemat Hassan yang bertindak sebagai pengurus studio dalam filem Seniman Bujang Lapok. Di sebelah kanannya pula, terdapat tapak kosong yang dahulunya menempatkan studio lapan. Jika di dalam filem, kedudukannya terletak di belakang 'Bai' jaga. Di situlah tempatnya berlaku adegan si Bujang Lapok sedang diuji bakat sehingga memeningkan kepala Ahmad Nisfu.
Terletak bertentangan dengan pintu pagar studio adalah bekas tapak kedai kopi Ah Lam. Di kedai kopi ini, para petugas di Studio Jalan Ampas melepaskan lelah bekerja sambil bermain dam. Tidak terlepas daripada dimuatkan di dalam Seniman Bujang Lapok, kedai kopi Ah Lam menjadi lokasi di mana P. Ramlee dan Aziz Sattar menanti Sudin yang cuba meminjam wang sebanyak $350 daripada Kemat Hassan.
Selain itu, tiada apa lagi yang boleh diungkit. Bilik solekan dan tandas tempat Sudin terketar-ketar ketakutan menghafal skrip berlaku di Studio 9A yang terletak di arah barat laut Studio Lapan. Studio 9A itu bagaimanapun sudah dirobohkan dan tapaknya dibina bangunan pejabat baru, sekali gus menenggelamkan terus bayangan studio yang lama.
Dalam usaha untuk menelah masa depan studio itu, penulis cuba mendapatkan fakta atau setidak-tidaknya sedikit komen daripada Shaw Brothers sebagai pemilik studio berkenaan.
Usaha itu bagaimanapun menemui kegagalan apabila pihak Shaw enggan memberi sebarang kenyataan walaupun memberi kebenaran penulis masuk ke kawasan studio tersebut. Apa pun, berdasarkan tugu maklumat yang terletak di hadapan studio berkenaan, Shaw Brothers dikatakan mula bercita-cita untuk menjadi pemain utama dalam industri filem Melayu melalui Studio Jalan Ampas pada 1947.
Di bawah jenama Malay Film Productions Ltd. (MFP), studio itu mengeluarkan filem pertamanya berjudul Singapura Di Waktu Malam diarahkan B.S Rajhans pada tahun yang sama. Di situ, pelbagai sejarah tercipta. Antaranya, filem Melayu pertama berwarna sepenuhnya dirakamkan di situ iaitu filem Hang Tuah arahan Phani Majumdar dan lakon layar oleh Jamil Sulong. Selain itu, Ibrahim Pendek juga mencatat sejarah apabila lakonannya dalam filem Ali Baba Bujang Lapok menarik perhatian Universal International untuk menawarkannya peluang berlakon di samping Rock Hudson dan Gene Rowlands dalam filem The Spiral Road pada 1962, sekali gus menjadikannya sebagai pelakon tempatan pertama beraksi di Hollywood.
Setelah melalui zaman kegemilangan filem Melayu dengan menghasilkan lebih 160 buah filem di situ, studio tersebut akhirnya terpaksa ditutup pada 1967.
Sebab-sebab penutupannya sehingga kini masih kabur. Bagaimanapun kemasukan filem-filem luar tanpa kawalan dilihat merupakan salah satu faktor yang 'membunuh' industri filem Melayu tanah air sehingga pada suatu ketika, tiada satu pun filem Melayu ditayangkan di pawagam.
Carian di internet pula mendapati ramai mendakwa Raja Bersiong arahan Jamil Sulong dan skripnya ditulis Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman merupakan filem terakhir yang dihasilkan di studio tersebut pada 1967.
Namun menurut Datuk Aziz Sattar, filem terakhir yang dihasilkan di studio tersebut berjudul 'Terlibat' yang diarahkan oleh S. Kadarisman di mana beliau turut berlakon di dalam filem tersebut.
Setiap kali hari raya, Pak Ajis terkenang Jalan Ampas
Oleh SITI KAMILAH MUSTAPHA
PENGHORMATAN. Pak Ajis menerima cenderahati daripada pemilik Saloma Bistro, Tan Sri Syed Yusof Syed Nasir.
SETIAP kali membuat persiapan Aidilfitri, pelakon dan pelawak veteran, Datuk Abdul Azez Aziz Satta atau dikenali sebagai Aziz Satar pastinya terkenangkan kisah 35 tahun dahulu ketika dia tinggal di Jalan Ampas, Singapura.
Mana tidaknya pada 15 September 1967, ketika semua bintang-bintang terkenal filem Melayu termasuk dirinya sendiri yang bernaung di bawah studio perfileman yang dikenali sebagai Studio Malay Filem Production (MFP) di Jalan Ampas, Singapura atau nama pendeknya, Studio Jalan Ampas terpaksa berdepan kenyataan bahawa studio tersebut terpaksa dirobohkan.
Mereka yang digelar bintang Hollywood Filem Melayu itu sebenarnya juga menetap di Studio Jalan Ampas tersebut.
Menurut rekod, Studio Jalan Ampas milik Shaw Brothers telah beroperasi selama 19 tahun sebelum ditutup pada 1967. Mengikut sejarah, ia dibangunkan dua beradik, Runme dan Run Run Shaw di kawasan seluas 40,000 meter persegi.
Studio itulah yang melahirkan bintang ternama seperti seniman agung, Tan Sri P. Ramlee dan rakan seangkatannya termasuk Aziz Satar sendiri, S. Shamsuddin, AR. Tompel, Datuk Sarimah, Tan Sri Jins Shamsuddin, Datuk Ahmad Mahmud, Datuk Jamil Sulong serta ramai lagi.
Ketika era itu, Jalan Ampas turut digelarkan sebagai ‘Hollywood Filem Melayu’ ketika zaman kegemilangan filem Melayu pada era 1950-an dan awal 1960-an. Difahamkan alasan studio itu ditutup kerana tidak ada lagi sambutan terhadap filem Melayu di Singapura, selain kekurangan bakat baharu.
Apa yang membuatkan figura yang lebih mesra dipanggil Pak Ajis ini menanggung emosi kesedihan yang amat sangat adalah kerana penutupan Studio Jalan Ampas bermula sehari sebelum sambutan Aidilfitri pada tahun tersebut.
“Pada tarikh itu, yang mana esoknya semua umat Islam akan menyambut hari raya tetapi saya dan rakan-rakan pelakon Studio Jalan Ampas terpaksa berdepan dengan kenyataan bahawa tempat tinggal kami itu terpaksa dirobohkan,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa di Saloma Bistro, Jalan Ampang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Menurut Pak Ajis, suasana ketika itu terlalu sepi dan sedih apabila tempat tinggal semua pelakon di situ sudah tiada dan tiada tempat untuk mereka menyambut hari raya.
“Semua biskut raya dan baju raya bertaburan. Semua orang menangis walaupun esok hari raya. Justeru, setiap kali menyambut hari raya walaupun kejadian itu sudah berlalu 35 tahun, ia tetap dalam ingatan saya,” luahnya berbaur kesedihan yang mendalam.
Pak Ajis yang kini terpaksa berehat daripada berlakon selama dua bulan atas nasihat doktor selepas sebelum ini dimasukkan ke Hospital Ampang, Selangor selama 12 hari berharap akan kembali memeriahkan arena seni selepas tempoh berehatnya itu berakhir.
Tambahnya, kenangan di Studio Jalan Ampas tidak akan dapat dilupakan sampai bila-bila termasuk kejadian studio itu ditutup buat selama-lamanya.
“Bayangkan ketika itu suasana seolah-olah satu kampung dilanda banjir, habis jadi gelandangan, sedih betul kalau saya ingat balik,” ujarnya.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai persiapan hari raya pada tahun ini pula, ungkap Pak Ajis, ia akan disambut secara sederhana sahaja dan makanan wajib yang mesti ada di pagi raya adalah lontong.
“Saya suka lontong sebab dalam satu hidangan itu sudah ada macam-macam lauk termasuk rendang, itu adalah makanan wajib saya sekeluarga,” ujarnya yang akan menyambut hari raya di rumahnya di Ampang, Selangor.
kosmo
Jangan lupa studio Jalan Ampas
Pesanan buat anaknya, Melissa Saila supaya tidak melupakan warisan seni studio Jalan Ampas
STUDIO Jalan Ampas bukan sahaja meninggalkan nostalgia kepada Mariani, malah kepada penggemar filem-filem lama di negara ini.
Oleh MUHAMMAD AZRUL MOHD. RADI
30 Januari 2015
Setiap yang berlaku, pasti ada permulaan. Begitu juga dengan industri perfileman negara yang satu ketika dahulu, pernah mencapai zaman kegemilangan.
Studio Jalan Ampas, Singapura, menjadi saksi era kegemilangan filem-filem tempatan. Malah, generasi ketika itu ramai yang diangkat menjadi seniman dan seniwati kini.
Baru-baru ini, seniwati negara, Mariani berkunjung ke studio tersebut dan nyata, khazanah itu menyimpul seribu satu kenangan yang tidak dapat dilupakan.
Malah, Mariani atau lebih mesra disapa dengan nama Mummy memberitahu, saat dia menjejakkan kaki sahaja ke studio itu, dia sudah mula berasa sebak.
“Memang apa yang dirasakan ketika itu perasaan sebak yang sangat mendalam. Saya tidak tahu kenapa saya tiba-tiba berasa sayu. Ini bukan kali pertama saya menjejakkan kaki ke situ.
“Malah hampir setiap tahun saya datang ke Singapura bertemu rakan-rakan, sudah pasti akan dicuri sedikit masa untuk ke sini. Setiap kali menjejakkan kaki di situ, hati saya pasti sebak dan hiba mengenangkan zaman kegemilangan itu,” jelasnya.
Bagi Mummy, lokasi itu bukan sekadar sebuah studio, tetapi lebih daripada itu. Ia tempat berkarya, bermasyarakat dan bermacam lagi kerenah dilakukan di situ.
Malah, jelas Mummy, agak keterlaluan untuk dia katakan bahawa pada waktu itu, tiada kenangan pahit langsung sepanjang dia berada di studio Jalan Ampas.
Seniwati ini turut bersyukur kerana sepanjang dia berada di sana, Studio Jalan Ampas dipelihara dengan baik dan bertambah cantik kini.
“Sekarang sudah cantik. Bangunan dan isi dalam telah dipelihara dengan baik,” jelasnya.
Mengenang kembali zaman kegemilangan, jelas Mummy, dahulu pelakon dilayan dengan baik sehinggakan tidak perlu untuk mereka keluar daripada kawasan studio.
“Pernah sekali saya keluar daripada studio untuk membeli-belah di kawasan luar. Namun apa yang terjadi memang tidak dijangka.
“Bila saya sudah keluar dan kembali semula ke studio, pakaian saya habis koyak rabak dan kusut. Pihak studio bertanya kenapa.
“Apa yang terjadi sebenarnya, ketika saya keluar, masyarakat terkejut dengan kehadiran saya dan berpusu-pusu mengelilingi saya hingga hendak berjalan pun agak sukar,” jelasnya.
Setelah mengetahui tentang perkara itu, jelas Mariani, pihak studio akhirnya membuat keputusan untuk memanggil butik ke studio sekiranya ada yang ingin membeli belah atau sebagainya.
Sampai begitu sekali jelas Mariani penangan industri filem ketika itu. Sangat berpengaruh dan begitu gemilang sekali.
Kehadiran Mariani ke lokasi kenangan itu turut dihadiri oleh anaknya, Melissa Saila.
Menurut Melissa, dia sudah lama menyimpan hasrat untuk berkunjung ke Studio Jalan Ampas namun baru-baru ini barulah berpeluang.
“Saya memang hendak ke sana. Kebetulan, baru-baru ini kami berada di Singapura dan Mummy juga mahu pergi melawat Studio Jalan Ampas.
“Kehadiran saya sebenarnya adalah untuk mengambil semangat perjuangan filem penggiat seni kita terdahulu,” jelasnya.
Tambahnya, melihat sendiri kepayahan penggiat seni dahulu mengangkat karya seni negara ke peringkat yang tinggi adalah satu perjuangan yang tidak boleh dilupakan.
Sempat bertanya kepada Mummy, apa pesanan dia kepada Melissa, jelas seniwati itu, antara pesanannya, jangan sampai dilupakan kenangan, warisan dan perjuangan Studio Jalan Ampas.
Meneliti ke setiap sudut ruang di dalam kawasan Studio Jalan Ampas, jelas Mariani, dia sentiasa teringat rakan-rakan seperjuangannya dahulu.
“Dahulu ramai rakan, tetapi sekarang ramai juga yang sudah tiada. Satu persatu pergi mengadap Ilahi.
“Memang sedih apatah lagi kita melawat ke sebuah tempat yang menyimpan semua kenangan itu. Tetapi perlulah redha menerima kenyataan,” jelasnya.
Ditanya tidakkah ada perjumpaan generasi Studio Jalan Ampas yang ada kini untuk mengadakan lawatan ke tempat kenangan itu, jelas Mariani, buat masa ini tidak.
“Kami rakan-rakan yang pernah bekerja di Studio Jalan Ampas, tidak pernah terputus hubungan. Pemergian rakan-rakan membuatkan kami lebih rapat.
“Sebelum ini ada perancangan untuk pergi ke Studio Jalan Ampas bersama dengan rakan-rakan lain untuk meraikan sambutan kelahiran Allahyarham Datuk Mustapha Maarof,” jelasnya.
Namun, jelas Mariani, ia tidak kesampaian apabila Allah lebih menyayangi seniman itu yang akhirnya meninggalkan mereka terlebih dahulu.
“Selepas pemergian Allahyarham, rancangan itu dibatalkan dan sehingga kini, belum ada perancangan untuk melawat ke Studio Jalan Ampas beramai-ramai,” jelasnya.
Jelas Mariani, dia sedaya upaya mahu mengumpulkan semula generasi Studio Jalan Ampas tetapi apakan daya, kudratnya kini semakin dimamah usia.
“Generasi kami semuanya sudah berusia. Jadi kemampuan untuk ke hulu ke hilir juga semakin terhad.
“Apa yang saya harapkan, ada pihak yang boleh mengaturkan perjumpaan generasi Studio Jalan Ampas di sana dan itu pasti akan menjadi sesuatu yang bermakna,” jelasnya.
utusan online
Comments
Post a Comment