25 Feb 2017

Throne of Thorns

Throne of Thorns versi Melayu


Membariskan pelakon yang hebat.

SUDAH agak lama kita tidak menonton persembahan teater arahan pengarah berbakat Norzizi Zulkifli. Namun kerinduan penonton bakal terubat apabila dia kembali dengan buah tangan baharu berjudul Throne of Thorns pada 16 hingga 19 Februari ini.

Teater yang bakal dipentaskan di Panggung Eksperimen Akademi Seni dan Warisan (Aswara) itu merupakan naskah pertama Norzizi selepas pulang dari pengajiannya di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Wollongong, Australia.

Menariknya, teater kontemporari ini mengadunkan teknik persembahan berasaskan teater tradisional Melayu dan diadunkan dengan karya Barat terkenal, Shakespeare berjudul The Tempest.

"Saya sangat teruja dengan pementasan kali ini kerana ini adalah kali pertama berpeluang untuk mempersembahkan Throne of Thorns yang merupakan projek akhir PhD di tanah air sendiri.

“Mungkin suasananya berbeza apabila mementaskan naskhah teater yang sama ketika berada di luar negara dan dalam negara sendiri. Tapi saya tidak kisah, asalkan pengisian teater itu dapat dikongsi bersama dengan masyarakat di Malaysia dan ini memang menjadi impian saya sejak beberapa tahun yang lalu,” kata Norzizi penuh teruja.

Sebelum ini, teater yang sama pernah dipentaskan pada 25 hingga 28 Februari 2015 itu dengan kerjasama 10 orang pelakon dan dua pemuzik berasal dari negara kanggaru itu.

Kesemua barisan pelakon yang menjayakan teater ini merupakan Graduan Seni Persembahan dari Sekolah Seni, Inggeris dan Media dari Fakulti Undang-Undang, Kemanusiaan dan Seni dari universiti yang sama.

Antaranya Catherine McNamara, Natalie Wilson, Toni-Lea Porter, Lauren Bacon, Luke Standish, Georgia Broderick, Adrian Tolhurst, Daniel Hills, Tahlee Leeson dan Heather Riley.

Istimewa

Berhubung keistimewaan Throne of Thorns, Norzizi memberitahu dia akan mengangkat latar belakang budaya dan persembahan teknik teater tradisional Melayu seperti Mak Yong dan Dikir Barat.

Mudah kata, Throne of Thorns versi Melayu yang bakal berlangsung itu nanti merupakan gabungan antara versi tempatan dan moden yang disesuaikan mengikut selera tempatan.

Bagi menyuntik elemen Kemelayuan, Norzizi memilih aktivis teater yang merupakan pasangan suami isteri, Zamzuriah Zahari dan Baisah Husin bersama barisan pelakon yang ‘diimport’ dari Australia itu.

Pasangan itu pernah bergandingan bersama dalam teater Usikan Rebab yang turut menyaksikan Norzizi memenangi Pengarah Terbaik dalam Anugerah Seni Cameronian 2013.

“Saya yakin dengan kemampuan lakonan pasangan suami ini yang boleh menyuntik kelainan untuk Throne of Thorns versi Melayu ketika pementasan itu nanti. Mereka ada sesuatu yang saya nampak terutama dari segi interpretasi pergerakan orang Melayu,” kata Norzizi lagi.

Teater ini turut dibantu oleh Kraig Grady, seorang komposer dan pemuzik profesional yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan telah menetap di Australia.

Selain itu, Azizul Zahid Jamal yang juga pereka tatacahaya, Bayu Utomo Radjikin (pereka set dan kostum) serta dibantu Fahillul Adam sebagai juru tunjuk gerak.

Tiket boleh didapati di Aswara dengan harga RM20 dan RM10. Segala pertanyaan boleh hubungi di talian 03-2697 1777, 03-2697 5916, 03-26975924 5513 atau e-mel info@aswara.edu.my.

Sinopsis

Teater ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Kapal Karam (The Shipwreck), Rahsia Tersembunyi (The Hidden Secret), Kuasa (The Power of The Master), Konspirasi (The Conspiracy), Rancangan (The Planning), Kuasa Cinta (The Magic of Love) dan Perdamaian (The Revelation).

Ia mengisahkan Prospera (Raja) yang telah kehilangan kuasa dan takhta setelah dirampas oleh Antonio yang merupakan saudara kandungnya. Disebabkan itu, dia telah melarikan diri ke sebuah pulau. Berang dengan tindakan adiknya, Prospero merancang untuk tenggelamkan kapal Antonio. Dalam masa yang sama, Miranda yang merupakan anak kepada Prospero merayu ayahnya untuk membantu rakyat yang berada di atas kapal.

utusanonline


Teater Throne of Thorns: Naskhah Shakespeare bernafas Mak Yong
Israr Khalid
18 Februari 2017

Dipentaskan di PuTRA Aswara bermula 17 hingga 19 Februari, teater kontemporari ini merupakan sebahagian daripada projek akhir pengajian Norzizi berdasarkan naskhah The Tempest karya William Shakespeare. Astro AWANI / Israr Khalid

PERIHAL perebutan kuasa, hasad dengki, pergaduhan adik-beradik sering kita temui dalam cerita-cerita Melayu, dari dulu hingga kini.

Namun sebenarnya ia bukan perkara yang terlitup dalam ruang alam Melayu sahaja, perihal-perihal itu juga wujud dalam mana-mana peradaban manusia yang bermasyarakat di atas muka bumi ini.

Menyedari hakikat itu, Norzizi Zulkifli mengangkat isu tersebut sebagai kajian utama dalam pengajian Doktor Falsafah (PhD) beliau di University of Wollongong, Australia dan kini pulang selepas menamatkan pengajiannya di sana dengan membawa buah tangan terbaharu bertajuk ‘Throne of Thorns.’

Dipentaskan di Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bermula 17 hingga 19 Februari, teater kontemporari ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada projek akhir pengajian Norzizi yang berdasarkan naskhah ‘The Tempest’ karya William Shakespeare.

Kata Norzizi, beliau mendapati isu yang diangkat dalam karya legenda teater Inggeris itu banyak persamaan dengan dunia Melayu dan dikiranya wajar untuk diadunkan bersama.


Isu yang diangkat dalam karya legenda teater Inggeris itu banyak persamaan dengan dunia Melayu.

“Kita manusia berbeza agama, budaya dan sebagainya tetapi kita cuba mencari titik temu. Dalam ketidaksamaan, kita sebenarnya sama,” jelas Norzizi.

Kesamaan yang dilihat Norzizi itu diterjemah dengan menyuntik naskhah Barat itu dengan seni persembahan pentas tradisional yang dicintainya iaitu Mak Yong.

Teater itu kali pertama dipentaskan pada 25 hingga 28 Februari 2015 dengan dibarisi 10 pelakon yang merupakan graduan Seni Persembahan dan Sekolah Seni, Inggeris dan Media dari Fakulti Undang-Undang, Kemanusiaan dan Seni universiti tersebut.

Menyaksikan ‘orang putih’ bertari lenggok Mak Yong dan melafaz ‘ala awe’ dan ‘iyo lah’, sememangnya satu persembahan yang menarik untuk ditonton.

Pengalaman belajar dan bekerja dengan barisan pelakon dan kru Australia banyak mengajar Norzizi ilmu baru dalam dunia teater.

Cerita Norzizi, proses ‘meMelayukan’ pelakon Australia bukan satu tugas mudah, menyifatkannya cabaran terbesar dalam mementaskan ‘Throne of Thorns.’

“Di Australia dulu kami berlatih hampir enam bulan, dari seminggu sekali hinggalah lima hari seminggu. Proses melatih gerak dan postur tubuh Melayu, kerana saya mengolah naskhah ini berdasarkan Mak Yong, paling penting adalah pada gerak jari. Memang susah, tapi Alhamdulillah segalanya lancar.

“Mereka sangat suka sebenarnya. Mereka hendak berkolaborasi dengan saya sebab tertarik dengan perbezaan budaya. Pada mereka, teater Barat itu sudah biasa dan ini merupakan sesuatu yang baru.”

Pengalaman belajar dan bekerja dengan barisan pelakon dan kru Australia banyak mengajarnya ilmu baru dalam dunia teater.

Bagaimanapun beliau menegaskan, teater tempatan sebenarnya tidak jauh ketinggalan daripada mereka di Australia mahupun di Barat.

“Cuma (dari segi) kualiti, seperti disiplin tinggi, peruntukan dan terutamanya usaha kajian naskhah, kita masih kurang. Mereka melakukan banyak kajian, dan saya lihat itu yang membantu mematangkan proses menterjemah naskhah.

“Selalunya kita di sini, tugas mendalami naskhah terletak pada bahu pengarah dan pelakon sahaja. Tetapi jika keseluruhan produksi turut melakukan kajian terhadap sesebuah karya. itu saya rasa ia akan menjadi lebih baik.”

Norzizi menegaskan, teater tempatan sebenarnya tidak jauh ketinggalan daripada mereka di Australia mahupun di Barat.

Sementara itu bagi teraju utama, Catherine McNamara yang memegang peranan ‘Raja’, mengakui teruja untuk berpentas di hadapan khalayak Malaysia.

Jelasnya, ini merupakan pengalaman teaternya yang pertama disuntik dengan elemen yang disifatnya ‘berlainan dan baru’ berbanding kerja-kerjanya sebelum ini.

“Saya mendapati ini sangat penting dalam pembangunan saya kerana mengajar saya untuk lebih disiplin dan membuka minda kepada budaya lain, belajar bahasa baru.

“Bekerja dengan Norzizi bersama University of Wollongong memang mengujakan dan hebat. Saya rasa istimewa untuk dapat terlibat dalam produksi ini, banyak saya belajar.”
Antara lain yang turut membintangi teater ini adalah Natalie Wilson, Toni-Lea Porter, Lauren Bacon, Luke Standish, Georgia Broderick, Adrian Tolhurst, Daniel Hills, Tahlee Leeson dan Heather Riley.

Selain barisan pelakon dan tenaga produksi daripada universiti tersebut, pementasan ini turut disempurnakan dengan penampilan bintang Mak Yong negara Zamzuriah Zahari dan suaminya Baishah Husin sebagai pemain rebab.

‘Throne of Thorns’ mengisahkan Raja (Prospero), pemerintah negeri Inderapura dirampas takhta oleh adiknya Tamak (Antonio) lalu dibuang ke sebuah pulau.

Berang dan ingin membalas dendam, Raja menggunakan kuasa saktinya untuk menenggelamkan kapal dinaiki adiknya yang sedang berlayar di laut, lalu terdampar ke pulau itu, membolehkan dua beradik itu kembali bersemuka dan membuat perhitungan.

Tiket boleh didapati di Aswara dengan harga RM20 dan RM10, manakala untuk tempahan atau sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian 03-2697 1777, 03-2697 5916, 03-26975924 5513 atau e-mel info@aswara.edu.my.

astroawani



'Throne of Thorns' Cabar Kemampuan Zizi Zulkifli
5 Februari 2017
Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK

Teater Throne of Thorns arahan Zizi bakal dipersembahkan pada 17 hingga 19 Februari ini di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bermula pukul 8.30 malam.

PETALING JAYA: Usaha mengangkat budaya Melayu menerusi persembahan teater Inggeris ternyata mencabar kemampuan pelakon dan pengarah, Zizi Zulkifli.

Menurut Zizi, pementasan teater Throne of Thorns yang menggarapkan elemen persembahan makyong dan diadun dengan karya Barat - The Tampest milik William Shakespeare bakal memberi nafas baharu kepada persembahan teater tradisional.

“Mengarahkan teater tradisional Melayu yang dilakonkan oleh orang Melayu sendiri adalah perkara yang biasa.

"Namun menjayakan persembahan teater kontemporari dengan teknik teater tradisional Melayu dan dilakonkan oleh orang asing benar-benar mencabar.

“Menerusi Throne of Thorns para pelakon perlu melakukan pergerakan tari Melayu dan bercakap dalam lenggok makyong,” katanya kepada mStar Online.

Throne of Thorns angkat budaya Melayu.

Teater Throne of Thorns arahan Zizi bakal dipersembahkan pada 17 hingga 19 Februari ini di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bermula pukul 8.30 malam.

Throne of Thorns merupakan projek teater yang dipentaskan Zizi sewaktu menyelesaikan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Produksi Teater di Universiti Of Wollongong, Sydney.

Kali pertama ia dipentaskan ialah pada 2015 di Australia dan dilakonkan oleh 10 orang pelakon dari negara itu sendiri.

“Untuk persembahan kali ini saya ingin tampilkan sedikit kelainan iaitu dengan menampilkan dua pelakon Melayu iaitu Zamzuriah Zahari dan Baisah Husin sebagai pemuzik,” kata Zizi.

Jelas Zizi 10 pelakon Australia itu akan tiba di Kuala Lumpur pada Isnin dan mereka mempunyai masa selama 10 hari untuk berlatih.

Antara babak menarik.

“Mereka sudah mula berlatih secara berperingkat sejak November lalu dan dalam tempoh itu saya melakukan pemantauan secara online sahaja.

“Jadi dalam masa 10 hari selepas mereka tiba nanti, semua tenaga produksi akan mula melakukan persiapan.

“Sebagai pengarah saya perlu melakukan penambahbaikan selepas semua pelakon bergabung untuk disesuaikan dengan selera dan pemahaman penonton tempatan di sini,” katanya.

Teater ini akan dipersembahkan oleh Pusat Seni Tradisional Pentas (Putra) dan mendapat sokongan daripada Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM Shah Alam dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham).

Tiket yang dijual pada harga RM20 dan RM10 bagi pelajar boleh dibeli di Aswara.

mstar

24 Feb 2017

Alfatihah Rohani Yusoff

 Al Fatihah



 Al fatihah.. My lecture, pendidik yg tegas dan jujur, sentiasa memberikn komen yg jujur. Tokoh teater, sentiasa memberi nasihat dan membimbing aman ketika di aswara. Dh hbis blaja pun kami still keep in touch. My planning nk sambung master dan dibimbing oleh dia. Tapi sayangnya Allah lebih syg kn nya. Dpt tgk dia di hosp dan akhirnya dia pergi jua menghadap ilahi. Moga guruku di tmptkn bersama org2 yg beriman. To Sofia Jaafar be strong . Ur mom such a good women and good teacher. I miss rohani yusoff so much. Tq kerna menjadi pendidik kami.

sumber fb aman nassim


 ROHANI YOUSOFF

Dialah pelakon teater saya ini
Dialah terjemahkan naskah ini ke Inggeris
Sekarang dia telah dijemput Allah
Kembali ke Alam Abadi
Tentu Allah sediakan tempat terbaik
Untuk dia di sana - di Taman Syurgawi
Selamat berhijrah Rohani Yousoff
Dan sabar dan tabahlah anakanda Sofia Jaafar
Saat ini, itu sangatlah diperlukan
Uncle tahu kekuatan itu ada dalam dirimu Sofia
Kamu pasti kuat melalui saat duka ini





fb shamsudin osman


Aktivis teater Rohani Yusof kritikal akibat strok

SAHARUDIN MUSTHAFA

21 Februari 2017



KUALA LUMPUR 21 Feb. - Aktivis teater terkenal, Rohani Yusof kini berada dalam keadaan kritikal di unit rawatan rapi (ICU) Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di sini akibat diserang strok.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Malaysia Terengganu dimasukkan ke PPUM pada Jumaat lalu.

Menurut anaknya, Sofia Jaafar, ibunya yang berusia 68 tahun kini sedang dipantau secara rapi oleh doktor.

"Ibu saya berada dalam keadaan kritikal. Doktor mengesahkan beliau mengalami strok," kata Sofia kepada Utusan Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Sofia berkata, sehari sebelum kejadian, Rohani sepatutnya berada di Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) kerana ada tugasan, bagaimanapun, keadaan ibunya sangat lemah pada hari berkenaan.

"Pada hari Jumaat ibu semakin lemah dan saya membuat keputusan untuk merujuk ibu ke PPUM. Selepas pemeriksaan doktor mendapati ibu mengalami strok dan keadaannya semakin kritikal pada saat ini. Ibu juga kini bergantung pada bantuan pernafasan," ujar Sofia lagi.

Rohani yang juga ibu saudara kepada aktres Ida Nerina merupakan pengarah teater yang disegani seangkatan dengan tokoh-tokoh ternama lain seperti Tan Sri Johan Jaaffar, Datuk Rahim Razali dan Datuk Faridah Merican. - UTUSAN ONLINE

utusanonline


6 Feb 2017

pulau terbuang

Thengar Char pulau terbuang


“JIKA pelarian etnik Islam Rohingya benar-benar ditempatkan di Pulau Thengar Char yang terpencil itu, ia adalah satu perbuatan yang teruk serta tidak masuk akal,” ujar seorang lelaki yang tidak didedahkan identitinya kepada stesen berita Amerika Syarikat, Cable News Network (CNN), Selasa lalu.

Tambah sumber itu lagi, keadaan pulau itu yang jauh dari pekan-pekan kecil selain sering dilanda banjir menyebabkan ia bukanlah tempat tinggal yang sesuai buat manusia.

Pada Oktober tahun lalu, seramai 69,000 pelarian etnik Islam Rohingya melarikan diri dari keganasan yang berlaku di Rakhine, barat Myanmar ke Dhaka, Bangladesh. Mereka menetap di kem-kem pelarian selepas tidak diakui sebagai rakyat Myanmar.

Mengharap kasih di bumi orang, pelarian etnik Islam Rohingya itu juga tidak diterima di Bangladesh kerana kerajaanya bimbang ketenteraman akan tergugat apabila golongan pelarian itu bergaul dengan masyarakat tempatan.

Minggu lalu, kerajaan Bangladesh memberitahu, mereka bercadang untuk menempatkan kumpulan etnik Islam Rohingya itu di sebuah pulau yang dikenali sebagai Thengar Char.

Bangladesh pertama kali mengusulkan untuk menghantar kumpulan pelarian etnik Islam Rohingya ke Pulau Thengar Char yang dibanjiri air laut ketika air pasang sekali gus mencetuskan kemarahan kumpulan hak asasi manusia pada tahun 2015.

Berita itu menimbulkan rasa marah dalam kalangan orang ramai kerana pulau penuh becak itu cukup terasing dari dunia luar, malah ia sering dilanda banjir teruk lebih-lebih lagi pada musim hujan.

Etnik Islam Rohingya yang disifatkan sebagai golongan paling teraniaya di dunia itu berdepan ‘pengasingan’ apabila bakal dihantar untuk menjalani kehidupan di pulau terpencil itu.

Thengar Char

Pulau Thengar Char terletak sejauh 60 kilometer dari ibu negara Bangladesh, Dhaka dan merupakan sebuah pulau yang dipenuhi paya.

Dalam bahasa Sanskrit, ‘Thengar’ bermaksud sejenis kayu, manakala ‘Char’ pula bermaksud kepelbagaian.



SEORANG pelarian dilihat sedang menangis dan memujuk penguat kuasa Bangladesh supaya tidak menghantarnya pulang ke Myanmar.

Menurut sejarah, ia merupakan sebuah pulau baharu dan terbentuk di kawasan Teluk Benggala berdekatan Pulau Hatiya kira-kira lapan tahun lalu.

Memiliki keluasan sekitar 30,000 hektar, ia secara rasminya tidak berpenghuni ekoran keadaannya yang tidak selamat untuk diduduki.

Menurut seorang pegawai perhutanan Dhaka, Amir Hossain Chowdhury, Thengar Char langsung tidak memiliki sistem kawalan banjir mahu pun jalan raya.

“Biarpun satu per tiga daripada tanahnya sudah ditanam dengan pokok-pokok bakau sebagai benteng semula jadi yang baik, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya 10 tahun untuk tumbuh dan buat masa ini, ia masih tidak selamat untuk dihuni.

“Menempatkan mereka di sana seperti ‘membuang’ golongan tersebut,” katanya.

Selain itu, pulau tersebut juga dikatakan amat sukar untuk dijejaki sepanjang tahun. Lokasinya juga tidak dilabelkan dalam kebanyakan peta dunia, menyebabkan ia dikenali sebagai pulau terbuang oleh masyarakat tempatan.

Lebih buruk lagi, Thengar Char akan tenggelam serta-merta setiap kali dilanda ribut taufan. Tanahnya juga telah terhakis sejak beberapa tahun lepas dan ia memerlukan sekurang-kurangnya lima tahun untuk pulih dan kembali stabil.

Pihak polis di Pulau Hatiya yang merupakan pulau paling hampir dengan Thengar Char juga memberitahu, proses memindahkan begitu ramai pelarian Rohingya ke sana juga sukar dan tiada jaminan mereka akan selamat tiba ke destinasi memandangkan pulau itu mudah tenggelam.

Menurut wakil agensi pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Dhaka, Stina Ljungdell, golongan pelarian itu tidak menyambut baik cadangan penempatan mereka ke Thengar Char kerana tidak diberitahu tentang tempat tinggal mereka di sana.

“Kerajaan Bangladesh tidak memaklumkan secara terperinci di manakah penempatan mereka di Thengar Char sekiranya mereka benar-benar ditempatkan di sana kelak,” ujarnya.

Penuh sengsara

Tiada sesiapa pun dapat membayangkan keperitan hidup sebagai pelarian Rohingya. Biarpun sudah menetap di Myanmar begitu lama, golongan itu tidak dianggap sebagai warganegara dan perkampungan mereka di Myanmar dibakar tentera tanpa belas kasihan.


PERKAMPUNGAN etnik Muslim Rohingya yang dibakar tentera Myanmar di daerah Rakhine.

Zafor Alam yang merupakan seorang pelarian Rohingya kini hidup sebatang kara selepas kehilangan kedua-dua ibu bapa, isteri serta dua orang anak lelakinya yang mati lemas selepas bot yang dinaiki mereka dari Myanmar menuju ke Bangladesh tenggelam Disember tahun lalu.

“Saya cukup sedih setiap kali memikirkan insiden tersebut.

“Saya sudah tiada sesiapa lagi dalam dunia dan terpaksa melalui hidup begini (sebagai pelarian). Kadangkala saya fikir lebih baik mati sahaja,” ujar Zafor.

Sitara Begum, 21, pula terpaksa melarikan diri selepas suaminya dibunuh di depan matanya sendiri.

“Suami saya dibunuh oleh tentera kerajaan Myanmar dan saya bersama dua anak terpaksa lari menyelamatkan diri. Saya benar-benar tidak mahu mengingati insiden tersebut,” ujarnya yang kini menetap di kem pelarian di Cox Bazar, Bangladesh.

Penganut agama Buddha di Myanmar menganggap lebih satu juta pelarian etnik Muslim Rohingya sebagai pendatang tanpa izin dari Bangladesh, biarpun mereka sudah begitu lama menetap di Myanmar.

Golongan tentera Myanmar mengambil langkah mengusir etnik Islam Rohingya dari negara itu bagi tujuan ‘pembersihan etnik’. Kerakyatan mereka tidak diakui di kedua-dua negara menyebabkan mereka kini hidup terpinggir di kem-kem pelarian di Bangladesh.

kosmo

3 Feb 2017

Surat Ali Imran 190 - 200

SURAT ALI IMRAN AYAT 190-200




إِنَّ فِيْ خَلْقِ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِ وَاخْتِلَافِ الَّيْلِ وَالنَّهَارِ لَاٰيٰتٍ لِّأُولِى الْأَلْبَابِ ۙ١٩٠
190. Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi, dan pergantian malam dan siang terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang berakal,

اَلَّذِيْنَ يَذْكُرُوْنَ اللّٰهَ قِيَامًا وَّقُعُوْدًا وَّعَلٰى جُنُوْبِهِمْ وَيَتَفَكَّرُوْنَ فِيْ خَلْقِ السَّمٰوٰتِ وَالْأَرْضِۚ رَبَّنَا مَا خَلَقْتَ هٰذَا بَاطِلًاۚ سُبْحٰنَكَ فَقِنَا عَذَابَ النَّارِ ١٩١
191. (iaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri, duduk atau dalam keadaan berbaring, dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata), "Ya Tuhan kami, tidaklah Engkau menciptakan semua ini sia-sia; Maha Suci Engkau, lindungilah kami dari azab neraka.

رَبَّنَا إِنَّكَ مَنْ تُدْخِلِ النَّارَ فَقَدْ أَخْزَيْتَهٗۗ وَمَا لِلظّٰلِمِيْنَ مِنْ أَنْصَارٍ ١٩٢
192. Ya Tuhan kami, sesungguhnya orang yang Engkau masukkan ke dalam neraka, Engkau telah menghinakannya, dan tidak ada seorang penolong pun bagi orang yang zalim.

رَبَّنَا إِنَّنَا سَمِعْنَا مُنَادِيًا يُّنَادِيْ لِلْإِيْمَانِ أَنْ اٰمِنُوْا بِرَبِّكُمْ فَاٰمَنَّاۖ رَبَّنَا فَاغْفِرْ لَنَا ذُنُوْبَنَا وَكَفِّرْ عَنَّا سَيِّاٰتِنَا وَتَوَفَّنَا مَعَ الْأَبْرَارِ ۚ١٩٣
193. Ya Tuhan kami, sesungguhnya kami mendengar orang yang menyeru kepada iman, (iaitu), "Berimanlah kamu kepada Tuhanmu," maka kami pun beriman. Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan hapuslah kesalahan-kesalahan kami, dan matikanlah kami beserta orang-orang yang berbakti.

رَبَّنَا وَاٰتِنَا مَا وَعَدْتَّنَا عَلٰى رُسُلِكَ وَلَا تُخْزِنَا يَوْمَ الْقِيٰمَةِۗ إِنَّكَ لَا تُخْلِفُ الْمِيْعَادَ ١٩٤
194. Ya Tuhan kami, berilah kami apa yang telah Engkau janjikan kepada kami melalui rasul-rasul-Mu. Dan janganlah Engkau hinakan kami pada hari Kiamat. Sungguh, Engkau tidak pernah mengingkari janji."

فَاسْتَجَابَ لَهُمْ رَبُّهُمْ أَنِّيْ لَا أُضِيْعُ عَمَلَ عَامِلٍ مِّنْكُمْ مِّنْ ذَكَرٍ أَوْ أُنْثٰىۚ بَعْضُكُمْ مِّنْ بَعْضٍۚ فَالَّذِيْنَ هَاجَرُوْا وَأُخْرِجُوْا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأُوْذُوْا فِيْ سَبِيْلِيْ وَقٰتَلُوْا وَقُتِلُوْا لَأُكَفِّرَنَّ عَنْهُمْ سَيِّاٰتِهِمْ وَلَأُدْخِلَنَّهُمْ جَنّٰتٍ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُۚ ثَوَابًا مِّنْ عِنْدِ اللّٰهِۗ وَاللّٰهُ عِنْدَهٗ حُسْنُ الثَّوَابِ ١٩٥
195. Maka Tuhan mereka memperkenankan permohonannya (dengan berfirman), "Sesungguhnya Aku tidak menyia-nyiakan amal orang yang beramal di antara kamu, baik laki-laki maupun perempuan, (karena) sebagian kamu adalah (keturunan) dari sebagian yang lain.-* Maka orang yang berhijrah, yang diusir dari kampung halamannya, yang disakiti pada jalan-Ku, yang berperang dan yang terbunuh, pasti akan Aku hapus kesalahan mereka dan pasti Aku masukkan mereka ke dalam surga-surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, sebagai pahala dari Allah. Dan di sisi Allah ada pahala yang baik."

لَا يَغُرَّنَّكَ تَقَلُّبُ الَّذِيْنَ كَفَرُوْا فِى الْبِلَادِ ۗ١٩٦
196. Jangan sekali-kali kamu terperdaya oleh kegiatan orang-orang kafir (yang bergerak) di seluruh negeri.

مَتَاعٌ قَلِيْلٌۗ ثُمَّ مَأْوٰهُمْ جَهَنَّمُۗ وَبِئْسَ الْمِهَادُ ١٩٧
197. Itu hanyalah kesenangan sementara, kemudian tempat kembali mereka ialah neraka Jahanam. (Jahanam) itu seburuk-buruk tempat tinggal.

لٰكِنِ الَّذِيْنَ اتَّقَوْا رَبَّهُمْ لَهُمْ جَنّٰتٌ تَجْرِيْ مِنْ تَحْتِهَا الْأَنْهٰرُ خٰلِدِيْنَ فِيْهَا نُزُلًا مِّنْ عِنْدِ اللّٰهِۗ وَمَا عِنْدَ اللّٰهِ خَيْرٌ لِّلْأَبْرَارِ ١٩٨
198. Tetapi orang-orang yang bertakwa kepada Tuhannya, mereka akan mendapatkan surga-surga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya sebagai karunia dari Allah. Dan apa yang di sisi Allah lebih baik bagi orang-orang yang berbakti.

وَإِنَّ مِنْ أَهْلِ الْكِتٰبِ لَمَنْ يُّؤْمِنُ بِاللّٰهِ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْكُمْ وَمَا أُنْزِلَ إِلَيْهِمْ خٰشِعِيْنَ لِلّٰهِۙ لَا يَشْتَرُوْنَ بِاٰيٰتِ اللّٰهِ ثَمَنًا قَلِيْلًاۗ أُولٰئِكَ لَهُمْ أَجْرُهُمْ عِنْدَ رَبِّهِمْۗ إِنَّ اللّٰهَ سَرِيْعُ الْحِسَابِ ١٩٩
199. Dan sesungguhnya di antara Ahli Kitab ada yang beriman kepada Allah, dan kepada apa yang diturunkan kepada kamu, dan yang diturunkan kepada mereka, karena mereka berendah hati kepada Allah, dan mereka tidak memperjualbelikan ayat-ayat Allah dengan harga murah. Mereka memperoleh pahala di sisi Tuhannya. Sungguh, Allah sangat cepat perhitungan-Nya.

يٰأَيُّهَا الَّذِيْنَ اٰمَنُوا اصْبِرُوْا وَصَابِرُوْا وَرَابِطُوْاۗ وَاتَّقُوا اللّٰهَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُوْنَ ؑ٢٠٠
200. Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap-siaga (di perbatasan negerimu) dan bertakwalah kepada Allah agar kamu beruntung.

selepas ayah dan ibu tiada ...

TAJUK: KESAN KEBAIKAN SELEPAS KEMATIAN IBUBAPA
Tulisan Dr Abu Anas Madani



Anda sayang ibubapa sila baca dan bertindak sekarang.
Berikut adalah Ringkasan Perkongsian berkaitan dengan Ibu Bapa.
Untuk isi yang lebih padat sila dengar alunan suara dalam Video yang lebih menyentuh hati sanubari...
Oleh: Prof Syeikh Dr. Mohammad bin Mohammad El-Shanqiti.
Guru di Masjid Nabawi & Univ. Islam Madinah.

Rumusan terjemahan antara pesanannya:-
1- Kebaikan yang dilakukan kepada ibubapa selepas kematiannya adalah merupakan kebaikan yang terbaik kerana sedikit sebanyak boleh terhindar daripada sifat riak, tidak ikhlas, ingin menunjuk-nunjuk, atau mendapat pujian ibubapa dan sebagainya.

2- Kebaikan yang kita lakukan selepas kematiannya hanya menjadi rahsia di antara kita dan Allah s.w.t. Setelah ibubapa kita berada dalam alam barzakh maka mereka tidak lagi melihat apa yang kita lakukan.

3- Para arwah ibubapa yang telah meninggal dunia amat mengharapkan kebaikan-kebaikan yang dilakukan oleh anak-anak mereka kerana ianya akan memberi kesan yang amat baik pada kehidupan mereka di alam kubur sekalipun ibubapa mereka adalah dari kalangan orang yang soleh. Jika mereka orang yang soleh akan berpindah ketempat yang lebih baik dan sebaliknya.

4- Berapa ramai ibubapa yang telah meninggal dunia keadaan kubur mereka gelap dan sempit telah bertukar menjadi lebih baik kehidupannya di alam kubur tersebut. Begitu juga berapa ramai kubur ibubapa mereka yang bercahaya dan luas telah bertukar menjadi lebih baik di sebabkan oleh doa- doa dan kebaikan yang dilakukan oleh anak-anaknya selepas kematiannya.

5- Ingatlah jasa dan bakti ibubapa kita semasa mereka masih hidup. Jangan kamu lupa..!! Kadang-kadang mereka memperuntukkan banyak masa untuk kita kerana ingin menyediakan yang terbaik untuk kita. Sebagai contoh:-
a-Berapa lamakah masa yang mereka habis untuk mencari nafkah untuk kita?
b-Berapa lamakah juga masa ibu menyediakan makanan dan masakan untuk kita?
c-Begitu juga dari segi mendidik, menjaga waktu kecil, dan sebagainya.

6- Kesimpulannya, antara kebaikan-kebaikan yang lain yang perlu dilakukan oleh anak-anak selepas kematiannya seperti bersedekah bagi pihaknya, sentiasa berdoa setiap masa dan ketika terutama ketika waktu solat malam, waktu sujud, waktu antara azan dan iqamah. Maka jangan kamu lupa doa mereka pada waktu ini.

Berkata setengah ulamak salaf:
"Barang siapa yang solat kemudian berdoa kepada kedua ibubapanya maka dia telah bersyukur kepada Allah dan kepada kedua ibubapanya, dan sesiapa yang solat kemudian dia tidak lupa untuk mendoakan kedua ibubapanya maka dia telah bersyukur pada Allah pada solatnya dan ibubapanya telah bersyukur kepadanya kerana doanya itu.
Maka tidakkah kamu mengetahui bahawa Allah s.w.t telah menyatakan dalam Surah Al-Israq ayat 24 yang bermaksud: " Wahai Tuhanku...! Sayangilah kedua ibu bapaku sebagaimana mereka mengasuh ku sewaktu aku kecil".

Sekian ringkasan/ khulasah yang dapat saya kongsikan jika ada kesilapan mohon sahabat semua perbetulkan.
الله اعلم بالصواب
#Jazakallahukhaira Akhi Mohd Salman Idrus
[01-02-2017]

abuanasmadani

1 Feb 2017

jalani sendiri



jalani sendiri

musimpun terganti
waktupun terhenti
saat segalanya tak sebagai mula
saat segalanya tak semanis biasa
terfikir aku tentang hari itu
bagaimana kau akan sendiri menjalani
cantuman kenangan yang berterbangan
mengusik kalbu menerobos sunyi jiwa
apa lagi sabda yang akan kauungkap
segalanya bukan sebagai kau mahu
akan siapa pula memujuk batinmu
mengajakmu melihat tenteram
dari jendela waktu

katamu
akan jalani sendiri
segala apa terjadi
saat segalanya tak sebagai mula
saat segalanya tak semanis biasa
kan kauhabiskan sisa waktu
untuk sempurnakan
apa yang telah kita mulakan
tak sanggup melihat begitu
tak sanggup pula mendoakan
agar hari yang sepi begitu
aku jalani sendiri
bukan dirimu