Throne of Thorns

Throne of Thorns versi Melayu


Membariskan pelakon yang hebat.

SUDAH agak lama kita tidak menonton persembahan teater arahan pengarah berbakat Norzizi Zulkifli. Namun kerinduan penonton bakal terubat apabila dia kembali dengan buah tangan baharu berjudul Throne of Thorns pada 16 hingga 19 Februari ini.

Teater yang bakal dipentaskan di Panggung Eksperimen Akademi Seni dan Warisan (Aswara) itu merupakan naskah pertama Norzizi selepas pulang dari pengajiannya di peringkat ijazah doktor falsafah (PhD) dari Universiti Wollongong, Australia.

Menariknya, teater kontemporari ini mengadunkan teknik persembahan berasaskan teater tradisional Melayu dan diadunkan dengan karya Barat terkenal, Shakespeare berjudul The Tempest.

"Saya sangat teruja dengan pementasan kali ini kerana ini adalah kali pertama berpeluang untuk mempersembahkan Throne of Thorns yang merupakan projek akhir PhD di tanah air sendiri.

“Mungkin suasananya berbeza apabila mementaskan naskhah teater yang sama ketika berada di luar negara dan dalam negara sendiri. Tapi saya tidak kisah, asalkan pengisian teater itu dapat dikongsi bersama dengan masyarakat di Malaysia dan ini memang menjadi impian saya sejak beberapa tahun yang lalu,” kata Norzizi penuh teruja.

Sebelum ini, teater yang sama pernah dipentaskan pada 25 hingga 28 Februari 2015 itu dengan kerjasama 10 orang pelakon dan dua pemuzik berasal dari negara kanggaru itu.

Kesemua barisan pelakon yang menjayakan teater ini merupakan Graduan Seni Persembahan dari Sekolah Seni, Inggeris dan Media dari Fakulti Undang-Undang, Kemanusiaan dan Seni dari universiti yang sama.

Antaranya Catherine McNamara, Natalie Wilson, Toni-Lea Porter, Lauren Bacon, Luke Standish, Georgia Broderick, Adrian Tolhurst, Daniel Hills, Tahlee Leeson dan Heather Riley.

Istimewa

Berhubung keistimewaan Throne of Thorns, Norzizi memberitahu dia akan mengangkat latar belakang budaya dan persembahan teknik teater tradisional Melayu seperti Mak Yong dan Dikir Barat.

Mudah kata, Throne of Thorns versi Melayu yang bakal berlangsung itu nanti merupakan gabungan antara versi tempatan dan moden yang disesuaikan mengikut selera tempatan.

Bagi menyuntik elemen Kemelayuan, Norzizi memilih aktivis teater yang merupakan pasangan suami isteri, Zamzuriah Zahari dan Baisah Husin bersama barisan pelakon yang ‘diimport’ dari Australia itu.

Pasangan itu pernah bergandingan bersama dalam teater Usikan Rebab yang turut menyaksikan Norzizi memenangi Pengarah Terbaik dalam Anugerah Seni Cameronian 2013.

“Saya yakin dengan kemampuan lakonan pasangan suami ini yang boleh menyuntik kelainan untuk Throne of Thorns versi Melayu ketika pementasan itu nanti. Mereka ada sesuatu yang saya nampak terutama dari segi interpretasi pergerakan orang Melayu,” kata Norzizi lagi.

Teater ini turut dibantu oleh Kraig Grady, seorang komposer dan pemuzik profesional yang berasal dari Amerika Syarikat (AS) dan telah menetap di Australia.

Selain itu, Azizul Zahid Jamal yang juga pereka tatacahaya, Bayu Utomo Radjikin (pereka set dan kostum) serta dibantu Fahillul Adam sebagai juru tunjuk gerak.

Tiket boleh didapati di Aswara dengan harga RM20 dan RM10. Segala pertanyaan boleh hubungi di talian 03-2697 1777, 03-2697 5916, 03-26975924 5513 atau e-mel info@aswara.edu.my.

Sinopsis

Teater ini terbahagi kepada beberapa bahagian iaitu Kapal Karam (The Shipwreck), Rahsia Tersembunyi (The Hidden Secret), Kuasa (The Power of The Master), Konspirasi (The Conspiracy), Rancangan (The Planning), Kuasa Cinta (The Magic of Love) dan Perdamaian (The Revelation).

Ia mengisahkan Prospera (Raja) yang telah kehilangan kuasa dan takhta setelah dirampas oleh Antonio yang merupakan saudara kandungnya. Disebabkan itu, dia telah melarikan diri ke sebuah pulau. Berang dengan tindakan adiknya, Prospero merancang untuk tenggelamkan kapal Antonio. Dalam masa yang sama, Miranda yang merupakan anak kepada Prospero merayu ayahnya untuk membantu rakyat yang berada di atas kapal.

utusanonline


Teater Throne of Thorns: Naskhah Shakespeare bernafas Mak Yong
Israr Khalid
18 Februari 2017

Dipentaskan di PuTRA Aswara bermula 17 hingga 19 Februari, teater kontemporari ini merupakan sebahagian daripada projek akhir pengajian Norzizi berdasarkan naskhah The Tempest karya William Shakespeare. Astro AWANI / Israr Khalid

PERIHAL perebutan kuasa, hasad dengki, pergaduhan adik-beradik sering kita temui dalam cerita-cerita Melayu, dari dulu hingga kini.

Namun sebenarnya ia bukan perkara yang terlitup dalam ruang alam Melayu sahaja, perihal-perihal itu juga wujud dalam mana-mana peradaban manusia yang bermasyarakat di atas muka bumi ini.

Menyedari hakikat itu, Norzizi Zulkifli mengangkat isu tersebut sebagai kajian utama dalam pengajian Doktor Falsafah (PhD) beliau di University of Wollongong, Australia dan kini pulang selepas menamatkan pengajiannya di sana dengan membawa buah tangan terbaharu bertajuk ‘Throne of Thorns.’

Dipentaskan di Pusat Seni Pentas Tradisional (PuTRA) Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bermula 17 hingga 19 Februari, teater kontemporari ini sebenarnya merupakan sebahagian daripada projek akhir pengajian Norzizi yang berdasarkan naskhah ‘The Tempest’ karya William Shakespeare.

Kata Norzizi, beliau mendapati isu yang diangkat dalam karya legenda teater Inggeris itu banyak persamaan dengan dunia Melayu dan dikiranya wajar untuk diadunkan bersama.


Isu yang diangkat dalam karya legenda teater Inggeris itu banyak persamaan dengan dunia Melayu.

“Kita manusia berbeza agama, budaya dan sebagainya tetapi kita cuba mencari titik temu. Dalam ketidaksamaan, kita sebenarnya sama,” jelas Norzizi.

Kesamaan yang dilihat Norzizi itu diterjemah dengan menyuntik naskhah Barat itu dengan seni persembahan pentas tradisional yang dicintainya iaitu Mak Yong.

Teater itu kali pertama dipentaskan pada 25 hingga 28 Februari 2015 dengan dibarisi 10 pelakon yang merupakan graduan Seni Persembahan dan Sekolah Seni, Inggeris dan Media dari Fakulti Undang-Undang, Kemanusiaan dan Seni universiti tersebut.

Menyaksikan ‘orang putih’ bertari lenggok Mak Yong dan melafaz ‘ala awe’ dan ‘iyo lah’, sememangnya satu persembahan yang menarik untuk ditonton.

Pengalaman belajar dan bekerja dengan barisan pelakon dan kru Australia banyak mengajar Norzizi ilmu baru dalam dunia teater.

Cerita Norzizi, proses ‘meMelayukan’ pelakon Australia bukan satu tugas mudah, menyifatkannya cabaran terbesar dalam mementaskan ‘Throne of Thorns.’

“Di Australia dulu kami berlatih hampir enam bulan, dari seminggu sekali hinggalah lima hari seminggu. Proses melatih gerak dan postur tubuh Melayu, kerana saya mengolah naskhah ini berdasarkan Mak Yong, paling penting adalah pada gerak jari. Memang susah, tapi Alhamdulillah segalanya lancar.

“Mereka sangat suka sebenarnya. Mereka hendak berkolaborasi dengan saya sebab tertarik dengan perbezaan budaya. Pada mereka, teater Barat itu sudah biasa dan ini merupakan sesuatu yang baru.”

Pengalaman belajar dan bekerja dengan barisan pelakon dan kru Australia banyak mengajarnya ilmu baru dalam dunia teater.

Bagaimanapun beliau menegaskan, teater tempatan sebenarnya tidak jauh ketinggalan daripada mereka di Australia mahupun di Barat.

“Cuma (dari segi) kualiti, seperti disiplin tinggi, peruntukan dan terutamanya usaha kajian naskhah, kita masih kurang. Mereka melakukan banyak kajian, dan saya lihat itu yang membantu mematangkan proses menterjemah naskhah.

“Selalunya kita di sini, tugas mendalami naskhah terletak pada bahu pengarah dan pelakon sahaja. Tetapi jika keseluruhan produksi turut melakukan kajian terhadap sesebuah karya. itu saya rasa ia akan menjadi lebih baik.”

Norzizi menegaskan, teater tempatan sebenarnya tidak jauh ketinggalan daripada mereka di Australia mahupun di Barat.

Sementara itu bagi teraju utama, Catherine McNamara yang memegang peranan ‘Raja’, mengakui teruja untuk berpentas di hadapan khalayak Malaysia.

Jelasnya, ini merupakan pengalaman teaternya yang pertama disuntik dengan elemen yang disifatnya ‘berlainan dan baru’ berbanding kerja-kerjanya sebelum ini.

“Saya mendapati ini sangat penting dalam pembangunan saya kerana mengajar saya untuk lebih disiplin dan membuka minda kepada budaya lain, belajar bahasa baru.

“Bekerja dengan Norzizi bersama University of Wollongong memang mengujakan dan hebat. Saya rasa istimewa untuk dapat terlibat dalam produksi ini, banyak saya belajar.”
Antara lain yang turut membintangi teater ini adalah Natalie Wilson, Toni-Lea Porter, Lauren Bacon, Luke Standish, Georgia Broderick, Adrian Tolhurst, Daniel Hills, Tahlee Leeson dan Heather Riley.

Selain barisan pelakon dan tenaga produksi daripada universiti tersebut, pementasan ini turut disempurnakan dengan penampilan bintang Mak Yong negara Zamzuriah Zahari dan suaminya Baishah Husin sebagai pemain rebab.

‘Throne of Thorns’ mengisahkan Raja (Prospero), pemerintah negeri Inderapura dirampas takhta oleh adiknya Tamak (Antonio) lalu dibuang ke sebuah pulau.

Berang dan ingin membalas dendam, Raja menggunakan kuasa saktinya untuk menenggelamkan kapal dinaiki adiknya yang sedang berlayar di laut, lalu terdampar ke pulau itu, membolehkan dua beradik itu kembali bersemuka dan membuat perhitungan.

Tiket boleh didapati di Aswara dengan harga RM20 dan RM10, manakala untuk tempahan atau sebarang pertanyaan, boleh menghubungi talian 03-2697 1777, 03-2697 5916, 03-26975924 5513 atau e-mel info@aswara.edu.my.

astroawani



'Throne of Thorns' Cabar Kemampuan Zizi Zulkifli
5 Februari 2017
Oleh: ARIFFUDDIN ISHAK

Teater Throne of Thorns arahan Zizi bakal dipersembahkan pada 17 hingga 19 Februari ini di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bermula pukul 8.30 malam.

PETALING JAYA: Usaha mengangkat budaya Melayu menerusi persembahan teater Inggeris ternyata mencabar kemampuan pelakon dan pengarah, Zizi Zulkifli.

Menurut Zizi, pementasan teater Throne of Thorns yang menggarapkan elemen persembahan makyong dan diadun dengan karya Barat - The Tampest milik William Shakespeare bakal memberi nafas baharu kepada persembahan teater tradisional.

“Mengarahkan teater tradisional Melayu yang dilakonkan oleh orang Melayu sendiri adalah perkara yang biasa.

"Namun menjayakan persembahan teater kontemporari dengan teknik teater tradisional Melayu dan dilakonkan oleh orang asing benar-benar mencabar.

“Menerusi Throne of Thorns para pelakon perlu melakukan pergerakan tari Melayu dan bercakap dalam lenggok makyong,” katanya kepada mStar Online.

Throne of Thorns angkat budaya Melayu.

Teater Throne of Thorns arahan Zizi bakal dipersembahkan pada 17 hingga 19 Februari ini di Panggung Eksperimen Akademi Seni Budaya Dan Warisan Kebangsaan (Aswara) bermula pukul 8.30 malam.

Throne of Thorns merupakan projek teater yang dipentaskan Zizi sewaktu menyelesaikan pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Produksi Teater di Universiti Of Wollongong, Sydney.

Kali pertama ia dipentaskan ialah pada 2015 di Australia dan dilakonkan oleh 10 orang pelakon dari negara itu sendiri.

“Untuk persembahan kali ini saya ingin tampilkan sedikit kelainan iaitu dengan menampilkan dua pelakon Melayu iaitu Zamzuriah Zahari dan Baisah Husin sebagai pemuzik,” kata Zizi.

Jelas Zizi 10 pelakon Australia itu akan tiba di Kuala Lumpur pada Isnin dan mereka mempunyai masa selama 10 hari untuk berlatih.

Antara babak menarik.

“Mereka sudah mula berlatih secara berperingkat sejak November lalu dan dalam tempoh itu saya melakukan pemantauan secara online sahaja.

“Jadi dalam masa 10 hari selepas mereka tiba nanti, semua tenaga produksi akan mula melakukan persiapan.

“Sebagai pengarah saya perlu melakukan penambahbaikan selepas semua pelakon bergabung untuk disesuaikan dengan selera dan pemahaman penonton tempatan di sini,” katanya.

Teater ini akan dipersembahkan oleh Pusat Seni Tradisional Pentas (Putra) dan mendapat sokongan daripada Fakulti Filem, Teater dan Animasi, UiTM Shah Alam dan Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan Malaysia (Wham).

Tiket yang dijual pada harga RM20 dan RM10 bagi pelajar boleh dibeli di Aswara.

mstar

Comments