31 Jan 2017

inginku

  
inginku

ingin kutuliskan di sini
caraku mencintaimu
bagaimana kumemahami hatimu
menjadikanmu bahagian hidupku
sudikah kau membacanya lagi
atau segalanya tak bererti
tidak banyak yang kuperbuatkan
yang menjadi kebangaan hatimu
tiada pula menjadi penyebab bahagia
membaca semua itu..

ingin kutuliskan di sini
sebelum segala tersisa tiada
cintamu terlalu berharga bagi waktuku
kerana bahasa lembut matamu
 aku menjadi yang memintal sabar
kerana usap indah belai jemarimu
aku menjadi yang sentiasa mengerti
akan harga diri dan kepercayaan hati
segalanya amat bererti
dalam alur waktuku
cintamu menjadi kebangaan hatiku
penyebab bahagia
dan aku terlalu menyayangi
semua tentang dirimu

barangkali
terlalu kerdil aku
dalam luas laut cintamu
aku akan mencuba lagi
menulis hikayat cinta kita
kerana kutahu
satu saat nanti
kau bahagia membacanya
meskipun antara kita
ada yang tiada



 


29 Jan 2017

takkan habis ii





takkan habis ii

takkan habis kenangan
sejauhmana pun kau hilang
begitu bermain bercanda denganku
begitu jemari lembutmu menghitung sebakku
dan melepaskan dengan urai senyummu
terlalu banyak untuk kutulis tentangmu
terlalu banyak untuk kuungkap tentangmu
takkan habis cintaku

takkan habis kemanjaan
tersusun cerah antara kelopak mata dan pipi cerahmu
aku menghirup udara cinta
dari perkampungan kasih sayangmu
dari ungkap yang kauterbitkan
dari tutur yang kauaturkan
segalanya tentang bagaimana
kaumenjaga cinta itu
takkan habis cintaku

takkan habis warna pelangi
untuk kuukir corak dan rajah
bagaimana kau menduduki takhta hati
mencuri bintang-bintang dan melepaskannya
menjadi warna perjuanganku
kalaulah segalanya sudah terhenti
kaukan tetap semadi di sisi
takkan habis citramu
tak tahu kuungkap lagi....






takkan habis



takkan habis

takkan habis sejuta kata untuk menceritakan tentangmu
takkan habis sejuta rasa untuk meraih kasihmu
walaupun apa yang kau inginkan
aku selalu ada untukmu
kelak untuk apa kau ada
menjadi bahu dan bantal mimpiku
menjadi jalan dan bangun jasadku
menjadi bahagian terindah sempurnakan aku

takkan habis sejuta airmata untuk kutangiskan tentangmu
takkan habis sejuta luka menjadi liang piluku
walau segala begitu 
aku selalu ada untukmu
kau dalam panjang mimpiku
menjadi rumah dan aspal jiwaku
jendela tempat aku menyaksikan bahagia
 menjadi bahagian terindah sempurnakan aku

tak kan habis sejuta puisi untuk kutulis tentangmu
tak kan habis sejuta buku untuk kubaca jiwamu
seandai kau ada membenciku
tinggalkan sedikit kenangan
di jurai hatimu
kelak dalam hari paling sunyi dirimu
aku ingin menjadi bahagian terindah
sempurnakan kamu 
kerana
takkan habis
cintaku untukmu

kapal melayu

Pelayar dan Kapal-Kapal Buatan Melayu.

1- Empayar-empayar bangsa Melayu purba sememangnya terkenal sebagai empayar maritim yang hebat. Kerajaan-kerajaan seperti Srivijaya dan Melaka, sekadar menyebut beberapa nama, adalah kerajaan-kerajaan Maritim, kerajaan-kerajaan yang bergantung kepada aktiviti-aktiviti laut daripada sekecil-kecil nelayan biasa kepada pedagang-pedagang yang menjalankan aktiviti perdagangan antarabangsa melalui jalan laut.

2- Sebelum kedatangan orang-orang Eropah yang kononnya membawa kemodenan lagi, orang-orang melayu sememangnya sudah lama terkenal sebagai pelayar-pelayar yang hebat dan bangsa yang amat mahir dengan ilmu pelayaran dan pembuatan kapal-kapal besar. Lanun-lanun melayu adalah diantara lanun-lanun yang amat ditakuti pada suatu masa dahulu.


Replika Kapal yang digunakan oleh Lanun dari Kepulauan Melayu

3- Maka tidak hairan lah pelayar Portugis yang terkenal, Ferdinand Magellan menggunakan khidmat orang melayu untuk membantunya didalam misi-misi pelayarannya merentas lautan mencari kepulauan rempah. Anda mungkin tidak kenal siapa itu Henry The Black ataupun Enrique tetapi anda pasti pernah mendengar nama Panglima Awang atau Panglima Hitam bukan?

4- Lynda Shaffer didalam bukunya Maritime Southeast Asia to 1500 yang diterbitkan pada tahun 1996 telah membuat kajian terperinci mengenai pelaut-pelaut Melayu yang sedari awal kurun pertama telah pun mahir dengan pelayaran-pelayaran jarak jauh. Pelayar-pelayar melayu lah yang bertanggung jawab menyebarkan pasu-pasu tanah liat tradisi Sa-Huynh Kalanay dan gendang Dongsan bertebaran keseluruh Asia Tenggara.

5- Memetik Lynda Shaffer yang disebut sebagai berkata pelayar-pelayar Melayu merupakan pelayar-pelayar yang mempunyai ilmu laut yang tinggi, berlayar merentasi lautan beribu-ribu batu tanpa bantuan kompas atau carta-carta bertulis. Pelayar-pelayar melayu menggunakan angin, bintang, warna air laut, rupa bentuk gelombang laut untuk mengetahui lokasi. Mereka boleh tahu kedudukan sebuah pulau walaupun mereka masih berjarak 30 batu dari pantainya hanya dengan melihat tabiat burung-burung tertentu, haiwan dan tumbuhan laut dan juga rupa bentuk gelombang pada permukaan laut.

6- Malah pelayar-pelayar China telah mengetahui tentang orang-orang melayu dari seawal kurun ke 3. Shaffer seterusnya dipetik sebagai berkata:

The Chinese also knew these islanders as builders and as the crews of ocean going vessels engaged in long distance over seas trade. The Chinese in fact appear to have learned much from these sailors. The Malays independently invented a sail, made from woven mats reinforced with bamboo, at least several hundreds years B.C.E and by the time of the Han Dynasty (206 CE to 221 CE) the Chinese were using such sails.


7- Gaspar Correia. pencatit berbangsa Portugis telah mencatitkan seperti berikut sewatu armada perang Portugis bertembung dengan sebuah kapal melayu dari Aceh menjelaskan bahawa sisi kapal tersebut sangatlah tinggi sehingga tiada siapa yang berani untuk cuba memanjatnya dari mana-mana kapal Portugis. Kapal tersebut seolah tidak tercalar dengan serangan Portugis kerana kapal tersebut mempunyai 4 lapis perisai dan meriam Portugis yang paling besar pun hanya mampu menembusi dua lapisan sahaja

8- Keadaan ini telah memaksa Gabenor pada waktu itu menghantar kapal perang terbesarnya iaitu Flor De La Mar. Walaupun demikian, kapal perang Aceh tersebut masih mampu menahan serangan selama 2 hari dua malam dan hanya tewas apabila pihak Portugis berjaya memusnahkan sirip kemudinya. Correia telah dipetik sebagai mengatakan seperti berikut:

Her sides were so high that no one dared board her from any of the Portuguese ships;naos,caravellas and gales and she remained unscathed by the Portuguese fire because she had four layers of sheathing and the largest Portuguese artillery could only penetrate two. At length the governor sent out his own nao the Flor de la Mar. Inspite of this the jong managed to fend of the Portuguese attacks for two days and two nights and only succumbed when the Portuguese succeeded in removing her rudders which she carried outside as on the barges of Ribatejo.

9- Didalam buku The Golden Chersonese And The Way Thither yang ditulis oleh Isabella L Bird yang mengembara ke Timur Jauh pada tahun 1879 ada mengatakan selepas daripada kejatuhan Kota Melaka ke tangan Portugis, empayar melayu Aceh telah cuba menawan kembali Kota Melaka dengan segerombolan kapal-kapal perang mencecah 500 buah yang mana 100 daripadanya adalah jauh lebih besar dari mana-mana kapal yang pernah dibina di Eropah. Bird dipetik sebagai berkata:

of the remaining Moorish or Malay Kingdoms, Acheen, in Sumatra, was the most powerful, so powerful indeed that its king was able to besiege the great stronghold of malacca more than once with a fleet, according to the annalist of more than five hundred sail, one hundred of which were of greater size than any then constructed in Europe and the warriors and mariners that it bore amounted to sixty thousand commanded by the King in person.

10- Saya seterusnya cuba membelek-belek beberapa forum-forum tempatan dan luar negara yang ada membincangkan tentang kapal-kapal buatan Melayu ini. Didalam satu surat bertarikh 28 November 1587, yang ditulis oleh Dom Paulo Lima de Pereira kepada Raja Philip yang menguasai Portugal dan Sepanyol ada menyebut tentang beberapa kapal perang milik Johor yang berjaya ditewaskan oleh Portugis ketika percubaan Portugis untuk menawan Johor Lama dan Kota Batu. Diantara kapal-kapal tersebut, terdapat sejenis kapal besar yang dipanggil Galleons.

No estreito, e nas estancias defronte da cidade se queimarão passante de mil embarcações entre Juncos ballos, e somas, e muitos balões, queimarão mais dous galeões, oito Gales, e algumas fustas, e lancharas,


Terjemahan:
In the Strait and the anchorage before the city, more than 1,000 vessels were burnt, among these junks, bâlos, sômas and many balões, two more galleons, eight galleys, some foists and lancharas.

11- Galleons ini juga ada disebut didalam satu lagu sumber Portugis “Batalhas e Combates Marinha Portuguesa: 1580-1603” yang dipetik sebagai menyebut:

nos esteiros a norte e a sul da cidade foram incendiados cerca de dois mil navios, entre naus, gales, juncos, galeotas, fustas, lancharas, bantins, champanas e outros de menor porte !
O rei de Jor perdeu quatro mil soldados que lhe foram mortos em combate pelos portugueses e outros três mil que lhe foram mortos durante a retirada pelos javos que levava consigo.


Terjemahan:
In the estuaries north and south of the city, about two thousand ships were burned, among them naus, galleys, junks, galliot, foists, lancharas, bantins, champanas and other lesser crafts !
The king of Jor lost four thousand soldiers who have been killed in combat by the Portuguese and three thousand who have been killed during the withdrawal by ‘javos’ he carried.

12- Galleons adalah kapal-kapal perang besar yang mempunyai tingkat-tingkat dan aras-aras yang berlainan didalam badan kapal tersebut. Ini menyebabkan ia mempunyai bentuk yang sangat besar dan sesuai untuk digunakan bagi membawa muatan, tentera dan apa sahaja kenderaan perang seperti meriam didalam kuantiti yang banyak.

Rentasan sebuah Galleon


13- Pada sekitar tahun 1580an, hanya beberapa buah negara sahaja di Eropah yang mempunyai kemampuan dan kepakaran untuk membina Galleons, seperti Turki, Portugal, Sepanyol dan England. Belanda hanya mula membina Galleons pada sekitar tahun 1590an atau 1600an. Perancis lansung tidak mempunyai armada laut sehinggalah kurun ke 17. Galleon pertama mereka hanya dibeli pada 1620an daripada Belanda. Hanya Aceh dan Johor sahaja negara bangsa bukan eropah yang menjadi pengeluar Galleons pada sekitar 1580an ke 1600an.

14- Setelah membuat sedikit rujukan-rujukan mengenai Galleon-Galleon melayu ini, saya mendapati ianya adalah sejenis kapal perang besar yang dipanggil Kura-kura (cora-cora) yang kadang-kadang memerlukan sehingga 90 orang pendayung. Kapal Kura-Kura ini banyak digunakan di Maluku. Pihak Belanda memanggilnya Kapal Perang Ambon. Pada awal kurun ke 16, kapal Kura-Kura ini sangat digeruni oleh pelayar eropah setelah lakarannya tersebar luas.

Kura-kura Melayu yang menggentarkan Eropah.

14- Menarik bukan? Apa yang lebih menarik, selepas saya membaca buku nukilan R.A Fletcher yang bertajuk Warships & Their Stories yang diterbitkan pada tahun 2004, saya mendapati satu penemuan yang agak menarik untuk diperdebatkan. Menurut Fletcher, bangsa yang mula mula mencipta dan menggunakan sayap (outriggers) bagi kanu-kanu atau sampan-sampan adalah orang - orang melayu. Menurut Fletcher lagi, ini berdasarkan kajian dimana sahaja terdapatnya pengaruh bangsa melayu yang kuat, disitu lah juga kanu-kanu bersayap ini akan dijumpai. memetik Fletcher yang menyebut seperti berikut:

The Malays are supposed to have invented the outrigger and this conjecture is based on the fact that wherever the Malay influence is traceable there some form of outrigger or double canoe is to be found also.



Lakaran Kapal, Lanchara dan Jong melayu. Yang paling hampir itu lah perahu bersayap orang melayu.


28 Jan 2017

Melayu Dari Atlantis


Asal Orang Melayu dari Atlantis!
Hafizahri L Hamid
30 Oktober 2016



BENUA SUNDA 14,000 - 30,000 tahun dahulu semasa zaman ais.

TIADA perkataan yang lebih tepat untuk kita memahami siapa dan apa itu Melayu selain memahami bait-bait puisi bertajuk "Melayu" yang dikarang oleh Sasterawan Negara tersohor, Usman Awang.

Sememangnya apa yang diungkap oleh Usman dalam puisinya itu sangat bertepatan dan sinonim dengan ciri-ciri dan sifat orang Melayu itu sendiri.

Apatah lagi apa yang cuba disampaikan beliau melalui puisinya itu begitu menggamit kebenaran selain membuktikan kehebatan bangsa ini berdiri di atas kakinya dalam menyelusuri dan mencipta sejarah bangsanya.

Antara bait puisinya yang begitu terkesan bagi mereka yang bernama Melayu;

Dalam sejarahnya
Melayu itu pengembara lautan
Melorongkan jalur sejarah
zaman

Begitu luas daerah sempadan
Sayangnya kini segala
kehilangan

Melayu itu kaya falsafahnya
Kias kata bidal pusaka
Akar budi bersulamkan daya
Gedung akal laut bicara

Namun kini agak malang bagi orang Melayu itu sendiri yang sehingga kini masih terdapat mereka yang alpa malah lebih menyedihkan ada juga yang malu tentang asal usul bangsanya.

Apatah lagi terdapat beberapa teori menyatakan bahawa bangsa Melayu itu bukan bangsa teras dan berasal dari China khususnya Yunnan atau New Guinea. Dengan itu ada antara orang Melayu itu sendiri berasa malu dan terasing dengan dirinya sebagai Melayu.

Namun hakikatnya, asal usul orang Melayu memang seringkali menimbulkan polemik serta perdebatan dalam kalangan ahli akademik dunia. Ada pelbagai teori mengenai asal usul orang Melayu. Sehingga kini dikatakan ada tiga teori utama yang telah diketahui umum mengenai asal usul orang Melayu.

Teori pertama mengenai asal usul orang Melayu adalah berdasarkan teori penghijrahan beramai-ramai orang Melayu yang menggunakan sampan dari daerah Yunnan di selatan China dan keluar melalui Sungai Mekong ke Laut Cina Selatan. Ia dikenali sebagai "Teori Keluar Dari Yunnan" dan dikemukakan pada tahun 1890.

Teori kedua, yang dikemukakan pada tahun 1965, mengatakan orang Melayu seorang pelayar yang unggul, yang bekerja sebagai kelasi kapal dan buruh untuk para pedagang antarabangsa yang terdiri daripada orang Arab, China dan India selama lebih 2,000 tahun yang lalu. Teori ini yang digelar "Keluar Dari New Guinea", dikemukakan pada tahun 1965.

Akibat interaksi dan perkahwinan campur dengan bangsa India, China dan Arab, mereka selepas itu menjadi maju lalu menubuhkan sebuah bangsa baharu yang dikenali sebagai bangsa Melayu. Teori ini dilihat paling menghina orang Melayu kerana kekurangan bukti dan kajian saintifik mengenainya selain hanya sekadar mampu menjadi hamba dan buruh bagi bangsa lain.

Teori ketiga dan paling popular dalam kalangan orang ramai, ialah "Teori Keluar dari Taiwan" yang berdasarkan teori lingustik dan bukti arkeologi. Teori ini mengatakan bahawa orang Melayu-Polynesian atau Astronesian atau rumpun Melayu berasal daripada Taiwan. Teori ini yang turut dikenali "Teori Kereta Api Ekpress ke Polynesia", mengatakan orang Melayu, telah keluar daripada Taiwan sejak 6,000 tahun dahulu, dan kemudiannya mereka bertebaran ke serata dunia.

Mereka dikatakan merantau dari Pulau Madagascar di Timur sehinggakan ke Pulau Easter di Barat, dan dari Jepun di utara sehinggakan ke New Zealand di selatan. Teori ini dipelopori oleh Peter Bellwood, seorang pakar lingustik dan disokong bukti arkeologi oleh Eusibio Dizon. Teori ini dikemukakan kepada dunia pada tahun 1997, dengan terbitnya buku The Austronesian oleh Peter Bellwood dan Eusibio Dizon.

Namun terdapat satu lagi teori yang telah dikemukakan 20 tahun lalu oleh pakar antropologi Profesor Wan Hashim Wan Teh dan pakar arkeologi Profesor Nik Hassan Suhaimi Nik Abdul Rahman.

Bangsa teras

Menjadikan kajian ini lebih kukuh dan diterima sebagai paling tepat tentang asal usul Melayu ialah apabila beberapa sarjana Barat turut menyokong dapatan tersebut.

Dr. Steven Oppenheimer, pakar Paleontologi Wilhelm G. Solheim dan Professor Arysio Nunes dos Santos telah mengambil bukti-bukti geologi dan mitologi, dan digabungkan dengan bukti arkeologi, genetik dan linguistik bersetuju untuk mengatakan, orang Melayu sebenarnya berasal dari sebuah tamadun yang hilang, yang dinamakan Benua Melayu Sunda atau Tamadun Sunda. Bangsa ini hakikatnya telah wujud sejak 15,000 tahun Sebelum Masihi berdasarkan kajian mereka.

Lebih membanggakan orang Melayu itu bukan sahaja bangsa teras malah dikatakan Benua Sunda Melayu itu juga adalah benua tamadun Atlantis yang hilang.

Perkara ini telah dinyatakan oleh Oppenheimer dalam bukunya bertajuk, Eden in the East, The Drowned Continent of Southeast Asia keluaran tahun 1999. Beliau yang juga tenaga pengajar di Universiti Oxford turut mengemukakan teori bahawa migrasi moyang kepada rumpun Melayu dari kabilah Negrito, Asli Semang dan Senoi adalah secara terus menerus dari benua Afrika melalui Timur Tengah ke benua Melayu Sunda.

Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Prof. Wan Hashim, Prof. Nik Hassan dan Zaharah Sulaiman dalam bukunya; Sejarah Tamadun Melayu, Asal Usul Melayu, Induknya di Benua Sunda, kedudukan Asia Tenggara kuno ketika Zaman Ais bukan seperti yang ada sekarang.

Malah Asia Tenggara kuno disatukan oleh Pentas Sunda yang menghubungkan Sumatera, Semenanjung Tanah Melayu, Jawa, Borneo dan Filipina. Asia Tenggara ketika itu bercantum sebagai satu benua dengan tanah besar Asia dan Pentas Sahul yang menghubungkan Australia.

Dengan perairannya yang cetek dan mudah dilalui telah mewujudkan beberapa laluan penghijrahan bebas untuk manusia dan haiwan di tanah besar Asia atau apa yang dikenali pada hari ini sebagai Gugusan Kepulauan Melayu Nusantara.

Keluasan gugusan ini atau Benua Sunda dihitung dua kali lebih besar daripada Benua India. Laut Champa, Teluk Siam dan Laut Jawa ketika itu kering kontang menjadi dataran pelantar bagi menghubungkan beberapa bahagian benua tersebut.

Menurut Oppenheimer, di Benua Sunda inilah bermulanya tamadun manusia yang menyuburkan budaya-budaya hebat di China, India, Mesopotamia, Mesir dan Kepulauan Crete (Greek) kira-kira lebih 6,000 tahun lampau. Malah menurut Prof. Wan Hashim yang dipetik daripada kajian Da Silva, bangsa Melayu itu sudah wujud dan terbentuk pada 15,000 tahun Sebelum Masihi.

Maka di sini jelaslah bahawa bangsa Melayu itu bukan baharu tertubuh setelah penjajahan Barat. Atau bangsa Melayu itu hanya berpusat di Selat Melaka seperti yang didakwa oleh Anthony Reid yang sekali gus menolak "Teori Keluar Dari Taiwan" dan "Teori Dari New Guinea" yang menolak sama sekali kewujudan bangsa Melayu sebagai bangsa teras dan hanya sekadar bangsa 'menempel'.

Kajian ini turut menyimpulkan bahawa Benua Sunda Melayu ini terpisah akibat fenomena kejadian banjir magnitud besar. Akibat kejadian ini maka wujudlah kedudukan yang terdapat kini di Asia Tenggara. Malah menurut kajian Oppenheimer lagi kejadian banjir besar ini mencadangkan bahawa legenda purba Bandar Atlantis yang tenggelam itu adalah tinggalan Benua Melayu Sunda.

Apatah lagi tamadun awal di benua Sunda ini diibaratkan Eden in the East. Hal ini telah pertama kali dinyatakan oleh ahli falsafah terkenal Yunani, Plato dalam bukunya Timaeus and Critias. Beliau menyebut para penduduknya dianggap sebagai dewa atau superior tetapi telah lenyap dalam masa satu hari yang malang.

Beliau menyatakan bahawa telah berlaku berbagai kejadian letupan gunung berapi, gempa, banjir besar, pencairan ais yang menyebabkan permukaan bumi tenggelam. Dan bahagian bumi yang hilang ini disebut sebagai Atlantis. Antara lokasi yang dinyatakan sebagai Atlantis adalah di Laut Champa, utara Indonesia dan Laut Jawa.

Yang menjadi permasalahan utama adalah banyak penulisan tentang sejarah dan asal usul Melayu diterbitkan oleh bangsa asing. Mereka ini hanya menjalankan kajian berdasarkan pemahaman dari jauh dan rambang. Kemudian diberi kesimpulan dan spekulasi mengkategorikan Melayu yang berbilang suku kaum ini sebagai etnik berasingan tanpa fakta kukuh dan tiada kewajaran hipotesis dalam banyak hal.

Hakikatnya, sama ada mahu menerima realiti atau tidak kesemua mereka ini adalah sebangsa dari latar belakang rumpun yang tidak jauh beza. Dalam erti kata lain, Jawa itu Melayu, Siam itu Melayu, Moro itu Melayu, Minang itu Melayu, Dusun itu Melayu, Iban itu Melayu, Filipina itu Melayu dan Dayak itu Melayu.

Suku kaum kepada etnik bangsa Melayu adalah sebaka dan serumpun. Maka kita boleh simpulkan kesemua Melayu Asli (orang asal) ini sebenarnya tidak berasal dari Yunnan atau Taiwan. Sebaliknya orang Taiwan dan Yunnan itu sebahagian besarnya adalah berasal dari Asia Tenggara.

Akhir kata orang Melayu tidak perlu lagi malu dan berasa terasing dengan sejarahnya kerana telah terbukti kita adalah teras dan serumpun. Hanya orang luar yang memutarbelitkan sejarah.

utusanonline 

27 Jan 2017

berjalanlah sayang

berjalanlah sayang

berjalanlah sayang
apa lagi yang bisa aku katakan
menjamahmu dalam kepergian
tak sebagaimana menyambutmu tiba
ada kekosongan yang menyumbat jiwa
dan ada kesayuan yang menjamah sukma
begini hidup sayang
terasa dan tersentuh oleh jalur perisitiwa
kalau bisa mau sajakubawa terbang
segala yang melekat dan menumbuk haluan jiwa
tapi aku manusia yang hanya mampu bertahan
untuk beberapa detik
sebelum segalanya bisu dan menikam

berjalanlah sayang
tuhan ada menemanimu


ayah aku mohon maaf

Ayah aku mohon maaf

Dan pohon kemuning akan segera kutanam
suatu saat kelak dapat jadi peneduh
meskipun hanya jasad bersemayam di sini
biarkan aku tafakur bila rindu kepadamu
Walau tak terucap aku sangat kehilangan
sebagian semangatku ada dalam doamu
warisan yang kau tinggal, petuah sederhana
aku catat dalam jiwa dan coba kujalankan
Meskipun aku tak dapat menungguimu saat terakhir
namun aku tak kecewa
mendengar engkau berangkat dengan senyum dan ikhlas
aku yakin kau cukup bawa bekal
dan aku bangga jadi anakmu
Ayah, aku berjanji akan aku kirimkan
doa yang pernah engkau ajarkan kepadaku
setiap sujud sembahyang engkau hadir terbayang
tolong, bimbinglah aku meskipun kau dari sana
Sesungguhnyalah aku menangis sangat lama
namun aku pendam agar engkau berangkat dengan tenang
sesungguhnyalah aku merasa belum cukup berbakti
namun aku yakin engkau telah memaafkanku
Air hujan mengguyur sekujur bumi
kami yang ditinggalkan tabah dan tawakal
Ayah, aku mohon maaf atas keluputanku
yang aku sengaja maupun tak kusengaja
tolong, padangi kami dengan sinarnya sorga
teriring doa selamat jalan buatmu, ayah tercinta 

ayah aku mohon maaf

22 Jan 2017

sirih junjung


Sirih junjung warisan Melayu

Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
1 Nov 2012


Gambar JEFRY IRAN
Mohd. Hazimi Zailani menunjukkan cara mengubah sirih junjung.

SEJAK zaman berzaman penggunaan tepak sirih dalam adat istiadat Melayu adalah simbolik tanda merisik yang dihantar oleh pihak lelaki kepada perempuan, manakala sirih junjung pula sebagai balasan daripada pihak perempuan.

Sehingga ke hari ini penggunaan sirih junjung dalam urusan peminangan dan pernikahan masih diteruskan.

Biarpun rupa bentuk yang dihasilkan hari ini mengalami perubahan sejajar dengan peredaran zaman, namun maksud serta apa yang ingin disampaikan masih kuat terpelihara hingga ke hari ini.

Menurut pemilik Rizqey Jarijimi Services, Mohd. Hazimi Zailani, hari ini sirih junjung digubah dengan pelbagai bentuk seperti bangunan atau masjid mengikut citra rasa penggubah ataupun bakal pengantin.

Katanya lagi, penggunaan bunga-bunga segar seperti mawar, dahlia dan kekwa serta lainnya akan menyerikan lagi gubahan tersebut.

Begitupun ujarnya, hari ini kebanyakan bakal pengantin lebih gemar memilih gubahan sirih junjung yang ringkas dan moden.

"Boleh dikatakan gubahan sirih junjung hari ini merupakan gabungan dua cita rasa iaitu klasik dan juga moden.

"Yang pasti penggunaan daun-daun sirih segar digunakan untuk menghasilkan gubahan yang cantik," jelasnya lagi.

Ujar Hazimi lagi, gubahan sirih junjung seelok-eloknya dihasilkan daripada daun sirih Melayu kerana selain daunnya yang keras dan tahan lama, ia senang dibentuk dan cantik.

Beliau turut menyarankan agar sirih junjung digubah pada sebelah malam sekiranya majlis berlangsung sebelah pagi keesokan harinya agar daun sirih tidak layu.

Kata Hazimi lagi, walaupun gubahan sirih junjung hari ini telah mengalami evolusi tanpa gambir, pinang, kapur dan bunga cengkih sirih junjung tidak lengkap rasanya.

Ini kerana gabungan tersebut melambangkan asam garam, pahit manis dalam berumahtangga.

"Saya selalunya lebih sukakan gubahan yang ringkas dan moden di mana masa untuk mengubahnya juga tidak lama.

"Begitupun penggunaan daun sirih, kapur, pinang, dan gambir tidak pernah ditinggalkan kerana itulah yang melambangkan keunikan sirih junjung.

"Apa-apa pun setiap sirih junjung yang digubah pastinya akan mengikut kehendak serta konsep bakal pengantin," katanya menambah bicara.

Tidak setakat itu, bentuk gubahan sirih junjung turut mempunyai makna iaiu gubahan sirih junjung pihak pengantin lelaki lebih tinggi sedikit berbanding pihak pengantin perempuan.

Ini adalah selari dengan peranan dan tanggungjawab lelaki sebagai ketua atau pemimpin dalam keluarga. Kepada mereka yang berminat untuk melihat gubahan sirih junjung Hazimi boleh layari www.jarijimi.blogspot.com.

utusanonline



Sirih junjung penyeri hantaran

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
28 Mac 2012



Gambar FAIRUZ IZYANA AYUB
Abu Yazid Ahmad menjadi juara pertandingan gubahan sirih junjung sempena Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta di PICC baru-baru ini.

SIRIH junjung wajib ada dalam hantaran pertunangan mahupun perkahwinan masyarakat Melayu kerana ia ibarat 'penghulu' segala hantaran.

Mengikut cerita orang dahulu, sirih junjung dan bahan-bahan yang digunakan membawa maksud tersirat kepada kehidupan suami isteri yang baru hendak bermula.

Penggubah bunga, Abu Yazid Ahmad, 58, berkata, sirih junjung adalah barang wajib dalam sesuatu majlis perkahwinan masyarakat Melayu yang diamalkan dari dahulu sehinggalah sekarang.

"Sirih yang disusun perlu ganjil dan menggunakan daun sirih segar sebagai bahan utamanya selain bahan lain seperti kapur, gambir dan buah pinang.

"Kesemua bahan-bahan ini akan dibalut dan disusun bersama dengan daun sirih kemudian diletakkan di atas bekas atau alas supaya ia nampak lebih kemas dan cantik.

"Sekurang-kurangnya daun yang digunakan untuk membuat sirih junjung sebanyak 13 belas helai dan susunan setiap satu lipatan itu perlu menggunakan tiga helai daun," katanya.

Ujar Abu Yazid, mengikut tradisi Melayu terdapat perbezaan penyediaan sirih junjung untuk pengantin lelaki dan perempuan.

"Bagi pihak lelaki, sirih junjung hendaklah lebih tinggi sedikit daripada perempuan untuk menunjukkan bahawa peranan dan tanggungjawab lelaki sebagai ketua keluarga," ujarnya yang giat menerima tempahan gubahan sirih junjung dan hantaran.

Tambah Abu Yazid lagi, tinggi atau rendah sirih junjung juga bergantung kepada jarak rumah pengantin.

"Selalunya jika pelanggan membuat tempahan sirih junjung saya akan mengambil kira jarak rumah pengantin sebelum membuatnya kerana jika jarak itu jauh lebih elok jika sirih unjung tersebut lebih rendah bagi memudahkan rombongan membawanya," katanya.

Sementara itu, beliau berkata selain konsep tradisional, sirih junjung juga telah dimodenkan dengan penggunaan pelbagai bahan tambahan seperti bungaan-bungaan dan rempah ratus.

"Selain barang-barang utama, penggunaa bunga mawar, kekwa, juga boleh menjadikan sirih junjung nampak lebih cantik dan menarik.

"Selain itu, sirih junjung tidak terhad kepada satu bentuk malah boleh dimodenkan dalam pelbagai rekaan seperti masjid, buah nanas dan bangunan yang disesuaikan mengikut konsep hantaran," ujarnya.

Abu Yazid berkata kos untuk membuat sirih junjung bergantung kepada permintaan pelanggan iaitu jenis bahan dan bungaan untuk hiasan tersebut.

Dalam pada itu, pengalaman bertahun-tahun membuat gubahan sirih junjung dan hantaran perkahwinan sedikit sebanyak telah membolehkan Abu Yazid muncul sebagai juara pertandingan gubahan sirih junjung pada Ekspo Perkahwinan dan Fesyen Gerbang Cinta Utusan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) baru-baru ini.

Pada pertandingan itu dia menampilkan gubahan yang mengadunkan konsep moden dan tradisional.

Penggunaan hiasan tambahan seperti bunga kantan, kayu manis dan sedikit bunga-bunga moden membuatkan gubahan cukup unik.

Tempat kedua dimenangi oleh seorang lagi peserta lelaki, Mafa Shah Omar dan Lily Mohd Chee ditempat ketiga.

Pertandingan gubahan telekung pula dimenangi pula oleh Khairul Rosly, tempat kedua Rohaidar Khairudin dan tempat ketiga Rosnah Mat.

Manakala pertandingan ukiran buah pula dimenangi oleh Mohd.Ridzuan Mohd Radzi, tempat kedua Mohd. Hisham Osman dan tempat ketiga Ashmam Abdul Rahim.

utusanonline


berbagi rezeki

ERTI KEKAYAAN BAGI SYED MOKHTAR
Ku Seman Ku Hussain


Saya mewakili Mingguan Malaysia pernah membuat wawancara eksklusif dengan Tan Sri Syed Mokhtar Al Bukhary selama dua jam setengah bermula pukul 11 malam di Muzium Kesenian Islam pada 2007. Saya membuat wawancara itu bersama wartawan saya, Amran Ahmad .

Sebelum itu Syed Mokhtar juga memberi peluang kepada dua Wartawan Eksekutif Mingguan Malaysia, Noor Azam Shairi ( Pengarang Kanan di Astro Awani) dan Siti Mariam Mat Zain mewawancara beliau. Setahu saya Syed Mokhtar akan menolak untuk diwawancara oleh media lain dan tidak pernah memberikan kenyataan kepada wartawan.

Saya tidak tahu apakah yang membuatkan beliau terbuka hati untuk memberikan keizinan kepada Mingguan Malaysia mewawancaranya sebanyak dua kali. Tetapi yang pasti Syed Mokhtar lebih senang berkerja daripada bercakap dan mencari publisiti di media.

Beliau seorang yang sangat ringkas, mesra dan paling ketara ialah sikap merendah diri yang tinggi. Syed Mokhtar tidak nampak di mana perlunya seorang manusia yang diberikan rezeki oleh Allah boleh membanggakan diri. Ini kerana pada pegangan Syed Mokhtar, beliau hanya menyalurkan kekayaan yang Allah anugerahkan kepada golongan yang memerlukan.

Sehari sebelum wawancara pegawai beliau memberitahu, Syed Mokhtar tidak boleh memberikan masa dan tempat, tetapi bila-bila masa beliau ada masa senggang. Dua jam sebelum wawancara saya diminta datang ke Muzium Kesenian Islam pukul 11 malam.

Malam itu Syed Mokhtar hanya baju T berkolar berwarna putih, seluar kelabu dan memakai sandal. Apabila saya memperkenalkan Ketua Jurugambar ketika itu, Syed Agil Syed Jaafar kepadanya, beliau berseloroh, " Awat tak habaq ada nak ambik gambaq. Kalau tidak boleh pakai cantik sikit."

Saya berkata, "Tak apa. Gambaq bilionaire pakai cantik dah biasa. Gambar pakai baju T dengan sandal ni yang unik." Ketika itu beliau berusia 56 tahun dan wajah kearaban sangat ketara. Loghat Kedah sangat pekat dan kebetulan malam itu semuanya orang utara, termasuk Pengerusi Tanjung Pelepas Datuk Sidik Osman yang turut berada di situ. Pangkalan Tanjung Pelepas adalah milik Syed Mokhtar.

Syed Mokhtar tidak pernah memperagakan kekayaannya seperti sesetengah "orang kaya Melayu" yang lain hingga kemewahan di bilik tidur pun semua didedahkan kepada media. Kereta dan rumah jangan cakaplah, macam sudah menjadi prasyarat "orang kaya Melayu" dedahkan kekayaan mereka.

Kekayaan Syed Mokhtar diketahui umum apabila didedahkan oleh majalah antarabangsa, Forbes. Tetapi umum dapat menjangka kekayaan beliau apabila mempunyai banyak syarikat dan meneroka pelbagai bidang perniagaan.

Anak seorang penjual daging di Alor Setar ini sebenarnya tidak sempat mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana keluarga tidak berkemampuan. Beliau membantu ayahnya sebelum menceburi perniagaan beras.

Kata Syed Mokhtar, lori pertama yang dibelinya untuk berniaga beras masih menjadi miliknya. Itu satu kenangan berharga sebelum menjadi orang Melayu terkaya di negara ini. Bagaimanapun beliau tidak gemar bercakap tentang kekayaan yang dimiliki tetapi banyak memperkatakan bagaimana kekayaan itu dimanfaatkan oleh golongan yang kurang kemampuan.

Kesimpulan daripada wawancara panjang itu ialah Syed Mokhtar mengamalkan konsep kekayaan adalah satu proses untuk membantu golongan yang memerlukan.

Beliau berpendapat, kekayaan yang diperoleh dengan izin Allah mahu dikongsikan dengan pihak yang memerlukan. Misalnya beliau menubuhkan Yayasan Al Bukhary yang mengeluarkan biasiswa dan menaja beribu pelajar miskin melanjutkan pelajaran di universiti tempatan dan luar negara.

Tidak cukup itu yayasan ini juga membiayai orang miskin mengerjakan haji pada setiap tahun. Syed Mokhtar berpendapat zakat yang dikeluarkan setiap tahun tidak memadai berbanding rezeki yang Allah berikan kepadanya. Oleh kerana itu beliau menubuhkan Yayasan Al Bukhary untuk membantu golongan yang miskin.

Misalnya pada suatu hari jawatankuasa surau Jalan Hang Tuah Kuala Lumpur menghantar surat memohon bantuan untuk membaikpulih surau berkenaan. Apabila Syed Mokhtar mendapat tahu permohonan itu, beliau bertanya kenapa tidak didirikan masjid? Kemudian Syed Mokhtar sedekahkan sebuah masjid di Jalan Hang Tuah dan berdirilah Masjid Al Bukhary menggantikan sebuah surau usang dan uzur sebelum ini.

Kata-kata Syed Mokhtar yang masih saya ingat, “Apalah sangat hendak dibanggakan dengan kekayaan. Rumah besar macam singahsana pun pada satu-satu masa kita tidur satu bilik sahaja. Kereta banyak nak buat apa, satu masa kita pandu satu kereta dan makan hanya sampai kenyang sahaja.” Sebab itu orang tidak tahu apa jenis kereta, rumah dan cara hidup Syed Mokhtar seperti sesetengah orang kaya lain.

Saya sangat setuju dengan Syed Mokhtar bahawa kekayaan bukan untuk diperagakan atau disalurkan kepada kegiatan yang tidak ada kaitan membantu golongan miskin. Kaya lawannya miskin, maka apabila dianugerahkan kekayaan, itu adalah hak golongan yang miskin.

Saya berbangga ada orang Melayu kaya yang mempunyai pemikiran dan keinsafan seperti Syed Mokhtar. Sebaliknya saya bukan sahaja tidak berbangga malah rasa diperbodohkan apabila ada orang kaya yang memperagakan kekayaan yang semuanya untuk dirinya.

fb kusemankuhussain

20 Jan 2017

hari paling afdhal

BAGAIMANAKAH DIRIMU MENGHARGAI HARI YANG PALING AFDHAL DI SISI TUHANMU?
Abdul Basit Abdul Rahman



Sesungguhnya hari yang paling afdhal adalah hari Jumaat.

Di antara amalan yang perlu diambil berat untuk dilakukan pada hari Jumaat ialah :

1) Perbanyakkanlah selawat kepada Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam.

Daripada Saidina Anas Radhiyallahu 'Anhu berkata, Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam pernah bersabda :

"Perbanyakkanlah selawat kepadaku pada hari Jumaat dan malam Jumaat.

Sesiapa yang berselawat kepadaku sekali, nescaya Allah berselawat (mengurniakan pahala dan rahmat-Nya) kepadanya sebanyak 10 kali."

Hadith Hasan riwayat al-Imam al-Baihaqi rahimahullah.

Di antara lafaz selawat yang sahih :

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ،
كَمَا صَلَّيْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ،
إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ،

وَبَارِكْ عَلَى مُحَمَّدٍ، وَعَلَى آلِ مُحَمَّدٍ،
كَمَا بَارَكْتَ عَلَى إِبْرَاهِيمَ، وَعَلَى آلِ إِبْرَاهِيمَ،
فِي الْعَالَمِينَ إِنَّكَ حَمِيدٌ مَجِيدٌ.

(Lafaz selawat ini diriwayatkan oleh al-Imam Al-Bukhari dan al-Imam Muslim rahimahumallah).

2) Membaca Surah al-Kahfi

Sabda Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam :

"Sesiapa yang membaca Surah al-Kahfi pada hari Jumaat, nescaya Allah akan mengurniakan cahaya kepadanya di antara dua Jumaat."

Hadith riwayat al-Imam al-Baihaqi dan al-Imam al-Hakim.

Al-Imam Ibnu Hajar rahimahullah menyebut hadith ini berstatus Hasan di dalam تخريج الأذكار.

3) Banyakkan berdoa khususnya pada waktu mustajab.

Di antara waktu tersebut adalah selepas Solat Asar.

Daripada Saidina Jabir bin 'Abdullah Radhiyallahu 'Anhuma berkata bahawa Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam pernah bersabda :

"Pada hari Jumaat terdapat 12 belas waktu yang jika seseorang hamba Muslim berdoa bertepatan dengan saat tersebut, nescaya Allah akan memakbulkannya. Justeru, berusahalah untuk mendapatkan waktu tersebut pada penghujung waktu selepas 'Asar."
[Hadith Sahih riwayat al-Imam Abu Daud dan al-Imam an-Nasa'ie rahimahumallah].

Sabda Rasulullah Sollallahu 'Alaihi Wa Sallam:
"Pada hari Jumaat terdapat suatu waktu, jika seseorang hamba mendirikan solat dan berdoa memohon kebaikan daripada Allah bertepatan dengan waktu tersebut, nescaya Allah akan memakbulkannya."
[Hadith riwayat al-Imam al-Bukhari dan al-Imam Muslim rahimahumallah].

"Ya Allah, taufiqkanlah kami untuk sentiasa memanfaatkan setiap detik pada hari yang mulia di sisi-Mu."

A'AmM,
Jumaat, 21 Rabi'ul Akhir 1438H.
20 Januari 2017.



18 Jan 2017

wira melayu

Hang Tuah wira Melayu


Makam yang terletak di Tanjung Kling, Melaka dipercayai makam Hang Tuah.

PEMERINTAHAN Kesultanan Melaka telah berakhir kira-kira lima dekad yang lalu. Namun, di sebalik kegemilangan pemerintahan empayar Kesultanan Melaka terdapat seorang pahlawan legenda iaitu Laksamana Hang Tuah yang setia menjadi pelindung kepada raja di samping mempertahankan dan menjaga kedaulatan bumi berdaulat Melaka ketika itu.

Berdasarkan catatan dalam Hikayat Hang Tuah, pahlawan legenda yang berasal daripada masyarakat biasa itu diangkat menjadi laksamana kerana kesetiaannya menjaga raja Melaka.

Beliau dikatakan seorang diplomat ulung kerana pernah menjadi wakil kerajaan Melaka dalam menjalinkan hubungan diplomatik dengan beberapa negara luar seperti Jepun, China, Turki dan India.

Profesor Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa berkata, amat penting untuk mengabadikan kewujudan Hang Tuah sebagai wira Melayu dan ia bukan satu cerita dongeng.

Menurutnya, bukti mengenai kewujudan Hang Tuah perlu ditonjolkan agar ia tidak tenggelam dalam lipatan sejarah.

“Hang Tuah merupakan seorang wira kerana dia adalah lambang sifat orang Melayu dengan ciri-ciri kepahlawanan, berani, setia dan taat kepada raja dan berdiplomasi tinggi.

“Beliau juga seorang yang berilmu pengetahuan dan mampu menguasai hampir 12 bahasa dan ciri-ciri yang ada padanya telah menjadikannya sebagai seorang wira bangsa Melayu,” jelasnya ketika ditemui.

Jika tiada pihak yang mengambil inisiatif untuk membuktikan kewujudan Hang Tuah ini mungkin generasi masa hadapan tidak akan kenal dengan wira bangsa sendiri.

Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah Universiti Malaya, Dr. Arbaiyah Mohd. Noor berkata, kisah Hang Tuah sebagai simbol atau lambang kehebatan bangsa Melayu telah diketahui sejak dahulu lagi sama ada melalui teks Sejarah Melayu atau Hikayat Hang Tuah atau tradisi lisan.

Kehebatan

“Saya tidak nafikan sesetengah daripada keterangan tentang Hang Tuah ditokok tambah. Tujuannya untuk menggambarkan kegagahan dan kehebatan beliau sebagai pahlawan Melaka atau untuk membakar semangat juang yang telah luntur akibat kejatuhan kerajaan Melaka pada 1511.

“Walau apapun kisahnya dipapar atau dipertikaikan, sosok tubuh lelaki yang digelar sebagai Laksamana Melaka itu memang wujud.

“Cuma yang menjadi pertikaian sejak akhir-akhir ini adalah istilah atau ungkapan nama atau gelaran Tuah yang dikatakan tiada dalam perbendaharaan kata Melayu lama sebelum abad ke-17. Huruf t-w-h yang tertulis dalam Sejarah Melayu itu akhirnya dibaca sebagai Tuha atau Toh. “Maksud Tuha atau Toh berasal daripada istilah Jawa kuno (kawi) dan juga istilah Melayu kuno merujuk kepada maksud pemimpin yang berketrampilan unggul dan sebagainya,” katanya.

Apa yang menjadi tanda tanya ialah sejauh manakah kita dapat mengenal pasti bahawa istilah Tuah tidak pernah wujud sebelum abad ke-17? Adakah benar masyarakat silam menyebut istilah t-w-h merujuk kepada Tuha atau Toh?

“Sejarah Melayu (Leiden Or1736, versi Dewan Bahasa Pustaka dan versi Krusenstern) menggunakan istilah t-w-h (Toh), Sulalat’us- Salatin versi Siak (Or7304) pula menggunakan kedua-dua istilah iaitu t-w-h (Toh) dan t-w-a-h (Tuah). Tuhfat al-Nafis versi Terengganu pula menggunakan istilah t-w-a-h (Tuah) ketika menceritakan tentang kehebatan Laksamana Melaka ini.

“Walaupun penyalin atau pengarang menggunakan istilah Toh atau Tuah atau kedua-duanya sekali, mereka merujuk kepada individu yang sama. Mereka yang meletakkan huruf alif setelah huruf waw pada istilah t-w-h adalah kerana pengetahuan mereka terhadap nama Tuah berdasarkan cerita lisan walaupun huruf alif tiada dalam rujukan asalnya,

“Perbezaan istilah bukan hanya melibatkan istilah t-w-h sahaja tetapi banyak istilah lain dalam teks Sejarah Melayu atau manuskrip yang lain. Misalnya, istilah Goa yang dieja dalam tiga keadaan iaitu kh/gh-w-h (Goh), gh-w-a (Goa), kh/gh-w-a-h (Goah) dalam kisah hubungan Melaka dan Sulawesi seperti tertera dalam teks Sejarah Melayu. Ketiga-tiga istilah ini tetap merujuk kepada Raja Goa yang sama walaupun dieja dalam tiga keadaan berbeza. Hal ini berlaku mungkin disebabkan pengarang atau penyalin sama ada sedar atau tidak telah menambah atau mengurangi ejaan tertentu,” katanya.

Demi menjaga kekemasan pada naskhah itu, maka istilah tersebut dibiarkan sahaja.

“Telah menjadi tradisi apabila suatu kesilapan itu dilakukan, pengarang atau penyalin akan membiarkan sahaja tanpa memperbaikinya kerana bimbang akan merosakkan naskhah tersebut.

“Walaupun terdapat perbezaan pandangan mengenai sebutan Hang Toh, Hang Tuha atau Hang Tuah, namun ia tetap merujuk kepada tokoh yang sama,” jelas beliau.

Fakta

Perbezaan tafsiran pada istilah kerap berlaku antara seorang sarjana dengan sarjana yang lain kerana masing-masing mempunyai sudut pandang yang berbeza. Namun, pertikaian mengenai istilah ini tidak wajar diperbesar-besarkan, sebaliknya fokus utama ialah untuk mencari, mengumpul dan membuat kaji banding demi mengukuhkan keterangan mengenai kewujudan Hang Tuah.

Dalam pada itu, Pengerusi Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (ISKEP), Prof Datuk Dr. Mohd. Jamil Mukmin berkata, penemuan baharu oleh penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai kewujudan Hang Tuah telah menguatkan lagi satu fakta bahawa kewujudan laksamana itu bukanlah satu mitos.

“Sebelum ini kewujudan Hang Tuah ini telah lama dibuktikan melalui sumber Melayu seperti Hikayat Hang Tuah dan Sejarah Melayu dan penemuan baharu ini dapat menyangkal dakwaan sesetengah ahli sejarah yang mengatakan ia hanyalah satu cerita dongeng,” katanya dalam satu bicara temu bual baru baru ini.

kosmo

14 Jan 2017

kasut sekolah

KASUT SEKOLAH ANAK KU - AIDIL QAYYUM
Mohd Fairus Shafie

Tahun 2017 merupakan tahun yang sangat bermakna bagiku. Ini kerana anak sulong ku kini telah meningkat dewasa dan bersekolah menengah tingkatan 1 namanya Alif, manakala yang lain memasuki darjah 6 Afiq, darjah 4 Ayu, darjah 2 Aidil dan tadika Amirul. Hanya tinggal 2 orang iaitu Anis dan Ain yang masih belum bersekolah. Seperti biasa, sebelum memulakan sesi persekolahan baru, aku akan membelikan sekurang-kurangnya sepersalinan baju baru dan kelengkapan baru untuk setiap anak-anak ku. Maklumlah harga barang sekolah sekarang dah melambung tinggi, untuk menyediakan keperluan 7 orang anak bukan sesuatu perkara yang mudah. Hakikatnya itulah tanggungjawab ayah dan ibu. Terpaksa mencatu untuk setiap orang anak agar bajet tidak terlalu membebankan.



Kebiasaanya kami sekeluarga akan berbelanja ala kadar untuk keperluan sekolah di Uniform Gallery UG sama ada di Seri Bangi atau di Kompleks Warta Bangi Shopping Centre. Di sini tempat mencari peralatan sekolah. Ahli UG akan dapat diskaun 10 peratus setiap kali pembelian. Kami akan memberikan pilihan kepada anak-anak untuk memilih kelengkapan masing-masing mengikut bajet yang ditetapkan. Biasanya kami akan maklumkan kepada wakil kedai untuk mencuba pakaian atau kasut yang sesuai dengan saiz anak-anak. Mungkin sebab nak melayan kemahuan anak yang ramai perlukan kesabaran yang tinggi, kami serah kepada pelayan kedai untuk mencarikannya seperti kemahuan anak-anak kami.
Hari ini isnin minggu kedua persekolahan, nampaknya semua anak-anak masih bersemangat waja untuk bersekolah. Tapi yang menghairankan kenapa, anak ku yang darjah 2 Aidil asyik lenguh kaki, balik sekolah bila sampai rumah, minta di urut-urut kakinya. Tubuhnya yang kecil tetapi yang paling kemas di antara anak-anak adalah sifatnya. Muka yang lembut dan mata yang sepet, sangat redup mata melihatnya. Setiap pagi 6.45 pagi dah mula keluar rumah, menuju sekolah kebangsaan dahulu, kemudian ke sekolah agama, kemudian ke sekolah tadika dan ke rumah pengasuh, itu lah rutin harian.

Sampai di sekolah agama pukul 7.20 pagi, kami memang antara yang terawal sampai, Aidil menunjukkan kasutnya yang putih melepak, kemas dan ternyata sangat bersih. Entah kenapa hari ini aku tergerak hati nak melihat kasut yang ditunjukkan oleh Aidil yang baru darjah 2 itu, Kasut aidil mengingatkan aku waktu kecil dulu macam aku pergi ke sekolah dahulu. Tanpa aku sedari, kasut yang ditunjukkan oleh Aidil dua-duanya belah kiri, aku naik berang dan marah. Ini mesti dia salah bawak kasut dari rumah aku lagi. Memang aku marah betul dengan Aidil, marah aku membuatkan dia tertunduk ke bawah dan mengalirkan air mata. Banyak lagi destinasi aku nak tuju. Tak kan nak patah balik ambik kasut. Kebetulan ada kasut kakaknya, Ayu ada di dalam kereta, dengan nada marah aku menyuruh Aidil memakainya dan terjatuhlah linangan air mata Aidil masuk ke sekolah sambil tertunduk.

Apabila jam 8.00 pagi aku tiba di pejabat, aku rasa tidak sedap hati kenapa Aidil boleh bawak kasut dua-dua belah kiri??? Kenapa?? Bagaimana???. Otak aku terus teringat dan melayang, kenapa dia boleh bawa kasut begitu? Aku tertampar dengan ingatan ku yang selalu Aidil minta urut kakinya setiap kali balik sekolah. Aduh.. apa yang telah aku buat?? Marahkan Aidil pagi ini sehinggakan airmatanya mengalir dan terduduk seolah-olah bersalah dan berdosa. Aku ambil kunci kereta lantas terus balik ke rumah, mungkin Aidil tersalah bawak kasut, sampai di rumah aku mencari kasut belah kanannya di seluruh kawasan rumah. Aku telefon isteri ku bertanya, mungkin-mungkin ada kasut belah kanannya di lain-lain tempat. Aku amat terperanjat apabila isteri dan aku mengingat kembali pembelian kasut Aidil di UG hanya beli sepasang sahaja untuk Aidil.

Astagfirullah……maknanya memang kasut baru itu, kedua-duanya belah kiri. Aku terbaring terkulai layu. Airmata aku mengalir dan sangat menyesalinya. Selama ini di minggu awal persekolahan, Aidil memakai Kasut sekolah yang bersih, cantik berseri tetapi sayang dua-duanya belah kiri, patutlah kakinya sakit dan asyik minta di urut. Kena marah lagi dia pagi ni dan menangis tertunduk. Apalah dosa budak kecil ini, hinggakan perkara kecil remeh seperti kasut ini aku terlepas pandang. Budak yang sejujur ini, menangis pagi ini dimarahi oleh bapanya kerana menunjukkan kasut sekolah yang dua-duanya belah kiri. Ya allah.. Ya tuhan maafkan aku. Tanpa fikir panjang, aku terus ke sekolah agama menemuinya. Sampai saja di parking sekolah, aku berlari terus ke kelas Aidil, tanpa banyak berfikir aku terus memeluk Aidil sekuat-kuatnya. Maafkan abah Aidil. Maafkan lah….mengalir airmata Aidil dan yang paling menyedihkan Aidil dengan teresak-esak ingin memakai kasutnya yang dua-duanya kiri itu yang masih ada di kereta. Ya tuhan…berdosa sangat aku ni..

Satu kelas darjah 2 sekolah agama tersebut tanpa disedari turut menangis. Perasaan sayu dan menyesali perbuatanku sebagai seorang ayah sangat menikam jiwaku sendiri. Aku peluknya dan terus membawanya ke kedai membeli kasut baru. Riak wajah gembira Aidil jelas terpancar. Aku berulang kali memeluknya sambal meminta maaf…maafkan abah sayang. Maafkan abah… Kisah benar ini akan ku jadikan ingatan dan pedoman dalam menjaga anak sendiri. Tidak kira sehebat mana pekerjaan ibu dan ayah, jika perkara sebegini terjadi, amat menyedihkan. Kepada para ibu bapa, abang dan kakak yang memiliki anak dan adik, cubalah dekati anak-anak masing, adik-adik masing untuk mengetahui hati dan perasaan mereka. Semoga ianya boleh dijadikan pengajaran….

fb mohdfairusshafie

13 Jan 2017

mencari black hole


Penemuan Supermassive Black Holes: Temubual khas bersama Nur Adlyka Ainul Annuar
13 Januari 2017


Di minggu kedua permulaan tahun 2017, Malaysia menerima satu kejutan berita kejayaan luar biasa rakyat Malaysia dalam bidang penyelidikan saintifik di luar negara. Penemuan ‘Supermassive Black holes’ dari kumpulan penyelidikan tersebut mendapat liputan meluas dari media di seluruh dunia.
Ikuti temubual eksklusif secara online bersama Adlyka Annuar, penuntut ijazah Kedoktoran dalam bidang Astrofizik, di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, United Kingdom. Beliau ditemubual oleh editor MajalahSains Mohd Faizal Aziz


Tahniah diucapkan kerana mengharumkan nama Malaysia lebih-lebih lagi di permulaan tahun 2017. Ada sesuatu yang ingin saudari perkatakan?

Pertama sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada MajalahSains kerana menghubungi saya. Selain itu, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia yang mengirimkan ucapan tahniah kepada saya di sini.
Saya juga memohon maaf kepada beberapa pihak dan individu-individu yang telah menghubungi saya, tetapi masih tidak menerima maklumbalas kerana saya agak sibuk buat masa ini. Saya akan cuba untuk memberi maklumbalas apabila berpeluang.

Ceritakan sedikit latarbelakang saudari, hobi, kegemaran?

Nama penuh saya ialah Nur Adlyka Binti Ainul Annuar. Saya berasal daripada Muar, Johor, dan dilahirkan pada tahun 1990. Saya merupakan anak kedua daripada 4 adik beradik, yang terdiri daripada sorang abang, dan dua orang adik perempuan. Saya juga baru mendirikan rumahtangga pada tahun lepas dengan Amirul Adli Bin Abd Aziz.

Pada masa lapang, kegemaran saya ialah menonton filem, dan meluangkan masa bersama suami dan keluarga.

Saya mula meminati bidang Astronomi sejak sekolah rendah lagi, tetapi betul-betul menetapkan minda saya untuk menceburi bidang ini ketika berumur 13 tahun setelah menonton filem Armageddon dan Apollo 13.

Bagaimana dengan dunia persekolahan dan pengajian di Universiti ?

Saya bersekolah rendah di Sekolah Rendah Kebangsaan Sultan Abu Bakar (2) di Muar, Johor pada tahun 1997-2002 dan kemudian meneruskan pengajian di Sekolah Menengah Kebangsaan (Perempuan) Sultan Abu Bakar, Muar pada tahun 2003-2007.

Setelah tamat persekolahan, saya ditawarkan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam pada tahun 2008 untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda dalam bidang Sains di United Kingdom (UK). Saya menerima ijazah Sarjana Muda (BSc) kelas pertama dalam bidang Fizik dan Astofizik daripada University of Sheffield, UK pada tahun 2013.

 Adlyka (kanan) bersama penyelianya, Prof. David Alexander (kiri) di Universiti Durham, UK.

Saya kemudian meneruskan pengajian ijazah Doktor Falsafah di bawah tajaan Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA) dalam bidang Astrofizik di Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Jabatan Fizik, Universiti Durham, UK, pada tahun 2013.

Kini saya berada di bawah penyeliaan Prof. David Alexander, profesor Astronomi dan juga Timbalan Pengarah, Pusat Astronomi Ekstragalaktik, Universiti Durham. Saya juga merupakan salah seorang saintis teleskop X-ray terbaru NASA (National Aeronautics and Space Administration, USA), yang dinamakan NuSTAR (Nuclear Spectroscopic Telescope Array) sejak tahun 2014 sehingga kini.
Penyelidikan PhD saya adalah berkaitan “active supermassive black holes” di alam semesta kita.“Supermassive black holes” adalah lohong-lohong hitam yang sekurang-kurangnya sejuta kali lebih berat daripada matahari kita. “Active supermassive black holes” adalah “supermassive black holes” yang aktif “memakan” benda-benda dan objek di sekelilingnya.
Penyelidikan saya memberi tumpuan khusus untuk mencari “active supermassive black holes” yang tersembunyi daripada pandangan kita kerana dilindung oleh gas dan habuk yang tebal. Saya menggunakan NuSTAR untuk mencari lohong-lohong hitam ini kerana teleskop ini dapat mengesan sinaran-X (X-Ray) daripada objek-objek ini, yang dapat menembusi gas dan habuk yang tebal tersebut. Mencari lohong-lohong hitam tersembunyi ini sangat penting untuk membantu kita memahami bagaimana lohong-lohong hitam di alam semesta mengembang dan bagaimana ia memberi kesan kepada galaksi yang mereka duduki.

Boleh ceritakan secara ringkas apa sebenarnya penyelidikan atau sumbangan saudari dalam penemuan dan pembuktian kewujudan ‘Supermassive Blackhole’ yang hangat diperkatakan ?

Galaksi NGC 1448 – Salah satu galaksi yang berdekatan dengan kita, yang dijumpai mengandungi “supermassive black hole” aktif yang bersembunyi daripada pandangan kita kerana dilindungi gas dan habuk angkasa yang tebal.

Saya merupakan ketua penyelidik salah satu (daripada dua) lohong hitam tersembunyi yang dijumpai berdekatan dengan galaksi. Lohong hitam tersebut berada di tengah-tengah galaksi NGC 1448, yang berada dalam jarak 38 juta tahun cahaya daripada galaksi kita. Oleh kerana saiz alam semesta kita sangat besar, di dalam dunia astronomi, jarak ini dikira sangat dekat dengan kita. Penyelidikan saya ini dibantu oleh saintis-saintis NuSTAR yang lain di serata dunia.

Kertas penyelidikan berkaitan penemuan ini akan diterbitkan di dalam journal “The Astrophysical Journal”, dan versi pra-cetak kertas tersebut boleh dibaca di:
https://arxiv.org/abs/1701.00497

Galaksi NGC 1448 – Lokasi supermassive blackholes ditemui.

Apa perasaan saudari melalui liputan meluas tentang kejayaan dan penglibatan saudari di dalam kumpulan penyelidikan ini.

Saya sangat berbangga dan terharu dengan liputan meluas yang diberikan. Saya sememangnya tidak menyangka kejayaan ini akan mendapat liputan sebegini rupa daripada pihak media dan orang awam.
Saya dedikasi kan kejayaan ini kepada ahli keluarga, terutamanya suami dan ibu bapa saya yang sentiasa menyokong cita-cita, dan menjadi tulang belakang kepada kejayaan saya sehingga hari ini.

Harapan dan impian tentang penyelidikan bidang ini di Malaysia di masa hadapan?

Saya berharap kejayaan ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda negara kita untuk tidak takut menceburi bidang Astronomi dan astrofizik, yang dianggap baru dan tidak mempunyai prospek pekerjaan yang banyak di Malaysia. Lebih ramai yang menceburi bidang ini, akan lebih banyak pekerjaan yang mampu ditawarkan, insyaAllah.

Saya juga berharap kejayaan kecil ini mampu menyuntik semangat dan memberi inspirasi kepada penyelidik-penyelidik fizik dan astronomi di Malaysia untuk membangunkan lagi bidang Astronomi & Astrofizik di negara kita agar setanding di mata dunia.

Akhir sekali, besar harapan saya agar kerajaan Malaysia dapat meneruskan tajaan biasiswa kepada rakyat Malaysia yang layak dan berbakat, tanpa mengira bangsa dan agama, terutamanya pengajian lanjutan terutama di peringkat kedoktoran, kerana pada peringkat inilah kita betul-betul dapat mengumpul pengalaman yang sangat berguna dan memberi sumbangan yang besar dalam bidang yang diceburi, seterusnya mengharumkan nama negara.

Saya juga berharap kerajaan Malaysia dapat menyediakan lebih banyak pembiayaan-pembiayaan penyelidikan dalam bidang sains kepada universiti-universiti dan pusat-pusat penyelidikan di Malaysia, agar kita dapat membangunkan negara dalam bidang ini.
Salam hormat dari saya
Nur Adlyka Ainul Annuar
Durham University, United Kingdom
Jan 2017

Terima kasih kami ucapkan kerana sudi ditemubual. Kami dari MajalahSains dan seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar dipermudahkan segala urusan pengajian PhD saudari di sana.
All the best!

majalahsains

10 Jan 2017

Pengarah dan Aktornya

SANG PENGARAH, SANG AKTOR
Ku Seman Ku Hussain


 foto hiasan

Telah lama dia berdiam. Telah lama juga dia mengawal kemarahan kerana takut dikatakan pengarah yang tidak memberi kebebasan kepada aktornya menghidupkan watak.

Dia bukan membangga diri. Tetapi sana sini orang kenal dia sebagai penulis naskhah, aktor dan pengarah bangsawan yang hebat.

Trofi yang menjadi bukti keunggulan dalam dunia teater tidak terkira banyaknya di kediamannya. Itu belum lagi resensi pementasannya oleh sarjana dalam dan luar negara.

Aktor itu sebenarnya dipilih selepas sudah tidak ada lagi yang lebih baik. Bukan pilihan kedua tetapi pilihan yang entah ke berapa.

Pementasan bangsawan itu hanya tinggal satu malam sahaja lagi. Tetapi sang pengarah belum berpuas hati dengan pencapaian sang aktor.

"Telah lama aku perhatikan, ternyata kau tidak boleh menzahirkan apa yang aku tulis dalam naskhah ini," kata sang pengarah.

"Kau tidak demokratik, kau tidak dapat menerima gaya orang lain. Aku tidak mahu meniru gaya kau. Aku ada gaya sendiri, " balas sang aktor.

"Aku telah memberi kau masa supaya naskhah aku tidak rosak di tangan kau. Tetapi kau gagal memahami naskhah aku," bentak sang pengarah.

"Wahai sang pengarah, kau sudah tidak ada pilihan. Pementasan satu malam sahaja lagi. Katakan kepada aku siapa yang berani mengganti aku membawa watak itu?" Sang aktor menjangka pengarah tua itu akan mati akal untuk menyingkirkan dia dari pentas bangsawan.

"Aku yang akan menggantikan kau. Aku menghafal dialog semua 20 watak dalam 20 babak bangsawan ini. Kau perlu turun dari pentas," pertentangan semakin panas, pengarah pun masuk ke pentas raptai akhir menggantikan aktor.

foto hiasan

Bagi sang pengarah, naskhah bangsawan itu adalah mercu tanda bangsa. Mercu tanda itu akan rosak kalau aktor itu dibiarkan terus bermain di pentas.

"Tidak. Sama sekali aku tidak akan turun kerana desakan seorang tua. Semua pelakon, tukang prop, pengurus pentas malah tukang tarik tirai pun menyokong aku. Kau tidak ada sokongan," kata aktor itu sambil ketawa.

Sebenarnya pengarah tua itulah yang memperkenalkan pentas bangsawan, taktik dan teknik untuk memukau penonton.

Pengarah tua itu tidak peduli akan dakwaan sang aktor itu. Aktor itu mesti diturunkan dari pentas. Kalau tidak naskhah yang ada 20 watak dan 20 babak itu akan berkecai begitu sahaja.

Itu naskhah lama. Pengarah tua itu menulisnya hampir 30 tahun lalu. Dan inilah pementasan pertama. Gagal pementasan ini bermakna gagallah gagasan pemikirannya yang dituang dalam naskhah itu.

Pada masa sama sang aktor itu juga berpakat dengan semua tenaga produksi termasuk aktor-aktor lain untuk menyingkirkan pengarah tua itu dari pementasan tersebut.

Mereka pun menjaja kononnya pengarah tua itu bukanlah hebat pada zaman gemilangnya. Maka kini yang dibualkan oleh mereka adalah kelemahan dan keburukan semata-mata.

Tukang tarik tirai yang seumur hidupnya menarik tirai juga memperkecilkan kehebatan pengarah tua itu.

"Pengarah tua itu bukan hebat pun. Hebat apa kalau tak sekali pun boleh ganti aku menarik tirai," kata-katanya disambut dengan ketawa rakan-rakan lain.

Tetapi dia tidak menceritakan bagaimana dia dilempang hingga jatuh pentas kerana tertidur semasa pementasan berlangsung.

Pada malam pementasan, sebaik sahaja tirai dinaikkan keluarlah sang aktor itu ke tengah pentas. Dia berdegil walaupun sang pengarah menggantikan dia memegang watak utama.

Muzik pun bergema dan tiba-tiba sang pengarah muncul dari kanan pentas. Lengkap dengan baju purba dan bertanjak.

Sang aktor terkejut. Dia memegang hulu keris kayu di pinggangnya.

"Cis, bedebah kau orang tua. Keluarlah kau dari sini," kata aktor itu sambil mengelap peluh dingin membasahi mukanya.

"Kau yang mesti keluar"

"Kau diktator orang tua. Kau tidak demokratik. Zaman kau sudah berlalu, nyah kau dari sini.

Penonton bertepuk tangan. Mereka menyangka itu sebahagian babak dalam bangsawan. Kemudian beberapa pelakon lain keluar untuk merelaikan kedua-duanya.

Bagaimanapun kedua-dua mereka terus bertikam di atas pentas. Sang pengarah dengan kemahiran silat telah menjatuhkan sang aktor dan menguncinya.

foto hiasan


Kemudian sang pengarah bertanya kepada penonton, "Siapakah yang menang?"

"Orang tua menang," teriak penonton.

"Bravo" sambut penonton lain.

"Lihat, siapa kata aku diktator? Aku tanya pendapat ramai. Aku seorang yang demokratik." Kata pengarah tua itu sambil menolak aktor jatuh di depan pentas.

Penonton bangun sambil bertepuk tangan. Pengarah tua cuba menenangkan suasana.

"Saya bukan nak kembali jadi pelakon. Tetapi dia tu telah merosakkan naskhah 20 watak dan 20 babak saya tu," ujar pengarah tua.

"Bangsawan surrealist pertama yang pernah saya tonton. Sangat hebat orang tua itu. Macam betul-betul real," kata seorang sarjana teater. Tepukan kepada pengarah tua itu terus bergema. Sang aktor hilang entah di mana.

sumber fb kusemankuhussain

7 Jan 2017

abah hanya ada kasih sayang dan ilmu

Abah dan Baju Sekolah Hutang – Sebuah Kisah Lalu
By Jamilah Suqif


Seminggu dua nak buka sekolah ni teringat zaman kecik dulu sewaktu arwah abah masih hidup … masa nilah abah akan naik motor ke sana ke mari pergi jumpa sedara mara yang senang sikit untuk pinjam duit beli baju sekolah kami adik beradik.

Kadang-kadang abah pinjam dengan kawan-kawan abah, tokey kedai tempat abah sarapan pagi-pagi dan macam-macam  orang lagilah.

Abah tak pernah bagi tahu dia berhutang sana sini untuk beli keperluan sekolah adik beradik. Tapi kami tahu … kami faham. Dan kesusahan itu menjadikan kami berusaha habis-habisan untuk berikan result yang bagus untuk abah.

Tapi zaman dulu kasut sekolah boleh pakai lama … lambat pulak ketat .. budak-budak sekolah sekarang ni setahun sampai dua tiga kali tukar kasut … cepat betul membesar … hehehe …
Pernah satu masa sewaktu darjah 4 nak masuk darjah 5 abah balik lewat malam dalam hujan. Tak dengar pulak bunyi enjin motosikal abah. Tahu-tahu pintu dah diketuk dan terdengar suara abah memangggil. Mak dan adik-adik dah tidur.

Masa tu saya yang bukak pintu. Abah kesejukan terketar-ketar. Abah berikan saya baju sekolah dan buku-buku keperluan sesi persekolahan yang baru.

Tak ada apa-apa yang keluar dari mulut abah melainkan dia mintak saya buatkan teh panas satu.
Malam tu berlalu begitu sajalah tanpa apa-apa perbincangan.
baju-sekolah

Sehinggalah saya balik dari luar negara selepas habis belajar bertahun kemudian, satu malam sewaktu musim hujan seperti sekarang nilah abah mula bukak cerita …



“Kau ingat tak abang .. masa kau kecik dulu satu masa tu abah balik tengah malam dalam hujan lebat, kau bukakkan pintu dan abah bawa balik buku-buku dan pakaian sekolah baru untuk kau dan adik-adik … ingat tak?” Abah tanya …

Saya hanya senyum dan mengangguk sambil teruja nak dengar cerita abah …
” Sebenarnya masa tu abah baru balik dari cari duit cuba untuk pinjam duit dengan sedara mara kita untuk belikan kau dan adik2 baju sekolah dan buku … tapi tak dapat … ”
” Akhirnya abah jumpa kawan lama abah satu masa dulu diapun susah jugak bukan orang senang … tapi senang sikitlah dari kita … Dialah yang berikan abah pinjam duit RM100 utk belikan buku-buku.

Pakaian sekolah tu pun abah hutang dengan tuan kedai … dia bagi hurtang sebab dia tahu anak-anak abah semua pandai-pandai belajar …”

Masa tu tanpa sedar air mata saya sudah laju keluar. Bibir tak boleh berkata-kata … terkedu. Hati rasa sangat sebak.

Abah terus berbicara …

“Malam tu motor abah rosak …. abah tolak motor dari Mak Mandin,Butterworth balik ke Parit Buntar ni dalam gelap sebab kedai dah tutup dan abah tak ada duit nak baiki motor. Abah tolak motor tu dalam hujan bercahayakan langit dan lampu kenderaan lain sejauh hampir 45 km. Ikut jalan lama bukan ada lebuhraya macam sekarang”

” Sekarang abang dah balik dari luar negara … abang dah berjaya … abang kerja bagus-bagus.. abang bantulah orang macam abah yang ramai kat luar sana … abang jadilah orang baik-baik… jangan kedekut dengan rezeki yg Allah bagi pinjam … abah tak ada harta nak bagi kat kau dan adik-adik. Abah hanya ada kasih sayang dan ilmu yang abah mampu berikan sekadarnya … ”


Dan pesanan itulah yang sentiasa tengiang-ngiang di telinga ini setiap kali nak masuk musim bukak sekolah …

Ya Allahh .. rindunya kat abah malam ni … Terima kasih abah kerana membimbing hati ini dari kecik hingga sekarang walaupun jasadmu telah tiada … kau tetap membimbing hati ini ..

Semoga Allah satukan hati-hati kita keluarga besar thirdforce untuk terus istiqamah dalam perjuangan membina bangsa yang prihatin dan saling bantu membantu ini.

Jommm jadi orang baik-baik.

kulihat langit biru

6 Jan 2017

tak berteman

~ Seorang anak yatim ditepi tiang di hari pertama ~
Mohd Fadli Salleh


Pagi ini aku teringat suatu kejadian yang berlaku di hari pertama persekolahan. Kisah ini berlaku beberapa tahun lepas.

Hari pertama, sekolah penuh sesak dengan ibubapa murid tahun 1. Waktu rehat pun masih begitu. Ramai ibubapa menemani anak masing-masing. Ajar mereka membeli, suapkan anak mereka makanan. Mesra dan bahagia sekali kelihatan mereka.

Masa ini aku boleh dikatakan mentah dalam dunia pendidikan. Baru 5-6 tahun pengalaman bersama murid tahun 1. Dan masa ini, aku masih belum ada keberanian untuk menegur ibubapa yang mengambil hak murid sewaktu rehat. Ibubapa yang menggunakan bangku murid sedang ramai lagi murid berdiri mencari tempat untuk duduk dan makan.

Semasa aku ralit memerhatikan perlakuan ibubapa yang bahagia melayan anak mereka, aku perasan, ada seorang murid perempuan berdiri di tepi tiang. Tangannya memegang bekal makanan dan sebotol air minuman.

Termangu murid itu sendirian tanpa tahu mana hendak duduk dan makan bekalannya. Aku mula memandang jelek perlakuan ibubapa yang langsung tidak peduli kehadiran murid tahun 1 yang keliru itu. Malah, tiada antara mereka pelawa murid itu untuk duduk dan makan. Sebaliknya mengambil hak murid itu untuk berada di bangku sambil membelai anak masing-masing.

Nak ditegur, aku sendiri belum ada keberanian. Maka aku mendekati murid itu dengan beberapa persoalan.

" Kenapa murid ini tidak berteman? Mana mak ayah dia? Apa punya mak ayah yang tidak menemani anak tahun 1 dihari pertama mereka?"

Sedikit rasa kesal terhadap tiadanya sikap prihatin ibubapa murid itu terlintas dihati. Tanpa banyak soal, aku pimpin murid itu mencari tempat kosong. Semasa memimpin tangan, aku sempat bertanya,

" Mak ayah awak tak datang teman awak ke hari ini? "

" Tak cikgu. Ayah saya dah meninggal dunia. "

" Oh. Mak awak? Kerja?" Soalku lagi.

" Mak saya kat hospital. Masuk wad. Dia sakit," jawab murid itu dengan nada sayu. Masa ni riak muka dia seakan hendak menangis.

Rasa bersalah terus melanda hati aku kerana bertanya soalan itu. Rupanya murid ini tinggal bersama ibu saudaranya. Kakaknya ada, tapi belajar sesi pagi sedangkan murid tahun 1 disesi petang.

Rasa meluap kemarahan pada ibubapa lain yang tak cakna dan penting diri sehingga mengambil hak anak yatim ini.

Baru sahaja murid ini duduk, loceng berbunyi menandakan waktu rehat sudah tamat. Guru tahun 1 yang bertugas memanggil murid untuk berkumpul dan masuk kelas. Murid ini gelisah melihat kawan-kawan dia mula beredar meninggalkan kantin sedang dia masih belum sempat menjamah waima sebutir nasi.

Terus aku kata padanya,

" Jangan risau. Awak duduk dan makan dahulu bekal makanan awak. Cikgu tunggu awak."

Maka, murid ini makan dengan ditemani aku. Seusai makan, aku menghantar dia ke dewan tempat murid lain berkumpul.

Esoknya, aku pergi lagi kantin. Melilau mencari murid ini. Entah kenapa, muka murid tahun 1 nampak semuanya sama pada mata aku. Aku gagal mengesan murid itu. Aku mencari disetiap tiang, tiada kelibat dia. Agaknya dia dah pandai mencari tempat duduk sendiri dan berdikari.

Hari seterusnya pun aku masih mengelilingi tiang dan cuba mengecam setiap wajah murid perempuan yang makan keseorangan. Tapi gagal. :(



Sejak itu, keberanian datang pada aku. Setiap tahun, akulah yang akan 'menghalau' ibubapa yang duduk dibangku murid. Guru lain masih segan dan tak berani nak 'halau' mereka. Pernah mereka minta dengan lemah lembut, tapi tidak ramai yang ambil perhatian.

Ibubapa yang penting diri dan mengambil hak murid ini tidak aku malu pada mereka. Tidak lagi aku mahu menjaga hati mereka. Dengan tegas aku meminta mereka bangun memberi ruang kepada murid untuk duduk.

Sehingga pernah ada ibubapa yang terasa dengan ketegasan aku dan menyindir di belakang. Aku tidak kisah dengan sindiran itu kerana mereka yang mengambil hak murid aku tidak lagi tersenarai di dalam list orang yang perlu aku hormati lagi.

Biarlah apa orang nak kata, kerana mungkin ada murid yang berdiri tanpa ditemani sesiapa punya kisah yang serupa dengan murid perempuan itu. Anak yatim yang aku tidak pernah tahu namanya dan tak sempat cam mukanya. Semoga anak itu kini menjadi murid yang pandai dan berjasa. Amin.

#MFS
* Teringat suatu ketika.

mohdfadhli salleh