abah hanya ada kasih sayang dan ilmu

Abah dan Baju Sekolah Hutang – Sebuah Kisah Lalu
By Jamilah Suqif


Seminggu dua nak buka sekolah ni teringat zaman kecik dulu sewaktu arwah abah masih hidup … masa nilah abah akan naik motor ke sana ke mari pergi jumpa sedara mara yang senang sikit untuk pinjam duit beli baju sekolah kami adik beradik.

Kadang-kadang abah pinjam dengan kawan-kawan abah, tokey kedai tempat abah sarapan pagi-pagi dan macam-macam  orang lagilah.

Abah tak pernah bagi tahu dia berhutang sana sini untuk beli keperluan sekolah adik beradik. Tapi kami tahu … kami faham. Dan kesusahan itu menjadikan kami berusaha habis-habisan untuk berikan result yang bagus untuk abah.

Tapi zaman dulu kasut sekolah boleh pakai lama … lambat pulak ketat .. budak-budak sekolah sekarang ni setahun sampai dua tiga kali tukar kasut … cepat betul membesar … hehehe …
Pernah satu masa sewaktu darjah 4 nak masuk darjah 5 abah balik lewat malam dalam hujan. Tak dengar pulak bunyi enjin motosikal abah. Tahu-tahu pintu dah diketuk dan terdengar suara abah memangggil. Mak dan adik-adik dah tidur.

Masa tu saya yang bukak pintu. Abah kesejukan terketar-ketar. Abah berikan saya baju sekolah dan buku-buku keperluan sesi persekolahan yang baru.

Tak ada apa-apa yang keluar dari mulut abah melainkan dia mintak saya buatkan teh panas satu.
Malam tu berlalu begitu sajalah tanpa apa-apa perbincangan.
baju-sekolah

Sehinggalah saya balik dari luar negara selepas habis belajar bertahun kemudian, satu malam sewaktu musim hujan seperti sekarang nilah abah mula bukak cerita …



“Kau ingat tak abang .. masa kau kecik dulu satu masa tu abah balik tengah malam dalam hujan lebat, kau bukakkan pintu dan abah bawa balik buku-buku dan pakaian sekolah baru untuk kau dan adik-adik … ingat tak?” Abah tanya …

Saya hanya senyum dan mengangguk sambil teruja nak dengar cerita abah …
” Sebenarnya masa tu abah baru balik dari cari duit cuba untuk pinjam duit dengan sedara mara kita untuk belikan kau dan adik2 baju sekolah dan buku … tapi tak dapat … ”
” Akhirnya abah jumpa kawan lama abah satu masa dulu diapun susah jugak bukan orang senang … tapi senang sikitlah dari kita … Dialah yang berikan abah pinjam duit RM100 utk belikan buku-buku.

Pakaian sekolah tu pun abah hutang dengan tuan kedai … dia bagi hurtang sebab dia tahu anak-anak abah semua pandai-pandai belajar …”

Masa tu tanpa sedar air mata saya sudah laju keluar. Bibir tak boleh berkata-kata … terkedu. Hati rasa sangat sebak.

Abah terus berbicara …

“Malam tu motor abah rosak …. abah tolak motor dari Mak Mandin,Butterworth balik ke Parit Buntar ni dalam gelap sebab kedai dah tutup dan abah tak ada duit nak baiki motor. Abah tolak motor tu dalam hujan bercahayakan langit dan lampu kenderaan lain sejauh hampir 45 km. Ikut jalan lama bukan ada lebuhraya macam sekarang”

” Sekarang abang dah balik dari luar negara … abang dah berjaya … abang kerja bagus-bagus.. abang bantulah orang macam abah yang ramai kat luar sana … abang jadilah orang baik-baik… jangan kedekut dengan rezeki yg Allah bagi pinjam … abah tak ada harta nak bagi kat kau dan adik-adik. Abah hanya ada kasih sayang dan ilmu yang abah mampu berikan sekadarnya … ”


Dan pesanan itulah yang sentiasa tengiang-ngiang di telinga ini setiap kali nak masuk musim bukak sekolah …

Ya Allahh .. rindunya kat abah malam ni … Terima kasih abah kerana membimbing hati ini dari kecik hingga sekarang walaupun jasadmu telah tiada … kau tetap membimbing hati ini ..

Semoga Allah satukan hati-hati kita keluarga besar thirdforce untuk terus istiqamah dalam perjuangan membina bangsa yang prihatin dan saling bantu membantu ini.

Jommm jadi orang baik-baik.

kulihat langit biru

Comments