Rumi antara spiritual, metafizik dan sejagat
ku seman ku hussain
06 Mac 2016
FILEM dokumentari Rumi: Poet of the Heart yang diterbitkan pada 1998 memberikan makna yang tersendiri terhadap puisi-puisi sejagat yang merentasi batas agama, bangsa, budaya dan politik di dunia. Dokumentari ini diusahakan oleh sarjana Barat yang melihat keluarbiasaan Jalaluddin Rumi, penyair Islam abad ke 13 yang meninggalkan pesanan-pesanan berguna kepada generasi berabad-abad selepasnya.
Rumi: Poet of the Heart juga memperlihatkan keinginan menyebar luas tema-tema sejagat dalam sastera sekali gus menipiskan prejudis terhadap kepelbagaian bangsa dan budaya dalam kalangan sasterawan, pemikir dan sarjana Islam. Dokumentari ini diangkat daripada tafsiran terhadap puisi-puisi sufi yang dihasilkan oleh Rumi yang terus dikaji dan ditafsirkan sejak sekian lama.
Kehadiran semula puisi-puisi Rumi pada penghujung abad ke-20 dulu sesuatu yang cukup menarik. Selain mencatatkan jualan tinggi bagi antologi puisi Rumi di Amerika, karya itu juga menguatkan hujah bahawa kesusasteraan penyumbang utama kepada pembangunan insan yang membawa kepada pembangunan ekonomi. Ini bermakna karya-karya sufi Rumi sesuai dengan semua zaman, agama, manusia dan budaya. Sifat-sifat sejagat dalam puisi- puisi inilah yang boleh dijadikan renungan ketika manusia terus berpecah dan tidak dapat mewujudkan kesatuan dan meraikan kepelbagaian ragam kepercayaan, ideologi dan budaya.
Saya suka melihat kehadiran puisi-puisi yang berusia lebih 800 tahun ini dalam media yang berbeza sebagai kelangsungan yang wajar diteruskan. Apabila ia menjadi inti kepada sebuah media popular seperti filem, ini membantu mencungkil sifat-sifat luar biasa penyair kelahiran Afghanistan itu sebelum merentas abad baharu 16 tahun lalu.
Terbaru, di negara kita Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM) mengambil langkah proaktif walaupun tidak popular apabila menterjemah dan menerbitkan puisi Mathnawi tulisan Rumi dalam bahasa Melayu. Buku puisi enam jilid edisi terhad hasil terjemahan Profesor Dr. Sayid Ajmal Al Aidus itu sudah berada di pasaran. Ini merupakan terjemahan daripada bahasa asal iaitu Parsi ke bahasa Melayu yang pertama. Penerbitan buku puisi ini tepat dengan matlamat kewujudan ITBM untuk memindahkan ilmu dalam bahasa asing ke bahasa Melayu dan dari bahasa Melayu ke bahasa asing.
Menerbitkan puisi Rumi dalam bahasa Melayu adalah satu langkah yang baik walaupun di negara ini minat terhadap buku tidak seperti di Barat. Saya percaya buku puisi ini dapat memberi peluang yang lebih luas kepada khalayak untuk mendekati dan menyelami pemikiran penyair Islam yang terpenting pada abad ke-13.
Serentak dengan itu juga ITBM menerbitkan album Mathnawi Rumi oleh kumpulan Kopratasa yang memetik bahagian-bahagian yang menarik dan mudah difahami daripada puisi Mathnawi ini. Dua anggota Kopratasa, Sani Sudin dan Usop memberikan hasil yang baik dalam penciptaan lagu mengiringi puisi ini, barangkali kerana memahami dan menyelami karya puisi ini.
Penghayatan
Pemikiran Rumi dalam puisi-puisinya sesuai dengan Islam, Kristian, Hindu dan Buddha. Rumi berhujah dan melontarkan rasa dari jiwanya tentang spiritual dan mistiknya kehidupan manusia yang sejagat ini. Tidak ada mesej yang jelas tetapi perlu dihadamkan secara berbeza-beza mengikut tinggi atau rendah daya intelektual individu.
Hal-hal begini yang menarik perhatian Kopratasa untuk mengiringkan puisi Rumi dengan melodi seperti Hay Reiss mengiringkan visual bersama-sama puisi Rumi.
Kefahaman dan penghayatan yang tinggi Sani Sudin dan Usop memberikan tenaga melodi yang kuat kepada puisi Mathnawi. Rumi yang meninggal dunia pada 17 Disember 1273 ketika berusia 66 tahun meninggalkan sesuatu yang terus dimanfaatkan oleh generasi selepasnya. Merungkai kesan mistik dan menyusuri spiritual yang dituangkan dalam puisi-puisinya satu kembara yang unik.
Keunikan itu dilihat satu faktor yang memandu Kopratasa dalam menginterpretasi frasa kepada melodi. Nampaknya tujuh abad usia karya-karya tidak menghalang untuk terus menjadikan ia baharu dan segar dalam keinginan manusia mencari kesejagatan. Rumi memanfaatkan disiplin pemikiran metafizik terhadap kesusasteraan. Inilah yang membawa puisi-puisi Rumi jauh ke depan meninggalkan zamannya. Kemudian didokong oleh tiga prinsip utama iaitu kemuliaan, toleransi dan meyakini keragaman.
Biarpun ada yang sangsi terhadap sumbangan kesusasteraan dalam pembangunan manusia, karya-karya Rumi di tangan Kopratasa dan ITBM boleh dijadikan satu contoh baik bagaimana sastera dimanfaatkan. Ini bukanlah suatu yang pelik kerana sarjana Amerika yang terkenal dengan prejudis terhadap negara di luar Amerika memilih karya Rumi sebagai inti karya mereka.
Seperti diungkap Franklin D. Lewis dalam bukunya, Rumi; Past and Present, East and West, Rumi salah seorang tokoh Islam yang digemari Barat khususnya Amerika Syarikat hinggakan ikon budaya popular seperti penyanyi Madonna turut mengagumi dan menjadikan puisi Rumi sebagai inspirasi lagu-lagunya.
Ini membuktikan bahawa sumbangan karya-karya kesusasteraan tidak sama dengan sumbangan kebendaan yang boleh dilihat dengan mata. Memetik kata-kata Coleman Barks bekas profesor sastera Inggeris University of Georgia, puisi-puisi Rumi menyingkapkan kasih sayang dan ketuhanan yang sangat dalam.
Dia tentunya layak bercakap mengenai Rumi apabila mengusahakan penerbitan 12 edisi terjemahan puisi-puisi Rumi. Antara yang cukup diingati ialah Open Secret dan Unseen Rain. Demikianlah Rumi yang kedalaman pemikirannya terus diterokai untuk dipetik maknanya.
utusan online
Comments
Post a Comment