31 Aug 2015

merdeka

merdeka

merdeka adalah warna terang
memberi cahaya pada segala suram
bertatih dan berjalan
dengan langkah keyakinan 
dengan lenggok keberanian
berjalan atau berlari
adalah pilihan
bagaimana kita mengumpul makna
mengisi fajar dan panas pagi
atau menunggu hujan merintikkan makmur
inilah tanahair
tempat kita berdiri dan memijak tanah
menjadi warga mengisi teluk hidup
dan menjadi kewajipan untuk bersama
mempertahankan maruah dan bebas negara

merdeka adalah suara
yang terungkap sebagai seru dan jawab
bahasa santun inti peribadi
bahasa jiwa melakar berani rasa dan jiwa
bahasa untuk kenal dan sapa
bahasa untuk mengisi dada dengan bijaksana
tahulah engkau intan dan kaca 
kilau dan cahaya
menjadi unggun membakar semangat hari depan
bilah-bilah masa yang jatuh
terisi bakti dan tuai bukti 
untuk hidup bersama ini

merdeka adalah kasih sayang
yang berbancuh cinta dan bisik harapan
akan bertamu teman dan taulan
akan berjabat tetangga dan tetamu
inilah bahagia dalam jiwa merdeka
tak terulis usik dan calar sengketa
sama menyaksi tercipta jaya
atau bermuram pada luka yang serupa
negara ini adalah  bunga cinta
harum ke pelusuk hati dan raga
merdeka adalah tulus jiwa
merdeka adalah ikhlas rasa
membugarkan cinta

merdeka
adalah keadilan bersama kebaikan bersama
tidak menjadi rendah kerana kita kerdil
tidak menjadi angkuh kerana kuasa dan harta
bukan untuk bertindak memungkiri
tetapi akan selalu memberi
ini tanah makmur hidup bersama
berpeganglah pada janji dan ikrar sendiri
makmur dan bahagia menjadi hak 
semua

tataplah bahtera merdeka ini
jangan terbiar karam dan digulung gelombang
nahkoda budiman hatinya tersulam cinta nusa
mengemudi bijaksana 
bukan pencandu kuasa 

merdeka
adalah bagaimana
kaumengerti denyut dan ungkap
negerimu sendiri






Terima Kasih


Terima Kasih

Hanya itu yang dapat saya ungkapkan
kepada semua pengunjung
yang menjadikan blog Mimbar Kata
tiba juga mendaki page view ke 1 juta

Bukan mudah untuk tiba
tanpa sokongan dan kunjungan tuan/ puan
apa lagi blog ini lebih difokuskan kepada denyut
dan rentak sastera, seni, budaya, dan warisan.
Sukar untuk bertatih tetapi digagahkan juga..

Kesempatan ini  ingin saya ungkapkan rakaman terima kasih
terutama kepada semua teman blogger yang 
membantu dan memberi semangat dan ungkap

Ucap terima kasih tak terhingga kepada
Saudara Hasrul Hassan atas segala sokongan

Terima kasih
dan salam kemerdekaan


Bahtera Merdeka



 PERISTIWA BUKIT KEPONG

Mereka yang terselamat


Anggota Polis

Konstabel Othman Yusoff (meninggal);
Konstabel Marin Abu Bakar Daud (meninggal);
Konstabel Tambahan Ahmad Khalid (meninggal);
Sarjan Haji Yusoff Rono (78 tahun pada tahun 2000, meninggal dunia pada tahun 2005)

Ahli keluarga anggota

Mariam Ibrahim - balu Allahyarham Konstabal Muhamad Jaafar
Zainun Muhamad - anak perempuan Allahyarham Konstabel Muhamad Jaafar
Abu Samah Muhammad - anak lelaki Allahyarham Konstabel Muhamad Jaafar
Zaleha - anak perempuan Allahyarham Konstable Muhamad Jaafar
Jamilah - anak perempuan Konstabel Marin Abu Bakar Daud
Hussain - anak lelaki Konstabel Marin Abu Bakar Daud
Fatimah Abdul Manan @ Timah Lawa - isteri Allahyarham Konstabel Hassan Osman
Pon Khalid - isteri Allahyarham Konstabel Marin Awang Ali
Fatimah Tuani - isteri Allahyarham Konstabel Hamzah Ahmad


Mereka yang terbunuh dalam pertempuran

Anggota Polis

Allahyarham Sarjan Jamil Mohd Shah (KPB Bukit Kepong)
Allahyarham Koperal Mohd Yassin Haji Wahab
Allahyarham Lans Koperal Jidin Omar
Allahyarham Konstabel Hassan Osman
Allahyarham Konstabel Hamzah Ahmad
Allahyarham Konstabel Jaafar Hassan
Allahyarham Konstabel Muhamad Jaafar
Allahyarham Konstabel Marin Ibrahim Adam
Allahyarham Konstabel Abu Mohd Ali
Allahyarham Konstabel Abu Kadir Jusoh
Allahyarham Konstabel Marin Awang Ali
Allahyarham Konstabel Marin Basiron Adam
Allahyarham Konstabel Tambahan Mohd Top Lazim
Allahyarham Konstabel Tambahan Jaafar Arshad

Polis Bantuan

AP Samad Yatim
AP Mahmood Saat
AP Ali Akop
AP Othman Yahya

Keluarga Anggota

Fatimah Yaaba - isteri kepada Konstabel Marin Abu Bakar Daud
Hassan Abu Bakar - anak lelaki kepada Konstabel Marin Abu Bakar Daud
Saadiah - isteri kepada Konstabel Abu Mohd Ali
Simah Abu - anak kepada Konstabal Abu Mohd Ali

Polis Bantuan (AP) dan Pengawal Kapung yang terkorban dalam pertempuran diluar balai polis

AP Redzuan Alias
Embong Lazim
Koh Ah Cheng

ost bukit kepong

salam kemerdekaan



salam kemerdekaan
dirgahayu tanahairku
selamat hari kemerdekaan 2015


Bukit Kepong HD



Anak Jins Shamsuddin Sayu Tengok Reaksi 'Kosong' Ayah
26 Ogos 2015 
Oleh: MOHD AL QAYUM AZIZI


Tan Sri Jins Shamsuddin hadir pada tayangan perdana filem arahannya Bukit Kepong versi HD yang diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) Pavilion di sini pada malam Selasa. Foto THE STAR/MOHD AZHAR ARIF


KUALA LUMPUR: Anak bongsu kepada pengarah dan pelakon Tan Sri Jins Shamsuddin iaitu Putera Hang Nadim sayu apabila melihat reaksi 'kosong' bapanya semasa tayangan perdana filem Bukit Kepong versi definasi tinggi (HD) yang diadakan pada malam Selasa.

Hang Nadim, 24, berkata, Jins langsung tidak mengingati tentang filem arahannya itu malah tidak mengenali dirinya sendiri yang turut berlakon dalam filem berkenaan.

"Pada awal filem itu ditayangkan dia teruja kerana namanya terpapar di skrin tetapi selepas itu dia langsung tidak mengingati tentang Bukit Kepong.

"Dia kelihatan bersungguh menonton tetapi saya tahu pandangan diberikan adalah kosong malah dia tidak mengenali dirinya sendiri dalam filem berkenaan," katanya kepada mStar Online.

Hang Nadim berkata demikian selepas ditemui pada tayang perdana filem berkenaan yang diadakan di Golden Screen Cinemas (GSC) Pavilion di sini.


Menteri Komunikasi dan Multimedia, Senator Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak (tengah) bergambar kenangan bersama Jins dan tetamu lain yang hadir pada tayangan perdana Bukit Kepong HD.

Selain Jins, turut hadir pada majlis berkenaan adalah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Panglima Dr Mohd Salleh Tun Said Keruak, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim, penerbit dan Datuk Yusof Haslam.

Bukit Kepong versi HD arahan Jins pada tahun 1981 dengan kos RM1 juta berjaya dinaik taraf melalui proses membaik pulih visual dan audio yang dilakukan oleh anak syarikat KRU iaitu Prodigital Lab Sdn Bhd.

Bukit Kepong HD bakal ditayangkan semula di pawagam bermula 27 Ogos ini di pawagam terpilih bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia ke 58.

Dalam pada itu, Hang Nadim yakin sekiranya kesihatan bapanya masih baik, bekas Ahli Dewan Negara itu pasti bangga dengan usaha dilakukan oleh pihak KRU terhadap filem berkenaan.

"Sebagai anak saya yakin beliau pasti bangga melihat filem arahannya dinaik taraf malah ditayangkan semula di pawagam biarpun untuk masa singkat.


 Jins ditemani anak bongsunya, Hang Nadim.


"Sayu juga saya melihat reaksinya seperti tidak memahami apa yang berlaku tetapi Alhamdulillah biarpun dengan keadaannya beliau masih berkesempatan untuk berada pada hari bersejarah itu," katanya.

Selain Bukit Kepong, Hang Nadim berkata, tiga lagi filem arahan bapanya iaitu Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada dan Tiada Esok Bagimu akan menjalani proses sama.

Sementara itu, bercakap mengenai keadaan terkini Jins, Hang Nadim berkata, selain penyakit Alzheimer kesihatan bapanya berada dalam keadaan baik.

Bagaimanapun kata Hang Nadim, ingatan bapanya semakin merosot namun masih mengenalinya dan abangnya Hang Jebat.

"Ayah hanya mengenali saya dan abang (Hang Jebat), jadi kami kena sentiasa berada dekat dengannya agar dia tidak berasa terasing tanpa mengenali sesiapa.

"Alhamdulillah kesihatannya berada dalam keadaan baik dan sehingga kini langsung tiada masalah jantung, darah tinggi atau kencing manis seperti mana biasa di alami oleh golongan tua sepertinya," jelasnya.

mstar

Transformasi Wajah Baharu, 'Bukit Kepong' Ditayang Ogos
15 April 2015 
Oleh: KEMALIA OTHMAN


Dari kiri; Norman Abdul Halim, Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman dan pengarah filem Bukit Kepong, Tan Sri Jins Shamsuddin.


KUALA LUMPUR: Filem epik Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsuddin Sdn Bhd berjaya dinaik taraf kepada kandungan definasi tinggi (HD) melalui proses membaik pulih yang dilakukan oleh anak syarikat KRU iaitu Prodigital Lab Sdn Bhd.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim berkata, filem tersebut menjalani proses tranformasi bagi meningkatkan kualiti termasuklah dari sigi visual dan audio bagi tujuan komersial dan pengedaran semula.

"Kita menaik filem ini kepada kandungan definasi tinggi, malah meningkatkan kualiti warna seolah-olah penggambaran baharu sahaja dilakukan semalam.

"Selain itu, mutu audio juga dipertingkatkan dalam proses adunan semula daripada mono ke stereo, suntingan bagi menyelaraskan lipsync audio asal dengan visual, noise reduction serta penambahan kesan bunyi," ujarnya kepada mStar Online.

Norman ditemui pada sidang media Ops Selamatkan Bukit Kepong yang diadakan di Platinum Sentral, di sini, Selasa.

Turut hadir pada majlis tersebut Ketua Pengarah Finas, Datuk Kamil Othman, pengarah filem itu, Jins Shamsudin, Datin Paduka Shuhaimi Baba dan Pengurus Besar Grand Brilliance, Tengku Iesta.


Imej terbaharu Jins Shamsuddin. Beliau kelihatan uzur namun masih mampu memenuhi undangan majlis.

Tambahnya, filem yang diterbitkan pada tahun 1981 itu mengambil masa selama tiga bulan untuk proses tranformasi tersebut dan menelan kos sekitar RM100,000.

"Kos dan tempoh proses digital remastering bergantung kepada kondisi filem. Ketika kami menerima filem ini, ia dalam format filem negatif 35mm, kami dapati keadaannya tidak begitu baik dan ia sudah melekat serta tidak boleh diimbas.

"Ia terpaksa dibawa ke Thailand untuk proses pembersihan dan sangat rumit sehingga mengambil masa yang lama," ujarnya.

Sementara itu, Norman berkata, dia memilih filem Bukit Kepong sebagai filem pertama melakukan proses itu berikutan ia sebuah filem yang masih relevan untuk ditonton generasi masa kini.

Katanya, teknologi dan teknik pengimejan berkomputer yang digunakan dalam filem itu dilihat sebagai mendahului zaman.

Tambahnya, tayangan filem tersebut akan diadakan selama dua iaitu pada bulan Ogos depan sempena bulan kemerdekaan.

"Filem ini berbeza daripada filem lain yang mana saya lihat ia sebagai filem lama yang masih releven untuk ditonton.

"Bukit Kepong juga banyak menerapkan nilai-nilai yang baik dan Insya-Allah akan ditayangkan di pawagam pada bulan kemerdekaan," ujarnya.

Dalam pada itu, Norman berkata, pihaknya dalam proses membaik pulih tiga filem lain iaitu Menanti Hari Esok, Esok Masih Ada dan Tiada Esok Bagimu yang mana filem berkenaan adalah arahan Jins Shamsuddin.

Satu lagi filem Jins Shamsuddin yang menggunakan tajuk esok ialah Esok Untuk Siapa.

http://www.mstar.com.my/hiburan/berita-hiburan/2015/04/15/transformasi-bukit-kepong/mstar



Bukit Kepong HD relives Jins Shamsudin's masterpiece 
By FAISAL ASYRAF - 26 August 2015 @ 8:04

 KUALA LUMPUR: “He couldn’t even recall himself on the silver screen,” said Putera Hang Jebat about his father, renowned veteran actor-director Tan Sri Dr Jins Shamsudin, 80.

The Bukit Kepong hero who suffers from memory loss, has been diagnosed with Alzheimer disease since 2011.

 Tan Sri Dr Jins Shamsudin who suffers from memory loss, has been diagnosed with Alzheimer disease since 2011 watches the special screening of Bukit Kepong HD at the GSC Pavilion in Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pix by Nik Hariff Hassan 

His glance is empty, and he couldn’t recall his peers around him except for his family members.

“Had my father been in better health, he would have been very proud to see his classic film be the one chosen to be digitally remastered,” added Jebat as he looked lovingly at his father seated next to him.

Jebat, 28, said this when met after the special screening of Bukit Kepong HD at the GSC Pavilion in Bukit Bintang today.

Jebat and his brother Putera Hang Nadim, 24, were there to accompany their father.

The project of digitally remastering the 1981 epic film (produced, directed and acted by Jins) was initiated by United Studios (a distribution and marketing company under KRU International), which invested in the restoration and HD upgrade costing RM100,000. The actual technical work was carried out by Prodigital Lab (owned by KRU Malaysia).

“Today is a very special day for my father but of course he doesn’t know that. It’s heartbreaking to see him this way. How I wish he could bask in this moment of merriment and know that everyone present here love his works,” said Jebat, who now runs the Jins Shamsudin Productions on behalf of his father.

“I have to accompany him whenever he goes out. But these days, he prefers to stay at home unless there are special occasions such as this,” he said.

“For his age, he is healthy. Unfortunately, he doesn’t remember things anymore.”

Jebat is currently in the midst of finalising a 45-minute documentary about his father called Kembara Seorang Seniman.

 Tan Sri Dr Jins Shamsudin accompanied by his son Hang Jebat at the special screening of Bukit Kepong HD at the GSC Pavilion in Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Pix by Nik Hariff Hassan 

“The documentary is a collaboration between Jins Shamsudin Productions and Finas, and it is now at the editing process,” he said, adding that the documentary is slated for released next year.

Under the tutelage of the late Tan Sri P. Ramlee, Jins rose to fame in the 1950s through more than 40 films including Pancha Delima (1957), Azimat (1957), Sarjan Hassan (1958), Anak Pontianak (1958), Megat Terawis (1960), Si Tanggang (1961), Bidasari (1964), and Bayangan Ajal (1968).

The remastered Bukit Kepong will be released at selected cinemas beginning tomorrow. Among them are TGV Bukit Raja in Klang, TGV D’Pulze Cyberjaya, TGV AU2 Keramat, GSC Alamanda, Putrajaya, GSC Midvalley, Cathay Cineplex e@Curve Damansara, GSC 1Borneo, Kota Kinabalu, Sabah, GSC Dataran Pahlawan in Melaka, GSC East Coast Mall in Kuantan, Pahang, and Cathay Cineplex City Square and TGV Tebrau City (Johor).


 Also present at the screening were KRU Studios chief executive officer Norman Abdul Halim, National Film Development Corporation (Finas) director-general Datuk Kamil Othman, Finas deputy director Datuk Yusof Haslam and Royal Malaysia Police Crime Prevention Department director Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. Pix by Nik Hariff Hassan 

Also present at the screening were KRU Studios chief executive officer Norman Abdul Halim, National Film Development Corporation (Finas) director-general Datuk Kamil Othman, Finas deputy director Datuk Yusof Haslam and Royal Malaysia Police Crime Prevention Department director Datuk Acryl Sani Abdullah Sani.

nst



Bukit Kepong naik taraf
Filem epik arahan Tan Sri Jins Shamsuddin telah dibaik pulih kepada format HD dalam usaha memelihara khazanah seni tempatan
22 April 2015


Norman Abdul Halim dan Ketua Pengarah FINAS, Datuk Kamil Othman menyampaikan replika poster kepada Artis dan Pengarah filem Bukit Kepong, Tan Sri Jins Shamsuddin selepas sidang akhbar Ops Selamatkan Bukit Kepong untuk ditransformasikan dari analog ke digital.

INDUSTRI kandungan kreatif di Malaysia kini melalui era transformasi dari sistem analog ke digital, di mana format kandungan berdefinisi tinggi (HD) sudah menjadi lumrah atau kebiasaan bagi penonton, para karyawan, pawagam serta stesen-stesen penyiaran tempatan dan antarabangsa.

Sejajar dengan saranan kerajaan mahu melihat kemajuan industri kreatif untuk diangkat hingga ke peringkat global, United Studios Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat KRU Malaysia Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif pertama mereka bagi membaik pulih filem epik tahun 1981, Bukit Kepong arahan Tan Sri Jins Shamsuddin.

Langkah tersebut bertepatan dengan usaha memelihara khazanah seni yang berharga dalam industri seni tanah air selain mempertontonkan kembali bahan sejarah tersebut agar dapat dijadikan rujukan ramai pada masa akan datang.

Proses membaik pulih bahan arkib itu telah dilakukan oleh anak syarikat KRU sendiri iaitu Prodigital Lab Sdn.Bhd. selain mendapat kerjasama pihak Jins Shamsuddin Productions bagi memastikan perjalanan proses tersebut berjalan mengikut apa yang telah dirancang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat KRU, Norman Abdul Halim berkata, filem Bukit Kepong menjalani pelbagai proses transformasi bagi meningkatkan kualiti dalam menghasilkan satu karya seperti baharu. Sudah pasti, proses tersebut agak merumitkan serta memerlukan penelitian yang semaksimum mungkin.

“Filem ini tidak menggunakan teknik CGI dan telah menggunakan teknik yang boleh dikatakan sudah mendahului zaman pada ketika itu. Tapi sayangnya, filem ini tidak dijaga dengan baik.

“Justeru, kami mengambil langkah proaktif bagi menjalankan kerja menaiktarafkan Bukit Kepong kepada versi HD. Kita nak filem-filem sejarah seperti ini menjadi satu bahan yang boleh diguna pakai buat tontonan generasi baharu sebab filem ini masih relevan kerana ia berunsur sejarah,” katanya.

Tambah Norman, Bukit Kepong bukan sahaja dinaik taraf ke kandungan HD, kerja-kerja berat itu telah dipertanggungjawabkan kepada Prodigital Lab dalam memastikan proses penyuntingan berjaya.

“Sebelum ini filem ini berada dalam simpanan Arkib Negara selama 10 tahun. Kami berusaha untuk dapatkan negatif filem ini melalui perbincangan dengan Jins Shamsuddin Productions yang hanya ada satu salinan sahaja kerana kami pasti ia penting kepada umum.

“Bukit Kepong melalui banyak proses seperti mutu audio dipertingkatkan dengan proses adunan semula dari mono ke stereo, suntingan bagi menyelaraskan dengan sebutan audio asal dengan visual serta penambahan kesan khas bunyi.

“Sebab itu juga proses untuk siapkan sepenuhnya filem epik ini mengambil masa selama tiga bulan dengan proses pemulihan filem yang menelan kos sekitar RM100,000.

“Yang pasti, filem ini akan dipasarkan semula di pasaran tempatan dan antarabangsa,”ujarnya yang turut menandatangani perjanjian bagi membaik pulih tiga buah filem klasik lain iaitu Menanti Hari Esok, Esok Masih dan Tiada Esok Bagimu.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Prodigital Lab, Archie Nasution diberikan peranan besar dalam mengemudi kerja-kerja penyuntingan.

“Kos dan tempoh proses membaik pulih ini sebenarnya bergantung kepada kondisi filem. Masa pihak kami menerima negatif Bukit Kepong dengan format filem 35mm, kami dapati keadaan filem tersebut tidak berada dalam keadaan baik kerana ia sudah melekat dan tidak boleh di imbas.

“Negatif tersebut dihantar ke makmal bagi member-sihkannya dengan mengguna-kan bahan-bahan kimia dan kami akui proses ini sangat rumit dan ambil masa yang lama,” katanya.

Dalam pada itu, sepanjang tempoh tiga bulan itu juga, salah seorang anak Jins Shamsuddin, Putera Hang Jebat turut bersama-sama melihat proses filem arahan ayahnya itu diberi nafas baru.

“Saya sangat berpuas hati dengan hasil kerja KRU. Filem ini bila sudah dinaik taraf, ia seolah-olah baru menjalani penggambaran semalam.

“Sebelum ini, Norman ada menyuarakan hasrat untuk membuat penyuntingan filem Bukit Kepong kepada saya. Saya ambil inisiatif sendiri dengan bersetuju cadangan tersebut sebab daripada biarkan sahaja filem ini tidak dijaga dengan rapi, lebih baik serahkan kepada KRU untuk dijadikan HD.

“Saya turut memberitahu pada ayah akan perkara ini dan masa itu dia pun tak berapa nak sihat sangat. Jadi saya buat keputusan sendiri dan inilah hasilnya,” kata Jebat.

Filem wajib tonton ini dijangka akan ditayangkan semula menerusi pawagam di seluruh negara pada bulan Ogos ini sempena sambutan bulan kemerdekaan negara.

utusanonline

Kemerdekaan Dihayati Menerusi Filem Bukit Kepong HD
20 Ogos 2015


KUALA LUMPUR, 20 Ogos – Bulan Ogos merupakan bulan yang bermakna untuk setiap rakyat Malaysia kerana ia merupakan bulan Kemerdekaan yang kita kecapi hasil usaha dan titik peluh pejuang-pejuang yang mana berjuang meastikan kita mengecapi kemerdekaan dan keamanan.

Kemerdekaan yang dikecapi kini diperolehi selepas melalui ranjau yang penuh dengan duri dalam tempoh yang amat panjang. Semangat dan pengorbanan para pejuang lalu harus dijadikan tauladan untuk kita menghadapi cabaran mendatang demi mengekalkan maruah dan kedaulatan negara tercinta.

Melalui filem “Bukit Kepong” mengisahkan kesetiaan dan pengorbanan 25 anggota polis mempertahankan tanah air tercinta menentang 180 anggota komunis pada tahun 1950 dan filem ini turut mendapat kerjasama pihak PDRM ketika penggambaran dijalankan lebih 30 tahun yang lalu. Filem “Bukit Kepong” berjaya meraih 7 anugerah termasuk Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke - 3.

Keupayaan Kumpulan Syarikat KRU melalui United Studios Sdn Bhd dan Prodigital Lab Sdn Bhd telah membuat pelaburan dari segi pemasaran serta menjalankan kerja-kerja restorasi digital bagi visual dan audio filem “Bukit Kepong”. Kerja-kerja rumit ini telah dihasilkan dengan penuh teliti dan filem ini akan ditayangkan semula di pawagam-pawagam tertentu pada 27 Ogos 2015 bersempena sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-58.

“Bukit Kepong” bukan saja dinaik taraf ke kandungan definisi tinggi (HD). Prodigital Lab turut meningkatkan kualiti warna untuk tampak seolah-olah “Bukit Kepong” baru menjalani penggambaran semalam. Selain dari itu, mutu audio juga dipertingkatkan dengan proses adunan semula dari mono ke stereo, suntingan bagi menyelaraskan lipsync audio asal dengan visual, noise reduction serta penambahan kesan khas bunyi.

Pendigitalan kandungan kreatif seperti “Bukit Kepong” ini bukan saja meningkatkan kualiti bagi tujuan pengkomersilan dan pengedaran semula, ianya juga menjimatkan kos pengarkiban dan yang lebih penting memelihara khazanah seni tempatan untuk tontonan dan rujukan di masa-masa yang akan datang.

Kumpulan Syarikat KRU dan Polis Diraja Malaysia pada awal bulan Jun telah mengumumkan kerjasama strategik bersempena tayangan filem “Bukit Kepong” versi digital definisi tinggi pada bulan kemerdekaan ke-58. Memorandum persefahaman yang dimeterai di Bukit Aman, Kuala Lumpur bertujuan untuk menyalurkan sebahagian daripada kutipan tayangan amal, tayangan perdana serta tayangan awam filem “Bukit Kepong” bagi mengisi Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia.

Lagu “Bahtera Merdeka” merupakan tema bagi filem ini yang telah menerima sentuhan komposer nombor 1 negara, Edry Abdul Halim. Lagu ini didendangkan semula oleh One Forteen dan Balqies.

Filem penuh sejarah ini sarat dengan mesej patriotisme dan adalah besar harapan kami agar filem ini akan menimbulkan penghayatan kemerdekaan di kalangan generasi muda sekaligus menghargai sumbangan besar anggota polis dalam mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara kita yang tercinta. - Sharini Abdulah, (WD MY)

wartadaily

Bukit Kepong HD

27 Aug 2015

Tentang "Kapsul"

Kapsul cipta sejarah
Oleh RASDAN AHMAD
23 Ogos 2015






FILEM Kapsul yang diterbitkan oleh Two Tones Sdn. Bhd. dan akan ditayangkan pada 17 September nanti melakar sejarah apabila berjaya memujuk bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (Tun M) untuk terbabit sama menjayakan filem itu. Penampilan Tun M melakonkan lima babak berdialog dengan teraju utama filem tersebut, Faizal Hussein memberi kesan kepada keseluruhan filem itu yang sebelum ini telah diarahkan oleh Allahyarham Martis Mohd Ali.


Menyambung pembikinan yang tergendala, penerbit filem Kapsul, Amru Najmi Osman berkata, pernah menyebut untuk membawa Tun M sebagai pelakon dalam Kapsul kerana percaya Tun M akan memberi kesan yang besar kepada keseluruhan filem yang bertemakan kenegaraan ini.

“Pada awalnya memang saya tergelak dengan idea arwah, saya tidak tahu mengapa arwah cukup beria-ia untuk mendapatkan Tun M. Namun sekarang baru saya tahu sememangnya kesan daripada Tun M memang cukup besar. Ditambah pula pencapaian beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia paling berjaya.

“Saya juga bersyukur dan berpuas hati apabila hasrat Martias untuk membawa Tun M dalam filem ini berjaya dilaksanakan namun terkilan arwah tidak dapat melihat filem yang diusahakannya ini,” jelas Amru ketika dihubungi Pancaindera baru-baru ini.

Tambah Amru lagi, untuk mendapatkan Tun M sememangnya cukup sukar, beberapa perbincangan telah diadakan sejak arwah Martias mula-mula mengarahkan filem ini lagi, namun gagal.


“Selepas Tun M pulang dari mengerjakan umrah pada awal tahun lalu, barulah keputusan positif diterima itu pun selepas pegawai-pegawai khas Tun M melihat draf pertama filem Kapsul.

“Peluang ini saya gunakan dengan sebaik mungkin, paling saya tidak sangka adalah komitmen yang ditunjukkan oleh Tun M dalam menjayakan filem ini sebenarnya di luar jangkaan saya.

“Setiap dialog yang dilepaskan oleh Tun M sebenarnya berlainan daripada skrip asal, namun apa yang diluahkan sebenarnya lebih bertepatan dan lebih kuat dari skrip asal. Mungkin itu disebabkan pengalaman Tun M ketika menerajui negara suatu waktu dulu dan beliau faham kehendak skrip filem ini,” jelasnya.

Dalam pada itu Amru, juga turut gusar apabila ada pihak yang cuba mencetuskan sentimen negatif dengan mengaitkan filem terbitannya dengan sentimen politik semasa.

“Filem ini tidak ada kena mengena dengan sentimen politik sebaliknya hanya fokus kepada perjuangan bangsa Melayu. Kemunculan Tun M melengkapkan jalan cerita filem ini berdasarkan kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam di Putrajaya ketika pentadbirannya.

“Semua pelakon yang terbabit begitu teruja kerana Tun M bersetuju untuk turut berlakon dalam filem ini. Kesan yang diberikan oleh Tun M tidak dinafikan begitu besar sekali buat filem Kapsul ini," tambahnya.

Filem ini mampu membuatkan penonton sebak dan menangis melihatkan semangat perjuangan perwira kita dulu. Filem ini yang menjalani penggambaran awal tahun lalu adalah hasil intepretasi Martias berkenaan bentuk fizikal kapsul dan isi kandungan yang tercatat dalam kapsul itu mengenai amanat Tun M menjelang tahun 2020.

Filem Kapsul turut diperkuatkan dengan penampilan khas Rahim Razali, Ahmad Tarmimi Siregar, Adlin Aman Ramli dan Irfan Khairi ini bakal menemui penonton seluruh negara mulai 17 September ini. Martias meninggal dunia pada 29 Mei 2014 kerana kanser darah.

urtusan online


Kapsul tanpa isu perkauman
Kapsul punya agenda patriotik
18 Ogos 2015

 KEMUNCULAN Dr. Mahathir Mohamad dalam beberapa babak menjadikan Kapsul sebagai filem yang begitu istimewa.

KOS RM2.3 juta dengan membabitkan seorang figura terkenal dalam sebuah filem mungkin agak mustahil untuk kita bayangkan.

Penampilan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed, 90, dalam filem Kapsul merupakan satu kejayaan manis buat Two Tones Sdn. Bhd.

Tanpa mahu membicarakan soal bayaran terhadap Dr. Mahathir, penerbitnya, Amru Najmi Osman hanya bercita-cita tinggi untuk filem tersebut berjaya menyampaikan mesejnya tersendiri.

“Dengan pembabitan Dr. Mahathir, filem ini akan memberi impak kepada masyarakat tentang pentingnya bangsa Melayu bersatu demi negara. Mesej seperti nilai muafakat itu yang cuba disampaikan. Saya tidak mahu menerbitkan filem yang tiada mesej.

“Kehadiran Dr. Mahathir adalah sebagai pelengkap berdasarkan kisah kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam di Monumen Putrajaya semasa pentadbirannya.

“Tiada kaitan dengan keadaan politik semasa. Ini adalah atas permintaan pengarah dan hanyalah sebuah filem yang berkisar tentang perjuangan Melayu dahulu serta tiada unsur perkauman kerana tidak membabitkan kaum lain,” katanya sambil memberitahu beberapa lokasi telah digunakan seperti Kuala Kangsar, Lenggong, Sayong, Ipoh, Kuala Lumpur, Cyberjaya, Putrajaya dan Klang untuk penggambaran.

Dengan berlatarkan lima era yang berbeza, filem Kapsul yang akan ditayangkan pada 17 September ini diterajui oleh 30 orang pelakon terkenal tanahair dan hampir 200 orang pelakon tambahan. Antaranya, Faizal Hussein, Datuk Rahim Razali, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar, Adlin Aman Ramli, Jue Aziz, Fadilah Mansor, Normah Damanhuri dan Elly Mazlein.

Tidak ketinggalan filem ini juga bakal memaparkan penampilan khas jutawan pakar perniagaan internet Malaysia iaitu Irfan Khairi yang berlakon filem buat kali pertama.


Merupakan ilham dari pengarah filem itu sendiri, Allahyarham Martias Mohd. Ali, Kapsul merupakan sebuah penerbitan filem cereka bergenrekan fiksyen tentang kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam Dr. Mahathir.

Filem ini merupakan satu idea besar dan cubaan berani gabungan di antara penulis dan pengarah serta penerbit mengangkat detik-detik sejarah perjuangan orang Melayu membangunkan negara merentasi zaman dan dipersembahkan ke layar perak dalam bentuk yang agak kontemporari berbeza dengan filem-filem berasaskan sejarah yang lain.

Kapsul mengisahkan perjalanan hidup seorang anak Melayu yang hidup di zaman serba moden ini tetapi berpeluang menelusuri masa lampau melangkaui beberapa dekad bagi melihat sendiri perjuangan orang Melayu yang penuh dengan jalan berliku serta ranjau dan duri demi membangunkan sebuah negara bernama Malaysia.

Sementara itu, Amru turut memberitahu, Dr. Mahathir juga turut berdialog dengan pelakon utamanya, Faizal Hussein.

“Dr. Mahathir bersetuju membintangi filem ini disebabkan jalan ceritanya memaparkan perjuangan bangsa Melayu sejak zaman dahulu.


“Filem ini telah menjalani penggambaran tahun lalu dan kami cuba memberikan kelainan dalam persembahannya dengan suntikan elemen-elemen moden menerusi teknologi imej janaan komputer (CGI) serta plot cerita yang jarang dilihat dalam penerbitan filem mahupun drama di negara ini.

“Kira-kira 60 peratus elemen CGI yang direka dan dibangunkan sendiri oleh kakitangan syarikat yang kesemuanya adalah anak tempatan,” katanya yang bercita-cita memeriahkan lagi dunia perfileman tanah air melalui penghasilan filem-filem berkualiti tinggi dan mempunyai keunikan serta kekuatan tersendiri seperti filem The Adventure of Buntat.

Malangnya, cita-cita pengarahnya untuk melihat sendiri filem ini di layar perak tidak kesampaian apabila meninggal dunia pada 29 Mei 2014 ketika usianya 46 tahun, setelah terlantar selama hampir sebulan di hospital akibat penyakit kanser darah.

Allahyarham hanya sempat terlibat dalam proses penggambaran serta suntingan awal sahaja dan filem ini kemudiannya berjaya disiapkan oleh pihak penerbit hampir 14 bulan selepas ketiadaannya.

utusan online

Kapsul - merentas zaman
Oleh RASDAN AHMAD


FILEM patriotik atau bersifat kenegaraan biasanya berkait rapat dengan jati diri bagi meningkatkan rasa kecintaan para penonton terhadap negaranya.

Elemen-elemen sejarah yang mengaitkan para pemimpin atau seseorang tokoh juga sering digunakan sebagai daya tarikan.

Antara filem-filem patriotik tempatan yang terkenal yang mengisahkan perjuangan menentang penjajahan di Tanah Melayu antaranya Sarjan Hassan dan Bukit Kepong.

Meneruskan kesinambungan penghasilan filem-filem kenegaraan bagi memenuhi keperluan semasa, Leftenan Adnan dan Tanda Putera dihasilkan bagi dijadikan bahan rujukan untuk tatapan generasi akan datang.

Terkini filem berjudul Kapsul dihasilkan dalam memperjuangkan wadah kenegaraan selepas empat tahun 'diperam' yang ditulis skripnya oleh Allahyarham Martias Mohd. Ali.

Sudah hampir 90 peratus siap menurut pengarahnya, Amru Osman, Kapsul dijangkakan akan ditayangkan pada Mac tahun hadapan.

Latar masa berbeza

Filem yang mempertaruhkan pelakon Faizal Hussein yang memegang watak Zohri Ibrahim dilihat merupakan watak yang cukup kuat bagi membawa penonton menjelajah ke dalam filem ini.

Berbeza dengan filem-filem kenegaraan yang biasa kita tonton sebelum ini, rata-ratanya hanya menggunakan satu latar masa sahaja seperti ketika serangan Jepun mahupun ketika komunis bermaharaja di Tanah Melayu.

Namun filem ini menggunakan empat latar masa yang berbeza bagi memberi impak kefahaman maksimum tentang eleman kenegaraan kepada penonton.

Empat latar masa yang dipilih melibatkan ketika Jepun menyerang Tanah Melayu, era 1955 iaitu ketika zaman pemerintahan Tunku Abdul Rahman, zaman pemerintahan Tun Abdul Razak dan ketika era pemerintahan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Filem ini ibarat seperti filem-filem merentas masa terkenal antaranya Back To The Future dan Time Machine yang diterbitkan di Hollywood.

Namun kelainan bagi filem ini adalah dari sudut wacana serta pemikirannya, bukan sebuah filem kosong tetapi filem mempunyai mesej yang cukup mendalam.

Filem yang mengambil masa penggambarannya selama 25 hari ini juga boleh dijadikan sebagai propaganda berkesan bagi menyedarkan masyarakat Melayu yang kini dilihat semakin lupa tentang keperitan sebelum merdeka.

Bermula dengan berperang ketika era Perang Dunia Kedua inilah perjalanan Zohri berubah-ubah bagi menunjukkan bagaimana keperitan bangsa Melayu bagi mempertahankan tanah air sendiri.

Pengalaman penggembaraan Zohri ini ditunjukkan bagi memastikan penonton juga turut merasai yang sudah berlaku ketika zaman Tanah Melayu yang masih belum merdeka sehinggalah kini dikenali sebagai Malaysia.

Keperitan para pejuang terdahulu termasuk para pemimpin yang banyak berjuang selama ini menjadi intipati berguna kepada penonton agar mengingati peranan mereka dalam memastikan kemerdekaan negara.

Teknik pengimejan komputer (CGI) turut digunakan dalam filem ini bagi mencantikkan lagi 'penggunaan' latar masa yang berlainan.

"Judul Kapsul juga diambil daripada kisah sebuah kapsul yang ditanam oleh Tun Dr. Mahathir yang megandungi tulisan rahsia dan kapsul tersebut juga dikatakan hanya akan dibuka pada tanggal 1 Januari 2020.

"Saya turut berharap agar filem ini akan memberi sesuatu pengajaran kepada penonton," jelas Amru yang turut menyatakan kos keseluruhan penghasilan filem ini sebanyak RM 2.4 juta.

Selain Faizal filem yang menggunakan slogan 'kau perlu merasai untuk kau memahami ini' turut membariskan beberapa nama besar yang lain antaranya Zamarul Hisham, Harianto, Zila Bakarin, Jue Aziz dan Elly Mazlin.


utusan online



26 Aug 2015

"Abang" Rahim Razali

Rahim Razali dramatis yang versatile
December 8, 2013


Rahim Razali telah mengarahkan lapan buah filem, Abang (1981), Pemburu (1982), Tsu Feh Sofiah (1982), Matinya Seorang Patriot (1984), Puteri (1987), Anak Sarawak (1989), Rentak Desa (1990), dan Abang 1992 (1993),

oleh Melati Pusaka

Sudah lama kita tidak mendengar berita pelakon dan pengarah, Datuk Rahim Razali . Tiba tiba akhir bulan Oktober lalu beliau menjadi bahan utama akhbar harian apabila beliau dimasukkan ke hospital akibat pendarahan di otaknya.

Difahamkan beliau menjalani pembedahan kira-kira pukul 8 pagi 30 Oktober lalu di Pusat Perubatan Sunway, Petaling Jaya.

“Alhamdulillah, ayah telah selamat menjalani pembedahan dan ia mengambil proses selama sejam lebih. Dia kini ditempatkan di High Dependency Unit (HDU),” ujar anak kepada pengarah filem ‘Abang’ ini, Nadia.

Sebelum ini, Rahim telah dimasukkan ke hospital selepas mengalami sakit kepala ketika menjalani penggambaran rancangan sukan terbitan Astro Arena di Kuantan, Pahang.

Hasil pemeriksaan, doktor mengesahkan pembuluh darah di bahagian kepalanya pecah dan menyebabkan pendarahan di dalam otak.

Rahim Razali dilahirkan pada 3 Julai 1939 di Batu Gajah, Perak. Beliau merupakan pelakon filem, dramatis dan pengacara sukan, pengarah, penerbit Filem, penerbit TV, jururunding skrip, dan penulis tersohor di Malaysia.

Beliau bersekolah di Sekolah Anderson, Ipoh dan kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Melbourne, Australia dalam bidang chartered accountancy di bawah Rancangan Colombo.

Beliau bekerja sebagai pembantu penyiaran di Radio Malaya, Tobacco Co. Bhd, di Kementerian Kebudayaan, dan SSC & B Lintas Sdn. Bhd dan syarikat iklan rokok SH Benson Advertising Company.

Menubuhkan

Seterusnya bekerja di Fleet Communication. 1981 menubuhkan syarikat sendiri Angkatan Seniman Abad XX Sdn Bhd bersama Wan Rohani Zain, bekas penyampai berita RTM.

Sejak tahun 50an beliau menjadi penulis skrip dan pengarah bagi drama di sekolahnya.Di Australia , Rahim menyertai Melbourne University Theatre Dub, Brighton Theatre Group, dan Australia Broadcasting Commission. 1963, berlakon sebagai Hamlet dalam Hamlet iaitu persembahan untuk Brighton Thearte Group.

Pada tahun 2010 beliau mengarahkan Muzikal Uda & Dara karya asal Usman Awang. Beliau bertanggungjawab mencungkil dan menyerlahkan bakat lakonan ramai bintang sejak era 70an, dan terbaru beliau berjaya menampilkan penyanyi popular Misha Omarsebagai bintang teater muzikal yang mempunyai keseimbangan dalam bidang lakonan dan nyanyian.

Beliau menerbitkan 50 drama televisyen di RTM dan berlakon 15 buah filem.

Sejak 1960an menceburi dunia lakonan di RTM. Sejak 1981 telah mengarah lapan buah filem dan filemnya terpilih mewakili negara ke Tokyo International Film Festival, London International Film Festival dan lain-lain.

Rahim Razali telah mengarahkan lapan buah filem, Abang (1981), Pemburu (1982), Tsu Feh Sofiah (1982), Matinya Seorang Patriot (1984), Puteri (1987), Anak Sarawak (1989), Rentak Desa (1990), dan Abang 1992 (1993),

Anugerah yang beliau menangi ialah 2007 – Festival Filem Malaysia ke-20 ,- Pelakon Lelaki Terbaik (Dalam Watak Pembantu) ,1986 – Festival Filem Malaysia ke-6 – Pengarah Terbaik 1986 ,- Festival Filem Malaysia ke-6 – Skrip Terbaik 1984 ,- Festival Filem Malaysia ke-5 – Sutradara Terbaik 1984 – Festival Filem Malaysia ke-5 – Lakonlayar Terbaik 1981 – Festival Filem Malaysia ke-2 – Pelakon Lelaki Terbaik 1981 – Festival Filem Malaysia ke-2 – Skrip Terbaik.

Beliau minat sukan terutama bola sepak, ragbi, hoki, tenis dan terkini golf. Kerjaya pengacara sukan dipupuk sejak 1965 lagi.. Jasa beliau dalam bidang seni begitu besar kerana filem-filem arahannya dikatakan memberi nafas baru kepada industri filem Melayu.

Filem arahan sulungnya Abang begitu berkesan dan mendapat sambutan hangat pada tahun 1981 dahulu.

fmt


Teringat Rahim Razali tahun 1980-an


DEKAD 1980-an mempunyai petanda yang sangat besar dalam sejarah perfileman Melayu. Biarpun tidak dihasilkan oleh pengarah-pengarah besar seperti P. Ramlee atau Hussein Haniff, tetapi ia mencetuskan satu gelombang baru.

Selepas studio filem Melayu di Singapura ditutup pada 1960-an, perfileman Melayu beralih ke Kuala Lumpur atau lebih tepat lagi ke Studio Merdeka di Hulu Klang. Apa hubungan dekad 1980-an dengan gelombang baru filem Melayu? Sesuatu yang ketara filem dekad 1980-an ditandai dengan hadirnya karyawan-karyawan muda yang tidak ada hubungan jiwa dengan filem Melayu di Singapura. Malah mereka sebahagian besar bukan 'orang filem.

Mereka bukan saja mempunyai gaya berkarya yang berbeza, malah ruang litup persoalan juga menjejak bumi di mana mereka berada. Dekad 1980-an tentunya kita tidak boleh meminggirkan kehadiran generasi muda seperti Rahim Razali, Nasir Jani, Othman Hafsham, Ahmad Yatim, Ahmad Tarmimi Serigar dan banyak lagi.

Rahim Razali cukup menonjol dengan gelombang baru dekad 1980-an apabila 'orang teater' diberi kepercayaan untuk mengarah filem. Abang, arahan Rahim Razali menjadi penanda wujudnya gelombang baru filem Melayu yang terputus daripada kesan dan gaya pemikiran filem di Singapura.

Dekad 1980-an bermula dengan kegemilangan filem Abang arahan pertama Rahim Razali. Beliau yang mempunyai nama yang besar di pentas teater membawa Ahmad Yatim dan Ahmad Tarmimi Serigar yang juga pelakon teater sebagai pelakon utama Abang.

Siapa Rahim Razali? Demikianlah pertanyaan yang bertubi-tubi dengan nada sindir kerana Rahim belum pernah memegang kamera sebelum itu. Tidak kurang juga menjangka Abang akan lebur di tangan orang muda seperti Rahim.

Tetapi keadaan menjadi sebaliknya. Abang yang menyingkap kemunculan golongan korporat Melayu adalah ros bagi filem Melayu. Persoalannya segar tentang dilema kalangan korporat Melayu antara nilai budaya dan gaya hidup baru yang menghiasi dunia korporat.

Abang mengangkat pendekatan dan situasi daripada sosiobudaya masyarakat Melayu. Filem pertama arahan Rahim ini menunjukkan taring yang luar biasa kepada generasi veteran. Biarpun banyak yang berkata, filem arahan Rahim Razali terlalu berwajah teater, tetapi Rahim tidak mempedulikan.

Ternyata Abang keluar secara drastik daripada ikatan konvensional filem Melayu. Isunya mengenai ancaman terhadap institusi keluarga apabila gaya hidup berubah menjadi mewah.

Selepas Abang yang mengerdipkan harapan, Rahim terus mengganas dengan Pemburu. Ahmad Yatim sekali lagi menjadi teraju utama filem yang penuh dendam dan menampakkan imbasan 'hukuman di tangan Jebat'. Malah Pemburu juga antara tiga filem trilogi arahan Rahim yang membawa konsep Jebat. Ketiga-tiga filem itu ialah Pemburu, Matinya Seorang Patriot dan Puteri.

Konsep Jebat dalam filem-filem Rahim pada dekad 1980-an ialah tidak mempercayai ketelusan sistem undang-undang. Sebaliknya keadilan adalah di tangannya sendiri. Gaya pemikiran Rahim yang dituang dalam filem semakin jelas apabila menghasilkan Matinya Seorang Patriot.

Siapa pula yang menjadi penanda dekad pertama alaf baru ini?

utusan online





ABANG: Kejutan daripada Rahim Razali
NASIR JANI
10 Ogos 2014

GELOMBANG baharu perfileman tanah air atau Malaysian new wave cinema bermula pada 1981 dengan lahirnya filem Abang arahan sulung Rahim Razali.

Setahun sebelum itu, Othman Hafsham telah menghasilkan filem Adik Manja (1980) yang lari dari kebiasaan acuan filem-filem Melayu arus perdana.

Walaupun filem Adik Manja meninggalkan jauh filem-filem Melayu lain ketika itu dari segi teknikal dan cara penceritaan yang memenuhi tuntutan-tuntutan cinematic, filem ini tidak boleh dianggap pencetus kepada gelombang baharu filem Malaysia.

Ini adalah kerana, filem Adik Manja merupakan satu cerita adaptasi daripada skrip Hong Kong, Who’s baby in the Classroom yang diolah semula oleh Othman Hafsham untuk memenuhi tuntutan dan milieu tempatan.

Othman Hafsham berjaya membawa nafas segar dan baharu kepada filem Melayu terutamanya filem-filem genre komedi. Beliau berjaya menghasilkan filem komedi situasi yang tidak memaksa penonton ketawa dengan gelagat kurang cerdik dan aksi slap stick kebadutan watak-watak yang dipaparkan seperti kebanyakan filem-filem komedi yang dihasilkan oleh pengarah-pengarah veteran dari Singapura ketika itu.

Isu masalah remaja yang lebih universal sifatnya diangkat oleh Othman Hafsham dalam Adik Manja. Masalah pertembungan pemikiran dan nilai hidup baharu dengan lama dalam menangani masalah kehidupan semasa.

Gelagat Cikgu Azmi yang diperankan oleh pendatang baharu, Dharma Harun Al Rashid yang bukan klise dan unconventional sehingga menimbulkan kekecohan kepada tenaga pengajar lain dan pelajar-pelajar di sebuah sekolah swasta perempuan.

Isu masalah sosial melibatkan pergaulan bebas remaja sehingga melahirkan bayi sebelum berkahwin. Kehadiran bayi si Adik Manja inilah yang mengharu-birukan suasana di sekolah swasta tersebut.

Di tengah-tengah kebanjiran filem-filem komedi style atau gaya lama seperti filem Da Di Du (1981), Setinggan (1981) arahan Aziz Sattar dan filem Si Luncai (1981) arahan Omar Rojik, Othman Hafsham dengan filem Adik Manja berjaya membawa angin perubahan lebih segar dan baharu – satu turning point.

Kejayaan Othman Hafsham itu memberi semangat, kekuatan dan inspirasi kepada penggiat dan pembikin filem generasi baharu untuk membawa perubahan kepada filem-filem Melayu.

Jika filem Adik Manja berjaya merubah gaya penceritaan dan pendekatan cinematic filem-filem Melayu bergenre komedi, bagaimana pula dengan filem-filem Melayu dari genre yang lain?

Di tahun-tahun awal 80-an dan akhir 70-an, selain penghasilan filem-filem komedi, produser-produser Melayu banyak menghasilkan filem-filem bergenre melodrama. Filem-filem melodrama ini kebanyakannya gagal mengangkat isu-isu semasa dan terkini yang sedang melanda bangsa Melayu ketika itu.

Filem-filem itu antaranya seperti Dia Ibuku, Langit Tidak Selalu Cerah, Mama Oh Mama, Perjanjian Syaitan, Potret Maria, Sesejuk Air Mata Ibu, Ribut Barat, Toyol dan Jejak Bertapak masih membawa tema cerita dan isu-isu lama dan yang tidak relevan dengan perkembangan hidup rakyat Malaysia terutamanya bangsa Melayu.

Mudah cakap, perubahan filem-filem Melayu ketika itu cuma pada warnanya sahaja sedangkan cerita dihasilkan masih macam cerita filem Melayu zaman hitam putih. Tiada perubahan dan kemajuan. Masih tersangkut di takuk lama.

Suasana politik tanah air ketika itu sedang rancak mengalami perubahan. Negara sedang bergerak dari sebuah negara berasas pertanian dengan rancangan Buku Hijaunya mula bertukar menuju ke arah menjadi negara berasaskan industri dan penswastaan.

Dikenali sebagai persyarikatan Malaysia – Malaysia Incorporated yang dicetuskan oleh perdana menteri ke empat Malaysia.

Rakyat mula digerakkan untuk menganut satu bentuk kehidupan yang berlandaskan sistem ekonomi bebas. Mula muncul tenaga dan tokoh-tokoh korporat Melayu yang dilahirkan oleh sistem ekonomi ini.

Ketika cara hidup dan cara mencari rezeki mula berubah, bagaimana dengan filem-filem Melayu ketika itu? Ikut samakah berubah? Nasib baik suasana membosankan melanda industri perfileman tanah air yang aku nyatakan di atas tadi tidak berlarutan.

Di tengah-tengah kelesuan dan kebosanan itu muncul seorang aktivis teater, pelakon drama dan personaliti tv yang lebih dikenali sebagai pengulas sukan bernama Rahim Razali. Beliau dengan berani mencuba nasib menduduki kerusi pengarah filem. Satu langkah yang mengejutkan mereka yang sedia ada dalam industri filem Melayu ketika itu.

Aku ketika itu secara peribadi berasa skeptikal juga dengan kemunculan Rahim Razali sebagai pengarah filem. Aku cuma tahu susuk ini sebagai pelakon drama tv dan pentas teater. Bolehkah seseorang tanpa latihan khusus dan latar belakang filem mengarahkan sebuah filem?

Dalam masa sama beliau juga berlakon memegang watak utama. Apa pun semua persoalan ini terjawab apabila filem sulung garapan Rahim Razali berjudul Abang berjaya disiapkan dan ditayangkan kepada umum mulai 7 Mei 1981.

Filem Abang dengan taglinenya, ‘Adakah dia jembalang atau hantu atau syaitan atau...’ merupakan filem pertama gelombang baharu Malaysia atau Malaysian new wave cinema.

Rahim Razali melakukan satu kejutan berani dengan Abang. Filem sulung Rahim Razali ini sememangnya satu gelombang baharu melanggar dan menghempas pantai karat berlumut jurassik perfileman Melayu.

Gelombang baharu yang memang ditunggu-tunggu dan dinantikan oleh penggiat, pembikin, peminat dan penonton filem Melayu yang hauskan dan mahukan kemajuan dan perubahan.

Abang mengangkat isu perubahan hidup yang terjadi kepada orang Melayu. Keadaan orang-orang Melayu mula menikmati kekayaan dan kejayaan dalam bidang ekonomi hasil dari Dasar Ekonomi Baru yang diperkenalkan oleh kerajaan ketika itu. Melalui naratif Abang, Rahim memaparkan perubahan sikap dan terhakisnya nilai-nilai budaya kehidupan orang-orang Melayu.

Perubahan dan keruntuhan nilai-nilai ini disebabkan pengaruh budaya barat yang dianuti oleh orang-orang Melayu dalam perlumbaan mencari kekayaan dan kejayaan dalam dunia korporat.

Melalui Abang, Rahim mengajak penonton berfikir dan mengambil iktibar daripada paparan watak-watak dalam keluarga besar yang berabang sulungkan Fuad (Rahim Razali) melalui konflik dan kecelaruan bila diduga dengan kekayaan yang diperoleh dalam bisnes bertaraf korporat.

Isu kehilangan jati diri bangsa Melayu cuba dikupas oleh Rahim melalui naskhah sulungnya ini. Sebagai seorang pemikir dan pembikin filem yang sedar, Rahim cuba memberi penyelesaian kepada masalah yang diangkatnya melalui naskhah Abang.

Pada Rahim, orang Melayu perlu kembali semula kepada akar umbi budaya dan jati diri mereka walau setinggi mana kejayaan berhasil diraih. Dalam konteks ini, kejayaan dalam dunia perniagaan bertaraf korporat perlu diseimbangkan dengan keluhuran keaslian budaya warisan bangsa Melayu Islam.

Sama ada disedari atau tidak oleh Rahim Razali sendiri yang beliau telah membawa filem-filem Melayu ke satu aras baharu. Aku secara peribadi menganggap filem Abang arahan Rahim Razali adalah pencetus gelombang baharu – Malaysian new wave cinema. Terima kasih Datuk Rahim Razali.

sinar harian

Tiada lagi suara emas Rahim Razali

Oleh : Oleh Nazri Abu Bakar



Pengulas dan pelapor sukan terkenal negara, Datuk Rahim Razali, 75, mengumumkan persaraannya dalam bidang berkenaan selepas kesihatan yang tidak mengizinkannya untuk aktif seperti sebelum ini.

Sepanjang pembabitan dalam bidang berkenaan, beliau pernah diberi peluang sebagai pengulas Sukan Olimpik sebanyak lima kali, bola sepak Piala Dunia enam kali dan Hoki Piala Dunia empat kali selain Sukan Sea, Sukan Asia dan Piala Thomas de–ngan penuh keikhlasan dan tanggungjawab.

Menurut Rahim, pelbagai isu, pengalaman dan perjalanan dilalui sebagai pengulas sukan radio dan televisyen bermula 1965 termasuk kejohanan tempatan dan antarabangsa yang turut mengisi rentetan kisah hidupnya sebagai pencinta sukan tanah air.

“Apa pun, itu semua kenangan manis saya sebagai perantara untuk memberi maklumat dan menyampaikan perjalanan sukan itu untuk disalurkan kepada peminat dan rakyat Malaysia sepanjang kerjaya yang dianggap amat mencabar ini.

“Keadaan kesihatan yang sukar dijangka terutama selepas menjalani pembedahan otak beberapa bulan lalu antara faktor utama saya bersara dalam bidang ini,” katanya.


Berita Rahim yang dilaporkan mengalami pendarahan dalam otak (subdural hemorrhage) dan menjalani rawatan pembedahan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Pusat Perubatan Sunway Petaling Jaya sebelum ini amat mengejutkan peminat dan pengikut setianya.

Malah, peminat dan rakan pengulas sukan turut mendoakan kesihatannya segera pulih seperti yang diluahkan menerusi pelbagai saluran komunikasi termasuk media sosial ketika itu.

Menurut Rahim, setakat ini, kesihatannya kembali pada tahap memuaskan.

“Alhamdulillah, kesihatan saya bertambah baik dan sebaik pulih, saya sempat berlakon dalam satu drama purba di Melaka baru-baru ini.

“Pastinya, saya berusaha untuk memberikan yang terbaik dalam bidang berkenaan selagi termampu. Namun saya menarik diri dalam bidang pengulasan sukan, walaupun minat dalam arena itu tidak pernah padam,” kata ikon sukan terbabit.

Anak kelahiran Ipoh, Perak yang mempunyai tiga anak dan tujuh cucu itu bersyukur kerana isterinya, Datin Salmiah Abd Mukmin, 69, sentiasa memberi sokongan sepanjang pembabitannya dalam lakonan, pengarahan mahupun dalam bidang penyiaran.

Menurutnya, pengalaman paling diingati sepanjang kerjaya penyiaran televisyen pastinya ketika perlawanan tinju heavyweight membabitkan jaguh dunia, Muhammad Ali dan Joe Bugner di Kuala Lumpur pada 1975.

“Ia kekal dalam ingatan hingga kini dan pastinya peristiwa itu tidak lagi akan berulang, sebaliknya hanya tinggal sejarah Perlawanan itu amat menarik malah sudah pasti peminat sukan era 70-an tidak akan melupakan perlawanan bersejarah yang amat manis untuk dikenang,” katanya.

Rahim yang turut melahirkan rasa bangga atas kemunculan ramai pengulas sukan baru di Malaysia berkata, pihaknya sentiasa memberi sokongan padu kepada mereka untuk berjaya serta perlu menyampaikan maklumat tepat kepada masyarakat menerusi gaya dan teknik penyampaian berkesan.

Katanya, beliau sedia memberi nasihat dan panda–ngan kepada mana-mana pihak terutama generasi baru yang terbabit dalam bidang berkenaan, terutama jika kesihatan mengizinkan.

Sambil mengharapkan mereka tabah dan sentiasa positif, dia tidak menganggap ia satu kesukaran mendapatkan maklumat dan terpaksa lebih kerap turun padang untuk memperoleh fakta.

“Saya turut menaruh kepercayaan pengulas kini mampu lebih berjaya daripada apa yang pernah saya nikmati dengan syarat mereka terus belajar dengan konsisten mencari idea baru untuk kemajuan kerjaya masing-masing.

“Harapan saya semoga sukan negara akan terus dihormati di kancah saingan dunia selain turut mencadangkan pembabitan serius penduduk terhadap sukan baru untuk turut cemerlang seperti dibuktikan dalam arena hoki, skuasy dan badminton,” katanya.

Mengimbas latar belakangnya, bekas pelajar Sekolah Menengah Anderson Ipoh itu dilihat amat gigih dan bijak mengendalikan segmen sukan sepanjang kerjaya yang diterokainya.

Ulasan dan fakta yang diberikannya nyata melekat di jiwa pengikut sukan negara sehingga ada di antara mereka sentiasa menanti kemunculannya menerusi gaya dan suara asli yang sukar ditandingi.

Bermula secara sambilan berikutan bekerja di Malayan Tobacco sekitar 1964, beliau jelas menguasai minda peminat menerusi pembabitan awalnya sehingga suaranya amat sinonim dengan dunia sukan tanah air.

Walaupun amat teruja menanti kehadiran Piala Dunia 2014 Brazil, beliau yang pernah terbabit dalam pengulasan kejohanan berprestij terbabit tetap mengikuti perkembangan sukan dengan memilih tuan rumah muncul juara edisi kali ini.

Mula berjinak-jinak menjadi penulis skrip drama sejak 1950-an selain berpengalaman luas dalam lakonan drama dan pengarahan flem.

Beliau yang pernah berlakon teater di University Theatre Dub, Brighton Theatre Group Australia Broadcasting Commission 1963, mengakui kembali berlakon sekali gus melepaskan kerinduan sebagai pengulas sukan.

Antara anugerah diraih–nya termasuk pelakon terbaik 2007, pengarah terbaik dan skrip terbaik (1986 dan 1981) serta sutradara terbaik dan lakon layar terbaik 1984.


myMetro



Biografi Rahim Razali

'Datuk Haji Rahim Razali' (lahir 3 Julai 1939 di Batu Gajah, Perak merupakan pelakon filem, dramatis dan pengacara sukan, pengarah, penerbit Filem, penerbit TV, jururunding skrip, dan penulis tersohor di Malaysia.

Sekolah aliran Inggeris di Sekolah Anderson, Ipoh.Kemudian melanjutkan pelajaran ke Universiti Melbourne selama lima tahun dalam jurusan Chartered Accountancy di bawah Rancangan Colombo.

Beliau bekerja sebagai pembantu penyiaran di Radio Malaya, Tobacco Co. Bhd, di Kementerian Kebudayaan, dan SSC & B Lintas Sdn. Bhd dan syarikat iklan rokok SH Benson Advertising Company. Seterusnya bekerja di Fleet Communication. 1981 menubuhkan syarikat sendiri Angkatan Seniman Abad XX Sdn Bhd bersama Wan Rohani Zain, bekas penyampai berita RTM.

Sejak 1950an beliau menjadi penulis skrip dan pengarah bagi drama di sekolahnya.Di Australia , Rahim menyertai Melbourne University Theatre Dub, Brighton Theatre Group, dan Australia Broadcasting Commission. 1963, berlakon sebagai Hamlet dalam Hamlet iaitu persembahan untuk Brighton Thearte Group. Pada tahun 2010 beliau mengarahkan Muzikal Uda & Dara karya asal Usman Awang. Beliau bertanggungjawab mencungkil dan menyerlahkan bakat lakonan ramai bintang sejak era 70an, dan terbaru beliau berjaya menampilkan penyanyi popular Misha Omar sebagai bintang teater muzikal yang mempunyai keseimbangan dalam bidang lakonan dan nyanyian.

Beliau menerbitkan 50 drama televisyen di RTM dan berlakon 15 buah filem.

Sejak 1960an menceburi dunia lakonan di RTM. Sejak 1981 telah mengarah 8 buah filem dan filemnya terpilih mewakili negara ke Tokyo International Film Festival, London International Film Festival dan lain-lain.

Filem

2015 - Kapsul - (Pelakon Utama)
2014 - Anak Jantan - (Pelakon Tambahan)
2014 - Balistik - (Artis Jemputan)
2014 - Sayang Disayang - (Pelakon Utama)
2013 - Malam Penuh Bermisteri - (Pelakon Utama)
2011 - Nur Kasih The Movie - (Artis Jemputan)
2010 - Hikayat Merong Mahawangsa - (Pelakon Pembantu)
2010 - 4 Madu - (Pelakon Utama)
2010 - Janin - (Artis Jemputan)
2010 - Andartu Terlampau 21 Hari Mencari Suami - (Pelakon Pembantu)
2009 - Muallaf - (Pelakon Pembantu)
2009 - Pisau Cukur - (Pelakon Pembantu)
2009 - Cinta Terakhir - (Pelakon Pembantu)
2008 - CUCI - (Pelakon Pembantu)
2008 - Jarum Halus - (Pelakon Pembantu)
2007 - 1957 Hati Malaya - (Artis Jemputan)
2007 - Qabil Khusry Qabil Igam - (Pelakon Utama)
2006 - Cinta - (Pelakon Utama)
2004 - Puteri Gunung Ledang - (Pelakon Utama)
2003 - Aku Kaya The Movie - (Pelakon Pembantu)
2002 - Embun - (Pelakon Pembantu)
2002 - KL Menjerit - (Pelakon Pembantu)
1993 - Abang 92 - (Pelakon Pembantu)
1987 - Puteri - (Pelakon Pembantu)
1981 - Tsu Feh Sofiah - (Pelakon Utama)
1981 - Abang - (Pelakon Utama)
1978 - Dayang Suhana - (Pelakon Utama)


Anugerah

2007 - Festival Filem Malaysia ke-20 - Pelakon Lelaki Terbaik (Dalam Watak Pembantu)
1986 - Festival Filem Malaysia ke-6 - Pengarah Terbaik
1986 - Festival Filem Malaysia ke-6 - Skrip Terbaik
1984 - Festival Filem Malaysia ke-5 - Sutradara Terbaik
1984 - Festival Filem Malaysia ke-5 - Lakonlayar Terbaik
1981 - Festival Filem Malaysia ke-2 - Pelakon Lelaki Terbaik
1981 - Festival Filem Malaysia ke-2 - Skrip Terbaik

wiki


25 Aug 2015

tidak lagi


tidak lagi

tidak lagi
menjadi ruang terindah
 menatap pergi dan datangnya
kilau matahari

tidak lagi 
menjadi kilau inspirasi
dalam surut dan bangkit perjuangan
memberi deru keyakinan
untuk berhadap kebekuan 
dan kesuraman

tidak lagi
 berada di hati
semakin tak berarah
segala payah dan gelisah

tidak lagi
menjadi kerlip bintang
mimpipun semakin hilang
dihimpit malam panjang










24 Aug 2015

selamat hari wanita

kerana kau wanita
sesuatu yang terbaik
ada padamu

SELAMAT HARI WANITA






Universiti : Cabaran Transformasi

Transformasi universiti perlu kepemimpinan berwawasan 
Oleh Prof Dr Mohd Majid Konting


PENSYARAH menjalani kursus yang dianjurkan oleh AKEPT. - Foto hiasan 

Tuntutan dan dorongan seringkali meruntun masyarakat dan organisasinya untuk berubah. Cabaran sosial, ekonomi dan politik dalaman dan luaran serta harapan baharu warganya sering kali menyediakan ruang dan peluang transformasi masyarakat agar terus relevan, mapan dan lestari.

Dalam konteks negara kita, Wawasan 2020 dirancang dan dilaksanakan untuk memastikan Malaysia mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Pendidikan tinggi mempunyai peranan penting dalam menggapai hasrat negara maju berpendapatan tinggi. Ia memberi ruang dan peluang kepada masyarakat untuk membangun dan memperkasakan warga insannya yang menjadi kunci dalam menangani sembilan cabaran strategik seperti yang digariskan dalam Wawasan 2020.

Cabaran itu ialah perpaduan; jiwa bebas dan tenteram; demokratik; bermoral dan beretika kukuh dengan nilai agama; bertolak ansur; saintifik dan progresif; penyayang; adil dan saksama; serta makmur dengan ekonomi yang berdaya saing, dinamik dan kental.

Bagi memastikan matlamat tercapai, Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2015-2025 (Pendidikan Tinggi), ringkasnya PPPM (PT) diperkenalkan. Ia lanjutan kepada Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) yang dilancarkan pada tahun 2007 dan jajaran kepada Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

PPPM (PT) berhasrat membangunkan bakat berilmu dan berakhlak mulia sekali gus akan menyumbang kepada pembangunan negara. Tujahan PPPM (PT) dijelmakan menerusi 10 lonjakan utama iaitu graduan holistik, berkeusahawanan dan seimbang; kecemerlangan bakat; masyarakat yang belajar sepanjang hayat; graduan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) yang berkualiti; kelestarian kewangan; tadbir urus yang perkasa; ekosistem inovasi; kesohoran global; pembelajaran dalam talian secara global; dan penyampaian pendidikan tinggi yang bertransformasi.

Pelaksanaan transformasi

Cabarannya, bolehkah PPPM (PT) dilaksanakan dengan jayanya? Di sebalik banyak perancangan yang gagal, banyak juga perancangan pendidikan yang berjaya dilaksanakan. Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan boleh belajar bagaimana IPT luar negara seperti Universiti Oxford dan Universiti Cambridge berjaya melaksanakan transformasi masing-masing.

Perubahan peranan negara untuk memberi pendidikan universiti kepada individu agar mereka boleh berfikir sendiri pada sekitar tahun 1960-an kepada peranan universiti untuk menyediakan individu bagi membangunkan ekonomi negara pada tahun 2000-an menjadi tuntutan dan dorongan kepada kedua-dua universiti tersohor itu untuk berubah.

Universiti Cambridge, universiti kedua tertua dalam kalangan negara bertutur bahasa Inggeris dengan usia 806 tahun melakukan transformasi strategik dengan menggalakkan pihak industri menubuhkan makmal inkubator di sekitar kampusnya bagi tujuan penyelidikan, pengajaran dan pembelajaran.


 Terkenal dengan pembangunan kluster perniagaan berteknologi tinggi yang dikenali sebagai Silicon Fen, Universiti Cambridge menjadi universiti terkaya di Eropah dengan endowmen berjumlah STG4.9 bilion (RM31.4 bilion) pada tahun 2013.

Sementara Universiti Oxford, universiti tertua yang kini mencecah usia 919 tahun melakukan transformasi tadbir urus dan kewangan demi memastikan ia terus relevan dalam abad ke-21. Pada tahun 2014, Universiti Oxford mempunyai endowmen sebanyak STG4.4 bilion (RM28.24 bilion).

Transformasi yang bermula sejak tahun 2000 membabitkan 3,700 staf akademik dan pentadbiran serta lebih 22,000 pelajar diceritakan sendiri oleh Profesor Roger Goodman dari Universiti Oxford dalam program Wacana Akademia bertajuk 'How University of Oxford Restructured for the 21st Century' anjuran AKEPT, baru-baru ini.

Antara yang boleh dipelajari daripada pengalaman kedua-dua universiti tersohor itu adalah perlunya transformasi dilakukan untuk memastikan sesebuah universiti terus relevan, terujuk dan dihormati. Pemimpin berwawasan yang berani mengambil risiko untuk berubah meskipun dalam keadaan sudah tersohor amat diperlukan demi memastikan kelangsungan dan kemapanan institusi.

Walaupun sudah berada dalam keadaan terujuk dan dihormati, mereka terus belajar dan mencuba untuk berubah bagi mendepani tuntutan pendidikan abad ke-21. Mereka belajar antaranya daripada kegagalan Universiti Salamanca, Sepanyol yang pernah gah pada abad ke-17.

Selain daripada itu, pemimpin universiti seharusnya berupaya dan dapat menambat, meyakin dan menggerakkan beribu-ribu warganya untuk menggalas transformasi di samping memberi tumpuan kepada pencapaian hasil misi dan wawasan digapai.


Pemerkasaan bakat kepemimpinan

Keperluan untuk membangun dan memperkasakan bakat kepemimpinan dalam kalangan pensyarah dan pentadbir yang berupaya melakukan transformasi IPT negara seperti yang dihasratkan dalam PPPM (PT), sudah semakin genting.

Selain cabaran sosial, ekonomi dan politik yang dipacu oleh kepesatan teknologi maklumat dan komunikasi, bilangan IPT bertambah secara mendadak sejak tahun 1990-an menjadi 653 yang mana 20 daripadanya ialah universiti awam, 104 universiti dan kolej universiti swasta, 405 kolej swasta, 33 politeknik dan 91 kolej komuniti (Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013).

Pada masa sama, pemimpin institusi berpengalaman yang memulakan perkhidmatannya pada tahun 1970 dan 1980-an mula bersara.

Sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memperkasakan kepemimpinan pendidikan tinggi, Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT) dengan kerjasama universiti, politeknik dan kolej komuniti membangun dan memperkasakan kelompok bakat pemimpin dan pelan penggantian IPT.

Sejak beroperasi pada Januari 2008, AKEPT berperanan membangunkan kelompok bakat pemimpin melalui penawaran program bina upaya kepemimpinan strategik kepada bakal pemimpin akademik dan pentadbiran IPT pada peringkat institusi, nasional, serantau dan global.

Pembangunan kelompok bakat ini dilaksanakan berdasarkan kerangka pemerkasaan kepemimpinan pendidikan tinggi berteraskan kalbu. Pendekatan pembabitan aktif dan pengalaman secara mendalam digunakan untuk membangunkan keupayaan memimpin perubahan, memimpin manusia dan mencapai hasil.

Program pembangunan keupayaan pemimpin dikelompokkan dalam lima teras utama iaitu kepemimpinan, tabdir urus dan kewangan strategik; senario semasa depan dan perancangan strategik; isu strategik pendidikan tinggi; komunikasi strategik; serta isu dan trend semasa.


Program peralihan, pembugaran kepemimpinan strategik

AKEPT juga menawarkan program peralihan dan pembugaran kepemimpinan strategik berdasarkan lapan kluster kepemimpinan tadbir urus, penyelidikan dan inovasi serta pengajaran dan pembelajaran. AKEPT memastikan kesiapsiagaan bakal pemimpin IPT, antaranya melalui penaksiran personaliti dan kesediaan kepemimpinan pendidikan tinggi.

Ternyata, terdapat keperluan untuk melakukan transformasi pendidikan tinggi seperti yang dihasratkan oleh PPPM (PT). Keperluan transformasi ini menuntut pemimpin berwawasan dan berani mengambil risiko untuk keluar daripada zon selesa meskipun institusi berkaitan telah tersohor.

Pemimpin IPT seharusnya berupaya untuk membuat perubahan, memimpin warganya dan mencapai hasil. Justeru itu, program pembangunan dan pemerkasaan bakat kepemimpinan perlu dilakukan secara strategik, mapan dan lestari demi memastikan kelangsungan dan kelestarian institusi pendidikan tinggi negara yang relevan, terujuk dan dihormati.

bh online

Mutawif

Pakar rujuk, pembimbing jemaah di tanah suci
Oleh ZUBAIDAH IBRAHIM



PERASAAN gementar menyelubungi hati seorang mutawif muda negara ketika kali pertama menguruskan jemaah umrah tahun lalu.

Bismie Amer Mohd. Zauna, 23, ditugaskan membawa seramai 90 orang jemaah dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur ke kota Madinah, Arab Saudi.

Meskipun kehadiran Bismie Amer dan rombongan bakal disambut oleh beberapa mutawif di tanah suci itu, tetapi dia tetap gementar kerana tidak mempunyai pengalaman mengerjakan umrah.

Namun, ia bukan penghalang bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda (Syariah), Universiti Kebangsaan Malaysia itu untuk memberikan perkhidmatan terbaik.


JEMAAH umrah akan diberi taklimat oleh mutawif mengenai aktiviti yang akan dilakukan sepanjang berada di tanah suci.

Bagi Bismie Amer, kerjaya sebagai mutawif jemaah umrah merupakan pengalaman berharga kerana selain dapat berkhidmat kepada masyarakat, dia turut berpeluang bersama-sama mengerjakan ibadah itu.

Menurut beliau, pada mulanya, dia hanya sekadar ingin mencuba nasib apabila mengikuti temuduga sebagai mutawif di Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. setelah dicadangkan oleh rakan-rakan.

Pada ketika itu, dia perlu bersaing dengan 90 orang calon yang berlatar belakang pendidikan agama dari dalam dan luar negara.


BISMIE AMIR (kanan) tidak melepaskan peluang bergambar kenangan berlatar belakang Ka'abah.

"Mutawif yang diperlukan hanya 30 orang daripada 100 calon yang menghadiri temu duga itu. Syukur, saya terpilih untuk menjadi seorang mutawif setelah melepasi beberapa ujian bertulis, membaca al-Quran dan menyampaikan ceramah.

"Selepas itu, saya diwajibkan menghadiri kurus mutawif selama seminggu untuk mempersiapkan diri sebelum menjalankan tugas seorang mutawif dan dikurniakan sijil pembimbing jemaah umrah," katanya yang sudah memasuki tahun kedua menguruskan jemaah umrah secara sambilan.

Pemuda yang berasal dari Banting, Selangor itu mengakui, bukan mudah untuk menjadi mutawif. Beliau perlu mempersiapkan diri dari segi ilmu agama, sejarah kota Mekah dan Madinah kerana turut bertugas sebagai pemandu pelancong kepada jemaah dengan membawa mereka menziarahi tempat-tempat bersejarah di tanah suci itu.

Anak ketiga daripada lima beradik itu turut memaklumkan bahawa tugas mutawif bukan sahaja ketika berada di tanah suci tetapi sebelum bertolak ke sana beliau perlu menyelesaikan beberapa perkara.

Antara urusan yang perlu dilakukan ialah memastikan pasport dan visa bakal jemaah umrah belum tamat tempoh, menghubungi mereka untuk memaklumkan maklumat penerbangan dan bertanyakan mengenai status kesihatan.

"Selain menjadi pakar rujuk dalam bidang agama dan urusan logistik. Kami juga bertanggungjawab untuk menjadi perawat kesihatan dalam kes-kes kecemasan. Malah, perlu menguruskan jenazah jemaah Malaysia yang perlu melalui prosedur rumit sebelum dikebumikan," katanya.

Tambah pemuda itu, walaupun berhadapan dengan pelbagai cabaran, beliau seronok menggalas tanggungjawab yang diamanahkan kerana berpeluang menjejakkan kaki ke tempat suci idaman umat Islam dari seluruh dunia pada setiap bulan.

Kemahiran berkomunikasi yang baik menjadi kelebihan buat Bismie Amer kerana ia merupakan kriteria penting bergelar mutawif selain ilmu agama dan pandai berbahasa Arab.

Kongsinya, pengalaman manis sepanjang bergelar mutawif ialah dapat memenuhi permintaan jemaah yang ingin ke tempat doa mustajab. Lalu beliau membawa jemaah tersebut ke Hijir Ismail. Pada ketika itu, barisan sangat panjang tetapi seorang pengawal di pintu masuk membenarkan mereka masuk dengan mudah selepas melihat bendera Malaysia yang tertera pada jaketnya.


GAMBAR kenangan Mujahid (tengah) ketika mengerjakan umrah bersama jemaah umrah.

Hilang

Bagi pengalaman pahit pula, beliau terpaksa berdepan dengan tujuh orang ahli keluarga yang berkelakuan sombong dan enggan mengikut peraturan. Tanpa diduga, mereka sekeluarga hilang ketika melakukan saie dan tidak pulang ke hotel. Usaha mencari dijalankan dan keluarga itu ditemui dalam keadaan kepenatan.

Pengalaman pahit manis yang ditempuh Bismie Amer menjadikannya lebih memahami selok-belok tugas sebagai mutawif, sekali gus lebih bersemangat berbakti kepada masyarakat.

Beliau turut berpesan kepada anak-anak muda yang ingin bergelar mutawif agar tidak gentar mencuba kerjaya itu kerana ia memberi manfaat yang tidak ternilai pada masa akan datang.

Ibadah haji atau umrah tidak akan berjalan lancar tanpa insan penting bergelar mutawif. Mereka akan menjaga kebajikan dan segala kelengkapan yang diperlukan oleh para jemaah sebelum dan sesudah sampai di sana.

Selain menjaga kebajikan para jemaah, mereka juga dijadikan pakar rujuk dalam setiap persoalan agama agar ibadah dapat ditunaikan sebaik mungkin.

Mutawif didefinisikan sebagai pembimbing ibadah haji dan umrah. Ia diambil daripada perkataan tawaf iaitu jemaah itu akan dibimbing oleh mereka yang tahu mengenai hukum-hakam agama.

Sementara itu, seorang lagi mutawif muda dan juga merupakan Imam Muda Musim Kedua, Mujahid Suhaimi, 24, menjadikan tugas mutawif sebagai medan untuknya berdakwah dan menambah ilmu pengetahuan dalam usaha mendekatkan masyarakat dengan agama Islam.

"Tugas sebagai mutawif memberi peluang kepada saya untuk bergaul dengan pelbagai lapisan masyarakat. Mereka (jemaah) sering bertanyakan kepada saya sekiranya timbul sebarang kemusykilan ketika mengerjakan umrah.

"Oleh itu, ia memberi ruang kepada saya untuk berkongsi ilmu dan dalam masa yang sama menjalankan tugas-tugas sebagai pendakwah.

"Walaupun masih muda, ia bukan penghalang untuk memberi tunjuk ajar kepada mereka yang lebih berusia. Saya juga dirujuk untuk hal-hal berkaitan kewanitaan," kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Quran dan Qiraat, Kolej Universiti Islam Antarabangsa itu.

Menurut pemuda yang berasal dari Woodlands, Singapura itu, mutawif perlu bersedia dari segi fizikal dan mental kerana akan berdepan dengan pelbagai kerenah manusia.

Selain itu, mereka juga perlu menjalinkan hubungan baik dengan penduduk setempat bagi memudahkan urusan sepanjang berada di sana.

Ujar Mujahid, penguasaan bahasa Arab sangat penting kerana penduduk di Mekah dan Madinah hanya menggunakan bahasa itu. Jika tidak ia akan mengganggu komunikasi dan urusan-urusan yang lain.

"Mereka menggunakan bahasa ammiyah (bahasa penduduk setempat atau bahasa pasar) berbanding fushah (bahasa al-Quran). Ada kalangan mereka tidak memahami sekiranya menggunakan loghat fushah.

"Oleh itu, saya perlu memahirkan diri menguasai bahasa ammiyah kerana sebelum ini hanya menggunakan bahasa Arab Fushah," jelasnya yang mengambil kursus bahasa Arab selama dua bulan di Institusi Gontor Darussalam, Indonesia.


MUTAWIF turut membantu menguruskan jenazah jemaah dari Malaysia.

Peka

Tutur anak sulung daripada enam adik-beradik itu, beliau perlu peka dengan perubahan struktur binaan yang sentiasa berubah terutama di kota Mekah bagi mengelakkan tersesat kerana di situ terdapat banyak pintu masuk.

Selain itu, persediaan menghadapi musim panas juga perlu dilakukan kerana suhu boleh mencapai sehingga 51 darjah Celsius.

Tambah Mujahid, dua tahun bertugas sebagai mutawif umrah di Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. merupakan satu kenangan manis kerana berpeluang menunaikan umrah bersama jemaah lain dan melawat tempat-tempat peninggalan para nabi.

Mujahid yang meminati aktiviti sukan seperti futsal bijak membahagikan masa sebagai pelajar dan mutawif kerana pekerjaan itu dilakukan ketika waktu cuti sahaja dan ia tidak mengganggu tanggungjawabnya sebagai pelajar.

Beliau yang bercita-cita sebagai penceramah bebas berpesan kepada anak muda yang meminati kerjaya sebagai mutawif agar berani mencuba kerana ia sangat menarik dan menjanjikan pengalaman berharga untuk melahirkan individu yang memiliki keperibadian mulia.

kosmo online