kepentingan sastera?




MASIH PENTINGKAH SASTERA?
Wan Nor Azriq
11 Januari 2015 


TIDAK dinafikan ini adalah soalan aneh untuk ditanya ketika negara kita sedang melalui saat-saat yang mendukacitakan (bencana banjir dan kehilangan pesawat AirAsia QZ8501). Ada dalam kalangan kita yang masih bermurung; ada yang kehilangan rumah dan ahli keluarga. Ada perniagaan kecil yang terjejas, ada syarikat besar yang tercalar imejnya dan ada pemerintah yang harus memimpin rakyatnya keluar daripada kegelapan.

Jika itulah senario yang sedang mendepani kita, mengapakah kita patut ambil peduli tentang sastera? Terlebih dahulu kita harus sedar yang sastera tidak boleh menyelesaikan masalah kita. Daripada peringkat nasional mahupun ke urusan harian rumah tangga memang itu bukan fungsi sastera.

Sastera bukan teknologi yang mengubah rutin hidup manusia. Sastera juga bukan ideologi untuk mencetus perubahan sosial. Apa yang kita lebih memerlukan pada saat ini adalah peringatan. Siapakah kita di dunia ini? Berapa banyak masa kita tinggal? Apa kita telah buat untuk diri kita dan orang lain?

Paling penting bagaimanakah kita ingin menjadi manusia yang lebih baik? Selalunya kita cenderung untuk melihat sastera dari sudut teknikal dan bentuk. Kita mengkajinya supaya sastera boleh digunakan sebagai sesuatu yang bermanfaat kepada masyarakat (seolah-olah kepentingan sastera sama sahaja dengan kepentingan meja dan kerusi di dalam sebuah rumah). Maka di sekolah, kita menekan pelajar-pelajar untuk menghafal plot sebuah novel dan watak-watak penting di dalamnya. Pembacaan menjadi latihan sekolah dan bukan lagi pembacaan. Sungguhpun mengkaji bentuk sangat penting untuk memahami sebuah karya sastera tetapi apabila hubungannya dengan manusia dan kehidupan dipisahkan, pembacaan sastera akan hanya menjadi alat untuk mencetak sijil dan anugerah.

Kita bukan ingin menghalang generasi muda malah sesiapa pun bergelar pembaca daripada mengejar kejayaan. Tetapi bukankah dunia sekarang sudah cukup keras menekan manusia untuk bekerja demi wang dan penerimaan sosial? Kita bersungguh-sungguh ingin masuk ke dalam ruang sosial sampai kita terlupa kita juga mempunyai ruang peribadi. Kita terlupa bahawa kita juga adalah seorang manusia.

Satu cara sastera dapat membina ruang peribadi dan mengembalikan rasa kemanusiaan kita adalah dengan membangkitkan kita daripada ruang kita sedang berada. Martin Heidegger berpendapat setiap manusia dicampak ke dalam kehidupan ketika dia lahir. Lalu dia membesar dalam ruang sosial yang diciptakan untuknya. Apabila kita membaca novel atau puisi, kita dapat melangkah keluar sebentar daripada ruang sosial tersebut dan melihat hubungan kita dengan dunia dalam konteks lebih luas.

Hari ini kita membaca karya epik Don Quixote, esoknya bertukar angin ke zaman perang dalam novel Bumi Manusia, dan minggu depan melangkah lebih jauh ke kehidupan harian seorang isteri di London dalam novel Ms. Dalloway. Sastera ternyata merentas sempadan dan menjadikan kita sebahagian daripada tamadun manusia.


Seterusnya waktu. Sastera menjadikan kita manusia dengan mengingatkan kita tentang kesementaraan waktu. Bila-bila masa sahaja kita boleh mati dan nilai sebuah kehidupan adalah sangat tinggi. Hal ini menjadi sangat jelas apabila kita berdepan dengan sebuah puisi. Seorang penyair bukan sekadar menyusun kata di atas kertas, dia menyusun kata dengan ruang. Dia membina hubungan antara kata dan waktu. Dan garapan waktu sudah tentu berbeza antara setiap penyair. Dalam puisi Chairil Anwar – waktu menjadi rapuh kerana penyairnya sentiasa gelisah dengan kematian; kata-kata melompat-lompat antara baris puisinya.

Sementara waktu bergerak lebih lama dalam puisi Sasterawan Negara Muhammad Haji Salleh kerana dia ingin kita merenung dan berfikir tentang objek-objek alam di sekeliling kita. Semakin banyak kita membaca puisi, kita akan semakin nampak nilai sebuah kata-kata dan bagaimana sebenarnya ia tidak ada beza dengan kita apabila kita diletakkan dalam ruang kehidupan yang sangat luas dan sementara.

Sastera mengingatkan kita bahawa kegagalan adalah sebahagian daripada aturan hidup dan tidak salah untuk sekali-sekala menjadi orang yang gagal. Bahkan sejarah sastera dunia memang kaya dengan individu yang ditindas oleh pemerintah zalim, yang gagal dalam percintaan, yang hilang sesat di laut, yang dibuang kerja, yang jatuh miskin, yang diasingkan oleh masyarakat.

Kita hidup dalam zaman di mana kejayaan adalah segala-galanya dan kegagalan dilihat sebagai kelemahan untuk berfungsi sebagai salah seorang anggota masyarakat. Kita menggalakkan persaingan di tempat kerja dan menolak sebarang bentuk kritikan. Kita ingin semua orang ikut serta dalam membangunkan masyarakat, tetapi sistem ekonomi liberal yang kita amalkan menghilangkan nilai individu dalam diri kita.

Setakat ini masyarakat kita hanya mencari sastera untuk dua sebab: Hiburan masa lapang dan kritikan sosial. Pembacaan sememangnya hiburan, tetapi hiburan yang dicari oleh pembaca kita hanya berbentuk eskapisme sementara. Tema cinta dalam novel-novel komersial terlalu idealistik dan hanya mengukuhkan stereotaip pembaca terhadap idea sebuah perhubungan dan rumah tangga. Kemudian apabila kita memang mencari karya yang serius, kita masih taksub dan terbawa-bawa semangat nasionalisme sebelum kemerdekaan untuk mengukur nilai sesuatu tulisan melalui kaca mata kritik sosial. Kita hanya nampak sastera sebagai alat perjuangan dan bukan panduan peribadi serta sahabat setia, untuk dibawa menempuh segala pengalaman hidup.

Sastera masih diperlukan. Justeru apabila masyarakat mula meminggirkan sastera, kita harus ingat bahawa ia bukan salah sastera tetapi kegagalan kita untuk meletakkan sastera di tempat sepatutnya ia berada.

utusan online


Kenapa Perlu Baca Karya Sastera
Azmah Nordin
 (terbit di Majalah WADAH, Disember 2010, DBP Sabah)

Mengapa sebenarnya seseorang itu perlu membaca karya sastera? Mengapa di sepanjang sejarah kehidupan manusia, di seluruh pelusuk dunia masyarakat daripada pelbagai tradisi suku bangsa dan budaya, berusaha menghasilkan karya sastera terbaik dan mengongsikannya sesame mereka? Apa sebenarnya makna sastera kepada manusia sejagat? Apa sebenarnya sumbangan sastera terhadap manusia dan kemanusiaan?

Sementara memikirkan jawapan-jawapan terhadap persoalan-persoalan di atas, saya rasa ada eloknya dimulakan dengan penyelongkaran yang paling dasar sekali iaitu Sastera. Apa sebenarnya sastera itu?

Lazimnya, terdapat pelbagai sudut pandangan dan definisi tentang pengertian karya sastera, yang satu pun sebenarnya tidak pernah memuaskan semua pihak. Ini mungkin kerana pada dasarnya, sastera bukanlah sekadar ilmu, sebaliknya ianya terbit dari salah satu daripada cabang seni dan sebagai seni, tentulah ia amat bergantung kepada faktor manusia dan penafsiran individu. Terutama sekali yang berkaitan dengan semangat dan kepercayaan.


Nah! Ternyata, amat sukar untuk membuat definisinya bukan? Lebih2 lagi apabila penafsiran dibuat dengan menggunakan kaedah ilmiah.

Jelasnya, karya sastera bergantung pada suasana dan waktu penciptaannya. Sebagai contohnya, karya zaman perang Jepun dahulu kala, sudah tentu tidak sama dengan karya masa kini dalam dunia teknologi serba yang serba canggih. Apakah pihak pengkaji sastera mampu mencakup segalanya ke dalam satu ruang masa bagi menentukan hakikat pengertian sastera dan menetapkan satu definisi yang tepat dan kuat? Karya sastera, pada hakikatnya, merupakan satu hasil kreativiti manusia dan kreativiti itu merupakan sesuatu yang sangat unik dan bersifat individualistik. Malah, kadangkala, kita melihat bagaimana pihak pengkaji begitu cenderung merujuk kepada karya-karya Barat, sedangkan sedangkan semua orang tahu, tidak semestinya yang dilakukan untuk karya Barat, sesuai diterapkan pada karya-karya tempatan.

Sastera pada asasnya merangkumi 3 perkara di bawah:
1. Sifat khayali atau imaginasi.
2.. Adanya nilai-nilai seni/estetika
3. Penggunaan bahasa yang khas

Ianya juga boleh diperluaskan lagi melalui pemahaman berikut:
1. Sastera adalah seni berbahasa. Ia tidak disusun dengan sebegitu rupa, tanpa tujuan dan sentiasa memiliki keterbukaan panafsiran.
2. Sastera adalah ungkapan spontan dari lubuk perasaan yang mendalam atau dari dalam jiwa.
3. Sastera adalah luahan fikiran yang berbentuk pandangan, buah fikiran, idea, perasaan, pemikiran – dengan menggunakan bahasa sebagai sarana.
4. Sastera adalah bisikan hati ataupun ilham tentang kehidupan yang diwujudkan dalam sebuah bentuk keindahan. Juga tentang ungkapan peribadi manusia yang berupa pengalaman, pemikiran, idea, semangat juang dalam satu gambaran yang diolah dengan begitu kuat, padat, bulat, hidup, dan mempesonakan.
5.. Sastera adalah lembaran demi lembaran halaman yang memuat perasaan kemanusiaan yang mendalam dan kebenaran moral dengan sentuhan kesucian, keluasan pandangan, dalam bentuk yang istimewa dan sekali lagi dengan menggunakan susunan bahasa sebagai satu sarana.

Karya sastera terbahagi kepada dua kelompok iaitu;
1. Ciri-ciri sastera imaginatif seperti puisi, cerpen, novel, drama ; kandungannya bersifat khayali, menggunakan bahasa konotatif, memenuhi syarat-syarat estitika seni.
2. Ciri-ciri sastera non-kreatif seperti esei, kritikan, biografi, autobiografi; sejarah, memoir, catatan harian; kandungannya menekankan unsur fakta, menggunakan bahasa yang denotatif, namun tetap memenuhi unsur-unsur estetika seni.

Jelas kelihatan perbezaan antara sastera imaginatif dan non-imaginatif adalah masalah estetika seni. Bagaimanapun, unsur estetika seni yang meliputi kekuatan, keselarasan atau keharmonian, keseimbangan, tumpuan/pusat penekanan suatu unsur, tetap sama; estetika seninya tetap diperjuangkan.

Sekarang, kita kembali kepada soalan pertama tadi; Mengapa kita perlu membaca karya sastera? Penting sangatkah kita baca karya sastera?

Terbukti lama sudah bukan? Karya sastera mewakili bahasa dan bangsanya; budaya dan tradisinya. Ianya lebih penting daripada sekadar sebuah peninggalan sejarah atau artifak budaya yang memperkenalkan kita pada pengalaman dan dunia luar. Kita belajar tentang sastera dari merata sumber; kita terhibur dengan kelucuan, kita tersentuh dengan kepahitan hidup, yang tergambar dalam puisi, cerpen, novel dan drama; dan minda kita pun lalu berkembang di sepanjang penggembaraan lewat karya-karya sastera tersebut.

Akhirnya, dengan `melihat’ apa yang diungkapkan oleh pengarangnya dan bagaimana dia mengungkapkannya, kita akan ketemukan makna di sebalik apa itu karya sastera. Kita akan dapat menterjemahkan mesej yang cuba disampaikan oleh pengarangnya. Jika dalam lingkungan akademik, wujud pula penggunaan kaedah-kaedah teori tertentu untuk mendekati karya sastera dengan lebih mendalam, seperti; mithologi, sosiologi, psikologi, sejarah, dan beberapa pendekatan lain.

Jadi, kenapa sastera penting pada kita? Mudah saja jawapannya; karya sastera penting pada kita, sebab ia `bercakap’ dengan kita, kerana ia bersifat universal dan ia memberi kesan kepada kita. Biarpun tema yang diangkat dalam karya itu begitu lemah atau kurang menarik, ia akan berubah menjadi kuat dan indah apabila ditulis dalam bentuk sastera.

Sesungguhnya, tidak ada cara yang lebih baik untuk melihat perbezaan etnik dan budaya, kekayaan warisan manusia, menilai perbezaan antara luahan daya kreativiti manusia daripada pelbagai aspek – selain daripada karya sastera. Membaca sebuah karya sastera yang hebat adalah satu nikmat yang unggul, tentunya. Sebuah pengalaman untuk mempelajari pelbagai perkara; tentang apa dan bagaimana, tentang keutuhan atau ketidak-sempurnaan sebagai manusia, dengan segala tindak-tanduk, impian dan kisah silam, kesendirian, dalam perhubungan dengan sesama insan, penampilan di mata masyarakat, juga di relungan rahsia dan aliran kesedaran.

Secara dasarnya, sesebuah karya sastera dibaca kerana jalan ceritanya yang menarik mampu mempesonakan. Isi karya sastera, adalah satu macam kewujudan manusia dalam bentuk seni. Cerita membentuk sebuah perhubungan, mengesahkan tentang budaya dan bahasa, menegaskan tentang ritual dan kepercayaan dalam masyarakat. Ia juga menggambarkan aturan kehidupan dan mentakrifkan kewujudan manusia di dalam jagatraya, sehingga mampu menggerakkan pancaindera dan emosi agar dapat merangsang dan merubah pemikiran kita ke arah yang lebih hebat.

Ikatan yang begitu mantap antara sastera dan manusia (pembaca), menarik mereka untuk turut menyumbangkan suara. Ikatan itu juga mungkin dapat membuatkan mereka berasa akan kesamaan gelojak perasaan dan cenderung membangkitkan semangat juang yang sama tanpa mengira batasan geografi, bangsa, fahaman agama ataupun ideologi politik. Sastera mampu memindahkan kita ke dunia silam, dan menghubungkan kita dengan mereka dari era tersebut, hingga begitu menghiburkan, sekali gus mendorong pembaca memasang impian atau membangkitkan semangat juang baru di antara susunan-susunan ayat dalam gaya bahasa yang indah dan kuat. Perasaan menjadi sebagai sebahagian daripada pengalaman masyarakat dalam ruang dan `buku besar’. Ia adalah suatu kejayaan budaya dan tiada satupun yang dapat menyumbang lebih daripada itu, selain daripada karya sastera. Jelasnya, ia adalah amat penting untuk kita pelajari dari masa silam, untuk kita memperbaiki masa hadapan.

Pendek kata, tanpa membaca karya sastera atau tidak pernah disentuhi sastera, samalah seperti kita berada di dalam lingkungan masyarakat yang emosi dan jiwanya terperangkap, kerana kelukaan dalam hati atau gelojak dalam diri tidak mampu dan dapat diluahkan dengan cara yang halus dan lembut.






Yang pasti, buku-buku sastera adalah diibaratkan seperti sebuah sungai yang mengalir menuju ke muara dan langsung ke lautan lepas, semakin banyak dibaca, semakin besarlah kebebasan minda yang kita anugerahkan kepada diri sendiri. Bebas untuk menerokai pengaliran idea, imaginasi, misteri, penerokaan dan sebagainya. Tanpa buku sastera, apa saja yang mengalir dalam diri kita?

Andainya semua yang sebut di atas masih belum meyakinkan anda untuk mendekati karya sastera, bagaimana dengan informasi ini;

Nabi Muhammad (s.a.w.) menggunakan puisi sebagai alat atau wasilah dalam mendakwah ajaran agama yang diturunkan kepadanya. Baginda sangat menghargai keupayaan para sahabat menggambarkan perasaan dan isi hati mereka dalam bentuk sastera tentang hubungan antara manusia dengan Tuhan, antara manusia dengan alam. Selagi keupayaan bersastera itu tidak merugikan kepentingan umum dan berada di dalam kerangka nafas ajaran keagamaan, selagi itulah tiada sebab untuk kita menolaknya. Bukan?

azmahnordin

Comments