Soalan Esei Puisi Melayu Tradisional


  Soalan Esei Puisi Melayu Tradisional

Baca puisi di bawah dan jawab soalan mengikutinya

Aduhai malang Pak Kaduk,
Ayamnya menang kampung tergadai,
Ada nasi dicurahkan,
Awak pulang kebuluran,
Mudik menongkah surut,
Hilir menongkah pasang,
Ada isteri dibunuh,
Nyaris mati oleh tak makan,
Masa belayar kematian angin,
Sauh dilabuh bayu berpuput,
Ada rumah bertandang duduk,
Rumah runtuh awak menumpang.

(a) Huraikan nasib malang Pak Kaduk dalam seloka di atas. (10 markah)
(b) Huraikan tiga pengajaran dalam puisi (8 markah)
(c) Jelaskan tiga persoalan dalam puisi (8 markah)

Skema Jawapan

(a) Pak Kaduk bernasib malang apabila ayamnya menang tetapi kampungnya tergadai kerana ditipu.

Malang juga, apabila ia kebuluran apabila pulang ke rumah kerana nasinya telah dibuang.

Bertambah malang pula, dia mengalami kesusahan mengayuh perahu. Sewaktu menaiki sampan ke hulu/mudik di sungai, dia terpaksa menongkah air surut. Semasa ke hilir pula, dia terpaksa menongkah air pasang.

Pak Kaduk juga bernasib malang kerana sewaktu belayar, angin tidak bertiup langsung tetapi apabila tiba di pangkalan, barulah terdapat angin bertiup.

Malang menimpa Pak Kaduk apabila rumahnya runtuh lalu terpaksa menumpang di rumah orang.

(b) Kita hendaklah menjauhi amalan judi
Contoh : Ayamnya menang kampung tergadai

Kita haruslah bertindak secara bijaksana supaya tidak menyusahkan diri sendiri atau menyesal kemudian.
Contoh : Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran

Kita haruslah reda dengan ketentuan takdir.
Contoh : Masa belayar kematian angin

Kita haruslah merancang sebelum melaksanakan sesuatu perkara.
Contoh : Hilir menongkah pasang.

Seorang suami hendaklah menyayangi isterinya.
Contoh : Ada isteri dibunuh.

(c) Persoalan keburukan amalan berjudi
Contoh : Ayam menang kampung tergadai.

Persoalan sikap manusia yang bertindak secara melulu
Contoh : Ada nasi dicurahkan/Ada isteri dibunuh.

Persoalan nasib malang dalam kehidupan
Contoh : Aduhai malang Pak Kaduk.

Persoalan penipuan sesama manusia.
Contoh : Ayamnya menang kampung tergadai.

Persoalan sikap manusia yang terlalu yakin mendapatkan sesuatu yang belum pasti.
Contoh Ada nasi dicurahkan, Awak pulang kebuluran.

Persoalan kepentingan kesabaran menghadapi dugaan hidup
Contoh Masa belayar kematian angin.

Comments